ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 28



BAB 28
Walau duduk sebumbung, Zahil dan Diya tidak akan bertegur sapa apabila bertembung. Saling memandang muka juga seakan tidak sudi. Masing-masing mengisytiharkan perang dingin buat pertama kali dalam sejarah perkahwinan mereka.
Zahil bersikap dingin pada Diya sedangkan sebelum ini Diya la yang selalu dingin. Diya tahu Zahil merajuk dan Diya merupakan seorang isteri yang tidak pandai memujuk. Diya mencuba untuk memujuk namun segala yang dirancang dalam benaknya dibatalkan saja.
Hakikatnya Diya tidak pandai untuk memujuk Zahil kerana hubungan mereka yang tidak sempurna seperti pasangan suami isteri yang lain. Bagaimana hendak Diya pujuk? Diya tidak pandai hendak bermanis kata dengan Zahil. Diya kekok untuk memujuk rayu apa lagi untuk membelai penuh kasih sayang. Bukankah Diya ini ni patung Liberty juga si patung ais di kutub utara. Dingin dan beku!
Akhirnya Zahil dibiarkan menjeruk rasa. Mengubat sendiri luka yang tertoreh tanpa Diya sengaja. Kesian benar lelaki itu sehingga akhirnya Zahil sedar, mengharap pujukan Diya umpama menanti bulan jatuh ke riba. Andai kucing bertanduk pun, Diya belum tentu akan datang memujuknya.
Namun Zahil masih tetap dingin. Andai Diya tidak pandai memujuk, sekurang-kurangnya Diya pasti tahu bagaimana mengungkap kata maaf. Dan Zahil menunggu isterinya membuang ego untuk memohon kemaafan daripadanya.
Petang itu Zahil mencuci kereta di halaman rumah. Sudah menjadi kebiasaan untuk Zahil mencuci ‘teman akrabnya’ itu walau terlihat secalit kotoran sekalipun. Diya pula cuti tiga hari kerana kecederaan di buku lali kakinya. Mujur Kamelia sudah mendapatkan pekerja tambahan untuk butiknya.  
Diya duduk rehat di ruang tamu sambil membelek majalah walaupun tumpuan tidak seratus peratus pada bacaannya. Wanita itu terus dibelenggu rasa bersalah yang merantai ketenangan hati. Namun ego menyekat diri dari memujuk dan meminta maaf pada Zahil. Tingginya ego Diya.
Zahil yang khusyuk mencuci kereta sambil mendengar lagu yang berkumandang dari corong radio dalam kereta disapa Tina, anak gadis Kak Ima. Gadis berusia sembilan belas tahun itu belajar di sebuah kolej di ibu kota. Sememangnya hubungan Zahil dengan Tina agak rapat kerana Zahil pernah menjadi guru tuisyen Tina semasa gadis itu menghadapi SPM dulu.
Zahil sudah menganggap Tina sama seperti adik tirinya Zarina malah usia mereka berdua sebaya. Bersama-sama Tina membuatkan Zahil merasa seperti bersama dengan adiknya Zarina Karisya. Teletah manja kedua-duanya sama malah senyuman dan tawa juga serupa manisnya.
Diya di ruang tamu dikejutkan dengan bunyi jeritan. Bukan jeritan ketakutan tetapi penuh nada ceria berselang dengan tawa mesra. Wanita itu melangkah menuju jendela dan mengintai dari balik tirai. Dilihat Zahil sedang memegang paip air yang di arahkan pada Tina menyebabkan remaja itu berlari-lari di sekeliling kereta bagi mengelak dirinya daripada basah terkena air paip yang dipancut Zahil.
Kegembiraan terpancar pada wajah Tina. Zahil bukan la hendak pancut air sehingga Tina basah tetapi lelaki itu sekadar mengacah. Tina saja yang tergedek-gedek menjerit dan sesekali memarahi Zahil dengan gaya manjanya. Diya menjuih bibir. Bukan kerana cemburu akan kemesraan itu tetapi kerana meluat dengan teletah mengada-ngada anak Kak Ima itu.
Si Tina itu pantang saja jika ternampak Zahil, pasti datang bermanja-manja. Si Zahil pula melayan saja teletah remaja itu kerana dianggapnya si Tina seperti adik sendiri. Tapi apabila Diya munculkan diri, wajah manja-manja perasan comel Tina itu cepat saja berubah muncung sedepa. Pantang sekali jika ternampak Diya, si Tina akan masam mencuka.
