ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Sunday, January 5, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 19


BAB 19
Along mengendong Diya sebelum diletakkan atas katil seterusnya adiknya itu ditolak masuk ke dalam wad kecemasan. Diya dihantar masuk ke dalam wad bersama pandangan yang sarat dengan kebimbangan. Along lihat ayahnya yang duduk di kerusi menunggu sudah merah matanya walau tiada air mata yang gugur. Abang Darus pula sudah menghubungi isterinya dan memaklumkan Diya selamat dihantar ke hospital dan masih menunggu keputusan daripada doktor. Tidak berapa lama kemudian Puan Zahra serta tiga wanita lain muncul dengan langkah  tergesa-gesa.
“Adik macam mana Along?” terjah Puan Zahra sebaik saja menerpa ke arah anak sulungnya. Along menggeleng lemah dan Encik Azhar terus tunduk menyembunyikan resahnya.
Lampu merah di atas pintu wad terpadam dan pintu berwarna putih itu ditolak dari dalam. Mata semua yang menunggu di luar tertancap pada seraut wajah doktor perempuan yang berpakaian serba putih.
“Macam mana dengan adik saya doktor?” segera Along bertanya pada doktor muda itu sebelum sempat doktor itu membuka mulut.
“Alhamdulillah, adik encik selamat. Kaca yang tertusuk kaki pesakit telah dikeluarkan,” jawapan yang keluar dari bibir doktor yang tergantung tag nama Heliza menenangkan hati semua orang.
Seketika kemudian mata Doktor Heliza beralih kepada Abang Darus yang berdiri di sisi Along. Riak wajah doktor itu tenang dengan renungan mata yang sayu.
“Errr… encik suami pesakit?” soalan Doktor Heliza.
Tercengang Abang Darus mendengar soalan yang jelas sekali ditujukan pada dirinya. Along, Encik Azhar dan Puan Zahra berubah riak terkejut. Maira dan Nur telan air liur. Dada kencang sekali debarannya. Doktor Heliza masih menunggu jawapan dengan kening sedikit berkerut.
“Ke… ke… kenapa doktor?” soal Along setelah sepi mengisi ruang beberapa saat. Doktor Heliza kembali berpaling memandang raut tegang Along.
“Kami dapat selamatkan pesakit tapi kami tak dapat selamatkan kandungannya. Pesakit alami keguguran!” Bagai halilintar, bicara Doktor Heliza umpama petir yang menyentap setiap tangkai hati insan-insan di hadapannya.
Setelah menjelaskan situasi pesakitnya, Doktor Heliza meminta diri. Puan Zahra hampir pitam. Segera Maira memapah wanita itu dan dibawa duduk atas kerusi. Abang Darus menepuk-nepuk bahu Encik Azhar buat menenangkan ayah mertuanya yang pasti cukup terkejut menerima berita yang tidak disangka-sangka itu.
 Along masih tercegat merenung pintu wad yang tertutup rapat. Ikutkan hati, mahu saja pintu putih itu dirempuhnya dan mendapatkan Diya bagi meminta penjelasan atas kenyataan yang didengari daripada Doktor Heliza sebentar tadi.


“Sial! Anak jantan mana kau kandungkan hah? Kau bagi tahu aku! Biar aku bunuh jantan sial tu!” jerkah Along. Wajah kecut Diya ditikam dengan kemarahan berapi-api. Bengis sekali raut wajah Along saat ini.
Diya terduduk atas sofa memeluk kedua-dua lutut kakinya. Air mata sudah lama bergenang jatuh membasah pipi dengan bibir menggigil. Semua mata tertumpu pada Diya yang ketakutan dan sesekali berkalih pada Along yang sudah menyinga. Diya dibenarkan keluar dari hospital pada hari yang sama dia dimasukkan ke hospital.
Sepanjang perjalanan pulang, Along memendam amarahnya dan kini segala amarahnya dihemburkan pada adiknya yang dianggap menconteng arang ke muka ahli keluarga. Kondisi Diya yang masih lemah kerana baru saja keguguran tidak dipedulikan tatkala api kemarahan membakar hati.
Encik Azhar duduk di sofa bertentangan dengan kedudukan Diya. Langsung mukanya tidak diangkat memandang wajah anak bongsu yang selama ini cukup dimanjai. Puan Zahra pula tersedu-sedan di bahu menantu perempuannya. Maira dan Nur tidak berani masuk campur, terperosok di penjuru ruang tamu. Mereka semua menantikan bicara pembelaan dari bibir Diya.
Kak Ngah menghampiri Diya lalu mengusap lembut rambut adiknya itu. “Diya… cakap la… Cakap pada kami semua. Apa yang dah berlaku?” lembut sekali nada suara Kak Ngah. Jauh berbeza daripada nada tengkingan abang kembarnya.
