ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Sunday, September 9, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 11




Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 11
Usai solat isyak, Diya terus merebah tubuh atas katil. Ada sesuatu yang bermain-main dalam fikirannya. Diya teringatkan peristiwa di hospital siang tadi. Otak memikirkan perihal pesakit yang dilihatnya di hospital pada ketika itu. Diya menduga pesakit itu adalah Zakuan. Jika siang tadi Diya seakan pasti, ketika ini dia jadi ragu. Benarkah yang ditemuinya itu Zakuan Helmi?
Argh! Jika benar, apakah yang mahu dilakukannya? Kembali mencari Zakuan di hospital? Amarah mencengkam emosi. Mengingat kembali perbuatan Zakuan terhadapnya, seluruh tubuh bagaikan terbakar. Dendam dan kebencian bercambah di segenap ruang hati.
Tiada sesaat dalam hidupnya berlalu tanpa penyesalan. Sungguh, Diya kesal mengenali Zakuan Helmi. Diya katup rapat kelopak mata. Sejarah hitam dalam hidupnya bermula sejak mengenali lelaki itu.


“Diya, wakil daripada syarikat Teguh Bumi sudah sampai belum?” soal Tuan Rahmat, majikan Diya melalui interkom.
“Belum sampai lagi Tuan Rahmat. Tuan hendak saya hubungi untuk mendapatkan kepastian meeting dengan wakil tersebut?”
“Tak mengapa. Kalau wakil mereka datang, suruh dia terus masuk.” Tuan Rahmat memberikan arahan.
“Baik tuan,” Diya akur.
Tuan Rahmat seorang majikan yang baik dan berdedikasi dalam tugas. Diya senang bertugas dengan majikan baik itu. Sememangnya Diya ada mendengar pengalaman beberapa rakan sejawatan dengannya bahawa bertugas dengan majikan lelaki lebih mudah berbanding majikan perempuan. Almaklum saja, wanita ini sifatnya lebih cerewet dan lelaki lebih fleksibel. Tapi pada Diya, lelaki atau perempuan jika majikannya itu seorang yang jujur dan profesional dalam tugas itu lebih baik daripada majikan ulat bulu naik daun.
“Cik, saya wakil dari Teguh Bumi, saya ada appointment dengan Tuan Rahmat,” sapa satu suara agak parau.
Segera Diya panggung kepala yang menunduk. Mata Diya menangkap seraut wajah tampan yang sedang tersenyum manis padanya. Kacak juga mamat ni, senyuman pun menggoda je. Diya seakan terpegun seketika malah lelaki itu juga seakan terkedu walau senyuman masih mekar di bibir. Sedar balik Diya! Jangan mudah tergoda.
“Errr… encik ni?” Diya segera berpijak di bumi nyata.
“Saya Zakuan Helmi, wakil dari Teguh Bumi.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya. Masih tersenyum dengan ceria pada Diya. Cun kot minah ni. Sekali pandang dah telan air liur.
“Encik Zakuan boleh terus masuk ke dalam. Tuan Rahmat sudah menunggu encik,” maklum Diya penuh sopan. Senyuman lelaki itu dibalasnya sekadar perlu. Alah, dah tengok lama-lama tak la kacak sangat. Cuma senyuman mamat ni je mempersonakan. Almaklum la ada lesung pipit. Pakej tu…
“Terima kasih. Nama cik?”
Duga Diya lelaki itu akan terus berlalu. Tidak disangka Zakuan masih tercegat di situ dan menanti jawapan daripada Diya. Alang-alang tu tanya nama dulu. Heheee… lain-lain boleh tanya nanti.
“Adelia,” jawab Diya ringkas dengan bermanis muka. Tetamu wajar dilayan mesra untuk menjaga imej syarikat. Itu sudah tanggungjawab setiap kakitangan yang bernaung di bawah organisasi syarikat.
Nice name. Saya panggil Lia, ok!” ujar Zakuan sambil membuat isyarat jari. Zakuan kemudian menapak ke bilik pejabat Tuan Rahmat.
Itulah pertemuan pertama antara Diya dan Zakuan. Faktor urusan kerja menyebabkan mereka kerap bertemu. Zakuan sebagai wakil syarikat tempat kerjanya sering bertemu Tuan Rahmat atas urusan projek usaha sama antara dua syarikat ini. Diya pula sebagai setiausaha Tuan Rahmat juga menjadi penyambut kepada kedatangan Zakuan. Lama kelamaan hubungan kerja berubah menjadi hubungan sebagai kawan. Itu pun Zakuan yang memulakannya. Tidak jemu-jemu lelaki itu mengejarnya bagi menghulurkan salam persahabatan.
Zakuan seorang yang murah senyuman dan ramah. Malah lelaki itu seorang yang berterus terang. Siang siang lagi Zakuan sudah meminta nombor telefon Diya dan menyatakan hasratnya untuk lebih akrab dengan Diya. Diya agak keberatan pada mulanya tetapi terpaksa akur apabila Zakuan tanpa segan silu menyatakan hasrat hatinya di hadapan Tuan Rahmat. Diya jadi malu pada Tuan Rahmat memandangkan usia pekerjaannya baru mencecah setahun. Tetapi Zakuan sebaliknya. Lelaki itu menganggap itu sebagai bukti kejujuran dan keikhlasannya.
Perhubungan mereka agak rapat memandangkan Zakuan melayannya dengan mesra. Diya tidak menafikan yang Zakuan sangat baik terhadap dirinya. Malah Diya sendiri tidak menyangka yang lelaki baik itu bakal mengukir sejarah hitam dalam hidupnya. 


