ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 26



BAB 26
Sudah tiga malam Diya tidak dapat melelapkan mata sejak peristiwa di depan tangga itu. Bagaimana Diya dapat tidur dengan lena jika setiap kali dia menutup kelopak mata, bayangan adegan mesranya bersama Zahil akan menerpa. Diya rimas. Hatinya sakit.
Perkara itu menyebabkan kemarahan pada Zahil semakin menggunung. Mujur Zahil tidak pernah membangkitkan peristiwa tersebut esok harinya. Jika tidak, Diya tidak tahu di mana harus dia menyorokkan wajah yang tebal dek malu.
“Saya keluar dulu. Awak nak tumpang?” soal Zahil sebaik saja menyorong kerusi di meja makan. Zahil tahu Diya tidak akan mahu menumpang keretanya tetapi dia sengaja bertanya.
“Tak payah. Saya boleh drive sendiri,” jawab Diya dingin.
“Kan senang kalau saya hantarkan. Tak payah susah-susah bawa kereta. Lagipun kitakan nak pergi jalan sehala,” ujar Zahil memujuk isterinya.
“Tak nak! Tak faham?” meninggi nada Diya apabila Zahil tidak faham bahasa.
Zahil tajam menikam mata Diya dengan tenang. Perlahan-lahan kaki Zahil melangkah mendekati Diya. Diya tergamam. Diya turut berundur ke belakang selangkah demi selangkah dengan jantung berdebar-debar.
Wajah Diya beriak berani sedangkan hatinya bergetar hebat apabila Zahil semakin hampir mendekati dirinya. Adakah kali ini Zahil akan marah? Adakah Zahil akan menunjukkan pada Diya bagaimana rupa tatkala dirinya naik hantu?
Undur dan undur, Diya sudah bersandar pada dinding. Kelopak matanya berkelip-kelip dan air liur ditelan tanpa henti. Zahil sudah berdiri betul-betul depan Diya dengan mata terus menikam wajah berani-berani takut isterinya itu. Perlahan-lahan tangan kanan Zahil diangkat mendekati wajah Diya. Diya pejam mata rapat-rapat sebaik saja jemari Zahil semakin dekat dengan kepalanya.
Sesaat dua, tiada apa-apa yang berlaku. Diya buka sedikit kelopak mata yang tadinya kejap sekali ditutup. Batang tubuh Zahil sudah tiada. Terus kelopak matanya terbuka luas. Diya pandang arah muka pintu dan dilihatnya Zahil melangkah bergaya bersama-sama briefcase pada tangan kiri dan menggoyang-goyangkan kunci dengan tangan kanannya.
Diya ketap bibir. Dikalih kepalanya memandang tempat sangkut kunci yang terletak betul-betul di tepi kepalanya. Saat ini Diya seakan mahu menjerit memaki hamun Zahil yang sudah hilang dalam perut kereta.


“Diya, kita bincang boleh?” suara Zahil ketika mereka sedang menikmati makan malam.
Diya angguk lemah. Dia sendiri tidak faham kenapa dia sangat marah pada Zahil perihal poligami yang terjadi dalam rumah tangga Maira. Diya tahu Zahil tidak bersalah dan tiada kena mengena langsung. Namun amarah pada kaum lelaki turut terkena tempiasnya pada Zahil. Bukankah Zahil juga lelaki?
“Apa yang tak kena dengan awak ni? Kenapa nak marahkan saya tiba-tiba? Pasal Faizal tu ke? Kenapa pasal Faizal tu, saya yang awak marah?” tujah Zahil dengan segala persoalan yang bersarang dalam fikirannya.
“Masa bila saya marah?” Diya menjawab dengan soalan juga. Langsung Diya tak pandang Zahil sebaliknya terus dengan suapannya.
“Oh! Ye? Awak tak marah ke. Saya sangka awak marah sebab tu awak dingin dan buat saya jadi tunggul kayu dalam rumah ni,” bicara Zahil menyindir. Cukup untuk menggambarkan betapa dia terasa dengan sikap Diya itu.
