ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Monday, October 15, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 14





BAB 14
Diya lihat bintang-bintang di dada langit. Dapatkah dia menjadi bintang yang bersinar terang kerana latar langit yang hitam? Mungkinkah dia menemui sinar bahagia setelah masa silam yang begitu gelap? Saat melayan persoalan hati itu, Nur mengambil tempat duduk di sisi Diya.
Kemudian kedua-dua mereka menghayun lembut buaian di halaman rumah itu. Agak lama duduk melayan perasaan di situ, Diya mula menyedari yang Nur seperti tidak senang duduk di sebelahnya. Seperti ada yang tak kena pada Nur. Tergaru-garu lengan sana sini, malah berkali-kali batuk dan berdehem. Sejak bila Nur sakit tekak? Lagaknya gelisah tak menentu.
“Kau apa hal?” tegur Diya. Bimbang melihat teletah Nur yang pelik itu.
Nur angkat kening. Pura-pura tak faham pula. Diya semakin dilanda kehairanan.
“Ni mesti ada benda kau sembunyikan dari aku kan? Kalau tak, takkan la kau macam terkena miang buluh,” serkap Diya. Tajam matanya menyorot wajah Nur. Biasanya kalau ada buat salah, begini la teletah si Nur. Tapi sudah lama Nur tidak dilanda tabiat itu.
“Tak ada la.” Nur telan air liur. Matanya dilarikan dari bertaut dengan renungan mata Diya yang tajam. Aduh! Tadi macam berkeyakinan saja nak buat pengakuan. Sekarang macam tak jadi je. Adoi! Itu la kau Nur. Cari nahas.
Diya tidak puas hati. Pasti ada yang tak kena! “Betul ke? Bukan ke kau kalau ada sembunyi kesalahan, mesti kena penyakit miang buluh. Macam sekarang ni la,” Diya menduga lagi.
“Ye ke? Tak ada la. Sejuk kot,” dalih Nur. Asalnya Nur memang berniat untuk membuka cerita pada Diya. Tetapi entah mengapa lidah terasa kelu. Takut pula andai Diya marah. Tidak tahu bagaimana hendak berdepan kemarahan Diya kelak.
Diya semakin tidak puas hati dengan dalih Nur itu. Tak logik pada akalnya.
“Orang sejuk peluk tubuh bukan garu-garu lengan, garu leher macam kau ni,” Diya terus mempertikai teletah Nur.
Nur telan air liur lagi. Dia harus cari cara melarikan diri. “Eh! Kau ni yang sejak dua menjak ni asyik termenung kenapa? Ada masalah ke?” Nur lari dari topik perbualan. Hati sangat berharap usahanya itu berjaya.
Diya mengeluh perlahan. Pandangannya kembali terarah pada taburan bintang di langit. Ternyata Nur berjaya mengubah topik perbualan mereka.
 “Aku cuma terfikir, macam mana untuk berdepan dengan masa silam aku,” sayu saja nada suara Diya.
Nur jamah wajah Diya dari sisi. “Maksud kau?”
Diya tertunduk pula memandang tanah. Kemudian hujung selipar kanannya menguis-nguis tanah. “Kalau suatu hari nanti aku terserempak dengan lelaki setan tu, aku tak tahu nak buat apa. Nak marah? Nak buat tak kenal?” Setelah itu Diya melepaskan keluhan berat.
“Kau jumpa dia?” soal Nur tanpa lari anak matanya dari menjamah raut wajah Diya.
“Aku tak pasti pula. Masa tu aku macam pasti tapi bila fikir-fikir semula, macam tak mungkin pula. Tak mungkin tu dia. Perasaan aku je kot. Tapi sungguh, aku tak tahu apa nak buat kalau suatu hari nanti aku jumpa dia. Aku tak kuat, Nur.” Diya berkalih menatap wajah Nur. Jemari Nur digenggam dan diramas Diya.
Nur senyum nipis. “Aku tahu tak mudah untuk kau. Tapi kau kena sabar dan tabah,” seperti selalu, Nur akan meniupkan kata-kata kesabaran pada Diya.
Diya leraikan genggaman jari antara mereka. Diya masih kelihatan tidak senang hati.“Entah la Nur. Sekarang pula aku semakin pening dengan si Zahil.”
