ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Sunday, January 5, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 20



BAB 20
Zahil menghentikan kereta di bahu jalan dan pandangan matanya tertumpu ke arah rumah kampung yang masih mengekalkan ciri-ciri seni bina Melayu tradisional. Rumah dengan bumbung jenis bumbung panjang Kedah itu menarik minat Zahil.
Kereta Sonata Hyundai itu kemudian dipandu masuk ke perkarangan halaman rumah yang lapang. Zahil tidak ambil masa lama untuk menjejakkan kaki ke tanah. Mata lelaki itu menjamah pandangan rumah yang sudah mencuri perhatiannya. Kagum sekali dengan seni bina rumah kayu tradisonal itu.
Zahil melangkah menghampiri anak tangga di bahagian anjung rumah. Jemari Zahil meraba-raba penghadang tangga yang diperbuat daripada kayu merbau dan berukir figura tumbuhan. Halus sekali kerja seninya. Zahil bagai terpesona.
“Anak ni cari siapa?” tegur seorang wanita yang entah bila sudah tercegat di serambi rumah kayu yang dibina tinggi dan banyak tiang itu.
Zahil angkat muka menatap wajah yang tersenyum memandangnya. Ibu Diya ke ni? Rasa-rasa macam ya. Wajah mereka ada iras-iras. Jika betul ni ibu Diya, memang la Diya mewarisi kecantikan wajah ibunya.
“Errr… assalamualaikum mak cik.”
“Waalaikumsalam. Anak ni siapa?”
“Saya Zahil Hariz. Saya… kawan anak mak cik, Adelia Dayana,” mendengar saja nama Diya disebut Zahil, tergambar riak terkejut pada raut wajah wanita itu. Zahil telan air liur. Cuak juga menantikan tindak balas wanita itu. Takut andainya kedatangannya tidak diterima apabila mengingatkan sikap abang Diya ketika di Pasar Raya TESCO dulu.
“Kamu ni kawan Diya?” sapa satu suara agak parau dari arah belakang Zahil.
Zahil tersentak lantas segera berpaling ke arah belakang. Matanya menjamah seraut wajah sedikit tegas dengan misai dan jambang yang sudah diwarnai uban-uban putih. Lelaki berbaju pagoda putih dan berkain pelekat kotak-kotak itu tajam menikam wajah Zahil.
“Ye pak cik. Saya Zahil Hariz,” perkenal Zahil untuk kedua kalinya. Zahil hampiri lelaki tua itu dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Zahil sedikit tenang apabila huluran tangannya disambut malah digenggam erat.
“Naik la, masuk dalam,” Encik Azhar mempelawa tetamu asingnya itu menjejak kaki ke teratak kediamannya.
Zahil tersenyum senang hati. Ternyata kedatangannya diterima Encik Azhar dan Puan Zahra walaupun tuan rumah itu agak terkejut dengan kunjungannya pada petang hari itu.
“Duduk la. Errr… pak cik nak pergi solat sekejap. Kamu duduk la dulu,” ujar Encik Azhar pada Zahil yang tercegat di depan muka pintu. Kekok rasanya apabila sudah berdepan ibu dan ayah Diya.
“Errr… kalau tak susahkan pak cik dan mak cik, boleh saya tumpang solat di sini?” soal Zahil sambil memandang Encik Azhar dan Puan Zahra silih berganti.
Encik Azhar mengukir senyum. “Boleh. Apa salahnya. Boleh kita berjemaah. Pak cik pun terlepas jemaah dekat surau tadi.”
Zahil senang hati. Dia kemudian mengekori langkah Encik Azhar menuju bilik air untuk mengambil wuduk. Sempat juga matanya meliar melihat persekitaran dalam rumah yang dindingnya bercirikan pelupuh yang berkelerai. Hati lelaki itu memuji-muji keindahan rumah tersebut. Perabot pula kebanyakkannya perabut kayu berukir cantik. Memasuki rumah itu umpama dia berada dalam zaman kesultanan Melayu saja.


