ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Monday, July 23, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 8




Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 8
Pulang dari solat berjemaah di masjid berhampiran kawasan perumahan kediamannya, Zahil kembali termenung panjang atas sofa di ruang tamu. Sukar untuk Zahil membuat konklusi tentang perhubungan Diya dengan Zakuan.
Zahil menghela nafas lemah. Walau apa jua tanggapan dan andaian yang dibuat akalnya, Zahil tidak dapat menipu diri sendiri. Dia tidak boleh membohongi perasaannya. Dia manusia biasa yang punyai keinginan untuk memiliki insan yang dicintai.
Ya! Zahil menyukai Diya. Menyukai yang seerti dengan wujudnya naluri mencintai wanita itu. Sebab itu, bukan sesuatu yang mudah untuk dia menerima hakikat seandainya antara Zakuan dan Diya adanya hubungan istimewa.
Tengah sedap-sedap layan perasaan dan bermain emosi, telefon bimbit atas meja di sisi katil menyanyi-nyanyi. Siapa pula yang menelefon waktu begini? Zahil menekan butang menjawab panggilan.
“Zahil!” dah tak ada ucapan salam lagi. Terus nama Zahil diterjah.
“Kenapa ni Mak Jah? Ada apa-apa yang tak kena ke? Kenapa gelabah semacam je ni?”
“Mak Jah tak tau nak cakap macam mana. Senang cerita, Zahil balik rumah mama sekarang,” gopoh sekali nada suara Mak Jah.
“Sekarang?”
“Ye… sekarang! Zahil datang sekarang, cepat! Mama kamu dah naik hantu,” gesa Mak Jah lagi.
“Tapi Mak Jah, apa dah berlaku?”
“Ish! Kamu ni Zahil, datang cepat. Adik kamu buat hal lagi. Mama kamu dah mengamuk sakan.”
“Ye la Mak Jah, saya datang. Assalamualaikum.” Zahil putuskan talian. Telefon dimasukkan dalam kocek seluar.
Lelaki itu tarik nafas panjang dan menghela nafas lembut. Mukanya diraup dengan kedua-dua tapak tangan. Seakan sudah dapat dibaca situasi yang berlaku di banglo mewah keluarga Datuk Laila. Walau apa jua jangkaannya, Zahil harus bergegas ke banglo mewah itu.
Baru setapak Zahil melangkah untuk menukar pakaian di kamar tidur, telefon berdering lagi. Nama Mak Jah tertera di skrin. Pantas Zahil menjawab. Belum sempat Zahil bersuara, Mah Jah memintas kata.
“Cepat la Zahil!” desak Mak Jah seolah-olah Zahil adalah super hero yang boleh menghilang diri dan muncul di mana-mana saja dalam sekelip mata.
“Ye, Zahil on the way la ni.” Seraya itu juga kaki Zahil bertukar haluan. Tidak jadi untuk menukar baju melayu berseluar slack dengan pakaian lain. Desakan Mak Jah membuatkan Zahil bingkas mendapatkan kereta.


 “Apa dah jadi Mak Jah?” soal Zahil sebaik saja menghampiri Mak Jah yang resah menanti kedatangannya di muka pintu. Mak Jah punya pasal, Zahil sempat menyarung selipar saja untuk datang ke sini.
Orang tua ni bukan boleh berkira sangat. Kadang-kadang tu over acting sikit. Hal kecik pun dah gelabah macam isu tergempar. Gabrah sangat.
“Adik kamu tu, si Zakuan. Buat hal lagi. Mama kamu tengah mengamuk tu,” beritahu Mak Jah untuk kesekian kali. Sempat dibelek penampilan Zahil. Baru balik masjid ke? Sejuk sedikit hati yang berkocak kebimbangan perihal Zakuan.
“Mak Jah!” kini bergema pula suara Datuk Laila memanggil pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.
Mak Jah tersentak. “Hah! Tu mama kamu dah panggil. Jom cepat.”
Zahil bersaing dengan Mak Jah menuju ruang tamu. Dilihatnya Datuk Laila sedang duduk di atas sofa dengan wajah tegang.
“Assalamualaikum mama…” sapa Zahil penuh hormat.
Mata Datuk Laila menikam seraut wajah tenang Zahil dengan renungan tajam.
“Mak Jah, dah berapa kali aku nak cakap? Beritahu budak ni… fahamkan budak ni! Ingatkan dia! Panggil aku Datuk Laila! Bukan mama!” tegas Datuk Laila pada Mak Jah.
“Laila… Zahil ni pun anak kau juga,” Mak Jah tidak senang dengan kata-kata majikannya itu.
Datuk Laila merengus geram. “Kau tahukan, anak aku hanya tiga orang! Seorang lelaki, dua orang perempuan!”
