ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Sunday, January 5, 2014

ISTERI AKU KALIS CINTA 18



BAB 18
“Kau ok tak?” soal Maira sebaik saja terpandang Diya yang duduk bersarapan di meja dapur. Diya angguk kepala sebagai tanda keadaannya sudah baik.
“Aku ok. Thanks la kau orang take care.”
“Kawan kena la saling ambil berat. Kalau bukan kami yang take care kau, takkan nak minta orang bujang depan rumah kita tu kot,” bicara Maira berunsur gurauan itu mengundang senyum tawar di bibir Diya.
“Aku pergi kerja dulu. Kau pergi dengan Nur saja ye.” Maira mengangguk akur. Dia sememangnya akan menumpang Nur atau Diya untuk ke tempat kerjanya. Selalunya dia akan pergi bersama Nur kerana Diya selalu keluar rumah lebih awal memandangkan jarak tempat kerjanya yang lebih jauh walaupun jalan sehaluan.
Diya tidak terus memandu kereta menuju tempat kerjanya. Sebaliknya dia berhenti di sebuah farmasi berdekatan taman perumahan kediamannya. Teragak-agak dia mahu masuk ke dalam kedai farmasi tersebut walaupun sudah terpacak di depan pintu masuk farmasi itu. Diya menarik nafas panjang sebelum menapak masuk dengan dada berdebar.
Saat berada dalam kedai farmasi, hati Diya terasa cukup gementar. Benarkah apa yang aku buat ni? Haruskah aku ikut gerak hati? Andai gerak hati ini betul, kuat ke aku nak hadapi kenyataan? Diya tidak keruan. Tingkah Diya yang seakan tidak menentu itu menjadi perhatian pekerja di farmasi tersebut.
“Ye cik, nak apa?” sapa pekerja perempuan yang merapati Diya setelah agak lama memerhatikan tingkah gadis itu seperti tidak menentu.
Diya yang sedikit terperanjat tetap memaniskan wajah. Ah! Senyum pun kelihatan kelat saat ini. Diya menggaru-garu tapak tangan kirinya yang tidak gatal. Hatinya berbelah bahagi pula. Pekerja farmasi itu terus menanti dengan sabar. Tiada pelanggan lain di situ menyebabkan masa untuk melayan Diya cukup lapang.
“Errr… errrr… saya…” Diya tergagap-gagap. Apa pula nama benda tu ek? Alamak! Tiba-tiba lupa pula, tadi ingat lagi. Terasa peluh merenek di dahi.
Berkerut-kerut wajah pekerja wanita di depan Diya itu menunggu butir utama yang ingin dibicarakan padanya.
“A… alat... alat pregnant… alat… pregnant…” Diya terus tergagap-gagap dengan debar kian kencang di dada.
“Alat pregnancy test?” pekerja farmasi itu menyoal inginkan kepastian. Apa yang diinginkan pelanggannya seakan sudah dapat dibaca.
Diya ketap bibir. Lambat-lambat dia mengangguk perlahan. Terasa pipinya sudah berbahag dek malu. Benda tu la…
“Emmm… ada di sini.” Diya ikut langkah wanita itu dengan malu menempek muka. Selepas membuat bayaran, Diya segera meninggalkan kedai farmasi itu. Tidak berpaling lagi buat kali kedua. Debar di dada masih kencang.


Diya perlu singgah mengambil Maira sebelum terus memandu pulang ke rumah. Sepanjang perjalan pulang, mereka tidak banyak bersembang. Maira bertanyakan keadaan kesihatan Diya dan Diya memaklumkan dirinya sihat. Mereka berdua terus membisu dan masing-masing lebih banyak melayan perasaan sendiri.
Diya terus menuju ke tandas sebaik saja masuk ke dalam bilik tidurnya. Tanpa membuang masa, Diya terus mendapatkan alat ujian kehamilan yang disimpan dalam tas tangan selepas membelinya di farmasi pagi tadi. Diya bertindak mengikut arahan yang tertera pada bungkusan alat itu. Mata Diya terpejam rapat sebelum bersedia untuk melihat hasil ujian pada alat tersebut.  Terasa masa begitu lambat berlalu.