Solat asar berjemaah petang itu, Zahil dipinta menjadi imam. Zahil menerima permintaan Encik Azhar dengan tenang. Walau dalam hati dirasakan seperti menempuh ujian bakal menantu saja. Itu belum dia buka mulut tentang niatnya untuk menyunting anak gadis bongsu lelaki itu. Agaknya kalau sudah disuarakan, berapa jenis ujian kena ambil?
Mereka bertiga duduk di ruang tamu setelah usai solat asar. Kini tiba sudah waktu untuk tuan rumah menyelidik tujuan kunjungan tetamu dari jauh ini.
“Apa tujuan kamu datang sini?” soal Encik Azhar sebaik saja Puan Zahra menghidangkan air untuk mereka minum bersama-sama tetamu petang itu.
Zahil sudah lama bersedia untuk memberi jawapan kepada soalan itu. Sepanjang jalan untuk sampai ke sini, entah berapa kali dia membuat latihan. Orang putih kata, practice make perfect.
“Sebenarnya… pak cik, mak cik, saya datang ni dengan tujuan baik. Saya nak bersihkan nama Diya,” penerangan awal Zahil itu membuka luas mata Encik Azhar dan Puan Zahra.
Pasangan suami isteri itu saling berpandangan sesama mereka sebelum kembali fokus pada Zahil dan menanti kata-kata selanjutnya. Zahil sudah cukup bersedia.
Zahil tarik nafas dalam dan dilepaskan tenang. Biarlah ceritanya ini membersihkan nama baik Diya yang tercalar oleh perbuatan khianat adik tirinya, Zakuan Helmi. Penerimaan keluarga Diya terhadap dirinya setelah menamatkan cerita kelak diserahkan pada takdir. Andai sudah suratan dirinya bakal dihambur dengan amarah dan caki-maki, dia pasrah. Selayaknya dia menerima itu kerana Zakuan adalah adiknya. Sesiapa jua akan marah andai kaum keluarga mereka menjadi mangsa nafsu serakah manusia lain.
“Sebenarnya, Diya tak bersalah,” mukadimah Zahil seakan air telaga yang mendinginkan gelojak perasaan pasangan itu. Tenang mendengarnya. Rasa hilang beban perasaan yang menjerut hati selama ini.
“Apa yang berlaku pada Diya, bukan kesalahan dia sendiri. Diya hanya menjadi mangsa,” sambung Zahil lagi. Setelah itu, bibir lelaki itu terus menceritakan peristiwa sebenar yang telah berlaku.
Air mata Puan Zahra gugur satu persatu dan kian laju membasah pipi saat penceritaan Zahil kian menusuk hati. Bahu suaminya yang duduk di sebelah menjadi tempat dia melepaskan kesedihan yang bukan kepalang. Tersengguk-sengguk wanita itu menangis tersedu-sedan di bahu Encik Azhar. Tidak menduga sepahit itu perjalanan hidup anak bongsu yang dibesarkan dengan penuh curahan kasih sayang. Sekian lama dia melimpahkan Diya dengan kebahagiaan, tidak disangka insan lain datang menconteng duka sedalam itu. Apa salah anaknya?
Tanpa sedar masa begitu pantas berlalu dan mentari mula membenam diri manakala langit jingga kian bertukar gelap. Saat itu, Zahil sudah menamatkan penceritaannya yang panjang lebar. Zahil sendiri sudah tidak tergamak lagi mengangkat muka menatap wajah ibu dan ayah Diya yang mendung dan berhujan air mata. Pastinya cerita Zahil sudah mencalar hati mereka dengan cukup dalam.
