ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Saturday, October 6, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 13

Oleh: MAWAR KAMILA

BAB 13
Kamelia ukir senyum lebar tatkala Zahil muncul di hadapannya. Nampaknya Zahil masih ringan kaki untuk berkunjung ke butiknya walaupun perasaan lelaki itu ditolak Diya.
“Bagus kau datang time sekarang”
Zahil mencebik bibir. Lelaki itu duduk atas kerusi bulat berdepan dengan meja Kamelia. “Hemmm… kau nak pergunakan aku untuk apa?”
“Hish, perguna apa pula. Aku minta tolong la.” Kamelia ketawa kecil.
“Ye, nak aku tolong apa mak cik?” kening Zahil sudah terangkat.
“Tolong pergi beli barang dapur. Boleh pergi dengan Diya. Ok tak Diya?” Kamelia dan Zahil berkalih memandang Diya. 
“Aaa? Diya?” sedikit terjerit Diya yang berada hampir dengan mereka berdua. Kenapa aku pula yang kena pergi? Dengan si Zahil pula tu!
Kamelia angguk pantas.
“Pergi la dengan Zahil. Zahil boleh tolong bawa barang-barang,” Kamelia mempertahankan cadangannya.
“Tapi Diya tengah kerja sekarang,” Diya berusaha untuk berdalih.
“Ala, tolong la gantikan. Kamelia nak pergi tapi sekejap lagi Datin Maimun nak datang. Diya bukan tak tahu, kalau mak datin tu perangai cerewetnya tu macam mana. Diya belum pandai nak layan cerewet datin tu. Jadi, Diya tolong gantikan Kamelia ye. Pergi tolong Zahil beli barang dapur. Zahil ni bukan reti.” Kamelia begitu mengharap.
Diya mati alasan untuk mengelak. Terpaksa juga dia akur pada cadangan Kamelia itu. Diya pandang sekilas Zahil yang menunduk kepala sambil mengusap-usap jambang sejemput di dagu.
Diya akhirnya angguk lemah dan Kamelia mencapai pen dan kertas untuk menulis senarai barang-barang yang perlu dibeli mereka berdua. Diya kerling Zahil. Zahil panggung kepala dan pandangan mereka bertaut. Ada kesayuan dalam renungan mata Zahil. Akhirnya Diya alihkan pandangan mata.
Kenapa ada mendung dalam renungan mata Zahil itu? Diya telan saja persoalan itu. Mana mungkin dia akan bertanya pada Zahil. Diya bukan sesiapa untuk mengambil berat perihal lelaki itu. Tidak perlu!