Nasi yang masih bersisa dalam pinggan tidak Zahil habiskan. Dia bangun mencuci tangan dan menapak meninggalkan ruang dapur. Selera makan Diya juga mati. Namun terpaksa juga nasi dalam mulut dikunyah dan ditelan manakala baki dalam pinggan tidak lagi disentuh.


Marah Zahil sekejap saja. Usai solat isyak berjemaah, Zahil menghampiri Diya yang duduk bersandar di kepala katil.
“Sudah la Diya. Sampai bila awak nak dingin macam ni dengan saya?” soal Zahil sebaik saja naik atas katil.
Diya mengeluh lemah. Orang lelaki ni memang tak akan faham perasaan wanita. Mereka tidak akan rasa kesakitan apabila dimadukan dan kerana itu mereka tidak akan pernah memahami. Bagaimana andai isteri main kayu tiga? Curang di belakang mereka? Bagaimana sakitnya?
“Diya, Faizal bukan simpan perempuan tapi berpoligami mengikut hukum syarak. Jangan samakan cara yang halal dengan cara yang haram,” suara Zahil tenang.
Diya telan air liur. Aik, Zahil ni macam boleh baca pula apa yang ada dalam kepala Diya sekarang ni.
“Poligami bukan kezaliman untuk kaum isteri. Mana mungkin Islam yang menjadi agama sejahtera akan merelakan poligami andainya ia membawa kemudaratan dalam masyarakat. Saya bukan la alim ulama untuk bercakap soal ini, tapi… andainya Faizal mampu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan adil terhadap kedua-dua isterinya, mengapa kita harus menjadi bara yang menyalakan api kemusnahan?” Zahil sudah buka hujah pertamanya.
Diya membisu. Hati masih belum dapat menerima hujah itu untuk merelakan tindakan Faizal memadukan sahabatnya, Maira. Diya tidak nampak cacat celanya Suraya sehingga isteri pertama Faizal itu dimadukan. Bagaimana Maira boleh tersepit dalam kehidupan berpoligami? Oh! Diya tak mampu merungkai gelora perasaan saat ini.
Sesaat Diya rasakan bahunya disentuh lembut oleh jemari Zahil yang dingin. Pandangan mata Zahil redup menjamah seraut wajah indah di hadapannya. Meresap ketenangan dalam hati biarpun wajah indah itu mahal sekali senyumannya.
“Orientalis dan Athies telah berjaya membuatkan kita jadi ragu terhadap sistem Islam sendiri. Mereka menanam keyakinan dan kefahaman bahawa kemuliaan, penghormatan dan martabat wanita akan tercalar andai poligami diterima dalam masyarakat sedangkan sistem Islam melindungi, memelihara dan menjaga kehormatan wanita. Di saat dunia barat menjadikan wanita sebagai simpol perhambaan dan seks, Islam muncul mengangkat martabat wanita setinggi-tingginya.
Diya, sistem poligami Islam dibentuk dengan akhlak dan kemanusiaan. Wanita dalam Islam dinikahi dan dijaga hak-hak mereka dengan keadilan yang wajib dilaksanakan oleh suami. Bukankah itu lebih baik daripada membenarkan lelaki mendatangi pelacur semata-mata untuk melampiaskan nafsu syahwat kemudian si lelaki bersikap lepas tangan.”
Diya gigit bibir. Sebiji bantal dibawa atas ribaan. Hujung sarung bantal berwarna hitam putih itu dipintal jemari kanan. Kepalanya menunduk tetapi telinga masih terpasang. Zahil senyum manis melihat teletah isterinya. Lagaknya macam anak kecil yang merajuk ditegur si ibu. Lalu Zahil raih jemari Diya dalam genggaman.
“Adakah kita hendak mengatakan bahawa Allah tidak mengetahui apa yang terbaik bagi hamba Nya ketika disyariatkan perundangan dan menetapkan hukum? Huh?” Tangan kiri Zahil usap lembut kepala Diya yang masih membatukan diri.
