ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 25



BAB 25
Bunyi loceng menandakan ada tetamu di luar pagar. Diya yang sibuk di dapur berkejar mendapatkan tudung sarung untuk menutup kepala sebelum membuka pintu. Mujur dia memang sudah mengenakan baju lengan panjang maka tidak la terlalu terkocoh-kocoh perlu menukar baju. Buka saja daun pintu, mata Diya membulat dengan senyum melebar di bibir.
“Maira! Nur!” Diya meluru arah pintu pagar untuk membuka pintu pagar yang dikunci dengan kunci mangga besar.
“Kenapa tak cakap nak datang? Masuk la,” teruja sekali Diya menyambut kunjungan sahabat-sahabatnya. Inilah kali pertama Nur dan Maira berkunjung ke kediamannya setelah bergelar isteri kepada Zahil Hariz.
Nur dan Maira tak berhenti-henti memuji betapa cantiknya rumah yang didiami Diya bersama Zahil. Kononnya Diya beruntung kerana Zahil menyediakan tempat tinggal secantik dan selesa begini.
“Aku tak kisah. Janji tak hidup merempat tepi jalan sudah la,” itulah ayat selamba yang ucap Diya sebagai jawapan.
“Sekarang kau mesti happy kan? Rumah cantik, suami handsome dah tu romantik pula,” risik Nur cuba mengorek cerita hidup Diya selepas berkahwin. Begitu berharap agar Diya mengungkap kata-kata yang menggambarkan kebahagiaan hidupnya.
“Masa bila pula Zahil tu romantik?” Diya buat-buat bertanya pula.
“Eleh! Time dia datang melamar kau dulu tu tak romantik ke? Gila punya romantik macam tu kau lupa ke Cik Adelia Dayana? Eh! Sekarang dah puan. Puan Adelia Dayana tak ingat ke?” Nur membawa ingatan pada saat-saat Zahil datang dengan belon dan bunga mawar penuh dalam bonet kereta. Siap nyanyi-nyanyi lagi. Boleh nightmare satu taman perumahan dengar suara Zahil pada malam tu.
“Eh! Cerita melamar apa ni? Aku tak tahu pun,” sampuk Maira setelah sejak tadi hanya mendengar celoteh Nur.
Lalu Nur dengan rela hati Nur bercerita dari A sampai Z. Satu isi cerita pun tak tertinggal. Jelas dan terang sekali penceritaan penuh emosi oleh Nur. Diya tumpang mendengar sama seolah-olah dirinya tak terlibat sebagai sebahagian daripada watak penting dalam cerita.
“Untung betul kau Diya. Bertuah kau dapat suami yang baik macam Zahil,” puji Maira setelah Nur menamatkan ceritanya.
“Kau ni cakap macam kau tu tak bertuah saja kahwin dengan Faizal,” balas Diya menyebabkan air muka Maira berubah kelat. Diya jadi serba salah apabila menyedari perubahan riak wajah Maira itu. Aku tersalah cakap ke?.
“Errr… Maira, aku minta maaf kalau aku salah cakap,” Diya cepat-cepat meminta maaf. Tidak mahu Maira terasa hati dengan kata-katanya.
“Eh! Tak ada la. Aku ok je. Aku bahagia kahwin dengan Faizal. Dia suami yang baik,” pantas Maira bersuara dengan memaniskan roman wajahnya.
“Diya, pergi la buat air. Aku dahaga ni. Tak patut betul kau ni, tetamu datang tak hidang air pun,” cepat pula Maira mengubah topik cerita.
“Ah? Aaa… ok. Sorry ye. Aku lupa pula,” Diya baru saja tersedar dari situasi tercengang dengan sikap Maira yang pelik sikit dari kebiasaan. Sempat Diya bertukar pandang dengan Nur sebelum bangun menuju ke dapur. Diya tahu Nur juga rasa apa yang dirasakannya.