Dup! Dap! Dup! Dap! Degupan jantung seakan dapat didengari saat ini. Sedikit demi sedikit mata yang terpejam dibuka mengintai hasil ujian pada alat kehamilan yang berada di tangannya. Ada satu garisan merah jambu di depan matanya kini. Diya telan air liur. Detik debar terus ditempuhi menanti satu lagi garisan yang bakal muncul.
Selang beberapa minit, Diya pejam mata sekali lagi. Bergetar hatinya untuk melihat keputusan ujian kehamilan itu. Perlahan-lahan kelopak mata diangkat dan anak matanya terpaku pada garisan biru yang baru muncul. Garisan merah jambu dan biru!
Seluruh tubuh Diya menggigil. Alat ujian kehamilan jatuh ke lantai. Air mata gugur setitik demi setitik. Diya rasakan dunianya sudah kiamat!
 ‘Ya Allah!’ Hanya itu yang terlintas dalam hati. Perlahan-lahan tubuh wanita itu menggelonsor di dinding sebelum jatuh terduduk di lantai. Terasa segala semangat yang dibina selama dua bulan ini terbang melayang. Kenapa ini yang terjadi?
Kenapa? Kenapa mesti ini? Diya ingin menjerit lantang bertanyakan soalan itu. Tapi pada siapa?
Diya menapak keluar dari bilik tidur menuju dapur dengan langkah kaki yang longlai. Matanya berkaca dengan setiap langkah kaki seperti berpijak di awangan. Fikirannya kosong. Sebaik masuk ke ruang dapur, Diya mendapatkan kabinet yang menyimpan alatan dapur.
Laci kabinet itu dibuka dan perlahan-lahan tangan kanannya mencapai sebilah pisau berukuran dua puluh sentimeter. Pisau tajam itu dipegang kejap dalam genggamannya dan ditenung mata pisau itu agak lama dengan pandangan kosong.
Seminit kemudian, Diya memejamkan mata sambil menghalakan mata pisau ke arah tubuhnya. Diya tarik nafas panjang dan tangannya sudah menolak pisau dalam genggaman untuk menyucuk perut sendiri.
“Diya!” pekik Nur lantang seterusnya mengejutkan Diya.
Pisau yang lagi beberapa inci saja bakal menusuk perut sendiri sudah terlepas dari genggaman tangan dek tersentap oleh pekikan itu. Pisau jatuh ke atas lantai. Nur meluru mendapatkan Diya yang berkeadaan terpinga-pinga dengan situasi yang berlaku. Terus Nur bawa tubuh Diya dalam pelukannya. Nur usap lembut rambut dan belakang Diya yang sudah bergenang air mata.
“Ya Allah Diya, apa kau cuba buat ni?” bisik Nur dengan dada yang masih berdebar-debar. Terkejut benar tatkala dia terpandang perbuatan Diya yang cukup bahaya itu. Mujur kehadirannya tepat pada masanya. Jika tidak, tak dapat dibayangkan kemungkinan Diya akan meragut nyawanya sendiri saat itu.
Pelukan Nur sedikit longgar dan tubuh Diya melorot jatuh terduduk di lantai. Bahu gadis itu terhenjut-henjut dengan linangan air mata membasah pipi. Nur masih tertanya-tanya permasalahan yang membelenggu temannya itu tetapi dia pasti Diya sedang berdepan satu masalah yang cukup besar. Dugaan yang cukup menguji kekuatan emosi dan keimanan. Jika tidak, masakan Diya boleh hilang pertimbangan diri.
“Aku…” Diya terdiam menahan sebak di dada. Esak tangis kian rancak. “mengandung…” ayat terakhir mati di situ. Diya menekup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Tangisannya mengisi kesunyian ruang dapur.
Nur tergamam. Sekilas pandangannya dilemparkan ke arah muka pintu dapur. Dalam pandangan mata yang berkaca, Nur menangkap susuk tubuh Maira yang sudah tersandar pada dinding dengan jemari menekup mulut. Mata Maira juga turut berkaca seperti mata Nur saat ini. Butir bicara yang diungkap Diya menusuk hati dua teman serumahnya itu.
“Beratnya ujian buat kau Diya,” bisik hati Nur. Mungkin bisikan yang sama bergema dalam hati Maira saat ini.