Zahil mengukir senyum tawar. Memahami keengganan Datuk Laila menerima status dirinya sebagai anak. “Mama, Zahil…”
“Anak-anak aku hanya Kamelia Zara! Zakuan Helmi!” Datuk Laila mencerlun tajam ke arah Zahil. “ Dan Karisya Zarina!” tegas sekali nada bicaranya.
“Hanya mereka bertiga layak memanggil aku mama dan selain dari mereka bertiga, aku haramkan! Faham!” tegas dan keras bicara Datuk Laila itu. Terus menusuk pendengaran Zahil dan Mak Jah.
Zahil tunduk memandang lantai. Pedih sekali mendengar kata-kata Datuk Laila walaupun itu bukan kali pertama dia mendengar bicara sebegitu. Namun setiap kali mendengar ayat seperti itu, setiap kali itu juga hati rasa terluka. Apakan daya dia andai kasih seorang ibu yang ditagih tiada sudi dicurahkan wanita itu.
“Sudah! Aku nak kau pergi cari Zakuan, bawa dia balik sekarang!” arah Datuk Laila.
Zahil angguk tanda akur dengan arahan Datuk Laila itu.
“Hah! Cepat la pergi cari. Kau tercegat apa lagi dekat sini?” suara tengkingan itu bergema di segenap ruang tamu.
“Ba… baik la mama,” ujar Zahil seraya angkat kaki meninggalkan ruang tamu kediaman mewah Datuk Laila.
Membulat mata Datuk Laila mencerlun tajam setiap langkah Zahil. Bahang panas telinga mendengar perkataan ‘mama’ yang digunakan Zahil begitu hangat sehingga membakar hati. Kedegilan Zahil untuk tetap menggelar dirinya mama amat dibenci.
Sebaik saja Zahil hilang dari penglihatan, Datuk Laila menghempaskan tubuh atas sofa mewah buatan Itali. Bibirnya diketap menampung amarah dalam diri. Dia turut marahkan Zakuan, si anak kesayangan yang telah membuat onar sehingga mencemar reputasi syarikat keluarga mereka.
“Laila, tak elok kau cakap pada Zahil macam tu. Kesian budak tu.” Mak Jah menghampiri Datuk Laila untuk memberi nasihat.
Datuk Laila berkalih menentang pandangan Mak Jah. Tegas sekali raut wajahnya tanda nasihat Mak Jah tidak lut di hatinya. Namun begitu, tiada sepatah bicara terlafaz dibibir. Hanya rengusan kasar kedengaran. Jika orang lain yang berkata begitu padanya, pasti sudah dibalas dengan tengkingan. Datuk Laila sudah menganggap Mak Jah yang tua dua tahun daripadanya itu seperti keluarga sendiri. Sudah cukup lama pembantu rumah itu mengisi kesunyian dalam rumah mewah itu dan menemani hari-hari sepinya.
“Budak tu hanya nak tumpang kasih sayang kau saja. Kalau kau berdendam pada arwah Zamani pun, tak baik kau lepaskan pada Zahil. Dia tak bersalah Laila.”
“Aku penat Jah. Kalau Zakuan dah balik nanti, kau panggil aku dalam bilik.” Datuk Laila mula angkat punggung. Kata-kata nasihat untuknya tidak diendahkan.
Mak Jah diam menghantar langkah Datuk Laila dengan gelengan kepala. “Laila… Laila… Sampai bila kau nak hidup dengan dendam kau pada arwah? Kau kaliskan hati kau dari menerima limpahan kasih sayang seorang anak sebaik Zahil. Kau nyalakan kebencian sehingga kau lupa orang yang kau benci itu, dahulunya pernah menjadi anak kecil yang kau tatang bagai minyak yang penuh.”
Mak Jah melepaskan keluhan lemah. Simpatinya terlimpah terhadap Zahil. Anak muda itu cukup sabar melayan kerenah ahli keluarga Datuk Laila yang membencinya bagai tiada penghujung.


Kaki Zahil terhenti di depan kelab malam. Dengan penampilan diri yang berbaju melayu dan berselipar, hati teragak-agak untuk masuk. Mujur kelab ini tidak mengupah bronzer mengawal dipintu masuk. Jika tidak, pasti Zahil bakal dihalang dari masuk.
Zahil beristighfar panjang sebelum melangkah masuk dalam pusat hiburan yang sesak dengan pengunjung. Meliar mata lelaki itu mencari kelibat Zakuan. Pusat hiburan ini merupakan tempat Zakuan sering melepak mencari ketenangan palsu untuk merawat penyakit hati yang kian parah.
