ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Tuesday, February 11, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 22



BAB 22
Puan Zahra adalah insan yang paling gembira apabila Diya menerima lamaran daripada pihak Zahil. Khabar gembira itu tidak tertahan-tahan lagi untuk dikongsi bersama-sama suaminya. Dengan ganggang telefon masih ditekap di telinga, Puan Zahra hampir terjerit memberitahu suaminya yang menanti di sebelah juga dengan penuh debar.
“Tapi… ada syaratnya,” suara Diya kedengaran tegas dari corong telefon.
Berubah air muka Puan Zahra. Senyuman yang melebar menjadi tawar serta merta.
“Sya… syarat apa? Adik, jangan buat hal yang bukan-bukan. Apa yang bersyarat-syarat ni?” tidak senang hati Puan Zahra mendengar bicara Diya itu. Encik Azhar turut terpinga-pinga dengan perubahan intonsi dan air muka isterinya.
“Adik hanya akan terima lamaran Zahil sekiranya dia sanggup terima syarat-syarat yang adik berikan,” putus Diya.
Puan Zahra tidak puas hati. Geram apabila anak gadisnya buat perangai. Syarat apa lagi yang hendak diletakkan Diya? Jangan dibuatnya letak syarat yang bukan-bukan.
“Apa lagi ni Adelia Dayana? Kalau terima, beri saja jawapan setuju. Kenapa nak ada syarat-syarat semua ni? Adik jangan nak buat ibu dan ayah malu. Jangan nak jual maruah keluarga kita,” marah Puan Zahra. Encik Azhar di sebelah menunjukkan isyarat agar bertenang dipandang Puan Zahra penuh resah.
“Biar adik beritahu Zahil syarat-syaratnya. Kalau Zahil sanggup terima syarat adik, bermakna ada jodoh antara kami,” sambung Diya seperti memekakkan telinga dengan teguran ibunya.
“Adelia Dayana…” Puan Zahra masih tidak setuju dengan tindakan anaknya.
“Ok ye ibu. Nanti adik telefon ibu lagi. Assalamualaikum.” Tergesa-gesa Diya ingin menamatkan perbualan sebelum bebel ibunya lebih panjang berjela.
“Adik! Adik!” Saat itu suara Puan Zahra sudah tidak didengari Diya lagi kerana talian telah diputuskan. Puan Zahra meletak ganggang telefon sambil memandang penuh keresahan ke arah suaminya.


“Awak dah buat keputusan?” soal Zahil sebaik saja mereka duduk di kerusi yang tersedia di tepi Tasik Taman Titiwangsa itu. Suasana petang yang damai memberi ketenangan hati dan menyejukkan pandangan mata.
“Keputusan saya terletak pada keputusan awak setelah awak dengar syarat-syarat saya ni. Kalau awak terima syarat-syarat saya, bermakna saya juga terima lamaran awak,” Zahil yang membuang pandang pada permukaan air tasik beralih menjamah wajah serius Diya yang duduk berjarak dengannya.
“Macam tu pun ada juga ke? Ok la, apa syarat-syarat awak tu?” takut juga Zahil jika Diya letakkan syarat yang bukan-bukan. Mana la tahu Diya ni meroyan macam Puteri Gunung Ledang yang beri syarat pelik-pelik pada Sultan Mahmud. Alamatnya terpaksa la Zahil pergi bertapa dekat mana-mana gunung untuk jadi sehebat Laksamana Hang Tuah untuk memikat hati sang puteri.
Bibir Diya lancar menyebut segala syarat-syarat yang telah sedia disenaraikan sejak semalam. Tidak tertinggal walau satu. Cukup semuanya.
“Macam mana?” Diya menantikan kata persetujuan daripada Zahil. Namun lelaki itu tidak terus menjawab.
Zahil menghela nafas yang terasa cukup berat. Sejak tadi Zahil hanya merenung tajam pada Diya. “Diya, boleh saya tahu sesuatu? Pada awak, perkahwinan tu apa maknanya?”
Agak kaget Diya mendengar soalan Zahil itu. “Kenapa awak tanya saya soalan tu?”
“Diya… sejujur dan seikhlasnya dari hati, beritahu saya. Apa tujuan awak berkahwinan dengan saya?” Zahil terus menujah Diya dengan soalan.
“Tu… tujuan?” Diya masih terpinga-pinga.
“Ye, tujuan awak terima lamaran saya sekiranya saya terima syarat-syarat awak tu. Perkahwinan itu untuk mendirikan masjid yang bakal membina mahligai di taman-taman syurga atau kelak mencampak kita ke dalam lubang neraka?” Terpana Diya dibuatnya. Gadis itu tertelan air liur dan tekak terasa pahit.
