ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, October 23, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 15


Oleh: MAWAR KAMILA 
BAB 15
Zakuan bergegas masuk ke dalam banglo mewah Datuk Laila. Wajahnya terlukis riak kebimbangan. Lelaki itu terjerit-jerit memanggil nama Zarina. Langkah kaki Zakuan mengarah untuk mendaki anak tangga. Namun langkah kakinya terhenti apabila telinganya menangkap suara nyanyian yang datang dari arah ruang tamu.
Happy birthday to you… Happy birthday to you… Happy birthday to Zakuan… Happy birthday to you…” nyanyian hasil gabungan empat suara kedengaran ceria.
Zakuan terkedu memandang ahli keluarganya berhimpun di ruang tamu sambil menyanyikan lagu happy birthday yang dituju padanya. Wajah Datuk Laila, Mak Jah, Kamelia dan Zarina dipandang Zakuan silih berganti. Pandangan Zakuan kembali terpaku pada mamanya yang jelas sekali tidak pengsan malah cukup ceria dan sihat!
Raut kebimbangan hilang pada wajah Zakuan. Apa yang sudah berlaku? Zarina baharu saja telefon memberitahu mamanya jatuh pengsan. Tetapi kenapa di depan matanya kini, mamanya nampak sihat walafiat. Tak ada tanda-tanda sakit pun.
Happy birthday!” Zarina menghampiri Zakuan dengan memakai topi kon yang berwarna-warni dan memegang party popper sambil meniup party blower yang membingitkan telinga. Cebisan kertas kecil warna-warni tersembur bersama bunyi letupan kecil tatkala tali party popper direntap. Ruang tamu semakin bingit dengan bunyi party blower ditiup Zarina berulang-ulang kali.
Zakuan memandang Zarina dengan wajah berkerut-kerut. “Apa ni?” soal Zakuan.
Zarina tersenyum ceria. Kemudian Kamelia pula menghampiri bersama-sama sebiji kek vanila yang dihias cantik. Ada empat batang lilin di atasnya selain daripada empat biji ceri merah yang menceriakan kek berkrim putih itu.
Happy birthday to my lovely brother!” jerit Zarina bernada ceria. Datuk Laila, Kamelia dan Mak Jah turut tersenyum bahagia.
Zakuan pandang wajah Zarina tidak berkelip. “Telefon tadi tu?”
Zarina ketawa mengekek. “Tipu!” seloroh Zarina bernada ceria. Kemudian gadis kecil molek itu ketawa semula. “Kalau tak cakap macam tu, abang sure tak nak balik. Terpaksa la bohong sikit. Surprise tak?” ujar Zarina manja.
Menyirap darah Zakuan mendengar pengakuan adiknya. Zakuan naik bengang. Wajahnya tegang menikam Zarina yang masih ketawa. Marah kerana dirinya ditipu.
“Kau, lain kali jangan nak menyusahkan aku!” tengking Zakuan seterusnya mengejutkan setiap isi rumah.
Zarina terkedu. “Kenapa dengan abang ni?” soal Zarina tidak puas hati ditengking abangnya.
“Kau menyusahkan aku!” bengis sekali raut wajah Zakuan.
“Zarina cuma nak sambut birthday abang. Salah ke?” bidas Zarina sama meninggi suaranya. 
“Lain kali, tak payah nak memandai-mandai. Aku bukan budak-budak!” balas Zakuan seraya berpaling untuk mendaki tangga. Mahu menuju ke kamar tidurnya yang berada di tingkat atas banglo mewah itu.
“Zakuan, kenapa cakap dengan Zarina macam tu? Apa yang tak kena dengan kamu?” kata-kata Datuk Laila mematikan langkah Zakuan.
“Zakuan tak ada masa nak layan benda bodoh macam ni!” jawab Zakuan tanpa berpaling. Setelah itu, dia terus meneruskan langkah kakinya mendaki anak-anak tangga.
Zarina merengus kasar. Kedinginan Zakuan mencantas keseronokannya untuk berparti hari jadi. Hatinya terluka. Terasa hati dengan reaksi dingin Zakuan itu, Zarina merampas kek yang sedang ditatang Kamelia kemudian laju menapak menuju dapur.
“Zarina!” Kamelia melaung nama adiknya itu tetapi suaranya ditelan kedinginan suasana.
Kamelia hanya mampu memandang langkah kecewa Zarina dengan perasaan simpati. Adik bongsunya itu beria-ia benar mahu menyambut hari jadi Zakuan. Pasti Zarina merajuk dek reaksi Zakuan yang dingin.
Zarina humban kek vanila itu ke dalam tong sampah di dapur. Topi hari jadi di kepala juga ditanggalkan dan dicampak masuk ke dalam tong sampah itu. Party blower turut dibuang bersama. Lepas ni, tak ada lagi parti hari jadi!
“Bodoh!” bentak Zarina sambil kakinya menyepak tong sampah. Ikutkan hati, Zakuan juga mahu dia sumbat dalam tong sampah itu.