Awal pagi lagi Zahil sudah datang melawat Zakuan. Terkejut juga Zakuan menerima kedatangan Zahil itu. Sejak dia masuk hospital, Zahil adalah orang yang paling kerap datang melawatnya. Sedangkan adik kandungnya Zarina, belum sekali pun nampak batang hidungnya. Malah mamanya juga sudah jarang bertandang kerana sibuk dengan urusan perniagaan. Sedikit sebanyak, keprihatinan Zahil itu menyentuh hati Zakuan.
“Kau sihat?” soal Zahil sebaik saja duduk di kerusi.
“Kalau aku sihat, tak la duduk dalam hospital ni,” balas Zakuan.
“Ok, aku tanya soalan bodoh.” Zahil garu kepala. Ada usul lain yang ingin dicakapkan.
Suasana jadi sepi apabila masing-masing seakan hilang idea untuk berbual.
“Kau apa hal datang sini? Jangan cakap yang kau datang sekadar nak melawat aku,” Zakuan bersuara mengisi sepi antara mereka.
“Kalau ye, kenapa?”
Zakuan senyum sinis. “Kelakar la Zahil. Aku tak pernah peduli kalau kau nazak sekali pun. Ni, kau nak tunjuk prihatin pula dekat aku. Kau jangan fikir aku nak boleh terharu pula.”
Zahil pula yang mengukir senyum sinis. Zahil tahu, hati Zakuan tidak sekasar bicara di bibirnya.
“Tak ada yang kelakar pun. Kau lupa ke? Waktu kecil dulu, aku yang selalu tolong Mak Jah jaga kau bila kau demam. Aku juga yang tolong kau masa kau jatuh basikal dulu. Aku yang…” Zahil mengulang cerita satu persatu.
Stop it! Tak payah nak putar cerita lama yang kau la jadi hero tolong dukung aku dekat belakang dan bawa balik rumah,” pintas Zakuan.
“Kau dah cakap, aku tak cakap pun.”
“Aku betul la tak faham dengan kau ni, Zahil. Tak ada ke secalit rasa benci dalam hati kau bila aku dengan family aku layan kau dengan buruk. Mama marah-marah… hina kau, Zarina kutuk-kutuk kau. Kau tak marah ke? Aku pula dari dulu selalu buli kau, cakap kasar-kasar,” luah Zakuan.
Zahil senyum nipis. Hampir mahu ketawa juga. “Mama yang besarkan aku. Dia ada hak untuk marah aku. Kau dan Zarina adik aku, aku abang. Abang kena la beralah dengan adik.”
Mendengar jawapan Zahil itu, Zakuan geleng kepala. “Betul la kau ni bodoh!” namun kata-kata itu tiada berbunyi seperti mengherdik Zahil. Lebih bernada gurauan.
“Kau dah boleh mengata aku ni, kira dah sihat la ye,” sambut Zahil turut ketawa kecil.
“Ok la sikit. Belum rasa macam nak mati lagi,” jawab Zakuan pula. Ada bunga-bunga hubungan antara mereka bakal jernih semula.
“Tapi, aku nak tanya kau satu hal.” Zahil tidak sabar lagi untuk membuka topik utama yang membawanya melawat Zakuan pada hari ini.
“Hal apa pula?” terangkat kening Zakuan.
Zahil membulat tekad. Dia sudah sedia untuk ke topik utama. “Sebelum kemalangan hari tu, kau ada cakap tentang seseorang. Kau cakap tentang seseorang bernama Lia.” Zahil mengintai reaksi Zakuan.
Wajah Zakuan berubah kelat. “So? Apa kau nak tahu?” nada suara Zakuan berubah kasar.
“Apa hubungan kau dengan Lia? Apa dah jadi antara kau dengan dia?” soal Zahil. Jantungnya berdegup kencang saat ini. Debar sekali menanti jawapan dari akal waras Zakuan.
Zakuan ukir senyum sinis. Lambat-lambat dia menjawab.
“Kami pernah saling mencintai,” ujar Zakuan bersahaja.
Kening Zahil berkerut. “Pernah mencintai?” Frasa ‘pernah’ itu menimbulkan persoalan. Entah mengapa, Zahil sukar mempercayai kata-kata Zakuan. Dia tak nampak kejujuran pada wajah itu.
“Ye…” Zakuan angguk dengan muka selamba.
“Kalau hubungan kau dengan dia setakat tu, kemalangan malam tu tak akan berlaku. Kau berterus terang saja dengan aku,” asak Zahil lagi. Sungguh, lelaki itu tak berpuas hati.
“Kau ni macam polis pencen, tahu?” Zakuan merengus kasar.
“Malam tu, kau kata…” Jemari Zahil yang diseluk dalam seluar dikepal menjadi buku lima. “Kenapa kau kata, Lia mungkin pregnant?”
Zakuan nampak terkejut. Matanya membulat mendengar kata-kata Zahil itu. Namun Zakuan tidak pula bersuara memberikan jawapan.
“Kenapa diam?” Zahil terus mengasak.
Zakuan menentang renungan mata Zahil yang cukup tajam. “Hubungan kami lebih dari tu. Kami pernah terlanjur! Puas hati?”
Menyirap darah Zahil mendengar pengakuan sebegitu rupa. Wajah Zakuan yang langsung tiada secalit rasa bersalah mengocak emosi Zahil.
“Kau jangan menipu aku! Tak mungkin Lia…” Zahil tak berdaya menghabiskan kata-katanya. Tak mungkin Diya perempuan yang macam tu! Tak! Diya tak semurah tu.
Zakuan tersenyum sinis. “Macam la kau kenal Lia tu siapa. Lagipun, Lia bukan satu-satunya perempuan yang aku pernah bawa atas katil.” sindir Zakuan.
Zahil cuba untuk terus sabar dan tenang walau gelora hati kian hebat.
“Tapi aku kenal kau. Aku tengok keadaan kau semalam. Kau tak akan jadi macam tu kalau Lia sama macam perempuan-perempuan lain!” keras suara Zahil walau nadanya masih terkawal.
“Hubungan aku dengan Lia, tak ada kena-mengena dengan kau,” tingkah Zakuan.
“Perkara yang kau buat terhadap Lia, aku nak kau bertanggungjawab dengan perbuatan kau,” balas Zahil.
Zakuan mencebek.
“Kau tak payah ambil tahu urusan aku. Kau siapa nak arah aku?” persoal Zakuan. Tercabar ego lelakinya.