“Apa… apa awak cakap ni Zahil? Sa… saya tak… tak faham,” cepat sekali Diya jadi gelabah. Bicara Zahil itu mendebarkan hatinya.
“Awak tak nak terima lamaran saya, tak mengapa Diya. Awak seharusnya jujur daripada menggali lubang neraka dalam pernikahan itu kelak. Perkahwinan adalah jalan halal dalam mencari cinta, Diya. Jangan jadikan ia jalan pintas terjun ke lembah neraka,” ucap Zahil dengan tenang.
Straight to the point! Jangan nak berkias lagi Zahil. Apa salah dalam syarat-syarat saya tu?” cepat sekali hati yang selalu salah menafsir keikhlasan Zahil itu membentak.
“Salahnya sebab awak cuba mempermainkan sebuah nilai ijab dan qabul! Di mana letaknya hormat awak pada saya sekiranya saya menjadi suami awak kelak? Awak boleh beri saya jawapan? Tak bolehkan? Sebab awak tak ikhlas untuk terima saya sebagai suami!” ujar  Zahil tegas namun tenang.
Telinga Diya bagai dijentik dek madah Zahil itu. Diya akhirnya tertunduk dengan helaan nafas yang lemah.
“Saya cuma tak nak kecewakan ibu dan ayah saya. Mereka sangat berharap agar saya terima lamaran awak. Sedangkan awak tahu Zahil, saya tak boleh! Saya tak dapat untuk mempercayai cinta seorang lelaki setelah apa yang pernah saya alami,” akhirnya Diya meluahkan kejujuran rasa hatinya.
“Awak lelaki Zahil. Awak tak rasa seksa yang saya rasa. Awak tak akan faham, azab yang saya tempuh. Saya bencikan lelaki-lelaki yang hanya menjadikan wanita sebagai alat pemuas nafsu mereka. Saya bencikan lelaki yang memandang kecantikan yang kemudiannya mereka ragut dan campak setelah diratah segala yang indah,” bicara Diya penuh emosi.
Mata Diya sudah mula berkaca namun ditahan jua dari mutiara itu gugur di hadapan Zahil. Tidak! Diya tidak akan menangis di depan Zahil. Dia tidak boleh nampak lemah di depan lelaki itu. Walau saat ini hatinya kembali bergelora dek terimbau semula peristiwa hitam yang tidak sampai setahun ditinggalkan pergi.
Hati Zahil terusik oleh luahan Diya itu. Terbayang raut wajah Zakuan membuatkan Zahil dipagut kesal berbaur rasa bersalah. Betapa Zakuan umpama kerbau yang membawa lumpur seterusnya memalit lumpur itu pada semua golongan bergelar lelaki. Bagaimanakah untuk Zahil bersihkan lumpur yang dipalit Zakuan itu agar tanggapan Diya yang prejudis terhadap lelaki dapat dikikis?
“Adelia Dayana, saya melamar awak untuk menjadi seorang isteri. Saya melamar awak untuk menjadi rusuk kanan yang saya letakkan kehormatan saya sebagai seorang suami. Saya memilih awak untuk saya lindungi sebagai tanggungjawab seorang suami bukan sebagai pelampias nafsu semata-mata,” Zahil cuba memperbetulkan salah faham Diya terhadap hasratnya.
“Saya boleh bertoleransi seandainya awak mencuba untuk menerima saya tetapi tidak jika awak memilih untuk mengelak saya! Adelia Dayana, saya hanya akan menikahi awak seandainya awak terima saya sebagai imam. Juga setelah awak sudi menjadi makmum untuk dibimbing menuju cinta Ilahi. Dan itu syarat saya!” tegas kata Zahil itu bagai mengetuk hati Diya. Mengejutkan gadis itu dari tidur yang sekian lama.
Menamatkan bicara penuh ketegasan itu, Zahil terus melangkah pergi. Diya ditinggalkan sendirian untuk terus menelan ayat-ayat terakhirnya itu.


“Ya Allah, Diya… Diya… Bila masa pula kau tulis syarat-syarat ni semua?” terkejut Nur tatkala mendengar cerita Diya yang masih dengan riak wajah tak bersalah. Kertas di tangan Nur yang tertulis syarat-syarat gila Diya itu direnyuk Nur sebelum dicampak atas meja kopi di tengah ruang tamu.
“Salah ke aku cuba untuk membela kebajikan aku? Aku buat semua ni untuk memastikan Zahil tak ambil kesempatan terhadap aku setelah berkahwin nanti. Aku tak nak terima nasib habis madu sepah dibuang. Itu saja,” Diya masih ingin membela diri.
