ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 27




BAB 27
Tujuh bulan usia perkahwinan Zahil dan Diya tidak mengubah apa-apa. Ternyata bukan mudah untuk Zahil memiliki sekeping hati milik Adelia Dayana. Zahil tertanya-tanya, adakah Diya masih trauma terhadap masa silamnya atau disebabkan oleh hati wanita itu yang sememangnya kalis terhadap cinta seorang lelaki?
Adakalanya Zahil takut. Takut andainya dia lelah dalam mengejar cinta Diya sedangkan cinta buat Diya seluas lautan. Namun apa erti mencurah cinta seluas lautan andainya hati Diya umpama daun keladi.
Segalanya telah Zahil cuba. Setiap hari rabu, Zahil menyambut kepulangan Diya dari kerja bersama sejambak bunga mawar merah khas untuk isterinya. Pada setiap malam minggu pula, Zahil membawa Diya makan malam di luar. Segala peluang digunakan Zahil untuk menghidupkan suasana romantik dan detik-detik bahagia dalam hubungan mereka. Namun Zahil umpama beristerikan patung cendana yang tidak berperasaan.
Hari ini Zahil cukup gembira setelah pelanggannya, Tan Sri Guo menyukai hasil kerjanya. Tan Sri Guo berpuas hati dengan rekaan perabot yang dihasilkan Zahil khas untuk menghiasi villa mewah lelaki itu. Ternyata Zahil tidak pernah mengecewakan para pelanggannya.
Bukan saja berpuas hati dengan hasil kerja Zahil, Tan Sri Guo turut menghadiahkan Zahil kupon makan malam percuma di restoran mewah milik Tan Sri Guo yang dibuka khas hanya pada malam ini untuk orang-orang tertentu saja sebelum dirasmikan pada awal bulan hadapan. Dan makan malam itu bakal dinikmati Zahil bersama-sama Diya.
Keluar saja daripada bangunan syarikat Guo Global, Zahil mendapatkan keretanya dan terus memandu menuju butik Kamelia. Tidak sabar rasanya untuk Zahil memberi kejutan itu pada Diya. Zahil mahu mengajak Diya keluar shopping baju baru untuk makan malam istimewa itu.
Sepanjang pemanduan menuju Butik Delias Collection, Zahil sudah membayangkan detik-detik manis bersama-sama Diya. Meleret senyuman di wajah tampan lelaki itu. Bibir bergerak-gerak menyanyikan lagu-lagu yang mengembirakan hatinya.
Tiba di tempat yang dituju, segera Zahil mencari ruang meletak kereta. Kawasan meletak kereta agak penuh maka terpaksa la Zahil meletakkan kereta agak jauh daripada kedai butik Kamelia. Sempat Zahil mencapai kaca mata hitamnya sebelum melangkah keluar daripada kereta. Tutup saja pintu kereta, Zahil terpandang Diya dari jarak jauh. Dilihatnya Diya keluar dari butik dan menuju arah bertentangan dengan Zahil.
Zahil hendak melaung memanggil Diya. Niat itu terbantut apabila Zahil ternampak Diya jatuh terjelepok atas lantai. Tubuh Zahil tergamam, lidah jadi kelu dan mata sepetnya membulat. Terpana kerana kejadian itu berlaku tanpa terduga. Hanya dalam sekelip mata saja tubuh Diya sudah terjelepok jatuh di kawasan kaki lima itu.
“Kaki Diya cedera ke?” Saat itu, Zahil ingin menerpa, tetapi langkah kakinya mati. Ada insan lain yang lebih dahulu merapati Diya untuk menghulurkan pertolongan. Zahil terus terkedu. Terpacak bagai menonton satu tayangan drama di depan mata. Drama realiti yang menjentik cemburu di dasar hatinya.
Zahil kepal buku lima melihat drama swasta depan matanya. Tidak mahu lelaki yang tidak dikenali itu mengambil kesempatan terhadap isterinya, Zahil ingin segera menerpa mendapatkan Diya. Baru setapak melangkah dengan penuh semangat, kaki Zahil terhenti. Seluruh tubuh lelaki itu bagai kejang dan urat sendi terasa sakit menyucuk-nyucuk.
Zahil terbongkok dengan sebelah tangan mencengkam peha manakala tangan kanan mencengkam dada yang terasa nyeri. Tercungap-cungap Zahil menarik nafas yang terasa sesak di dada. Kesakitan makin menyucuk dalam tulang dan urat sendi menyebabkan Zahil rebah bersandar pada badan kereta.
Dalam kesakitan itu, pandangan mata Zahil yang mula berkaca masih menikam arah Diya dan lelaki yang tidak dikenali itu. Zahil ketap bibir dengan jemari kian kuat mencengkam tubuh tatkala melihat Diya berlalu pergi dengan menaiki sebuah Proton Pesona dipandu lelaki tersebut. Saat ini Zahil menahan sakit diseluruh tubuh malah sakit hati yang seakan disiat-siat oleh rasa cemburu.