Diya tahu Tina tidak menyukai dirinya. Apabila hal itu diperkatakan pada Zahil, lelaki itu ketawa terbahak-bahak dan mengatakan Diya yang bersifat cemburu. Huh! Tak ada masa Diya hendak cemburukan budak mentah seperti Tina itu. Tambahan pula Diya cukup arif gerangan yang bertakhta di hati suaminya. Peliknya, jika sudah tahu, mengapa sukar memberi cinta kepada lelaki itu? Diya kembali terpukul oleh persoalan itu.
Diya malas mengambil peduli perihal dua manusia itu lalu melangkah terhinjut-hinjut mendaki tangga untuk masuk ke kamar tidur. Diya baring atas katil sambil menyambung bacaan majalahnya yang terbantut.
Selesa sekali Diya berbaring-baring dan ketawa apabila ada isi bacaan yang mencuit hati. Tidak lama kemudian, Zahil masuk ke dalam bilik untuk mandi. Lelaki itu tercegat lama di depan muka pintu melihat aksi bahagia Diya yang bergelak ketawa sambil membaca majalah Ujang kepunyaan Zahil.
Ya Allah… aku punya la mogok dengan dia, boleh lagi hidup dia bahagia. Ketawa tak ingat dunia begitu. Memang la minah ni tak ada perasaan. Aku ingat bila aku mogok, dia pun ada la sedikit keinsafan. Ini, hidup penuh kegembiraan. Zahil ketap bibir menahan rasa geram.
Zahil terus mendapatkan tuala dan masuk ke dalam kamar mandi. Daun pintu ditutup Zahil dengan sekuat hati.  Diya pandang saja daun pintu yang sengaja dihempas kuat itu. Apa yang tak kena? Diya terpinga-pinga.
Zahil keluar semula setelah siap membersihkan diri. Dijeling Diya yang masih dengan bacaannya. Zahil geram.
Siap mengenakan pakaian, Zahil menuju ke beranda dan bersandar pada besi penghadang di situ. Dari arah beranda, Zahil memandang Diya yang begitu asyik dengan bahan bacaannya. Jiwa Zahil memberontak apabila Diya langsung tidak pedulikan dirinya. Seolah-olah Diya gembira dengan mogok yang dilancarkan Zahil.
Sekali lagi Diya ketawa sehingga terhinggut-hinggut tubuh wanita itu. Zahil tidak dapat bersabar lagi lalu menerpa masuk ke dalam bilik dan mencapai telefon bimbit yang diletakkan atas meja solek. Tingkah Zahil itu berjaya menarik perhatian Diya. Mata Diya mengikut saja pergerakan Zahil yang sudah keluar kembali menuju ke beranda tanpa menutup pintu kaca gelonsor. Sengaja Zahil tidak menutupnya.
Hello, Rania!” sengaja Zahil menyebut nama Rania dengan kuat supaya Diya yang berada di dalam bilik dapat mendengarnya.
Dengar saja nama Rania disebut, Diya turut pasang telinga. Suara Zahil yang bernada lebih kuat daripada biasa membuatkan Diya hairan. Tidak sakitkah telinga Rania bercakap telefon dengan Zahil? Diya membuat andaian bahawa Rania berada di suatu tempat yang bising sehingga Zahil perlu bercakap dengan kuat.
“Rania, saya minta maaf pasal semalam. Sorry ok. Saya tak sengaja,” ujar Zahil cukup lembut namun nada dikuatkan agar dapat didengari Diya.
Diya terus memasang telinga. Sejak bila Zahil bahasakan diri ‘saya’ dan awak’ apabila bercakap dengan Rania? Mata Diya semakin mengecil dengan telinga terus terpasang untuk mencuri dengar lebih lanjut isi perbualan antara Zahil dan Rania.
“Awak, saya minta maaf sangat,” intonasi suara Zahil betul-betul seperti sang pencinta yang memujuk kekasih hatinya. Andai wanita lain mendengarnya, pasti sudah rebah dek tergoda.
Kenapa Zahil minta maaf pada Rania? Salah apakah Zahil pada wanita itu? Diya terus diasak persoalan. Semakin tekun Diya mencuri dengar. Telinga Diya menangkap suara Zahil yang terus memujuk rayu meminta maaf atas kesalahan yang tidak Diya ketahui.