“Kita khalifah Allah. Kita bertanggungjawab untuk tegakkan syariat Allah atas muka bumi ini. Kita yang mencorak sama ada poligami yang diamalkan menjaga kesejahteraan atau membawa kemudaratan. Allah telah memberikan kita landasan dan tali pegangan untuk kita menempuhinya.”
Diya tetap diam. Padanya, bukan soal baik buruk poligami yang difikirkan sebaliknya soal hati dan perasaan. Tiada wanita dalam muka bumi ini yang dapat menerima poligami tanpa calar di hati. Kini hati Maira sudah terluka dan dirobek. Terbayang air muka Maira yang redup pada pertemua terakhir mereka.
“Saya nak tidur. Saya mesti jumpa Maira,” suara Diya sambil menarik jemari daripada genggaman Zahil. Kemudian tubuh direbahkan atas katil.
“Saya harap awak akan menjadi air dingin yang memadam bara. Bukan minyak tanah yang marakkan api,” Zahil berkias kata dalam nasihatnya.
“Saya akan tegakkan hak Maira!” tegas Diya.
Zahil senyum lebar. Lucu pula melihat semangat Diya berkobar-kobar untuk membela nasib kaum sejenis. Pantas saja idea terbit di benak untuk mengusik isterinya.
“Macam mana dengan hak saya? Awak tak nak tegakkan ke?”
Diya jeling Zahil yang tersengih-sengih sambil membaringkan tubuh. Geram! Namun rasa geram itu bertahan sesaat cuma apabila rasa bersalah pula menyapa. Usikan Zahil mengusik hati Diya.
Bagaimana Diya? Tepuk dada dan tanya diri sendiri. Di mana hak Zahil sebagai seorang suami? Adakah akan terus kau nafikan? Hipokrit! Kau sibuk untuk menegakkan hak Maira sedangkan kau abaikan hak suami sendiri. Lucu… lucu… Sepatutnya kau yang dimadukan, bukan Maira! Diya gigit bibir.
“Zahil!” panggil Diya bernada tegas.
“Ye?” Zahil yang hampir terlelap kembali mencelikkan mata.
“Awak tak akan madukan saya kan?” soal Diya dengan curiga di hati.
Zahil angkat kening. Mengigau ke Diya ni? Kelopak mata Zahil berkelip-kelip sedangkan Diya menantikan jawapan penuh serius.
“Diya, kalau dah tertulis saya madukan awak. Saya reda je,” jawab Zahil selamba.
Membulat mata Diya mendengarnya. Geram apabila Zahil tersengih-sengih tanda hanya bergurau dalam kata-kata itu. Laju tangan Diya cubit lengan Zahil. Lelaki itu menjerit kesakitan.
Adoi! Marah juga, ingatkan tak kisah. Zahil gosok bahagian bahu yang merah kesan sengatan Diya yang berbisa.
“Awak tak perlu risau tu semua. Insyallah, saya ni sedar diri. Siapa la saya untuk berpoligami kalau monogami pun saya belum dapat jadi suami yang baik. Poligami tu harus tapi haram apabila suami tak dapat berlaku adil dan gagal menjaga hak-hak isteri. Saya tak nak nanti bahu saya berat sebelah sebab abaikan hak awak,” terkedu Diya mendengar bicara Zahil itu. Terasa hati pula walau Zahil tak berniat pun hendak menyindir Diya.
“Saya mencuba sedaya upaya untuk menjadi suami yang baik untuk awak. Saya sedar diri saya tak layak untuk berpoligami. Saya bukan suami yang dapat memimpin lebih dari seorang isteri sebab isteri yang seorang ni pun belum terkawal lagi,” ujar Zahil dengan nada berseloroh. Tenang sedikit hati Diya mendengar kenyataan Zahil itu.
“Sekarang awak dah boleh tidur lena?” soal Zahil dengan senyum manis.
Diya mencebik bibir. Pantas dia mencapai sebiji bantal dan menekup muka. Tidak sanggup dia tidur membelakangkan Zahil maka selama ini dia tidur dengan menutup muka dengan bantal. Dan bantal itu akan diangkat Zahil sebaik saja Diya enak dibuai mimpi.