 “Diya, akak ada pesan rojak dekat warung Pak Man tadi. Diya tolong pergi ambilkan ye. Akak dah bayar tadi, cuma pergi ambil saja.” Kamelia meminta pertolongan Diya untuk mengambil pesanan rojak buah kegemarannya.
Diya akur memandangkan Kamelia sedang sibuk melayan seorang pelanggan tetap butik itu. Kamelia memang suka makan rojak buah Pak Man kerana kuah rojak resepi istimewa Pak Man itu memang enak. Diya pun selalu la dapat makan rojak percuma.
Tanpa membuang masa, Diya terus melangkah keluar daripada butik menuju warung Pak Man yang terletak tidak jauh daripada butik itu. Baru saja meninggalkan butik tidak begitu jauh, kaki kanan Diya terpelecok seterusnya menyebabkan gadis itu jatuh terduduk di laluan kaki lima. Pergelangan kaki Diya terasa sakit.  Diya belek kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki kanan.
“Tumit patah rupanya. Patut la pun..” ngomel Diya sedikit berbisik. Kasut yang patah tumit itu ditanggalkan. Gadis itu cuba untuk berdiri tetapi kesakitan yang menyengat menyebabkan usaha itu gagal.
“Awak tak apa-apa ke?” sapa satu suara dari arah belakang Diya.
Diya memandang lelaki yang menghampirinya. Syamil! Mamat seorang ni macam super hero betul la. Tiba-tiba muncul entah dari mana. Macam dah tahu-tahu je yang aku ada masalah dekat sini. Tup! Tup! Muncul…
“Ok tak? Boleh bangun?” soal Syamil dalam kedudukan mencangkung di depan Diya. “Saya tolong awak berdiri.” Syamil sudah menghulur tangan untuk membantu. Hanya menanti penerimaan Diya untuk pertolongan yang ikhlas dihulurkan.
Diya keresahan. Sebenarnya berat hati untuk menerima pertolongan kedua daripada lelaki itu tetapi keadaan membuatkan dia tiada pilihan lain. Terpaksa juga Diya menerima bantuan daripada Syamil.
Huluran jari Syamil tidak Diya sambut sebaliknya Diya berpaut pada lengan lelaki itu. Dekat lengan berlapik sikit. Syamil sekadar senyum nipis. Diya dibantu Syamil hingga gadis itu dapat berdiri.
“Awak tak boleh jalan ni. Kita pergi klinik la,” usul Syamil dengan mata terus memerhati kaki kanan Diya yang sudah tidak berkasut.
“Errr… tak pe. Saya nak pergi ambil rojak dekat warung sana tu je. Nanti Kamelia tertunggu-tunggu pula,” Diya beralasan untuk menolak niat baik Syamil itu.
“Awak ni, dah sakit macam ni pun masih nak fikir orang lain. Dah! Saya bawa awak ke klinik,” nada Syamil sedikit tegas. Lagaknya seperti Diya itu adalah isterinya.
Saat ini Diya terkenangkan Zahil. Zahil juga akan mendesak begitu andai Zahil berada diposisi Syamil sekarang. Eh! Tiba-tiba je terkenangkan Zahil, rindu ke? Diya telan air liur. Mengarut!
“Jom! Saya bawa ke klinik,” pelawa Syamil sekali lagi.
“Tapi…” Diya masih berat hati untuk menerima kebaikan Syamil.
“Tak pe. Saya hantarkan.” Diya akur juga dalam rasa hati yang berbelah bahagi.
 Syamil mahu memapah Diya menuju ke arah keretanya. Diya kerut dahi apabila tubuh lelaki itu menghampiri tubuhnya. Belum sempat Syamil meletak tangan pada bahu Diya untuk memapah gadis itu, Diya segera menjarakkan dirinya.
 “Eh! Tak apa, saya boleh jalan sendiri.” ujar Diya tegas. Hish! Senang-senang je nak pegang-pegang isteri orang. Dapat tahu dek Zahil, mahu mamat ni kena karate!
Syamil akhirnya masukkan tangan dalam kocek seluar. Lelaki itu malu sendiri. Tetapi baru beberapa langkah Diya berjalan, gadis itu hilang imbangan. Tup! Tup! Diya terdorong ke sisi kanan. Syamil sempat menahan tubuh gadis itu dari jatuh terjelepok ke tanah. Akibatnya Diya seperti berada dalam dakapan Syamil.
Terbeliak mata Diya apabila tubuhnya mendarat atas tubuh Syamil. Cepat-cepat Diya menstabilkan kedudukan dirinya dan menjarak tubuh mereka. Muka Diya dah merah menyala dek malu. Si Syamil sengih saja.
