ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 23



BAB 23
Cerita Zahil masih belum tamat lagi. Lelaki itu berhenti sekejap dari meneruskan penceritaan kisah masa silamnya. Sejenak Zahil mengintai reaksi dari raut wajah Diya. Wanita itu diam saja mendengar cerita Zahil. Langsung tidak mencelah. Zahil tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Diya kerana saat ini hatinya dihambat kebimbangan. Bimbang akan tanggapan Diya terhadap dirinya. Masih mahukan Diya menerima dirinya sebagai suami setelah mengetahui masa silamnya?
“Diya, saya mengaku dulu saya kaki botol, saya jahil! Saya hidup bergelumang dosa dan tak pernah ambil pusing soal agama. Saya buat semua tu sebagai tanda memberontak. Saya protes pada Tuhan kenapa saya dilahirkan sebagai anak luar nikah. Saya dibesarkan dengan caci-maki orang kerana dosa yang saya tak buat. Sebab tu saya buat semua tu,” luah Zahil melahirkan perasaan yang pernah menjadi kudis dalam hatinya.
“Mama selalu kata saya adalah manusia paling dia benci! Saya kononnya anak haram papa dengan perempuan simpanannya. Tapi Mak Jah selalu kata yang saya anak hasil hubungan papa dengan isteri keduanya. Hakikatnya anak halal atau haram, saya tetap dibenci oleh mama,” tutur Zahil bernada kesal.
“Saya faham kalau awak tak dapat terima masa silam saya. Tapi sumpah Diya! Saya berani bersumpah dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Mengetahui. Saya tak pernah terlanjur dengan mana-mana perempuan. Walau semabuk mana pun saya, saya tak pernah terlanjur. Saya juga bukan kaki perempuan. Awak adalah perempuan pertama yang saya suka,” jujur Zahil mengharapkan kepercayaan dari Diya.
Diya masih diam. Tidak memberi sebarang reaksi walau bersungguh-sungguh Zahil mengangkat tangan bersumpah padanya.
“Awak dah habis cerita?” soal Diya tanpa pedulikan tingkah Zahil sebentar tadi.
Zahil mengeluh kecil. Lelaki itu mengubah pandangan ke arah pada pemandangan langit yang berawan mendung. Barangkali hujan bakal turun atau mungkin awan mendung bakal berarak pergi tanpa setitis hujan menitis ke bumi.
“Cerita saya belum habis lagi. Saya nak ceritakan peristiwa yang telah mengubah hidup saya,” suara Zahil.
Diya pandang sekilas wajah Zahil. “Cerita la.”


Tamat pertaruhan yang akhirnya dimenangi Zahil, hiburan lewat malam diteruskan dengan pesta tarian. Dari meja bar, Zahil menangkap kelibat Nadya yang hebat menari di dance floor bersama-sama Ricky yang tidak kurang kacaknya. Namun dia tahu Nadya tidak pernah berminat dengan Ricky walaupun hubungan mereka sudah beberapa kali berakhir hingga atas katil. Nadya melayan semua lelaki kacak yang berduit tetapi hanya seorang saja lelaki yang sentiasa dikejar Nadya. Siapa lagi jika bukan Zahil Hariz.
Nadya menyedari mata Zahil yang memandang ke arahnya semakin ghairah melentok-lentokkan tubuh seksinya. Mata Nadya tidak lari dari menikam mata Zahil bagaikan memberi isyarat mengajak lelaki itu datang berpesta tarian bersama-samanya. Namun Nadya hampa apabila Zahil kemudian melarikan pandangannya memandang arah lain. Hati Nadya digigit perasaan geram. Geram pada Zahil yang tidak pernah mahu melayan dirinya.  Lalu Nadya meninggalkan lantai tari dan menghampiri Zahil.
“Zahil, you menari dengan I ok?” rengek Nadya sambil menggesel tubuh seksinya pada batang tubuh Zahil.
You tahu I tak minat menari,” tolak Zahil sambil gelas berisi wine digoyang-goyang lembut.
You ni memang tak fun langsung. Dari dulu hanya tahu minum… minum… minum! Padan la you ni hanya dapat title alcoholic je,”
“Dan you hanya tahu berkepit dengan jantan-jantan hidung belang,” sindir Zahil.
“Oh! Kenapa? You cemburu?”
Zahil ketawa besar. “You rasa I akan cemburu? You are not my taste, Nadya. Seribu jantan kerumun you pun I tak peduli la,” sinis Zahil berkata-kata.
Nadya gigit bibir. Sakit hati. “I tertanya-tanya perempuan macam mana yang memenuhi taste you tu. Ye la, selama I kenal you, you tak pernah pandang dan layan mana-mana perempuan. Sampaikan I pernah terfikir mungkin you ni gay!”