Diya meminta izin Zahil untuk menginap di rumah Nur selama dua hari. Zahil memberi keizinan memandangkan dia juga sibuk menyiapkan tugasan yang dikehendaki pelanggan beberapa hari lagi. Setelah berkahwin barulah Diya mengetahui serba sedikit tentang latar belakang suaminya. Ye la, sebelum ini Diya mana pernah mahu ambil peduli perihal latar belakang Zahil.
Selama ini Diya hanya mengetahui Zahil adalah adik tiri Kamelia dan mungkin mempunyai kerja yang baik kerana mempunyai kereta dan penampilan diri yang nampak bergaya. Kini barulah Diya tahu bahawa Zahil seorang pereka perabot dan lelaki itu seorang pereka muda berjaya dalam bidang tersebut.
Alih-alih Diya kena perli dengan Nur. Mahu tak, suami sendiri seorang yang terkenal sebagai pereka perabot berjaya di Malaysia malah hasil kerjanya mendapat pengiktirafan hingga ke peringkat antarabangsa. Tapi si isteri baru tahu setelah lebih sebulan berkahwin. Patut la Zahil kagum betul dengan rekaan rumah melayu tradisional keluarga Diya di kampung. Rupa-rupanya Zahil ni bukan la manusia yang buta seni malah lebih celik daripada Diya sendiri.
Tidak Diya nafikan bahawa suaminya seorang lelaki yang penyabar dan sentiasa tenang. Kalau bab suka tersenyum tu tak perlukan ulasan lanjut lagi. Naik geram Diya melihat senyuman Zahil kerana senyuman itu sering membuatkan hatinya rasa tak tenteram. Kenapa? Diya tidak pernah mencari jawapannya atau mungkin juga tidak mahu tahu jawapannya.
Diya senang hati juga kerana Zahil ni tak cerewet tapi kadang-kadang tu sengaja mengada-ngada untuk menarik perhatian Diya. Ye la, dah Diya ni dingin dan keras bak kata Nur macam patung Liberty dekat New York tu.
Malah Diya adakala seperti robot pembantu rumah dan bukan seorang isteri. Segala keperluan Zahil dipenuhi tanpa banyak cakap. Menyediakan makan untuk lelaki itu dari sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam selain daripada mengemas rumah dan menyediakan segala keperluan pakaian Zahil. Semua itu dilakukan tak ubah macam robot yang telah diset programnya.
Tiada tawa mesra dan gurau manja yang menjadi penyeri dalam rumah tangga mereka. Yang ada hanya kedinginan dan kebekuan Diya yang diterima Zahil seadanya. Tidak pernah Zahil memaksa sebaliknya lelaki itu tetap tersenyum andainya kemesraan yang dilahirnya dari hati itu dipandang sepi oleh Diya.
Zahil tidak penat mencuba untuk memikat hati isterinya walau sehingga kini usahanya masih belum mendapat tindak balas yang positif. Si patung ais tetap keras dan tidak cair umpama diukir di kawasan sejuk di kutub utara.
Diya dan Nur duduk di dapur menikmati keenakan buah mangga yang kuning dan manis rasanya. Buah tersebut diberi oleh Kak Ima yang baru saja pulang dari kampungnya di Pahang.
“Kau dah dapat terima Zahil?” soal Nur sambil mengambil sepotong mangga lalu dimasukkan dalam mulut. Sedapnya.
Diya tarik nafas panjang. Malas betul dia hendak melayan soalan berkisar Zahil. Di rumah bertemu Zahil, datang sini masih lagi tentang Zahil. Diya muak. Juga alergik dengan nama Zahil Hariz.
“Aku tak pernah cintakan dia,” jawab Diya apabila Nur masih menanti-nantikan jawapannya.
Nur jelas terkejut dengan jawapan Diya itu. Sangkanya Diya sudah boleh belajar mencintai Zahil. Adakah hati Diya benar-benar kalis cinta?
“Serius kau Diya? Sikit pun Zahil tak ada tempat dalam hati kau?” soal Nur lagi. Potongan mangga yang seterusnya seakan tidak tertelan lagi.