“Banyak la kau punya kebajikan. Tak nak habis madu sepah dibuang konon. Betul la kata Zahil tu, kau ni bukan nak bina masjid tapi nak gali lubang neraka!” balas Nur dengan wajah merah menahan sabar dek perangai Diya itu.
Nur tidak dapat terus berdiam diri. Diya harus disedarkan agar berpijak di bumi nyata. Diya harus dibagunkan dari belenggu pemikiran yang sentiasa wasangka terhadap lelaki.
“Cuba la kau fikir dengan akal waras kau tu Diya. Kalau kau jadi lelaki, dapat ke kau terima syarat-syarat tu?”
“Apa salahnya dengan syarat-syarat tu? Aku cuma minta supaya kenduri kahwin dibuat secara kecil-kecilan. Hanya jemput kaum keluarga dan sahabat terdekat. Buat apa nak heboh satu kampung? Membazir je buat majlis gilang-gemilang kalau akhir nanti cerai-berai juga. Apa salahnya? Salah sebab aku tak nak mewah dengan hantaran-hantaran? Yang penting dalam akad nikah cuma mahar saja kan? Tak penting pun hantaran tu semua,” Diya menegakkan kata.
Nur merengus geram. Diambil kembali kertas yang direnyuk tadi lalu dibuka semula dan dibentang di depan Diya.
“Kau ni saja buat-buat bodoh je kan. Aku bukan cakap pasal syarat nombor satu dengan nombor dua tu. Ni hah! Syarat merepek bin merapu yang tak masuk akal dan keluar dari logik!” jari telunjuk Nur menyucuk-nyucuk di tengah muka kertas.
Diya telan air liur. “Errr…  apa... apa yang tak logiknya?” masih lagi Diya berpura-pura tidak faham.
“Logik apa kalau dah kahwin tapi tak duduk serumah? Dah tu, tiada hubungan intim sepanjang tempoh perkahwinan!” tembak Nur memang tak kasi can pada Diya untuk berdolak-dalih lagi. Ikut rasa hati, mahu saja si Nur ini heret Diya pergi nikah dengan Zahil sekarang juga. Susah sangat! Degil!.
“Salah ke? Kenapa? Tak boleh?” dengan riak muka tak bersalah, Diya menyoal soalan itu pada Nur sehingga temannya itu menepuk dahi. Ya Allah, waras tak lagi si Diya ni? Getus hati Nur sambil tersandar pada sofa.
“Kau ni tak waras ke dah gila ke apa ni?” memang geram Nur tidak tertahan lagi. 
“Kalau Zahil tu bukan lelaki yang kahwin hanya kerana nafsu semata-mata, dia mesti dapat terima tu semua!” Diya masih menegakkan logik yang tertanam dalam fikirannya.
Nur gigit bibir. “Cik Adelia Dayana binti Azhar, yang melamar awak tu manusia keturunan Nabi Adam. Bukan malaikat, tahu? Manusia semua ada nafsu dan kalau Zahil tu tak bernafsu, maknanya mamat tu pun gelong dua kali lima macam kau juga!” bidas Nur.
Please la Diya, kau pun tahu syarat-syarat tu semua tak logik. Macam mana Zahil nak terima kalau dari awal lagi kau dah bina Tembok Besar China antara kau dengan dia. Apa makna perkahwinan tu kelak? Kau seolah-olah menghina martabat Zahil sebagai seorang lelaki. Cara kau macam menuduh Zahil seorang manusia bernafsu serakah,” terang Nur lagi. Kali ini lebih tenang dan mendatar nadanya. Tidak mahu emosi mengawal situasi. Nur sedar dia harus berhikmah dalam menyedarkan Diya yang masih dibayangi masa silamnya.
Akhirnya Diya tertunduk lemah. “Aku… aku takut Nur. Kepercayaan aku terhadap lelaki dah lama musnah.”
“Itu la masalah kau. Kau ni macam orang yang buta dalam terang, tahu? Kau dah tak nampak lagi kejujuran Zahil sebab kau pejamkan mata kau tu rapat-rapat. Sedar la Diya, yang indah tu tak selalu datang dan yang buruk tu tak selama-lamanya akan terus buruk.” Nur sudah berganjak duduk di sebelah Diya dan mengusap lembut bahu temannya.
Diya terdiam lama. Sesungguhnya Diya sudah lama hilang keyakinan untuk membina sebuah institusi kekeluargaan. Dia bagaikan trauma untuk mendekati insan bernama lelaki. Akibatnya, Diya takut pada sebuah perkahwinan. Bagaimana andainya perkahwinan itu kelak bukan menjadi syurga sebaliknya umpama neraka?