Sekali lagi Zahil ketawa. Ketawa yang sepenuh hati apabila tidak disangka-sangka Nadya berfikir begitu tentang dirinya.
I ni tak tamak Nadya. Cukup la jadi kaki botol, I tak berminat dengan title kaki perempuan,” ujar Zahil sambil menguak rambut Nadya yang terjuntai menutup sebahagian wajahnya.
Pada Nadya, sikap jual mahal Zahil menjadikan lelaki itu menarik di matanya. Tambahan pula Zahil memilik semua pakej lelaki idamannya. Kacak, bergaya dan berduit. Melihatkan tingkah Zahil itu, Nadya mula merayapkan tangan mengusap lembut dada bidang Zahil. Apabila Zahil tidak menolak seperti sebelumnya, Nadya semakin berani. Kali ini dia cuba merapatkan bibirnya pada bibir Zahil
“Dah la, I nak balik,” Zahil mencantas keinginan Nadya itu. Belum pun sempat bibir merah menyala dengan calitan lipstik itu bersatu dengan bibirnya, Zahil sudah berdiri seterusnya membuatkan Nadya ketap bibir. Kecewa dengan penolakan Zahil yang entah keberapa kali itu. Sengaja Zahil bermain-main. Zahil tahu Nadya terlalu ingin memiliki dirinya. Dan bermain tarik tali dengan wanita itu terasa menyeronokkan.
“Awalnya kau nak balik. Baru pukul tiga bro. Relaks la dulu,” tegur Fizrul yang entah bila menghampiri mereka. Fizrul mendekat setelah melihat aksi mesra antara Zahil dan Nadya sebentar tadi. Baru hendak megucapkan tahniah kepada Nadya kerana telah berjaya menggoda Zahil, tup tup aksi mesra itu telah tamat. Tahulah Fizrul bahawa Zahil hanya bermain-main saja.
“Mata aku dah bersilau dengan lampu disko ni. Lagi pun si Hairil tu dah tak sedar diri. Aku bawa dia balik dulu,” ujar Zahil pada Fizrul.
“Kalau macam tu biar I hantarkan you dengan Hairil. You pun dah mabuk, I risau la,” Nadya menunjukkan keprihatinannya. Sesungguhnya dia tidak akan pernah beralah untuk mengejar Zahil.
“Suka hati you,” putus Zahil sambil berjalan agak terhuyung-hayang pergi mendapatkan Hairil yang sudah terbaring atas sofa dengan botol wine di tangan.
Nadya membantu Zahil memapah Hairil menuju kereta dan meletakkan Hairil di tempat duduk belakang. Kunci kereta diserahkan pada Nadya. Zahil kemudian melangkah ke tempat duduk penumpang di sebelah pemandu.
“Kereta you macam mana?” soal Zahil sebaik saja Nadya duduk di tempat pemandu.
I datang dengan kereta Tini,” jawab Nadya.
“Terus ke rumah Hairil je. I tidur sana malam ni,” beritahu Zahil seraya bersandar tubuh pada tempat duduk.
Nadya tersenyum. Lagi mudah la dia ingin meneruskan misi menggoda Zahil jika menghantar lelaki itu ke rumah Hairil berbanding ke rumah banglo keluarga Zahil. BMW milik Zahil dipandu Nadya menuju rumah Hairil. Beberapa minit kemudian, kedengaran suara Hairil meracau-racau dalam tidur.
“Mengigau pula mamat ni,” sinis suara Nadya. Zahil menjenguk Hairil yang bergerak-gerak tubuhnya seakan menggelupur disepak terajang.
“Tolong! Tolong! Ampun! Ampun!” mulut Hairil meracau-racau mengulang perkataan yang sama. Berkerut-kerut muka Hairil seperti sedang menanggung kesakitan. Entah mengapa bulu roma Zahil jadi meremang melihatnya. Tiba-tiba saja hati rasa berdebar-debar.
“Mabuk betul Hairil tu,” ejek Nadya.
 Zahil tekan punat radio dan membiarkan kereta bingit dengan lagu rancak yang keluar dari corong radio. Zahil mahu bunyi radio itu menenggelamkan suara Hairil. Kepala dan tubuh Zahil bergerak-gerak mengikut rentak lagu bagi mengusir debaran di hati. Sesekali mata Nadya menjeling Zahil di sebelahnya.
“Zahil, I dah lama sukakan you. Tak boleh ke you beri I satu peluang?” Nadya mula memancing dengan pujuk rayu. “I janji I sanggup buat apa saja untuk you.”
“Zahil!” tempik Nadya sambil jarinya menutup radio. Zahil berpaling memandang Nadya.