“Pak cik, saya tahu saya tak layak untuk cakap ini. Tapi saya mohon maaf. Saya tahu apa yang berlaku telah buat keluarga pak cik dan mak cik porak-peranda. Saya mohon maaf… saya betul-betul minta maaf,” sayu ucapan Zahil dengan penuh sedaya upaya cuba menentang renungan mata Encik Azhar yang tajam menikam wajahnya.
Mata lelaki tua itu merah walaupun tiada secalit air mata. Tabah sekali hatinya. Sebaliknya Zahil walau tidak menitis air mata jatuh ke pipi, matanya seakan berkaca.
“Saya minta maaf pak cik…” lirih nada Zahil memohon kemaafan untuk sekian kali.


 “Nur! Nur! Bangun la. Kita dah nak sampai ni,” Diya kejut Nur sebaik saja kereta Myvinya membelok masuk kawasan penempatan kampung.
Sebenarnya tak la macam rumah kampung sangat pun. Ye la, rumah kampung sekarang semua dah macam rumah moden walaupun namanya kampung. Macam rumah Mak Cik Milah yang baru saja dilewati kereta Diya tadi. Mak aih! Banglo dua tingkat tu. Orang kaya kampung la katakan. Sawah padi milik Mak Cik Milah tu luasnya seluas mata memandang. Belum kira kebun getah yang entah berapa ekar.
Nur terpisat-pisat membuka mata. Mulut yang menguap ditutup dengan belakang tapak tangan. “Errrkkk… dah sampai ke?” soal Nur sambil mengeliat kecil. Matanya meliar melihat sekeliling.
“Jom turun,” suara Diya sebaik saja enjin kereta dimatikan. Kereta Diya diberhentikan agak jauh dari kawasan anjung rumah. Mungkin kerana rasa gementar setelah lama tidak menjejak kaki ke sini.
“Betul ke Zahil dah datang sini?” Nur bertanya setelah menapak menghampiri anjung rumah. Sunyi je. Macam rumah tak ada orang. Hati Nur berbisik sendiri.
“Kau tak nampak ke Sonata Hyundai sebijik besar dekat bawah pokok kedondong tu?” tempelak Diya sambil mengeliat kecil. Meregangkan urat-urat badan yang terasa lenguh setelah berjam-jam memandu.
“Errr… mana la aku tau mamat tu pakai kereta apa,” jawab Nur seraya berpaling memandang bawah pohon kedondong di halaman rumah itu.
“Assalamualaikum! Assalamualaikum!” laung Diya tatkala didapati pintu berkunci dengan manga kecil tergantung.
“Pintu… tingkap semua tutup ni, macam tak ada orang je,” luah Nur sambil berjalan-jalan di sekitar halaman rumah. Cantik betul rumah ibu dan ayah Diya ni. Susah nak jumpa rumah macam ni dah sekarang. Sempat lagi dia memuji-muji.
“Takkan la. Tu… kereta mamat tu ada dekat situ,” Diya sendiri tertanya-tanya. Ke mana perginya ibu dan ayah ni? Dah tu, kereta mamat tu ada dekat situ pula tu.
“Betul ke ni rumah kau? Tak silap rumah ek?” telah Nur sambil garu-garu dagu yang tak gatal.
“Ish! Aku tau la ni rumah aku. Aku ni belum nyanyuk lagi nak tersilap rumah. Tahu la aku dah lama tak balik. Tapi agak-agak la nak salah rumah. Bertahun-tahun aku duduk sini. Kau tu pun, cakap macam tak pernah datang sini,” bidas Diya sedikit meninggi. Geram juga dengan bicara Nur itu.
“Aku datang baru sekali. Mana nak ingat sangat.” Nur ketawa mengekek. Lucu apabila melihat Diya marah kerana hal itu. Gurau pun tak boleh!
“Assalamualaikum…” sapa Zahil yang muncul dari arah belakang.
“Ma oi! Mak Limah balik rumah!” Nur yang masih ketawa sempat melatah dek terkejut dengan sapaan itu.