Sudah la gaya suara lelaki itu yang sungguh lemah lembut, aksi tubuh pula sudah seperti ulat bulu naik daun. Gedik semacam siap hujung kaki terhayun-hayun menyepak manja tiang penghadang di beranda itu. Tak ubah seperti sang teruna bermanja-manja dengan si dara.
Mata Diya sudah sepet menikam tajam batang tubuh Zahil. Zahil sesekali mencuri-curi pandang ke arah Diya untuk mengintai reaksi wanita itu. Ternyata Diya memberi fokus terhadap dirinya. Cemburukah Diya? Zahil rasa gembira. Senyuman yang terukir di bibirnya bukan lagi satu kepura-puraan tapi senyuman meleret yang ikhlas.
Diya mula perasan sesuatu. Sesuatu yang pelik pada suaminya. Yakin dengan firasat dirinya, Diya menapak mendekati pintu kaca gelonsor yang memisahkan kawasan beranda dengan kamar tidur. Zahil buat-buat tidak sedar akan kehadiran Diya. Terus asyik dengan perbualan telefonnya.
“Zahil!” panggil Diya.
Zahil berpaling memandang Diya dengan riak wajah terpinga-pinga melihat kemunculan Diya. Lelaki ini cukup menghayati lakonannya.
“Errr… Rania, kejap ye. Ada orang datang,” ujar Zahil penuh lemah lembut. “Ada apa Diya?” soal Zahil sambil sebelah tangan menekup telefon. Suara juga cukup perlahan. Kononnya tidak mahu perbualannya dengan Diya didengari Rania di hujung talian.
“Ni!” Diya menghulurkan telefon bimbit Xperia P berwarna hitam milik Zahil.
Zahil kaget. Automatik mata Zahil melihat kembali telefon bimbit dalam genggaman tangannya. Alamak! Nokia N9. Dengan wajah menunduk, Zahil ambil telefon bimbit yang dihulurkan padanya dan memulangkan telefon bimbit yang digunakan sebelum ini pada Diya.
 “Saya rasa kalau awak nak cakap dengan Rania, awak sepatutnya guna telefon yang itu. Sebab telefon yang ini tak ada nombor Rania. Lagi satu, telefon saya dah mati. Tak ada bateri!” sindir Diya dengan wajah bersahaja.
Zahil telan air liur. Temberang sudah pecah!
Diya berlalu pergi. Zahil mengeluh kesal dan menyisir rambut dengan tangan. Kemudian lelaki itu menapak ke dalam kamar dan memaut lengan Diya seterusnya menahan wanita itu daripada melangkah keluar daripada bilik itu. Diya angkat muka menentang renungan mata Zahil yang tajam. Wajah Zahil cukup tegang begitu juga raut wajah Diya.
“Saya minta maaf,” ucap Zahil mendatar. Tidak senada dengan air mukanya yang berkerut itu.
Diya menghela nafas tenang. Wajahnya tidak setegang tadi. Fikirnya Zahil hendak bertegang leher dek aksi yang agak kasar itu. Rupa-rupanya nak minta maaf. Diya rentap lengannya daripada pautan tangan Zahil. Tidak pula Diya memberi jawapan pada permohonan maaf itu.
“Saya tahu saya tak patut cemburu,” suara Zahil bernada kesal.
“Saya tak salahkan awak,” sambut Diya lemah. Jika Diya bersikap berterus terang pada Zahil, pasti keadaan tidak menjadi lebih rumit.
Zahil berjalan duduk atas birai katil. “Saya takut Diya. Selama ini saya berusaha gigih untuk ambil hati awak tapi awak tetap dingin dengan saya. Saya masih tak dapat memiliki cinta awak walau saya mencuba sedaya upaya untuk menjadi suami yang baik. Saya bimbang andai ada lelaki lain yang muncul dan berjaya pikat hati awak. Saya takut awak tinggalkan saya.”
Diya jamah wajah duka Zahil itu. Diya jadi serba salah. Segalanya berpunca daripada dirinya yang tidak mampu menjadi isteri yang baik pada Zahil.
“Zahil, saya tak akan beri hati saya pada sesiapa. Andainya saya hendak menyerahkan cinta itu, saya akan berikan cinta itu pada awak,” jawapan Diya itu menenangkan Zahil.
Zahil tatap wajah Diya yang teragak-agak untuk mengukir senyuman padanya. Zahil mendekati Diya. Berdiri betul-betul di hadapan Diya lalu menyentuh jari telunjuk kanan dan kiri Diya. Zahil angkat kedua-dua jari itu dan dibawa ke hujung bibir Diya.