“Kau kena bertanggungjawab dengan perbuatan kau!” Zahil juga sudah tidak dapat berlembut kata. Dia merasa harus bertegas. Buku limanya digenggam menahan sabar.
“Bertanggungjawab? Sebab apa?” meninggi nada Zakuan.
Hati Zahil rasa bagai disayat-sayat. Amarahnya bergelojak. Kesabaran kian menghampiri batasan.
“Semalam kau kata Lia mungkin pregnant. Bukan ke kau harus bertanggungjawab sebab tu?” tegas Zahil.
Zakuan ketawa besar seolah-olah mengejek kata-kata Zahil itu.
“Buat pengetahuan kau, semua perempuan yang aku dah usung atas katil tak layak dibuat bini! Setakat mainan tidur boleh la!” ejek Zakuan.
“Kurang ajar!” jerit Zahil serentak itu menerkam ke arah Zakuan. Tangan Zahil mencengkam baju di dada Zakuan dan menolak tubuh lelaki itu tersandar pada kepala katil.
“Wooo… kau apa hal? Macam la Lia tu girlfriend kau!” tingkah Zakuan dengar wajah berkerut-kerut menahan sakit.
Mata Zahil bulat menikam anak mata Zakuan. Bergerak-gerak pipi Zahil membendung gelojak amarahnya.
“Ini bukan soal siapa dia. Ini soal tanggungjawab! Walau sesiapa pun perempuan tu, kau mesti bertanggungjawab atas perbuatan kau. Kau dah musnahkan hidup dia. Orang yang kau dah musnahkan hidup mereka, mereka juga ada mak bapak, ada keluarga, ada masa depan!”
“Kenapa aku nak fikir tu semua?” balas Zakuan tanpa nada kesal. Egonya masih dijunjung melangit.
“Kau… kalau nak cakap, guna la akal kau tu! Apa kau buat tu, kalau orang lain buat perkara sama pada Zarina, pada Kamelia, apa kau rasa? Kalau ada lelaki yang permainkan adik dan kakak kau, apa kau rasa hah? Kau tak fikir ke tu semua? Kenapa kau bodoh sangat?” tengking Zahil.
“Baik kau lepaskan tangan kau sekarang!” tempik Zakuan seakan tiada lagi kesakitan yang menyengat tubuh.
Zahil leraikan rangkulan kejap pada leher baju Zakuan. Dadanya berombak kencang dengan nafas turun naik. Zakuan merengus geram manakala Zahil cuba mengawal aturan nafas bagi meraih ketenangan.
“Tak payah la kau nak tunjuk baik sangat. Nak nasihat aku konon. Kau cermin dulu diri kau. Kau dengan aku, tak ada beza pun,” ujar Zakuan dengan mimik muka mengejek.
“Kau harus bertanggungjawab! Kau mesti!” Tajam mata Zahil menikam ke dalam mata Zakuan.
Bahang antara mereka makin terasa. Zahil tidak peduli. Zakuan harus bertanggungjawab walau apa jua alasannya.
“Kau ingat aku bodoh ke nak jilat balik ludah aku. Lagipun, perempuan tu yang bodoh!” bentak Zakuan.
Kesabaran Zahil terus tercabar.
“Kurang ajar!” Serentak dengan tempikan itu, sekali lagi Zahil menerkam ke arah Zakuan. Kali ini tangan Zahil menolak batang leher Zakuan sehingga lelaki itu tersandar rapat ke palang katil. Tangan Zahil mencekuk leher Zakuan sehingga lelaki itu tercungap-cungap menarik nafas dengan kepala sedikit mendongak.
“Cuba kau jadi manusia yang bercakap guna akal bukan dengan nafsu setan kau tu!” Tulang pipi Zahil bergerak-gerak dengan tikaman mata yang merah menyala seakan Zakuan mahu ditelan hidup-hidup.
Tiba-tiba pintu bilik wad dibuka dan Datuk Laila, Mak Jah serta Kamelia muncul di depan muka pintu.
“Zahil!” jerit Datuk Laila seraya menerpa ke arah mereka berdua yang seakan bergelut di atas katil.
Tersentak dari bauran emosi yang membakar, Zahil pantas melepaskan cengkaman pada batang leher Zakuan. Kini Zahil berdepan Datuk Laila yang memandangnya seakan mahu menelan.
“Pang!” penampar hinggap ke pipi Zahil.
“Kau nak bunuh anak aku ke hah? Aku dah agak dah Jah, budak ni memang nak bunuh anak aku!” Datuk Laila sudah mula ingin memaki-hamun Zahil.
“Kenapa ni Zahil? Apa dah jadi sampai nak pukul-pukul ni?” Mak Jah menyoal lembut.
“Apa dah jadi?” Kamelia turut bertanya hujung pangkal cerita. Zahil bukan seorang yang mudah hilang sabar. Pasti Zakuan telah mencabar kesabaran yang tinggi itu.
Zahil meraup wajah dengan tangan. Matanya masih menyorot tajam wajah tegang Zakuan dengan nafas yang mendengus. Zahil kemudian berlalu tanpa sepatah kata.
“Budak jahat begitu, kau masih nak bela dia. Kalau kita lambat tadi, entah apa jadi pada Zakuan ni,” ngomel Datuk Laila pada Mak Jah.
“Dah la mama. Tak ada apa-apa jadi pun,” Kamelia membela Zahil. Firasat Kamelia membisikkan hal ini berkaitan dengan Diya. Apakah perkara yang berlaku sebenarnya?
“Kau ni Kamelia, apa budak tu buat semua tak apa. Dia nak bunuh adik kamu pun masih tak apa juga!” marah Datuk Laila.
“Ish! Mama ni, Zahil bukan nak bunuh Zakuan pun. Mama tu, bawa bertenang sikit,” Kamelia tidak mahu Datuk Laila terus menghukum Zahil.
“Betul la cakap Zarina. Kau, Kamelia… memang pembelot keluarga!” kata Datuk Laila dengan penuh emosi.
“Ma… sampai hati mama.” Kata-kata Datuk Laila menyentap perasaan Kamelia.  Kamelia kemudian melangkah keluar dari bilik wad itu sambil menekup mulut menahan sebak di dada.
Mak Jah kematian bicara. Tidak tahu harus berbuat apa lagi. Masalah dalam keluarga Datuk Laila semakin bersimpul seperti benang. Kusut!