Diya sedang memasukkan ais batu ke dalam jug berisi air jus lemon ketika Nur dan Maira datang membuat lawatan ke dapur. Meleret saja senyum di bibir Diya tatkala mendengar pujian Nur dan Maira tentang dapur rumahnya. Nak kata apa lagi kalau dah memang cantik. Tiba-tiba Diya rasa secalit perasaan beruntung kerana bersuamikan Zahil Hariz. Hai, baru nak rasa beruntung. Itu pun secalit cuma. Nasib la kau, Zahil Hariz!
Tidak jadi Diya hendak menghidangkan minuman di ruang tamu kerana mereka akhirnya duduk minum di meja makan di dapur saja. Diya teringat bahawa Zahil ada membeli beberapa jenis biskut untuk dihidangkan kepada tetamu lalu membuka kabinet dapur dan mengeluarkan bekas jenama Tupperware berisi pelbagai jenis biskut. Tak la tetamu dijamu dengan air saja. Sedap sikit berbual sambil mulut mengunyah-ngunyah. Tak begitu?
“Hidup kau bahagiakan, Diya?” Nur menyoal lagi. Seakan tidak senang hati selagi Diya tak cakap yang dia bahagia.
“Hem… kau pun tahu masa silam aku macam manakan. Aku pun tak tahu la sampai bila Zahil boleh bertahan dengan aku ni. Susah untuk aku lihat masa depan tanpa berpaling memandang masa silam aku. Aku takut…” luah Diya bernada kesal.
“Diya, jangan sekali-kali mentafsir masa depan berdasarkan pengalaman silam. Sebaiknya kita harus mencuba untuk baiki diri. Jadikan setiap pengalaman sebagai teladan dan sempadan untuk melangkah hari depan dengan penuh keyakinan!” nasihat Nur penuh semangat ala-ala kaunselor pun ada.
Diya angguk perlahan. Kata-kata Nur itu betul namun susahnya hati Diya hendak memahat kata-kata itu dalam diri.
“Kau macam mana Maira? Tentu bahagiakan. Bila nak timang cahaya mata?” Nur ubah topik berkisar kehidupan Maira pula. Tidak mahu atmosfera terus redup.
“Aaaa… mesti la aku bahagia. Aku ni ada rupa macam hidup menderita ke?” jawab Maira.
Nur dan Diya saling bertukar pandangan. Ada kelainan pada raut wajah Maira setiap kali mereka menyentuh perihal rumah tangga wanita itu. Namun kedua-dua mereka cuba untuk bersangka baik.
Pada Diya, hari itu merupakan hari paling gembira setelah hampir dua minggu menjadi isteri Zahil Hariz. Kerana pada hari itu dia dikunjungi sahabat-sahabat setianya yang menjadi tunjang ketika dia hampir rebah dahulu. Walaupun mereka turut hadir pada majlis akad nikahnya dulu, kehadiran mereka ke teratak kediamannya pada hari ini bagaikan memberi hembusan semangat untuk Diya membina hidup barunya.


Masa pantas berlalu dan genap dua bulan usia perkahwinan Zahil dan Diya. Kebahagiaan masih samar-samar namun mereka tetap berusaha untuk memberi komitmen sebagai suami isteri sedaya mungkin. Sesungguhnya bukan suatu yang mudah untuk membina keyakinan dalam diri seorang wanita yang hilang kepercayaan terhadap lelaki. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan menuntut sikap toleransi dalam diri Zahil.
Adakalanya Diya bersikap dingin dan ada masanya Diya terlalu mudah dikuasai emosi. Ternyata Diya masih takut untuk menyerahkan hati pada Zahil. Bimbang sekali andai hati itu disakiti. Takut dikhianati setelah sebulat hati memberi cinta pada Zahil yang kini bergelar suami. Namun Zahil tak pernah beralah untuk membina kepercayaan dan keyakinan itu sedikit demi sedikit.