Apa akan terjadi pada dia sekiranya Zahil adalah satu kesilapan? Bagaimana jika Zahil tidak sebaik yang disangka selama ini? Apa bakal terjadi jika kelak Zahil menzalimi dirinya? Oh! Diya sungguh sangat takut. Takut untuk terluka dan kecewa.
“Macam mana kalau Zahil berubah selepas berkahwin nanti? Mana la tahu kalau lepas kami berkahwin dia jadi suami yang tak bertanggungjawab!” Diya meluahkan wasangka dalam dirinya.
“Ya Allah, kenapa kau bersangka buruk sampai macam tu? Begini la Diya. Kita manusia memang tak tahu macam mana masa depan kita kelak. Sebab itu, kita perlu berdoa yang baik-baik untuk hari-hari esok. Kau berdoa la Diya. Berdoa agar Zahil adalah suami yang baik untuk kau,” nasihat Nur.
“Aku takut Nur.”
Nur sentuh lembut jemari Diya dan digenggam erat. “Kau pinjam kepercayaan aku. Aku percaya Zahil adalah lelaki yang baik. Aku yakin. Kau juga harus yakin.”
“Aku takut Nur,” ternyata bukan mudah memberi keyakinan dalam hati yang sudah lama tidak mengenal rupa keyakinan dan kepercayaan.
“Aku ada Diya. Aku akan selalu ada untuk doakan kebahagiaan kau. Yakin la pada restu ibu dan ayah kau. Doa pada Allah semoga Zahil adalah insan terbaik yang dikurniakan Dia untuk kau,” nasihat akhir Nur itu bagai air perigi yang menyirami hati Diya. Memberi secebis keyakinan padanya.


Puan Zahra seakan mahu meloncat tinggi apabila Diya memberi kata persetujuan. Apabila ditanya tentang syarat-syaratnya pada Zahil, Diya menjawab ringkas bahawa dirinya menerima Zahil seadanya Zahil menerima dirinya. Walaupun ada sedikit hipokrit dalam hati ketika berbicara begitu, Diya terpaksa juga memberi jawapan itu agar ibunya tidak kerisauan.
Wakil kedua-dua pihak sudah berbincang dan sedikit mengejutkan Diya apabila tarikh pernikahan mereka ditetapkan pada hujung bulan hadapan. Bukan hujung tahun depan tapi hujung bulan ye. Memang Diya jadi cacing kepanasan la dengar berita itu.
Tidak sempat Diya menyampaikan niat hati untuk membantah tarikh yang terlalu cepat dirasakan itu, Encik Azhar terlebih dahulu memangkah. Katanya, perkara elok tak usah ditangguh-tangguh. Buat apa bercinta lama-lama? Dan Diya gigit bibir dengan hati menggumam. Tahun bila pula dia bercinta dengan si Zahil Hariz tu?
Encik Azhar dan Puan Zahra beri kata putus. Nak tak nak, hujung bulan depan Diya bakal menjadi menjadi isteri Zahil Hariz. Resah sungguh pasangan suami isteri itu dengan sikap Diya yang tidak hilang degilnya.
Menghampiri hari akad nikah, Diya semakin resah nan gelisah umpama bakal berangkat ke medan perang saja lagaknya. Diya tidak dapat menolak rasa was-was yang terus bergelut dengan keyakinan atas keputusan dibuatnya. Ah! Was-was itu dari syaitan yang sering meniup keraguan dalam hati manusia. Atau perasaan was-was itu kerana dirinya yang terlalu berwaspada? Diya terus kebingungan. Jiwanya kacau. Terasa jauh dari sakinah. Sungguh, Diya rindukan ketenangan.
Lantas setiap malam Diya menunaikan solat istikharah mohon petunjuk tentang jodohnya. Dipohon agar dirinya memperoleh ketenangan hati andai Zahil Hariz adalah jodoh terbaik untuknya. Solat hajat juga tidak tertinggal.


Petang itu Diya dan Zahil keluar bersama-sama untuk membeli cincin. Itu pun setelah penat Zahil memujuk dan puas mendengar bebelan Puan Zahra melalui corong telefon. Ikutkan perangai Diya, alamatnya majlis akad nikah mereka hanya akan ada upacara ijab dan qabul saja. Tak ubah macam orang kahwin bidan terjun!
Ketika di kedai barang kemas, Diya terus jadi patung. Macam orang kena kahwin paksa betul mukanya. Angguk geleng, angguk geleng saja apabila ditanya pendapatnya berkaitan cincin yang bakal disarung ke jari manisnya. Namun Zahil masih tetap tenang. Lelaki itu cukup tinggi sabarnya.