Diya dan Nur berkalih. “A… awak?” terkedu Diya melihat Zahil.
“Diya, bila awak sampai?” soal Zahil dengan senyum manis menguntum di bibir. Dia tahu Diya terperanjat dengan kemunculannya.
“Errr…” Diya tergamam melihat penampilan Zahil yang bersahaja dengan baju t-shirt leher bulat berlengan pendek dan berseluar trek. Macam kenal je baju mamat ni pakai. Ni bukan ke baju Along? Tambahan pula, tak pernah lelaki itu dilihat berpakaian sedemikian. Nampak muda remaja. Ish! Sedar balik Diya. Kau datang bukan nak belek pemakaian mamat ni!
Encik Azhar dan Puan Zahra kemudian turut muncul dari arah yang sama. Mereka bertiga yang baru pulang daripada mengambil angin pagi di sekitar kampung tidak menduga akan kedatangan Diya. Tergamam pasangan suami isteri itu dek kemunculan mengejut anak gadis yang sudah lama tidak pulang. Diya terkesima. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan.
Perlahan-lahan Diya mendekati ibu dan ayahnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Puan Zahra meraih Diya ke dalam pelukan. Agak lama dua beranak itu berada dalam pelukan yang sarat dengan rindu. Lerai saja pelukan antara mereka, Encik Azhar mengajak mereka semua masuk ke dalam rumah.
“Errr… kejap ye ayah,” pintas Diya sebelum sempat Zahil mengikut langkah Encik Azhar untuk memanjat tangga.
 “Zahil, awak ikut saya kejap!” Diya pantas mencapai lengan baju t-shirt Zahil lalu lelaki itu ditarik menjauhi mereka yang lain. Zahil tidak sempat berkata apa-apa dan hanya menurut langkah kaki Diya. Diya menarik Zahil menghampiri kereta lelaki itu. Puan Zahra dan Encik Azhar memerhati dalam keadaan terpinga-pinga. Apabila mereka memandang Nur mohon penjelasan, Nur hanya senyum kelat sambil menjungkit bahu.
 “Awak dah gila ke? Apa awak buat dekat sini?” Diya cuba mengawal suaranya supaya perbualan mereka tidak didengari ibu dan ayahnya yang masih tercegat memerhatikan mereka berdua.
Zahil tarik nafas panjang. Baru lelaki itu buka mulut, Diya sudah memintas.
“Baik awak balik sekarang! Tak ada guna awak buat semua ni. Semua sia-sia!” tegas Diya.
Zahil ingin menjawab tetapi untuk kedua kalinya, Diya terlebih dahulu bersuara. Menutup ruang buat Zahil berkata-kata.
“Tolong la balik Zahil. Tolong jangan susahkan saya dan tolong la jauhkan diri dari hidup saya,” Diya seakan merayu.
Zahil angguk perlahan. Bukan mengiakan kata-kata Diya tetapi sekadar reaksi apabila Diya bercakap tak henti-henti.
“Tolong la Zahil,” Diya menatap wajah tenang Zahil penuh mengharap.
“Diya, saya…” Zahil ingin bersuara untuk sekian kali namun baru dua patah kata diungkap, Diya sudah memintas lagi.
“Balik la Zahil. Tak ada apa-apa awak nak buat di sini. Baik balik sekarang!” Diya sedikit berkeras apabila Zahil seakan enggan akur pada permintaannya. Lelaki itu masih terpaku di situ. Diya bertindak menolak lengan Zahil agar lelaki itu merapati kereta Sonata Hyundai nya. Tingkahnya seperti memaksa Zahil masuk ke dalam kereta saat itu juga.
“Balik!” meninggi suara Diya apabila Zahil masih berkeras. Sekilas Diya mengerling arah ibu dan ayahnya yang semakin berkerut-kerut wajah memerhati drama di bawah pohon kedondong itu.
“Diya saya…” Zahil tidak senang terus didesak begitu.