Hari ini Zahil mengajak Diya pergi membeli barang dapur. Zahil meminta Diya membeli bahan-bahan untuk menyediakan hidangan ikan bawal masak tiga rasa. Mengidam katanya. Entah kenapa pula hendak mengidam pun Diya tidak tahu.
Meremang bulu tengkuk Diya semasa Zahil berbisik yang dia mengidam ikan bawal masak tiga rasa. Sudah la lelaki itu tersengeh-sengeh. Apa hal? Pelik bin ajaib saja perangai Zahil itu.
Diya ikut saja kehendak Zahil. Nanti ingkar kena cop tak taat dan dapat dosa nusyuz percuma. Sebolehnya Diya belajar untuk menjadi isteri yang baik. Diya cuba menyempurnakan segala keperluan Zahil walaupun tanggungjawab di dalam kamar tidur tidak terdaya untuk disempurnakan. Diya belum bersedia mental dan fizikal.
Diya masih ingat lagi peristiwa sebulan yang lalu. Ketika itu Zahil entah sengaja atau tidak meletakkan tangan melingkari pinggangnya. Dalam nyenyak tidur itu, Diya bagai terkena renjatan eletrik. Terus terjaga, meloncat turun dari katil dan duduk terperosok di tepi almari.
Degupan jantung Diya cukup kencang sehingga bisa didengari telinga sendiri. Kepala lutut dipeluk dan kepala Diya terbenam antara dua kepala lutut dengan keadaan menggigil seluruh tubuh. Diya tampak ketakutan sekali.
Zahil yang terkejut dengan tindak balas Diya itu segera merapati isterinya. Tangan kanan Zahil ingin mengusap rambut Diya namun sebaik saja telapak tangannya menyentuh rambut hitam itu, Diya menjerit-jerit bagai orang kerasukan. Zahil jatuh terlentang ke belakang apabila kaki Diya yang asalnya berada dalam pelukan dihayun menendang dadanya.
Pada malam tersebut, Diya akhirnya tertidur diceruk almari manakala Zahil berjaga sepanjang malam. Lelaki itu bersengkang mata menjaga Diya kerana bimbang isterinya berbuat sebarang perkara di luar dugaan.
Zahil kembali mendekati Diya setelah menjelang subuh. Usai solat subuh berjemaah, Zahil meminta maaf. Sebaliknya Diya yang kelihatan lemah dan tidak bermaya hanya berdiam diri.
Diya sedar sejak peristiwa malam itu, Zahil tidak lagi cuba menyentuh batang tubuhnya ketika tidur. Diya tidak tahu apa perasaan Zahil. Marahkah? Wanita itu juga rasa bersalah namun Diya tidak dapat memadamkan sejarah hitam hidupnya dari ingatan sepenuhnya.
Setiap kali bersama Zahil, Diya jadi ketakutan. Bayangan wajah Zakuan seakan sentiasa mengekori. Sentuhan Zahil bagaikan renjatan eletrik yang menghidupkan ingatan terhadap peristiwa hitam tersebut. Diya jadi takut pada sentuhan seorang lelaki. Walaupun lelaki itu suaminya sendiri.
Zahil kemudian membawa Diya bertemu pakar psikologi dan psikiatri. Hasil rawatan mendapati Diya mengalami posttraumatic stress disorder (PTSD) atau satu masalah kecelaruan emosi berpanjangan yang berlaku selepas seseorang mengalami sesuatu tragedi di dalam kehidupan mereka.
Masalah tersebut selalu terjadi kepada golongan yang trauma selepas tragedi seperti kemalangan, dirogol, peristiwa bencana alam seperti tsunami dan akibat peperangan. PTSD selalunya terjadi  enam bulan selepas mengalami peristiwa ngeri tersebut.