“Apa lagi ni?” serius wajah Zahil. Tidak senang apabila radio ditutup menyebabkan suara Hairil meracau kembali ditangkap telinga Zahil.
You dengar tak I tanya ni?” Nadya sedikit menjerit agar kata-katanya dapat didengar Zahil.
“Tak!” tempik Zahil pula. Setelah itu Zahil kembali menekan butang on pada radio.
Nadya jadi geram. Radio kembali dimatikan.
“Apa lagi ni? I tak nak dengar la!” marah Zahil seraya ingin menghidupkan kembali radio.
Nadya naik angin dan menepis tangan Zahil. Pergelutan berlaku. Zahil terus berkeras untuk menghidupkan radio manakala Nadya terus melawan untuk menepis tangan Zahil. Tanpa mereka sedari kereta BMW itu sudah tidak dikawal lagi lantas melanggar lampu isyarat merah. Terbeliak mata Zahil apabila terpandang sebuah lori Daihatsu bakal bertembung dengan BMW dinaiki mereka. Tangan Zahil pantas mencapai stereng dan memulas stereng itu ke arah kiri dengan sekuat tenaga.
BMW itu berpusing-pusing di tengah-tengah persimpangan jalan sebelum melanggar tiang lampu isyarat. Kereta BMW itu kemudian terbalik dan terseret beberapa meter. Lori jenis Daihatsu itu pula terbabas melanggar penghadang jalan sehingga pemandunya tercampak keluar dari lori dan berguling-guling di tengah jalan.
Zahil buka mata apabila seluruh tubuh terasa sakit. Dengan kepala yang masih pening-pening lalat, Zahil melihat keadaan sekeliling. Zahil kebingungan. Bersusah payah dia cuba untuk membuka pintu kereta sebelum berjaya keluar. Zahil merangkak-rangkak di atas jalan dan jatuh tersungkur. Perutnya terasa mual lalu dia muntah di situ.
“Za… Za… hil..” mendengar suara memanggil, Zahil berpaling arah keretanya yang sudah terbalik itu.
“Ril! Ril!” jerit Zahil seraya menerpa mendapatkan Hairil yang tertonggeng kedudukan tubuhnya. Kepala di bawah dan kaki di atas.
“Ril…” Zahil memanggil-manggil Hairil dari arah luar kereta. Hairil pandang Zahil dengan mulut berlumuran darah. Zahil buka pintu kereta seterusnya berusaha mengeluarkan Hairil.  Namun kaki Hairil telah tersepit menyebabkan usaha Zahil itu gagal.
“Tolong… tolong…” telinga Zahil kemudian menangkap suara rintihan Nadya meminta tolong. Zahil ingin menerpa mendapatkan Nadya tetapi Hairil memaut lengan tangannya.
“Zahil… jangan tinggal aku. Aku… aku takut… Jangan tinggalkan aku sorang-sorang, aku ta… kut. Aku banyak dosa, Zahil. Aku belum… belum taubat…belum taubat lagi. Aku takut mati. Aku…  takut Zahil… aku takut ma… ti. Ja…ngan tinggal aku sorang-sorang,” tersekat-sekat suara Hairil merayu pada Zahil. Kuat sekali jemari Hairil mencengkam lengan Zahil.
“Aku datang balik nanti. Aku janji…” ujar Zahil. Serba salah jadinya.
“Jangan pergi Zahil. Nanti dia datang, aku takut. Jangan pergi. Aku takut. Nanti dia datang, aku takut,” Hairil terus merintih dan merayu.
“Di… dia? Siapa dia?” terpinga-pinga Zahil dibuatnya. Sudah la kepala Zahil masih pening-pening lagi.
“Dia dah nak datang, Zahil. Jangan pergi. Aku ta… kut… Aku banyak dosa,” berhingus-hingus hidung Hairil dengan mata lencun dek air mata. Zahil dapat rasakan jemari Hairil menggigil mencengkam lengannya sehingga lengannya seakan mahu bergoncang.
Zahil tikam mata Hairil dengan pandangan mata yang sayu. Sedaya upaya Zahil leraikan pautan jemari Hairil pada lengannya. Namun Hairil begitu liat untuk melepaskan pautan itu. Tenaga gengaman Hairil itu umpama langsung tidak terasa akan sakit pada kakinya yang tersepit.
“Nanti aku datang balik. Aku… aku tengok Nadya dulu,” janji Zahil berungguh-sungguh.
“Zahil! Zahil!” terpaksa Zahil pekakkan telinga dari mendengar jeritan Hairil itu. Otaknya cukup bingung kini.