“Apa dah jadi pada Zakuan tu?” rungut Kamelia. Terasa hati juga dengan sikap Zakuan yang tidak menghargai kesungguhan mereka untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.
Datuk Laila mengeluh lemah. Mak Jah hanya menjeling Datuk Laila dengan gelengan kepala. Ke mana kuah kalau tak tumpah ke nasi. Perangai siapa lagi yang Zakuan ikut kalau bukan perangai baran Datuk Laila. Berbeza sekali dengan Zahil yang tenang seperti sikap arwah ayahnya.
“Beli cermin baru la nampaknya,” ujar Mak Jah memandang Kamelia yang turut tergeleng lemah. Mana tidak, Zakuan pasti akan menyuruh Mak Jah menggantikan cermin yang pecah itu setiap kali selepas dipecahkan.
“Kau buat apa yang patut Jah. Aku penat. Aku nak naik atas dulu. Kamelia, tolong Mak Jah kemaskan bilik Zakuan nanti,” suara Datuk Laila setelah bangkit dari sofa.
Kamelia angguk akur. Jika tidak disuruh juga dia akan menolong Mak Jah. Kesian pada orang tua itu yang pastinya letih dengan pelbagai kerenah orang di dalam banglo mewah ini.
“Makan malam macam mana?” soal Mak Jah. Sudah la Zarina merajuk. Takkan Datuk Laila juga mahu meninggalkan Kamelia dan dirinya saja menghabiskan semua lauk-pauk itu. Bukan sedikit.
“Aku tak ada selera. Kau makan la dengan Kamelia,” ujar Datuk Laila.
Datuk Laila melangkah mendaki anak tangga dan lenyap dari pandangan Kamelia dan Mak Jah yang tinggal berdua saja di ruang tamu.
“Errr… budak yang kerja dengan kamu tak datang?” soal Mak Jah sebaik saja teringat akan pelawaannya mengajak Diya menyertai makan malam pada hari ini.
Kamelia geleng lemah. “Oh! Diya ye. Dia tak datang. Segan kot. Diya kirim salam pada Mak Jah,” balas Kamelia acuh tak acuh. Risau juga untuk bercakap perihal Diya di dalam rumah ini.
Mak Jah angguk faham. Kemudia wanita itu mengambil peluang untuk bertanyakan perihal Zahil. Jika di depan Datuk Laila tadi, pastinya perihal Zahil sukar dibualkan. Tidak sanggup telinganya mendengar makian Datuk Laila pada Zahil.
“Zahil tak balik sini? Risau Mak Jah dengan kamu adik beradik. Sejak kecil sampai besar, tak boleh nak berdamai.” Mak Jah menyuarakan kebimbangan hati untuk sekian kali.
“Tah la Mak Jah. Kamelia dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Mama tu berdendam sangat pada arwah ayah sampai bencinya pada Zahil tak pernah surut. Zakuan dengan Zarina tu pun satu hal. Tak pernah nak berubah. Apa yang dibenci sangat pada Zahil tu, Kamelia pun tak tahu. Padahal Zahil baik sangat pada mereka,” luah Kamelia memahami kebimbangan hati wanita tua itu.
“Mak Jah selalu doakan supaya suatu hari nanti, keluarga kita akan bersatu kembali. Mak Jah sayang kamu semua macam anak kandung Mak Jah sendiri. Mak Jah dah tak ada sesiapa lagi dah. Ni la keluarga Mak Jah.”
 “Insyallah. Kita sama-sama terus berdoa.” Kamelia paut jari-jemari Mak Jah. Menenangkan hati wanita yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.