Mengikut kes yang dialami Diya, dia sentiasa tidur dengan bantuan ubat tidur kerana sering tidak dapat tidur dan bermimpi ngeri. Malah merasa ketakutan apabila disentuh Zahil semasa tidur kerana ia akan mengingatkan Diya pada tragedi lampau yang menakutkan. Mujur la Diya tidak mengalami PTSD yang teruk. Rawatan yang psikoterapi di samping pengambilan ubat yang disyorkan doktor telah membantu menangani masalah tersebut.
Di samping itu, Diya turut mengamalkan bacaan doa dan zikir penenang jiwa. Alhamdulillah, keadaan Diya semakin positif kini berbanding dulu. Sokongan daripada Zahil banyak membantu Diya untuk menangani PTSD.
Hasil rawatan psikoterapi juga membantu Diya menyedari bahawa yang dialaminya hanya satu imaginasi dalam kotal fikiran dan tidak membahayakan dirinya. Jika ia berterusan, Diya akan menjadi lali terhadap trauma yang dialami. Walau bagaimanapun, Diya masih belum cukup kuat untuk menghadapi trauma tersebut dan Zahil terus sabar memberi sokongan pada isterinya.
“Diya! Diya!” sudah beberapa kali Zahil memanggil nama isterinya sambil melambai-lambai tangan di depan mata Diya. Namun Diya hanya tersedar dari teringatkan peristiwa sebulan lalu setelah Zahil goncang bahunya.
“Jauh berangan sampai langit ke berapa?” soal Zahil bernada memerli saja.
Diya mencebik. Zahil ketawa sambil geleng kepala. Diya, Diya. Duduk tengah pasar pun boleh berangan. Jual dekat tauke ikan pun dia belum tentu sedar.
Diya terus menolak troli yang penuh dengan pelbagai barangan dapur menuju kaunter bayaran. Semua barang-barang keperluan dirasakan sudah mencukupi. Kalau tak cukup, pandai-pandai la Diya minta Zahil rajinkan diri pergi membeli. Tapi apa la sangat setakat perut mereka berdua saja yang perlu diisi.
Ketika beratur menunggu giliran, Diya terpandang seseorang yang dikenalinya sedang beratur selang dua kaunter dari kedudukannya. Diya menyerah troli untuk dijaga Zahil sementara dia hendak pergi menyapa lelaki tersebut. Namun begitu, langkah kaki Diya terhenti apabila lelaki itu dirapati seorang perempuan yang tidak Diya kenali. Gaya mereka cukup mesra seperti pasangan kekasih lagaknya. Diya yang hendak menegur sudah terbantut niatnya lalu kembali menghampiri Zahil.
“Kenapa? Awak kenal lelaki dengan perempuan tu?” soal Zahil sambil menolak troli kehadapan setelah pelanggan di depan mereka sudah siap membuat bayaran.
“Lelaki tu suami Maira. Perempuan tu saya tak kenal,” jawab Diya dengan wajah serius. Terbakar sungguh hatinya saat ini. Tidak disangkanya dia menjadi saksi kepada kecurangan suami sahabat baiknya sendiri. Kerana itukah Maira kelihatan lain macam saja ketika mengunjunginya tempoh hari?
Keluar daripada Pasar Raya TESCO itu, Diya terus menonong menuju kereta dengan tangan membawa barang-barang yang tidak muat dibawa tangan Zahil. Tiba di kereta, sungguh tidak disangka-sangka apabila pasangan yang mencetuskan amarah dalam hati Diya berada di sebelah kereta Sonata Hyundai milik Zahil. Lelaki itu tergamam setelah terpandang Diya selepas menutup bonet Honda Civic miliknya.
Wajah Diya cukup tegang menikam wajah Faizal yang sudah merenek peluh di dahi. Jika tidak kerana tangan Diya penuh dengan plastik barang, mahu saja dia ketuk lelaki itu dengan kasut bagi mewakili pihak Maira. Zahil sudah menghampiri Diya dan mengambil plastik barang di tangan Diya lalu dimasukkan dalam bonet kereta.
