ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Thursday, June 27, 2013

ISTERI AKU KALIS CINTA 24



Oleh: Mawar Kamila
BAB 24

   Dalam perjalanan pulang ke rumah, Zahil singgah sebentar di kedai untuk membeli ais krim. Diya hanya mengerutkan kening apabila Zahil masuk ke dalam kereta dengan membawa bungkusan berisi tiga bekas ais krim.
“Banyaknya,” komen Diya sambil menyambut huluran plastik biru berisi tiga bekas kecil air krim dengan perisa berbeza. Zahil senyum saja.
Dalam perjalan itu, Zahil menyuarakan sesuatu yang agak mengejutkan Diya.
“Sebenarnya…saya lebih senang kalau awak jadi suri rumah saja. Saya rasa saya mampu tanggung awak. Lagi pun kerja dekat butik Kamelia tu bukan bidang awak.”
“Awak nak saya berhenti kerja?” soal Diya walau sudah difahami maksud bicara Zahil itu.
“Saya suka kalau awak duduk rumah saja. Jadi suri rumah dengan ganjaran gaji oleh Allah,” ujar Zahil lembut memujuk.
“Jadi…saya nak buat apa? Duduk saja di rumah? Boring la macam tu.” Diya agak berat untuk bersetuju.
Zahil senyum tawar. Dia sudah bersedia andai permintaan itu ditolak Diya. Zahil tidak mahu memaksa sebaliknya hanya menyatakan pandangannya saja.
“Tak mengapa kalau awak tak nak. Saya tak paksa.”
“Tengok la macam manan nanti.” Diya belum memberi kata putus. Diya terus memikirkan hal tersebut hingga kereta Sonta Hyundai dipandu Zahil berhenti di halaman rumah mereka.
Diya masuk ke dalam rumah terlebih dahulu diikuti Zahil. Belum sempat Zahil menutup daun pintu, Diya berpaling memandang suaminya.
“Saya bersetuju,” ujar Diya dengan yakin.
Zahil terkedu. Tidak menduga bahawa Diya akan memberi jawapan secepat itu malah tidak menyangka jawapan yang diberi berpihak pada dirinya. Zahil pandang Diya dengan riak tak percaya.
“Saya nak jadi suri rumah yang digaji dengan ganjaran pahala,” tutur Diya dengan senyuman mekar di bibir.
Zahil tersenyum gembira. Sungguh, dia sangat gembira kini. Dengan hati yang gembira itu, Zahil meluru ke arah Diya lalu merangkul tubuh isterinya dalam pelukan. Diya terkejut apabila Zahil memeluknya tetapi tidak pula dia membantah tindakan itu.
“Terima kasih, sayang,” ucap Zahil kedengaran lirih pada pendengaran Diya. Diya senyum senang hati kerana inilah pertama kali dia melakukan suatu perkara yang mengembirakan suaminya dengan seikhlas hati.


Tina tergamam di depan pintu pagar kediaman Zahil dan Diya. Dari balik pagar warna hitam, mata Tina jelas menyaksikan detik bahagia pasangan suami isteri itu. Bulat mata Tina melihat kemesraan pasangan itu dari balik daun pintu yang terbuka. Menyaksikan Diya berada dalam pelukan Zahil sudah cukup membuatkan jemarinya menggigil. Hati Tina rasa tersayat oleh sembilu tajam.
Plastik berisi buah macang yang dibawanya untuk diberikan kepada Zahil terlepas dari genggaman lalu jatuh atas lantai simen. Bibir diketap menahan air mata yang mula bertakung di tubir mata. Tatkala air mata gugur di pipi, Tina berpaling dan berlari masuk ke dalam rumah.
Kak Ima memandang pelik anaknya. Belum sempat dia menyoal lebih lanjut, Tina sudah berlari mendaki anak tangga dan mengunci diri dalam kamar tidurnya. Tina lompat atas katil dan menyembam muka atas bantal. Bahu gadis itu terenjut-enjut dengan tangisan kekecewaan.
Sesungguhnya Tina sudah menyimpan perasaan terhadap Zahil sejak sekian lama. Namun dia dihampakan apabila lelaki itu hanya menganggap dirinya tidak lebih daripada seorang adik. Tina sejak awal lagi tidak menyukai Diya kerana isteri Zahil itu dianggap sebagai perampas. Malah Tina yang gemar mengintai kehidupan pasangan itu sering makan hati setiap kali dia menyaksikan kemesraan Zahil melayan Diya.
“Aku tak dapat Abang Zahil, aku akan pastikan perempuan tu pun tak dapat hidup bahagia!” Tina menyumpah dengan dendam membara di hati.