“Pergi balik la. Awak tak sedar apa awak buat sekarang. Balik KL sekarang!” bentak Diya langsung tidak memberi peluang untuk Zahil bersuara.
Zahil mengeluh bosan dengan sikap Diya itu. “Tak nak. Saya tahu apa saya buat. Saya sedar dan waras. Saya buat apa yang patut saya buat,” ujar Zahil bernada tenang.
Diya gigit bibir. Jawapan Zahil tak mengikut kehendak hatinya. Geram Diya dibuatnya. “Cukup! Saya tak nak dengar apa-apa. Lebih baik awak pergi saja.”
Zahil merasakan dia juga harus bertegas. “No! Awak kena dengar. Kali ini tolong dengar cakap saya Diya. Saya suka awak dan apa yang saya buat adalah yang terbaik untuk awak.”
“Awak gila ke? Awak tak tahu masa silam saya, Zahil. Berapa kali saya perlu cakap? Saya tak sesuai untuk awak!” tegas Diya.
“Saya tahu Diya. Saya tak salahkan awak. Insyallah saya boleh terima awak seadanya,” ucap Zahil tulus.
“Apa maksud awak? Awak tahu tentang masa silam saya?” soal Diya bernada terperanjat.
Zahil angguk perlahan. Diya terkedu. Bibirnya bergerak-gerak namun tidak terluah sepatah kata. Kelu lidah jadinya.
 Jadi Zahil dah tahu. Sebab itu ke dia datang sini? Bagaimana Zahil tahu? Anak mata Diya lari mencari raut wajah Nur yang memandang dari jauh. Bertembung saja pandangan mereka, Nur menundukkan muka. Nur ke yang beritahu? Diya membuat telahan sendiri. Diya gigit bibir. Teruk betul si Cahaya Nurwah ni!
“Saya terima awak seadanya Diya. Masa silam awak tak mengubah apa-apa pun,” Zahil meyakinkan Diya.
Diya senyum sinis. Hampir ketawa juga mendengar kata-kata Zahil itu. Secalit percaya pun tidak menyentuh tangkai hati Diya.
“Terima seadanya? Zahil, tak ada dalam dunia ni lelaki yang dapat terima perempuan hina macam saya ni. Huh! Family saya pun tak dapat terima. Awak kata awak boleh terima?” Diya mempertikai kata-kata Zahil dengan teorinya.
“Apa lagi ni? Apa-apa pun bawa bincang sama-sama dekat atas. Adik, tak elok biar tetamu berdiri lama-lama dekat luar. Jom naik bincang dekat atas,” tegur Encik Azhar yang tanpa disedari sudah menghampiri mereka.
Diya tergamam. Keluhan kecil terluah dari bibir cerah gadis itu. Diya lalu melangkah meninggalkan Zahil dan Encik Azhar di bawah pohon kedondong itu. Tiba di depan tangga, Diya jeling Nur yang masih tertunduk seperti pesalah dalam kandang mahkamah.
“Jemput masuk Nur. Jangan segan-segan. Buat macam rumah sendiri. Diya pun cepat masuk. Luar ni dah mula panas,” suara Puan Zahra seraya membuka pintu.
Nur senyum tawar tatkala angkat muka memandang Diya. Rasa bersalah kerana menjadi penyebab Zahil bertandang ke situ.


Ruang tamu sepi tanpa seorang pun membuka mulut untuk bersuara. Puan Zahra saling berpandangan dengan suaminya yang duduk di sisi. Diya pula mengerling Zahil dan Nur silih berganti. Terbuku rasa tidak senang hati pada Zahil dan rasa geram pada Nur.
Puan Zahra memberi isyarat mata pada suaminya. Sampai bila hendak membisu begini? Seseorang perlu memulakan bicara. Encik Azhar angguk memahami.
“Ehem!” Diya dan Zahil pandang wajah Encik Azhar sebaik saja lelaki itu berdehem.