Wanita yang bersama Faizal tadi sudah masuk ke dalam kereta tetapi kembali keluar mendapatkan Faizal setelah menyedari sesuatu yang pelik pada lelaki itu. Lengan kiri Faizal dipaut erat oleh wanita itu. Semakin menyilau mata Diya menikam wajah Faizal. Saat ini, Diya terbayangkan raut wajah Maira. Pasti hancur hati sahabatnya andai melihat ada wanita lain memeluk erat lengan suaminya seperti yang dilihat Diya kini.
“Ini isteri pertama saya, Suraya,” akhirnya Faizal membuka mulut.
Tersentap jantung Diya mendengar kenyataan itu. Zahil yang berdiri di sisi mencapai jemari Diya lalu digenggam erat seolah-olah menyalurkan kekuatan untuk Diya berdepan hakikat itu.
“Saya dah terus terang pada Maira,” beritahu Faizal lagi.
Sangkanya Suraya telah merampas suami Maira rupa-rupanya Maira yang menjadi isteri kedua Faizal. Diya ingin bersuara namun Zahil terlebih dahulu menarik tangan Diya lalu dituntun masuk ke dalam kereta. Kereta Sonata Hyundai itu dipandu Zahil keluar daripada kawasan parkir.
Diya menangis tersedu-sedan di dalam kereta. Menangisi nasib malang sahabatnya yang hidup bermadu tanpa mengetahuinya pada awal perkahwinan dulu. Masih terbayang riak ceria di wajah Maira pada hari pernikahannya. Cukup bahagia berbeza sekali dengan riak wajah pada pertemuan mereka beberapa hari lalu. Rupa-rupanya hal itu menjadi punca.
“Kita ke rumah Maira!” putus Diya.
Terkejut Zahil mendengar keputusan Diya itu. “Diya, bawa bersabar dulu. Takkan nak serbu rumah Maira macam tu. Biar mereka selesaikan masalah rumah tangga mereka sendiri.”
“Selesaikan? Faizal dah madukan Maira! Dia tipu Maira!” marah Diya pada Faizal seakan dilampiaskan pada Zahil.
Yes, saya tahu. Tapi awak kena bersabar. Pasti ada sebabnya kenapa Faizal buat macam tu.”
“Sebab? Sebab nafsu!” bidas Diya penuh emosi. Merah wajah Diya dek amarah mengusai diri.
“Tak baik tuduh melulu macam tu,” nasihat Zahil masih berlembut kata.
“Tuduh? Hei, Suraya tu tak nampak apa-apa cacat-celanya! Cantik, muda. Sebab apa lagi Faizal tu nak berpoligami kalau bukan sebab nafsu?” Diya terus mempertikai. Sungguh, Suraya seorang wanita yang cantik malah kelihatan lebih muda daripada usia Maira yang sebaya dengan Diya.
“Itu luaran, Adelia Dayana. Kita tak tahu apa masalah yang mungkin dihadapi mereka. Jangan kerana marah awak pada segelintir lelaki, awak nak bakar semua lelaki-lelaki lain dengan api amarah awak tu. Lebih baik awak belajar untuk bertenang dengan berzikir ingatkan Allah,” suara Zahil begitu tegas dan sedikit meninggi nadanya daripada awal tadi.
Ternyata teguran Zahil itu berjaya menutup mulut Diya yang menyembur macam mesin gun. Akhirnya Diya tersandar pada kusyen belakangnya. Diya lempar pandangan keluar tingkap di sebelah kiri dan menongkat dahi pada tangan kirinya. Titis mutiara jernih dibiarkan jatuh ke pipi. Mana-mana wanita dalam dunia ini tidak mahu diri mereka dimadukan dan Diya cukup tersentuh dengan nasib yang dialami sahabatnya.