Tiba di parkir kereta Pasar Raya TESCO, Zahil turunkan Diya terlebih dahulu sementara dia berpusing-pusing mencari petak parkir kereta yang kosong.
Diya melangkah menuju pintu masuk ke dalam pasar raya. Namun langkah kakinya terhenti tatkala dia bertembung dengan Along yang kebetulan baru keluar dari pasar raya. Terkejut Diya melihat Alongnya itu kini berdiri di hadapannya setelah begitu lama mereka tidak bersua.
“A.. a.. Along!” Walau gugup, ada nada ceria dalam suara Diya. Diya menerpa mendekati Along yang penuh tangannya dengan plastik berisi barang-barang.
Along tergamam saat terpandang Diya. Sebaik saja Diya merapatinya, suasana seakan tegang. “Kau siapa? Aku tak kenal kau!” tengking Along.
Diya terkedu. Along masih bencikan dirinya. Along masih marah. “Along! Ni adik, takkan Along masih bencikan adik,” sayu suara Diya berwajah sedih.
“Aku tak ada adik macam kau!” kata-kata itu sungguh memilukan. Menyucuk-nyucuk hati dan menikam-nikam jantung.
“Along…” Diya tekup mulut. Sebak menjalar di hati.
“Tepi!” Along menolak Diya yang berdiri di hadapannya.
Diya tidak beralah. Lengan kanan Along dipautnya erat. “Along, maafkan adik. Percaya la, adik tak bersalah. Jangan hukum adik begini, Along,” rintih Diya sambil menggoncang-goncang lengan abangnya itu.
Air mata mula merembes di pipi gebu Diya. Namun Along sedikit pun tidak menjeling wajah adiknya. Sedaya upaya lelaki itu cuba menarik lengannya dari genggaman tangan Diya. Diya terus merayu kemaafan yang tiada sudi diberi.
“Lepas la betina!” herdik Along sambil merentap lengannya menyebabkan Diya tidak dapat mengimbangkan tubuh lantas jatuh terjelepuk di lantai. Siku Diya bergesel dengan lantai simen.
Diya mengadu kesakitan. Dibelek-belek, kain baju yang menutupi sikunya sudah terkoyak malah ada darah merah melekat di situ. Siku Diya telah luka.
Along tergamam. Darah merah yang dilihatnya menjentik rasa bersalah di sudut hati. Bukan niatnya untuk membuatkan Diya jatuh. Namun ego dan amarahnya melarang diri daripada menunjukkan rasa simpati.
Diya tekup luka itu dengan tangan kanan. Kepalanya dipanggung memandang Along. Along segera memandang arah lain mengelak bertembung dengan wajah sayu Diya.
“Along, maafkan adik,” rayu Diya tanpa jemu.
Along diam sebelum kakinya menghayun langkah berlalu pergi meninggalkan Diya kehampaan. Diya tunduk memandang lantai simen. Air mata dibiarkan gugur membasah pipi. Luka di siku tangan kiri sudah mula terasa perit. Lalu luka itu dibelek sekali lagi.
“Macam mana boleh jatuh?” tegur Zahil yang mula memunculkan diri sebaik saja kelibat Along menghilang. Sengaja Zahil menyembunyikan diri dan hanya memerhatikan drama luar dugaan antara dua beradik itu. Walau sakit hati melihat Diya dilayan sebegitu rupa, Zahil menahan diri dari muncul di antara mereka.
“Errr…errr…” Diya terpinga-pinga. Terlupa dia bahawa Zahil datang bersama. Menyedari pipi yang basah, segera Diya mengangkat tangan untuk mengesat pipi. Tatkala tangan kiri diangkat, siku kiri yang luka ditusuk kepedihan.
“Awww!” adu Diya mematikan pergerakan tangan kirinya.
Zahil merapati dan mencangkung di depan Diya yang masih duduk bersimpuh di lantai. Tangan kanan lelaki itu memegang sapu tangan. Ringan saja tangan Zahil mengesat sisa air mata di pipi Diya menggunakan sapu tangan putih itu.