Diya angkat muka memandang wajah tenang Kak Ngah. Terasa sebak apabila suara hendak dikeluarkan. Mata Along yang mencerlun tajam menyebabkan Diya semakin takut. Dirinya terasa begitu kecil seperti semut hitam dan Along umpama gajah yang sedang menggila.
“Adik.. adik… a..dik…” gagap-gagap pula apabila mulut ingin bersuara. Gigi atas kedengaran berlaga-laga dengan gigi bawah. Diya sungguh takut kini. Sangat takut untuk berdepan Along yang menyinga. Berkali-kali jemarinya mengesat air mata yang tidak putus-putus membasah pipi gebunya.
“Adik apa!” jerkah Along menggegarkan ruang tamu. Terus wajah Diya yang diangkat memandang Along kembali ditunduk. Diya seperti siput yang lari bersembunyi dalam cengkerangnya. Suasana ruang tamu berbahang oleh kemarahan Along.
“Along, dengar dulu apa adik nak cakap,” tegur Kak Ngah kurang senang dengan tingkah saudara kembarnya itu. Along senyum sinis. Barannya sudah berbara malah menyala-nyala api amarahnya. Diya bakal terbakar hangus oleh api amarah Along.
“Nak dengar apa lagi? Apa yang boleh kita dengar lagi!” Kak Ngah menggeleng lemah apabila Along terus menjerkah.
“Dah sah-sah…. budak ni mengandung anak luar nikah! Aku ni abang dia tak pernah walikan dia nikah, ayah pun tak pernah jadi wali pernikahan dia! Budak ni mengandung anak luar nikah! Entah dengan jantan sial mana dia menggesel, bila dah mengandung baru tahu nak balik kampung! Dah membunting anak haram baru ingat nak balik rumah ni. Lepas tu conteng arang ke muka ayah dengan ibu!” suara Along terus bertempik lantang. Diya semakin menikus.
“Along…” Kak Ngah menjegil mata pada Along. Begitu berharap agar Along dapat bertenang.
“Kau jangan nak bela perempuan sundal macam dia ni! Hei, dalam keturunan kita tak ada keturunan penzina kau tahu tak?” tengking Along lagi.
Hati Diya hancur luluh bagai disayat-sayat belati tajam mendengar tuduhan Along padanya. Diya menggeleng-geleng kepala menafikan tuduhan melulu itu. Aku bukan penzina! Sungguh! Adik bukan seperti apa yang dimaksudkan Along. Sisa keberanian diraihnya untuk mendapatkan kekuatan bagi membuka mulut membuat pembelaan.
“Adik… adik kena rogol. Adik tak…” tergagap-gagap Diya membela diri.
“Heh! Kena rogol?” Ketawa Along bergema mengisi ruang tamu.
Diya tatap wajah Along dengan hati kecewa. Along tak percaya! Kenapa Along tak percayakan adik?
Diya berkalih memandang wajah Encik Azhar dan Puan Zahra, mengharapkan ayah dan ibunya dapat mempercayai kata-katanya. Ayah! Ibu! Kenapa kalian hanya menundukkan wajah? Ayah dan ibu tak percayakan adik ke? Sungguh! Adik tak bohong. Adik tak bohong! Diya kehampaan. Ayah mahu pun ibunya diam tidak berbicara sepatah jua. Tiada yang mahu membelanya.
 “Kena rogol ke rela dirogol? Hei! Sudah-sudah la kau nak perbodohkan aku dengan yang lain-lain. Kau dah menggadai diri dekat jantan sial tu, bila dah bunting kau balik kampung ni buat auta kau kena rogol! Kenapa? Sebab jantan sial tu dah lari dengan betina lain, kan?” sindir Along dengan suara lantang.
“Sumpah Along, adik tak tipu!” Diya terus mempertahankan kenyataannya. Beria-ia sekali dia menegakkan kebenaran.
“Kalau kena rogol, kenapa tak cakap awal-awal? Mana report polis? Tak buat? Tak buat sebab kau tak kena rogolkan?” pertikai Along.
Diya gigit bibir. Kedua kelopak matanya tertutup rapat. “Adik takut…” suaranya lemah.
“Sekarang tak takut? Masa layan hawa nafsu tak takut?” jerkah Along mengejutkan Diya. Pantas Diya menggeleng-gelengkan kepala menafikan setiap tuduhan Along terhadapnya. Semua kata-kata Along tidak benar! Sungguh ia tak benar!
