ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Friday, June 29, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 3


Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 3
Meluat Diya dengan perangai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong si Razif tu. Orang sudah tak sudi masih nak menyua-nyua diri. Hendak saja diambil bontot kuali dan disuruh lelaki itu menyuluh diri. Biar lelaki itu sedar bahawa pada pandangan Diya, muka Razif yang handsome tu setanding dengan bontot kuali saja. Hati Diya menggumam geram. Tempoh seminggu bekerja sebagai setiausaha Razif sudah cukup buat Diya memanggang hati saban hari.
Bukan hari ini saja gadis itu dilanda sakit jiwa dan raga dek teletah Razif yang merimaskan. Apa lelaki itu fikir dirinya model patung yang boleh ditatap sesuka hati? Mahu saja Diya cucuk mata Razif yang tak beralih dari merenungnya sepanjang tempoh mesyuarat berjalan.
Tindakan tak beradab Razif itu membuatkan Diya jadi malu terhadap staf-staf yang lain. Sepertinya satu pejabat sudah menyedari sikap Razif yang mengejar perhatian Diya. Malah sepanjang sesi mesyuarat berlangsung, Diya perasan akan senyuman sinis beberapa orang staf yang mudah sekali memandang serong padanya. Dirinya jadi bahan cerita yang dijaja dari mulut ke mulut.
Diya cuba tabahkan diri. Sememangnya bidang kesetiausahaan yang diceburi cukup glamour dan sering dicap sebagai skandal bos tak pun, wanita simpanan bos. Hakikatnya semua itu hanyalah tanggapan masyarakat luar yang tidak mengetahui hakikat kerjaya professional sebagai setiausaha. Berdepan situasi sekarang, Diya lebih rela digelar orang gaji bos atau tukang bancuh kopi daripada dipandang serong sehina itu.
Sabar la Diya. Sedaya upaya hati dipujuk agar tiada air mata yang tumpah. Tak guna menangis kerana itu hanya memperlihatkan sisi dirinya yang lemah di mata Razif dan staf-staf di pejabat. Tiada siapa yang akan peduli pada air mata yang dibazirkan itu. Diya pasrah. Berdepan dengan Razif untuk tempoh masa setengah tahun, Diya berharap agar sejarah hitam hidupnya tidak berulang lagi.


Maira menghampiri Diya dan Nur yang duduk berbual sambil menonton televisyen di ruang tamu. Wajah Maira berseri-seri ketika menghulurkan kad berwarna oren lembut yang cantik cetakkannya. Diya menyambut huluran daripada temannya itu walau teragak-agak pada mulanya.
Sungguh tidak disangka Maira dalam diam sudah berpunya. Tidak pernah Diya lihat Maira bersama-sama sebarang lelaki yang boleh dianggap sebagai teman istimewa. Malah Maira tidak seperti orang yang sedang dilamun cinta selama mereka duduk sebumbung.
“Biar betul kau nak kahwin. Bila pula kau bercinta?” soal Diya setelah agak lama kad cantik itu dibelek-beleknya. Bau wangi pula tu.
Maira ketawa kecil. Nur yang duduk bertentangan dengan Diya masih lagi membelek kad yang terlebih dahulu dihulurkan padanya. Tetapi Nur tetap memasang telinga akan perbualan kedua-dua temannya itu. Dia juga terkejut seperti Diya. Tidak pernah dia tahu Maira sudah ada teman lelaki.
“Nak kahwin tak semestinya couple dulu. Bercinta lepas kahwin pun, nikahnya sah juga,” jawapan Maira membuatkan Diya dan Nur angkat kening. Tercengang seketika. Maira ketawa lucu melihat reaksi seperti itu. Terkejut sangat ke ni?
“Oooo… Pilihan ayah dan mak kau ke?” soal Nur setelah terkejutnya hilang. Maira angguk dan Nur juga Diya turut angguk-angguk kepala melihat pengakuan Maira itu.
“Kau ok ke dengan pilihan ayah dan mak kau tu? Kau kenal bakal suami kau tu?” setelah terdiam agak lama, Diya akhirnya menyuarakan apa yang tersirat dalam hatinya.
Maira senyum menampakkan gigi putihnya. Sudah dapat membaca apa yang bermain-main dalam fikiran Diya sejak tadi.
“Diya, aku yakin dengan pilihan mak dan ayah aku. Setiap ibu bapa dalam dunia ini mahukan anak-anak yang mereka besarkan sejak kecil hingga besar hidup bahagia. Takkan la mak dan ayah aku nak pilih lelaki yang tak berjenis untuk jadi menantu dan suami pada anak mereka. Aku terima pilihan ayah dan mak aku sebagai jodoh yang terbaik untuk aku. Lagipun yang penting restu orang tua. Lelaki tu pun dari keluarga yang baik serta mempunyai didikan agama yang baik. Insyallah dia dapat bimbing aku,” jawab Maira panjang lebar.
“Bagus la kalau macam tu. Lepas ni kau pindah rumah la ye. Jauh ke kau pindah? Kerja kau macam mana?” Nur pula bertanya.
“Aku pindah duduk dengan suami aku la lepas kami nikah. Aku still kerja lagi. Dia bagi aku kerja asalkan aku dapat bahagikan tugas aku sebagai isteri dan kerja dengan baik.” 
Nur angguk faham. Kemudian matanya berkalih pula pada Diya yang seakan berkhayal. Kenapa pula dengan minah seorang ni?
“Kau orang duduk berdua la nanti. Entah siapa pula yang kahwin dulu. Siapa yang kena tinggal siapa pula lepas ni…” ujar Maira seakan berseloroh.
Diya senyum tawar. Wajah Maira berseri-seri itu dipandang sayu. Bertuah la Maira andai dapat menemui cinta sejati. Dalam hati, Diya mendoakan kebahagiaan Maira.
“Kau tak bencikan lelakikan, Diya?” berhati-hati Maira menyoal. Takut juga sekiranya soalan itu mengguris hati Diya.
Diya senyum sinis. Nur dan Maira terus menanti jawapan.
 “Aku tak bencikan lelaki la… Jangan la kau orang risau sangat pasal tu.” Diya buat-buat ketawa dan Maira serta Nur saling berpandangan. Boleh percaya ke?
“Selepas apa yang berlaku, aku akui sukar untuk menerima lelaki dalam hidup aku. Bukan saja soal kepercayaan terhadap lelaki. Aku tak macam kalian. Aku lebih senang kalau jadi kalis cinta saja. Aku ni dah macam trauma untuk mengenali apa itu cinta,” luah Diya mendatar nadanya.
“Tapi masih ada lelaki yang baik di luar sana yang boleh terima kau, Diya. Percaya la. Tak semua macam lelaki tak guna tu,” Maira cuba memujuk Diya. Simpati pula rasanya.
“Entah la Maira. Mungkin sudah takdir aku untuk hidup macam ni. Aku reda. Hidup tak semestinya membesar jadi dewasa untuk kahwin dan ada anak cucu. Masih ada perkara lain…”
“Diya…” Mahu menitis air mata Maira mendengar bicara Diya seakan pasrah itu. Nur bangun dan duduk di sisi Diya lalu jemari temannya itu digenggam erat.