Zahil dapatkan Nadya yang sedang mengerang kesakitan. Perlahan-lahan dia cuba mengeluarkan Nadya dari tempat duduk pemandu. Masa terasa berjalan cukup lambat. Peluh sudah merenek di dahi malah membasah seluruh tubuh. Zahil terus berusaha mengeluarkan Nadya yang cukup longlai dengan darah berlumuran di kepala dan tangan wanita itu.
Menyelamatkan Nadya saja sudah memakan masa yang cukup lama. Hairil pula terus meraung dan meracau memekik memanggil Zahil seolah-olah Zahil pergi meninggalkannya tersepit di situ. Berkali-kali Zahil menjerit pada Hairil bahawa dia akan mendapatkan temannya itu setelah mengeluarkan Nadya.
 Situasi lebih menekan diri Zahil apabila kedengaran pula bunyi letupan kecil yang menghasilkan percikan api di bahagian enjin kereta. Mungkinkah kereta akan meletup?
Berjaya saja mengeluarkan tubuh Nadya dari dalam kereta, Zahil cempung tubuh wanita itu lalu diletakkan di kawasan bahu jalan yang agak jauh dari kereta mereka yang terbalik itu. Zahil merasakan di situ lebih selamat. Setelah itu, Zahil berpaling semula untuk mendapatkan Hairil.
Baru setapak melangkah, pergerakan kaki Zahil bagai dipasung. Matanya terbuntang tatkala melihat kereta BMWnya itu meletup. Tubuh Zahil rebah terduduk atas tanah. Seluruh tubuhnya menggigil-gigil. Langsung kelopak matanya tidak berkelip. Api menyala-nyala di hadapan mata hanya mampu dipandang dengan bibir terketar-ketar. Suara pekikan Hairil sudah hilang bersama dentuman bunyi seakan letupan bom.
Air mata mengalir laju membasah pipi. Tubuh Zahil terasa longlai malah kaki tidak kuat untuk berdiri. Lelaki itu merangkak-rangkak mendekati keretanya yang sedang rentung dijilat api. Dipanggil nama Hairil berkali-kali. Bahang api terasa cukup panas apabila dia cuba mendekat. Zahil duduk melutut sambil meraung menangisi Hairil yang rentung di depan matanya. Imej api yang kian marak itu berkaca di depan mata Zahil.


“Lepas dari kemalangan tu, siang dan malam saya asyik teringatkan arwah Hairil. Kata-kata Hairil yang merayu pada saya terngiang-ngiang di telinga. Tak pernah saya rasa macam tu seumur hidup ini. Mungkin saya rasa bersalah dan mungkin itu cara Allah beri hidayah pada saya.
Saya tak akan lupa. Tak akan lupa macam mana suara arwah menangis-nangis minta saya jangan tinggalkan dia.” Diya dapat mendengar getar dalam suara Zahil itu. Mungkin lelaki itu mengawal diri daripada menangis di hadapannya.
“Saya bersalah pada arwah Hairil. Saya yang bawa dia ke jalan hidup yang sesat macam tu. Kemalangan tu pun sebab saya. Seumur hidup ini saya terus rasa bersalah. Kali terakhir saya jumpa Nadya masa di tanah perkuburan lepas tanam jenazah arwah.
Lepas dari tu, saya terus bawa diri ke kampung arwah ayah saya. Saya berhijrah untuk jadi manusia yang kenal Allah. Saya berubah untuk diri saya dan untuk tebus semua dosa-sosa saya pada arwah,” ucap Zahil jelas menggambarkan penyesalan.
“Diya, saya faham kalau lepas saya cerita ni mungkin awak rasa saya ni jahat. Mungkin awak…”
Belum sempat Zahil menghabiskan bicara, Diya sudah memintas kata. “Dah lewat, jom balik.”
“Di… Diya…” terkejut Zahil apabila Diya sudah berdiri dan menapak menghampiri kereta. Menunggu Zahil menekan punat pada kunci kereta.
Ketika memandu menghantar Diya pulang, Zahil kembali menyoal tentang tanggapan Diya padanya. Sungguh tidak tenang rasa hati.
“Diya, awak tak kisah tentang masa silam saya?”
“Ibu suruh saya balik hujung minggu ni. Ambil cuti untuk majlis akad nikah tu,” beritahu Diya tanpa memandang Zahil di sisi.
Hakikatnya Diya terkejut mengetahui masa silam Zahil itu. Namun apa yang dihairankan dengan masa silam itu sedangkan setiap manusia juga punya masa silam masing-masing. Diya juga punya masa silam. Dan Diya memilih Zahil yang kini sebagai suami. Zahil senyum senang hati. Diya sudah memberi jawapan untuk soalannya dalam kata-kata itu.