“Tarik begini,” jari itu ditolak lembut sehingga bibir Diya membentuk senyuman.
“Kan comel kalau senyum,” puji Zahil.
Cepat-cepat Diya tarik jarinya daripada pegangan Zahil dan mengalihkan muka daripada tatapan lelaki itu. Zahil ketawa apabila Diya malu-malu begitu.
“Saya… saya nak ke dapur,” suara Diya untuk berdalih bagi melarikan diri dari berada sebilik dengan Zahil.
Diya melangkah terhinjut-hinjut mendekati daun pintu. Sebaik saja Diya membuka pintu, dia merasakan tubunya melayang. Diya hampir terjerit apabila Zahil menerpa dan mencembung tubuhnya.
“Eh! Awak buat apa ni? Turunkan saya la!” Diya meronta-ronta.
“Shuuut! Saya tolong hantar sampai ke dapur. Awakkan susah nak turun tangga,” bisik Zahil di telinga Diya.
“Tak payah! Turunkan saya sekarang. Malu la Zahil!” marah Diya dengan wajah sudah merona merah.
“Alah, bukan first time. Nak malu apa? Bukan ada orang nampak pun,” jawab Zahil selamba.
Diya terdiam dan memejamkan mata sepanjang proses penghantaran itu kerana segan untuk menatap muka Zahil.
Selama tempoh Diya tidak dapat berjalan dengan baik, Zahil terus menjalankan ‘proses penghantarannya’. Muka Diya sudah dirasakan setebal kamus dwi bahasa sepanjang tempoh itu. Ke mana jua Diya ingin pergi pasti Zahil datang mencembung tubuhnya. Hatta semasa sedang nyenyak tidur juga Zahil akan bangun mencembung tubuh Diya untuk isterinya ke bilik air.
Diya jadi pelik. Bagaimana Zahil tahu yang dirinya bangun hendak ke bilik air? Adakah Zahil tidak tidur nyenyak kerana dirinya?
Sungguh Diya merasa terharu dengan sikap Zahil itu. Sikap itu menyebabkan Diya malas hendak bergerak banyak supaya tidak menyusahkan suaminya. Malah Zahil juga yang mengurut buku lali kaki kanan Diya setiap malam sebelum tidur. Kebaikan yang ditunjukkan Zahil menyebabkan Diya jadi bencikan diri sendiri. Bencikan dirinya yang tidak berdaya untuk membalas kebaikan itu dengan mencintai suaminya.


Dua orang pekerja baru yang diambil Kamelia ternyata cukup ramah dan mudah mesra. Lily lebih tua daripada Kamelia manakala Syifa sebaya dengan Diya. Dengan ini, ringan sedikit tugas Diya di butik itu. Kak Lily dengan Syifa banyak membantu Kamelia sepanjang Diya cuti selama tiga hari.
Sejak masuk bekerja semula, Zahil kerap sekali datang ke butik. Kononnya untuk membantu Diya kerana kaki Diya belum sembuh sepenuhnya. Alasan Zahil itu menguntum senyuman penuh makna di bibir Kamelia, Lily dan Syifa.
Pastinya kehadiran Zahil itu tidak menyenangkan Diya kerana malu dek usikan wanita bertiga itu. Lain la Zahil, usikan itu semua umpama pujian yang membuatkan lelaki itu kembang hati.
Hari hujung minggu ini, ramai pelanggan datang berkunjung ke butik. Tidak menang tangan wanita berempat itu melayan pelanggan-pelanggan mereka. Mujur hari itu Zahil turut datang menghulurkan bantuan. Memandangkan Zahil hanya seorang furniture designer secara freelance, pada waktu lapang begini dia selalu bertandang ke butik Kamelia untuk membantu kakak tirinya itu. 
Pada lewat petang, pelanggan mulai berkurang. Hanya beberapa orang saja pelanggan yang masih memilih pakaian dan menunggu giliran untuk menggunakan fitting room. Keluar seorang pelanggan, masuk pula tiga orang pelanggan remaja perempuan yang mungkin masih bersekolah menengah.
Diya segera mendekati pelanggan-pelanggan tersebut untuk memberikan layanan memandangkan dia berdiri paling hampir dengan mereka. Namun sebaik saja Diya menghampiri mereka, laju pula tiga gadis remaja itu berjalan terus mendapatkan Zahil yang masih melayan dua pelanggan wanita lain.