Diya berdiri di beranda sambil melihat langit malam yang indah dengan taburan bintang. Andai dulu dia menyaksikan keindahan bintang di langit bersama-sama Nur, kini teman di sisi adalah Zahil Hariz.
Zahil Hariz, suami yang mula diterima Diya dalam hidupnya setelah hampir tujuh bulan usia perkahwinan mereka. Zahil ternyata sangat gembira pada malam ini. Dan mereka meraikan kebahagiaan dengan makan ais krim di bawah taburan bintang di dada langit.
“Hidup ni macam ais krim,” ujar Zahil seraya menyudu ais krim pudina dan disua pada Diya. Teragak-agak Diya buka mulut dan Zahil menyuap isterinya.
Zahil senyum bahagia dan Diya tertunduk malu. Pertama kali dia menerima suapan daripada seorang suami. Biarpun hanya perbuatan yang biasa namun kesannya luar biasa. Terasa aura bahagia hingga ke dasar hati.
“Pernah dengar ayat macam tu?” soal Zahil dan Diya menggeleng tanda tidak pernah.
“Hem… hidup macam ais krim dengan pelbagai perisa. Adakala pahit seperti coklat…” Zahil tunjuk ais krim coklat dalam mangkuk dengan sudu di jari. “manis macam vanilla dan segar macam pudina,” ujar Zahil mula nk berfalsafah. Dulu falsafah cinta, sekarang falsafah kehidupan pula.
“Menarik,” sambut Diya.
Zahil senyum manis membuatkan Diya telan air liur. Senyuman manis itu amat tidak disukai kerana membuatkan Diya rasa tak selesa. Namun kini senyuman itu menyenangkan hati. Mungkin bakal dirindui suatu hari nanti.
“Hidup ni macam makan ais krimkan. Kita akan rasa pahit dan manis dalam hidup ini seperti kita menikmati rasa pahit dan manis dalam setiap suapan. Di sebalik rasa itu, kita dapat nikmati kesegaran kehidupan.” Zahil memandang dada langit tatkala mengungkap madah itu.
Diya angguk bersetuju. Disudu ketiga-tiga perisa ais krim yang berada dalam satu mangkuk yang sama dan dinikmati keenakan tiga campuran rasa itu. Pahit…manis dan segar. Hidup ini macam ais krim! Diya tersenyum.
Zahil jeling Diya di sisi dan lelaki itu turut tersenyum melihat bibir isterinya mengukir senyuman. Diya memandang Zahil lalu mata mereka bertembung. Saat ini Diya dapat rasakan degupan jantungnya semakin kencang.
Tatkala Zahil mengucup lembut pipinya, Diya terkedu. Namun apabila Zahil bawa bibirnya menghampiri bibir Diya, wanita itu menundukkan wajah seterusnya menyebabkan target Zahil tersasar.
“Saya…saya belum sedia,” ujar Diya teragak-agak.
Zahil senyum tawar dan Diya diterpa rasa bersalah. Tiada niat untuk Diya menolak namun entah mengapa saat Zahil cuba bermesra, ingatan terhadap Zakuan menerpa. Adakalanya Zahil seiras Zakuan dari pandangan sisi.
Berkali-kali Diya katakan pada diri bahawa Zahil dan Zakuan adalah insan berbeza namun hakikat itu tak mampu dibohongi. Adakalanya Zahil seiras Zakuan dari pandangan sisi. Akhirnya Diya membawa diri meninggalkan Zahil kehampaan.
“Kerana hidup ini ibarat ais krim, aku harap dapat nikmatinya bersama-sama Diya sebelum ais krim ini cair, ” Zahil berbicara sendirian.
Zahil melontarkan pandangan ke arah langit yang hitam pekat. Peristiwa beberapa hari lalu menjengah ruang ingatan.


