ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Sunday, January 5, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 21


BAB 21
Zahil akur pada kehendak Diya yang mahu dirinya segera pulang ke Kuala Lumpur. Zahil seperti selalu, menyambut kedinginan Diya dengan kuntuman senyum di bibir. Sonata Hyundai dipandu Zahil meninggalkan perkarangan halaman rumah Encik Azhar dan Puan Zahra selepas waktu zohor. Kereta Myvi dipandu Diya menyusul kemudiannya. Kepulangan mengejut yang tidak dirancang menyebabkan Diya dan Nur tidak dapat berlama-lama di kampung. Diya berjanji akan pulang lagi setelah mendapat cuti beberapa hari.
Keesokan harinya, Zahil terus menuju banglo mewah keluarga Datuk Laila. Niatnya hanya ingin melawat Mak Jah. Namun tidak terduga oleh Zahil apabila dia bertembung dengan Zakuan di muka pintu banglo mewah itu. Zahil hanya mampu memandang Zakuan memasukkan bagasi ke dalam bonet kereta. Mak Jah menitiskan air mata tatkala Zakuan mengucup tangan wanita itu saat mereka bersalaman.
Datuk Laila pula sudah berlalu ke pejabat setelah Zakuan berkeras dengan keputusannya untuk membawa diri ke USA. Pastinya hati wanita korporat itu dilanda amarah yang menyala-nyala terhadap anak lelaki kesayangannya itu. Disangkanya Zakuan boleh diharap untuk mewarisi perniagaannya namun ternyata Zakuan gagal untuk merealisasiakn impian mamanya. Lelaki itu tewas dengan gelojak perasaannya.
“Walau sejauh mana pun kita berlari atas muka bumi ini, ketenangan jiwa hanya dimiliki setelah kita kembali pada jalan Ilahi. Tak perlu pergi jauh Zakuan. Ketenangan itu dekat sini,” ujar Zahil sambil tangan kanannya menepuk dada. Niat hati untuk menghalang pemergian adik tirinya.
Zakuan terkesima. “Aku pergi dulu. Kau jaga mama dengan Zarina elok-elok,” ujar Zakuan tanpa mahu memanjangkan bicara antara mereka. Dia sudah membulat tekad. Pergi jauh dari Malaysia umpama membawa diri pergi jauh dari masa silamnya.
Dan akhirnya Zakuan tetap pergi jua. Tiada daya untuk Zahil menghalang. Zakuan sudah cukup dewasa untuk membuat pilihan. Setelah Zakuan menghilang bersama BMW dipandu pemandu keluarga Datuk Laila, Zahil menapak ke dalam banglo bersama-sama Mak Jah.
Mak Jah masih bersedih dan Zahil hanya mampu memujuk hati wanita itu seperti memujuk anak kecil. Apabila Mak Jah ke dapur untuk menyediakan sarapan untuk Zahil, lelaki tu termenung seorang diri. Mungkin ada hikmahnya Zakuan ke USA pada waktu begini. Zahil telah merangka sesuatu dalam mindanya. Strategi memikat Diya!


Kereta BMW yang menghantar Zakuan ke lapangan terbang telah jauh meninggalkan kediaman mewah keluarga Datuk Laila. Zakuan yang duduk di tempat penumpang di bahagian belakang melemparkan pandangan ke luar tingkap. Cermin kereta dibiarkan sedikit terbuka dan angin luar mencuri masuk. Perlakuan Zakuan hanya dikerling oleh Mamat, selaku pemandu yang bersikap bisu.
Jauh Zakuan melayangkan fikiran. Angin yang bertiup seakan menyegarkan kembali ingatan yang tidak berdaya untuk lupus dari memori.


Tangisan Diya tiada bernada lagi. Sesekali kedengaran esakan gadis itu berselang dengan nafas Zakuan yang merengus kasar. Bibir Diya menggigil dengan mata yang terpejam rapat. Sungguh Diya tidak sanggup melihat perbuatan keji Zakuan terhadap tubuh malangnya. Diya mahu menjerit! Diya mahu meraung! Namun segalanya hanya luahan dalam hati yang tidak terdaya dizahirkan.
Perbuatan Zakuan terhenti hanya setelah lelaki itu tidak sedarkan diri. Tubuh lemah Diya tidak berdaya menjauhi Zakuan yang terdampar menindih sebahagian tubuhnya. Zakuan yang mabuk bagai pengsan tidak sedarkan diri sedangkan Diya terus terkulai lemah menghitung detik-detik hitam yang terus berlalu.