Zakuan masuk ke dalam kamar tidurnya dan menghempap pintu dengan kasar. Hatinya membara dengan rasa amarah. Baju t-shirt putih belang hitam yang dipakainya ditanggalkan dan dilempar kasar ke lantai. Tubuh sasa itu kemudian direbahkan atas katil.
Dia benar-benar tidak puas hati. Marahkan Zarina yang menyebabkan dia membuat keputusan melepaskan Diya pergi. Bodohnya dia terpedaya oleh pembohongan adiknya itu. Hati rasa membengkak, jiwanya memberontak. Jika bukan kerana panggilan bodoh Zarina, pasti dia sudah dapat bersemuka dengan Diya.
Zakuan menjerit melepaskan rasa tidak puas hatinya. Jeritannya bergema dalam bilik malah mengejutkan ahli keluarganya yang berada di ruang tamu. Kecut perut mereka mendengar amukan Zakuan itu. Zakuan tidak peduli itu semua.
Zakuan bangun dari katil dan mundar-mandir dalam kamar tidurnya. Dadanya berombak kencang. Fikirannya berserabut. Argh! Semua ni salah kau Zakuan. Kalau kau sabar dalam mengejar cinta Adelia Dayana, semua ni tak akan berlaku. Kenapa kau bodoh sangat? Kau hancurkan hidup Lia dan kini hidup kau juga hancur sama. Kau tak pernah dapat lupakan Lia dan kau tak mampu untuk buang dia dari hidup kau. Kau terus dikejar bayang-bayang dosa sendiri. Bodohnya kau Zakuan!
Zakuan merengus kasar. Dia meluru ke arah meja kerjanya. Semua barang-barang di atas meja itu disepahkan. Puas hati dirasakan apabila barang-barang yang tersusun di atas meja itu diselerakkan dan dibiar bertaburan di lantai. Tidak cukup dengan itu, kerusi kayu di meja itu dicapai lalu dicampak ke arah cermin bulat besar dalam kamar itu.
“Prang!” kaca cermin retak seribu. Entah untuk yang keberapa kali. Malang sungguh cermin di bilik itu kerana sering menjadi tempat untuk Zakuan melampiaskan amarahnya. Berderainya cermin umpama berkecainya amarah yang berbuku di hati Zakuan.
Zakuan tercegat melihat serpihan kaca yang sudah pecah berderai. Perlahan-lahan tubuh sasa itu jatuh terduduk di lantai. Akhirnya lelaki itu meraup muka dengan kedua tapak tangan. Amarah yang melingkari diri beransur-ansur pergi dan kini sebak menjalar mencengkam diri.
Lelaki itu sedaya upaya menahan diri daripada menumpahkan air mata. Sungguh dia sangat menyesali perbuatannya pada Diya. Rasa bersalah membuatkan dada terasa sesak. Zakuan marahkan diri sendiri. Zakuan marahkan kebodohan dirinya menghancurkan hidup Diya. Pasti Diya sangat membenci dirinya. Pasti Diya akan terus lari darinya. Pasti Diya tidak akan memaafkannya.
Lama lelaki itu termenung di situ. Membayangkan segala dosa-dosanya. Kemudian, lambat-lambat Zakuan bangun dan menapak ke bilik mandi. Dia harus membasahkan tubuh dengan air bagi menyejukkan hati dan menenangkan perasaan. Jauh di sudut hati, dia berharap agar akan ada pertemuan kedua dengan Diya. Tapi, mungkinkah?


