ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Friday, April 5, 2013

ISTERI AKU KALIS CINTA 23


Oleh: MAWAR KAMILA 
BAB 23
Zahil membuka pintu lalu pandangan matanya bertemu dengan Diya yang duduk bersandar pada kepala katil. Lelaki itu melangkah masuk ke dalam kamar tidur dengan wajah mencuka. Diya gigit bibir menahan rasa bersalah.
“Awak…” suara Diya memecah kesepian. Mata Diya masih terarah pada Zahil yang sedang menukar pakaian. Zahil langsung tidak memandang Diya. Khusyuk sekali menyalin baju.
“Zahil, saya minta maaf. Saya tak berniat buat awak tunggu. Saya datang, tapi…” bicara Diya mati di situ apabila mata sepet Zahil menikam wajahnya. Diya telan air liur beberapa kali.
“Tapi awak tak muncul juga setelah berjam-jam saya tunggu! Awak pergi mana?” keras suara Zahil walaupun nadanya masih mendatar.
Diya terkedu. Wajah tegang Zahil dipandang dengan rasa sayu. Betapa dia rasa berdosa kerana membuat lelaki itu menunggu begitu lama. Namun masa silam yang mengejar bagaikan bayang-bayang membuatkan Diya ketakutan. Takut menerima Zahil. Takut mencintai Zahil. Takut terluka dan kecewa. Ketakutan yang membuatkan Diya jadi pentingkan diri.
Zahil berdiri tegak memandang Diya seolah-olah wanita itu hendak diterkamnya. Dada lelaki itu berombak kencang menahan amarah yang membuak-buak.
“Saya hanya inginkan cinta, Diya. Saya tak minta banyak. Saya hanya mahukan seorang isteri yang mencintai saya,” ujar Zahil bernada seakan merayu. Merayu cinta daripada seorang isteri.
Hati Diya tersentuh. Mata Zahil yang seakan berkaca membuatkan Diya menundukkan muka. Terlalu malu untuk membalas pandangan mata suaminya.


“Beritahu saya, apa kurangnya saya? Apa tak layak ke saya untuk dicintai?” duga Zahil. Intonasi suara lelaki itu menzahirkan kekecewaan diri.
“Zahil, saya minta maaf…” hanya itu yang mampu dilafazkan Diya.
Zahil menerpa naik atas katil. Mendapatkan Diya dan mencengkam bahu wanita itu. “Saya tak mahu permohonan maaf Diya!” meninggi suara Zahil seterusnya mengejutkan Diya. Tak berkelip mata Diya melihat tingkah Zahil yang kasar menggoncang kedua-dua bahunya.
 “Saya minta awak cintai saya bukan minta maaf!” jerit Zahil. Telinga Diya bagai dijentik. Jantungnya tersentap dek jeritan keras itu.
“Kenapa awak siksa saya begini? Kenapa awak buat saya kecewa?” soal Zahil dengan wajah merona merah.
Diya renung ke dalam mata Zahil yang merah dan berkaca itu. Bibir Zahil menggigil dengan tulang pipi bergerak-gerak. Akhirnya Diya menundukkan muka.
“Akhirnya…dan akhirnya awak kecewa,” lirih suara Diya dengan senyum tawar menghiasi bibir.
“Maksudnya?” Tangan Zahil masih kejap mencengkam bahu Diya.
Diya angkat muka memandang Zahil. Matanya cukup berani menentang mata Zahil yang tajam menikam wajahnya. 
“Zahil Hariz, sebelum kita kahwin, berapa kali awak datang mendekati saya? Berapa kali saya tolak awak?” tujahan persoalan itu meleraikan cengkaman tangan Zahil pada kedua-dua bahu Diya.
“Kenapa awak diam?” Diya senyum sinis. Wanita itu menapak turun daripada katil. Berdiri di sisi katil dan memandang Zahil yang terduduk atas tilam dengan kepala tertunduk.
“Berkali-kali saya cakapkan yang saya tak cintakan awak! Berkali-kali saya cakap saya tak akan dapat cintai awak! Tapi awak degil. Cinta! Dan sekarang awak kecewa dengan cinta itu bukan? Sekarang awak nak buat apa? Awak nak ceraikan saya?” 

Berdesing telinga Zahil mendengar perkataan ‘cerai’ meniti di bibir Diya. Lelaki itu pantas berpaling memandang isterinya.