“Errr… situ kereta saya,” tunjuk Syamil sambil berjalan mendapatkan kereta Proton Pesona yang hampir saja dengan kedudukan mereka. Syamil buka pintu kereta dan membantu Diya yang berjalan terhinjut-hinjut untuk masuk dalam kereta.
Sepanjang perjalanan ke klinik, Diya membisu seribu bahasa. Tubuh juga disengetkan sedikit menghadap tingkap di sisi. Tidak sanggup memandang Syamil yang bersiul-siul riang sepanjang pemanduan.
Pada Diya, sikap Syamil dan Zahil hampir sama. Bersama-sama Syamil membuatkan Diya terkenangkan suaminya. Argh! Diya, sekali lagi kau terfikirkan Zahil. Rindu ke? Mengarut! Diya terus membuat penafian.
Tiba saja di klinik, Diya diarah untuk duduk di kerusi menunggu manakala Syamil menguruskan segala urusan untuk mendapatkan rawatan doktor. Masih ada tiga orang pesakit lain sebelum tiba giliran Diya bertemu doktor. Syamil duduk di sisi Diya yang masih tebal malu di muka.
“Kasut awak saiz berapa?” soal Syamil sambil mata menjeling kaki kanan Diya yang tidak berkasut. Diya turut melihat arah yang sama.
Mana kasut aku dah pergi? Diya menyoal dalam hati. Diya memberitahu saiz kasutnya pada Syamil. Tak tahu kenapa lelaki itu bertanya.
Syamil kemudian menuju ke kaunter dan berpesan pada jururawat di situ agar membantu Diya untuk masuk bertemu doktor kerana Diya tidak dapat berjalan. Diya dapat mendengar perbualan itu sekadar tunduk memandang lantai. Buat-buat tak dengar apabila melihat senyuman di bibir jururawat itu. Lain macam saja senyuman mereka kerana menyangka si Syamil itu suami Diya. Suami yang cukup penyayang dan prihatin!.
Sejurus menitip pesan, Syamil melangkah keluar daripada klinik itu dan meninggalkan Diya terus menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Diya tak tahu ke mana Syamil pergi dan Diya tak mahu ambil tahu kerana dia masih merasa malu!


Berpeluh-peluh Zahil menahan rasa sakit yang akhirnya beransur-ansur hilang setelah lebih sepuluh minit berlalu. Zahil masuk semula dalam kereta dan bersandar pada tempat duduk sambil mengatur kembali nafas yang tercungap-cungap sebentar tadi. Beberapa minit kemudian, kondisi Zahil kembali pulih. Zahil keluar semula daripada dalam perut kereta dan menapak menuju tempat Diya jatuh tadi.
Mata Zahil terpandang sebelah kasut Diya yang sudah patah tumitnya. Perlahan-lahan kasut tumit tinggi itu dicapainya. Segaris senyuman kembali terukir di bibir. Tanpa membuang masa, Zahil mengorak langkah mendapatkan kereta. Kasut tumit tinggi yang tiada pasangan itu dibawa bersama.
Mata Zahil membelek pelbagai jenis kasut tumit tinggi yang terpamer di depan matanya. Sudah satu kedai dipusing Zahil. Belum ada sepasang kasut pun yang menarik minatnya.
“Macam mana dengan kasut yang ini? Kasut ni keluaran terbaru,” usul pekerja wanita yang sedari tadi sabar melayan kerenah pelanggan yang masuk ke kedai.
Zahil mengalih pandangan ke arah sepasang kasut yang diusulkan padanya. Kasut tumit tinggi berwarna hitam di depan matanya ini kelihatan berjaya memikat hati. Segaris senyuman manis mekar di bibir Zahil. Lelaki itu telah bersetuju membeli kasut tersebut. Pekerja kedai kasut itu turut gembira. Masing-masing melangkah menuju ke kaunter.
Saiz kasut itu juga sama seperti saiz kasut yang dipakai Diya. Zahil senang hati. Fikirannya sudah membayangkan kasut itu tersarung di kaki Diya. Pasti Adelia Dayana akan suka! Sejurus membuat pembayaran, Zahil mengenakan cermin mata hitam dan melangkah keluar daripada kedai itu bersama beg plastik berisi kotak kasut. Hati yang berbunga-bunga riang mencorak senyuman manis di bibir Zahil. 


Sebaik saja Syamil kembali semula ke klinik, dilihatnya urusan Diya mendapatkan rawatan sudah selesai. Syamil mendekati Diya yang duduk menunggu di kerusi hadapan kaunter. Buku lali kaki kanan Diya berbalut kain putih. Tidak begitu serius dan Diya tidak perlu berjalan dengan menggunakan tongkat. Syamil duduk melutut di hadapan Diya seterusnya mengejutkan wanita itu.