Akhirnya cincin telah dipilih. Seperti yang Diya pinta, cincin itulah harga mahar pernikahan mereka kelak. Zahil terima saja tanpa membantah. Selagi Diya tak letak syarat yang gila-gila seperti sebelumnya, Zahil masih boleh beralah.
Keluar dari kedai Habib Jewel, Diya melangkah mendahului langkah Zahil. Seakan tidak sudi untuk jalan beriringan dengan lelaki itu. Zahil geleng kepala dengan senyuman di bibir. Itulah Diya sejak dulu. Zahil masak dengan teletah Diya itu.
“Zahil!” sapa satu suara dari arah belakang.
Zahil berpaling. Diya yang terdengar akan sapaan itu turut terhenti langkahnya dan berpaling ke arah belakang. Di hadapan mata mereka kini adalah seorang gadis seksi dengan lagak ala-ala model kaki panjang.
Oh my God! You Zahil. Betul la I tak salah orang,” teruja sekali wanita itu apabila sapaannya mendapat tindak balas daripada Zahil.
Diya kerling riak wajah Zahil. Tenang saja lelaki itu dengan senyuman walaupun pada awalnya Zahil seakan terperanjat. Wanita itu sudah mendekati Zahil yang juga telah dihampiri Diya. Diya di sisi Zahil dipandang wanita itu dengan senyuman.
“Perempuan ni siapa? Adik you ek?”
Soalan itu membuatkan Diya tertunduk menahan ketawa. Adik? Mereka ada rupa macam adik-beradik ke? Waktu ini Diya rasa macam nak gelak berguling saja. Dirinya ada gaya macam adik Zahil ke? Huh! Minah ni mesti nak buat soalan untuk sedapkan hati sendiri la tu.
“Perkenalkan, ini Adelia Dayana. Future wife I. Kami bakal nikah hujung bulan depan,” Zahil memberikan jawapan tanpa berselindung.
Future wife? Aaa… tah… tahniah…” terus berubah air muka wanita itu apabila Zahil perkenalkan Diya sebagai bakal isteri dan bukan adik seperti yang diduga wanita itu.
Hem… sudah gagap. Diya dah agak dah perempuan ni memang ada hati pada Zahil. Tengok muka terkejut beruk minah ni sungguh menyedihkan. Diya pun tak tahu apa kurangnya model kaki panjang ini sehingga si Zahil langsung tak tergoda dan lebih memilih dirinya. Adakah kerana Zahil bukan lelaki mata keranjang?
Diya direnung wanita itu dari hujung kaki hingga hujung kepala. Tajam betul renung itu macam x-ray tembus sampai ke dalam. Renungan itu cukup meresahkan Diya. Wajah wanita itu juga sudah berbahang pipinya dengan tona merah. Marah atau malu tidak Diya tahu.
“Ok la. I ada banyak urusan lain. Kita berbual lain kali ye,” Zahil memilih untuk menamatkan perbualan antara mereka.
Wait! You tak nak kenalkan I pada future wife you?” jerit wanita itu apabila Zahil dan Diya sudah berura-ura untuk melangkah pergi.
Zahil teragak-agak untuk memperkenalkan wanita itu pada Diya. Apabila Diya sendiri menunggu, Zahil bersuara juga. “Errr… Diya, ni…”
 “Errr I Nadya, ‘ex-teman tapi mesra’ Zahil Hariz,” laju pula wanita itu memintas kata-kata Zahil. Penuh gaya menggoda, wanita itu merenung Zahil yang berubah air muka tatkala Nadya menekankan perkataan ‘ex-teman tapi mesra’.
Sempat Diya jeling Zahil malah Diya juga saat itu terasa tawar hati. Otaknya tepu dengan persoalan berkaitan wanita yang muncul mengejut ini. Siapakah Nadya ini pada Zahil?
“Jangan ambil hati ye Diya, Nadya ni memang pandai bergurau,” Zahil berseloroh menutup resah yang bertandang.
Nadya senyum sinis mendengar bicara Zahil itu. “Oh! I memang suka bergurau.” Wanita itu ketawa. Ternyata ketawa yang penuh kepura-puraan. “Tapi tak la sepandai Zahil bergurau. Nak berkahwin dengan perempuan bertudung dan tutup semua. Wow, funny!
Air muka Diya semakin keruh dengan teletah Nadya itu. Diya pandang Zahil dan pandangan mata mereka bertaut. Diya dapat membaca keresahan yang terpancar dari mata Zahil.
“Nasib baik you ni tak pakai tudung labuh ataupun pakai apa tu, errr… purdah tutup muka?” Nadya ketawa mengejek.