“Sumpah ayah, adik tak buat perkara terkutuk tu… sumpah demi Allah!” Kali ini Diya sudah meluru melutut di kaki Encik Azhar. Diya paut erat kedua-dua kaki ayahnya. Bercucuran air mata jatuh menitis pada kaki lelaki tua itu. Ditikam mata ayahnya yang sudah merah dengan wajah tegang. Ada sinar kehampaan dalam mata tua itu. Diya tahu ayahnya sudah kecewa dengan dirinya.
“Percaya la ayah. Along tak percaya adik tak apa. Tapi ayah dengan ibu kena percayakan adik. Adik tak salah ayah. Percayakan adik! Tolong la cakap yang ayah percayakan adik!” rintih Diya sambil terhenjut-henjut di kaki ayahnya. Merayu agar bicaranya dipercayai.
Encik Azhar masih tunduk membisu. Setitis air mata tidak tumpah namun wajahnya sudah menunjukkan keruh di dasar hatinya. Merah mata si ayah menahan seribu luka dek khabar duka yang mengaibkan keturunannya.
“Nak bohong lagi!” Along masih meragui kata-kata adiknya. Along panas hati apabila adiknya masih berdegil untuk mengakui salahnya. Sakit sekali hatinya kerana berpendapat adiknya masih menegakkan benang yang basah.
Diya lantas hilang sabar dengan sikap abangnya. Diya berdiri tegak menentang kemarahan Along. “Adik tak bohong! Adik sumpah!” keras Diya. Berombak-ombak dadanya menegaskan kebenaran kata-katanya.
Pang! Penampar tangan kanan melekap ke pipi kiri Diya. Diya tercengang. Perlahan-lahan pipi kirinya yang terasa pedih disentuh. Peristiwa dilempang Zakuan bertalu-talu menjengah kotak ingatan. Along di depan matanya kini sama seperti Zakuan saat itu. Bengis wajahnya dan tinggi intonasi suaranya.
“Along... dah tu. Mungkin apa adik cakap tu betul,” Abang Darus mula buka mulut apabila dirasakan tindakan abang iparnya agak melampau.
“Bang, apa Diya cakap tu betul. Diya tak salah,” Nur pula memberanikan diri membela sahabatnya. Tidak tega lagi melihat Diya ditengking dan dihina abangnya tanpa pembelaan.
“Kalian diam! Jangan masuk campur. Perempuan ni dah pijak maruah keluarga kita!” keras Along memberi amaran. Niat Nur untuk terus membela Diya terbantut.  Kecut perut dek amaran keras itu.
“Pergi la Diya. Pergi…” suara Encik Azhar setelah begitu lama berdiam.
Puan Zahra meraung hebat mendengar keputusan suaminya. Tubuh Kak Ji dipeluknya erat. Dia bakal kehilangan seorang anak gadis manjanya. Hati Diya hancur lebur. Kenapa ayah tak percayakan dirinya? Kenapa Along tak nak percaya kata-katanya? Kenapa ayah dan Along tak percayai kata-katanya seperti Nur dan Maira mempercayai dirinya?
“Kau dah pekak ke? Ambil kain baju kau dan berambus keluar! Dalam rumah ni tak ada tempat untuk perempuan murah macam kau! Aku tak nak nanti kalau Allah turunkan azab dia pada kau, semua yang duduk bawah bumbung ni kena tempiasnya,” Along terus mengherdik.
“Apa Along cakap ni? Tak baik hina adik macam tu. Buruk-buruk dia pun, dia tetap adik Along dengan Kak Ngah. Anak ayah dan ibu. Kesian sikit tengok ibu ni,” nasihat Kak Ngah. Kesal sekali dengan sikap terburu-buru Along dalam menjatuhkan hukuman.
“Tu dulu. Mulai sekarang dia bukan ahli keluarga kita. Dalam keluarga kita tak ada penzina! Aku tak nak tujuh keturunan kita rosak sebab betina ni!” herdik Along lagi.
Berdesing telinga Diya mendengar penghinaan yang kejam itu. Along kemudian masuk dalam bilik Diya dan keluar membawa barang-barang Diya yang telah disumbat dalam beg. Beg tersebut lalu dicampak ke tanah. Diya hanya mampu memandang perbuatan itu dengan hati yang remuk.
“Kau dua orang pun, boleh kemas-kemas balik. Kau berdua bersubahat dengan dia, baik pergi balik taubat!” ujar Along pada Nur dan Maira yang terkedu di penjuru ruang tamu.
Diya senyum pahit. Perlahan-lahan dia mengatur langkah mendapatkan Puan Zahra lalu memeluk cium ibunya. Berat sekali Puan Zahra ingin meleraikan pelukan dengan anak kesayangannya. Diya kemudian dipapah Maira melangkah keluar daripada rumah itu.