Melopong mulut Diya dek tingkah remaja-remaja tersebut. Diya pandang Lily dan Syifa yang turut menyaksikan kejadian tersebut. Mereka berdua tekup mulut menahan ketawa. Nampak sangat Zahil perlu diberi komisyen untuk kerja sukarelanya kerana pada hari itu banyak pakaian yang terjual kerana saham muka handsome lelaki itu.
“Sabar la Diya. Inilah dugaan bersuamikan putera kacak,” usik Syifa yang menghampiri setelah selesai tugas melayan seorang pelanggan dalam golongan yang lebih berusia.
Diya mencebik saja. Bukan cemburu tetapi meluat. Oh! Perempuan-perempuan ni semua pantang nampak lelaki kacak. Laju saja keluarkan duit untuk membeli pakaian yang dicadangkan Zahil yang kononnya sangat padan dengan penampilan mereka.
Mahu saja Diya minta Zahil menyuruh perempuan-perempuan itu memborong semua pakaian yang ada supaya mereka boleh pakai buat stok setahun dan jangan datang lagi. Bunyi macam Diya cemburu tetapi pada Diya itu bukan cemburu, tapi meluat!



“Penat juga kerja butikkan. Nampak je macam senang. Pelanggan datang, cakap-cakap, jual!” luah Zahil sambil meregangkan urat sendi yang terasa sengal. Terasa lenguh satu badan. Tubuh sasanya dihenyak atas sofa empuk dalam kamar tidur.
Diya senyum sinis mendengar luahan bernada keluhan itu. Dia menuju ke kamar mandi tanpa mempedulikan celoteh Zahil itu. Sejak dari dalam kereta tadi, mulut Zahil berceloteh tak henti-henti. Mahu saja Diya letak Zahil duduk sama dengan itik dan biar mereka berlawan celoteh.
Apabila Diya keluar dari kamar mandi, telinganya terpaksa untuk mendengar celoteh Zahil yang tidak berhenti sejak tadi. Kuat membebel betul lelaki seorang ini.
“Letih juga ya. Kalau hari-hari macam ni, penat betul,” ujar Zahil dengan pandangan mata mengekori pergerakan Diya duduk di birai katil.
Diya mengeringkan rambut yang basah dengan tuala. Perbuatan itu terus diperhatikan Zahil seterusnya membuatkan Diya jadi tidak selesa. Beberapa ketika kemudian Diya terfikir sesuatu lalu membalas pandangan Zahil yang tidak berkelip sejak tadi.
“Penat melayan! Betul tak?” Diya menyindir setelah lewat memberi respon terhadap bicara Zahil sejak tadi.
“Saja melayan. Bukan selalu,” jawab Zahil bersahaja.
“Itu la orang lelaki!” sinis Diya. Tuala telah disangkut pada tempatnya dan gadis itu beralih duduk di hadapan meja solek.
“Eh! Jangan nak salahkan lelaki saja. Tepuk sebelah tangan tak berbunyi tau. Tadi bukan saya yang nak melayan tapi mereka yang datang. Kalau mereka tak datang, saya tak layan! Saya layan awak je,” pertahan Zahil. Tidak mahu diri dipersalahkan.
“Ye la Encik Zahil Hariz. Sekarang saya nak tanya, awak nak makan apa malam ni?” Diya mengalah jua. Malas untuk terus bertingkah kata berkaitan hal yang kecil-kecil seperti itu.
Sengaja Diya menyoal begitu kerana dia menyedari sedikit perubahan pada sikap Zahil. Lelaki itu seakan kurang berselera makan sejak beberapa hari ini. Sebanyak mana nasi yang disenduk pada Zahil, itu saja yang dimakannya dan Zahil tidak meminta nasi tambah seperti kebiasaannya. Malah kadangkala Diya rasa Zahil memaksa diri untuk menghabiskan baki nasi dalam pinggan.
Sudah la begitu, tengah makan masih lagi sibuk menghubungi seseorang yang tidak Diya ketahui siapa gerangannya. Lagaknya seperti usaha menghubungi tidak pernah berjaya. Hati Diya tertanya-tanya gerangan insan yang menyebabkan Zahil hilang selera makan hingga begitu sekali. Malah fizikal Zahil juga sedikit susut.
“Errr… saya rasa letih dan mengantuk. Nak tidur je,” jawab Zahil bernada lemah. Lagaknya seperti buruh binaan yang penat selepas seharian melakukan kerja berat.