Kehadiran Zahil menarik perhatian beberapa pasang mata. Teruja mereka melihat pengunjung baru yang tampan tetapi berpakaian ‘pelik’. Pelik untuk tempat manusia yang terkinja-kinja dengan meneguk air syaitan.
 Pencarian Zahil ternyata berhasil. Di suatu sudut, kelihatan Zakuan sedang duduk menikmati layanan dua orang gadis seksi. Zahil tidak terus menerpa ke arah mereka sebaliknya dia tercegat dari jauh, memerhatikan tingkah mereka buat seketika.
Entah apa yang dibualkan mereka sehingga berkali-kali Zakuan ketawa besar. Ternyata Zakuan sudah mabuk meneguk minuman keras. Dua gadis seksi itu terus melayan lelaki kacak yang sudah melabur wang yang lumayan untuk mendapatkan belaian mereka. Dosa pahala tiada bezanya lagi. Kepuasan membelai nafsu terasa cukup nikmat. Wang umpama raja dan keseronokan menjadi permaisurinya.
Zahil beristighfar panjang di dalam hati. Menyaksikan kehidupan maksiat yang dilalui adiknya menimbulkan rasa kesal. Kesal kerana gagal menjadi abang yang baik untuk menjadi ikutan adik-adiknya. Kesal kerana gagal melaksanakan tugas sebagai ketua keluarga menggantikan arwah ayahnya.
Beberapa ketika kemudian, Zahil menapak menghampiri Zakuan. Kehadirannya tidak diendahkan Zakuan yang tenggelam dalam belaian dua gadis di sisinya.
“Zakuan!” tegur Zahil bernada tegas.
Dua gadis di sisi Zakuan memandang lelaki kacak yang muncul tanpa diundang. Melebar senyuman menggoda di bibir mereka menjamah ketampanan wajah Zahil. Kedua-dua gadis itu kemudian ketawa kecil apabila menilik penampilan Zahil. Mat masjid mana pula datang ke sarang neraka seperti ini? Sebaliknya Zakuan merengus kasar apabila keseronokan diri berhibur dicantas.
Bro…kau datang sini buat apa hah? Nak join aku ke?” soal Zakuan.
“Aku nak bawa kau balik,” beritahu Zahil.
Zakuan ketawa besar. “Aku tak nak balik. Kau boleh blah!” balas Zakuan bernada angkuh. Tangannya melingkar kejap di pinggang dua gadis di sisinya. Gadis-gadis itu melentukkan kepala ke bahu Zakuan. Jemari mereka bermain-main di dada lelaki itu. Zahil seolah-olah dinafikan kewujudannya di situ.
“Mama nak jumpa kau,” suara Zahil lagi. Sakit hatinya melihat kemungkaran di depan matanya saat ini.
Zakuan tidak mengendahkan Zahil. Lelaki itu tersenyum sinis melihat Zahil menahan kesabaran melihatkan tingkahnya. Zakuan meneguk minuman keras dengan bangga di hadapan Zahil. Siap disuakan botol arak itu pada Zahil untuk mempelawa abangnya minum. Zahil geleng kepala dan Zakuan mengukir senyum mengejek.
“Aku tak nak paksa kau Zakuan. Mama nak kau balik sekarang. Aku diamanahkan bawa kau pulang,” kata-kata Zahil terus tidak diendahkan.
Zakuan menambah sakit hati Zahil dengan perlakuan tidak bermoralnya. Jemari Zakuan membelai leher gadis pelayan di sebelah kanannya. Lalu bibirnya dibenamkan ke bahagian leher jinjang itu dan Zakuan semakin rakus melepaskan gelojak nafsunya.
Zahil hilang sabar. Lantas dia menerkam mendapatkan Zakuan dan menarik kolar baju adiknya itu. Dua gadis tadi segera berlalu pergi dek bunga-bunga kekecohan yang timbul. Pengunjung lain yang ada dalam pusat hiburan itu langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku. Bukan perkara biasa andai berlaku kekecohan begitu dalam tempat yang mana manusianya sudah cetek fungsi akalnya. 
“Jangan buat aku berkasar dengan kau. Aku tak nak buat kecoh, jadi kau ikut aku balik,” tegas Zahil sambil meleraikan genggaman kejap pada kolar baju Zakuan. Zakuan angkat kedua-dua tangan sebagai tanda mengalah. Tidak mati senyum sinis di bibir Zakuan melihat raut amarah di wajah abangnya itu. Zahil kemudian memapah adiknya yang mabuk untuk berjalan keluar dari pusat hiburan itu.


Zakuan yang duduk di sebelah Zahil sudah terlalu mabuk. Zahil memandu dengan penuh kesabaran. Sudah la tali pinggang keledar yang dipakaikan Zahil sebelum mula memandu ditanggalkan Zakuan. Kemudian lelaki mabuk itu membuka cermin tingkap kereta dan menyuakan kepalanya ke luar kereta sambil menyanyi-nyanyi lagu Inggeris yang tidak jelas butir liriknya.
