ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 24



BAB 24
Akhirnya kereta Sonata Hyundai dinaiki Diya dan Zahil tiba di destinasi yang dituju. Di hadapan mata Diya kini adalah sebuah rumah teres dua tingkat yang kelihatan jauh lebih besar dan cantik berbanding rumah lamanya. Halaman rumah nampak kemas dan terjaga. Diya sedikit kagum sebenarnya namun sengaja dikawal diri agar tidak terlalu ghairah memuji kerana ego diri yang masih tinggi.
Welcome to our home! Rumah kita, syurga kita. Silakan masuk tuan permaisuri, jangan segan-segan,” ujar Zahil sebaik saja membuka pintu utama kediaman yang bakal menjadi mahligai perkongsian hidup bersama-sama Diya.
“Saya tak tahu awak suka atau tak. Saya harap awak suka dan selesa untuk tinggal di sini.”
“Saya rasa ini pun dah lebih daripada selesa. Terima kasih,” jawab Diya bersahaja.
“Dah jadi tanggungjawab suami untuk sediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk keluarganya. Saya gembira kalau awak selesa. Kalau ada apa-apa kekurangan, awak cakap dengan saya. Saya akan cuba sediakan apa yang terdaya.”
Diya angguk dengan mata masih meliar menjamah setiap sudut ruang rumah. Diya merasa cukup berpuas hati dengan dekorasi rumah tersebut. Lantainya daripada lantai kayu padu dari jenis kayu merbau yang menampilkan keaslian warna dan ira kayu. Manakala kain langsir berwarna hijau dan dinding berwarna putih. Terasa suasana alam semula jadi meresap masuk ke dalam diri sebaik saja memasuki ruang tamu.
“Sana ruang makan dan situ dapur. Bilik tidur dekat atas, sebelah tangga. Depan bilik tidur tu bilik kerja saya,” beritahu Zahil.
Melangkah masuk ke dalam ruang dapur, Diya tersenyum lebar. Jika ruang tamu lebih mesra dengan alam semula jadi, ruang dapur ceria dengan kombinasi warna merah dan putih. Dapur dah begini cantik, rajin la sikit nak memasak. Hati Diya rasa tidak sabar pula hendak menjenguk kamar tidur.
“Awak naik atas, rehat dulu. Mesti letih,” ujar Zahil dengan senang hati.
Diya akur dan terus menapak mendaki anak tangga menuju ke kamar tidur. Zahil hanya memerhati langkah isterinya hingga kelibat Diya hilang dari pandangan mata.
Masuk ke dalam kamar peraduan, ternyata Diya tidak dihampakan. Kamar tidur mereka cukup indah dengan kombinasi warna hitam dan putih. Diya kemudian menapak menuju bilik kerja Zahil yang tidak kalah cantiknya.  Diya tidak terus melangkah masuk dan hanya mengintai dari luar saja. Kemudian dia terpandang gambar berbingkai cantik terletak betul-betul atas meja di tepi pintu.
Mata Diya membelek gambar Zahil bersama-sama seorang lelaki dan seorang wanita yang mungkin diambil ketika di zaman sekolah menengah. Nampak begitu mesra sekali.
“Itu gambar bestfriend saya. Lelaki tu arwah Hairil dan perempuan tu Rania. Dia study kedoktoran dan mungkin masih di Ireland. Sudah lama kami tak bertemu,” beritahu Zahil yang tiba-tiba muncul di tepi Diya.
Hampir-hampir saja bingkai gambar itu terlepas daripada pegangan Diya kerana terkejut. Diya letak kembali gambar itu di tempat asal. Kemudian dia kembali menapak masuk ke dalam kamar tidur. Zahil mendekati gambar itu lalu ditatap lama gambar yang diambil pada hari terakhir persekolahan mereka. Zaman yang menyimpan sejuta memori indah dia bersama-sama Hairil dan Rania.
“Rania… awak di mana?” bisik Zahil lirih sambil menikam gambar Rania yang seolah-olah tersenyum manis padanya.


Petang harinya, Zahil mengajak Diya meringankan tulang membantunya menyiram pokok-pokok hiasan di halaman rumah. Diya awalnya enggan namun akur setelah Zahil bersungguh-sungguh memujuk. Diya menyiram pokok bunga manakala Zahil mencuci kereta Sonata Hyundainya.
“Esok kita pergi rumah lama awak. Kita ambil kereta dan barang-barang awak yang masih tinggal di sana. Ok?”
“Nanti saya beritahu Nur,” jawab Diya ringkas.
“Eh! Kak Ima, Tina. Assalamualaikum, lama tak nampak. Sihat?” sapa Zahil tatkala terpandang jiran depan rumahnya itu.