Beberapa jam kemudian, Zakuan tersedar. Lelaki itu meloncat bersandar pada kepala katil. Terbuntang mata Zakuan melihat sekujur tubuh milik Diya terkulai layu berbungkus selimut tebal di sisinya. Berkali-kali dia menelan air liur yang terasa pahit. Kepalanya pusing dan dadanya berombak kencang. Jemari juga mulai menggigil.
Ligat otak Zakuan memutar kembali peristiwa yang berlaku beberapa jam lalu. Walau tidak semua perkara berjaya diingati, Zakuan masih dapat mengingati perbuatan zalimnya mengasari Diya. Lelaki itu diterpa ketakutan.
“Li… Li… Li… Lia…” butir bicara Zakuan juga sudah tidak jelas dek suara yang seakan tersekat di kerongkong.
Zakuan yang bersandar di kepala katil perlahan-lahan mendekati tubuh layu Diya. Jemari lelaki itu terhenti daripada menyentuh seraut wajah Diya yang meruntun hatinya. Diakah yang memperlakukan wajah indah itu sebegini rupa? Jemari Zakuan yang menggigil menggenggam erat kain cadar. Umpama segala penyesalan dilepaskan di situ. Zakuan tidak betah lagi berada di situ.
Ketakutan dan rasa bersalah bagaikan tumbukan bertubi-tubi yang menyentap tangkai hatinya. Zakuan meraup wajahnya berkali-kali. Lelaki itu semakin gelisah dan resah. Zakuan akhirnya meluru keluar dari situ tanpa berpaling lagi.


Zakuan mengeluh lemah. Keluhan yang mengandungi penyesalan. Zakuan raup wajahnya dengan dua tapak tangan. Saat ini, lelaki itu terbayangkan seraut wajah Diya. Raut pilu yang terakhir sekali dirakam dalam memorinya. Bayangan wajah Diya yang pucat lemah berair mata umpama aliran sungai tiada henti membasah pipi dengan bengkak-bengkak merah disakiti tangan kasar Zakuan.
Sungguh lelaki itu tidak mampu mengusir pandangan terakhir itu. Sejak peristiwa itu, Zakuan terus dihantui dosa besarnya. Zakuan merasakan perbuatannya pada Diya adalah perbuatan paling bodoh yang pernah dilakukan. Perbuatan paling dikesali. Zakuan pejamkan kedua-dua kelopak mata. Tragedi hitam yang telah Zakuan lakar dalam sejarah hidup Diya membebankan hidupnya dengan rasa bersalah.
“Lia… Zakuan minta maaf,” bisik Zakuan lirih. Air mata mengalir keluar dari tubir mata dibiarkan tanpa dikesat.
Sesekali Mamat mencuri pandang. Benaknya membenihkan persoalan namun sekadar berlegar dalam ruang fikiran. Dia tidak harus masuk campur dalam hal-hal yang tiada kaitan dengan dirinya. Lalu Zakuan dibiarkan terus tenggelam dalam kegalauan perasaannya.


Diya terus dingin pada Zahil. Namun lelaki itu seakan kebal menerima kedinginan Diya terhadap dirinya. Hingga Diya semakin rimas. Rimas dengan Zahil yang tidak pernah beralah untuk hadir dalam hati Diya. Rimas dengan senyuman dan keramahan Zahil. Rimas sehingga Diya seperti mahu memadam wajah Zahil dari pandangan matanya.
Dan malam ini Diya nanar sendiri. Berapa kali harus dia cakap? Bicara bagaimana harus dia ungkap? Madah bagaimana lagi harus dia susun supaya lelaki itu tahu rasa hatinya ini? Oh Tuhan! Betapa manusia itu tidak tahu apa itu faham bahasa. Sungguh lelaki itu tidak mengerti makna perkataan T...I...D...A...K! Mengapa Zahil sukar mengerti? Kenapa lelaki itu begitu degil? Diya penat. Diya letih.
Dan saat ini Zahil berada di luar pintu pagar kediamannya. Sungguh Diya tidak keruan. Zahil telah membuat onar dalam jiwa Adelia Dayana. Beberapa kali Diya mengintai dari celah langsir yang menutup jendela. Diya nampak dengan jelas seorang lelaki bersandar pada badan sebuah Sonata Hyundai berwarna putih. Dan siapa lagi kalau bukan Zahil Hariz.
Diya geram. “Lelaki ni tak habis-habis nak buat hal,” gumam Diya. Jendela dihampiri sekali lagi dan sedikit kain tirai diselak. Mata Diya terus mengintai Zahil.