Nadya gembira sekali apabila tugas yang diarahkan pada Rusli disiapkan dalam tempoh yang dikehendakinya. Malah lebih awal dari yang disangkanya. Ternyata bukan susah untuk mengetahui di mana tempat tinggal dan tempat kerja Diya. Setelah mengatur rencana jahatnya, Nadya membuat keputusan untuk bertemu Diya di Butik Delias Collection milik Kamelia.
Nadya melangkah masuk  ke dalam butik dengan penuh berkeyakinan. Bunyi tumit kasutnya yang setinggi dua inci itu kedengaran ketuk-ketak apabila bertemu dengan lantai butik. Diya yang khusyuk dengan tugas melempar pandang ke arah punca bunyi itu. Nadya melambai jemarinya apabila Diya memandang padanya.
“Boleh saya bantu?” soal Diya sebaik saja merapati Nadya. Entah mengapa hati Diya rasa tidak senang dengan kemunculan wanita itu.
Still remember me? I Nadya, kawan Zahil? Ingat I, hem…” tutur Nadya sambil membulatkan matanya yang seperti mata burung hantu itu.
Diya angguk perlahan.
Good. This is for you. Present dari I.” Nadya menghulurkan sampul coklat bersaiz sederhana besar.
“Apa ni?” soal Diya sambil memandang senyuman pelik yang terukir di bibir Nadya. Huluran sampul coklat itu diambilnya juga.
“Diya, you perempuan dan I pun perempuan. I tak sanggup lihat wanita dipermainkan lelaki. Terutamanya perempuan baik yang bertudung macam you ni. I kesian…” ujar Nadya tanpa terlihat niat busuk yang terselindung di balik bicara itu.
“Apa maksud awak?” Diya masih tertanya-tanya. Niat baik yang diucapkan sangat-sangat diragui.
I tahu payah untuk you terima. I harap you tabah, ok. Ye la, bukan senang nak terima apabila lelaki yang kita sangka baik selama ini rupa-rupanya manusia hipokrit! Zahil tak patut tipu you,” Nadya mula menyucuk jarum.
Diya membuka sampul itu dan melihat isi dalamnya. Beberapa kepingan gambar yang terpampang wajah Zahil ditatap Diya. Bukan hanya wajah Zahil malah ada gambar beberapa wanita dan lelaki yang tidak Diya kenali seperti sedang berpesta arak.
“Cik Nadya, saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan cik,” ucap Diya sambil memasukkan kembali kepingan gambar-gambar itu ke dalam sampul.
“Oh! Welcome. Small matter je semua ni.” Nadya tersenyum puas. Kemusnahan hubungan Zahil dan Diya sudah menjadi drama hebat dalam bayangan otaknya.
“Cik Nadya ambil la semula bungkusan gambar-gambar ni. Saya rasa, saya tak perlukan semua ni,” kata-kata Diya mencantas imaginasi Nadya. Tercengang Nadya sambil menyambut sampul yang dihulurkan Diya padanya.
“Diya, you tahu tak I beritahu you kebenaran tentang Zahil? Ni gambar asli bukan edit-edit, tahu?” Nadya tidak berpuas hati dengan reaksi Diya yang seperti tidak terkesan dengan agendanya.
“Saya tahu Cik Nadya. Terima kasih kerana ambil berat,” ucap Diya masih tetap tenang.
“Tu je? You sepatutnya beri reaksi…” Nadya tidak habiskan kata-katanya. Jemarinya mengipas batang leher yang terasa panas. “Ok, I faham kalau you kecewa. Zahil memang tak patut permainkan perempuan yang baik macam you ni. I simpati,” ujar Nadya yang kemudiannya membuat telahan bahawa mungkin cara Diya memang begitu apabila kecewa dan terluka.
“Terima kasih Cik Nadya. Tapi saya tak rasa saya perlukan simpati Cik Nadya,” terang Diya tanpa berdalih lagi. Malas sudah hendak melayan kerenah Nadya ini.
“Apa maksud you?” tajam mata Nadya menikam wajah Diya.
“Cik Nadya, saya sibuk sekarang dan saya rasa elok Cik Nadya beredar saja,” tutur Diya dengan harapan wanita itu segera berlalu pergi.
You… you ni sombong!” tempik Nadya dengan dada berombak dek amarah. Agenda busuknya gagal.
“Cik Nadya rasa saya sombong? Saya tak kisah sikit pun. Cuma saya nak Cik Nadya jangan sibuk-sibuk tentang Zahil lagi lepas ni. Zahil Hariz yang Cik Nadya kenal dan Zahil Hariz yang saya kenal berbeza. Tak akan pernah sama,” tegas Diya membuatkan mata Nadya semakin membulat. Macam nak tersembul keluar biji mata wanita itu.