“Lia, saya sukakan awak. Awak tahukan?” Tanpa berkias bahasa Zakuan menyatakan perasaannya. Saya betul-betul sukakan awak. Saya dah macam gila bayang tapi awak buat tak faham juga. Jangan siksa hati saya begini Lia. Zakuan jamah wajah cantik di depannya dengan mata bersinar. Sinaran cahaya cinta ni!
Dan Diya rasa kata-kata itu tidak kena tempat. Mereka berada dalam pejabat tempat Diya bekerja dan Zakuan ketika ini seharusnya segera masuk bertemu Tuan Rahmat. Zakuan semakin terbuka tentang perasaannya sejak dua bulan yang lalu. Diya pula jadi rimas. Serba salah pun ada. Mamat ni, boleh pula buat jiwang dekat sini.
“Errr… Zakuan, Tuan Rahmat telah lama menunggu awak. Sebaiknya awak segera masuk ke dalam.” Diya benar-benar berharap Zakuan segera berlalu. Tidak senang sekali berbicara soal perasaan pada waktu bekerja.
“Saya akan masuk kalau awak kata yang awak sukakan saya.” Kata-kata Zakuan begitu bersahaja sedangkan Diya sudah berubah tona muka kemerah-merahan. Tidak diduga Zakuan akan mendesaknya begitu.
Perempuan ni kena desak sikit, baru boleh jalan. Zakuan mengukir senyuman menggoda. “Emmm... tak apa la. Saya bagi masa untuk awak fikirkan jawapan sepanjang saya berada dalam tu. Bila saya keluar nanti, awak beri saya jawapan. Ok!” putus Zakuan seraya berlalu meninggalkan Diya terkebil-kebil mendengar bicara itu.
Zakuan hilang di balik daun pintu. Diya memandang dengan geram. Sesuka hati sahaja  buat kata putus. Malas nak fikir jawapan. Eh! Tak payah susah-susah fikir, aku dah ada jawapannya. Tidak suka! Muktamad. Diya sememangnya tidak menyukai Zakuan lebih daripada teman biasa.
Kenapa? Kenapa ye? Apa kekurangan lelaki kacak dan bergaya seperti Zakuan itu? Khabarnya Zakuan dari keluarga berada dan syarikat yang diwakilnya itu adalah syarikat keluarganya.
Sepanjang mereka berkawan, Zakuan bersikap baik dan mesra. Lelaki bernama Zakuan Helmi ini seakan seorang lelaki sempurna yang memenuhi pakej lelaki idaman wanita. Entah mengapa kesempurnaan itu tidak menjentik hati Diya untuk mengenali lelaki itu lebih dekat. Dengan kata lain, Diya tidak mempunyai perasaan terhadap Zakuan sebagaimana lelaki itu menyimpan perasaan pada Diya.