“Tak apa la Diya. Jodoh tu urusan Allah. Aku doakan suatu hari nanti, akan datang seorang  Adam yang dapat memanah ke dalam hati kau yang kalis cinta ni. Semoga ia adalah panahan cinta sejati,” ucap Nur dengan tenang. Itu adalah doanya pada Diya.
Maira senyum nipis sambil melentok kepala di bahu Diya. Jemarinya turut berada dalam genggaman Nur dan Diya. Saat ini, tiga sahabat itu saling mengeratkan genggaman tangan mereka. Doa sahabat buat sahabatnya adalah doa yang makbul. Maira dan Nur berdoa agar Diya akan mendapat sinar bahagia dalam hidupnya. Mereka turut berdoa agar persahabatan ini menjadikan hidup mereka dilimpahkan berkat dan rahmat.
Masa terus berjalan dan tanpa sedar, tempoh tiga bulan berlalu. Maira sudah selamat diijab kabulkan. Kini hanya tinggal Diya bersama Nur menghuni rumah sewa mereka.


Waktu pejabat sudah tamat dan kebanyakan pekerja sudah pulang. Diya mengemaskan meja ala kadar. Razif yang hendak pulang berhenti di depan meja Diya. Memerhati teletah setiausaha sementaranya itu dengan satu pandangan yang sukar ditafsir. Sudah hampir tiga bulan dia menggantikan tempat Encik Khalid sebagai pengurus di situ.
 “Diya, saya hantar awak pulang nak?” soal Razif apabila Diya menyedari kehadiran lelaki itu.
“Er… Encik Razif lupa ke saya ni bawa kereta. Saya boleh balik sendiri. Terima kasih.” Diya memaniskan wajah sedangkan hati tidak senang dengan kehadiran Razif di situ. Apa lagi buaya ni nak dari aku?
“Oh! Terlupa pula saya. Bukan apa, berat hati pula untuk biarkan gadis secantik awak ni pulang sendirian. Bahaya tau,” Razif bersikap prihatin. Niat sebenarnya tersembunyi di sebalik sifat baik itu. Perempuan, jual mahal la sikit. Aku tambah harga sikit lagi, dekat kaki ni juga melutut nanti.
“Tak mengapa Encik Razif. Saya ni tak selemah yang Encik Razif sangkakan,” jawab Diya berbasa-basi. Kalau aku boleh buat magik hilangkan orang, mamat ni la orang pertama aku lenyapkan dari muka bumi Allah ni.
Mereka berdua melangkah seiring menuju ke arah lif. Masing-masing membisu sehingga memasuki lif. Hanya mereka berdua saja di dalam lif. Walau untuk beberapa minit, hati Diya sudah keresahan. Tidak senang apabila hanya berdua dengan Razif yang dianggap buaya darat. Diya juga tidak senang dengan renungan mata Razif yang liar memandangnya.
“Diya, malam ni awak free?” soal Razif memulakan strategi memancing Diya.
Diya tidak menjawab. Razif dipandang dengan wajah kosong.
“Saya nak ajak awak keluar. Kita pergi tengok wayang atau jalan-jalan cari makan. Boring la nak makan sorang-sorang. Orang bujang la katakan,” Razif seperti minta disimpati. Seakan merayu Diya menemaninya.
Diya tenang dengan senyuman nipis di bibir. Sebaik mungkin pelawaan Razif itu ditolaknya. Macam aku tak tahu taktik murah mamat ni. Dah nak mati kebulur pun aku tak akan pergi makan dengan kau la! Silap langkah, aku yang kena makan dengan buaya darat ni.
“Maafkan saya Encik Razif. Saya tak suka keluar malam. Lagipun malam ni ada drama best. Saya lebih suka rehat-rehat dekat rumah sambil menonton tv saja, Encik Razif.” Diya kemudian ketawa kecil. Ketawa yang dibuat-buat.
Razif tersenyum sumbing. Faham dengan penolakan Diya itu. Wajah lelaki itu masih kelihatan tenang walau hakikatnya hati Razif diamuk perasaan geram. Geram apabila Diya jual mahal! Tak pe, perempuan cantik macam kau memang mahal sikit. Sabar sikit Razif. Jangan gopoh. Lagi jual mahal, lagi tinggi saham minah ni. Lagi sedap aku ratah! Hati Razif meledakkan ketawa kejahatan.
“Ok la kalau macam tu. Lain kali saja ye.” Razif mengalah juga. Untuk kali ini Razif membiarkan Diya melepaskan diri. Esok masih ada untuk dia memujuk rayu. Perempuan memang selalu jual mahal. Tetapi semahal mana Adelia Dayana mampu tawar-menawar dengannya? Hati Razif mengejek.
Sebaik saja pintu lif terbuka, Diya segera meminta diri untuk berlalu meninggalkan Razif berjalan di belakangnya. Diya tidak mahu beriringan dengan lelaki itu. Diya mahu segera melenyapkan diri daripada pandangan Razif yang merimaskan. Masuk saja dalam Perodua Myvi miliknya, Diya menarik nafas kelegaan buat seketika.
Hari ini Diya berjaya lari daripada Razif. Esok lusa Razif pasti akan terus berusaha mendekati dirinya. Diya tahu Razif tidak akan mudah mengalah seperti mana syaitan yang tidak pernah berundur dari cuba menyesatkan manusia. Pada Diya, Razif memiliki segala-galanya. Rupa, pangkat dan kemewahan yang telah membutakan mata hati lelaki itu sendiri. 
Razif buaya darat yang berbahaya! Buaya yang bersembunyi di air yang tenang. Permukaan air tidak berkocak tetapi apabila disuakan ayam, pantas sekali sang buaya menyambar penuh lahap. Diya tidak mahu menjadi ayam yang disambar buaya seperti Razif. Tidak sesekali harga dirinya akan digadai pada lelaki seperti Razif. Tembok hati Diya masih kukuh untuk ditembusi cinta palsu Razif yang rapuh. Diya tidak mahu mencalit sejarah hitam yang kedua dalam perjalanan hidupnya.
“Ya Allah, aku berlindung dengan kekuasaan Mu daripada tipu daya syaitan dan hasutan hawa nafsu yang jahat. Berikan aku kekuatan iman,” doa Diya sambil memejamkan mata. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.



Diya melangkah masuk ke dalam bilik pejabat Razif sebaik saja mendapat arahan daripada majikan sementaranya itu. Kening Diya terangkat apabila Razif tidak kelihatan pada kerusi hitam di meja kerjanya. Mana mamat tu pergi? Tak nampak dia keluar pun tadi.
“Diya…” suara Razif begitu menggoda dibisikkan di tepi telinga Diya dari arah belakang. Malah telapak tangan Razif menyentuh kedua-dua bahu Diya. Spontan Diya terloncat setapak ke hadapan. Terkejut benar apabila Razif muncul dari arah belakangnya.
“Encik… Encik Razif…” ada getar dalam nada suara Diya. Masih terkejut dengan tindakan lelaki itu. Jantung pula sudah berdegup kencang. Tak guna betul lelaki ni! Karang ada juga yang makan kasut tumit tinggi aku ni.