“Zahil… Zahil tu… menyakitkan hati!” penuh emosi Diya berkata-kata. Adegan di bawah tangga terbayang di ruang mata. Sakit betul hati Diya.
“Serius?” berkerut dahi Nur. Diya mengangguk bersungguh-sungguh.
“Tak percaya la aku. Aku berbual dengan Zahil tu elok-elok saja. Muhamad Zahil Hariz tu memenuhi pakej seorang lelaki idaman malaya, tahu tak?” ujar Nur. Terbayang raut wajah lelaki kacak itu.
Diya angkat wajah memandang temannya. Serius sekali wajahnya.
“Amboi! Sebut nama penuh nampak. Kau dah berkenan sangat ke dekat dia?” sindir Diya geram. Entah mengapa sakit pula hati mendengar nama penuh Zahil meniti di bibir Nur.
Nur ketawa besar. Rasa hati seperti digeletek dengan kata-kata Diya itu.
“Cemburu pula minah ni. Sebut nama penuh pun tak boleh ke? Bukannya aku cium laki kau tu,” kata-kata Nur membuatkan potongan mangga yang hendak disumbat dalam mulut terlepas dari tangan. Lalu potongan buah mangga itu terjatuh atas meja makan. Tingkah Diya menarik perhatian Nur.
“Kau kenapa?” soal Nur melihat teletah Diya yang kelang kabut tiba-tiba.
Sungguh! Diya hilang fokus tatkala mendengar ayat “bukannya aku ‘cium’ laki kau” yang diucap Nur sebentar tadi. Diya kembali dihantui bayangan peristiwa ‘ngeri’ di depan tangga beberapa hari yang lalu.
“Tak… tak... ada apa. Aku… aku… sakit perut pula,” dalih Diya menutup gelisah hatinya. Pura-pura tangannya dibawa menyentuh perut.
“Pula, tadi ok je.”
“Sebab sekarang baru sakit. Tadi tak sakit lagi,” jawab Diya.
Nur ketawa sambil menggeleng. “Agaknya perut kau dah berisi kot,” telahan Nur mengejutkan Diya.
Gagap-gagap Diya bersuara. “Kau… kau cakap apa ni?”
“Kau mengandung kot. Mana tahu dah menjadi,” selamba saja Nur membuat telahan sedangkan Diya semakin tidak keruan.
Mahu tercekik Diya mendengarnya tambahan pula Nur begitu pasti dengan bicaranya. Sesaat kemudian Diya ketawa geli hati. Kata-kata Nur kedengaran lucu. Apabila difikir semula, semua itu mustahil. Sangat mustahil kerana hubungannya dengan Zahil tidak pernah menjangkau sehingga kemesraan atas katil. Nak mengandung celah mana la pula.
“Kau ni mengarut la. Aku dengan Zahil tak…” ayat Diya termati di situ. Keghairahan ketawa menyebabkan Diya terlupa diri. Mujur dia kembali tersedar sebelum ayat itu sempat dilengkapkan.
“Apa? Kau dengan Zahil tak apa? Cakap la!” beria-ia benar Nur mahu Diya menghabiskan ayatnya yang tergantung tadi.
Terkebil-kebil mata Diya mencari idea untuk berdalih. Mana mungkin Diya akan jujur menyatakankan bahawa dirinya dan Zahil tak pernah menjalinkan hubungan sebagaimana suami isteri lain. Tidak! Diya tidak akan mengungkapnya.
“Errr... er… tak… tak ada anak. Yep! Kami baru bincang untuk tak ada anak buat beberapa tahun ini.” Diya akhirnya mendapat idea menyelamatkan diri.
Nur menjuih bibir. Termakan dia akan pembohongan Diya itu. Diya kesat peluh yang merenek di dahi.
“Tak apa la kalau macam tu. Apa-apa pun, aku nasihatkan kau beri ruang untuk Zahil di hati kau. Lupakan kebencian kau tu sepenuhnya. Usaha kalau kau tak boleh. Sikit-sikit dulu pun tak apa. Janji lupa juga dan beri kesempatan untuk Zahil memenuhi hati kau dengan cintanya. Suami perlu dicintai, Diya,” nasihat Nur panjang lebar membuatkan Diya tertunduk.