“Diya, awak salah faham…” suara Zahil kembali merendah.
“Saya tak peduli salah faham atau tak. Saya tetap tak cintakan awak! Dan mulai malam ni, saya sangat yakin untuk tidak belajar mencintai awak,” tegas Diya.
Sesungguhnya tingkah kasar Zahil kali ini telah melukai Diya. Menguatkan lagi prinsip wanita itu untuk terus kalis cinta. Pada Diya, lelaki suka menggunakan kekerasan terhadap wanita. Tanpa sedar atau tak, kekerasan mereka bukan dapat melenturkan sebaliknya mematahkan.
Diya kemudian melangkah untuk keluar daripada kamar itu. Baru saja kaki menapak tiga langkah, Diya tertunduk menyentuh lutut kanan yang terasa perit. Wajahnya berkerut menahan sakit pada bahagian lutut yang cedera akibat kemalangan tadi.
“Diya!” Zahil pantas menerpa.
“Jangan sentuh saya!” tingkah Diya sambil menepis tangan Zahil yang menyentuh lengannya.
“Diya, awak cedera ke?” Diya buat bodoh. Mengiakan tidak, menggeleng pun tidak.
Zahil tidak pedulikan kedinginan isterinya. Tangannya ingin menyelak seluar baju tidur Diya namun Diya berdegil. Diya menyanggah tangan Zahil daripada menyelak kaki seluarnya. Tidak mahu luka pada kepala lutut kaki kirinya dilihat Zahil.
Zahil berkeras dan Diya tetap berdegil. Bengang dengan sikap kepala batu Diya itu, Zahil bangkit dan mencembung tubuh Diya. Diya meronta-ronta apabila tubuhnya sudah diangkat tangan sasa Zahil. Menjerit-jerit minta dilepaskan namun tidak dipedulikan Zahil. Rontaan Diya berhenti setelah Zahil membaringkannya atas katil.
“Apa awak cuba buat ni hah?” marah Diya sambil bangun daripada posisi baring. Merah wajahnya dek marah dan malu yang bercampur baur.
Zahil cuba menyentuh hujung kaki seluar kanan Diya untuk melihat luka di lutut isterinya. Diya tampar tangan Zahil. Zahil pandang wajah Diya yang terjegil dengan bibir diketap. Terasa lucu melihat reaksi Diya itu, Zahil mengukir senyum manis.
“Kenapa? Awak malu ke?” duga Zahil dengan senyuman meleret di bibir. Diya memalingkan muka. Geram melihat senyuman Zahil yang seakan mengejek dirinya.
Zahil mendekat dan berbisik di telinga kanan wanita itu. “Nak malu apa, saya dah tengok lebih dari tu!”
Berdesing telinga Diya mendengar bisikan Zahil yang lirih menusuk telinga. Mata Diya makin membulat bersama darah yang menyirap naik. Lalu Diya berpaling menentang pandangan mata Zahil. Mata Diya bergerak mengikut pergerakan mata Zahil yang meliar ke seluruh wajahnya.
“Itu yang awak nak kan?” ucap Diya dengan gigi diketap menahan gelojak amarah.
Zahil tidak menjawab. Tetap menikam renungan mata Diya yang menyala api amarahnya. Siap tersengih tayang gigi lagi.
“Awak dah dapat, sekarang dah puas?” sinis Diya. Perasaan benci mula menyucuk hati.
“Awak rasa?” Zahil menduga dan Diya semakin berapi. Jawapan dalam bentuk soalan yang diutarakan Zahil sungguh membakar kesabaran Diya yang tipis.
“Saya benci awak!” jerit Diya. Tulang pipinya bergerak-gerak. Mahu saja tapak tangan ini dilayangkan ke pipi suaminya.
Zahil senyum sinis. Sudah diduganya Diya akan melafazkan kebencian. Entah mengapa Zahil sengaja mengusik kebencian di hati Diya. Sengaja untuk memastikan benci itu sebenarnya benci atau dalam diam adanya rasa sayang.
“Tapi saya cintaka awak, Adelia Dayana,” ucap Zahil lirih diikuti satu kucupan sayang di dahi isterinya.