Razif mempamerkan senyuman penuh menggoda. Dengan wajah tampan dan penampilan yang bergaya, pasti ramai wanita bisa tergoda apabila dihadiahkan senyuman seperti itu. Pegang sikit dah tersentap ke? Hati Razif bergema dengan ketawa besar. Tak lama la aku kena tunggu kalau macam ni.
“Saya bergurau saja. Kadang-kadang saya ni nakal juga. Jangan marah ye,” Razif berseloroh sambil mengambil tempat di sebuah sofa di ruang rehat. Senyuman manis mekar di bibir.
Diya memerhati dengan senyuman tawar. Ikut hati, mahu saja lelaki itu diberi penampar percuma atas perbuatan tidak sopannya sebentar tadi. Diya menghampiri ruang rehat dan duduk di sofa bertentangan dengan lelaki itu. Hati dibisikkan kesabaran untuk berdepan dengan kerenah Razif.
“Awak buat saya geram Diya,” ujar Razif bersahaja. Sekali lagi Diya terkejut dengan kata-kata Razif yang lain benar bunyinya. Liar sekali renungan Razif menjamah raut wajah Diya meresahkan gadis itu. Kenapa kau cantik sangat Diya? Nak luruh iman aku kalau tatap lama-lama. Ego melangit aku ni pun macam nak melutut di depan kau saat ni.
“Macam merpati. Jinak makan di tapak tangan tetapi pantas terbang bila hendak ditangkap,” sambung Razif lagi. Matanya masih menikam wajah Diya dengan pandangan yang tidak menyenangkan. Wajah mulus Diya menggoda imannya yang tipis dengan amalan kebaikan. 
“Apa maksud Encik Razif?” soal Diya berpura-pura tidak faham. Sungguh aku tak selesa sekarang ni. Ya Allah, percepatkan la masa agar aku dapat keluar dari sini dengan segera.
“Awak tahu saya sukakan awak. Tapi awak jual mahal dengan saya,” terus terang  Razif. Sungguh Razif geram. Geram tatkala Diya laksana bayang-bayang yang hanya bisa dilihat tanpa upaya untuk disentuhnya. Laju saja gadis itu mengelak dan menjauh sedangkan nafsunya semakin memberontak.
Diya pura-pura terkejut pula kali ini. Sedang hati terasa jelik dengan pengakuan lelaki buaya darat di depannya ini.
“Saya ikhlas Diya,” suara Razif mendatar dengan sinaran mata yang melindungi pendustaan kata-katanya.
“Encik Razif, sekarang waktu kerja. Tak elok kalau kita bercakap tentang hal peribadi,” Diya tidak mahu terpedaya oleh topeng lelaki di depannya. Dia harus berlalu sebelum hatinya dipancing oleh sandiwara Razif.
“Saya mengaku saya liar sebelum ini. Tapi awak telah mengubah diri saya, Diya. Sifat-sifat kewanitaan dalam diri awak telah sedarkan saya. Saya hendak bertaubat. Saya perlukan awak dalam hidup saya,” kali ini perwatakan Razif berubah.
Wajah kejahatan yang dilihat Diya sebelum ini telah hilang. Lakonan Razif cukup matang seolah-olah lelaki itu benar-benar sudah tersungkur di depan pintu keinsafan. Reaksi dan bicaranya umpama dia benar-benar telah mengetuk pintu taubat dalam dirinya.
“Apa kena-mengena dengan saya Encik Razif?” Boleh percaya ke buaya darat ni dah jinak? Lelaki! Kalau dah taubat, nak ape pula dari aku? Nak aku bina masjid dengan dia ke? Sindir Diya dalam hati. Sepatah ayat pun Diya tidak percaya.
“Saya perlukan awak untuk bimbing saya. Saya yakin awak dapat bimbing saya. Bukan ke kalau lelaki tak begitu sempurna, wanita yang baik dapat menyempurnakan kekurangan yang ada. Jadi, saya yakin awak dapat sempurnakan hidup saya,” kali ini Razif bermain madah pula.
Diya terdiam. Tidak tahu bagaimana untuk membalas bicara Razif yang pandai bermain kata. Saat ini Diya terbayangkan Razif seperti Zakuan. Lelaki yang tak faham bahasa!
“Errr… kalau tak ada apa-apa hal saya keluar dulu. Saya ada kerja lagi,” dalih Diya lantas meluru ke arah pintu. Razif ditinggalkan gigit jari, makan hati!
************************

Monday, June 18, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 2

Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 2
Kepada wanita-wanita di seluruh dunia! Bayangkan suatu hari datang seorang putera raja tampan lagi bergaya. Bukan datang bergaya dengan menunggang kuda putih tetapi memandu kereta mewah siap ada kereta apit depan belakang seperti adatnya konvoi diraja.
Sang putera dibukakan pintu kereta dan melangkah keluar dengan penuh bergaya. Saat kakinya mencecah ke tanah, angin sepoi-sepoi bahasa menghembus lembut pada wajahnya membuatkan rambut sang putera berombak jatuh menutup dahi. Kemudian rambut itu dikuak dengan jemari kanan penuh berkarisma hingga membuatkan mata kaum hawa tidak kelip memandang.
Bayangkan sang putera memiliki paras rupa lelaki idaman. Dengan tubuh tegap menampakkan sifat kegagahan yang terpendam di sebalik senyuman yang menawan. Tatkala sang putera mengatur langkah menghampiri anda, bayangkan diri anda ibarat Puteri Cinderella yang sedang menanti sang putera menyarungkan sepatu pada kaki sebagai bukti penyatuan dua cinta sejati.
Setiap langkah kaki sang putera cukup teratur membuatkan anda seperti melihat seorang putera kayangan yang turun daripada langit. Sekali memandang mata anda terikat pada kesempurnaan ciptaan Tuhan itu.
Bayangkan sang putera kini sedang duduk melutut dan menyarungkan sepatu pada kaki anda. Kemudian anda dan sang putera saling berbalas tikaman mata. Sang putera lalu bersuara dengan nada penuh mempersona.
“Sudikah dikau menjadi permaisuri dalam hidupku?” Oh! Tuhan…bunga-bunga bahagia turun dari langit bagaikan salji putih di bumi sakura. Lamaran sang putera umpama mimpi di dalam mimpi.
Dan kini bayangkan… sebaldi air sejuk yang baru diceduk daripada perigi belakang rumah disimbah atas kepala! Ya Allah… memang mimpi pun!
“Bertuahnya anak dara liat bangun! Matahari dah suluh sampai ke punggung tak reti-reti bangun lagi! Ibu kena tolong mandikan dengan air perigi juga!” bebel Puan Zahra dengan suara halilintarnya mengejutkan Diya daripada mimpi yang indah lagi bahagia. Malangnya apabila bahagia itu sementara cuma.
“Ibu ni, orang nak bangun la ni. Kenapa ibu main curah-curah air segala. Habis basah,” rungut Diya sambil mengelap muka yang basah. Mata yang berat untuk dibuka kini sudah celik.