Zahil melepaskan nafas yang terasa berat. Masalah rumah tangga Maira dan Faizal memberi tempias pada hubungan Diya dan Zahil yang sedia kurang baik. Malah pertemuan dengan Faizal itu menyebabkan Zahil terus kempunan nak makan ikan bawal masak tiga rasa. Mana tidaknya, Diya sudah merajuk untuk masakkan hidangan tersebut untuk suaminya.
Diya marahkan Zahil dan menuduh lelaki itu menyokong Faizal memadukan Maira. Zahil pening kepala dengan sikap Diya yang semakin prejudis terhadap dirinya. Berkali-kali Zahil tekankan bahawa dia tidak menyokong sesiapa. Tetapi Diya terus dingin dan membeku.
Segala perbuatan Faizal seakan terbeban atas bahu Zahil. Kerana nila setitik, rosak susu sebelangan. Oh! Diya, kasihanilah jiwa Zahil yang menjerit mempertahankan diri yang tidak bersalah ini.
Seminggu ini adalah hari-hari yang paling teruk dalam sejarah perkahwinan mereka yang berusia dua bulan ini. Semua usaha Zahil untuk menceriakan hubungan mereka dibalas Diya dengan jelingan tajam. Dalam tempoh seminggu ini, boleh dikira berapa kali Diya buka mulut. Zahil akhirnya mati akal. Tidak tahu bagaimana untuk membaiki hubungannya dengan Diya.
Suatu malam, Diya membaca majalah di ruang tamu dan Zahil datang duduk di sofa sebelah isterinya. Pantas Diya angkat punggung untuk melarikan diri daripada situasi berdua-duaan dengan Zahil. Belum sempat Diya panjat anak tangga, telefon yang terletak di laluan ke dapur berbunyi. Segera Diya meluru menjawab panggilan tersebut sebelum bunyi ‘Ring! Ring!’ itu mati.
Ternyata panggilan telefon itu daripada Puan Zahra yang rindukan perkhabaran anak menantunya. Keceriaan dan keramahan Diya berbual melalui talian telefon menarik perhatian Zahil. Lelaki itu tersenyum senang hati melihat teletah riang isterinya. Sepanjang dua bulan usia perkahwinan mereka, inilah pertama kalinya Zahil melihat Diya ceria begini. Atmosfera dalam rumah mereka yang dingin berubah seratus peratus.
Pertama kali juga Zahil dengar Diya ketawa ikhlas dan lihat Diya senyum begitu manis. Sesekali telinga Zahil menangkap bunyi rengetan manja Diya. Seandainya saat ini Diya merengek manja, ketawa serta senyum manis begitu pada Zahil, pastinya dia akan segera membawa isterinya bertemu pakar psikologi. Tidak pun Zahil sendiri akan bertemu pakar mata dan pakar telinga untuk memeriksa jika dirinya menghadapi masalah penglihatan atau pendengaran.
“Adelia Dayana, ayah dan ibu sihat?” soal Zahil sebaik saja Diya letak ganggang telefon.
Diya melangkah ke dapur tanpa menjawab soalan Zahil itu. Berpura-pura tidak dengar. Zahil gelengan kepala bersama senyum nipis menghadapi sikap Diya itu. Zahil kembali fokus menonton televisyen. Tidak berapa minit kemudian, Diya muncul kembali dari dapur.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil saya macam tu?” marah Diya. Awak buat hati saya tak keruan apabila sebut nama penuh saya begitu. Saya tak suka! Namun luahan rasa itu hanya dalam fikiran Diya saja.
Berkerut dahi Zahil memandang wajah serius Diya. Agak lama wajah Diya ditenung Zahil. Sebut nama penuh pun tak boleh ke? Dah tu, apa guna ayah awak Encik Azhar tu bagi nama panjang-panjang? Tak faham betul la.
“Ok.” Zahil senyum dengan anggukan kepala.
“Bagus!” sinis sekali suara Diya. Wanita itu melangkah mendaki tangga untuk masuk tidur.