Dengar saja nama Zahil, Nur tergamam. Berkali-kali Nur telan air liur. Dirinya kembali diselubungi rasa bersalah kerana telah memberikan alamat kampung Diya pada Kamelia. Dan tindakan itu atas permintaan Zahil.
Awalnya Nur enggan terbabit tetapi dia beralah juga setelah Kamelia bersungguh-sungguh menceritakan perihal keikhlasan cinta Zahil pada Diya. Sahabat mana yang tidak mahu melihat sahabatnya bahagia. Memikirkan masa depan Diya, Nur berlembut hati untuk membantu.
 “Errr… Zahil?” akhirnya Nur berpura-pura seperti nama itu kurang diingatinya. Terpaksa la berlakon sikit.
“Ye la, Zahil. Mamat penyibuk yang aku pernah cerita pada kau tu,” ujar Diya yang benar-benar menyangka Nur tidak ingat tentang Zahil.
“Oh! Ye. Errr… kenapa dengan dia?” Nur terus berlagak seperti baru saja teringat perihal lelaki yang agak kerap dibebelkan Diya. Dan semuanya bebelan tentang betapa Diya tidak berkenan dengan sikap Zahil yang penyibuk.
“Dia tu pun tak habis-habis nak semakkan hidup aku dengan falsafah cinta dia tu. Aku rimas setiap kali jumpa dia. Tengok senyum dia pun aku dah jiwa kacau. Serabut otak!” Diya meluahkan perasaan tidak senang hati yang jelas tergambar pada riak wajahnya yang tegang kini.
Nur senyum saja. Diya ni, kalau bercerita pasal Zahil, pasti penuh beremosi. “Serabut otak ke, berdebar jatung?” duga Nur dengan senyuman masih di bibir.
“Kau perli aku ek?” Diya ketap bibir. Tahan geram! Jelas Diya tidak senang dengan kata-kata Nur itu. Minah ni pun suka sangat tersenyum begitu bila aku bercakap tentang Zahil.
 Nur ketawa kecil. “Perli? Bukan perli tapi sedarkan kau. Zahil tu baik apa.”
Diya mencebik. “Dia baik, tapi aku tak cukup baik untuk dia.”
Nur geleng kepala. Kemudian jemari Diya dipaut lembut.
“Kalau kau tak cukup baik untuk dia, tak ada la dia sampai yakin sangat nak jumpa mak ayah kau,” ujar Nur tanpa sedar.
Diya terkedu. Hujung bicara Nur menyentap pendengaran telinganya. Lantas Diya bertanya kembali untuk mendapatkan kepastian. “Kau cakap apa tadi?”
Membulat mata Nur tatkala menyedari ketelanjuran katanya. Terus dada rasa berdebar-debar. Jemari Diya dalam genggaman dilepaskan. Nur kembali menggaru-garu lengan kirinya.
“Errr… apa aku cakap? Tak ada apa pun.” Nur mula gelabah. Lakonannya sudah lebur.
Diya sudah berwajah serius. Tajam matanya menikam Nur yang gelabah. “Aku tak salah dengar tadi kan? Kau ulang lagi sekali!”
“Apa dia?” Nur masih berpura-pura.
“Kau dah miang buluh gini, nak selindung lagi. Cakap cepat!” intonasi suara Diya sudah sedikit meninggi. Nur ni, kalau aku berlembut, bukan nak cakap. Nak juga aku berkeras sikit.
“Tak ada…” Nur tidak betah duduk di situ. Gadis itu segera angkat punggung.
“Kau nak pergi mana tu? Duduk sini. Tak habis cakap lagi.” Terjegil biji mata Diya apabila Nur ingin melarikan diri. Sempat Diya memaut pergelangan tangan Nur dan ditarik agar temannya itu kembali duduk atas buaian.
Nur pandang wajah serius Diya. Diya gigit bibir dan mencerlun garang. Nur mencebik memohon simpati. Diya semakin bulatkan mata. Masih ada hati nak minta belas kasih. Huh!
“Ok… ok… aku mengaku,” akhirnya Nur mengalah dan Diya menang dalam pertandingan psikologi itu.
“Sekarang cakap cepat!” tegas Diya.
Nur resah gelisah. “Errr… Kamelia minta alamat kampung kau. Zahil nak jumpa mak ayah kau,” terluah juga rahsia yang disimpan. Itu pun dalam nada takut-takut.