Diya tergamam apabila Syamil mengeluarkan sepasang kasut baru seterusnya menyarungkan kasut itu ke kaki Diya. Hendak ditingkah perlakuan itu, bimbang andai memberi aib pada lelaki itu memandangkan mata staf-staf di kaunter tertumpu pada mereka. Diya tidak mahu Syamil jadi malu dengan penolakannya. Mereka berdua kemudian melangkah keluar daripada klinik dan Syamil menghantar Diya pulang ke butik.


Zahil bagai polis penyiasat apabila menyoal siasat Kamelia perihal Syamil. Lelaki itu merasa tidak puas hati apabila Kamelia baru menceritakan padanya perihal Syamil yang pernah berjasa membantu Kamelia dan Diya dalam satu kes ragut. Dan kejadian itu berlaku dua minggu lepas. Terkilan sungguh Zahil kerana sedikit pun Diya tidak pernah membuka cerita padanya. Siapakah dirinya pada Diya?
Zahil mundar-mandir dalam butik. Kelakuannya diperhatikan Kamelia dengan gelengan kepala. Faham benar dengan gelojak perasaan yang sedang dialami lelaki itu. Pasti Zahil bimbangkan Diya yang belum pulang-pulang setelah entah ke mana menghilang bersama-sama Syamil. Kamelia ketawa kecil semasa mendengar cerita Zahil tentang Diya yang jatuh dan dibawa pergi oleh Syamil.  Kamelia mengandaikan lelaki yang diceritakan Zahil adalah Syamil berdasarkan gambaran yang diberikan Zahil. Daripada cerita Zahil itu, Kamelia sudah dapat menghidu api cemburu di hati Zahil.
“Nanti balik la tu. Mereka pergi klinik kot. Tu yang lambat tu,” Kamelia cuba memujuk keresahan di hati Zahil. Zahil senyum sinis mendengar kata-kata Kamelia.
Pergi klinik la sangat. Entah-entah lajak pergi makan… pergi makan angin... dating entah ke mana. Eee… geram betul la! Hati Zahil berperang dengan prasangka.
“Hah! Tu pun mereka,” Kamelia memanjangkan penglihatan ke arah luar butik. Diya dan Syamil dapat dilihat berada di depan pintu kaca butik. Zahil turut berpaling melihat ke arah sama. Tingkah Diya dan Syamil yang berbual-bual di laluan kaki lima hadapan butik diperhatikan dengan hati yang semakin terbakar.
Segala-gala yang berlaku antara Diya dengan Syamil dapat dilihat dengan jelas. Syamil menghulurkan bungkusan berisi rojak buah yang dibawakan untuk Kamelia. Sekilas Zahil menjeling Kamelia yang cepat-cepat menunduk kepala berpura-pura sibuk. Zahil dapat melihat dengan jelas senyuman di wajah Diya tatkala menyambut huluran bungkuan rojak daripada Syamil. Segala-galanya cukup jelas dipandangan mata.
Tanpa sedar jemari Zahil sudah digenggam menjadi penumbuk. Hati lelaki itu sakitnya bagai disiat-siat. Kamelia yang turut melihat apa yang telah disaksikan Zahil jadi serba salah. Tidak tahu apa yang wajar diucapkan untuk menenangkan kekacauan hati lelaki itu. Kamelia simpati dengan situasi yang berlaku.
Syamil berlalu pergi dan Diya masuk ke dalam butik. Perasaan terkejut tampak jelas dari air muka Diya tatkala bertembung dengan Zahil yang berwajah mencuka dengan mata sepet itu tajam menikam wajah Diya.
Hilang perasaan terkejut, Diya terus mengubah roman wajahnya seperti biasa. Wajah kering tak berperasaan seperti selalu tatkala dia di hadapan Zahil. Diya lalu di hadapan Zahil dan menyerahkan bungkusan rojak pada Kamelia. Sebaik saja mendapat rojaknya, Kamelia menghilang ke belakang butik. 
“Kenapa tak kenalkan dia pada saya?” duga Zahil dengan suara tegas berbaur cemburu.
Dengan nada bersahaja, Diya menjawab. “Tak penting pun untuk awak kenal.”
Telinga Zahil bagai dijentik mendengar jawapan itu. Tak penting! Ya, pada Diya itu semua tak penting. Sama seperti aku yang tak penting dalam hidup dia! Separuh nyawa Zahil memendam rasa hati dan Diya katakan itu semua tidak penting! Hati Zahil kian tersayat.
Diya cuba menyibukkan diri dengan tugasnya bagi mengelak melayan cemburu Zahil. Pada Diya, Zahil tidak harus cemburu kerana lelaki itu cukup mengenali bagaimana sikap Diya yang sebenar. Tangan Zahil memaut bahu Diya menahan daripada wanita itu berpaling daripadanya. Diya tercegat berdepan wajah kelat Zahil. Saling bertentang mata dan menegakkan ego masing-masing.