“Ok. Saya pun malas nak masak.” Seketika kemudian Diya bangun menuju pintu dan berkalih semula memandang Zahil.
“Jangan lupa solat isyak dulu sebelum tidur,” peringat Diya sebelum melangkah menuju ruang tamu untuk menonton televisyen.


Terjaga saja dari tidur, Zahil usap perut yang berkeroncong tanda minta diisi. Tangan Zahil kemudian meraba ruang katil yang kosong di sebelah. Mana perginya Diya? Ni mesti kes tengok televisyen kemudian televisyen tengok Diya.
Lelaki itu pergi ke dapur dan dilihatnya tiada hidangan makanan tersedia. Zahil garu kepala yang tidak gatal. Baru dia teringat yang Diya telah menyatakan untuk tidak memasak makan malam.
Zahil menjenguk Diya yang berbaring atas sofa. Sah! Memang dah terlena dengan televisyen terpasang. Zahil merapati Diya dan mengejutkan isterinya bangun. Perut yang sengsara dek kelaparan seperti tidak mampu bertoleransi lagi. Lapar gila!
“Diya, saya lapar la. Pergi masak,” pinta Zahil seakan merayu apabila kelopak mata Diya yang berat itu terbuka.
“Saya mengantuk la Zahil. Awak pergi la makan apa-apa saja yang ada di dapur tu. Roti ke... biskut ke...” jawab Diya malas. Mengigau ke mamat ni minta masak tengah-tengah malam begini.
“Tak nak! Saya nak nasi jugak!” Zahil bertegas.
“Hish! Awak ni sengajakan. Saya mengantuk la,” Diya masih berkeras. Sekilas dia menjeling Zahil yang duduk bersila atas lantai dan menongkat dagu atas sofa. “Kalau nak makan nasi sangat, pergi je makan dekat luar.”
“Tak nak! Saya nak makan nasi yang isteri saya masak. Diya!” Zahil terus mendesak. Tubuh Diya digoyang lembut. Teletahnya tak ubah seperti anak kecil yang meminta si emak membuatkannya susu botol.
“Ye la! Eee…” Diya bangun duduk. Memandang Zahil dengan muka geram. Rambut yang berserabai diikat kemas sedikit. Mata sempat melihat jam di dinding. Pukul 9.30 malam. Tak la lewat sangat. Diya kemudian melangkah menuju dapur.
Diya tahu Zahil tidak suka makan di luar. Lelaki itu lebih rela menunggu lama untuk menikmati hidangan dimasak Diya walaupun hanya lauk-pauk yang ringkas. Janji isteri yang masak. Sedap tak sedap, jadi tak jadi tetap Zahil telan.
 Agak lama Diya bekerja di dapur, Zahil yang duduk di sofa masuk ke dapur. Menjenguk isterinya yang sedang sibuk berperang di dapur.
“Awak tengah masak apa tu? Nak saya tolong?” soal Zahil yang sudah terpacak di sebelah kanan Diya.
“Emmm… awak tolong kupas kentang ni,” Diya hulur kentang pada Zahil.
“Kacang je ni. Meh sini.” Zahil capai pisau dan kentang yang dihulurkan Diya. Lagaknya seperti chef pakar. Diya senyum nipis mengerling teletah Zahil.
Zahil memulakan kerja mengupas kulit ubi kentang sebesar penumbuk itu. Laju saja tangannya melakukan tugas mudah itu. Kemudian kentang itu di potong empat.
“Awww!” jerit Zahil tatkala mata pisau secara tidak sengaja menghiris jari sendiri.
Diya segera menghampiri Zahil. Riak kebimbangan terlukis di wajah Diya. Darah merah yang mengalir di jari telunjuk kiri Zahil dilap Diya dengan tisu yang dicapai dari atas kabinet dapur. Diya belek luka pada jari Zahil.
“Alah, luka sikit je,” ulas Diya.
“Sikit pun sakit jugak!” adu Zahil lebih kepada mengada-ngada. Diya mencebik.
“Banyaknya darah keluar. Awak tekup dengan tisu ni dulu. Saya pergi ambil first aid kejap.” Dia tetap bimbang tatkala melihat darah merah terus mengalir keluar dari luka di jari Zahil.