“Zahil, keputusan pemeriksaan ujian darah kau dah keluar,” beritahu Rania bernada serius. Namun begitu, wajahnya kelihatan tenang.
“Ok… jadi hasilnya?” Zahil tidak sabar lagi untuk mengetahui keputusan ujian tersebut. Tinggi sungguh harapannya agar tiada khabar negatif yang diterima.
“Keputusannya…” Rania menguatkan hati untuk memaklumkan keputusan yang sudah diketahuinya.
Teletah Rania yang seakan serba salah itu mendebarkan Zahil.
“Hei, Rania… cakap la. Aku dah sedia dengar ni. Time sekarang pun kau nak bergurau lagi.” ujar Zahil disusuli ketawa kecil.
Rania senyum tawar. Masihkah dapat dia mendengar ketawa Zahil yang seperti itu selepas ini? Dapatkah aku lihat senyum manismu selepas kau dengar ucapanku ini Zahil?
“Kau ada kejutan ke? Tapi kejutan kau tak mengejutkan sangatkan? Kan? Kan?” duga Zahil. Rania masih senyum tawar. Zahil melepaskan nafas dengan senyum nipis.
Sememangnya doktor muda di hadapannya ini cukup lembut hati dan mudah sensitif. Zahil ingat lagi, masa mereka kecil-kecil dahulu. Waktu itu dia demam sehingga muntah-muntah. Rania yang datang melawat dan melihat dia muntah akhirnya menangis-nangis kesedihan.