Selepas menyanyi-nyanyi, Zakuan membebel tentang seribu satu masalah yang dialaminya pula. Zahil ibarat tempat untuk Zakuan melepaskan perasaan dan berkongsi segala yang dipendamnya selama ini. Ada perkara yang difahami tak kurang juga perkara yang langsung tidak Zahil faham butir bicaranya. Zahil cukup sabar melayan kerenah adiknya itu.
“Bila la kau nak berubah Zakuan?” soalan Zahil itu sekadar keluhan kecil saja. Namun begitu, tidak disangka pula Zakuan yang mabuk boleh memahami bicara abangnya itu.
“Berubah?” Zakaun ketawa besar. Zahil kerling Zakuan di sebelah dengan dahi berkerut.
“Aku dah berubah untuk Lia. Tapi Lia tinggalkan aku,” sayu bicara Zakuan menampan pendengaran Zahil.
Zahil kerling Zakuan sekali lagi. Wajah Zakuan kelihatan sedih dan kecewa. Lia? Adelia Dayana ke? Bisik hati Zahil. Teruja sekali tatkala nama Lia disebut Zakuan. Segera Zahil teringatkan kepingan gambar Diya yang tertulis perkataan ‘LIA’ di belakangnya.
“Errr… Lia… Lia… tu, siapa?” Zahil cuba memancing perbualan berkisar Lia.
Zakuan merengus lembut. “Aku berdosa pada Lia. Aku dosa besar pada Lia. Lia mesti bencikan aku,” soalan Zahil tidak dijawab sebaliknya Zakuan berbicara seperti menyesali dosanya.
Zahil semakin diasak perasaan ingin tahu. Pelbagai perkara ingin disoal pada Zakuan tetapi keadaan lelaki itu yang mabuk agak sukar untuk komunikasi yang baik. Nanti lain yang ditanya, lain pula bunyi jawapannya. Namun Zahil yakin Lia yang dimaksudkan Zakuan adalah Adelia Dayana yang dikenalinya.
“Kenapa Lia bencikan kau? Kau dah buat apa pada Lia?” Zahil terus mengorek rahsia.
Zakuan menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Zahil menangkap tangisan lelaki itu. Terjentik hatinya dek tangisan bernada kesalan itu. Dosa apa sehingga lelaki seperti Zakuan menangis begini?
“Apa aku dah buat pada Lia?” sebaliknya Zakuan melontarkan soalan itu kembali pada Zahil.
“Kenapa Lia bencikan kau?” Zahil menyoal lagi. Mata Zahil memandang jalan di hadapan  dan Zakuan di sebelah silih berganti.
Keletah Zakuan nampak tak tentu arah. Menangis dan mengeluh kesal yang tak diketahui hujung pangkal.
“Kenapa dengan kau ni?” marah Zahil yang mula hilang sabar.
Pergerakan tubuh Zakuan terhenti. Lelaki itu berpaling memandang Zahil. Matanya merah dengan wajah keruh dibasahi air mata.
“Aku tak patut tinggalkan Lia. Macam mana kalau Lia pregnant?” lontaran suara Zakuan menyentap cuping telinga Zahil.
Breeekkk! Zahil tertekan brek. Hampir-hampir saja dia mencium stereng kereta. Terbeliak mata malah tak berkelip-kelip kelopak mata Zahil saat itu. Dadanya berombak kencang. Apa yang didengari telinganya umpama panahan petir yang menyentap jantung. Pregnant! Genggaman tangan pada stereng kereta kian kejap. Sungguh, Zahil tidak mahu percayakan telinga sendiri. Diya pregnant? Zahil dapat rasakan kedua-dua belah tangannya menggigil.
Bunyi mengerang kesakitan dari arah sebelah menyedarkan Zahil. Segera dia berpaling ke arah Zakuan. Tergamam Zahil melihat kepala Zakuan terlentok pada dashboard dengan muka berlumuran darah. Kelopak mata Zakuan kian layu sebelum tertutup rapat.
Zahil tidak mampu bersuara sepatah kata pun. Suaranya seakan hilang malah lidah seakan kelu untuk berbicara. Darah yang berlumuran di wajah Zakuan disentuh Zahil dengan jemari terketar-ketar.
“Za… Za… ku…an…” bergetar suara Zahil antara dengar dan tidak.
Bahu Zakuan digoncang perlahan namun tiada sebarang tindak balas. Zahil tekup mulut dengan jemari kanan yang berlumuran darah. Tanpa sedar, ada air mata menitis di pipi.