Diya terkedu. Tidak berkelip matanya apabila sapu tangan itu menyentuh pipinya. Berkali-kali Diya telan air liur. Segan sebenarnya apabila Zahil menunjukkan keprihatinan begitu. Selepas itu, Zahil menarik tangan kiri Diya dan sapu tangan yang sama ditekup Zahil pada luka di siku gadis itu. Diya terus tergamam. Tidak tahu ke mana anak matanya harus mengarah.
“Air mata adalah ubat luka yang mujarab. Tak perlu malu bila menangis,” ujar Zahil seraya mengukir senyum manis.
Diya kematian kata. Untuk mengucap terima kasih juga lidah rasa kelu. Dia malu sebenarnya. Malu kerana Zahil menjumpainya sedang menangis dan malu kerana tindakan lelaki itu mengesat air matanya serta menekup luka di siku.
“Boleh bangun?” soal Zahil lembut.
Diya teragak-agak sebelum mengangguk perlahan. Gadis itu berusaha berdiri sendiri tanpa bantuan Zahil. Mujur dia berjaya dan tidak terjatuh semula. Diya kerling Zahil yang masih senyum padanya. Dirasakan pipi Diya cukup tebal kini.
Dek rasa malu itu, Diya lajukan langkah kakinya untuk berjalan di hadapan Zahil. Tidak mahu bersaing dengan lelaki itu. Malangnya Diya yang kalut tidak berhati-hati mengatur langkah menyebabkan kakinya terpelecok.
Tubuh Diya tidak berimbang dan gadis itu hendak terjatuh berat ke kanan. Zahil yang berjalan di belakang secara spontan menerpa menyambut tubuh Diya mengelak dari jatuh sekali lagi. Tup! Tup! Diya seperti berada dalam dakapan Zahil. Fuh! Tak ubah macam dalam drama Melayu, drama Korea, filem Hindustan dan tak ketinggalan sinetron Indonesia.
Terbeliak mata Diya apabila tubuhnya mendarat atas tubuh Zahil. Berkali-kali air liur ditelan. Gadis itu segera ingin menjarakkan diri tetapi postur tubuhnya yang tidak seimbang menyebabkan usahanya untuk berdiri gagal. Malah sekali lagi Diya hampir terjatuh dan sekali lagi Zahil membantunya dengan memaut pinggang Diya. Muka Diya sudah merah menyala dek malu. Malu yang sudah tidak terkata.
Hati Diya berdebar-debar. Mahu tidak, dah rasa macam berada dalam pelukan je. Bunyi degupan jantung Zahil pun Diya dapat dengar. Dah kepala Diya betul-betul di dada lelaki itu. Mujur saja Zahil buat muka tidak berperasaan. Seposen saja riak wajah Zahil membuatkan Diya yang malu tidak bertambah gandaan rasa malu yang sedia ada.
“Stabilkan diri dulu. Hati-hati, jangan tergopoh-gapah. Nanti jatuh lagi,” ujar Zahil berbunyi nasihat.
Diya angguk saja. Sudah terlalu malu untuk menuturkan walau sepatah kata. Perlahan-lahan Diya berdiri tegak dan menstabilkan tubuhnya. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan sebelum memulakan langkah yang terbantut. Diya terus menapak meninggalkan Zahil yang masih tercegat di belakangnya. Diya gigit bibir.
“Kenapa la aku hari ni? Ish!” gumam Diya dalam hati. Mahu saja kakinya menghentak-hentak lantai melepaskan geram pada diri.
Zahil tersenyum menahan geli hatinya dengan teletah Diya. Zahil tahu Diya malu. Zahil tahu Diya gelabah apabila tubuh mereka berkedudukan rapat. Akhirnya Zahil hanya menggeleng kepala dengan mata terus memerhati setiap langkah kaki Diya di hadapannya.
“Diya… awak harus kuat,” lafaz Zahil perlahan.