“Jangankan air, segala-galanya ibu nak simbah! Ikut hati ibu yang panas ni, ibu simbah adik dengan air panas! Matahari dah meninggi tak reti-reti nak bangun lagi. Hari-hari ibu nak kena pekik telolong panggil adik bangun. Jam loceng letak punya cantik dekat kepala katil. Haram nak bangun!” bebel Puan Zahra tidak henti-henti. Anak dara aku seorang ni memang liat betul nak bangun. Telinga tu dah kebal dengan tazkirah pagi-pagi kot.
“Waktu subuh suara ibu la jadi beduk panggil adik bangun. Dah lepas subuh, terbungkang balik sampai matahari segalah tak reti-reti nak bangun lagi. Adik ingat ibu ni bapa ayam? Kerja berkokok kejut orang bangun tiap hari.”
“Relak la ibu. Alah bisa tegal biasa,” selamba Diya menjawab. Ibu... ibu… setakat kejut bangun, bukan kena bayar pun.
Puan Zahra tergeleng-geleng melihat teletah anak bongsunya ini. “Elok sangat la kebiasaan kamu tu. Malaikat rezeki tak limpah rahmat tahu, kalau tidur lepas subuh,” sahut Puan Zahra. Kata-kata itu sudah berulang kali diperingatkan kepada Diya. Tetapi kalau sudah mengantuk, tiada ubat lain melain disorongkan bantal. 
Diya menguap pula. Hati Puan Zahra kian panas melihat mulut anak gadisnya yang ternganga luas tidak ditutup. Lantas dicapai sebiji bantal lalu dilembar ke muka Diya.
Diya terkapai-kapai menahan daripada tubuh terlentang ke belakang. “Aduh! Ibu ni main lempar-lempar bantal pula,” Diya merungut dengan muka berkerut-kerut. Ibu ni, agak-agak la nak baling bantal pun, jatuh terlentang karang.
“Syukur la ibu lempar bantal dari ibu lempar adik dekat jalan. Menguap mulut tak reti-reti nak tutup, biarkan syaitan berbondong-bondong masuk!” marah Puan Zahra sambil bercekak pinggang. Budak seorang ni, faham ke tidak apa aku cakap ni? Ke mamai lagi.
Diya menggaru-garu telinga yang tidak gatal. Tabiat selalu apabila Puan Zahra membuka tazkirah paginya.
“Itu! Duduk termenung apa lagi dekat situ? Tunggu putera raja datang angkat adik pergi mandi? Ke adik tunggu ibu mandikan adik atas katil tu?” tempelak Puan Zahra apabila Diya masih duduk mengeliat atas katil.
Diya lantas bergegas mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Dari dalam bilik mandi, telinga Diya masih menangkap suara bebelan ibunya. Untuk itu, Diya buka pili paip dan membiarkan bunyi air yang keluar daripada paip itu menenggelamkan suara bebelan itu.


“Makan tu baca bismillah ke tidak?” tegur Encik Azhar sebaik saja muncul di dapur.
“Huk!” Diya tersedak. Tersentak dek teguran ayahnya yang entah bila muncul di dapur. Kunyahan kuih karipap yang ditelan lekat di kerongkong. Ya Allah! Mati tercekek aku karang! Pantas dicapai cawan berisi air milo lalu segera diteguk. Wajah Diya sudah merona merah dengan mata berair.
“Itu la, makan tak reti-reti baca bismillah. Gelojoh!” Si ibu menempelak anaknya.
Puan Zahra yang siap membancuh secawan kopi pekat untuk suaminya lalu mengambil tempat di sisi Diya.
“Terlupa la ibu,” Diya menjawab dengan perasaan malu. Tangannya menepuk dada yang perit akibat tersedak tadi. Encik Azhar ketawa kecil melihat teletah anak gadisnya.
“Terlupa, terlupa. Dah tu, apa yang adik ingat? Baca bismillah pun boleh adik lupa. Dari kecil ibu ajar adik baca bismillah. Masa adik kecil boleh la ibu nak ingat bacakan. Ini dah besar panjang pun ibu juga nak kena ingatkan. Bertuah betul!” Puan Zahra membebel lagi.
Diya tersengih-sengih sambil menggaru-garu belakang cuping telinga mendengar bebelan ibunya. Benar juga kata ibunya itu. Bismillah adalah bacaan yang paling mudah tetapi ayat itu juga sering lupa untuk diucapkan sebelum melakukan sebarang perkara. Sejak kecil ibu mengajar Diya mengucap kalimah ‘bismillahirahmanirahim’ sebelum melakukan sebarang perkara. Tetapi dia sering terlupa akan ajaran tersebut terutama apabila dalam keadaan tergesa-gesa.
“Bismillah itu banyak fadhilatnya adik. Sesuatu perbuatan yang baik itu kalau tak dimulakan dengan bismillah, amalan tersebut tak dapat rahmat daripada Allah. Tambah pula masa nak makan ni. Kalau makan tak baca bismillah, makan la adik dengan syaitan. Makan banyak pun tak kenyang-kenyang.” Lunak suara Puan Zahra memberi nasihat ke telinga anaknya. Nasihat yang telah diulang berkali-kali agar lekat dalam hati Diya.
Diya tunduk mendengar nasihat ibunya itu. Terasa bersalah kerana sering mengabaikan ajaran tersebut.
“Yang adik tertunduk macam pesalah mahkamah kenapa? Cepat makan tu.” Baru tadi suara Puan Zahra selunak suara Ustazah Siti Nor Bahyah, kini nada Puan Zahra bertukar lantang setanding kelantangan suara Nyonya Mansor. Kenal Nyonya Mansor? Ala, ibunya Sabariah isteri si Kasim Selamat yang buta cucuk mata dengan garfu itu. Sememangnya Puan Zahra miliki vokal yang power. Muda-muda dulu ada la juga buat sumbangan suara dalam kenduri kahwin keliling kampung.
“Berangan pula budak ni. Makan cepat sayang,” tegur Puan Zahra bernada lembut. Anak bongsu yang seorang ini kuat berangan betul.
Diya cepat mengangguk kepala. Sejak tadi, karipap kedua belum masuk ke mulut setelah kenyang dengan tazkirah ibunya. Sesudah reda bebelan ibunya, sebiji karipap disambar lalu hendak disumbat ke dalam mulut.
“Bismillah dah baca belum?” pintas Puan Zahra sebelum sempat karipap tersebut digigit Diya. Pergerakan tangan terhenti. Diya tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun.
“Bismillah…” Ngap! Kuih karipap dikunyah Diya dengan rasa nikmat. Puan Zahra menggeleng-geleng kepala manakala Encik Azhar ketawa kecil melihat teletah anak dara bongsu mereka itu.
“Sedap betul karipap ibu ni. Kalau Along dengan Kak Ngah tahu ibu buat karipap hari ni, mesti mereka cemburu pada adik,” seloroh Diya dengan mulut penuh disumbat karipap inti kari hasil air tangan ibunya.
“Ish! Mulut penuh jangan bercakap,” tegur Puan Zahra tetapi kali ini dengan senyuman. Tahu benar akan kesukaan anak-anaknya pada karipap buatannya. Hati Puan Zahra berbunga-bunga setiap kali anak-anaknya makan karipap buatannya dengan riang dan berselera.