Zahil angguk saja. Diya hilang dari pandangan mata Zahil dan muncul tidak lama kemudian. Diya kembali bersama peti pertolongan cemas. Berkerut-kerut dahi Diya melihat gumpalan tisu-tisu putih yang bertukar warna merah berselerak di situ. Mak ai! Banyaknya darah yang keluar. Ni terhiris jari ke… terpotong jari ni.
“Biar saya tolong cuci luka tu dulu,” ujar Diya.
Zahil akur sambil menyuakan jari kirinya pada Diya. Sesekali Diya menjeling wajah Zahil yang sudah pucat. Lelaki itu kelihatan lesu. Sebab kehilangan banyak darah ke? Takkan la hilang darah banyak ni je dah macam orang tak makan seminggu. Hati Diya berbisik sendiri.
“Awak ok ke? Muka pun dah pucat,” Diya menyuarakan kebimbangannya sambil tangannya membalut luka di jari Zahil.
“Errr…. saya tak boleh tengok darah banyak-banyak macam ni,” akui Zahil.
Pendarahan pada luka di jari yang tidak henti-henti menyebabkan dirinya yang alah pada darah mula terasa pucat. Terpandang saja darah yang menukar kertas tisu dari warna putih kepada warnah merah saja sudah cukup membuatkan kepala rasa pening. Kalau darah setitik dua boleh tahan lagi, ini dah boleh habis sekotak tisu dah ni!
Diya ketawa kecil. Lucu menggeletek urat ketawanya. Ingatkan kenapa la muka sampai boleh pucat. Takut darah rupanya mamat ni.
“Dah siap balut pun. Awak pergi rehat je la. Biar saya je yang masak,” usul Diya.
“Ye la. Dah masak nanti panggil ye. Saya lapar ni,” ujar Zahil.
Diya angguk sambil memimpin Zahil hingga ke pintu dapur. Perlahan-lahan lelaki itu menapak menuju ruang tamu. Diya membuang semua kertas tisu dalam tong sampah dan mengemas meja dapur. Kerja-kerja memasak hidangan makan malam yang terbantut sebentar tadi kini diteruskan.


Usai memasak, Diya hidangkan makan malam atas meja makan. Dia kemudian menapak ke ruang tamu untuk mengajak Zahil makan. Dilihatnya Zahil tidur berkerekot atas sofa ruang tamu. Diya menghampiri sofa dari arah belakang.
“Zahil! Zahil!” Diya memanggil Zahil yang telah terlelap di sofa.
Eee… mamat ni boleh tidur mati dekat sini pula. Tadi beria-ia sangat nak makan. Tak sampai sejam dah membuta tak ingat dunia. Hish! Diya gigit bibir geram.
“Zahil! Bangun la!” panggil Diya dengan nada suaranya semakin kuat. Tetapi Zahil tetap tidak berkutik. Nyenyak tidur di atas sofa dengan memeluk kepala lutut yang dilipat ke perut.
Hish! Tak dengar jugak ke? Mamat ni tidur mati betul la! Diya melangkah menghampiri Zahil dari arah depan sofa pula. Hendak tak hendak, terpaksa la dia menyentuh lelaki itu untuk dibangunkan dari tidur yang lena.
“Zahil…” tangan Diya menyentuh bahu lelaki itu.
Mak ai! Sejuknya badan dia. Errrkkk… takkan dah…. Ish! Takkan la pula. Terhiris jari je pun, takkan sampai boleh ragut nyawa kot. Jemari Diya meraba pula dahi dan leher Zahil. Betul! Tubuh Zahil sejuk malah basah dengan peluh. Kenapa berpeluh sangat mamat ni? Suhu tak ada la panas mana, kipas pun dah cukup laju ni.
Tiba-tiba kelopak mata Zahil sedikit terbuka. Diya sedikit lega. Hidup lagi! Alhamdulillah la…
“Zahil, awak ok ke? Kenapa badan awak sejuk semacam ni?” soal Diya berbaur kebimbangan.
Zahil senyum tawar. Sememangnya dia kesejukan. Malah kepala pening dan tubuh rasa tidak bermaya.
“Saya ok. Errr… awak dah siap masak?” soal Zahil seraya bangun duduk mengadap Diya yang duduk melutut di lantai.
“Dah. Jom la makan.”
Mereka melangkah menuju meja makan. Zahil duduk bertentangan dengan Diya. Nasi disenduk Diya ke dalam pinggan dan dihulurkan pada Zahil. Lauk udang masak merah disudu masuk dalam pinggan Zahil. Kemudian Diya sudukan pula sayur campur untuk Zahil. Lelaki itu sekadar memerhatikan layanan Diya terhadap dirinya. Zahil tahu, Diya pasti simpati terhadap dirinya yang kelihatan tidak sihat.