“Diya! Saya ikhlas nak melamar awak!” Diya gigit bibir mendengar laungan Zahil itu. Berbahang hati hingga tona merah mewarnai pipi. Nur yang turut mengintai dari tirai sebelah tertahan-tahan ketawanya. Lagi la Diya rasa bengang terhadap Zahil. Memalukan!
Setelah pekikkan itu, Zahil membuka bonet kereta dan sejumlah belon bergas helium terbang keluar. Belon-belon merah hati tertulis ‘I LOVE YOU’ dan ‘PLEASE MARRY ME’ itu tergantung di udara dan meriah diikat bersama kuntuman mawar yang memenuhi bonet kereta.
Mulut Diya dan Nur melopong dibuatnya. Terbeliak mata melihat bonet kereta Zahil itu mewah dengan merahnya bunga-bunga mawar ditambah pula dengan puluhan belon-belon yang melambai-lambai diudara. Gila romantik! Entah berapa ratus dihabiskan untuk kerja gila ini.
Nur sudah mencuti-cuit Diya sambil tersengeh-sengeh. Meluat Diya melihat teletah Nur itu. Minah ni pula yang naik miang apa pasal?
Zahil kembali berdiri tercegat memandang arah rumah teres disewa Diya dan Nur. Lelaki itu menjerit lagi. “Diya! Tolong beri saya jawapan selepas dengar isi hati saya ni!”
“Ehem! Ehem! Bismillah…” Zahil tarik nafas dalam dan dilepaskan. Dia sudah bersedia untuk langkah yang kedua.
“Apa yang harus aku lakukan
Untuk membuat kau mencintaiku         
Segala upaya telah ku lakukan untukmu
Apa yang harus aku temukan
Untuk membuat kau menyayangiku
Inilah aku yang memilih kau untukku…” Zahil telan air liur. Dia berdehem sebelum bersedia untuk menyanyikan bait-bait korus. Zahil merenung arah jendela yang sedikit terselak tirainya. Zahil mengandaikan Diya sedang mengintai dari balik jendela itu.
Zahil pejamkan mata seketika umpama mengumpulkan seluruh keikhlasan untuk meneruskan nyanyiannya. Sebaik saja membuka kelopak mata, Zahil tajamkan renungan mata ke arah jendela yang terselak kain langsirnya. Lelaki itu seolah-olah merenung tepat ke dalam anak mata Diya. Menyampaikan isi hatinya terus ke dalam hati wanita itu.
“Karna aku mencintaimu
Dan hatiku hanya untukmu
Tak akan menyerah
Dan takkan berhenti mencintaimu
Ku berjuang dalam hidupku
Untuk selalu memilikimu
Seumur hidupku, setulus hatiku
Hanya untukmu
Seumur hidupku, setulus hatiku
Ooohhhh…” Zahil menghela nafas tenang setelah menamatkan nyanyian penuh perasaannya.
Gitar di dalam tangan diturun ke bawah. Begitu berharap agar Diya memberi sebarang reaksi untuk persembahan hati yang dilakukan dilewat malam ini. Beberapa minit menunggu, lelaki itu masih hampa.
“Adelia Dayana!” Zahil melaung nama penuh Diya. Masih tiada sebarang reaksi. Zahil gigit bibir. Buntu.
“Diya, pergi la jawab ‘ya’!” desak Nur. Kesian betul dekat mamat tu. Punya la semangat buat lamaran gila punya romantik. Tapi si Diya ni boleh lagi membeku jadi patung Liberty dekat sini. Aku tak faham betul perempuan beku macam Diya ni. Hati Nur mula mengomel. Geram pula apabila Diya langsung tak berganjak.
“Hei Diya! Pergi la cakap sesuatu pada Zahil tu. Takkan kau nak terus jadi patung Liberty Enlightening the World dekat sini. Kesian la Zahil tu. Kau ingat senang ke lelaki nak buat luahan hati macam tu?”
Berkerut-kerut kening Diya membalas bicara Nur padanya. Langsung tidak diendahkan kata-kata Nur itu. Diya mencebik sebelum kembali mengintai Zahil yang belum berputus asa.
Zahil kembali mengangkat gitarnya dan gigit bibir memikirkan lagu seterusnya yang sesuai untuk dinyanyikan. Sesaat kemudian jemar Zahil memetik-metik tali gitar sebelum bibir dibuka menyanyikan sebuah lagu lagi.
“Ku dikejar bayang-bayang resah
Bila hatimu masih tak berubah
Enggan dipunya dan dipenjara
Belaian cintaku ini.