“Kenapa Tuhan uji aku macam ni Nur?” rintih Diya dalam esakan. Luluh hati Nur dan Maira mendengarnya. Tiada kata yang terdaya untuk diluahkan.
“Aku tak kuat… Kenapa Tuhan uji aku macam ni?” Diya benar-benar bernada putus asa. Segala semangat yang dibina selama dua bulan ini bagai runtuh tatkala dirinya disah mengandung melalui alat ujian kehamilan.
Maira meluru mendapatkan Diya lalu tubuh lemah Diya dipeluknya dengan tangisan yang semakin rancak. Maira benar-benar tidak sanggup mendengar rintihan begitu keluar dari bibir sahabatnya itu. Simpati dan belas kasihan tertumpah buat Diya tiada luak. Nur turut melutut dan memeluk kedua-dua sahabatnya itu. Mereka saling berkongsi tangis.
“Tuhan itu adil Diya. Dia uji kau sebab Dia tahu kau kuat. Aku dan Maira ada di sini untuk terus support kau. Kau jangan putus asa. Tak baik,” Nur memberi nasihat kepada Diya sebaik tangisan mereka semakin reda.
“Orang beriman tak akan putus asa dari rahmat Allah. Kau jangan putus asa Diya. Pelangi bahagia pasti akan muncul dalam hidup kau. Tetapi kita perlu lewati hari-hari mendung dan hujan sebelum kita dianugerahkan pelangi yang indah tu. Aku dan Nur akan ada di sisi kau untuk menempuhi hari-hari mendung dan berhujan tu,” sambung Maira pula sambil mengesat air mata di pipi Diya. Wajahnya juga turut diceriakan dengan senyuman ikhlas.
“Betul tu Diya. Walau ribut petir sekali pun aku tetap akan ada untuk menyokong kau. Itukan tuntutan dalam persaudaraan Islam. Kau tak akan basah seorang. Kami akan jadi payung yang melindungi kau dari kebasahan.,”
Saat ini mata Diya kembali bergenang mutiara jernih. Kali ini bukan air mata derita tetapi air mata terharu atas keikhlasan dalam persahabatan yang dihulurkan dua hamba Allah di hadapannya ini.
“Allah cukup adil. Dia uji aku dan kurniakan dua tunjang kekuatan pada aku iaitu kalian berdua. Aku syukur sangat,” bicara Diya mulai bernada tenang.


 “Kau tak nak beritahu family kau ke?” Nur bertanya setelah sekian lama memendam persoalan itu dalam benaknya.
“Aku tak tahu la Maira, Nur. Kadang-kadang… aku rasa takut nak berdepan family aku,” luah Diya. Tubuhnya disandarkan pada kepala katil.
“Aku rasa family kau mesti dapat terima takdir ini. Ia bukan salah kau Diya,” suara Maira pula. Jemari lembut Diya diramasnya.
 “Kau nak cakap tak?” duga Nur setelah Diya hanya tertunduk membisu.
“Aku takut kalau mereka tak dapat terima,” Diya menyuarakan keraguan dalam hati.
“Kita balik kampung kau, nak? Kita tengok keadaan macam mana dan cari masa sesuai untuk berterus terang,” cadang Nur.
“Aku pun rasa kau kena cakap la Diya. Sampai bila kau nak sembunyi dalam keadaan kau sekarang ni. Kalau anak kau lahir nanti baru nak cakap, aku rasa lagi masalah besar. Baik cakap awal-awal,” Maira menyuarakan sokongan terhadap cadangan Nur.
“Betul tu. Dalam keadaan kau sekarang, support daripada family sangat penting,” Nur bersuara lagi. Dia berharap agar Diya setuju dalam masa yang sama tidak mahu mendesak seandainya temannya itu belum bersedia.
Lama Diya mendiamkan diri sedangkan hati sedang berperang hebat. Ya Allah… andai ini takdirnya, siapalah aku untuk menidakkan ketentuan Mu… Diya akhirnya menunduk akur.