Diya terkedu. Hendak dimarah akan perbuatan itu, segalanya berlaku dengan pantas. Zahil juga sudah menghilang di balik daun pintu. Meninggalkan Diya berperang dengan perasaan sendiri.


Zahil duduk atas kerusi di dalam bilik kerjanya. Tubuhnya membongkok menongkat dahi pada tangan. Zahil menghela nafas panjang sambil menutup kelopak mata. Hatinya membisikkan kesabaran untuk terus mengejar cinta Diya. Dia tidak menyalahkan isterinya kerana perkahwinan yang terjadi sudah diketahui bukanlah sepenuh rela oleh Diya. Kesudian Diya untuk menerimanya sebagai suami sudah mengembirakan Zahil.
Pada Zahil, mencari cara buat menyentuh dasar hati Diya dengan keikhlasan cintanya menjadi tanggungjawab diri. Biar mengambil masa sepuluh tahun untuk memiliki cinta Diya, Zahil sanggup menunggu. Kerana dia mahu hidup di sisi Diya untuk seumur hidupnya. Kerana Allah telah mengikat hatinya pada wanita itu dan dipohon agar ikatan hati itu berpanjangan hingga ke syurga.
Zahil memahami setiap tingkah Diya. Marah Diya tak bermakna dia tidak suka. Kata benci di bibir Diya tak bermakna benci juga di hati. Adakalanya kasih sayang Diya terluah melalui bebelan-bebelan yang membuatkan Zahil menahan ketawa. Itulah wanita yang menjadi permaisuri di hati Zahil. Isteri yang Zahil terima segala kekurangan dan kesempurnaan seadanya.
Betapa lelaki itu mencintai tanpa syarat. Tidak ditunding jari pada Diya yang gagal membenih cinta padanya sebaliknya silap itu diletak pada diri yang gagal mencurah cinta yang menyentuh dasar hati Diya.
Zahil buka semula kelopak mata. “Ya Allah, aku mencintai dia. Maka kau benihkan cinta di hatinya untuk diriku ini. Sesungguhnya aku manusia biasa yang mempunyai batasan kesabaran. Kau kukuhkan kesabaran dalam diriku untuk meraih cintanya tanpa terkurang cintaku terhadap Mu ya Allah…” doa Zahil dengan sepenuh hati. 
Zahil menyapu muka untuk mengaminkan doanya. Kemudian dirasakan ada cecair yang melekat pada tapak tangan. Dilihat tapak tangannya melekat dengan cecair berwarna merah. Zahil menyentuh hidung dan didapati cecair merah mengalir daripada lubang hidungnya.
Dia sememangnya kerap mengalami hidung berdarah malah sejak kecil lagi tubuh badannya lemah. Ketika kecil, Zahil selalu mengalami demam yang teruk. Setelah meningkat remaja barulah dia jarang mengalami deman yang teruk dan tahap kesihatannya lebih baik.
Lelaki itu mencapai beberapa helai tisu atas meja kerja dan menekup pada lubang hidung. Agak lama barulah darah merah pekat itu berhenti mengalir. Zahil kemudian berbaring atas sofa di satu sudut dalam ruang bilik kerja itu. Tisu baru yang masih putih masih ditekup pada hidung kerana bimbang andai cecair merah itu mengalir keluar lagi.
Mengingatkan zaman kanak-kanaknya, Zahil terkenangkan Rania. Rania adalah sahabatnya sejak kecil lagi. Malah Rania membina cita-cita untuk menjadi seorang doktor juga adalah kerana dirinya. Kononnya Rania mahu menjaga Zahil setiap kali lelaki itu sakit. Mahu menjadi teman yang sentiasa ada disaat Zahil lemah. Zahil menghela nafas yang terasa berat di dada. Betapa dia tidak menduga bahawa Rania menyimpan perasaan terhadapnya sejak sekian lama.
Mata Zahil memandang syiling setelah kepala diletakkan pada bantal kecil atas sofa itu. Kini otaknya ligat memikirkan kesinambungan cerita cintanya pada Diya. Mungkinkah bahagia andainya mencurah cinta pada yang tak sudi?


Diya bertembung dengan Zahil sebaik saja keluar daripada kamar tidur. Wanita itu jadi tak tentu arah. Tidak tahu ke mana hendak di arahkan pandangan mata tatkala mata Zahil menyorot wajahnya.