Ya Allah… rintih Zahil dalam hati memohon kekuatan. Zahil betulkan kedudukan tubuh Zakuan agar bersandar pada kerusi dan mengenakan tali pinggang keselamatan untuk adiknya itu. Kemudian dengan lafaz bismillah, Zahil kuatkan diri untuk terus memecut kereta menuju ke hospital berdekatan.

Tuesday, July 17, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 7


Oleh: MAWAR KAMILA

BAB 7
Ya Allah… apakah hikmah di sebalik semua ini? Kebenaran apakah yang terselindung di sebalik apa yang terjadi? Zahil menghela nafas yang terasa berat. Matanya tidak lari dari menatap kepingan gambar yang dicuri dari simpanan adik tirinya. Di belakang kepingan gambar itu tertulis perkataan dengan tiga huruf, ‘LIA’.
Keadaan dalam kereta Sonata Hyundai yang berhawa dingin itu tidak mampu memberi suasana yang selesa. Peluh merintik di dahi saat hati dilanda perang perasaan. Zahil akhirnya memasukkan kepingan gambar itu ke dalam dashboard, kemudian melangkah keluar dari kereta setelah hampir setengah jam kereta itu diparkir berhampiran butik Kamelia.
Menapak menghampiri Butik Delias Collections, hati Zahil berbelah bahagi. Patutkah dia mendapatkan kebenaran dengan cara ini? Atau seharusnya dia mendapatkan kebenaran itu dari mulut Zakuan sendiri?
Semakin serabut Zahil memikirkan hal itu. Lelaki itu mundar-mandir di hadapan butik. Siapakah Lia dalam hidup Zakuan? Benarkah Lia di dalam gambar itu mempunyai hubungan istimewa dengan adik tirinya?
Andai punya pilihan, Zahil sangat berharap agar apa yang dirasakan adalah tidak benar. Tak mungkin Lia dan Diya adalah orang yang sama. Lia di dalam gambar itu, tak mungkin adalah Diya yang dikenalinya. Tak mungkin! Logik akal Zahil menyangkal kemungkinan itu walau hati kuat berkonklusi begitu.
Zahil, andainya mereka mempunyai hubungan yang istimewa, apa kau nak buat? Kau nak rampas Diya daripada Zakuan? Atau kau akan jadi abang tiri terbaik abad ini dengan melakukan pengorbanan demi adik kau? Sanggup kau lihat wanita yang kau cintai dimiliki adik sendiri? Arrrggghhh! Nak pecah kepala kalau fikir. Macam nak terbakar hati kalau bayangkan.
Mati akal Zahil memikirkan seribu satu kemungkinan dan andaian. Kalau betul segala yang diandaikan… Tidak! Zahil… baik kau jangan buat andaian lagi. Jangan ada kalau juga! Mungkin… semua tu tak mungkin!


“Diya, Kamelia tanya sikit boleh?”
“Tanya je la, nak minta-minta izin macam tak biasa pula.” Diya ketawa kecil. Tapi dalam hati nervous juga bila orang dah tanya macam tu sebelum ajukan soalan. Ye la, bunyinya macam hal-hal penting setaraf urusan seri paduka baginda je.
“Diya, kau ada masalah berkaitan lelaki ke?” agak berhati-hati Kamelia memulakan mukadimah soalannya.
Awalnya dahi Diya sedikit berkerut mendengar soalan yang diutarakan Kamelia itu. Tetapi akhirnya ketawa gadis itu terburai. Lucu pula mencuit hati.
“Kenapa tanya macam tu?”
Kamelia seakan serba salah pula untuk terus bertanya melihatkan reaksi Diya itu. Aku salah cakap ke?
“Tak ada la. Errr… Zahil ada cakap pada Kamelia yang Diya ni macam anti cinta je. Macam dingin dengan lelaki.”
Diya mengukir senyum sinis. Mulut mamat penyibuk tu rupanya rajin menjaja cerita pasal aku. Huh! Kuat bergosip juga mamat tu. Getus hati Diya.
“Hem… kalau Zahil dah cakap macam tu, Diya nak cakap apa lagi?”
“Serius Diya benci lelaki?” Parah la adik aku tu kalau minah ni betul-betul anti lelaki.
Diya ketawa lagi. “Kalau lelaki penyibuk macam Zahil tu, memang dibenci! Menyakitkan hati,” seloroh Diya. Kamelia turut ketawa kecil.
“Diya sakit hati, tapi Zahil tu dah jatuh hati.” ujar Kamelia.
Diya mengukir senyum tawar. Tidak selesa apabila Kamelia menimbulkan soal perasaan Zahil padanya. Diya tak senang hati apabila mengingatkan kata-kata Zahil padanya tempoh hari.