 Sejak itu Rania menanam cita-cita ingin menjadi doktor. Katanya, dia ingin merawat Zahil apabila lelaki itu sakit. Rania ingin menjaga Zahil agar sentiasa sihat dan tidak mahu Zahil sakit lagi.
Zahil tersenyum mengingatkan kisah silam itu. Kini mereka sudah dewasa dan Rania sudah mencapai impiannya untuk menjadi doktor.
“Luekemia…” perkataan itu terluah sayu di bibir Rania. Ketenangan di wajahnya hilang. Wanita itu dicengkam perasaan sebak. Matanya tidak lari dari menjamah wajah Zahil. Menantikan reaksi lelaki itu.
Zahil terkedu. Perkataan yang meniti di bibir Rania itu perlahan saja menyentuh pendengaran telinganya. Zahil balas renungan mata Rania yang sudah mulai berkaca. Perlahan-lahan bibir dipaksa mengukir senyum.
“Luekemia?” Zahil menyoal kembali. Masih bernada kurang percaya pada kata-kata Rania itu. Dia tak berguraukan? Pasti tidak kerana Rania tidak pandai bergurau. Lambat-lambat Zahil ketawa kecil. Ketawa bernada kecewa yang terzahir bagi menutup kehampaan di hati.
Leukemia Kronik Sel Limfosit!” Rania menyatakan lebih lanjut.
Zahil tidak tahu harus memberi reaksi yang bagaimana lagi selain tetap tersenyum. Walau mata dirasakan mahu berkaca, tetap juga hati dikuatkan menahan gelora perasaan. Dia tidak boleh menangis di depan Rania.
“Ooo… so, aku… aku akan ma…”
No Zahil! Tak bererti kau akan mati,” pintas Rania dengan tegas.
Sekali lagi Zahil ketawa kecil. Namun ketawa itu bukan sesuatu yang boleh menggembirakan hati Rania. Dia tahu ketawa itu melindungi seribu perasaan kecewa dan kesedihan.
“Semua manusia akan mati Zahil. Menghidap leukemia tak bererti kau akan mati kerana penyakit tu. Sekarang zaman moden, semua penyakit ada ubatnya,” pujuk Rania cuba bersikap positif.
Zahil senyum tawar. “Macam mana dengan rawatan? Aku kena jalani rawatan… kemoterapi?”
Berdasarkan pembacaan, Zahil ada mengetahui serba sedikit tentang rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi terkenal untuk merawat penyakit kanser. Rawatan tersebut mengancam dan merosakkan sel sihat yang membahagi dengan cepat seperti sel pada lapisan dalam mulut atau rambut. Ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering, keguguran rambut, loya, anemia, cirit-birit dan keletihan.
Rania senyum nipis. Sekurang-kurangnya dia masih berharap agar Zahil mahu menerima rawatan.
“Rawatan sekarang semakin bagus. Pada peringkat kau, kemoterapi tidak diperlukan. Kau hanya perlu makan ubat.”
Zahil tunduk kepala sepanjang mendengar penerangan lanjut daripada Rania. Jauh fikirannya melayang tanpa fokus mendengar penjelasan doktor muda di hadapannya.
“Zahil, aku yakin kau cukup kuat untuk tempuhinya. Aku tahu kau kuat dan tabah.” Rania sungguh berharap agar Zahil tidak mudah berputus asa.
“Hidup ni betul la macam aiskrim. Kita perlu nikmati sebelum ia cair. Tak begitu?” Zahil tersenyum manis. 
Mata Rania mula berkaca. Zahil adalah pesakit pertama yang menyebabkan dia berair mata menghadapi situasi begini. Rania cuba mengawal sebak di dada. Dia harus meyakinkan Zahil bahawa sinar harapan tidak pernah padam.
“Zahil, apa kau cakap ni? Zahil, masih ada harapan untuk kau sembuh dan jalani kehidupan yang normal. Memang la awal-awal ia suatu mimpi ngeri. Tapi semua tu hanya sementara. Zahil yang aku kenal bukan pengecut. Bukan lemah!”
Zahil menjamah raut wajah Rania. Wanita itu terlalu menyayangi dirinya. Ternyata kasih sayang Rania melebihi kasih sayangnya terhadap gadis itu. Zahil tahu Rania begitu takut kehilangannya. Satu-satunya sahabat yang dia ada kini sejak pemergian arwah Hairil.
Zahil ukir senyum manis. Rania terus memandang sayu wajah Zahil. Tiada kata yang terdaya untuk diungkap saat hati sendiri resah. Ketenangan yang dipamerkan Zahil sungguh meruntun hatinya. Rania tahu Zahil sedih dan lelaki itu jenis yang menyembunyikan rasa dukanya di sebalik segaris senyuman.
Ingatan terhadap pertemuan dengan Rania tercantas apabila bayu malam yang bertiup lembut terasa menyucuk hingga ke tulang. Zahil menghela nafas yang terasa berat. Sesekali tidak dia menyalahkan takdir atas ujian hidup ini. Lelaki itu mensyukuri sisa usia yang diberikan Allah padanya. Peluang untuk terus bernafas dan menikmati kehidupan.
“Seharusnya dinikmati sebelum ia cair…”
TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN SEMUA PEMBACA IAKC. NANTIKAN TERBITAN IAKC. InsyaALLAH... ^_^"

6 comments:

  1. Aja aja fighting, kak! Nak lagi... *malu malu kucing* hehe :)

    ReplyDelete
  2. menarik sambung la lagi

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Tak sabar nak tunggu novel ni ada kat pasaran. Nak tau ape cerita kesudahannya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih emeties.
      klu ada rezeki, IAKC akan berada di pasaran.
      skrg ni manuskrip sdg dinilai. doakan ye. ^_^!

      Delete
  5. Huh... biar betul ... nih aku saya blogger tempatan nie...
    isu the best ...

    My page - Jubah Murah

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.