“Assalamualaikum, selamat pagi,” ucap Zahil dengan senyuman manis terukir di bibir.
Teragak-agak bibir Diya bergerak mengukir senyuman balas. Rasa bersalah tentang perkara semalam membuatkan kedinginan Diya sedikit kendur. Sedaya upaya dia tidak mahu menambah kelukaan di hati lelaki itu. Kata-kata Zahil malam semalam sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Sepanjang malam dia tidak lena tidur diganggu bicara Zahil yang terngiang-ngiang di telinga.
“Saya hanya inginkan cinta, Diya. Saya tak minta banyak. Saya hanya mahukan seorang isteri yang mencintai saya,” bicara itu kembali berkumandang dalam kotak ingatan. Diya ketap bibir.
“Beritahu saya, apa kurangnya saya? Apa tak layak ke saya untuk dicintai?” Diya pejamkan mata. Kemudian wanita itu geleng-geleng kepala seolah-olah cuba untuk membuang ingatan itu dari minda.
 “Kenapa awak siksa saya begini? Kenapa awak buat saya kecewa?” bicara semalam tetap mengasak ruang ingatan.
“Pergi! Pergi!” jerit Diya tanpa sedar. Tangannya diangkat seperti mengibas lalat di kepala.
“Diya!” tegur Zahil dengan nada meninggi. Terpaksa meninggikan suara apabila Diya di hadapannya seakan sudah tenggelam dalam khayalan sendiri.
Diya buka mata. Kemudian terkebil-kebil memandang Zahil yang memandangnya pelik.
“Ouch!” Diya terjerit kecil apabila dahinya terasa sakit. Pantas tangan kanannya menyentuh bahagian tengah dahi. Digosok-gosok bahagian itu. Ceh! Mamat ni jentik dahi aku. Kuat pula tu. Mahu merah jadinya.
Zahil ketawa geli hati. “Tu la, pagi-pagi lagi dah berangan.” Diya…Diya…berangan saja kerjanya. Baru buka pintu nampak muka aku yang handsome ni terus masuk dalam alam fantasi.
“Jom sarapan,” ajak Zahil seraya mencapai jemari kanan Diya lalu digenggam erat.
Diya terpana seketika. Apabila tangannya ditarik lembut oleh Zahil, kakinya masih keras untuk bergerak. Zahil berpaling memandang Diya yang membatukan diri. Macam kena sumpahan patung cendana saja.
“Jom la sayang,” kali ini Zahil tarik Diya dengan kedua-dua tangannya. Diya ikut saja langkah kaki Zahil umpama anak kecil dipimpin tangan oleh ibunya.
Zahil duduk saja di meja makan sementara Diya menyediakan sarapan. Lelaki itu tidak mahu campur tangan kerana sememangnya dia tidak berkemahiran dalam hal ehwal di dapur. Daripada menambah beban di dapur, Zahil lebih memilih untuk menunggu saja sarapan dihidangkan depan mata. Kemudian bersantap bersama-sama insan tersayang.
Sarapan pagi mereka biasa saja. Air teh panas dengan roti bakar. Mujur saja Zahil tidak cerewet bab makanan. Apa saja yang dimasak Diya itu la yang dimakannnya. Tidak pernah merungut sama ada rasanya sedap atau tidak. Airnya tawar atau manis, Zahil nikmati seadanya.
Pernah sekali Diya secara tidak sengaja terlajak garam dalam masakan kerana tergopoh-gapah menyediakan nasi goreng untuk sarapan pagi. Zahil makan tanpa banyak bicara malah licin nasi dalam pinggan. Walaupun Diya melarang Zahil memakan nasi itu, lelaki itu tetap berdegil. Konon air tangan Diya enak pada tekaknya.
Diya tahu Zahil tidak mahu dia terasa hati. Namun sikap Zahil itu membuatkan Diya bertanggapan bahawa Zahil tidak jujur. Jika terlalu masin, seharusnya Zahil berterus terang saja. Mengapa harus menelan rasa masin itu semata-mata hendak menjaga hati? Ah! Beza Diya dengan Zahil adalah Diya tidak pernah pedulikan perasaan Zahil sedangkan Zahil sentiasa menjaga hati Diya.
Pada Diya, andai perihal sekecil itu Zahil tidak mampu jujur, bagaimana dalam hal yang lebih besar? Entahlah, mungkin Diya terlalu berfikiran jauh sedangkan Zahil hanya mahu menjaga hati.