“Hemmm… nanti adik tak merasa la makan karipap ibu hari-hari bila dah masuk universiti nanti. Tak best la,” Diya seakan merengek.
Puan Zahra mengusap rambut anak manjanya. Encik Azhar pula melebar senyumnya.
“Adik yang beria-ia sangat nak duduk asrama. Ayah suruh belajar dekat-dekat, adik tak nak,” suara Encik Azhar.
“Adik kan nak hidup berdikari, berdiri atas kaki sendiri. Kalau tak dapat berjauhan dengan karipap ibu, macam mana nak berdikari.” Puan Zahra seakan memujuk.
 Diya mengangguk lemah. Karipap kegemarannya bakal dirindui kelak.
“Huh! Adik ni lebih sayang karipap ni daripada ibu dan ayah. Nak berjauhan dengan ibu dan ayah tahan, nak tinggalkan karipap ibu tak tahan pula. Untung la karipap ni,” seloroh Encik Azhar sambil membelek-belek sebiji karipap di tangan. Karipap itu kemudian masuk dalam mulut. Ngap! Sedap, memang yang terbaik.
Diya ketawa kecil. Begitu juga Puan Zahra. Diya paut lengan ibunya dengan manja lalu dilentokkan kepala pada bahu wanita itu. Nak bermanja la ni.
 “Adik suka karipap ni sebab ibu buat sedap. Kalau karipap ni tak sedap pun, adik tetap sayang ibu,” ujar Diya manja.
“Adik duduk jauh nanti jaga diri elok-elok. Ingat yang adik tu pergi mana-mana pun, adik bawa nama keluarga. Bawa maruah keluarga selain maruah sendiri. Adik juga memikul maruah agama,” pesan Encik Azhar mengingatkan anak bongsunya.
Diya mengangguk akur. Dalam hatinya penuh azam dan tekad untuk berpegang pada pesanan ikhlas ayahnya itu.
“Adik juga kena selalu beringat dalam berkawan. Kawan ketawa senang dicari tapi kawan menangis tu satu dalam seribu pun belum tentu ada. Hubungan dalam berkawan ada batasannya. Terutama kawan yang bukan mahram. Jaga pergaulan dengan kawan-kawan lelaki. Jangan sampai tergadai maruah diri,” Puan Zahra pula memberi nasihat berharganya. Bimbang juga untuk melepaskan anaknya yang masih hijau ini menempuh dunia baru.
Yes bos!” Diya memberi tabit dengan senyum manis.
“Lagi satu, adik kena ingat pesan ayah ni. Belajar tu niat kena ikhlas untuk menuntut ilmu kerana Allah. Tak kisah ilmu apa-apa pun asal bermanfaat biarlah ikhlas kerana Allah.” Encik Azhar masih belum lokek dengan nasihat.
“Betul tu adik. Adik kena niat tuntut ilmu kerana Allah. Bukan semata-mata hendak berjaya di dunia saja. Niatkan ilmu itu adik belajar untuk berbakti kepada agama. Jadikan belajar itu sebagai satu ibadah.” Panjang lebar Puan Zahra mengisi dada anaknya dengan bekalan nasihat.
Diya mengangguk faham. Hati terasa lapang mendengar nasihat-nasihat daripada ayah dan ibunya. Nasihat ayah dan ibu akan Diya jadikan bekalan berharga dalam diri. Diya tahu, nasihat itu juga yang selalu ayah dan ibu pesan pada Along dan Kak Ngah. Pesanan yang cukup berharga daripada ibu dan ayah buat Diya, Along dan Kak Ngah.
Betapa Diya rindukan celoteh si ibu, rindu untuk bermanja dengan si ayah juga bergurau senda dengan Along dan Kak Ngah. Dapatkah masa lalu itu berulang kembali. Layakkah dia untuk menikmati kebahagian yang telah diragut itu? Kini Diya kesal kerana merasakan diri gagal untuk menjadi anak yang baik. Ya, mungkin dia belum cukup baik sehingga gagal menanam kepercayaan ahli keluarga terhadap dirinya. Lantaran itu, dia menjadi buangan keluarga.
Ya Allah, dapatkah aku pulang ke pangkuan keluarga? Sudah surutkah kemarahan Along? Masihkah ada tempat untuk diri ini dalam keluargaku? Diya katup rapat kelopak mata. Otak membayangkan peristiwa pada hari terakhir dirinya bersama-sama ahli keluarga yang amat dirindu. Satu-persatu wajah insan tercinta menjelma dalam minda. Secara spontan Diya gigit bibir tatkala kenangan suara halilintar Along berdesing di telinga.
Belum sempat Diya jauh dibawa ingatan masa lalu, Encik Khalid menghampiri dengan senyuman mesra lantas mengusir kenangan pahit itu pergi. Derap tapak kasut lelaki itu yang menyedarkan Diya.
Nampaknya pagi ini bos Diya tidak datang seorang diri. Ada seorang lelaki bersamanya. Encik Khalid terus masuk dalam pejabatnya diekori lelaki itu setelah Diya menyambut kedatangan bosnya dengan ucap selamat. Sebelum lelaki itu membontoti Encik Khalid menghilang dalam pejabatnya, sempat dia menghadiahkan Diya satu senyuman menggoda.
Glup! Diya telan air liur.  Gila mamat ni!
“Diya, masuk bilik saya sekarang,” arah Encik Khalid setelah agak lama duduk berdua dengan lelaki itu dalam biliknya.
Diya segera muncul bersama nota ditangan. Bersedia mencatat sebarang tugas dan arahan.
“Diya, ini kawan saya Razif. Razif, ini setiausaha saya Adelia Dayana.”
 Mereka saling berbalas senyuman perkenalan. Diya sedar renungan mata Razif begitu meliar melihat dirinya atas bawah. Naik geram Diya dengan renungan liar begitu.
“Razif akan ganti posisi saya buat sementara kerana saya mengambil cuti selama setengah tahun. Razif sebenarnya bakal pengurus cawangan syarikat baru di Johor. Jadi saya harap awak dapat bantu dia sebagaimana awak bantu saya,” maklum Encik Khalid.
Diya mengangguk akur. Sekilas Diya menjeling Razif yang sejak tadi merenungnya dengan pandangan tajam.
 ‘Lelaki buaya darat!’ itulah tanggapan awal Diya terhadap lelaki itu.
“Berbangga dapat bekerja dengan gadis secantik awak Adelia Dayana.” Dengan senyuman manis seakan ingin menggoda, Razif mengucapkan kata-kata pujian. Bertuah la dapat setiausaha peribadi secantik ini. Tak sia-sia aku terima tawaran ganti si Khalid ni.
Diya membalas dengan senyuman nipis. Sekadar berbasa-basi melayan lelaki yang dalam diam tidak disenangi kehadirannya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu Encik Khalid.” Diya ingin segera beredar. Tidak betah lagi berdepan dengan Razif yang liar memandang Diya atas bawah.
“Kau tak cakap yang kau ada pembantu secantik bidadari. Pandai kau sorok dari aku,” seloroh Razif sebaik saja Diya menghilang dari bilik pejabat itu.