Tak tahu sudah berapa kali Diya berdoa agar segalanya baik-baik saja. Hati mengharapkan setiap ahli keluarga dapat menerima takdir yang telah tertulis dalam perjalanan hidupnya ini. Diya sedar kepulangannya kali ini bakal merobek hati insan bergelar ayah dan sukma seorang ibu. Juga mencalar  maruah keluarganya.
Adelia Dayana sudah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental. Diya harus tabah berdepan empangan air mata Puan Zahra yang pastinya bakal pecah membasah pipi. Diya perlu kuat memandang mendung pada seraut wajah si ayah. Along dan Kak Ngah? Diya begitu mengharapkan kepercayaan dan sokongan daripada abang dan kakaknya itu. Tapi biar la Diya berdepan dengan ayah dan ibu terlebih dahulu sebelum bersemuka dengan Along dan Kak Ngah.
Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, hanya Nur saja yang memandu kereta MyVi milik Diya. Maira duduk di kerusi hadapan sebelah kanan tidak banyak bicara. Hanya sesekali mereka berdua berbual-bual bagi menghilangkan bosan. Diya pula lebih senang berdiam diri di tempat duduk belakang. Jemari gadis itu tidak berhenti daripada membilang biji tasbih sambil hati mengalunkan kalimah-kalimah suci. Itulah sumber bagi Diya membina kekuatan hati.
Perjalanan yang lama akhirnya tiba ke destinasi yang dituju. Sebaik saja kereta MyVi dipandu Nur memasuki perkarangan halaman rumah Encik Azhar, mata Diya tertumpu pada dua buah kereta yang turut diparkir di kawasan halaman rumah itu. Kereta Proton Waja warna hitam itu milik Along dan kereta Proton Inspira warna plum red tu tak lain tak bukan kereta Abang Darus, suami Kak Ngah.
Tup! Tup! Darah Diya rasa berderau semacam. Kenapa Along dengan Kak Ngah pun ada? Bersediakah Diya untuk berdepan dengan seluruh kaum keluarganya? Hati Diya pantas sekali digaru gusar. Nur dan Maira yang dapat membaca gelombang kegelisahan yang melanda hati Diya terus memberikan kata-kata sokongan.
Sebelum kaki memijak tanah, sekali lagi Diya tadah tangan membaca doa. Entah berapa banyak doa dibaca bukan saja doa penenang hati malah dengan doa makan, doa tidur dan doa keluar masuk tandas pun Diya baca habis.
Kepulangan Diya bersama Nur dan Maira disambut gembira oleh Puan Zahrah dan Encik Azhar. Almaklum la sudah dua bulan anaknya bongsunya itu tidak pulang ke kampung. Telefon hanya beberapa kali itu pun tidak puas berbual panjang.
Puan Zahra menyediakan juadah makan tengah hari yang istimewa khas buat anak bongsu serta tetamunya. Suasana lebih meriah memandangkan Along dan Kak Ngah turut pulang bercuti di kampung. Macam sudah berjanji walau hakikatnya ia satu kebetulan. Dalam diam Diya terus resah sendiri. Seperti perhimpunan keluarga terancang pula. Terasa semakin berdebar-debar apabila memikirkan tujuan utama kepulangannya ke kampung.
“Kenapa adik lama sangat tak balik? Risau ibu tau,” suara Puan Zahra berbunyi tidak puas hati. Tangannya laju menyapu sisa makanan yang tumpah di lantai. Kalau cucunya Zafrullah dan Adi ada di rumah ini, memang kerja lebih la sikit untuk mengemas selepas makan. Anak kepada anak sulungnya serta anak keduanya itu baru berusia enam dan tiga tahun.
Diya yang sedang membasuh pinggan-pinggan kotor di sinki pandang sekilas Nur yang turut membantu mengeringkan pinggan dan Maira yang membantu menyimpan pinggan di rak. Nur dan Maira tak berkelip mata sambil menelan air liur. Saling memahami gelojak perasaan masing-masing.
“Adik… adik sibuk sikit ibu,” Diya menjawab perlahan. Saat ini Diya memegang kejap pinggan di tangan. Ada sebak yang menusuk hati. Nur yang menyedari keadaan Diya cepat-cepat memberi isyarat mata agar tugas Diya itu diserahkan padanya. Diya akur dan Nur menyudahkan tugas Diya untuk mencuci pinggan.