Seketika kemudian Diya tersenyum sinis. Dirasakan Nur tidak akan memahami dilema dalam hatinya.
 “Nur…” lirih panggilan Diya itu.
“Yep!”
“Kita jumpa Maira. Aku kesiankan dia. Kau pun tengok macam mana keadaan Maira masa kau orang datang rumah aku dulu,” suara Diya sambil memandang tepat wajah Nur.
Nur angguk setuju. Raut wajah Maira terbayang di ruang mata. Nur hela nafas panjang. Diya dan Maira, kedua-duanya sahabat baik yang sangat disayangi. Masalah mereka menjadi masalahnya juga.


Maira sambut kunjungan Nur dan Diya dengan wajah ceria. Diya tak tahu keceriaan itu lahir dari hati yang bahagia atau sekadar topeng wajah. Layanan Maira mesra dan tenang seperti biasa namun Diya dan Nur masih sangsi dan curiga.
“Mana Faizal?” soal Nur setelah hampir lima belas minit mereka berbual di ruang tamu. Sejak tadi batang hidung suami Maira tak nampak-nampak.
Maira senyum nipis. “Hari ini giliran Kak Suraya. Esok pagi baru Abang Faizal balik sini.”
Tak dapat dibayangkan bagaimana reaksi Nur dan Diya apabila Maira berterus terang begitu sedangkan sebelum ini langsung mereka tidak menyebut tentang rumah tangga poligami Maira. Kelihatannya seperti Maira sudah tahu yang Nur dan Diya sudah maklum akan status perkahwinannya.
Diya mengeluh lemah. Walau Maira memperlihatkan keceriaan dan ketenangan, Diya menduga betapa gersangnya hati Maira tatkala menempuhi alam poligami. Suatu kepahitan yang perit untuk ditempuh oleh mana-mana wanita biarpun namanya madu.
“Kenapa kau sanggup dimadukan? Kenapa kau rahsiakan daripada kami?” Diya menyoal tidak mengerti.
Maira ketawa kecil. Dia sangat memahami apa yang cuba disampaikan Diya. Maira cukup mengerti pemikiran Diya dan Nur kerana itulah pemikiran dan tanggapan majoriti wanita.
“Siapa dalam dunia ini yang impikan hidup bermadu? Siapa yang nak berkongsi kasih? Siapa rela suami mereka mencintai lebih dari seorang wanita? Aku juga kalau boleh tak nak tapi ini takdir aku,” jawab Maira dengan tenang.
“Takdir?” Diya tergeleng kecewa.
“Aku tahu, masyarakat kita masih bersikap prejudis terhadap poligami. Isteri kedua ni macam perempuan sihir dengan label perampas dan pengacau. Aku terpaksa tahan telinga dengan sindiran dan cemuhan orang. Dikenakan hukuman tanpa peluang membela diri. Kau tahukan Diya, bagaimana sakitnya dihukum begitu,” luah Maira.
Diya terkesima menyambut bicara Maira itu. Ya, dihukum sebelum memberi peluang membela diri. Ditutup mulut, dikerat lidah dan hanya mata terbuka untuk melihat diri dijatuhi hukuman tanpa bisa menegak kata. Tak ubah macam kena hukuman gantung mandatori tanpa sempat masuk kandang mahkamah. 
“Aku juga impikan cinta seorang lelaki sepenuhnya tanpa dibahagi. Ingin menjadi satu-satunya isteri. Tapi Diya, tak ada sesiapa dapat meramal masa depan. Adakala perkara yang kita tak mahu dan tak pernah terfikir tapi itulah yang kita dapat. Ujian Allah itu datang dalam pelbagai bentuk dan mungkin inilah ujian untuk aku,” sambung Maira penuh ketenangan.
“Maira, tak perlu berpura-pura. Kami tahu kau menderita. Bukan mudah menempuhi hidup bermadu. Terpaksa berkongsi kasih, makan hati berulam jantung,” Nur pula bersuara. Wajah redup Maira ditatap Nur penuh simpati. Jemari sahabatnya digenggam erat.