“Waalaikumussalam. Tina dengan mak sihat. Abang pergi mana? Lama tak balik rumah,” ujar Tina bersuara ceria.
Si emak dan anak sudah mendekati pagar rumah Zahil.  Zahil pula senyum manis sambil menjeling Diya yang kini menjadi tumpuan mata Tina dan emaknya.
“Tu… bidadari mana pula kamu bawa balik tu?” soal Kak Ima merujuk pada Diya yang masih menanti Zahil sendiri yang memperkenalkan dirinya kepada jiran bertentangan dengan rumah mereka itu.
“Perkenalkan, ni isteri saya. Diya, ni Kak Ima dengan Ti…” belum sempat Zahil memperkenalkan Tina pada Diya, gadis itu sudah berlalu pergi dengan wajah cemberut. Diya ekori langkah Tina yang meluru masuk ke dalam rumahnya dengan renungan mata yang sukar ditafsir.
“Errr… Tina tu anak tunggal akak. Diya jangan ambil hati, Tina memang macam tu. Yang kamu berdua ni bila menikah? Tak ada angin tak ada apa, tup… tup… kamu dah kahwin,” Kak Ima meluahkan rasa terperanjatnya.
“Saya tak ada lama ni, pergi nikah la kak. Kenduri saya kecil-kecilan saja. Ye la, saya ni sebatang kara. Anak yatim piatu je. Tapi malam esok saya buat kenduri kesyukuran dekat surau. Akak datang la ye,” beritahu Zahil.
“Bagus la. Perkahwinan ni elok diheboh-hebohkan. Takut jadi fitnah pula. Kamu bukan tak tahu, mulut orang-orang dekat kawasan perumahan ni macam mana. Angin tak bertiup pun pokok bergoncang,” ujar Kak Ima.
Tamat perbualan antara Zahil dan Kak Iman, Diya sudah pun menyudahkan kerja menyiram semua pokok-pokok hiasan di halaman rumah itu. Sebelum masuk ke dalam rumah, sempat Diya menghampiri Zahil.
“Hati-hati. Nampaknya ada orang yang kecewa awak kahwin dengan saya,” tutur Diya bersahaja.
Zahil angkat muka memandang Diya yang sudah berpaling pergi. Lelaki itu masih terpinga-pinga dengan bicara Diya itu. Siapa yang kecewa? Takkan Kak Ima kot. Ish! Takkan la. Tak mungkin pun!


Pagi keesokan harinya, Diya dan Zahil ke rumah Nur untuk mengambil kereta Myvi Diya serta barang-barang Diya yang masih tersisa di rumah itu. Dan malam harinya pula, mereka ke surau untuk kenduri kesyukuran yang telah diaturkan Zahil dengan orang-orang surau.
Selepas solat maghrib berjemaah, Diya sempat beramah mesra dan berkenalan dengan jemaah wanita yang juga penduduk di kawasan perumahan mereka. Diya jadi malu apabila ramai yang memuji dirinya dan Zahil bagai pinang dibelah dua, bagai cincin dengan permata. Sama cocok, sama padan. Suami kacak manakala isteri cantik jelita. Aduh! Diya rasa macam nak sorok muka dalam telekung dek malu dengan puji-pujian yang dirasakan berlebih-lebihan pula.
Selepas solat isyak dan majlis makan-makan, Diya terserempak dengan Tina, anak Kak Ima. Ikhlas bibir Diya menguntum senyuman pada gadis itu namun Tina menarik muncung empat belas dan berlalu pergi dengan jelingan mata yang tajam.
Oh Tuhan! Diya cukup yakin bahawa Tina tidak menyenangi kehadiran dirinya dalam hidup Zahil. Adakah Tina suka pada Zahil? Diya tak pasti walau ada berfirasat begitu. Ye la, Zahil itu lelaki yang kacak. Anak muda seperti Tina ini pasti mudah sekali tertarik pada rupa.


Selesai segalanya, kebanyakan jemaah wanita keluar dari surau lebih awal daripada jemaah lelaki. Diya menuju ke kereta dan menunggu Zahil yang dilihatnya masih beramah mesra dengan beberapa orang ahli surau. Ketika sedang menunggu Zahil, Diya terpandang seekor anak kucing yang comel duduk tidur berhampiran tayar kereta bahagian hadapan.
Diya lalu duduk merapati anak kucing itu. Niat hatinya mahu mengalihkan kedudukan anak kucing itu yang dirasakan bahaya. Mana tahu kalau anak kucing tu tak terjaga dari tidur apabila enjin kereta dihidupkan nanti.