Puan Zahra menerima alasan anaknya tanpa banyak soal. Sekurang-kurangnya Diya masih menelefon dan rindunya sedikit terubat. Puan Zahra perasan juga anak gadisnya kini nampak sedikit berisi berbanding dulu. Tu la kalau dah kerjanya duduk atas kerusi dari pagi sampai petang. Makan pula segala benda yang namanya makanan segera. Mahu badan tak makin tembam? Hati tuanya mengomel sendiri.
Usai mengemas di dapur, mereka semua melangkah ke ruang tamu untuk duduk berehat. Kak Ngah yang penat melayan kerenah anaknya si Adi sudah boleh melepaskan anaknya bermain-main dengan Diya. Along pula duduk di sofa membelek surat khabar.
Tidak lama kemudian Diya dengar Along mengeluh hampa. Sesekali kepalanya digeleng-geleng dengan dahi berkerut. Riak kecewa terlukis pada raut wajah berkumis nipis dengan kulit cerah itu. Khusyuk sekali anak sulung Encik Azhar itu menatap isi berita yang bersiar di dada akhbar Metro yang dibelinya pagi tadi.
“Serius saja Along. Ada berita menarik apa hari ni?” Diya menegur. Lama tak berbual-bual dengan abang sulungnya ini. Sejak peristiwa hitam itu, Diya bagai hilang kekuatan untuk menghubungi ahli keluarganya. Hanya sesekali dia menelefon ibu dan ayahnya untuk mengubat rindu.
“Ni hah!” tunding jari Along pada paparan utama di dada akhbar Metro itu. Mata Diya  tertumpu pada hujung telunjuk Along.
Terpandang saja tajuk berita yang dimaksudkan Along, raut wajah Diya berubah kelat. Diya kerling sekilas Nur dan Maira yang turut memandang ke arahnya. Masing-masing seakan tergamam tiada terluah sepatah bicara.
“Anak muda zaman sekarang ni. Hish! Memalukan betul,” suara Along bernada hampa. Diya terkedu. Telan air liur saja gadis itu melihat reaksi Along.
“GADIS HILANG DARA, MENGANDUNG ANAK LUAR NIKAH!” bibir Along membaca tajuk utama berita itu satu-persatu.
“Ni la penangan cinta ikut nafsu. Apa dalam kepala otak mereka ni pun tak tahu la. Semua ni anak Melayu kita, orang Islam!” ngomel Along lagi. Tidak lari matanya daripada terus menikam surat khabar di tangan.
“Kau tu adik, jaga diri tu elok-elok. Kau tu anak dara lagi. Jangan percaya sangat lelaki zaman sekarang,” kali ini Along tujukan kata-katanya pada Diya yang hebat dilanda kegelisahan.
Diya paksa bibir mengukir senyuman bagi menutup gelora di hati. Sekali lagi Nur dan Maira dikerlingnya sebelum kembali menyibukkan diri dengan teletah Adi. Nur dan Maira turut tumpang bermain-main dengan Adi. Teletah kanak-kanak comel itu sedikit mengubat resah di hati mereka bertiga. Anak Along pula sudah terlena di atas sofa setelah penat bermain. Tambahan pula perut telah kenyang. Lena betul tidur si Zafrullah sehingga kedengaran dengkuran halus yang mengundang tawa semua yang ada di ruang tamu itu.
Tidak berapa lama kemudian, semua ahli keluarga Encik Azhar berkumpul di ruang tamu.  Along dan Kak Ngah banyak bercerita tentang teletah anak-anak mereka. Ruang tamu kediaman Encik Azhar itu riuh dengan tawa tatkala kerenah lucu Adi dan Zafrullah diceritakan ayah dan ibu mereka. Sesekali isteri Along, Kak Ji menyampuk cerita suaminya menyebabkan suasana semakin riuh. Suami Kak Ngah, Abang Darus pula pendiam orangnya. Abang Darus lebih banyak memberi ruang untuk isterinya bercerita. Cuma sesekali kedengaran tawa besar Abang Darus.