“Makan la,” pelawa Diya setelah menyedari Zahil langsung tidak menyentuh makanan yang terhidang. Ai, aku dah tolong letak lauk pun, tak makan lagi? Takkan minta suapkan kot. Dah lebih kuah dari senduk la ni!
Zahil makan sesuap. Ditelan kunyahan pertama dengan bersusah payah. Nafsu Zahil seakan mati.
“Diya, saya minta maaf,” suara Zahil kedengaran sayu.
“Ek? Maaf… maaf kenapa pula?” Pelik betul perangai Zahil malam ni. Kenapa tiba-tiba je nak minta maaf depan rezeki ni? Diya diterpa tanda tanya.
“Saya minta awak masak tadi. Awak pun dah susah-susah masak tapi…” Zahil seakan serba salah.
“Tapi apa? Tak sedap ke? Ke terlebih masin ke pedas sangat?” sampuk Diya.
Laju tangannya mencapai sudu dan merasa hasil masakannya. Udang masak merah ni sedap je. Tak pedas sangat pun. Sayur campur ni pun, ok jugak. Apa yang tak kena? Takkan dia nak lauk-pauk lain kot. Ni je lauk yang ada dalam peti sejuk tu.
Zahil geleng. “Tak. Bukan macam tu. Saya tak ada selera la Diya.”
Menyirap saja darah Diya apabila dengar pengakuan Zahil itu. “Pula! Tadi awak yang beria-ia sangat lapar. Nak makan nasi jugak tak kira apa-apa pun. Sekarang dah tak selera pula. Awak main-mainkan saya ek! Penat tau saya masak!”
Serba salah Zahil menerima kemarahan Diya. Zahil tahu Diya penat. Ye la, sudah la tidur wanita itu diganggunya semata-mata kerana minta dimasakkan makan malam.
“Saya tak maksud…”
“Dah la Zahil. Saya tak tahu apa yang tak kena dengan awak ni. Kalau tak nak makan, tak payah makan! Awak pergi la!”
Diya ambil pinggan berisi sayur campur dan udang masak merah lalu lauk-pauk itu dihumban masuk dalam bakul sampah. Balas dendam!
“Diya!” Zahil tidak menduga Diya terasa hati sebegitu sekali. Hidangan itu baru saja disediakan Diya malah masih berasap lagi. Kini lauk-pauk itu sudah berada dalam bakul sampah. Bukankah boleh disimpan untuk dimakan esok?
“Tak payah makan! Puas hati?” sindir Diya. Diya kemudian melangkah pergi meninggalkan Zahil terkedu di meja makan dengan perasaan bersalah.
“Diya…” sayu suara Zahil menyesali tindakan tidak sengaja yang membuatkan Diya terasa hati.


Diya rebah tubuh atas katil. Mata dipejamkan dan zikir berlagu dalam hati. Ya Allah, kenapa aku emosi sangat ni? Diya, kau pun tengok Zahil tak sihat tadikan. Kenapa kau nak marah-marah sangat ni? Touching lebih pula. Sebahagian hatinya mengutuk diri.
Diya melangkah menuju bilik air dan mengambil wuduk. Mendinginkan hati yang hangat dek hasutan amarah. Air wuduk yang menyentuh tubuh benar-benar memadamkan bara amarah. Hati disapa ketenangan dan jiwa rasa lebih lapang. Setelah itu Diya keluar dengan perasaan lebih damai.
Adakalanya syaitan mudah mengambil ruang dalam hati. Membisikkan amarah dalam situasi yang tidak kita duga kita boleh hilang pertimbangan dan menjadi marah. Sebab itu sebagai hamba, kita bermohon perlindungan Allah daripada tipu daya iblis dan konco-konconya.
Diya bertembung pandangan dengan Zahil sebaik saja keluar dari bilik air. Lukisan serba salah terlakar pada raut wajah lelaki itu.
“Saya minta maaf. Tak terniat pun nak buat awak terasa hati,” luah Zahil.
Diya ukir senyum nipis. “Tak apa. Saya pun tak patut hilang pertimbangan. Awak tak salah pun. Awak rehat la. Saya pun dah mengantuk,” suara Diya memadamkan rasa bersalah di hati suaminya. 

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.