Maira geleng perlahan. Menafikan kata-kata Nur yang menganggap dirinya sedang berpura-pura. Juga menyangkal tanggapan Nur dan Diya bahawa dia hidup menderita.
“Awalnya, ia sungguh merobek perasaan umpama hati ditusuk belati tajam. Menempuhi taufan perasaan, penyesalan berbakul, air mata entah berbaldi-baldi. Kita orang perempuan ni, hanya kerana secebis rasa cemburu dah boleh goncang satu rumah tangga. Cemburu menggigit dan merasuk perasaan. Jika tidak dikawal ia mengawal.
Ye la, kadang-kadang tu memang susah nak kawal perasaan. Tapi dalam gelora hati itu, aku rasakan manisnya perkahwinan ini. Aku sayangkan Abang Faizal dan aku percaya dia juga berusaha berlaku adil pada aku,” luah Maira tetap dengan ketenangan.
“Kau tahu sejak awal lagikan, menjadi yang pertama, kedua, ketiga atau keempat itu menyakitkan. Kenapa masih memilih ini sedangkan kau tahu pahitnya? Kau terlalu ikut perasaan! Dan Faizal tak ubah seperti lelaki lain yang berkahwin kerana nafsu!” tempelak Diya beremosi.
Diya terbayangkan Razif, lelaki buaya darat yang pernah cuba memusnahkan hidupnya. Lelaki yang mempergunakan wanita untuk memuaskan nafsu serakahnya. Argh! Diya, kau tak seharusnya menyamakan Faizal dengan Razif. Mereka lelaki yang berbeza! Jiwa Diya berbalah.
“Kerana pahit itu bukan hanya derita dan sengsara. Pahit itu penawar dan penyembuh. Dan kalau kau kata aku berkahwin kerana ikut perasaan, ya! Aku berkahwin kerana aku punyai perasaan untuk menjadi seorang isteri yang dipimpin seorang suami. Bukankah orang lain juga berkahwin kerana rasa yang sama? Berkahwin kerana cinta dan kasih sayang. Salahkah apabila nafsu itu disalurkan dengan cara yang baik? Kau Diya!” Diya tersentak. Terkebil-kebil menentang mata Maira yang tajam menikam wajahnya.
“Kau berkahwin bukan didorong keinginan dan perasaan? Kau kahwin untuk apa? Nak jadi patung perhiasan dalam rumah? Suami sekadar mesin cucuk duit? Huh?” persoal Maira tepat mengetuk kepala Diya. Entah mengapa saat ini Nur dicuit geli hati. Tersenyum-senyum si Nur menahan ketawa. Maira kemudian senyum nipis.
“Aku faham Diya, Nur. Aku faham apa kau orang rasa kerana aku pernah merasa begitu. Aku faham apa kau orang fikir kerana aku juga pernah punya pemikiran yang serupa. Rasa seperti dikhianati dan diri rasa tidak diadili. Mengharapkan cinta dan perhatian hanya untuk diri kita. Semua mainan rasa itu menjadi duri dalam perkahwinan. Jika kita memberi cemburu mengawal ruang, sama seperti kita benarkan syaitan menang terhadap kita.”
“Dan kau memilih untuk berperang dengan rasa cemburu itu?” duga Diya.
Maira terus tersenyum. Maira sedar, syariat poligami sering terfitnah apabila kita sendiri yang gagal mencari bahagia. Ujian poligami banyak mematangkan iman dan pemikirannya. Malah kebanyak konflik dalam perkahwinan poligami adalah masalah sama yang wujud dalam perkahwinan monogami. Masalah dalam rumah tangga adalah lumrah alam perkahwinan. Mustahil bahtera dilayari tak pernah dilanda badai.