“Hemmm… biar kita bincang elok-elok. Adik, tak baik bergocoh macam tadi. Duduk bincang baik-baikkan boleh. Jangan ikut emosi,” Encik Azhar bermukadimah dengan teguran lembut.
Diya angguk lemah. Menyedari kesalahannya yang terlalu beremosi. Tetapi Diya masih belum dapat menerima tujuan kedatangan Zahil ke sini. Zahil dipandang sekilas dengan wajah tegang. Dan seperti selalu, lelaki itu akan tetap tenang dengan senyuman.
“Diya, cakap la apa yang Diya nak cakapkan. Ayah dan ibu nak dengar,” suara Encik Azhar lagi.
Diya tegakkan kedudukan badannya. Sekali lagi Diya kerling wajah Zahil dengan renungan tajam sebelum menumpukan pandangan pada wajah ayah dan ibunya.
“Diya tak terima pinangan Zahil!” tegas dan jelas ungkapan Diya.
Encik Azhar dan Puan Zahra tercengang. Pasangan itu saling berpandangan sebelum sama-sama melempar pandangan pada Zahil yang tenang dengan senyuman. Kemudian fokus kembali ditumpukan pada wajah tegas Diya.
“Pinangan?” soal Encik Azhar.
“Bila Zahil meminang adik?” sambung Puan Zahra. Perasaan ingin tahu terpancar pada wajah wanita itu.
Kali ini giliran Diya dan Nur pula untuk terperanjat. Diya pandang Zahil yang duduk setentang dengannya. Lelaki itu sedikit menunduk sambil menutup mulut menahan ketawa. Kemudian Diya mencari wajah Nur pula. Nur buat-buat tidak sedar akan renungan mata Diya yang mengharapkan pertolongannya untuk menjawab soalan Encik Azhar dan Puan Zahra.
“Zahil? Kamu datang nak meminang Diya ke?” soal Encik Azhar pada Zahil.
Diya ternanti-nanti jawapan dari mulut Zahil dengan dada penuh debar. Apakah jawapan yang bakal diberikan Zahil? Andai Zahil mengatakan tidak, jatuh la air muka Diya. Tak pasal-pasal kena cop ‘perasan’! Diya jadi gelabah sendiri.
“Kalau ikut saya, saya tak meminang dah. Saya nak nikah je terus,” jawapan Zahil mencetuskan ketawa semua orang yang duduk di ruang tamu itu kecuali Diya. Diya ketap bibir menahan geram terhadap Zahil.
“Bagus la macam tu. Pak cik setuju tu,” tambah Encik Azhar.
“Ayah! Apa ni? Adik cakap tak nak kan…” protes Diya dengan wajah sudah cemberut. Sudah la malu sebab perasan.
Sekali lagi ruang tamu kediaman itu bergema dengan ketawa apabila Diya tarik muka masam catung.


Ruang dapur terasa sayu apabila kerja-kerja memasak untuk menyediakan hidangan makan tengah hari bersulam dengan luahan perasaan di antara Diya, Encik Azhar dan Puan Zahra. Zahil dan Nur memberi ruang kepada keluarga itu meleraikan segala kekusutan dalam hati masing-masing sementara itu mereka berjalan-jalan melihat-lihat pemandangan kampung di sekitar halaman rumah.
Puan Zahra dan Encik Azhar memohon maaf kepada Diya kerana mengabaikan anak gadis mereka itu. Mereka sedar akan kesilapan selaku ibu bapa yang tidak sewajarnya bertindak melepaskan tangan dan menghukum Diya tanpa menyelidik kebenaran terlebih dahulu. Sedikit sebanyak keprihatinan Zahil menyedaran mereka. Diya tenang apabila dirinya kembali diterima. Sudah lama dia memaafkan ahli keluarganya. Malah pada Diya, ibu dan ayahnya tidak bersalah apa-apa.