Pada Zahil, sedangkan pahit yang dihadiahkan Diya juga ditelan inikan pula rasa masin. Janji perutnya terisi dengan hidangan yang dimasak Diya. Itu sudah menggembirakan hatinya. Memberi kenikmatan dalam setiap hidangan.
“Awak berangan lagi?” soal Zahil apabila dilihatnya Diya tidak menjamah roti bakar dalam pinggannya.
Diya tersentak. Pantas dia menggeleng lemah. Malu apabila ditegur begitu.
“Zahil, saya tanya boleh?” soal Diya sambul cebisan roti bakar diangkat untuk disuap ke mulut.
Zahil angkat kening. Terkejut juga kerana Diya tidak pernah berbicara begitu sebelum ini. Perlahan saja kepala Zahil mengangguk.
“Kenapa awak sukakan saya?” tanpa berkias kata, Diya terus menyuarakan persoalan yang sekian lama difikirkan.
Zahil tidak terus menjawab. Lelaki itu menyudahkan kunyahan baki makanan yang masih bersisa dalam mulut. Setelah makanan itu ditelan, baki air teh yang sudah suam diteguk. Zahil kemudian menjamah wajah Diya yang setia menunggu jawapan untuk soalannya.
“Kenapa tanya macam tu?” soal Zahil tenang.
Diya jungkit bahu. “Saja nak tahu. Saya nak tahu apa yang ada dalam fikiran awak tentang saya. Saya nak tahu kenapa awak sanggup bersabar selama lebih tujuh bulan ini. Kenapa awak boleh tahan dengan sikap saya sampaikan saya jadi serba salah kerana tak dapat membalas perasaan awak pada saya,” luah Diya.
Zahil bersandar tubuh pada kerusi. Agak lama lelaki itu berdiam diri sebelum membuka mulut untuk bersuara.
“Awak tetap tak akan dapat jawapanya biarpun saya beritahu,” ujar Zahil  setelah menghela nafas yang agak panjang.
“Maksud awak?” Wajah Diya sedikir berkerut.
Zahil berdiri dan menyorong kerusi ke bawah meja. Lelaki itu melangkah menuju belakang Diya dan tunduk mendekatkan bibirnya ke telinga Diya. Diya tidak berkutik. Menanti saja tingkah Zahil yang seterunya.
“Awak akan dapat jawapnnya suatu hari nanti. Suatu hari nanti… apabila awak rasa apa yang saya rasa!” bisik Zahil kedengaran lirih pada pendengaran Diya.
Diya terkedu. Bicara Zahil menggetarkan jantungnya. Terasa degupan jantung menjadi deras secara tiba-tiba. Sungguh Diya tidak tahu mengapa. Tangan kanannya menyentuh dada kiri dan mengurut lembut seolah-olah mengurut jantungnya.
Zahil mula menapak untuk meninggalkan ruang dapur. Langkah kaki lelaki itu terhenti ketika di muka pintu dapur.
“Macam mana kalau…” Diya telan air liur. Dia berpaling memandang Zahil lalu mata mereka saling bertemu. “hari itu tak akan tiba? Macam mana kalau perasaan itu tidak pernah hadir?”
Telinga Zahil bagai dijentik. Lelaki itu melarikan pandangan daripada bertemu dengan panahan mata Diya. Keyakinan dalam kata Diya tatkala bertemu dengan renungan matanya menggetarkan jiwa. 
“Macam mana ye?” Zahil umpama memulangkan semula persoalan itu pada Diya.
Zahil kemudian tersenyum tawar. Jemari kanannya menyisir rambut hitam yang lebat di kepala. “Saya serahkan jodoh kita kepada Allah. Saya berusaha yang terbaik untuk mengukuhkan jodoh kita. Selebihnya saya pasrah,” ujar Zahil sebelum melangkah meninggalkan ruang dapur.
Diya menghela nafas berat. Perlahan-lahan dia bangun daripada duduk dan membawa pinggan kotor menuju ke sinki.
“Mungkinkah aku jatuh cinta pada Zahil?” persoal Diya pada diri sendiri. Akhirnya Diya mengeluh lemah. 