You!” jari telunjuk Nadya sudah diangkat tepat menunding pada batang hidung Diya. Bibirnya diketap menahan api amarah yang sudah menjulang-julang nyalaannya.
I rasa urusan you dengan future wife I dah selesai. Mungkin you boleh beredar sekarang,” sapa Zahil yang tidak disedari kemunculannya oleh kedua-dua wanita itu.
Nadya pandang Zahil dengan wajah terkejut. Kemudian wanita itu berlalu pergi dengan langkah kaki yang berentak-rentak menghasilkan bunyi yang menyakitkan telinga.
“Terima kasih kerana percayakan saya,” ucap Zahil sebaik saja menghampiri Diya.
“Percaya awak? Saya tak percaya dia, bukan percaya awak!” dalih Diya. Masih ego untuk mengaku.
“Ye? Tapi saya tetap rasa awak percayakan saya,” ujar Zahil dengan senyuman manis. Gembira sekali tatkala dia mendengar kata-kata Diya pada Nadya. ‘Zahil Hariz yang Cik Nadya kenal dan Zahil Hariz yang saya kenal berbeza. Tak akan pernah sama’. Kata-kata itu cukup menyentuh hati Zahil.
Diya ketap bibir melihat senyuman manis di bibir Zahil. Senyuman yang akan membuatkan Diya rasa geram.
“Suka hati awak!” ucap Diya seraya melangkah menjauhi Zahil.


Hari akad nikah tiba jua. Diya masih tidak pasti apakah perasaannya saat ini. Melihatkan kegembiraan insan-insan di sekeliling, Diya bagaikan mendapat sedikit kekuatan dan keyakinan. Namun kekalutan masih mengisi ruang hati. Busana pengantin berwarna biru laut tersarung membalut tubuh Diya.
“Cantik betul kau pakai baju ni. Memang kena betul dengan warna kulit kau,” puji Maira.
Diya sekadar senyum kelat. Tidak dia ambil kisah kena atau tidak pakaiannya saat ini. Cantik atau tidak dia tidak mahu peduli. Hatinya masih berbelah bahagi pada perkahwinan ini. Bagai mamai terbangun dari tidur. Itulah rasa hatinya saat ini.
Benarkah dia akan berkahwin pada hari ini? Dari kamar pengantin, Diya kini berada di ruang tamu rumah untuk upacara akad nikah.
“Segak betul Zahil hari ni. Memang padan. Macam pinang dibelah dua,” bisik Nur ke telinga Diya. Diya senyum kelat.
Jika ikutkan hati, hendak saja Diya menjerit di hadapan sekalian yang duduk di ruang tamu sempena upacara akad nikah dan menyatakan bahawa dirinya masih belum pasti dengan upacara yang bakal berlangsung. Diya terus resah diulit gelisah. Ya Allah, andai ini keputusan yang terbaik, tenangkan la jiwa hambaMu ini.
Pengantin lelaki masuk ke ruang tamu diiringi Encik Azhar dan beberapa orang lelaki lain. Mata Diya menikam wajah Zahil yang duduk di sisi ayahnya. Zahil balas pandangan Diya lalu lelaki itu mengukir senyuman. Diya melarikan pandangan matanya. Hati rasa berdebar-debar bagai mahu melantun keluar. Kenapa harus rasa begini? Diya sungguh tidak senang duduk kini.
Upacara akad nikah bermula. Jemari Zahil bertaut dengan jemari Encik Azhar selaku jurunikah. Along Diya turut ada di sisi untuk menjadi salah seorang daripada saksi akad nikah. Hanya sekali lafaz saja, Diya sudah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang berwajah lembut dengan riak tenang. Seorang lelaki yang tidak lekang senyuman di bibir dan cukup sabar berdepan kedinginan Diya.
Usai akad nikah dan tiba pada upacara menyarungkan cincin. Debaran hati Diya kian kencang. Bermimpikah Diya bahawa lelaki ini telah menjadi suaminya? Bermimpikah Diya bahawa lelaki ini telah halal menyentuh jemari runcingnya malah sedang menyarungkan sebentuk cincin bertatah permata ke jari manisnya? Tatkala ubun-ubun Diya dikucup lembut penuh kasih sayang, air mata gugur di pipi Diya. Ini bukan mimpi, Diya. Zahil Hariz benar-benar sudah menjadi suami Adelia Dayana.
Otak Diya terus tepu dengan seribu satu persoalan hati. Dapatkah dia membenih cinta buat suami yang ikhlas menghulurkan cintanya padanya? Mampukah dia memadam masa silamnya dan mempercayai Zahil? Benarkah Zahil dapat menerima dirinya dengan begitu ikhlas? Argh! Kenapa semua soalan itu kian mengasak fikiran Diya sebaik saja lafaz ijab dan qabul itu sah?