Cinta saya… ibarat anak panah yang akan menembusi tembok kebal di hati awak. Sekali ia berjaya tembus ke hati, ia akan terus tertancap di situ. Cinta itu akan terus di situ dan panah cinta itu tak akan berkarat atau rapuh oleh waktu.” Diya ketap bibir. Apabila teringatkan kembali semua itu, Diya bertambah tidak menyukai lelaki bernama Zahil Hariz. Kenapa?
“Apa yang Diya tak suka sangat pada Zahil tu?  Kamelia ni… kalau Zahil tu bukan adik tiri Kamelia, dah lama jatuh hati pada dia. Dah la handsome… baik. Hemm… cuma penyibuk sikit!” Kamelia ketawa dan Diya senyum nipis.
Kamelia lebarkan pandangan ke arah muka pintu butik. Bibir wanita itu mengukir senyum simpul.
“Nampaknya tuan badan yang jadi bualan dah nampakkan batang hidung,” ujar Kamelia tanpa mengalihkan pandangan matanya dari muka pintu Butik Delias Collection. Diya spontan berpaling melihat arah yang sama.
Huh! Mamat ni datang lagi. Tapi apa yang dibuatnya terpacak depan pintu butik tu? Apa pasal tak masuk dalam?
Kamelia bangun dari duduk dan bergerak mendapatkan Zahil. Diya kembali menyibukkan diri dengan tugasnya. Tidak mahu mengambil peduli perihal Zahil.
“Oit! Kau buat apa bersa’ie depan butik aku ni? Ke hulu ke hilir, kau ni apa pasal? Kau baca mantera santau memantau ke apa!” sergah Kamelia sebaik saja membuka pintu butik.
“Oh! Mak oi!” latah Zahil dengan tubuh sasa itu hampir tertumbang ke belakang. Ish! Sejak bila pula mak nenek ni terpacak dekat sini?
Kamelia ketawa mengekek. Orang kalau dah melatah, yang muka kacak macam Lee Jun Ki pun nampak hodoh.
“Kau ni Kamelia, buat aku terkejut je. Yang kau sergah aku ni kenapa?” Merah padam wajah cerah Zahil. Marah yang bercampur dengan rasa malu.
“Eh! Kita pula nak dimarahnya. Kau buat apa bersa’ie depan butik aku ni?”
Zahil garu kepala yang tidak gatal. “Aku nak masuk la ni.”
“Masuk la. Nak aku menjemput rupanya.” Langkah Kamelia diikuti Zahil.
Kamelia bergerak menghampiri Diya yang duduk di kaunter. Zahil masih berselindung di belakang wanita itu. Diya pula buat tidak endah akan kehadiran lelaki itu.
“Kau orang duduk la jaga butik aku ni baik-baik ye. Aku nak pergi settle urusan bank kejap,” ujar Kamelia seraya mencapai tas tangannya dan mula mengorak langkah meninggalkan Diya dan Zahil berdua menjaga butiknya.
Diya ternyata tidak selesa ditinggalkan berdua saja dengan Zahil. Mahu tidak, lelaki itu sejak tadi seronok saja memerhatikan teletah Diya. Gadis itu terasa kekok walaupun ini bukan kali pertama dirinya diperhatikan sebegitu. Ish, mamat ni! Tadi dah datang, ni datang lagi buat apa?
Mungkin pada Diya, Zahil seronok memerhatikan teletahnya. Namun hakikat sebenar adalah sebaliknya. Lelaki itu ternyata sedang berperang dengan perasaan sendiri. Ish! Aku nak tanya macam mana ni? Nak staright to the point ke nak belok-belok dulu? Argh! Zahil, sejak bila kau pandai cakap berkias-kias?
Zahil garu-garu kepala yang tidak gatal. Lelaki itu dilihat Diya serba tak kena. Apa yang tak kena, tidak gadis itu tahu. Tak mahu ambil tahu!
Seketika kemudian Zahil terpandang sesuatu yang diperuk dalam bakul sampah di sisi kaunter.
“Eh! Kenapa buang majalah tu?” soal Zahil sambil membongkok untuk mendapatkan majalah di dalam tong sampah itu.
Diya tersentap. Sebelum sempat Zahil mendapatkan majalah itu, Diya terlebih dahulu mendapatkan bakul sampah tersebut. Zahil kehairanan.
Berkerut-kerut dahi Zahil melihat tindakan Diya itu. “Buat apa ambil bakul sampah tu?”
Diya tergamam seketika. Nak bagi alasan apa? “Errr… ni… ni bakul sampah saya!”
Tercengang Zahil mendengarnya. “Bakul sampah awak?”
Diya angguk pantas. Lagaknya umpama begitu menyayangi bakul sampah itu. Macam tak mahu betul bakul sampah itu diambil Zahil.