“Awak pergi la farmasi dekat hujung sana. Biar saya saja yang pindahkan barang masuk kereta Kamelia,” arah Zahil sebaik saja mereka berdua keluar dari perut kereta Sonata Hyundai lelaki itu.
Diya teragak-agak pada awalnya tetapi akur jua. Ini adalah peluang terbaik untuk lari daripada lelaki itu. Diya menuju arah farmasi dan Zahil mendapatkan kereta Kamelia yang diparkir selang beberapa buah daripada keretanya. Kunci kereta wanita itu sudah sedia dalam tangannya.
Sebaik saja usai memasukkan barang-barang ke dalam kereta Kamelia, Zahil pantas melangkah menuju butik.


“Zahil, kau serius nak pergi kampung Diya?” Kamelia menyoal sebaik saja Zahil membangkitkan perihal alamat kampung Diya yang dimintanya beberapa hari lepas.
Zahil sudah membulat tekad. Zakuan sudah menyatakan pendiriannya dan Zahil sudah melihat sendiri kesengsaraan Diya yang dipulau ahli keluarganya. Zahil tidak mahu Diya yang teraniaya menanggung segalanya sendiri. Dia harus berbuat sesuatu.
 “Apa yang peliknya?” soal Zahil kembali.
“Tak pelik tapi kau betul-betul serius?”
Zahil berkalih memandang pintu masuk ke butik itu. Seperti termenung jauh saja. Kamelia masih menantikan jawapan untuk soalannya. Soalan yang sekadar menduga kesungguhan lelaki itu.
Zahil kembali menjamah wajah Kamelia setelah sejenak berpaling. “Aku dah buat keputusan untuk bertemu ibu bapa Diya. Aku ikhlas,” ada kejujuran dalam jawapan lelaki itu.
Dari air muka Zahil, Kamelia dapat membaca keikhlasan niat Zahil. Tetapi masih ada sesuatu yang bermain dalam fikiran Kamelia.
“Bagaimana dengan Zakuan?” Sejak mengetahui Zakuan mengenali Diya malah turut menyukai gadis itu, hati Kamelia kebimbangan. Sudah la hubungan Zahil dan Zakuan tidak begitu baik. Ditambah pula dengan konflik perasaan berkaitan wanita. Oh! Kamelia tidak dapat bayangkan apa bakal berlaku kelak. Dia begitu kenal sifat adiknya Zakuan Helmi. Pada sesiapa juga si Zakuan tidak pernah mahu tewas. Inikan pula pada Zahil.
Zahil senyum nipis. Itukah yang mengganggu fikiran Kamelia? Zahil tahu Kamelia bimbangkan hubungannya dengan Zakuan terjejas kerana Diya.
“Zakuan harus belajar untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab,” jawapan Zahil membuatkan dahi Kamelia berkerut. Apa maksud kata-kata Zahil itu?
Kamelia gigit bibir. “Dapat ke Zakuan terima?”
“Dia harus terima,” balas Zahil ringkas.
“Zahil, kau dah habis fikir ke? Takkan sebab seorang perempuan, kau nak keruhkan lagi hubungan kau dengan Zakuan. Lagipun, kau sendiri cakap yang Diya tak sukakan kau.” Kamelia masih belum yakin dengan keputusan yang dibuat Zahil.
Zahil senyum nipis menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik. Lelaki itu kelihatan tenang sejak tadi. Begitulah kebiasannya. Zahil akan cuba untuk sentiasa tenang dalam apa jua situasi. Namun begitu, ketenangannya sering berkocak sejak akhir-akhir ini.
“Kau tak setuju dengan keputusan aku?” duga Zahil.
Lambat-lambat Kamelia mengangguk kepala.
“Kau tak nak beri aku alamat tu?” soal Zahil inginkan kepastian.
Kamelia mengeluh lemah. Dia serba salah. Namun akhirnya Kamelia mencapai tas tangan dan mengeluarkan sehelai kertas kecil tertulis alamat rumah Diya di kampung. Bibir Zahil menguntum senyuman tatkala kertas itu bertukar tangan.
“Aku tahu kau tak perlukan persetujuan aku. Aku bagi alamat ni pun sebab aku nak kau bahagia. Buat pertama kali dalam hidup, kau buat pilihan untuk diri kau sendiri. Sedangkan sebelum ni, kau akan beralah pada Zakuan dalam segala hal,” bicara Kamelia penuh sayu. Dia benar-benar inginkan Zahil menemui kebahagian dalam hidupnya.