Tiada lafaz yang lebih agung
Kalimah cintamu
Yang ku tunggu-tunggu
Biar… biar…” nyanyian Zahil terbantut di situ. Alamak! Ni kes lupa lirik la ni. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Setelah agak lama memerah otak kembali mengingati lirik yang hilang dari memori, Zahil memilih untuk menyanyikan lagu lain pula.
Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu
Karena langkah merapuh tanpa dirimu
Oh karena hati telah letih
Aku ingin menjadi sesuatu yangg selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahawa ku selalu memujamu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati
Oh bayangmu seakan-akan… Adoi!”
Kali ni bukan Zahil tak ingat lirik tapi sebab ada objek sesat yang dilempar padanya. Mujur kena bahu, kalau kena kepala memang nyenyak tidur berbenjol malam ni kena lempar dengan bola softball. Bola softball itu pun disponsor anak jiran sebelah yang entah sengaja atau tak menyesatkan bola tu masuk ke rumah Diya dengan memecahkan tingkap minggu lepas.
“Awak dah gila ke buat bising di tengah-tengah malam dekat depan rumah orang?” marah Diya sambil bercekak pinggang di halaman rumahnya.
“Diya…” Zahil gugup pula setelah melihat Diya tercegat di hadapannya. Namun Diya yang bertudung putih dan berjaket dan berseluar tidur bercorak bear kelihatan tenang dan tegas.  Mereka hanya dipisahkan oleh pagar besi hitam yang berkunci.
“Saya tak tahu nak cakap apa lagi dengan awak ni. Lain kali tak payah nak membazir macam ni. Awak buat saya semakin meluat tahu?”
Kata-kata Diya membuatkan Zahil kecewa. Niatnya untuk menunjukkan keikhlasan dengan melabur sedikit duit. Sikit ke? Barangkali sedikit membazir. Zahil garu-garu kepala yang tidak gatal. Gitar dalam tangan dipegang kejap apabila hati resah.
“Tak boleh ke awak bagi saya satu peluang?” soal Zahil seakan merayu.
“Awak dah tahu siapa saya, Zahil. Luar sana ada ramai perempuan-perempuan yang jauh lebih layak untuk jadi isteri awak. Bukan saya Zahil. Saya perempuan kotor.”
Zahil geleng kepala kemudian mengeluh lemah.
“Kalau saya dah pilih awak, peduli apa layak ke tak. Kenapa awak perlu sesakkan otak untuk fikir tu semua?” selamba Zahil menjawab. Asyik-asyik Diya akan ulang ayat yang sama saja untuk menolak hajat murni Zahil. Sehingga Zahil naik bosan dengan alasan itu.
Berubah air muka Diya apabila Zahil berkata sebegitu. Untuk pertama kali Zahil menjawab bernada begitu.
“Suka hati awak la,” suara Diya seraya berpaling untuk masuk ke dalam rumah.
“Diya! Awak belum jawab soalan untuk pertanyaan hati saya,” ujar Zahil sedikit bernada menjerit.
Langkah kaki Diya yang setapak lagi melewati bendul pintu terhenti. Diya berpaling kembali memandang Zahil
“Suka hati awak!” jerit Diya.
Zahil terpinga-pinga. Apa maksud Diya? Diya sudah lenyap di balik daun pintu yang telah tertutup rapat dan berkunci. Zahil terus tercegat memandang muka pintu seolah-olah Diya masih berdiri di situ. Tiba-tiba daun pintu kembali terbuka. Terangkat kening Zahil apabila Nur muncul di situ.
Good job!” jerit Nur sambil menunjukkan isyarat thumb up pada Zahil.
Zahil tercengang untuk beberapa ketika. Agak lambat untuk dia memahami maksud yang disampaikan Nur. Apabila otak Zahil berjaya menangkap mesej disampaikan padanya, lelaki itu ketawa sambil geleng kepala. Sungguh Zahil tidak menduga maksud ‘suka hati awak’ itu bermakna Diya menerima lamarannya. Ini bermakna Diya tidak akan menolak andainya Zahil memanjangkan hasratnya pada ibu dan ayah Diya di kampung.
“Lembab la kau ni, Zahil.” Zahil ketawa kecil.
Sungguh, Zahil tidak dapat mengawal riak wajahnya daripada terus menguntum senyum. Meleret saja bibir lelaki itu mengukir senyuman manis sepanjang memandu pulang ke rumah. Zahil puas hati. Bahagianya tak terungkap walau untuk digubah menjadi madah indah. Seakan tiada ungkapan yang dapat menggambarkan bahagia itu. Dalam hati ada taman? Tidak! Zahil rasa seolah-olah ada syurga.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.