Good night, sayang!” ucap Zahil sedikit menjerit tanpa berkalih memandang Diya. Sudah Diya melarangnya memanggil dengan nama Adelia Dayana, Zahil sengaja menyakat memanggil Diya dengan gelaran ‘sayang’.
Terkejut Diya mendengar ayat yang ditujukan Zahil padanya. Baru pertama kali dengar Zahil memanggilnya sayang sudah buat Diya jadi tak keruan. Kaki Diya yang baru memijak anak tangga terpelecok.
 “Oh! Mak!” latah Diya. Tubuh wanita itu terjelepok atas lantai. Zahil yang terkejut dek bunyi Diya melatah segera berpaling. Cemas Zahil melihat Diya jatuh lantas bergegas mendapatkan isterinya.
“Ya Allah, Diya macam mana boleh jatuh ni?” Jelas sekali Zahil begitu bimbang. Tubuh Diya cuba dibantu agar dapat kembali berdiri.
“Macam mana boleh jatuh? Sebab awak la!” sinis nada suara Diya. Geram.
Tangan Zahil yang cuba membantunya bangun ditepis kasar. Diya gagah untuk berdiri dengan berpaut pada penghadang tangga. Zahil hanya memerhati dengan riak bimbang. Terkial-kial Diya berusaha untuk bangun dengan susah payah sekali.
Huh! Orang ikhlas nak tolong, jual mahal pula. Dah sakit-sakit pun masih nak menjunjung ego melangit. Getus hati Zahil bersama gelengan kepala. Teletah isterinya terus diperhati.
Semasa Diya hampir berjaya untuk berdiri, tubuhnya tiba-tiba hilang imbangan dan hendak terjatuh. Laju Zahil menahan tubuh Diya daripada terlentang ke belakang.  Tup! Tup! Tubuh Diya bersandar dalam dakapan Zahil. Kepala Diya jatuh pada dada bidang Zahil.
“Dup! Dap! Dup! Dap!” Degupan jantung Zahil jelas pada pendengaran Diya.
Menyedari tubuhnya berada dalam pelukan Zahil, pantas sekali prasangka bersarang dalam fikiran. Zahil yang membantu dianggap cuba mengambil kesempatan. Hati wanita itu pantas dibakar amarah.
Diya angkat wajah memandang Zahil. Tatkala mata Diya bertemu dengan renungan mata Zahil, dia hilang bicara. Mulut mahu membantah tindakan lelaki itu tetapi suara tersekat di kerongkong. Entah mengapa, Diya seakan-akan kaku tanpa dapat berbicara walau sepatah kata saat matanya bertaut dengan renungan mata Zahil.
Hati yang menyala dengan rasa amarah bagai disiram air. Degupan jantung Diya semakin kencang daripada biasa. Berkali-kali air liur ditelan dan peluh mulai merenek di dahi. Anak mata Diya bergerak-gerak selari dengan gerakan anak mata Zahil. Kelopak mata tidak berkelip-kelip. Renungan mata Zahil mendebarkan hati Diya serta mengocak perasaannya.
Tika ini pautan tangan Zahil yang semakin erat pada pinggangnya tidak Diya tolak. Diya seakan terbuai oleh panahan mata Zahil. Bertikam mata dengan Zahil seolah membawa Diya berpijak dalam satu dunia fantasi yang mengasyikkan.
Entah dari mana angin ketenangan meresap masuk dalam hati Diya lantas menyapu pergi api kemarahan. Diya tidak tahu mengapa tetapi dia merasa senang. Senang berada dalam dakapan Zahil.
Wajah Zahil semakin mendekati wajah Diya. Tidak seperti selalu, kini Diya tidak menolak tubuh Zahil. Diya merelakan belaian mesra Zahil. Diya seakan terpukau. Perlahan-lahan kelopak mata Diya tertutup membiarkan dirinya hanyut dalam belaian Zahil.
 Saat itu, mereka seperti berjalan-jalan di taman bunga. Perasaan asyik umpama berkejaran di tepi pantai. Sehingga Diya sendiri tidak sedar tangannya merangkul dan memaut kemas leher Zahil. 