“Ooo… jadi, saya nak minta izin awak. Saya nak tengok majalah dalam bakul sampah awak tu,” mohon Zahil bernada sopan. Gaya memerli pun ada juga.
“Tak boleh!” keras Diya.
“Kenapa pula?” pertikai Zahil. Tak puas hati betul!
“Sebab… sebab…” Meliar anak mata Diya saat akal tercari-cari alasan yang munasabah.
Mata Zahil yang sepet semakin mengecil menikam tajam wajah Diya yang gelisah.
“Sebab?”
“Sebab ni bakul sampah saya!” laju Diya menjawab.
Zahil ketawa besar. Besar punya ketawa! “Bakul sampah tu memang awak punya, tapi yang saya nak bukan bakul sampah tu. Saya nak tengok sampah yang awak buang dalam bakul tu. Majalah tu! Majalah tu awak dah tak nak kan, sebab tu awak buang. Tak gitu, Cik Adelia Dayana?”
Wajah Diya kelat. Namun begitu, mengalah pantang sekali. Tangannya masih erat memegang bakul sampah itu menjauh dari Zahil.
Zahil pula tidak berpuas hati. Apa istimewa sangat dengan majalah dalam bakul sampah tu? Kalau sayang sangat, kenapa letak dalam bakul sampah? Ke…
“Saya nak tengok majalah tu!” Zahil bertindak mendekati Diya, cuba mendapatkan bakul sampah di tangan gadis itu.
Diya berkeras tidak mahu melepaskan bakul sampah itu pada Zahil. Kini berlaku adegan berebut bakul sampah! Diya berusaha menyorokkan bakul itu di belakang badannya dan tangan Zahil terkapai-kapai cuba mendapatkan bakul itu. Masing-masing tidak mahu mengalah.
Apabila tangan kanan Zahil berjaya mencapai mulut bakul sampah, lelaki itu terus berusaha menarik bakul itu dari genggaman Diya. Diya sedaya upaya menarik bakul itu dari dimiliki Zahil.
“Bagi balik bakul ni!” jerit Diya sambil kedua-dua tangannya mempertahankan bakul itu.
“Awak nak bakul ni kan? Nah! Ambil la. Saya ambil majalah ni!” sepantas kilat tangan kiri Zahil mencapai majalah dalam bakul sampah itu manakala tangan kanannya melepaskan genggaman pada bakul sampah.
Diya hampir terlentang ke belakang apabila Zahil melepaskan pautan pada bakul sampah. Semakin bulat mata Diya melihat majalah itu dirampas Zahil. Pantas sekali bakul sampah di tangan dilepaskan dan kini Diya pula menerkam Zahil untuk mendapatkan majalah dalam tangan lelaki itu.
Zahil ternyata menggunakan ketinggian tubuhnya apabila majalah itu diangkat tinggi menyebabkan Diya terlompat-lompat untuk mendapatkan majalah itu. Kedua-dua tangan Diya tergapai-gapai berusaha mendapatkan majalah itu.
“Bagi balik la!” jerit Diya sambil terjengket-jengket.
“Awakkan dah buang. Bagi la saya tengok.”
“Tak boleh!” jerit Diya lagi. “Bagi balik!” Diya terus berusaha dan Zahil terus melarikan majalah itu dari Diya.
Diya naik geram. Termengah-mengah gadis itu menarik nafas. Cara ni tak boleh pakai. Kena guna kebijaksanaan kalau gini. Idea datang secara spontan di benak Diya.
“Aduh!” Diya duduk di lantai sambil membelek kaki kanannya. Berpura-pura mengalami kecederaan.
Zahil panik lantas mendapatkan gadis itu. “Kenapa ni?” soal Zahil bernada prihatin.
Bibir Diya mengukir senyum kemenangan. Terpedaya!
“Tak ada apa-apa!” Tup! Pantas sekali Diya merampas majalah di tangan Zahil dan melarikan diri untuk menjauhi lelaki itu.
Zahil ternyata tidak mahu tewas lantas segera mengejar. Diya akhirnya terperangkap di satu sudut. Sudah tidak boleh lari lagi. Tetapi Diya tidak mahu mengalah juga. Majalah disorokkan tangan ke belakang badan. Perlahan-lahan Zahil merapati Diya. Diya kian berundur ke belakang hingga gadis itu akhirnya berlanggar dengan dinding di belakangnya.
Bibir Zahil menguntum senyum sinis. Dia bakal menang dalam perang mendapatkan majalah itu. Dalam situasi ini, Diya akan tewas!
Diya telan air liur berkali-kali. Zahil kian merapati hingga akhirnya lelaki itu terpacak begitu hampir dengannya. Diya mahu lari ke kiri, pantas tangan sasa Zahil diletakkan ke dinding menjadi penghalang. Mahu ke kanan, laju tangan kiri Zahil menghalang. Diya terkurung di tengah-tengah.