Kata-kata Razif disambut Encik Khalid dengan ketawa besar. Faham benar dengan sikap mata keranjang dan buaya darat kawannya ini. Sejak dulu hingga kini tidak pernah berubah malah semakin ligat lagi. Berbakul nasihat pun sudah tidak luak.
“Dengan Diya, kau jangan nak menggatal. Dia tu perempuan baik,” kata-kata Encik Khalid bersahaja tetapi ada ketegasan dalam nadanya.
Razif mencebik bibir. Kata-kata Encik Khalid tidak terkesan dalam hatinya. Perempuan baik! Mahu saja Razif ketawa berguling-guling. Belum pernah dia bertemu dengan ‘perempuan baik’ dalam hidupnya. Selama ini, setiap perempuan yang dipancingnya pasti tersangkut. Paras rupa yang boleh dianggap kacak dengan poket yang berkepuk dengan wang melengkapkan dirinya sebagai lelaki pemain cinta.
“Yang baik tu luaran saja. Manusia sekarang ni semua plastik. Kebaikan tu sekadar topeng. Kau tengok la lepas lima bulan nanti. Perempuan baik kau tu akan tunduk pada aku,” penuh bongkak Razif berbicara. Hatinya sudah dibisikkan nafsu jahat.
Encik Khalid menggeleng kepala dengan kerenah kawannya ini. Razif sudah dikenalinya sejak zaman sekolah menengah lagi. Jika bukan kerana persahabatan yang begitu lama, pasti Razif tidak dia tawarkan dengan jawatan sebagai pengurus di cawangan Johor. Razif sangat berbakat dan berkaliber dalam tugasnya tetapi sikap kaki perempuan lelaki itu amat tidak disenanginya.
“Sudah la Razif. Hal peribadi kau aku tak nak masuk campur. Tapi kau kena ingat, aku pilih kau ganti tempat aku untuk bekerja. Bukan rosakkan pekerja-pekerja aku. Kau jangan buat hal yang akan susahkan aku,” kali ini Encik Khalid lebih tegas dengan amarannya.
Razif senyum sinis. Dia tidak peduli pada amaran Encik Khalid itu. Adelia Dayana! Nama itu tersemat dalam fikiran Razif. Senyuman jahat semakin lebar di bibir Razif.
“Razif tak pernah kalah!” bisik hati Razif penuh bangga.

ISTERI AKU KALIS CINTA 1


Isteri Aku Kalis Cinta (IAKC) adalah penghargaan kepada semua yang menyokong penulisan Mawar Kamila selama ini. Ia mungkin bukan naskah yang sempurna, namun ia adalah tanda sokongan anda yang menjadi nadi kepada penulisan Mawar Kamila. TQ ^_^"

Adelia Dayana
Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 1
Mata memandang langit bagaikan tembus terus ke angkasa. Sesungguhnya hati wanita itu tak pernah henti bertanya. Kenapa dia yang harus diuji begini? Apakah dosanya sehingga dipalit kehinaan sebegini rupa? Di manakah silapnya sehingga sebesar ini kifarat dosa yang harus dibayar? Adakah kerana diri ini terlalu hina pada pandangan Tuhan? Air mata mengalir lagi. Peneman setia yang tidak pernah meninggalkannya lama.
Hampir seluruh kehidupan dihabiskan dengan termangu sendirian di sisi jendela. Diya sudah kematian nafsu untuk menikmati kehidupan di luar sana. Saban hari, jasadnya termangu menanti jawapan kepada soalan yang tiada terungkai. Soalan yang terus-terusan mengasak ruang fikiran dan menjadi punca kepada kesengsaraan diri. Mengapa dan kenapa? Mengapa musibah seberat ini menghempap dirinya? Kenapa harus dia?
Nur dan Maira yang menjenguk dari balik daun pintu turut dihambat kepiluan. Begitulah keadaan Diya sejak pertemuan semula beberapa hari yang lalu. Mereka tidak pernah lelah memujuk dengan kata-kata nasihat. Namun bagaimana untuk menenangkan hati yang dirusuh lara sedang mereka tahu gelojaknya tiada bisa ditanggung oleh sesiapa saja yang bernama wanita. Hambatan perasaan yang dialami Diya terlalu menyiksa. Mereka juga barangkali dalam situasi begitu dan mungkin lebih parah andai mengalami nasib yang sama.
Perlahan-lahan dua sahabat itu merapati Diya. Mereka tidak mahu beralah untuk terus menghidupkan semula semangat Diya yang telah mati. Malah kedua-duanya merasa wajib untuk membantu atas dasar kasih sayang dan persaudaraan Islam yang telah mengikat hati mereka.
“Diya, Allah menguji sesuai dengan keupayaan hamba Nya. Aku yakin kau kuat,” pujuk Nur seraya meraih jemari kanan Diya dalam genggaman.
Pandangan Diya beralih menatap seraut wajah Nur yang limpah dengan simpati. Redup sekali renungan mata Diya yang tiada bercahaya. Gelap oleh hati yang berbalut luka.
“Kenapa mesti aku?” soalan yang telah acap kali diulang itu dilontar sekali lagi.
Nur tarik nafas dalam sebelum dihela lembut. Dia sudah menyediakan jawapan untuk persoalan itu setelah gagal sebelum ini. Nur dan Maira berusaha menemui seorang ustazah yang banyak melibatkan diri dalam bidang kaunseling wanita. Segala nasihat dan pandangan yang diperolehi daripada ustazah tersebut bakal diperdengarkan pada Diya memandangkan wanita itu degil untuk keluar dari kepompong dunia gelapnya.
“Sebab kau boleh tempuhinya. Kau kuat Diya,” ujar Nur.
Diya tersenyum sinis. Mudah saja manusia berkata-kata.
“Heh, letak diri kau di tempat aku dan beri tahu aku yang kau kuat untuk tempuhi kehinaan yang aku rasa,” bicara mendatar Diya itu kedengaran cukup sinis.
“Astaghfirullahalazim, Tuhan tak menzalimi hamba Nya dengan ujian yang diberikan. Allah akan mengangkat martabat keimanan seandainya kita bersabar,” balas Nur lagi.
“Kau rasa aku boleh sabar?” Ada getar dalam nada suara Diya yang mulai meninggi. Emosi Diya terusik apabila Nur berbicara perihal kesabaran. Pada Diya, sesiapa saja bisa menyebut tentang sabar sedangkan sakit dan perit itu hanya dia yang rasa.
Nur terkesima lantas Maira tampil untuk menenangkan emosi Diya. Tangan Maira menguak kain jendela lalu pandangan mata dilemparkan ke arah langit biru yang berawan putih. Diya sekadar diam menggumam emosi yang terusik.
“Allah tak menjanjikan langit yang sentiasa biru…” Maira mengukir senyuman seraya beralih pada raut wajah Diya yang sugul.
“Allah juga tak janjikan jalan tanpa batu, matahari tanpa hujan, kebahagiaan tanpa kesedihan juga kejayaan tanpa perjuangan,” sambung Maira lagi.
Raut wajah Diya masih sama. Tetap keruh bergaris duka.
“Betul tu. Tapi Diya, Allah telah menjanjikan kemudahan bersama kesulitan, rahmatNya dalam setiap ujian, ganjaran atas kesabaran dan keteguhan dalam perjuangan,” celah Nur pula.