Zakuan tidak mahu sesiapa menemaninya di hospital. Disuruh semua ahli keluarga pulang bagi memberi ruang untuk dia rehat dan menyendiri. Datuk Laila tidak banyak bicara. Akur saja pada kehendak Zakuan walaupun dia baru tiba. Kekecohan yang berlaku membuatkan Zakuan bersikap dingin dan Datuk Laila tidak mahu kesihatan anaknya semakin merosot.
Sebaik saja ditinggalkan sendirian, Zakuan melepaskan keluhan berat. Sesungguhnya apa yang diucapkan pada Zahil adalah bertentangan dengan jeritan batinnya. Saban hari dia hidup dalam penyesalan. Sungguh, Zakuan sangat kesal atas apa yang berlaku. Lia… Zakuan menggumam dalam duka.


Zahil melangkah longlai di sepanjang laluan koridor hospital. Dunianya terasa kelam. Apa yang baru berlaku dalam hidup ini diharap sekadar mimpi ngeri. Sesungguhnya lelaki itu terlalu kecewa. Sukar untuk Zahil mempercayai kata-kata Zakuan sebentar tadi.
“Ya Allah, tak mungkin… tak mungkin Diya…” Zahil tak mampu melanjutkan rintihan jiwa yang dirusuh lara.
Keluar dari perkarangan hospital, langkah kaki Zahil terasa kian goyah. Zahil tersandar lesu pada badan kereta Sonata Hyundai miliknya sebelum tubuh sasa itu melorot jatuh terduduk atas jalan. Matanya berkaca namun sedaya upaya sendu itu ditahan agar tangisannya tidak berlagu.
“Hubungan kami lebih dari tu. Kami pernah terlanjur! Puas hati?” kata-kata Zakuan sebentar tadi bergema dalam kotak ingatan.
Zahil mengancing gigi dengan seluruh urat saraf ditarik tegang. Jiwanya menjerit. Kecewanya bukan kepalang. Dada bagaikan hendak pecah. Sekeping hati yang tulus mencintai kini dicarik-carik oleh kenyataan yang tak mahu diakui.
“Diya!” suara hati yang terpendam memekik lantang.
Zahil terus menggeleng kepala. Menafikan kenyataan Zakuan yang tak mahu dipercayainya. Diya bukan begitu!