Satu.. dua.. tiga…
“Ding! Dong!” Jam besar di ruang tamu berdenting.
Diya tersentak. Bagai terkena renjatan eletrik, kelopak mata Diya terbuka luas. Hembusan nafas Zahil terasa menyentuh kulit wajah Diya. Saat mata Diya menjamah wajah Zahil, muka lelaki itu dibayangi wajah Zakuan. Mata Diya membulat. Dunia bagai disambar halilintar. Guruhnya menggegarkan jantung.
Tubuh sasa Zahil lantas ditolak menjauh dari tubuhnya. Zahil tersandar pada dinding dengan riak tercengang. Bibir Diya menggigil. Matanya tidak lari dari bertemu dengan mata Zahil yang merenung kehairanan. Kenikmatan yang membuai perasaan lenyap dalam sekelip mata. Segala-galanya bagai mimpi sedetik cuma.
“Diya…” Zahil mendekati Diya.
“Pang!” Satu tamparan tangan kanan melayang ke pipi kiri Zahil. Zahil terkedu. Diya ditatap dengan riak wajah tidak percaya.
Diya laju mendaki anak tangga seolah-olah kaki yang terpelecok tadi tidak terasa sakitnya lagi. Bunyi pintu ditutup kasar menampar pendengaran seterusnya menyedarkan Zahil yang masih terkedu di depan tangga.
Tubuh Diya tersandar pada pintu. Jemari yang menggeletar menyentuh bibir yang menggigil. Ketakutan, kebencian dan dendam menerpa segenap ruang hati secara tiba-tiba. Perlahan-lahan Diya memejamkan matanya dan fikirannya di arah melupakan peristiwa tadi.
Tatkala mata dipejamkan, Diya nampak bayang wajah Zahil. Namun sekejap cuma. Bayangan wajah Zahil hilang dan berganti dengan bayangan Zakuan yang sedang mengukir senyum jahat. Automatik Diya membuka kelopak mata.
Dada Diya berombak kencang. Berkali-kali dia menelan air liur namun ketenangan tidak juga bertamu di hati. Diya meluru mendapatkan ubat dalam laci meja solek dan beberapa biji pil ditelan diikuti tegukkan air mineral.
Setelah sedikit tenang, Diya pandang pintu kamar mandi. Laju dia mengatur langkah menuju kamar mandi dan melihat wajahnya pada cermin di dinding. Matanya jatuh pada bibir merah yang kini sudah berubah warna kebiruan dan menggigil-gigil. Diya buka pili air dan membasuh wajahnya berkali-kali. Kemudian Diya lihat lagi wajahnya pada cermin. Wajah putih kemerah-merahannya sudah menjadi pucat seperti tidak berdarah.
“Dia bukan Zakuan, Diya. Lelaki itu Zahil Hariz. Dia suami kau Diya…” bisik hati Diya tatkala memandang imejnya di cermin.
Air mata merembes keluar membasah pipi pucat Diya. Diya merasakan dirinya kian lemah. Imej wajah sendiri yang dilihat pada cermin semakin kabur. Sesaat kemudian, tubuh Diya rebah atas lantai kamar mandi.
Ketika Diya buka kelopak mata, dirinya berada atas katil. Kepala Diya terletak atas ribaan Zahil yang duduk bersandar pada kepala katil. Seingat Diya, tadi dia rebah di kamar mandi. Belum sempat Diya bangun dari pembaringan, jemari kanan Zahil menyentuh kepalanya dan mengusap lembut rambut panjangnya.
Diya tersentuh hati dengan perbuatan tanpa sedar tersebut. Tidak jadi Diya hendak bergerak. Dibiarkan tangan Zahil terus mengusap rambutnya. Diya rasa selesa begitu. Akhirnya Diya tidur lena dengan usapan lembut itu.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.