Ketika Diya duduk mencangkung, telinganya mendengar bunyi derapan tapak kaki yang berhenti selang sebuah kereta dengan kedudukannya. Secara tidak sengaja, Diya terdengar perbualan tiga orang jemaah wanita yang cukup dikenali Diya. Seorang daripadanya adalah jiran hadapan rumahnya iaitu Kak Ima. Diya pasti isi perbualan mereka berkisar dirinya dan Zahil.
“Kau tak pelik ke Ima, si Zahil tu tiba-tiba je kahwin mengejut macam tu,” Kak Kiah menyuarakan rasa hatinya.
“Terkejut la juga. Ye la, dia tak pernah cerita pun yang dia nak kahwin. Tiba-tiba dah kahwin,” jawab Kak Ima jujur.
“Kau tak tanya-tanya dia ke? Mana la tau mereka dah terlanjur sebelum kahwin,” tambah Kak Piah pula.
Automatik tangan kanan Diya diangkat menekup mulut. Terbeliak mata mendengar fitnah yang dibuat. Menyirap darah keseluruh tubuh malah jantung berdegup cukup kencang. 
“Betul tu. Dah terlanjur lepas tu kena tangkap! Kena paksa pula kahwin. Sebab tu la mereka kahwin mengejut. Perkara macam tu dah banyak berlaku dalam masyarakat sekarang,” sambung Kak Kiah lagi.
Beristighfar panjang Diya dibuatnya. Sungguh Diya tidak sangka yang mereka semua baru saja keluar dari rumah Allah. Tidak sampai sejam selepas beribadat kepada Allah, menghambakan diri pada Tuhan dan berjanji dalam setiap lafaz bacaan solat. Kini, hamba-hamba Allah ini tanpa rasa bersalah telah berbuat dosa.
Sudah lebur segala amalan dek bahana lidah yang tidak berpenjaga. Belum sampai rumah lagi, keluar dari perkarangan surau pun belum. Pintu surau belum pun tutup, kubah surau dengan bulan dan bintang jelas depan mata kepala mereka.
Kelopak mata Diya sudah bergenang mutiara jernih. Fitnah itu bagai sembilu menusuk hatinya. Apa salah dia pada mereka? Mengapa manusia enak sekali menabur fitnah umpama enak sekali rasanya meratah daging saudara sendiri.
“Ish! Ada pula sampai ke situ. Aku kenal budak Zahil tu. Baik budak tu. Tak adanya dia buat benda-benda tak elok macam tu,” pangkah Kak Ima. Marah juga dia mendengar tuduhan melulu daripada kawan-kawannya itu.
“Manusia Ima. Luar cantik dalam belum tentu cantik,” sinis Kak Kiah berkata-kata.
“Sudah-sudah la Kiah oi. Nanti kering je pahala solat jemaah kau tadi, bagi semua dekat Zahil dengan Diya tu. Orang bina masjid pun kau orang nak buat cerita sensasi. Kau ingat Zahil tu artis?”sindir Kak Ima apabila tidak tahan telinga untuk terus mendegar cerita Kiah dan Piah itu.
“Hemmm… kalau tak betul bagus la. Aku risau kalau betul je. Tak nak la tanggung dosa,” ujar Kak Piah sambil saling bertukar senyuman sinis dengan Kak Kiah.
“Kalau tak nak tanggung dosa, tak payah duduk mengumpat menjaja cerita orang yang tak tentu sahihnya. Ini angin tak ada, kau orang sengaja pergi goyang-goyangkan pokok. Bagi pokok bergoyang, buat runtuh rumah tangga orang,” tempelak Kak Ima apabila ada peluang membuat pukulan balas.
Berubah air muka Kak Kiah dan Kak Piah dek penangan berbisa teman yang tak sebulu dengan mereka itu. Masing-masing saling menjeling mata. Umpama menghantar isyarat menyesal kerana membuka cerita pada Kak Ima. Bukan kerana kesal dek fitnah dibuat mereka itu. Alahai Kiah… aduhai Piah…
“Tak balik lagi?” sapa Zahil sambil jalan menghampiri tiga wanita itu.
Kak Ima senyum tawar menyambut kedatangan Zahil itu manakala Kak Kiah dan Kak Piah senyum kelat. Mereka saling mencuit memberi isyarat untuk beredar segera. Bagai takut sekiranya Kak Ima membuka cerita perihal cerita fitnah dibuat mereka.