“Terima kasih Kamelia. Aku lakukan ini semua demi kebahagiaan Diya.” Zahil kelihatan ceria. Kamelia tersenyum gembira walau ada kebimbangan di dasar hatinya.
Diya kemudian muncul dan saat itu Zahil sudah mahu berlalu pergi. Kedua-duanya terserempak di pintu masuk. Diya terus melangkah masuk ke dalam butik manakala Zahil berganjak ke tepi untuk memberikan ruang kepada Diya. Zahil senyum manis pada Diya sebaliknya gadis itu seperti selalu, masih dengan muka tak berperasaan.
Sebelum Zahil melangkah keluar dari butik, sempat lelaki itu mengucapkan salam pada Diya. “Assalamualaikum… cinta.”
Diya terkedu. Nak terbeliak biji mata pun ada. Segera Diya berkalih memandang Zahil yang sudah pun berdiri di luar butik. Zahil tercegat di hadapan pintu kaca butik sambil melambai tangan pada Diya. Diya gigit bibir. Geram!
Kemudian Zahil berlalu dengan bibir menguntum senyum manis. Diya tergeleng-geleng melihat teletah lelaki itu. Sabar saja dengan kerenah Zahil yang adakalanya keanak-anakkan.
Diya merapat Kamelia dan duduk di kerusi yang dikosongkan Zahil.
“Banyak betul barang-barang dapur yang Kamelia suruh beli. Nak buat kenduri ke?” soal Diya sekadar ingin tahu.
Kamelia senyum nipis. Diya ni gadis yang cantik, manis dan baik. Memang tak hairan la kalau Zahil dan Zakuan boleh jatuh hati. Beruntung kalau Diya jadi isteri Zahil. Macam mana la Diya ni boleh kenal Zakuan? Hati Kamelia bermonolog sendiri.
“Kenapa tengok Diya macam tu?” soal Diya setelah Kamelia memerhatinya tak berkelip-kelip.
Tersentak dengan teguran Diya itu, Kamelia ketawa kecil. “Tak ada la. Errr… Diya cakap apa tadi?”
Diya tersenyum melihat teletah Kamelia. Apa la yang Kamelia ni angankan. Ingat kekasih ke?
“Tak, Diya cuma cakap barang yang Kamelia minta belikan tu banyak sangat. Macam nak buat kenduri je,” ulang Diya.
“Oh! Tak, esok malam ada buat makan-makan sikit. Sekadar makan malam family untuk sambut birthday adik,” jawab Kamelia selamba.
“Oooo…” Diya angguk faham. Patut la banyak betul barang-barang yang disenaraikan dalam list. Penat juga pusing-pusing cari barang. Sudah la Zahil tu seperti yang dikatakan Kamelia, tak tahu langsung macam mana nak mencari barang dapur.
“Macam mana dating dengan Zahil? Dah boleh timbulkan bibit-bibit cinta tak?” soal Kamelia sekadar menduga hati Diya.
Diya ketawa. Ada-ada saja si Kamelia ni. Biar betul dia suruh aku pergi membeli barang dapur dengan Zahil sebab tu. Hish! Lucu je. Macam la aku boleh ada perasaan dekat si mamat penyibuk tu.
“Errr… Diya betul tak suka Zahil?” duga Kamelia lagi.
Diya renung lama wajah Kamelia. Cuma membaca makna tersirat di sebalik soalan wanita itu. Akhirnya Diya senyum nipis.
“Tak ada wanita yang tak suka pada lelaki yang baik. Tapi lelaki sebaik Zahil bukan untuk perempuan seperti Diya,” jawab Diya tenang. Makna tersirat di sebalik bicara itu dibiarkan menjadi tanda tanya di hati Kamelia.
Kamelia senyum kelat. Apa maksud Diya? Oh! Diya dengan Zahil ni sama saja. Suka buat aku tercari-cari makna dalam kata-kata mereka. Memang secocok la mereka. Kalau kahwin, malam pertama boleh berbalas pantun.
Diya menyibukkan diri dengan tugasnya sebagai pembantu Kamelia di butik itu. Tidak mahu memberi ruang kepada Kamelia terus membuka perbualan berkisar hati dan perasaan terutamanya tentang perasannya terhadap Zahil.