“Perkahwinan ini menginsafkan aku bahawa suami itu milik Allah dan hanya pinjaman. Andai dikatakan poligami itu meruntuhkan institusi kekeluargaan, apa kurangnya monogami? Sebenarnya poligami dipersalahkan kerana masyarakat kita sering melihat poligami daripada sisi negatif. Suami dianggap miang dan gatal, isteri pertama dicemuh tidak pandai menjaga suami dan pelbagai tuduhan yang menjatuhkan martabat suami dan isteri. Kewibawaan isteri untuk memberi zuriat dan melayan suami jadi bualan mulut. Isteri-isteri yang seterusnya tak usah cakap la. Aku pun dah lali dengan cemuhan dan sindiran.”
Maira sedar, masyarakat menganggap poligami sebagai sesuatu yang mengaibkan. Hikmah di sebalik poligami didiamkan manakala kelemahan poligami dicanang sedangkan kegagalan itu berpunca daripada kelemahan manusia yang mengikut hawa nafsu.
Maira menarik nafas dalam kemudian dihela lembut. Wajah Nur dan Diya ditatap silih berganti.
“Aku bukan nak galakkan poligami kerana aku sedar perkahwinan biasa itu lebih baik. Aku bukan meruntuhkan mahligai cinta Abang Faizal dengan Kak Suraya sebaliknya aku hadir sebagai pelengkap untuk mengukuhkan mahligai cinta kami semua. Aku harapkan pengertian. Aku nak kau orang dapat jadi peniup semangat aku untuk aku cari bahagia aku.” Maira akhiri luahan rasanya dengan harapan Nur dan Diya memahami perasaannya.
Maira faham persepsi manusia tidak mudah diubah. Dia pasrah andai Nur dan Maira tetap menolak perkahwinan poligaminya walaupun menerima poligami tak bermakna bersedia andai diri dimadukan. Sekurang-kurangnya, Maira berharap agar Diya dan Nur tidak terus menghukum dengan tanggapan negatif secara membabi buta.
“Apa alasan Faizal kahwin lain?” soal Diya setelah suasana antara mereka sepi seketika.
Maira ketawa kecil umpama soalan itu sungguh lucu. “Tak ada kurangnya Kak Suraya. Dia isteri yang baik dan penyayang.” Pada Maira, hadirnya dia di antara Abang Faizal dan Kak Suraya bukan kerana kekurangan sesiapa.
Diya kurang puas hati dengan jawapan Maira itu. Kalau tiada alasan kukuh, mengapa Faizal masih ingin berpoligami?
“Faizal tetap cari lain walau sudah punyai isteri yang baik? Maira, kau masih muda dan kau boleh dapat seorang suami yang jauh lebih baik,” Nur memintas kata sebelum sempat Diya buka mulut. Namun bicara Nur membawa maksud yang sama seperti apa yang hendak dikatakan Diya.
“Abang Faizal seorang suami yang baik. Sehingga kini, alhamdulillah dia dapat menunaikan tanggungjawabnya. Apa lagi yang aku nak pinta setelah Allah kurniakan aku seorang suami yang berusaha sedaya upaya untuk adil dalam perkahwinannya? Manusia tak sempurna dan aku ikhlas terima segala kekurangan Abang Faizal.”
“Dan kehadiran Maira sempurnakan kekurangan akak!” sambut satu suara dari muka pintu.
Tiga pasang mata di ruang tamu beralih memandang muka pintu. Suraya dan Faizal tercegat di situ dengan senyuman mekar di bibir.
“A… abang, akak…” Maira tidak menyangka suami dan madunya ada di situ.
Suraya mendekati Maira dan duduk di ruang kosong di sisi isteri kedua suaminya. Tubuh Maira didakapnya erat dengan air mata bercucuran gugur di pipi.
“Sebelum ini akak akui yang akak belum dapat ikhlas sepenuhnya. Tapi hari ini akak ikhlas. Akak ikhlas terima Maira sebagai isteri Abang Faizal,” luah Suraya jujur. Sejak tadi, Suraya dan Faizal mendengar luahan rasa Maira yang telah menyentuh hati mereka.
Pelukan dileraikan. Maira kesat air mata di pipi Suraya. Sejuk hatinya mendengar bicara Suraya itu. Bagai salju yang turun di dasar hati yang mengalami musim luruh. Ketenangan menyentuh hati Diya dan Nur tatkala melihat kesatuan Maira dan Suraya.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.