Diya gigit bibir. Mutiara jernih bertakung lagi. Tuhan, ujian ini terlalu berat. Desis hati Diya.
“Ramai yang mengaku beriman kerana mendapat ujian kesenangan sebaliknya berpaling dari jalan Allah apabila diuji dengan musibah. Kau nak jadi manusia yang begitu? Kau nak salahkan Tuhan?” Kali ini bicara Nur membuatkan Diya rasa ditempelak.
Diya terkesima. Adakah dirinya sedang menyalahkan Tuhan? Argh! Secara lisannya dia tidak mengungkap begitu sebaliknya cara dia mendepani ujian Tuhan telah menzahirkan yang dirinya tidak pernah reda. Diya sebak.
“Diya, ada satu hadis riwayat Al-Hakim yang berbunyi, sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan suatu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi kesusahan dan bencana tersebut. Itu janji Allah, Diya. Dan Allah tak memungkiri janji Nya,” kata-kata Maira disambut anggukan Nur.
Teresak-esak Diya melagukan tangis. Menyedari betapa kerdilnya diri ini untuk mempertikai aturan Tuhan. Menginsafi lemahnya diri untuk membaca hikmah di sebalik ujian Allah S.W.T.
“Apa yang harus aku buat Nur, Maira?” suara Diya kedengaran sayu. Dia sudah mulai berlembut hati untuk menelan nasihat Nur dan Maira.
“Bangkit semula! Kau harus kuat melawan bisikan syaitan yang cuba memesongkan orang mukmin dari landasan kesabaran dan reda pada ujian Tuhan,” ujar Nur penuh semangat.
Diya geleng lemah. “Aku tak kuat Nur, Maira…”
“Kita sama-sama memohon kekuatan dari Allah. Yakin la Diya, dunia belum kiamat lagi. Kau harus bangkit semula. Aku ada, Maira ada. Malah kau ada Allah bersama kau andai kau bersabar. Kita semua harus bersabar, ” bisik Nur seraya meraih Diya dalam pelukan. Diusap lembut belakang Diya bagaikan menyalurkan kekuatan semangat pada sahabatnya itu.
Air mata Diya kian laju membasah pipi. Andai Allah tidak mengutuskan Nur dan Maira dalam hidupnya, pasti dia sudah lama menamatkan sebuah kehidupan. Sejak dia mulai hilang arah, dua insan mulia itu hadir bagaikan cahaya menyuluh jalan yang gelap.
Hampir lima belas minit, Diya melepaskan segala beban dukanya dengan menangis di bahu Nur. Setelah hatinya mulai tenang, barulah esak tangis itu reda.
“Kau mulakan hidup baru. Aku yakin kau boleh,” suara Maira sambil mengesat air mata di pipi Diya.
Diya tatap wajah Maira dengan bibir bergerak perlahan-lahan mengukir senyuman.  
“Aku ada seorang kawan. Dia kata, di tempat kerjanya ada kekosongan jawatan setiausaha. Kebetulan pula setiausaha bos dia berhenti mengejut sebab masalah kesihatan. Kau boleh cuba mohon jawatan tu. Mana tahu kalau tu rezeki kau,” beritahu Maira dengan harapan agar Diya bersetuju.
Setelah agak lama terdiam, Diya akhirnya mengangguk perlahan. Nur dan Maira tersenyum kelegaan. Gembira kerana Diya akhirnya menerima nasihat mereka. Mereka tahu, Diya perlu diberi sokongan agar hati gadis itu kembali kuat. Mereka hadir untuk menghembuskan semangat bagi Diya meneruskan perjuangan untuk hidup. Menapak melihat dunia luar adalah langkah pertama. Kali ini, Diya tidak hanya akan melihat langit biru dari balik jendela saja.


Masa terasa begitu pantas berlalu. Seakan baru semalam Diya meninggalkan sejarah paling pahit dalam hidupnya. Kini Diya bangkit tanpa berpaling lagi. Diya mahu berlari jauh. Jauh tanpa berkalih memandang jejak hitam yang merobek luka yang maha dalam.  
Malam hujung minggu, Diya dan Nur keluar makan sambil membeli keperluan dapur. Penat pusing-pusing beli barang, kedua-duanya singgah mengisi perut di restoran kegemaran mereka. Sebaik saja hidangan nasi goreng paprik bersama jus mangga terhidang di atas meja, bibir Diya menguntum senyuman. Aroma nasi goreng paprik sudah merangsang selera membuatkan kumpulan keroncong dalam perut semakin rancak berirama.
“Baca bismillah dulu Cik Adelia Dayana oi!” pintas Nur sebelum sempat Diya menyentuh sudu dan garfu.
Diya tersengih dengan teguran Nur itu. Alahai, otak ni lupa saja kalau dah tengok nasi goreng paprik kegemaran depan mata. Tu belum karipap yang ibu selalu buat. Pantang angkat dari kuali, pasti laju saja masuk dalam mulut.
Ibu… hati Diya dijentik sayu. Rindu menyapa lagi. Andai saja dia punya kekuatan untuk pulang ke kampung demi bertemu si ibu yang amat dirindui.
Diya, kau tak ingat apa yang terjadi pada kali terakhir kau pijakkan kaki ke kampung dulu? Masih bermimpi untuk balik lagi? Diya gigit bibir. Argh! Suatu hari nanti, aku pasti balik juga. Hati Diya membisikkan tekad.
Kemudian bayangan wajah Along yang bengis menjelma. Diya telan air liur. Hampir saja dia tersedak. Hati yang menggunung tekad sebentar tadi menjadi kecut. Beranikah dia untuk berdepan lagi dengan Along? Cemuhan dan herdikan Along masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Masih terasa pijar tapak tangan Along yang naik ke pipinya. Tiada dendam melainkan kekecewaan pada sikap si abang yang menimbunkan segala kesalahan pada dirinya. Mengapa dirinya langsung tak dibuka ruang untuk menegakkan kebenaran?
“Macam mana dengan kerja baru kau? Ok?” soal Nur seterusnya mencantas lamunan Diya.
Diya tersenyum kelat seterusnya mengangguk perlahan.
“Bagus la.” Nur turut tersenyum walau dapat dibaca redup pada raut wajah Diya. Nur menduga yang Diya terkenangkan keluarganya. Menjadi anak yang dibuang keluarga sendiri menjadikan Diya si perindu yang tiada upaya memiliki penawar pada sakit rindunya.
Tidak mahu rasa hatinya terus ditelaah Nur, Diya segera menyudahkan baki nasi goreng dalam pinggan dan mengajak Nur pulang.
“Dah lewat ni. Jom balik,” Diya bersuara sambil menolak kerusi sedikit kebelakang untuk berdiri.
Ketika hendak bangun berdiri, secara tidak sengaja Diya berlanggar dengan seorang pelayan yang melintasi belakangnya.
“Ya Allah!” kalimah suci itu terpacul keluar dari mulut Diya dan Nur secara serentak.
Oh my God!” sejurus kemudian ada suara lain yang turut bertempik.