“Kenapa tak pernah cerita tentang Syamil? Kenapa tak beritahu pasal kes ragut dua minggu lepas?” soal Zahil dengan suara meninggi yang dikawal intonasinya. Zahil tidak mahu menjerit di depan Diya namun gelojak perasaan sungguh hebat.
“Saya tak nak awak bimbang. Lagi pun ia tak penting pun. Saya dah selamat dan…” jawapan bersahaja Diya itu terbantut apabila dia terkedu dek titisan merah yang mengalir keluar dari hidung Zahil.
“Da… darah! Zahil, hidung awak berdarah,” luah Diya bernada kebimbangan. Wanita itu hendak berpaling mendapatkan tisu atas meja kaunter namun Zahil masih kejap memaut kedua-dua belah bahunya.
“Saya pergi ambilkan tisu,” ujar Diya sambil menolak tangan Zahil yang masih berada atas bahunya.
Zahil tekap jari pada lubang hidung dan dilihat cecari merah terkesan di situ. Diya menghampiri bersama-sama helaian tisu di tangan dan bertindak untuk mengesat darah tersebut. Pantas tangan Zahil menepis tangan Diya sebelum sempat jemari runcing itu menyentuh hidungnya. Diya terkesima dek tingkah kasar Zahil itu.
“Tak penting untuk awak ambil peduli!” sinis Zahil seraya melangkah pergi meninggalkan Diya terpana di situ.
Diya hela nafas yang terasa berat. Hatinya tersentuh dengan sikap Zahil dalam masa yang sama dia juga rasa bersalah pada lelaki itu.
“Sabar la Diya. Orang tengah panas hati. Diya pastikan Zahil cukup rehat dan makan ye. Memang Zahil selalu hidung berdarah kalau asyik sangat dengan kerjanya sampai terabai rehat untuk tubuh sendiri,” pujuk Kamelia yang muncul sebaik saja Zahil berlalu pergi.
Diya sekadar senyum nipis. Cuba untuk tidak ambil hati dengan sikap Zahil sebentar tadi. Apalah yang hendak dikesan pada hati sedangkan selama ini Zahil bersabar dengan tingkah Diya yang jauh lebih teruk.
“Diya ok tak? Ambil cuti je la hari ni. Balik rehat dekat rumah saja,” ujar Kamelia sebaik saja Diya duduk di kerusi berhampiran kaunter. Diya angguk dengan mengukir senyum tawar.
“Lagipun dua pekerja baru nak masuk esok. Lepas ni tak la Diya penat sangat,” Kamelia memaklumkan pada Diya. Diya angguk saja seraya menghampiri meja kaunter.
“Apa ni? Akak punya ke?” soal Diya menunjukkan beg kertas di atas meja kaunter.
Kamelia senyum kelat. “Akak pun tak tahu benda apa dalam tu. Zahil yang bawa tadi. Diya tengok la apa isi dalam tu.”
“Nak Diya tengokkan ke?” Diya sedikit teragak-agak. Kamelia angguk kepala.
Tanpa membuang masa, Diya menyentuh bungkusan tersebut lalu melihat isi di dalamnya. Ada kotak yang pastinya kotak kasut. Dan mata Diya melihat satu lagi benda lain yang turut berada dalam bungkusan itu. Benda ni macam kenal. Perlahan-lahan benda itu disentuh Diya lalu dikeluarkan dari bungkusan. Ni… kasut yang telah patah tumitnya. Kasut aku!.
Diya pandang Kamelia dengan riak penuh tanda tanya. Kamelia angkat kening dan jungkit bahu. Kamelia berlalu pergi membiarkan Diya sendiri memikirkan jawapan.
Diya ketap bibir. Kasut ni… Zahil yang beli? Untuk aku ke? Maknanya, dia nampak Syamil tolong aku tadi. Zahil marah sebab tu? Kasut pemberian Syamil direnung Diya. Kesal bertamu kerana melayan buruk lelaki itu sebentar tadi. Diya tidak menyalahkan Zahil kerana cemburu lelaki itu lahir dari cintanya yang melaut luas.


Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang dan cemburu Zahil pada Syamil mencantas rancangan Zahil untuk membawa Diya makan malam di restoran milik Tan Sri Guo. Zahil membatalkan rancangan tersebut dek cemburunya. Walaupun awalnya Zahil beria-ia sekali untuk pergi, kini hatinya sudah hambar. Tiada rasa untuk menikmati malam romantik bersama isterinya.
Malam itu Zahil berkurung saja dalam bilik kerjanya manakala Diya duduk menghadap televisyen di ruang tamu. Suasana terasa cukup dingin antara mereka. Menghampiri waktu isyak, Zahil bergegas ke surau berdekatan. Pulang saja dari solat berjemaah di surau, Zahil lihat Diya sudah tertidur atas sofa dengan televisyen masih terbuka. Perlahan-lahan Zahil mendekati Diya dan mencempung tubuh isterinya untuk dipindahkan ke atas katil.