Diya seakan terleka oleh suasana bahagia tatkala berada bersama keluarganya. Segala masalah dan kesedihan di hati seakan hilang. Hatinya tenang dan bibirnya mekar dengan senyuman. Nur dan Maira turut bahagia melihat suasana gembira dalam keluarga Diya. Bertuah sahabat mereka itu memiliki keluarga yang sebahagia ini. Keluarga yang cukup sempurna.
Ketika Kak Ji rancak bercerita tentang teletah Zafrullah pada hari pertamanya pergi ke tadika, suasana riuh di ruang tamu sedikit terencat oleh deringan telefon bimbit Diya yang terletak di bilik tidur.
“Kuatnya nada dering telefon kau adik. Duduk sebatu boleh dengar,” seloroh Along apabila bunyi deringan telefon bimbit Diya menyebabkan setiap isi rumah itu terdiam sejenak.
Diya tersengih-sengih sambil bangun berdiri. Kaki yang lama duduk bersila terasa kebas dan lenguh. Segera Diya menapak untuk mendapatkan telefon bimbit yang masih bernyanyi-nyanyi minta dijawab panggilan yang masuk. Encik Azhar yang duduk di atas sofa dengan kaki berlunjur ke bawah bertindak mengangkat kakinya agar dapat memberi ruang kepada Diya untuk lalu di depannya. Diya yang tergesa-gesa untuk menuju ke bilik tidurnya itu, secara tidak sengaja telah tersadung pada kaki ayahnya yang diangkat tiba-tiba.
Diya hilang imbangan. Sempat tangannya berpaut pada pasu atas almari di sebelah kirinya tetapi pasu itu akhirnya jatuh terhempas. Diya turut tertiarap di atas lantai. Ruang tamu jadi gempar! Pasu yang jatuh pecah berderai. Diya yang terbaring di lantai sudah tidak sedarkan diri.
“Ya Allah, Diya!” jerit Puan Zahra manakala yang lain sudah tergamam dengan mulut melopong.
Diya yang terbaring kaku segera dikerumuni. Setiap pasang mata yang ada dalam rumah itu terbuntang apabila melihat cecair merah pekat tertumpah di lantai pada bahagian kaki Diya. Maira menekup mulut dengan tangan yang menggeletar. Nur yang berdiri di sebelah Maira sudah bergenang air mata. Puan Zahra hampir pitam melihat darah merah semakin banyak membasahi lantai.
“Cepat Along! Angkat adik kamu ke hospital,” arah Encik Azhar hampir bertempik.
Along bingkas mengangkat tubuh Diya dan meluru ke arah kereta adik iparnya yang di tempatkan bawah pokok kedondong di halaman rumah. Abang Darus menonong terlebih dahulu bersama kunci kereta di tangan. Encik Azhar masuk dalam perut kereta di sebelah pemandu manakala Along memangku Diya di tempat duduk belakang.
“Kak Ngah duduk rumah jaga budak-budak. Nanti Ji pergi hospital dengan ibu,” sempat Encik Azhar menitip pesan sebelum kereta dipandu Abang Darus meluncur laju menuju hospital berdekatan.
Tubuh lemah Puan Zahra berpaut pada Kak Ngah yang sudah lencun dengan air mata. Maira dan Nur saling berpandangan. Seribu satu perkara yang tidak terungkap di bibir disampaikan melalui renungan mata yang berkaca.
“Ibu, cepat kita menyusul ke hospital. Maira dengan Nur, jom kalau nak ikut,” laung Kak Ji yang cepat sekali bersiap-siap ala kadar. Isteri Along itu sudah tercegat di muka pintu kereta suaminya.
Puan Zahra bergegas masuk ke dalam rumah dan pantas muncul semula dengan kepala ditutup dengan tudung putih tiga segi. Kereta Along dipandu Kak Ji meluncur atas jalan meninggalkan Kak Ngah yang sedang mendukung Adi. Sepanjang perjalanan ke hospital, air mata Puan Zahra tidak henti-henti mengalir. Bimbang sekali dengan keselamatan anak bongsunya yang disangka cedera tertusuk kaca pasu bunga.
Nur dan Maira terus membisu. Masing-masing kematian kata. Tuhan telah mencoret takdir tersendiri. Mereka hanya mempu berdoa agar Diya selamat. 




No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.