“Akak tunggu Abang Majid tu. Pergi toilet tadi. Sakit perut sangat sampai tak sempat balik ke rumah. Kak Kiah dengan Kak Piah ni tumpang kereta akak,” beritahu Kak Ima sambil menjeling temannya yang bagai menikus saja. Tahu takut, tadi bercakap macam orang tak ingat dosa pahala.
“Diya! Awak buat apa dekat situ?” tegur Zahil sebaik saja ternampak Diya yang duduk mencangkung di antara kereta Sonata Hyundainya dengan kereta Toyota Vios milik Abang Majid, suami Kak Ima.
Diya kuatkan diri untuk berdiri. Sempat air mata dikesat sebelum dia berpaling memandang empat orang manusia di belakangnya. Kelat wajah Kak Ima, Kak Kiah dan Kak Piah dek kehadiran Diya yang tidak disangka-sangka duduk menyorok di situ. Menyedari ketelanjuran kata mereka yang pasti didengari telinga Diya, wanita-wanita itu dihambat rasa serba salah.
“Itu la, orang tua-tua pesan kalau cakap siang pandang-pandang. Kalau cakap malam pula dengar-dengar. Mana la tau, tuan punyai diri ada pasang telinga. Nanti tuan mulut pula naik malu,” sindir Kak Ima dengan nada berbisik pada temannya di sisi.
“Errr… tu Majid dah datang. Jom la kita balik. Zahil, Diya, kalau ada yang dengar-dengar tu minta maaf la ye. Bukan Kak Kiah yang buat cerita, Kak Kiah dengar je. Kak Kiah cuma cerita balik saja.”
Zahil tercengang mendegar bicara Kak Kiah yang jelas tidak diketahui perihal hujung pangkalnya. Zahil pandang Diya yang berwajah redup. Kemudian Zahil pandang Kak Ima pula.
“Huh! Dah baling batu, nak sembunyi tangan pergi menunding orang lain,” ujar Kak Ima sambil geleng kepala. “Sabar la Diya. Mulut orang memang susah kita nak tutup. Akak minta maaf ye.”
“Tak apa la Kak Ima. Akak tak salah pun,” ujar Diya mendatar nadanya.
Kak Kiah dan Kak Piah sudah menyembunyi diri dalam kereta sebaik saja Abang Majid menekan punat membuka kereta yang berkunci. Kak Ima memandang kereta Sonata Hyundai putih dipandu Zahil keluar terlebih dahulu daripada perkarangan surau. Barulah dia dan suaminya sama-sama masuk ke dalam kereta mereka.
Tiba saja di rumah, Diya meluru masuk ke dalam rumah. Diya rebahkan diri atas sofa putih di ruang tamu dengan wajah mencuka. Terasa hati dengan cerita-cerita yang dijaja dari mulut ke mulut perihal perkahwinan mengejut mereka. Tidak Diya sangka Zahil ini cukup popular dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan ini. Mungkin kerana sikap ramah Zahil yang tidak sombong untuk saling bertegur sapa dengan jiran tetangga.
“Alah, pekakkan telinga saja dengan cerita-cerita orang,” suara Zahil sambil melabuh punggung atas sofa di sebelah Diya.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Zahil mendengar cerita Diya tentang gosip di perkarangan surau tadi. Diya jadi geram apabila Zahil ketawa saja mendengar ceritanya. Dah macam tak ada reaksi lain nak bagi. Ketawa umpama cerita Diya tersangatlah lucu.
Melihat jelingan mata Diya, Zahil dapat satu idea. “Lagipun benda dah betul. Nak buat macam mana,” Zahil menantikan reaksi Diya.
“Betul? Apa yang betul?” Diya pandang Zahil dengan seribu tanda tanya.
“Betul la yang saya dah terlanjur dengan awak sebelum kita kahwin,” selamba saja Zahil berkata-kata.
What? Ma… masa… masa bila pula kita terlanjur?” seperti diduga, Diya akan gelabah dengan mata membulat bagai mahu menelan Zahil hidup-hidup.
“Adelia Dayana, saya dah terlanjur mencintai awak sebelum kita kahwin lagi. Tu kategori terlanjur la juga tu. Terlanjur mencintai!” jawab Zahil dengan tenang dan bersahaja.
“Menyampah!” jerit Diya sambil mencapai bantal kecil atas sofa dan memukul dada Zahil. Zahil sempat menahan pukulan itu dengan kedua-dua telapak tangannya.
Diya makin geram lalu melempar terus bantal hijau tebu itu ke arah Zahil. Zahil sempat menyambut balingan itu dan ketawa mengekek. Lucu betul melihat muka cemberut Diya dek marah kerana dipermainkan. Diya kemudian berlari naik ke kamar tidur dengan hati berbaur geram. Dan Zahil terus ketawa.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.