Tempoh masa dua jam berlalu dan Zakuan menguak daun pintu. Diya pandang ke arah muka pintu yang sudah terbuka luas. Tuan Rahmat mesra menghantar Zakuan meninggalkan bilik pejabatnya. Tuan Rahmat kembali menutup pintu bilik pejabatnya dan Zakuan sudah tercegat di depan meja Diya.
“Lepas ni, saya mungkin tak datang sini lagi. Awak mesti akan rindukan saya,” seloroh Zakuan membuatkan kening Diya terangkat. Betul ke apa dia cakap? Tapi kenapa?
“Kerja saya dah habis. Takkan nak datang menempek muka semata-mata nak jumpa awak. Tapi kalau awak yang minta, saya sanggup,” kata-kata yang berunsur jenaka ini diluahkan Zakuan dengan nada serius. Aku akan rindukan kau Lia. Dapatkah aku tanggung beban rindu ini?
“Errr…ye ke,” Diya tidak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkan ketika ini. Nak bersedih ke nak bergembira ni? Tapi kalau tanya ikhlas dari dalam hati, Diya memang syukur sangat sebab tidak perlu lagi melayan kerenah Zakuan yang kadangkala seakan mendesaknya.
“Saya cintakan awak Lia. Kedengaran macam lucu tapi itu adalah perasaan ikhlas dan luhur dari dalam hati saya.” Dari riak wajah Zakuan, kata-kata itu memang ikhlas dari hati.
Erkkk… Diya telan air liur. Gluppp! Bagaimana sekarang? Macam mana aku nak hadapi detik-detik kecemasan begini? Nak kata apa ni? Errr… lidah pun macam kebas je nak cakap.
“Zakuan, sekarang tak sesuai bercakap tentang hal ni. Orang lain tengok, malu la saya,” ujar Diya sambil menjeling mata-mata pekerja lain yang mencuri-curi pandang ke arah mereka berdua. Pasti staf-staf lain dapat menghidu drama yang sedang berlaku antara Diya dan Zakuan. Drama dengan dialog spontan. Malu kot!
Zakuan berkalih memandang ke arah belakang. Staf-staf yang mencuri-curi pandang pantas menunduk kepala konon-konon fokus terhadap kerja.
“Kalau macam tu, malam ni saya nak bincang dengan awak. Awak kena keluar dinner dengan saya,” kata-kata itu bukan permintaan tetapi seperti satu arahan. Belum Diya bagi kata putus, Zakuan sudah terlebih dahulu angkat kaki.
Ini yang buat aku meluat. Sesuka hati buat keputusan untuk orang! Gerrr…