Kali ini Nadya kelihatan lebih agresif lagi apabila Zahil tenang saja. “So funny! Zahil Hariz, alcoholic Malaysia berkahwin dengan perempuan bertudung. Betul la orang kata, lelaki kalau jahat macam setan pun, bila nak kahwin mesti pilih perempuan yang baik. Contoh terhebat depan mata, you!” ujar Nadya sambil menunding jari tepat ke dada Zahil.
“Manusia boleh berubah Nadya. You pun boleh berubah kalau you nak. Allah Maha Pengampun dan pintu taubat belum tertutup selagi nyawa belum sampai ke halkum,” sambut Zahil mengubah riak wajah Nadya yang tadinya cukup riak menutur kata.
You betul-betul buat lawak antarabangsa la Zahil. Dah pandai bagi khutbah jumaat dah sekarang. Errr… takkan la lepas Hairil mati, you pun terus takut mati sampai berubah nak jadi ustaz,” sindir Nadya.
“Terpulang la Nadya. I perlu pergi. Assalamualaikum.” Zahil tidak mahu terus melayan teletah Nadya yang tidak berubah sejak dulu. Lebih penting, Zahil tidak mahu Diya terus sakit hati dengan sikap wanita itu.
Nadya gigit bibir. Niat hatinya hendak menyakitkan hati Zahil dan Diya. Namun dia yang makan hati apabila Zahil seperti lima tahun dulu, berhati kering! Langkah pasangan bakal suami isteri itu dipandang Nadya dengan rasa iri hati. Lalu wanita itu mencapai telefon bimbit dalam tas tangannya dan menghubungi orang suruhannya. Otak wanita itu laju saja mengatur idea-idea jahat yang dibisik syaitan.
Hello, Rusli. I ada job untuk you. Tunggu I dekat tempat biasa.”


“Siapa Nadya tu?” terluah juga persoalan itu setelah mereka berdua masuk ke dalam kereta.
“Awak tak perlu cemburu Diya. Nadya tu bukan ex-teman tapi mesra atau ex-girlfriend saya,” jawab Zahil tenang.
What? Cem… cemburu? Saya nak cemburu? Saya rasa ada salah faham di sini. Saya tak cemburu dan tak akan pernah cemburu!” cepat saja Diya melatah. Kalut Diya dibuatnya.
“Ye ke? Saya gembira mendengarnya,” tersenyum-senyum Zahil melihatkan teletah Diya itu. Boleh percaya ke tak cemburu?
“Tapi saya curious tentang satu perkara,” suara Diya.
What?” terjungkit kening Zahil.
“Apa maksud awak ni… errr... alcoholic Malaysia? Tak… tak… kan…” serba salah Diya ingin meneruskan kata namun hati begitu inginkan jawapan.
Alcoholic Malaysia?” Zahil senyum sinis. Secara mengejut, kereta yang dipandu Zahil membelok ke bahu jalan lalu berhenti di hadapan pondok menunggu bas.
Zahil matikan enjin kereta dan melangkah keluar menuju bawah pondok bas. Lelaki itu duduk di situ menanti Diya yang masih di dalam kereta untuk datang menghampiri.
“Kenapa duduk sini?” soal Diya yang tercegat di hadapan Zahil. Otaknya penuh dengan satu demi satu tanda tanya yang belum terjawab.
“Nadya… sebahagian daripada masa silam yang pahit. Kepahitan yang tak akan hilang dari sejarah hidup. Hanya mampu ditinggal jauh,” suara Zahil sayu.
Diya duduk di kerusi di sebelah Zahil. Agak lama Zahil terdiam dengan pandangan dilemparkan pada jalan yang tidak lengang dengan kenderaan silih berganti. Sebaik saja Zahil membuka cerita, Diya mendengar dengan teliti setiap butir cerita yang keluar dari bibir lelaki itu.


 “Zahil, kamu nak ke mana tu? Kamu baru sampai petang tadi, takkan malam ni dah nak keluar,” kata-kata Mak Jah bagai kokokkan di telinga membuatkan Zahil naik rimas.
Boring la duduk rumah ni. Bukan ada apa-apa pun,” jawab Zahil bersahaja.
“Esok saja kamu keluar. Dah lewat ni. Mak Jah risau keselamatan kamu. Nak ke mana lewat malam begini? Insaf la Zahil,” tidak kering Mak Jah memberi nasihat. Kebimbangan tergambar pada raut yang sudah berusia.
“Mak Jah jangan risau. Zahil muda lagi, kuat bertenaga. Mak Jah risaukan diri Mak Jah je sebab Mak Jah dah tua. Bila-bila masa je malaikat maut datang jumpa Mak Jah,” tempelak Zahil dengan wajah sinis.