“Syukur, anak ibu dah jadi isteri orang sekarang,” bisikan Puan Zahra itu membuatkan hati Diya bergetar hebat. Oh! Tuhan… tolong hamba Mu ini.


Bagi pasangan yang lain, malam pertama sebagai raja sehari pasti menjadi detik-detik indah. Namun tidak bagi Diya yang merasakan pernikahan yang terjadi seakan tidak sepenuhnya dengan kerelaan hati. Sehingga detik ini, hati Diya masih berbelah bagi. Dia jadi buntu, resah, takut dan pelbagai emosi bercampur baur.
Diya sudah menjadi cacing kepanasan. Wanita itu duduk bangun, duduk bangun atas birai katil sudah tidak terhitung berapa kali. Rasa tidak selesa meletak punggung, Diya mundar-mandir dalam kamar peraduan pengantin itu. Entah berapa kali sudah dia tawaf dalam bilik itu. Lagaknya seperti orang runsing memikirkan hutang keliling pinggang saja.
“Tok! Tok!” bunyi ketukan pintu membuatkan Diya tersentak bagai terkena renjatan eletrik. Pantas wanita itu berpaling memandang muka pintu dengan jantung berdegup kencang.
Daun pintu terbuka dan seperti dijangka, Zahil muncul dari balik daun pintu. Lelaki itu tenang memboloskan diri masuk ke dalam kamar itu setelah memberikan salam. Zahil duduk di birai katil sambil matanya merenung Diya yang nampak gelisah. Diya masih tercegat berhampiran jendela dengan jemari kanannya menggaru-garu belakang cuping telinga sambil menundukkan wajah.
“Awak ok ke, Diya?” soal Zahil setelah suasana sepi beberapa minit.
 “Zahil, kita cakap sikit boleh,” suara Diya.
“Cakap tentang apa?”
“Begini, errr… actually, saya belum dapat bersedia sepenuhnya untuk perkahwinan ni,” jujur Diya tanpa berselindung lagi.
“Maksudnya?” Zahil tajam menikam wajah Diya.
“Saya belum dapat terima awak sebagai suami saya,” ucap Diya tulus.
“Jadi?” Diya telan air liur mendengar soalan itu.              
Jadi? Errr… kenapa dia tanya macam tu pula? Adoi! “Errr… jadi…” Diya garu-garu kepala yang tidak gatal.
“Jadi saya belum… belum dapat terima awak sebagai suami!” sekali nafas saja Diya melepaskan luahan kata yang tersimpan dalam kotak fikiran.
“Mas kahwin saya bagi awak terima. Saya awak tak nak terima pula,” sindir Zahil.
“Hei! Awak ingat saya hadap sangat dengan mas kahwin yang awak bagi tu? Awak boleh ambil balik la kalau nak sangat,” bidas Diya. Kata-kata Zahil membuatkan Diya naik angin.
Diya menangkap helaan nafas Zahil seakan bernada lemah. Diya gigit bibir dan pejam mata. Apabila membuka kembali kelopak mata, Diya pandang cincin emas bertatahkan permata yang tersarung di jari manisnya. Cincin itu adalah nilai mas kahwin yang diberikan Zahil padanya mengikut syarat Diya sendiri.  Lama cincin itu dipandang Diya.
Diya ingin menanggalkan cincin tersebut dari jarinya. Zahil pantas menahan dengan menggenggam jemari kanan Diya.
“Diya, saya bergurau je,” ujar Zahil bernada tenang.
“Terima la saya sebagai suami, Diya. Terima la saya sebagai sahabat untuk mengharungi suka duka dalam hidup awak. Terima la saya sebagai teman berkongsi cerita. Jangan risau, saya tak paksa untuk awak terburu-buru menerima saya. Kita mulakan dari fasa teman menjadi sahabat, dari sahabat menjadi suami,” ungkap Zahil bernada memujuk.
“Terima kasih sebab memahami,” luah Diya mendatar nadanya.
“Jadi, selamat berkenalan. Saya Muhamad Zahil Hariz. Berusia dua puluh sembilan tahun dan baru saja berkahwin petang tadi,” seloroh Zahil sambil menghulur tangan untuk berjabat.
“Cepat la perkenalkan diri,” desak Zahil apabila Diya masih kaku.
“Awak dah kenal saya pun. Tak payah nak main-main lagi,” tutur Diya bersahaja.
“Hemmm… tak best la gini. Teman baru saya ni tak sporting langsung,” rungut Zahil seperti anak kecil.