What?” seperti dijangka, Diya akan terkejut. Seperti dijangka juga, Diya akan terjerit hingga Nur tutup lubang telinga dengan jari. Berdesing telinga. Memang macam bom meletup!
“Bila?” soal Diya dengan nada meninggi. Diya sudah berdiri tercegat mengadap Nur umpama gadis itu pesalah yang sedang disoal siasat.
Nur terkebil-kebil. Diya hangat hati.
“Bila?” soal Diya sedikit menengking apabila Nur lambat menjawab.
“Se… se… semalam!” Nur tunduk ketakutan di samping dilema dengan rasa bersalah.
Saat ini, Nur tidak berani angkat kepala menjamah raut wajah Diya yang sudah menyinga. Diya kemudian masuk ke dalam rumah dan menuju arah kamar tidurnya. Masuk saja ke dalam bilik, Diya menerpa mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor Kamelia dicari dan butang memanggil ditekan.


Nur yang duduk atas sofa di ruang tamu tunduk memandang lantai umpama pesalah dalam  kandang mahkamah. Langsung tidak berani angkat muka memandang wajah bengis Diya yang sudah naik hantu.
“Kau dah gila ke?” marah Diya sambil mundar-mandir di depan Nur. Sejak tadi, satu demi satu hamburan amarah keluar dari bibir Diya. Nur sabar saja menadah telinga.
“Tak cukup lagi ke dengan apa yang dah berlaku dulu? Kenapa kau nak tambahkan beban dalam hidup aku?” Diya merengus kasar seraya menghempas tubuh atas sofa bertentangan dengan Nur. Panas betul hati Diya dengan tindakan Nur yang senyap-senyap bersekongkol dengan Kamelia dan Zahil.
Nur mengeluh melepaskan rasa serba salah dalam diri. Nasi dah jadi bubur, dah tak boleh patah balik. “Diya, aku minta maaf…” ada kesal dalam luahan itu.
“Kau tahu tak apa kau dah buat?” Diya terus mempersoal tindakan Nur itu. Entah apa yang ada dalam kepala Nur tidak dapat Diya baca.
Nur angkat muka menentang sinar mata Diya yang merenung garang memandangnya.“Sorry Diya. Aku nak tolong kau je. Kalau boleh aku nak kau lupakan masa silam kau,” Nur menyatakan kemurnian niat hatinya.
Diya tersenyum sinis mendengar alasan Nur itu. “Lupakan masa silam? Kau ingat kalau aku terima Zahil tu, aku dapat lupakan masa silam aku?”
“Aku minta maaf Diya. Aku buat untuk kebaikan kau.” Nur masih mempertahankan niat baiknya. Nur tahu Diya tidak akan mengerti tetapi sungguh niatnya baik. Tidak tercalit sebarang agenda buruk.
“Kalau aku lupakan masa silam aku pun, belum tentu Zahil dapat terima aku. Aku ni kotor, Nur! Aku ni jijik!” bicara Diya yang penuh emosi itu mengejutkan Nur. Tidak Nur sangka Diya memandang hina diri sendiri serendah itu.
“Astaghfirullahalazim… Diya, apa kau cakap ni? Bawa mengucap. Aku tak pernah anggap kau sampai macam tu,” pilu hati Nur apabila Diya berbicara sebegitu rupa.
Diya senyum kelat. “Itu hakikat, Nur. Tak ada lelaki dalam dunia ini yang dapat terima perempuan macam aku. Zahil tu belum gila lagi untuk terima perempuan hina macam aku ni.”
Tergeleng-geleng kepala Nur mendengar kata-kata Diya itu. Mengapa Diya menjadi terlalu prejudis begini?
“Jangan cakap macam tu, Diya. Insyallah… Zahil dapat terima kau seadanya.” Nur seakan memujuk Diya.
“Huh!” Diya tersenyum sinis. “Zahil dapat terima aku? Nur, family aku pun buang aku. Macam mana Zahil dapat terima aku! Lelaki macam Zahil tu, akan terus berpaling bila tahu yang aku ni bukan gadis suci. Dia akan rasa jijik!” bidas Diya.