Ketika Diya melangkah keluar daripada rumah, Zahil masih berada di halaman dan bersandar tubuh pada badan kereta. Seakan sedang menunggu Diya. Namun tingkah Zahil itu tidak diendahkan Diya.
 Wanita itu mengunci pintu rumah sebelum mendapatkan kereta Myvi yang diparkir bersebelahan dengan kereta Zahil. Diya buka pintu kereta tetapi Zahil terlebih dahulu memaut lengan Diya sebelum wanita itu masuk ke dalam kereta.
“Kenapa ni?” Diya agak terkejut dengan tindakan Zahil itu.
“Ikut saya,” ujar Zahil dengan nada memerintah. Bukan permintaan yang boleh ditolak Diya.
Diya tutup pintu kereta sebelum menarik lengannya daripada pautan kejap tangan Zahil. Zahil buka pintu kereta Sonata Hyundai dibahagian sebelah pemandu. Diya gigit bibir sebelum melangkah masuk ke dalam badan kereta. Tingkahnya seakan separuh rela menurut perintah Zahil itu.
Apabila kereta dipandu Zahil menyimpang daripada jalan menuju butik Kamelia, Diya diterpa curiga.
“Kita nak ke mana ni?” soal Diya. Sangkanya Zahil ingin menghantarnya ke butik.
“Saya nak bawa awak ke suatu tempat,” jawab Zahil ringkas.
“Ye, tapi tempat apa?” Diya pandang raut wajah Zahil yang bersahaja dengan penuh tanda tanya.
“Tempat tu awak tak pernah pergi,” jawab Zahil tanpa berkalih memandang Diya. Lelaki itu fokus terhadap pemanduannya.
Diya merengus lembut. “Awak nak bawa saya ke mana?” Diya terus mendesak.
Zahil tersenyum. Sekilas Zahil memandang Diya di sisi. “Diya, saya gunakan kuasa veto saya untuk minta awak diam,” gurau Zahil.
Diya mencebek. “Oh ye? Saya minta hak saya untuk dapatkan jawapan! Ke manakah arah tuju perjalanan kita ini, Encik Zahil Hariz?” Diya tidak mahu mengalah.
Zahil ketawa kecil. “Awak memang tak akan diam selagi saya tak cakap. Degil!”
“Kita nak ke mana?” soal Diya lagi. Memang tak boleh diam selagi Zahil tidak memberi jawapan.
“Hemmm… awak sabar sikit ye. Dah nak sampai,” ujar Zahil yang masih hendak berteka-teki.
Diya merengus lembut. Geram dan tidak puas hati. Akhirnya Diya diamkan diri dengan mulut muncung sedepa. Kononnya merajuk dek keengganan Zahil beralah.
Sonata Hyundai dipandu Zahil berhenti di perkarangan Teratak Mekar Kasih. Zahil matikan enjin kereta dan memandang Diya dengan senyuman meleret di bibir.
“Tempat apa ni?” soal Diya dengan mata meliar memandang persekitaran tempat yang asing padanya.
“Nak jawapan cepat, awak boleh baca board tu,” ujar Zahil.
“Teratak Mekar Kasih? Rumah kebajikan masyarakat?” duga Diya dengan dahi berkerut. Buat apa Zahil bawa aku ke tempat ni? Pelik!
“Rumah yang penuh dengan kasih sayang. Di sini, kasih sayang mekar memutik ukhwah,” ucap Zahil dengan wajah bersinar. Diya renung wajah Zahil agak lama.
“Jangan bergurau la Zahil. Tak kelakar pun,” suara Diya dengan wajah tidak puas hati.
“Jom!” Zahil melangkah keluar daripada kereta dan tindakan itu diikuti Diya.
“Ini salah satu tempat lawatan saya selain daripada lawatan ke wad pediatrik di hospital,” beritahu Zahil.
“Abang!” Kali ini pasangan suami isteri itu diterpa oleh beberapa orang remaja wanita dalam lingkungan lewat belasan tahun ataupun awal 20an.
“Assalamualaikum.” Zahil tersenyum ceria apabila mereka dikerumuni remaja-remaja dari Rumah Mekar Kasih ini.
Ucapan sejahtera daripada Zahil dijawab serentak oleh remaja-remaja itu. Mereka kelihatan gembira menyambut kedatangan Zahil dan Diya.