 “Kenapa beria-ia sangat awak bawa saya makan dekat sini? Tempat ni mahal la.” Mata Diya melilau memerhati persekitaran restoran. Emmm… mamat ni kaya, apa kisah setakat restoran mewah macam ni.
Zakuan ketawa kecil mendengar kata-kata Diya itu. Malam ini adalah malam istimewa. Zakuan mahu melamar Diya pada malam ini. Zakuan mahu Diya menjadi miliknya. Milik mutlaknya!
“Sini romantik sikit,” suara Zakuan penuh menggoda bersama senyuman manis dan kenyitan mata kiri. Mereka sudah terpacak di sebuah meja yang terletak di tengah-tengah ruang restoran. Zakuan mendekati Diya dan menarik kerusi untuk Diya duduk terlebih dahulu sebelum lelaki itu turut mengambil tempatnya.
Diya senyum kelat. Gelisah pula hati Diya berdepan detik berdua-duaan dengan Zakuan di meja makan yang jelas ditempah khas untuk mereka berdua. Malah satu ruang restoran mewah ini telah disewa khas oleh Zakuan hanya untuk mereka berdua. Berdua saja makan dalam restoran begitu besar! Mewah dan mahal! Mungkin sekali seumur hidup dapat rasa macam ni.
Seperti yang tergambar dalam cerita-cerita romantik dalam kaca televisyen, pasti ada lilin dan bunga ros merah sekuntum atas meja. Kemudian ada seorang pemain muzik menggesekkan biola dengan alunan yang mendayu-dayu. Konon-konon nak hidupkan suasana romantik. Itu belum termasuk perangai Zakuan yang berubah 360 darjah daripada biasa. Entah watak Romeo mana yang dimainkan Zakuan sampai berubah begitu romantik pada malam ini.
“Hidangan dah sampai pun,” suara Zakuan begitu lirih. Senyum kian melebar tatkala seorang pelayan wanita menghampiri meja mereka. Detik yang ditunggu-tunggu Zakuan sudah tiba. Sekejap saja lagi, Lia. Aku akan buktikan betapa tulusnya cinta aku pada kau Lia.
“Aik! Tak pesan menu lagi pun.” Diya buat muka tercengang. Bukan ke sepatutnya pilih menu dalam buku menu dulu?
“Ni la surprise.” Zakuan kenyit mata kanannya bersama senyuman menggoda.
Diya senyum kelat sekali lagi. Hanya semangkuk aiskrim vanila yang terhidang di depan matanya kini. Huh! Dah boleh agak dah apa punya surprise mamat ni nak buat. Idea tak kreatif langsung. Taktik kuno dah ni. Aku dah boleh agak ada benda apa dalam aiskrim ni. Ni dah tak kira surprise la…Tapi kalau tak terkejut, nak buat reaksi macam mana ni?
“Rasa la…” suara Zakuan tidak sabar lagi. Diya telan air liur. Dahi juga sudah berpeluh jantan!
“Apa benda ni?” Diya berlakon la juga buat jaga imej Zakuan. Kononya tertanya-tanya dengan benda yang disembunyi dalam aiskrim yang dihidangkan padanya. Padahal dia bukan la bodoh sangat untuk meneka sendiri. Saja nak berdrama sikit.
Mujur tak tertelan sekali dengan aiskrim yang disudukan masuk ke dalam mulut. Kalau tak, satu hal pula nak kena masuk bilik bedah. Untung-untung esok masuk akhbar muka depan, ‘mati tertelan cincin semasa dilamar!’ Tak ke kes berat.
Kini sebentuk cincin berlian sudah berada di dalam tangan Diya. Fuyooo! Bersilau mata dek kilauan batu berlian yang menggoda keimanan. Aku rasa memang berlian asli ni!
Zakuan tersenyum megah seolah-olah jawapan gembira sudah terpancar pada raut wajah Diya yang melebar senyumnya.
“Saya hendak melamar awak menjadi isteri saya. Lia, saya cintakan awak seikhlas hati saya,” ucap Zakuan menyatakan kejujuran hatinya. Sinar mata Zakuan yang memancar, memanah ke dalam anak mata Diya. Please, terima la Adelia. Hati lelaki itu berbisik dalam gelora hebat menantikan ucapan ‘ya’ sebagai kalimah jawapan.
“Errr….” Diya dah mula menggelabah. Susah ni!
“Sebenarnya saya akan ke Australia hujung minggu depan. Outstation untuk beberapa bulan. Sepanjang saya di sana, saya tak akan tenang tanpa ada ikatan antara kita. Jadi saya nak kita bertunang sebelum saya ke sana. Kalau awak terima cincin tu, saya akan minta keluarga saya masuk meminang awak,” Zakuan bersuara setelah Diya terus membisu.
Diya masih membisu mendengar kata-kata Zakuan. Hati wanitanya dipalit rasa bersalah. Tingkah Zakuan menyentuh rasa terharu di penjuru hati tetapi dia bukan seorang wanita yang menyandarkan cinta pada mainan hati begitu. Rasa bersalah dan terharu akan datang dan pergi. Saat ia hadir, diri bagai tersepit. Tatkala rasa itu pergi, jiwa pula bakal dihimpit penyesalan. Diya tidak mahu menyesal!