Hati Diya hancur luluh. Sakit dengan rasa kecewa dek sikap Along dan ayahnya. Along dan ayah adalah tiang dalam rumah itu. Jika ayah dan Along sudah membuang dirinya, dia tidak dapat lagi berlindung di bawah bumbung rumah itu.
Diya masuk dalam perut kereta. Tidak lagi dia berpaling melihat belakang. Nur dan Maira mengutip beg yang dibuang ke tanah oleh Along lalu menyumbatnya dalam kereta. Sempat mereka mengambil barang-barang mereka sebelum melangkah keluar dari rumah keluarga Encik Azhar itu.
Sebelum berpaling, sempat Nur mengucapkan kata-kata terakhirnya pada keluarga itu.
“Kami minta maaf atas salah silap kami sepanjang berada di sini. Minta halal makan minum. Dan… satu perkara saja saya nak cakap.”
“Cakap cepat dan berambus!” jerkah Along.
Nur beristigfar dalam hati. Bengkak hatinya dengan sikap abang sulung Diya yang seorang ini.
“Kalau Diya betul-betul salah, itu dosa antara dirinya dengan Allah. Tapi, kalau Diya betul-betul mangsa rogol, saya harap Encik Adlan bersedia untuk dapatkan kemaafan atas segala penghinaan encik pada Diya. Saya betul-betul tak sangka keluarga yang saya lihat penuh kebahagiaan rupa-rupanya berdiri tanpa bertunjangkan sebuah kepercayaan! Assalamualaikum.” Sejurus itu Nur berpaling pergi.
“Pandai pula budak ni nak tazkirah aku,” sinis Along. Jelingan mata Kak Ngah tidak diendahkan Along.
Sebaik saja kereta Myvi yang dipandu Nur meninggalkan halaman rumah, Puan Zahra meluru masuk ke bilik tidurnya. Wanita tua itu menangis sedu-sedan meratapi pemergian anak bongsunya itu.
Kak Ngah yang tidak puas hati dengan keputusan abang kembarnya turut mendapatkan Adi dan masuk ke dalam kamar tidurnya. Abang Darus mendapatkan isterinya manakala Kak Ji pergi menenangkan ibu mentuanya. Akhirnya ruang tamu itu hanya tinggal Along bersama Encik Azhar.


Diya tabah menerima kenyataan bahawa dia sudah dibuang keluarga. Sejak awal lagi dia sudah bersedia menghadapi kemungkinan begitu. Terutamanya penerimaan Along. Diya sudah bersedia untuk menghadapi kemarahan Along walaupun apa yang berlaku lebih dahsyat daripada apa yang disangka. Cuma Diya terkilan dengan tuduhan Along padanya. Tidak Diya duga Along sanggup menghina dirinya serendah itu. Diya tak berdendam dengan Along walaupun dia cukup terluka dengan sikap Along padanya.
“Kalian tak perlu risaukan aku. Aku ok. Aku dah belajar untuk jadi lebih kuat dan tabah. Terima kasih sebab kau dan Nur banyak bagi aku dorongan,” ucap Diya.
“Kami gembira kau lebih tabah sekarang. Kau jangan banyak fikir ye. Aku yakin suatu hari nanti kebenaran akan terbongkar dan kau akan dapat berbaik kembali dengan family kau. Sabar ye,” pujuk Maira.
“Aku tak tahu macam mana nak hadapi semua ni tanpa kalian berdua,” ujar Diya sayu.
“Alah, perkara biasa je tu. Apa guna ada kawan kalau tak dapat menolong dan apa guna jadi kawan kalau tak tolong-menolong. Tak gitu?” ujar Nur pula.
“Aku banyak susahkan kalian berdua,.” Diya tertunduk malu.
“Tak payah fikir sangat. Kalau rasa terhutang budi, kau kena la selalu-selalu masuk dapur memasak untuk kami berdua,” seloroh Maira cuba menceriakan kesedihan yang bermukim di hati Diya.
Diya senyum dengan tenang. Di sebalik senyuman dan ketenangan itu tersimpan seribu kedukaan yang entah bila dapat dipadamkan dari ingatan. Diya sedar dia harus pandang ke hadapan.
Hidup ibarat melukis di atas kertas lukisan tanpa disertakan pemadam. Walau seburuk mana pun yang telah terlakar di atas kertas itu, kita tidak dapat untuk memadamnya. Yang terdaya hanya untuk membuka lembaran kertas baru dan kembali melakar dengan lebih baik daripada sebelumnya. Itulah hidup, belajar dari hari semalam dan membaiki hari ini agar hari-hari mendatang akan menjadi lebih baik.


No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.