“Mengucap Diya. Kenapa kau hina diri sendiri sampai macam ni sekali?” Nur tidak betah mendengar Diya menghukum diri sebegitu rupa.
Diya mengeluh lemah. Wajah tegangnya berubah redup. “Kau tak patut buat aku macam ni, Nur.”
“Diya, aku minta maaf,” lirih suara Nur.
Diya angkat punggung dan menapak masuk ke dalam kamar tidurnya. Nur hanya mampu memandang sayu. Beberapa minit kemudian, Diya muncul berpakaian t-shirt lengan panjang, berseluar jeans dan bertudung bersama beg kecil berisi pakaian. Laju langkah kaki Diya meluru menuju muka pintu.
Nur yang masih duduk di sofa terkedu. “Diya! Diya!” panggilan Nur tidak Diya hiraukan. Terus langkah kaki Diya diatur melangkaui gerbang pintu.
Nur meluru mendapatkan Diya. Nur paut lengan Diya seterusnya mematikan langkah Diya. “Diya, kau nak pergi mana malam-malam ni?”
“Aku nak balik kampung. Aku mesti halang Zahil. Kamelia cakap, Zahil dah bertolak pergi kampung aku,” jawab Diya tanpa memandang wajah Nur. Tidak tega rasanya untuk Diya menjamah wajah Nur yang dirundung rasa bersalah.
“Diya, dah lewat malam ni,” Nur cuba menegah. Lewat malam begini terlalu bahaya untuk gadis seperti Diya memandu seorang diri ke utara tanah air. Perjalanan bukan sejam dua.
Diya rentap lengannya bagi meleraikan pautan Nur di situ. “Kalau kau beritahu aku awal, aku tak pergi lewat malam begini!”
“Ye, ok. Aku salah. Tapi kau kena bertenang. Sekarang bukan masa sesuai untuk kau balik kampung. Dah lewat sangat. Esok je, ok?” Nur masih berusaha memujuk.
“Aku tak perlukan kebenaran kau untuk balik kampung aku.” Diya terus berdegil.
Nur mengeluh lemah. Pening kepala dengan kedegilan Diya. “Ok, aku salah. Aku minta maaf. Aku tahu kau marahkan aku. Begini la, aku tebus kesalahan aku, aku ikut kau.”
Diya pandang sekilas wajah bersungguh-sungguh Nur. Akhirnya Diya melangkah meninggalkan Nur tercegat di muka pintu.
“Diya!” laung Nur apabila Diya sudah membuka pintu kereta.
“Suka hati kau,” ujar Diya tanpa memandang Nur yang menanti jawapannya.
Nur senyum tawar. “Tunggu aku!” jerit Nur seraya berkejar menuju kamar tidurnya.


 “Diya, pandu la perlahan sikit. Jangan memecut macam ni. Kalau kau bawa laju-laju pun, bukan dapat kejar si Zahil tu,” rungut Nur yang kecut perut dengan gaya pemanduan Diya yang laju umpama memandu di litar lumba.
“Kalau aku jadi kau, aku akan duduk diam dekat situ!” bidas Diya tidak mengendahkan rungutan Nur.
Nur mengeluh lemah. Diya memang sudah di tahap amarah yang menyala. Sepatah kata jua tidak akan memadam amarah itu saat ini. Nur hanya mampu berdoa agar mereka berdua selamat sampai ke kampung Diya.
Tiba di satu selekoh, kereta yang dipandu Diya hampir-hampir saja bertembung dengan sebuah Mercedes hitam yang datang dari arah bertentangan.
Sempat kaki Diya menekan break mengejut. Telinga mereka dapat mendengar bunyi tayar kereta yang bergesel dengan tar.  “Breeekkk!”
Nur sempat menahan tangan pada dashboard apabila kereta berhenti mengejut. Tali pinggang keledar yang dipasang tidak kemas akibat terlalu kelang-kabut semasa masuk ke dalam kereta tadi terlucut menyebabkan Nur terpelanting ke depan dan hampir mencium cermin.
“Apa dah jadi ni?” Nur menyoal seraya memandang Diya di sebelah yang tegang sekali wajahnya.
Diya tidak menjawab soalan Nur. Hampir-hampir saja Diya terhantuk pada stereng kereta akibat situasi cemas sebentar tadi. Diya keluar dari kereta dan melihat hadapan keretanya. Hanya sedikit kesan calar. Kemudian Diya berpaling memandang pemilik Mercedes hitam yang berlanggar dengan kereta Myvinya.