Ketika mendaki anak tangga, Diya tersedar dari lenanya. Sungguh, Diya terkedu tatkala menyedari tubuhnya bukan lagi di atas sofa sebaliknya berada cukup dekat dengan Zahil sehingga degup jantung lelaki itu dapat di dengarnya. Zahil perasan Diya sudah terjaga dari lenanya dan lelaki itu berpura-pura tidak nampak kelopak mata Diya yang sedikit terbuka sebentar tadi. Diya juga berlakon seperti masih tidur lena.
Zahil letakkan tubuh Diya atas katil dan menyelimut isterinya hingga paras dada. Kemudian telefon bimbit Zahil menyanyi-nyanyi menandakan ada panggilan masuk. Segera Zahil mendapat telefon bimbit itu dan menjawab panggilan tersebut.
“Ok, jumpa nanti. Assalamualaikum.” Setelah itu Zahil matikan panggilan dan bersiap-siap untuk keluar lagi.
Sebelum keluar dari bilik itu, Zahil terpandang kupon makan malam di restoran mewah yang terselit dalam poket seluar yang digunanya disiang hari. Kupon tersebut diambil setelah agak lama kupon itu ditenungnya.
Diya yang berpura-pura tidur akhirnya bangun dari lakonannya setelah mendengar bunyi enjin kereta suaminya berlalu meninggalkan perkarangan rumah. Diya mengeluh lemah. Perlahan-lahan Diya melangkah keluar dan masuk ke dapur. Mata Diya terarah pada hidangan makan malam istimewa yang telah disediakannya. Niat hati mahu memujuk Zahil dengan hidangan kegemaran lelaki itu. Malang pula apabila Diya tertidur semasa menunggu Zahil pulang dari surau.
Kini Zahil keluar lagi dan mungkin akan makan di luar saja. Diya hilang selera untuk makan dan membiarkan hidangan tersebut terus berada di bawah tudung saji. Longlai saja kaki Diya menapak menuju kamar tidur dengan hati yang hampa. Hatinya berharap agar Zahil akan terpujuk sendiri dan kembali ceria seperti selalu pada esok hari kerana Diya kehabisan idea untuk memujuk suaminya.


Zahil masuk ke dalam Starbucks Coffee dan mendapatkan Rania yang sudah lama menunggu. Dilihatnya kopi yang dipesan wanita itu sudah lama sejuk menandakan Rania sudah lama di situ. Air muka Rania kelihatan redup dan tidak seceria seperti biasa.
 Rania adalah sahabat Zahil sejak kecil hingga zaman sekolah menengah dan hanya terpisah setelah masing-masing menyambung pengajian di dua negara yang berbeza. Zahil belajar di UK dan Rania belajar di Ireland dalam bidang kedoktoran. Mereka bertemu kembali secara kebetulan ketika Zahil ke hospital untuk melawat kanak-kanak di wad pediatrik beberapa bulan lepas. Sejak itu, persahabatan antara mereka kembali terjalin malah Rania pernah bertandang ke rumah Zahil untuk diperkenalkan dengan Diya.
“Kau ok ke?” soal Zahil bimbang dengan keadaan Rania.
“Mama dan papa nak bercerai,” beritahu Rania dengan mata tertutup. Mutiara jernih berguguran jatuh membasah pipi. Sudah lama dia menahan air mata itu daripada tumpah dan kini ia gugur di hadapan Zahil. Wanita itu terus meluahkan perasaannya tanpa mempedulikan pelanggan lain yang menjeling memandang mereka.
Zahil menghela nafas panjang. Lelaki itu cukup memahami kekacauan hati sahabatnya. Rania adalah anak tunggal ahli perniagaan perkapalan, Datuk Rizalman dan Professor Mariam Janes yang merupakan pensyarah di Victoria University of Wellington, New Zealand. Sejak Rania di sekolah menengah lagi, hubungan mama dan papanya telah renggang dan Professor Mariam Janes pulang ke negara asalnya iaitu New Zealand dan menjadi pensyarah di sana.
 Hakikatnya hubungan mama dan papa Rania sudah lama berakhir walau tanpa penceraian yang sah di atas kertas. Rania tahu itu namun selama ini dia berusaha agar mama dan papanya tidak bercerai-berai. Anak tunggal yang manja itu tidak sanggup menerima hakikat tersebut.
“Rania, mereka sudah cukup dewasa. Pasti mereka ada rancangan masa depan mereka sendiri. Lagi pun, sudah terlalu lama mereka mencuba untuk bertahan. Mungkin ini adalah yang terbaik,” Zahil cuba memujuk Rania yang mula menangis tersedu-sedan bagai anak kecil.