Terkedu Mak Jah dek tempelak Zahil itu. “Astaghfirullahalazim, mati tu tak kira usia Zahil. Tua ke muda ke semua boleh mati. Ingat Allah banyak-banyak Zahil. Kamu dah jauh menyimpang dari landasan agama.”
Zahil jadi bengang. Dia paling tidak sabar apabila sesiapa saja mula membuka ceramah agama padanya. Cepas sekali syaitan mengipas bara kemarahan.
“Ni sebabnya Zahil nak keluar dari rumah ni. Mulut Mak Jah ni dah macam imam baca khutbah jumaat! Malas nak dengar!” tempik Zahil. Tidak lagi peduli status wanita itu sebagai orang tua yang harus dihormati.
“Istighfar Zahil…” terketar-ketar suara Mak Jah dek jatung yang terasa bergoncang ditempik Zahil.
Whatever la Mak Jah!” Zahil merengus kasar. Lelaki itu terus melangkah menghampiri kereta BMW miliknya.
“Zahil! Kau nak ke mana lagi tu?” tegur Kamelia yang baru muncul di sisi Mak Jah.
Zahil tidak jadi untuk masuk ke dalam kereta. Dia berpaling semula bertentang mata dengan dua wanita yang cukup ambil berat tentang dirinya. Tetapi dia tidak peduli. Kerana dia tidak meminta untuk dipeduikan!
“Wow! Seorang lagi ustazah nak bagi ceramah. Kamelia, kau simpan dulu ceramah kau tu untuk subuh esok. Sebab telinga aku dah full dengar ceramah isyak. Ok? Bye-bye,” sinis kata-kata Zahil itu membuatkan Kamelia ketap bibir.
“Kau dengar sini, Zahil!”
Langkah kaki Zahil terhenti. Tanpa berpaling, dia menadah telinga menantikan bicara Kamelia padanya.
“Kalau kau balik mabuk-mabuk, orang dalam rumah ni tak akan buka pintu. Kau tidur la dekat luar pagar tu sampai cerah. Faham?” Kamelia tegas memberi amaran.
Teringat dia pada dua hari lepas di mana Zahil pulang mabuk-mabuk sehingga tertidur dengan menongkat kepala pada pasu bunga di tepi pintu rumah. Siap dengan muntah yang tengek atas lantai depan muka pintu. Mahu mengamuk Datuk Laila apabila wanita korporat itu terpijak muntah itu kerana terkocoh-kocoh untuk ke tempat kerja sehingga tidak perasan akan kewujudan najis mutawassitah di situ.
Zahil senyum sinis memahami maksud Kamelia itu. Terus dia mendapatkan kereta BMWnya dan memboloskan diri ke dalam kereta itu. Kereta mewah itu kemudiannya hilang dalam kepekatan malam.



Di tengah-tengah lantai tari, Ben dan Zahil dikelilingi rakan-rakan clubbing mereka. Tidak kira lelaki atau perempuan, pergaulan tidak terbatas walau antara mereka bukan mahram. Di tempat begini, agama bagai ditanggalkan di luar pintu kelab kerana di sini dosa menjadi syurga. Nafsu menjadi raja. Di sini kononnya tepat menikmati syurga dunia kerana di sini adanya wanita-wanita seksi hiasan dunia. Ada juga air enak yang menghilangkan segala dahaga.
“Hari ni kita enjoy puas-puas! Pesta besar!” jerit Ben sambil mengangkat tinggi botol champagne yang apabila dibuka penutupnya, buih-buih terpancut keluar. Kelab malam jadi bingit dengan sorakan semeriah pancutan buih-buih champagne itu.
“Kau orang nak minum apa-apa pun, minum la. Aku belanja!” jerit Zahil penuh bangga sambil mengangkat tinggi gelas berisi separuh champagne yang belum diteguk.
“Wow! Malam ni alcoholic Malaysia belanja. Apa lagi? Enjoy!” sambut Ben yang kemudiannya diikuti gema sorakan rakan-rakan hiburan mereka.
Dj mula memutarkan lagu yang menjadi pembangkit kepada hiburan malam itu. Muzik rancak bagai magnet yang menarik manusia-manusia dalam kelab itu untuk melentok-lentokkan tubuh mengikut rentak temponya. Pesta bermula dan pengikut-pengikut telunjuk syaitan menari riang di atas dance floor mengikut hawa nafsu. Bergesel lelaki perempuan tiada siapa akan menghalang. Nikmat sungguh dirasa hingga tiada difikirkan bahang neraka yang kian menyala-nyala.