Diya ketap bibir. Gadis itu tidak berani angkat muka memandang Zahil yang tajam menjamah seraut wajahnya. Diya telan air liur. Berdebar-debar berdepan dengan Zahil dalam situasi begini. Anak mata Diya tidak tahu hendak mengarah ke arah mana lagi. Untuk memandang lelaki itu, pipi Diya sudah terasa bahang dek malu. Pandangan Diya meliar tidak selesa untuk terus berdepan situasi begitu.
Zahil juga tergamam saat ini. Dia sendiri tidak menduga perbuatan spontannya memerangkap gadis itu dalam situasi begini. Berdua dengan Diya dalam keadaan begini sudah cukup menggetarkan perasaannya. Matanya tidak lari menjamah seraut wajah milik Diya. Zahil seakan terpesona menatap wajah indah itu yang sangat hampir kini. Sehingga deruan nafas gadis itu dapat dirasainya malah haruman perfume Diya mampu dihidu dalam jarak serapat ini.
You all buat apa tu?” soalan terjahan daripada Kamelia yang muncul tanpa disedari mengejutkan Diya dan Zahil. Spontan Zahil menarik kedua-dua tangan sasanya dan memberi ruang antara dirinya dengan Diya.
Kamelia masih tidak lepas pandang wajah Zahil dan Diya silih berganti. Apa la yang dibuat Zahil pada si Diya? Ish! Salah aku juga tinggalkan mereka berdua saja. Mereka berdua ni muda lagi. Godaan syaitan pun kuat.
Diya jadi serba tak kena. “Errr… tak… bakul sampah… tak… majalah. Errr… ni, majalah ni.” Diya gelabah sendiri. Majalah di tangan ditayangkan pada Kamelia.
Kamelia memerhati teletah Diya dengan riak terpinga-pinga. Apa yang hendak dicakapkan Diya tidak dapat difahaminya. Diperhatikan saja majalah di tangan Diya itu. Apa pasal dengan majalah tu pula? Siap dengan tunding-tunding bakul sampah segala.
Diya pandang Zahil mengharapkan lelaki itu berkata sesuatu. Tetapi Zahil buat muka tak bersalah saja. Diya pula jadi sakit hati. Akhirnya Diya berlalu membawa diri ke belakang butik. Segan apabila diri tertangkap berkeadaan yang boleh menimbulkan syak wasangka begitu. Dengan Zahil Hariz pula tu! Apa yang difikirkan Kamelia terhadap dirinya? Semua ni salah mamat penyibuk tu!
“Errr… aku tertinggal kunci kereta,” ujar Kamelia tanpa sempat Zahil bersuara apa-apa.
Zahil sekadar mengangguk. Malu juga dia tertangkap oleh Kamelia berkeadaan begitu dengan Diya. Walaupun tiada apa-apa yang berlaku tetapi situasi dirinya dengan Diya pastinya kurang manis dilihat memandangkan mereka berdua bukan mahram. Kalau dilihat pelanggan butik, pasti ia memberi imej yang buruk pada pandangan mereka.
Zahil masih berwajah tenang. Di sebalik ketenangan itu, usah dicakap betapa berkocaknya perasaan malu. “Aku balik dulu,” hanya itu yang mampu diucapkan.
Kamelia sekadar angguk kepala. Zahil segera berlalu pergi. Sebaik saja keluar dari butik, Zahil beristighfar panjang. Buku limanya turut mengetuk kepala sendiri sebagai tanda mengutuk ketelanjuran perbuatannya.
Ketika Zahil melangkah menuju kereta, dia melewati sebuah kedai serbaneka. Zahil berhenti di hadapan kedai itu untuk membelek-belek majalah keluaran bulan ini yang dijual di situ. Mata Zahil akhirnya terpaku pada sebuah majalah yang sama seperti dilihatnya di butik Kamelia sebentar tadi. Majalah itu dicapainya dan mata Zahil tertumpu pada wajah mamanya, Datuk Laila dan adik tirinya, Zakuan Helmi yang menghiasi dada majalah korporat itu.
Sebab ini ke Diya tak bagi aku tengok majalah dia tadi? Jadi, Diya kenal Zakuan? Benarlah Lia itu adalah Diya. Tapi kenapa Diya buang majalah tu? Pantas fikiran diracuni curiga. Firasat Zahil menduga ada rahsia antara Zakuan dan Diya. Diya yang antikan lelaki, mungkinkah ada kaitan dengan Zakuan?
Zahil kembali meletakkan majalah tersebut dan berlalu pergi dengan perasaan yang kembali bergelora.