“Kenapa baru sekarang? Zahil, usia perkahwinan mereka terlalu tua untuk sebuah penceraian. Mama masih sayangkan papa, Zahil. Aku tahu itu. Tapi papa… papa…” Rania ketap bibir. Terbayang wajah papanya yang sudah berusia tetapi masih ada hati hendak berkahwin lain dengan wanita yang sebaya dengan dirinya. Oh! Rania tidak sanggup.
“Rania, biar mereka membina hidup mereka sendiri. Kau juga tahu keadaan sudah terlalu lewat untuk diubah,” suara Zahil lagi. Bukan dia tidak tahu bahawa Datul Rizalman itu sudah beristeri dua. Hanya Rania saja yang menyangka papanya belum berkahwin lain. Zahil rahsiakan dari pengetahuan Rania atas permintaan Datuk Rizalman.
Rania kesat air mata yang membasah pipi. Sendunya sudah tidak serancak tadi. Wanita itu mulai tenang. Hakikatnya dia hanya perlukan seseorang untuk meluahkan rasa hatinya. Dan orang itu adalah Zahil Hariz. Lelaki yang dicintainya secara senyap sejak di sekolah rendah lagi. Lelaki yang mengecewakan dirinya tanpa lelaki itu sedari. Rania pasrah kerana sudah tiada jodoh antara mereka.
Tiba-tiba perut Rania berirama keroncong hingga Zahil di depannya juga sudah boleh mendengarnya. Kedua-dua mereka saling berpandangan sebelum tercetus ketawa yang tidak tertahan.
“Kau memang tak pernah berubah. Mesti lapar je kalau menangis. Nak order makan?” Zahil cukup memahami sahabatnya itu.
Rania menggeleng lemah. Dia tidak ada selera makan. Sejak tengah hari dia tidak menjamah makanan dan hanya minum air milo saja. Betapa dia seorang doktor yang degil untuk menjaga kesihatan sendiri.
Zahil terdiam lama memikirkan cara memujuk hati sahabatnya. Jika tidak kena gaya, Rania boleh tidak makan berhari-hari. Zahil tidak mahu peristiwa semasa zaman sekolah menengah dulu berulang lagi. Ketika itu mama Rania mengambil keputusan pulang ke New Zealand dan hampir seminggu Rania tidak mahu makan. Akibatnya, gadis itu pengsan semasa perhimpunan sekolah.
“Jom!” Zahil sudah berdiri dan Rania tercengang.
“Nak pergi mana?” soal Rania penuh tanda tanya.
“Kita tengok KL!” Tergesa-gesa Zahil membawa Rania keluar daripada Starbucks Coffee. Rania menurut saja ke mana Zahil membawanya pergi dengan menaiki kereta lelaki itu.



Selepas parkir kereta, Zahil melangkah masuk ke dalam sebuah hotel mewah dan Rania terus mengikut langkah lelaki itu dengan seribu tanda tanya. Mereka masuk ke dalam lif dan Rania meluahkan persoalan dib enaknya pada Zahil. Lelaki itu menjawab dengan senyum manis.
Keluar daripada lif, Rania terkedu dengan mulut sedikit terbuka. Tidak percaya Zahil membawanya ke sebuah restoran mewah yang tidak pernah dikunjunginya.
“Kita dekat mana ni?” soal Rania saat mereka berdiri tercegat di depan pintu masuk restoran tersebut. Walaupun sudah terbentang besar papan tanda restoran di depan matanya, Rania tetap bertanya juga.
Zahil tersenyum manis. Rancangan awalnya, restoran itu hendak dikunjungi bersama-sama Diya dan kini di sisinya adalah Rania. Bukan Diya.
“Rooftop Restoran…” suara Zahil lirih. Sekilas Zahil menjeling Rania yang bagai terpesona dengan pemandangan restoran di depan matanya. Sejak bila ada restoran begini di Malaysia?
Mereka berdua melangkah masuk dan disambut mesra oleh penyambut tetamu. Zahil menunjukkan kupon yang diperolehinya daripada Tan Sri Guo dan mereka dibawa pelayan restoran itu untuk duduk di sebuah meja makan yang cantik terhias indah. Duduk saja, Zahil dan Rania memandang sekeliling dengan riak terpesona.
“Tempat ni belum dibuka sepenuhnya. Orang-orang tertentu saja yang berpeluang datang merasmikan tempat ni. Kau kira bertuah dapat jadi antara rakyat Malaysia yang terawal!” seloroh Zahil sambil berbisik.
Rania angguk perlahan. Masih tidak percaya dia dapat datang ke sebuah restoran di atas bumbung yang serba mewah. Restoran atas bumbung sebuah hotel mewah yang terkenal milik jutawan negara, Tan Sri Guo yang memiliki aset dan perniagaan hampir di semua Negara Asia malah memiliki cawangan perniagaan di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Restoran ini berada di atas bumbung hotel manakala bumbung restoran diperbuat daripada kepingan kaca bermutu tinggi. Malah tiang-tiang restoran yang menjunjung bumbung juga daripada kaca jernih yang berkualiti tinggi. Ia menjadikan pengunjung seperti berada di dalam restoran yang tidak berbumbung.