Rupa-rupanya pelanggaran antara Diya dengan pelayan restoran itu telah menyebabkan minuman yang dibawa pelayan itu tertumpah dan mengenai baju seorang pelanggan wanita yang kebetulan baru hendak mengambil tempat di meja berdekatan.
Dengan perasaan serba salah bercampur ketakutan, pelayan wanita dalam lingkungan pertengahan 20an itu berulang kali memohon maaf pada pelanggan wanita tersebut. Diya turut merasa bersalah apabila dilihat baju blaus biru muda dipakai pelanggan itu sudah dikotori tumpahan air lemon ais.
“Saya minta maaf cik. Saya betul-betul tak sengaja” berkali-kali pelayan itu mengulang ayat yang sama.
Pelanggan wanita itu merengus dengan wajah merah tanda amarah sedang membakar hati. Jemarinya sibuk mengesat kotoran pada baju dengan tangan. Diya dan Nur terus menjadi pemerhati teletah pelayan dan pelanggan wanita itu dengan wajah serba salah. Pelayan yang diselubungi rasa bersalah itu kemudian cuba untuk membantu mengesat baju wanita itu menggunakan sapu tangan.
“Pang!” satu tamparan tangan kanan hinggap ke pipi pelayan muda itu. Masa seakan terhenti. Sesiapa sahaja yang berada dalam restoran dan menyaksikan adegan tersebut bagaikan terpana. Kerdipan mata juga membeku seketika.
“Cik, dia kan dah minta maaf. Tak sepatutnya cik tampar dia. Lagipun, dia betul-betul tak sengaja tumpahkan air pada baju cik tu,” Diya bersuara menegur tindakan wanita tersebut setelah tidak mampu menahan diri melihat perlakuan wanita tersebut yang pada Diya cukup melampau.
Pelanggan wanita itu berkalih memandang Diya dengan wajah membengis. Matanya membulat dengan api kemarahan.
“Aku tampar dia bukan sebab kotorkan baju aku. Tapi sebab dia kurang ajar! Berani nak sentuh baju aku dengan tangan kotor dia tu. Dasar pelayan!” lancang sekali mulut wanita itu mengherdik dan menghina. Dengan penuh kesombongan segaris senyuman sinis diukir bibir yang merah.
Diya cuba menyabarkan diri. Malah Diya tahu dari renungan Nur padanya, teman serumahnya itu berharap agar Diya lebih bersabar dan tidak mencurah minyak di atas bara api. Kelak wanita di depan Diya ini terbakar, habis diri mereka turut rentung bersama.
“Hariz… tengok ni, baju I dah kotor,” rengek wanita itu sebaik saja dia dihampiri seorang lelaki.
Automatik Diya dan Nur berkalih memandang lelaki yang mulai mengambil tempat di sisi wanita tersebut. Lelaki itu kelihatan segak bergaya walau hanya berbaju putih polo dengan seluar jeans. Terpana seketika Diya dan Nur melihat seraut wajah tampan di hadapan mereka itu. Subhanallah… betapa Allah S.W.T itu Maha Mencipta setiap keindahan di atas muka bumi ini.
I dah cakap dengan you, tak payah makan dekat restoran macam ni. You degil!” nada rengetan wanita itu yang kuat menyedarkan Diya dan Nur agar kembali berpijak di bumi yang nyata.
Ish! Tengok pakwe orang sampai tak sedar dunia. Silap hari bulan aku pula yang kena penampar dengan mak singa depan ni. Nur bermonolog dalam hati.
“Saya minta maaf. Saya harap hal kecil ni tak perlu diperbesarkan,” luah Diya apabila rasa meluat dalam hati tidak terbendung lagi melihat teletah mengada-ngada wanita tersebut.
Kenapa la yang tertumpah tu air lemon ais? Kalau la teh panas ke kopi panas kow-kow kan lagi bagus. Biar padan muka minah sombong ni. Hati Diya terus mengutuk.
Hal kecil kau kata! Baju aku dah kotor. Macam mana nak makan kalau baju kotor? Semua angkara diri kau yang bodoh ni!” wanita itu menunding jari ke arah muka Diya.
Lelaki yang berdiri di sisi wanita bermulut celupar itu hanya berdiam diri. Matanya tajam menikam wajah Diya yang sudah merona merah menahan kesabaran yang kian terhakis.
“Kalau dah bodoh tu, memang menyusahkan orang!” sisa kesabaran di hati Diya lenyap mendengar kelancangan mulut wanita itu yang melampaui batas.
Ni tak boleh jadi. Dah melampau kata aku bodoh! Sekali boleh la aku sabar. Silap besar la kau cakap aku bodoh untuk kali kedua. Kalau aku biarkan memang aku bodoh tiga kali! Getus Diya dalam hati.
Sejurus itu, ringan saja tangan Diya mencapai gelas minuman di atas meja lalu mencurahkan baki jus mangga dalam gelas tersebut pada baju wanita itu. Mata wanita sombong itu terbuntang dengan mulut melopong. Nur pula menekup mulutnya dek terkejut dengan tindakan spontan Diya.
“Yang tadi tu tak sengaja. Yang ini saya sengaja. Sekarang baru perbuatan yang ‘bodoh’!” sengaja Diya menekankan perkataan bodoh untuk menambah sakit di hati wanita itu. Tercengang wanita di hadapan Diya ini dengan mulut yang masih melopong luas. Tidak menduga tindakan cerdik Diya itu.
Tanpa berlengah, Diya kemudian menarik tangan Nur agar berlalu dari situ. Keluar dari restoran itu, mereka berdua ketawa tak henti-henti. Lelaki di sisi wanita itu pula ketawa geli hati apabila Diya dan Nur sudah berlalu pergi.
“Hariz! Kenapa you ketawa?” jerit wanita itu pada lelaki yang dipanggil Hariz itu.
“Dah lucu, mesti I ketawa. Kalau I menangis, maknanya I gila.” jawab Hariz dengan ketawa yang masih bersisa.
You ni kan….”
“Maaf puan. Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya.” Pengurus restoran kini muncul entah dari mana. Kehadiran pengurus lelaki itu tidak dihiraukan. Wanita itu merengus dan melangkah keluar dari restoran dengan sumpah seranah dalam hati.
Hariz menepuk bahu pengurus restoran itu dan meminta maaf atas kekecohan yang berlaku. Kemudian dia beredar keluar dari restoran itu dengan senyuman mekar di bibir.


“Berani mati kau curah jus mangga pada minah bongkak tu.” Dengan ketawa masih bersisa, Nur memuji tindakan temannya itu.
“Aku pun tak sangka aku buat macam tu. Dengar je dia cakap aku bodoh untuk kali kedua, aku tak boleh sabar dah. Tercabar kesabaran aku yang terbatas ini,” jawab Diya sambil memboloskan diri dalam kereta.
“Padan muka dia. Tahu melopong mulut tu bila kena simbah air,” ujar Nur dengan ketawa meleret-leret.
“Dah… dah… tak baik mengata lebih-lebih. Salah aku juga accident tu berlaku. Jangan cakap lagi, urat ketawa aku dah senak dah,” kata-kata Diya disambut Nur dengan ketawa mengekek.
*************