Riak wajah Diya yang tegang berubah terkejut tatkala matanya memandang pemandu Mercedes hitam tersebut. Membulat mata Diya tanpa berkelip kelopak mata. Lidah jadi kelu.
Pemandu Mercedes hitam itu ternyata turut terkejut. Segera pemandu Mercedes itu menanggalkan tali pinggang keledarnya dan bergegas melangkah keluar dari keretanya. Melihat tindakan pemandu Mercedes itu, Diya terkocoh-kocoh masuk kembali ke dalam kereta Myvinya. Pintu kereta cepat-cepat ditutup dan dikunci. Tingkah Diya diperhatikan Nur yang berwajah pucat.
Diya hidupkan enjin kereta dengan jemari yang terketar-ketar. Pemandu Mercedes itu sudah mengetuk-ngetuk cermin kereta di sebelah sisi Diya. Berkali-kali cermin tingkap diketuk sebagai arahan agar cermin itu diturunkan. Namun Diya tidak mempedulikan permintaan itu.
Nur di sisi Diya tergamam tanpa sepatah kata. Tidak tahu apa yang harus dibicarakan tambahan pula Diya sekarang bukan boleh dibawa berbicara. Kereta Myvi dipandu Diya terus meluncur pergi. Pemandu Mercedes itu tidak mahu berputus asa. Pantas sekali dia memboloskan diri ke dalam kereta dan segera mengejar kereta dipandu Diya itu.
Diya menyedari keretanya sedang dikejar pantas menambah kelajuan pemanduan. Nur di sisi sudah mengucap panjang. Menggigil-gigil Nur sambil menggenggam erat tali pinggang keledar yang kembali dipasangnya. Kali ini Nur berkali-kali memastikan tali pinggang keledar yang dipasang betul-betul kemas.
Mercedes hitam itu terus memecut laju untuk memintas kereta Myvi di hadapannya. Ternyata pemandu kereta mewah itu tidak mahu melepaskan Diya pergi. Pertemuan antara mereka adalah pertemuan di luar dugaan. Pertemuan mengejut yang menyedarkan dirinya bahawa dia tidak mahu melepaskan Diya. Dia harus bersemuka dengan gadis itu. Walau sejarah perhubungan mereka terlalu keruh, dia berharap untuk menjernihkannya. Ada seribu kata hendak diungkap pada Diya. Jutaan kemaafan mahu dimohon daripada gadis itu.
Saat Mercedes hitam itu berjaya memintas Myvi dipandu Diya, telefon bimbit pemandu Mercedes itu berdering. Mahu saja panggilan itu diabaikan tetapi entah mengapa hati kecilnya membisikkan agar dia menjawab panggilan masuk itu. Lantas telefon bimbit dicapai dan panggilan dijawab.
“Abang! Balik cepat. Mama pengsan!” kedengaran suara Zarina yang cemas dari corong telefon.
Tanpa berfikir panjang, Zakuan terus mematikan panggilan telefon. Telefon bimbit di tangan digenggamnya erat. Melepaskan rasa geramnya yang terbuku di hati. Antara mengejar Diya yang sudah kembali memotong keretanya atau berundur dan segera pulang mendapatkan mamanya, Zakuan berbelah bahagi. Hati menjerit.
Akhirnya Zakuan membuat pusingan u seterusnya melepaskan Diya pergi tanpa diketahui ke mana arah tuju gadis itu. Zakuan kecewa. Kesalnya tidak terungkap oleh kata-kata. Bayangan wajah Diya bertamu di layar mindanya. Akan adakah pertemuan kedua antara mereka? Hati Zakuan terus mengharapkan adanya peluang kedua.
Diya menjeling cermin pandang belakang dan dari situ dia melihat kereta dipandu Zakuan membuat pusing u. Bermakna lelaki itu tidak lagi mengejarnya. Mengapa, Diya tidak mahu ambil tahu. Diya menghela nafas tenang sambil memperlahankan kelajuan pemanduan.
“Diya…” rengek Nur yang sudah menggigil-gigil.
Diya kalih sekilas memandang Nur di sisi.
“Aku nak terkencing!”