 Soal hati dan perasaan bukan paksaan. Diya tidak mahu menerima Zakuan hanya kerana simpati dan terharu terhadap cinta lelaki itu. Cinta tidak akan subur hanya kerana terharu dan simpati! Walau sudah hampir tiga bulan Diya mengenali Zakuan, Diya belum yakin dan bersedia untuk membawa hubungan mereka melangkau ke fasa lebih serius. Pertunangan dan pernikahan adalah sesuatu yang belum pernah difikirkan Diya kerana fokusnya kini adalah terhadap kerjaya yang baru dibina.
“Zakuan, saya tak dapat terima lamaran awak,” terluah juga apa yang selama ini dipendam Diya. Boleh terima ke mamat ni? Jangan menangis dekat sini sudah. Lemah semangat pula aku tengok lelaki menangis.
Sunyi. Sepi. Zakuan terkedu dan Diya berdebar-debar menantikan reaksi Zakuan setelah ditolak. Senyuman yang mekar dibibir Zakuan mati dan bunga-bunga bahagia menjadi layu. Reaksi yang sudah diduga. Pelik la kalau Zakuan tiba-tiba ketawa dan bertepuk tangan dengan bahagia. Kalau Zakuan buat reaksi macam tu, Diya laju saja angkat kaki tolong hantarkan ke hospital bahagia.
“Saya minta maaf. Ini terlalu mendadak untuk saya,” Diya bersuara lagi apabila suasana terus sepi. Gelisah betul berdepan detik-detik begini. Pengalaman pertama kali dalam hidup reject cinta orang. First time!
“Tapi Lia, saya cintakan awak. Awak maksudkan saya terlalu awal jatuh cinta pada awak?” riak wajah Zakuan tergambar perasaan hampa apabila harapannya musnah dalam sekelip mata. Hanya sekali lafaz, cintanya ditolak Diya mentah-mentah. Kenapa kau tolak cinta aku Lia? Butakah kau untuk melihat ketulusan cinta sejati yang aku hamparkan buatmu?
“Mungkin. Kita baru tiga bulan kenal,” Diya gigit bibir. Kesian pula tengok muka mamat ni. Dosa ke aku tolak cinta dia? Tapi cinta bukan paksaan.
“Masa bukan ukuran untuk jatuh cinta. Sesaat pun ibarat setahun kenal. Yang penting saya ikhlas terhadap awak. Saya cintakan awak Adelia Dayana! Saya ikhlas.” Zakuan belum berputus asa. Inilah masanya untuk dia membuktikan pada Diya betapa ikhlasnya dia menyintai wanita itu. Seolah-olah cinta Zakuan pada Diya adalah cinta agung yang suci dan sejati.
“Saya tak cinta!” meluncur ayat itu dari mulut Diya. Awak saja yang cintakan saya. Saya tak cintakan awak. Susahnya bertepuk sebelah tangan. Boleh faham ke mamat ni yang cinta bukan paksaan?
Zakuan bagai ditampar dek kata-kata itu. Diya menjawab tanpa sebarang pertimbangan seterusnya mencalar keegoan Zakuan.
“Maaf Zakuan. Saya tak cintakan awak. Dan saya dapat merasakan yang saya tak sesuai dengan awak. Maaf, saya minta diri dulu.” Lebih baik segera angkat kaki. Tak sanggup lagi aku tengok muka mamat handsome kena reject. Rasa bersalah pula hancurkan perasaan orang. Tapi nak buat macam mana lagi kalau hati memang tak suka. Daripada memberi harapan palsu, lebih baik terus terang saja.
“Lia!” jerit Zakuan apabila Diya sudah bangun dan berpaling pergi.
 Jangan berpaling Diya! Lagi lama kau di sini, semakin dalam luka di hati Zakuan. Dan Diya meneruskan langkah kakinya tanpa sesalan.
Zakuan kaku di saat Diya berlalu pergi meninggalkan dirinya hampa dan kecewa. Perit sekali rasanya cinta ditolak. Hanya yang pernah melalui saja dapat merasakan pedih sembilu menusuk tangkai hati.
Saat ini, irama gesekan biola yang romantik seakan sebuah lagu cinta luka. Zakuan terpaksa menelan kepahitan yang benar-benar merobek hati. Cinta pertamanya musnah! Sampai hati kau Lia. Kau remukkan hati aku. Hancur berkecai bak kaca dihempas ke lantai. 

9 comments:

  1. hemmm..agk terkejut gak la bc n3 ni...rupanya zahil pun de kisah silam

    ReplyDelete
    Replies
    1. semua manusia ada masa silam kan... ^_^!

      Delete
  2. ak semestinye org yg baik tu mmg latar belakangnye baik... ada jgk yg mcm kes zahil ni... sume manusia perlukan perubahan... pada sy ok jer bab ni... tak sabar nk tunggu n3 br

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq utk komen iezzlucky. ^_^! itulah mesej yg nak disampaikan!

      Delete
  3. best jalan cerita...mungkin diya akan lembut hati setelah dgr pengakuan zahil dan lihat zahil jujur pada dia ..

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. :) mawar p0n masih menunggu maklum balas dpd pihak penerbit.
      manuskrip masih belum siap di nilai. ^_^! insyallah klu ada rezeki.

      Delete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.