 Lama kelamaan, suasana sedih dan sayu bertukar meriah dengan gelak ketawa. Kebahagiaan yang selama ini diragut pergi bersama-sama pemergian Diya dulu seakan telah kembali. Pelbagai perkara dibualkan mereka. Banyak perkara hendak diceritakan antara mereka. Sehingga akhirnya sampai ke topik perihal lelaki bernama Zahil Hariz.
“Zahil tu, baik betul. Bersopan dengan orang tua, rupa pun boleh tahan. Berkenan betul kalau dibuat menantu,” luah Encik Azhar sambil mata menjeling isterinya. Senyuman Puan Zahra menandakan suami isteri itu mempunyai pandangan yang sama. Namun Diya bisu saja.
“Adik dengar tak ayah cakap tu?” soal Puan Zahra seraya mencuit lengan nak gadisnya yang sedang mengupas bawang merah.
“Dengar…” jawab Diya acuh tak acuh. Ayah dengan ibu ni, dah mula la tu. Ni yang malas ni.
“Dah tu?” Encik Azhar dan Puan Zahra ternanti-nantikan reaksi anak mereka.
“Ibu nak adik cakap apa?” Diya pura-pura tidak faham.
“Hemmm… Zahil tu suka pada adikkan?” duga Puan Zahra.
“Ibu rasa?” Diya masih ingin bermain silang kata.
“Ibu rasa macam tu la. Kalau dia masuk meminang adik, confirm ibu dan ayah terima,” ujar Puan Zahra sambil mata memandang suaminya. Kedua-dua mereka angguk setuju.
“Ibu dengan ayah ni jangan mengharap yang tak akan jadi. Siapa yang nak perempuan macam adik ni? Buah, kalau dah buruk ditepuk tupai, orang buang la ibu. Mana yang ada ambil buat jual,” Diya berkias kata.
Puan Zahra tersenyum tawar. Memahami perasaan anak gadisnya itu. Dijeling suaminya agar berkata sesuatu.
“Seseorang yang memiliki cinta yang tulus akan menyintai atas dasar siapa dia sekarang dan bukan siapa dia sebelumnya,” ungkap Encik   Azhar bernada lembut. Teh suam di dalam cawan yang terhidang di depan mata dihirup seteguk. 
Diya diam saja menadah bicara hikmah diungkap ayahnya. Seketika kemudian, Puan Zahra pula bersuara sambil tangan terus lincah memotong lobak merah.
“Ibu rasa, Zahil tak seperti yang adik fikirkan. Zahil ikhlas mencintai adik,” suara Puan Zahra pula.
Apabila cinta itu lahir dari hati yang ikhlas, kisah silam menjadi sejarah yang tidak perlu diungkit,” sambung Encik Azhar lagi.
“Maksud ibu dan ayah?” terjungkit kening Diya.
“Adelia Dayana, kamu dah tahu tapi masih berpura-pura tak tahukan?” Terhenti kerja-kerja memotong yang dilakukan Puan Zahra.
“Apa ibu cakap ni?” Ish, siap sebut nama penuh lagi. Ibu ni dah serius betul ni.
“Adik, jujur pada diri sendiri. Jangan berbohong pada hati kelak ia menjerut diri,” tutur Puan Zahra memberi peringatan.
“Apa ibu merepek ni? Ish! Si Nur ni pun satu. Tadi Diya minta pergi cari daun kari, tapi sampai sekarang tak masuk-masuk balik. Pergi tanam pokok kari ke apa?” bebel Diya mengubah topik cerita seraya bingkas bangun menapak keluar rumah melalui pintu dapur.
“Ish! Budak bertuah ni. Orang baru nak cucuk jarum, dia dah cabut lari. Tengok la anak gadis awak, Encik Azhar oi! Tak berubah-ubah perangainya,” ngomel Puan Zahra manakala Encik Azhar mengekek ketawa.
 


No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.