“Ni Kak Diya ke?” soal Wafi sambil menjeling Diya yang berdiri di sebelah Zahil.
Zahil angguk perlahan dan Diya mengukir senyuman nipis.
“Emmm… cantik betul Kak Diya ni. Patut la Abang Zahil terpikat,” puji Fifi pula. Yang lain turut mengangguk sebagai mengakui kata-kata pujian itu. Diya rasakan pipinya merona merah. Malu. Zahil jeling Diya dengan sengihan. Kembang hati mendengar pujian untuk isterinya.


Zahil tersenyum memandang Diya dari jauh.  Isterinya nampak dapat menyesuaikan diri dengan penghuni Teratak Mekar Kasih. Zahil melangkah menuju sebuah pondok rehat. Duduk bersendirian di situ sambil memerhatikan Diya sedang rancak berbual dengan beberapa orang remaja berpangkat adik padanya.
“Kami tak pernah terfikir yang suatu hari nanti kami akan berada di sini. Ye la, setelah lama berada dalam kegelapan, mana pernah terfikir yang suatu hari nanti kami akan jumpa cahaya. Cahaya yang jadikan kami celik untuk berjalan menghadapi masa depan,” ujar Fifi tertunduk memandang batang buluh yang menjadi lantai pondok tempat mereka duduk berbual.
“Orang luar mungkin pandang serong pada kami. Sebahagian daripada kami ni entah berapa kali pernah gugurkan kandungan. Malah ada yang anaknya sudah membesar dalam jagaan keluarga angkat. Tapi kami yakin yang Tuhan itu Maha Pengampun. Kerana kasih sayang Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang itulah kami dapat berada di sini. Berubah untuk menjadi hamba yang bertakwa. Jadi manusia yang lebih baik daripada semalam.” Wafi pula menyambung bicara. Gadis berusia 22 tahun ini kelihatan lebih matang berbanding teman-temannya yang lain. Mungkin dimatangkan oleh masa silamnya.
“Dah berapa lama Wafi duduk sini?” soal Diya. Simpati melimpah terhadap nasib anak-anak remaja ini. Betapa usia mereka terlalu muda tatkala terjerumus dalam lembah kegelapan.
Namun syukur kerana cahaya hidayah telah menyuluh gelap di hati. Memancarkan cahaya iman yang terserlah melalui perwatakan dan penampilan mereka kini. Sungguh mereka sangat bertuah. Tiada rugi pada manusia yang berhijrah ke arah kebaikan kerana Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar.
Wafi senyum tawar. “Sejak umur 13 tahun.  Wafi masuk sini sebulan lepas masuk tingkatan 1,” jawab gadis itu tenang. Namun jauh di dasar hati hanya Allah saja yang tahu betapa dalam luka yang membalut hati. Mungkinkah luka itu sudah sembuh setelah beberapa tahun berlalu? Tiada siapa yang tahu.
“Masa tu Wafi mengandung dua bulan.” Lama Wafi terdiam. Ada mutiara jernih bertakung di tubir mata namun gadis itu masih kelihatan tenang. Temannya yang lain tertunduk sayu. Barangkali masing-masing mengenangkan masa silam mereka dengan cereka yang berbeza.
“Wafi ok?” soal Diya tatkala dilihatnya Wafi mula dilanda sendu. Tidak mahu sejarah pahit itu diulang kembali sehingga menggugat emosi. Diya sangat memahami kepahitan yang dirasai Wafi kerana dia juga pernah merasa pahit yang sama.
“Ayah…ayah yang sebabkan Wafi ke sini!” bergetar suara Wafi membuka pekung di dada. Air mata jatuh menitis atas riba.
Diya tergamam. Tangan kanan menekup mulut yang melopong. Terkejut sekali mendengar pengakuan itu. Bagai mahu luruh jantung Diya saat ini. Tanpa sedar setitis air mata jatuh di pipi Diya. Layakkah manusia itu digelar ayah? Sungguh tidak layak manusia bertopengkan syaitan itu memegang gelaran sebagai ketua keluarga kerana hakikatnya manusia itulah menjadi duri dalam daging. Harapkan pagar, pagar makan padi!
“Wafi…” Diya bawa Wafi dalam pelukannya. Belakang gadis itu diusap lembut. Ya Allah, tergamak seorang lelaki bergelar ayah mencampakkan masa depan anak gadisnya ke dalam lembah kesengsaraan.