“Kamelia ada masalah ke?” soal Diya tatkala melihat Kamelia yang tampak tidak bermaya berjalan masuk di butik.
Kamelia sekadar geleng lemah. Wanita itu hanya mampu membisu saat seribu satu tanda tanya berkaitan perubahan sikap Zahil mengasak fikirannya. Dapat dihidu masalah Zahil dan Zakuan mempunyai kaitan dengan Diya. Namun begitu, Kamelia tidak berani melanggar janjinya pada Zahil. Walau apa jua, persoalan dibenaknya tidak akan dipecahkan pada Diya.
Diya tidak mahu banyak tanya memandangkan Kamelia sendiri enggan berkongsi cerita. Barangkali masalah yang dihadapi terlalu peribadi untuk dikongsi bersama orang luar sepertinya. Diya lalu menyibukkan diri dengan kerjanya.
Kamelia sekadar memerhati tingkah Diya dengan berteka-teki dalam hati. Benarkah Diya pernah menjalin hubungan cinta dengan Zakuan? Bagaimanakah perjalanan cinta mereka? Kamelia menghela keluhan lemah. Lelaki sebaik Zahil ditolak Diya, mungkinkah Diya bisa mencintai lelaki seperti Zakuan? Kamelia benar-benar kebingungan.
 

5 comments:

  1. Waahhh.... semakin mendebarkan.... kesian Zahil, simpati pd Diya... huhuhu... kusut2...
    Cik writer... cpt2 smbg yaa....

    ReplyDelete
  2. alahai...tgh syok2 bc, ttba ade sambungan plak...huhuhu...cpt2 smbg, x sabo nktau, zahil 2 g pinang diya tok die k zakuan...

    ReplyDelete
  3. bila nak sambung next entry? tak sabar nak tunggu:)

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.