Diya merapati seorang wanita dalam lingkungan usia 50an yang baru saja melangkah masuk dalam butik.
“Ye, boleh saya bantu puan?” sapa Diya penuh sopan. Setiap orang yang masuk ke dalam butik ini adalah pelanggan dan wajib dilayan mesra. Tidak kisah la kalau yang datang sekadar untuk tengok-tengok saja.
Diya direnung wanita itu dari atas hingga bawah. Kemudian matanya tepat menikam wajah Diya. “Anak ni siapa? Kamelia mana?”
Diya sedikit terkejut. Pertama kali ada orang datang dan bertanya begitu padanya. “Saya pekerja butik ni. Errr… Cik Kamelia ada dalam pejabat. Puan nak saya panggilkan Cik Kamelia ke?”
“Pekerja di sini? Dah berapa lama?” kata-kata Diya seakan tidak diendahkan. Perihal diri Diya terus diperasoal wanita misteri itu.
“Em… agak lama juga. Dah lebih dari dua bulan,” jawab Diya masih tenang walau hati penuh tanda tanya.
“Siapa nama anak ni?”
“Adelia Dayana. Puan boleh panggil Diya saja.” Diya senyum manis.
Wanita itu angguk-angguk kepala dengan senyum melebar.“Emmm… ini la Diya ye. Cantik orangnya. Patut la Zahil selalu sangat datang sini.”
Errrkkk… Zahil? Dia kenal Zahil? Kamelia juga! Siapa dia ni? “Puan ni?...”
Wanita itu ketawa.“Tak payah berpuan-puan la. Panggil je Mak Jah. Zahil dengan Kamelia pun panggil Mak Jah juga. Mereka berdua tu membesar depan Mak Jah.”
“Oh!” bibir Diya membentuk ‘o’. Patut la…
Kemudian Kamelia muncul di situ. “Mak Jah! Bila datang sini?”
Mak Jah berkalih memandang Kamelia. “Baru je sampai. Mak Jah keluar beli barang dapur untuk makan malam esok.”
“La… Kamelia dah minta Diya belikan dengan Zahil tadi. Ni pun baru ingat nak pergi hantar barang ke rumah,” beritahu Kamelia.
“Hem… banyak juga Mak Jah beli tadi. Ingatkan Kamelia tak nak belikan. Dah katanya sibuk memanjang.”
“Zahil pergi beli dengan Diya tadi,” sambung Kamelia lagi.
“Ooo… kalau macam tu, jemput la Diya ni sekali. Boleh la Diya kenal-kenal dengan mama kamu,” usul Mak Jah.
“Errr… tak apa la Mak Jah. Susah-susah saja,” pantas Diya menolak.
Mak Jah seperti beria-ia benar mahu Diya memenuhi ajakannya. “Mana ada susahnya. Banyak makanan tu nanti. Lebih dari cukup. Macam perut Diya dengan Kamelia ni, tak luak pun makanan. Orang muda la katakan. Diet-diet saja.”
Diya pandang Kamelia. Kamelia senyum nipis. Namun dalam hati Kamelia, dia turut bimbang akan kemungkinan yang bakal terjadi seandainya Diya memenuhi jemputan Mak Jah itu. Hendak menegah, tidak manis pula. Seakan tidak sopan melarang Diya dari membuat keputusan sendiri.
“Datang ye. Jangan tak datang pula,” sambung Mak Jah sebelum berlalu.
“Errr… insyallah,” hanya itu yang mampu dijawab Diya.
Kamelia senyum kelat. Apa yang bakal terjadi nanti? Kamelia seperti mahu saja katakan pada Diya supaya tidak memenuhi jemputan itu. Tapi apa pula tanggapan Diya nanti. Kamelia akhirnya melepaskan nafas yang terasa berat.

10 comments:

  1. Suka.. sila sambung lagi..

    ReplyDelete
  2. suke la.br je nk follow cite ni.best2..

    ReplyDelete
  3. buzz off zakuan.... padan muka hang....

    Sempat ker zahil nak meminang dhiya? atau dhiya sempat nak memberhentikan rancangan zahil?

    Lorr... pusing2 tang situ jer... Kamilia adalah boss dhiya, zakuan & zahil adalah adik-beradik tiri, dhiya pernah dinodai zakuan, zakuan & zahil dah cintan maut dgn dhiya... Mcm keluarga 69 jer... hihihi...

    Boleh tak dhiya jatuh cinta dgn Mr X, yg tak der kena mengena langsung dgn sesiapa? Senang sikit.... Hahaha....

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq utk komen...
      nak tau sempat x sempat, kena la tunggu bab 14 ye...
      ^_^!

      Delete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.