Zahil tidak turut menari sebaliknya duduk di bar menikmati minumannya. “Fiz, kenapa dengan Ril tu? Diam je. Ada masalah dengan awek ke?”
Don’t know. Aku tanya, dia senyum je. Malas nak ambil tahu. Malam ni aku nak enjoy je,” jawab Fizrul tanpa beralih perhatiannya pada batang tubuh munggil yang sedang melingkar pada tubuh sasanya.
Zahil tinggalkan Fizrul yang sudah tenggelam dek belaian anak ayam fresh yang baru dipancingnya. Meluat juga Zahil dengan sikap Fizrul yang pantang sekali kalau sudah jumpa perempuan. Apa pun tak boleh harap! Apa dicakap pun sudah tidak diberi perhatian oleh Fizrul kerana sibuk bercumbu mesra sambil tangan merayap disetiap lekuk tubuh seksi itu. Lagaknya umpama musafir yang kehausan di padang pasir.
“Hairil, kau ok ke?” soal Zahil sebaik saja duduk di sofa bersebelahan Hairil. Temannya itu sejak tadi seperti orang hilang nafsu. Seakan berada di dunia yang terpinggir daripada hiburan dunia itu. Hairil angguk lemah memberi jawapan bahawa dirinya baik-baik saja.
“Kau diam je dari tadi. Kau selalu yang paling ligat menari dengan awek-awek tu tapi dari tadi duduk sini tak berganjak. Tu… gelas tu dari tadi tak bersentuh pun,” Zahil terus mengorek cerita. Begitu prihatin terhadap segala hal tentang diri sahabat baiknya ini.
“Entah la. Aku tak ada mood je rasa,” jawab Hairil bernada lemah. Seorang dua pelayan kelab datang cuba memancing perhatian lelaki itu tetapi ditolak Hairil. Akhirnya wanita-wanita itu berlalu dengan muncung sedepa. Zahil semakin pelik. Jika dirinya dikenali sebagai ‘Alcoholic Malaysia’ bermula zaman belajar dulu, si Hairil ini popular dengan gelaran ‘Kasanova Malaysia’. Dan kini seorang kasanova menolak wanita! Pelik, sungguh pelik.
“Tak ada mood? Ke… kau rindu awek mat saleh ek? Apa nama awek kau tu? Baney? Janey?” Zahil cuba membuat telahan.
“Shaney…” perbetul Hairil. Shaney adalah teman wanita paling rapat dengannya dan hubungan mereka paling lama bertahan semasa belajar di UK dulu.
“Yeh! Shaney tu. Ala, relaks la bro. Awek Malaysia ni apa kurang? Kalau sebab awek kau nak bermuram durja, tak gentle la bro. Jom!” pujuk Zahil.
“Kau pergi la dulu,” Hairil menolak dengan baik. Ada perkara yang mengganggu dirinya sehingga keseronokan untuk berhibur tidak mampu dinikmati. Perasaan seperti takut yang menjentik keinsafan.
Zahil tidak mengalah. Lelaki itu berdiri dan menepuk tangan beberapa kali sambil menjerit lantang. Dan tindakannya dilihat dj kelab itu lalu muzik diperlahankan.
Ladies and gentlemen!”  Semua mata terarah pada Zahil.
“Malam ni kita ada bet game!” semua yang berada dalam kelab malam itu bersorak. Hairil renung tajam muka Zahil.
“Hairil dan aku akan bet, siapa minum paling banyak. Juara akan jadi ‘Alcoholic Malaysia’!” jerit Zahil disambut riuh sorakan rakan-rakan lain.
“Zahil… Zahil… aku…” Hairil serba salah. Ditarik tangan Zahil dan memberi isyarat meminta lelaki itu menarik kembali kata-katanya tetapi Zahil buat bodoh saja.
“Cepat bawa minuman ke sini!” arah Zahil pada pelayan kelab yang duduk di meja bar.
“Relaks la Hairil, semua tahu aku akan menang. Tapi hari ni aku slow-slow sikit. Kau tak akan kalah teruk. Yang penting fun. Ok!” ujar Zahil sambil menepuk bahu Hairil beberapa kali.
Hairil semakin resah apabila seisi kelab itu sudah bersorak-sorak memberi sokongan mereka terhadap pertaruhan yang sudah bermula. Zahil hulurkan gelas besar berisi wine kepada Hairil dan lambat-lambat gelas itu disambut Hairil. Teragak-agak Hairil menelan minuman itu pada peringkat awal namun setelah habis secawan, tegukkannya semakin laju. Tanpa sedar, berbotol-botol wine sudah diteguknya dan pertaruhan jadi semakin rancak.

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.