Diya mencebik dan Zahil senyum menggeleng kepala.


Tiga hari selepas majlis akad nikah, Zahil berangkat pulang ke Kuala Lumpur tanpa Diya. Kata Zahil, dia mempunyai urusan yang perlu diuruskan dan tidak dapat membawa Diya pulang bersama-samanya. Selepas beberapa hari, Zahil kembali semula ke kampung menjemput Diya pulang bersamanya.
Sebelum melepaskan Diya mengikut Zahil, mulut Puan Zahra tidak henti-henti menitipkan nasihat pada anak bongsunya itu. Tinggi sekali harapannya agar Diya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.
“Ingat semua pesan ibu. Jadi isteri yang baik pada Zahil,” peringat Puan Zahra.
“Ye ibu. Diya ingat. Diya janji untuk jadi isteri yang baik.”
Sonata Hyundai putih dipandu Zahil keluar dari halaman rumah kediaman Encik Azhar dan meneruskan perjalanan ke ibu kota. Sepanjang jalan, bibir Zahil tak lokek dengan senyuman. Diya di sisi lelaki itu tidak senang duduk apabila melihat senyuman Zahil yang dirasakan berlebih-lebihan.
“Ni yang tersenyum-senyum macam baru kahwin dua ni kenapa?” tegur Diya.
Zahil ketawa. Baru lepas kahwin dua? Baru kahwin satu tak sampai seminggu nak kahwin dua? Merepek saja Diya ni.
“Awak tak sabar-sabar nak bermadu ke?” usik Zahil.
“Hemmm… kalau berani tambah satu, cuba la,” balas Diya bernada amaran.
“Kalau tak nak saya tambah kuota lagi satu, awak wajib untuk tunaikan janji awak pada ibu tadi.” Sekilas Zahil memandang Diya di sisi.
“Janji? Janji apa?” Diya pura-pura tidak tahu.
“Tengok, baru je berjanji dah lupa. Awak tadikan dah janji nak jadi isteri yang baik kepada seorang suami yang handsome,” peringat Zahil.
Diya mencebik. Perasan! “Hemmm… kalau suami tu handsome!”
Dengar saja jawapan Diya itu, Zahil terus pulas stereng kereta dan Sonata Hyundai putih itu berhenti mengejut di bahu jalan. Kepala Diya hampir saja terhantuk pada cermin sisi dek tindakan mengejut itu. Diya pantas berpaling memandang Zahil dengan wajah tegang.
“Kenapa dengan awak ni?” marah Diya.
“Adelia Dayana, suami awak ni tak cukup handsome ke?” soal Zahil seraya membuka tali pinggang keselamatan dan mengubah kedudukan mengadap arah Diya. Tajam matanya menikam wajah Diya.
“Ja… jangan main-main la Zahil.” Berkali-kali Diya telan air liur. Roman muka cuba dikawal agar perasaan gementar tidak ketara.
Zahil mendekatkan muka pada wajah Diya yang sudah berubah riak. Zahil tahu Diya sudah mula gelabah. Sengaja dia hendak menyakat isterinya itu.
“Saya tak handsome ke? Huh?” bisik Zahil betul-betul di hadapan wajah Diya sehingga deru nafas Diya dapat dirasakannya.
Berkelip-kelip kelopak mata Diya menghadapi detik itu. Bagaikan anak patung, Diya tak berkutik sedikit pun. Tergamam apabila hidung Zahil hanya berjarak beberapa inci daripada batang hidungnya. Tidak tahu ke mana harus dilarikan pandangan matanya.
Handsome tak?” desak Zahil kedengaran lirih pada pendengaran Diya.
Handhandsome!” suara Diya dengan muka dilarikan daripada bertembung dengan wajah Zahil yang semakin mendekat. Selagi Diya tak jawab, selagi itu Zahil semakin merapatkan dirinya.
“Apa? Tak jelas. Minta ulang boleh?” Zahil tunjukkan isyarat tidak dengar dengan meletakkan ibu jari di belakang cuping telinga.
Diya gigit bibir. Tanganya sudah meramas-ramas tas tangan di atas ribaan. Sabar saja dengan teletah Zahil itu.
“Ehem! Ehem!” Diya berdehem beberapa kali. Menghilangkan rasa serak pada anak tekak. “Awak handsome, puas hati?” kali ini nada Diya lebih kuat dan ditegaskan. Tidak mahu Zahil terus membulinya.
Zahil tersenyum mendengarnya. Lelaki itu kembali pada posisi kedudukan asalnya.
 “Terima kasih. Tak cakap pun dah tahu,” ujar Zahil bersahaja. Sengaja menunjuk riak pada Diya yang sudah gigit bibir menahan rasa geram.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.