Pandangan mata terus tembus ke langit yang bertaburan bintang dan pada siang harinya kelihatan langit biru yang berawan putih. Melihat ke luar restoran umpama melihat taburan bintang di atas tanah. Pemandangan lampu-lampu di sekitar Kuala Lumpur sungguh mengujakan.
Rania bagai mendapat semula selera makan. Bermula dengan makanan pembuka selera sehingga pencuci mulut, Rania menikmati hidangan makanan malam dengan penuh selera. Zahil senang hati melihat kegembiraan yang terpancar pada raut wajah wanita kacukan itu.
Usai menjamu selera, mereka menghampiri pinggir restoran untuk melihat pemandangan indah Bandaraya Kuala Lumpur yang mewah dengan limpahan cahaya lampu umpama bintang-bintang di dada langit.
“Zahil, ingat tak masa kita sekolah dulu, kita selalu berdiri di beranda rumah aku dan lihat bintang di langit. Waktu itu, arwah Hairil pun ada sekali,” Rania mengajak Zahil mengimbau kembali kenangan zaman remaja mereka. Zahil angguk dengan senyuman.
“Arwah selalu ajak kita lihat bintang di langit…” tutur Rania sambil kedua-dua mereka serentak  memandang bintang di langit. “pejamkan mata…” serentak itu kelopak mata dipejam. “dan dengar hembusan angin. Pergerakan bayu malam yang cukup lembut. Menghembuskan damai dan tenang,” bisik Rania bernada lirih.
Beberapa saat berlalu dan Rania masih memejamkan mata menghayati pergerakan angin yang menyentuh tubuh. Cukup mendamaikan hati wanita itu yang tadinya dibalut duka.
Saat Zahil menutup kelopak mata, dia terbayangkan wajah Diya. Bibir Zahil bergerak mengukir senyuman. Perlahan-lahan kelopak mata Zahil kembali terbuka. Dia berkalih memandang Rania di sisinya.
Zahil kaget! Dilihat depan matanya kini bukan Rania tetapi Diya. Zahil terpesona. Diya berada di sisinya sedang memejamkan mata dan menikmati indahnya hembusan angin. Wajah Diya kelihatan cukup tenang dan damai. Perlahan-lahan jemari kanan Zahil diangkat untuk menyentuh wajah indah itu.
“Diya…” lirih suara Zahil sambil mengusap lembut pipi Diya.
Rania terpana. Kehangatan sentuhan Zahil pada pipi kirinya bagai menyentuh hingga ke dasar hati. Automatik kelopak matanya kembali terbuka. Rania berkalih memandang Zahil yang merenungnya dengan pandangan mata yang cukup sayu. Sarat dengan cinta dan kasih sayang. Jantung Rania berdebar-debar. Tubuh terasa tidak lagi berpijak di bumi, umpama berada di awang-awangan.
“Saya cintakan awak…” lafaz cinta Zahil yang begitu lirih menusuk pendengaran dan menikam hingga ke dasar hati Rania yang kian berdebar hebat. Terkebil-kebil Rania jadi tidak tentu arah dibuatnya.
“Saya cinta awak, Adelia Dayana.” Zup! Bagaikan halilintar, Rania dikejutkan dari mimpi. Lafaz akhir itu umpama guruh yang menyedarkan Rania agar berpijak di bumi nyata. Sesungguhnya langit cinta Zahil terlalu tinggi untuk digapai Rania. Hati yang tadinya berdebar hebat kini bagai kaca terhempas ke lantai.
Rania terus berpaling dan menapak tiga langkah meninggalkan Zahil tergamam di belakang. Rania pejam mata sambil menarik nafas dan buka mata tatkala udara dihela keluar. Gadis itu berpaling semula mengadap Zahil.
“Saya bukan Adelia Dayana, Zahil!” tekan Rania bernada keras. Kemudian gadis itu melangkah keluar dari restoran itu dengan air mata berguguran jatuh ke pipi.
Zahil bagai baru dijentik telinga agar tersedar dari khayalannya. Lelaki itu mengeluh kesal. Zahil meraup wajah yang mula merona merah. Malu! Malu kerana tenggelam dalam emosinya.
Zahil berlari keluar dari restoran itu dan mencari-cari kelibat Rania. Namun gadis itu tidak ditemuinya. Berkali-kali Zahil menghubungi telefon Rania namun panggilannya tidak dijawab. Zahil resah dan bimbang pada keselamatan gadis itu. Lama sekali dia mencari sehingga lelaki itu berpeluh-peluh. Akhirnya Zahil memandu pulang ke rumah setelah mendapat mesej daripada Rania yang memaklumkan gadis itu sudah tiba di rumah!

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.