“Ayah rogol Wafi ketika emak pergi kerja di kilang. Ayah menganggur lepas kena buang kerja. Ayah jadi kaki botol dan kaki judi,” cerita Wafi dengan bahu terhenjut-henjut mengikut rentak tangis. Terbayang wajah ayah yang diibarat seperti haruan makan anak.
“Cerita kami di semua tak jauh berbeza, kak. Kebanyakan kami di sini jadi mangsa kerakusan manusia yang bertopengkan syaitan. Ada jadi mangsa si musang berbulu ayam. Lelaki yang disangka pelindung rupanya si bangsat! Apabila perut kami memboyot, kami dituduh sebagai perempuan jalang. Kononnya kami yang menjual diri pada lelaki-lelaki binatang,” cerita Fifi pula dengan sedikit beremosi.
“Tapi kak, ustazah selalu ingatkan kami agar tidak membenci lelaki. Ustazah kata, tak semua lelaki tu jahat sama seperti tak semua wanita tu baik. Yang membezakan manusia bukan jantina tapi iman dan takwa kepada Allah. Lelaki akan menjadi pemimpin yang baik apabila dia beriman dan bertakwa pada Allah begitu juga dengan wanita yang baik.” Kali ini Wafi sudah tidak menangis lagi. Dia nampak lebih tenang dan tabah.
“Masyarakat pincang apabila institusi keluarga runtuh. Institusi keluarga runtuh apabila ia dibina dengan iman yang rapuh. Ayah yang menjadi ketua keluarga hanya berilmu duniawi sebaliknya tandus ilmu agama. Anak dan isteri pula tidak terbimbing mengikut acuan islam. Maka lahirlah masyarakat yang pincang,” ujar Ustazah Sarimah yang sudah lama berdiri di tepi pondok.
“Assalamualaikum ustazah,” ucap penghuni Teratak Mekar Kasih yang berada di bawah pondok buluh itu.
Ustazah Sarimah menjawab ucapan doa itu bersama senyuman terus mekar di bibir. Ustazah berusia awal 40an itu bersalaman dengan Diya sebelum duduk di sini Fifi. Ustazah Sarimah mengusap lembut kepala Wafi yang berlapik tudung itu.
“Dendam menjadi bara dalam hati. Kelak disimbah amarah dan kebencian, ia akan membakar diri. Memaafkan sangat sukar namun itulah sebaik-baik penawar bagi hati. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dugaan diberi buat menguatkan keimanan maka itu jangan dijadikan ia punca hati hilang pedoman dan tergadai keimanan,” nasihat Ustazah Sarimah penuh nada keibuan.
Diya senyum nipis mendengar nasihat itu. Terasa umpama nasihat itu turut dilontarkan pada dirinya. Diya pandang Zahil yang merenungnya dari jauh. Beberapa saat kemudian, bibir Diya mengukir senyuman manis buat lelaki itu. Dari jarak jauh, Zahil menyambut senyuman ikhlas itu dengan hati berbunga bahagia.
Hampir seharian pasangan suami isteri itu menghabiskan masa mereka di Teratak Mekar Kasih. Walaupun kehadiran Diya umpama memberi sokongan moral kepada penghuni-penghuni di situ, hakikatnya merekalah yang telah memberi peransang kepada Diya untuk memandang masa depan dengan lebih positif.
Masa silam mereka mungkin berbeza namun luka yang mereka rasa hampir sama. Mereka pernah menyimpan dendam dan kebencian yang serupa. Membenci lelaki kerana lelaki-lelaki bertopengkan syaitan ini telah mencampak mereka dalam kegelapan hati. Tetapi kini, remaja-remaja di sini memiliki hati yang cukup kental berkat kesabaran mereka merawat luka itu. Sesungguhnya hanya iman dan kekuatan cinta pada Allah saja dapat merawat luka di hati.
Diya sedar akan kesilapannya terhadap Zahil. Menghukum lelaki itu kerana kebenciannya terhadap lelaki lain adalah suatu yang tidak adil. Diya insaf. Dia berazam untuk berubah. Berhijrah menjadi manusia yang lebih baik dari hari semalam. Berhijrah menjadi isteri yang baik untuk seorang suami sebaik Zahil Hariz.



2 comments:

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.