ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Friday, March 22, 2013

ISTERI AKU KALIS CINTA 22


Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 22
Sejak peristiwa di Rooftop Restaurant, Zahil cuba menghubungi Rania. Namun wanita itu seakan mengelakkan diri. Panggilan telefon tidak dijawab dan pesanan ringkas yang dihantar tidak dibalas. Zahil mencari Rania hingga ke hospital tempat wanita itu bekerja dan dia diberitahu Rania bercuti. Mengapa Rania seperti menghindarinya? Zahil runsing. Usai makan malam, Zahil terus berusaha menghubungi Rania untuk sekian kali.
Zahil tidak senang duduk. Setiap kali memikirkan peristiwa tersebut, akal Zahil membuat pelbagai andaian. Pada malam itu Rania seperti sangat marah. Zahil kenal Rania. Cukup kenal.
Peristiwa malam itu membuatkan Zahil menyedari perasaan wanita itu. Zahil sangat bimbang seandainya Rania betul-betul menyimpan perasaan terhadapanya. Jika andaian itu tepat, betapa Zahil merasa berdosa kerana melukai hati sahabatnya itu walau tanpa sedar.
“Tolong la jawab, Rania…” gumam Zahil sambil menekap telefon di telinga sambil berjalan mundar-mandir dalam bilik kerjanya.
Sejak beberapa hari lepas, Zahil berusaha menghubungi Rania. Namun tetap hampa. Zahil terduduk lemah atas birai katil.
“Rania masih tak jawab telefon?” soal Diya yang sejak tadi hanya memerhati tingkah Zahil dari celah pintu yang sedikit terbuka. Rupa-rupanya insan tersebut adalah Rania. Bukan ke Rania tu sahabat baik Zahil sejak zaman sekolah? Patut la lelaki itu jadi tidak keruan.
Zahil tersentak. Pantas angkat kepala memandang Diya. Lelaki itu angguk perlahan.
“Awak bergaduh dengan dia?” soal Diya lebih lanjut. Tingkah Zahil yang tampak terlalu gusar itu menarik perhatiannya. Jarang sekali Zahil berkeadaan begitu.
Zahil geleng lemah. Takkan aku nak bagi tahu Diya pasal punca sebenarnya. Nanti tak pasal-pasal Diya sekali pergi menghilang. Orang perempuan ni pelik sikit perangainya. Selalu tak dapat dijangka!
Tiba-tiba telefon ditangan Zahil bergetar apabila satu sistem pesanan ringkas masuk. Tertera nama Rania diskrin telefon. Cepat-cepat Zahil membaca mesej daripada Rania itu. Tidak lama kemudian lelaki itu bergegas bangun dan melangkah keluar dari bilik kerjanya itu. Zahil terus masuk ke kamar tidur untuk menukar pakaian dan keluar semula dengan cukup tergesa-gesa.
Diya sejak tadi masih tercegat di depan pintu hanya menghantar permergian Zahil dengan pandangan kosong. Zahil tidak pernah tergesa-gesa begitu. Isi kandungan mesej yang diterima Zahil menjadi tanda tanya dibenak Diya. Mungkin mesej daripada Rania. Diya membuat andaian sendiri.



Zahil segera merapati Rania yang sudah lama menunggu di tepi tasik Taman Titiwangsa itu. Menyedari kedatangan Zahil itu, Rania segera berpaling memandang lelaki itu. Zahil mengukir senyuman manis. Senang hati setelah dapat bertemu Rania kini. Separuh kebimbangan di hati seakan terhapus.
Namun tiada kata yang terluah antara mereka. Pandangan mata yang bertaut umpama hanya membiarkan mata berbicara. Akhirnya Zahil menundukkan pandangan mata. Bukan tewas pada renungan Rania yang redup itu. Sebaliknya tidak mahu terus menduga isi hati wanita itu melalui pandangan mata yang seakan tembus hingga ke hati. 
 “Aku cari kau sejak malam tu sampai hari ni tau. Kau buat aku bimbang je,” suara Zahil apabila kesepian hanya mengisi ruang antara mereka. Entah mengapa Zahil rasa agak janggal berdepan Rania waktu ini. Tidak seperti selalu, kini suasana mesra seakan diragut pergi.
“Aku minta maaf buat kau bimbang,” lirih suara Rania menjawab.
“Rania, pasal malam tu…aku…” Zahil jadi serba salah. Bimbang sekali andai terus melukakan hati sahabatnya itu. Dia tidak mahu melukakan hati sesiapa.
“Aku tak nak cakap pasal hal tu lagi!” pintas Rania.
Zahil renung raut wajah Rania yang redup itu. Wanita itu seakan menyembunyikan gelora di dasar hati yang sedang berkocak.
“Lebih baik kita jangan berjumpa lagi lepas ni.” Rania bersuara tenang.
Tersentap Zahil mendengar bicara itu. Seakan tidak percaya ungkapan itu terluah di bibir wanita itu. Benarlah Rania mencintainya. Oh! Tuhan…
“Tak…takkan la sampai macam tu.” Sungguh tidak Zahil duga Rania sehingga hendak memutuskan hubungan persahabatan mereka.
Rania mendepani Zahil setelah meraih seluruh kekuatan. Ditatap wajah tampan itu dengan wajah setenang air tasik yang menyembunyikan gelora kencang di dasar hati.
“Aku suka kau, lebih daripada seorang sahabat!” akui Rania tenang.
Riak terkejut terzahir pada raut wajah Zahil walaupun isi hati Rania sudah diduganya. Namun begitu, mendengar luahan setenang itu menyentuh hati Zahil. Betapa dalamnya luka di hati wanita itu untuk mengungkap lafaz tersebut.
“Rania, aku minta maaf.” Zahil tertunduk kesal. Sesungguhnya seluruh kepingan hatinya sudah terukir nama Adelia Dayana Muhamad Azhar. Mana mungkin masih ada ruang untuk diberikan pada wanita itu.
Rania ketawa kecil sambil sekilas berpaling membelakangi Zahil. Saat itu air mata yang terbit ditubir mata pantas diseka.
“Aku tahu… aku tahu itu. Kau tak akan rasa apa yang aku rasa. Kerana itu aku perlukan masa untuk lupakan perasaan ini. Aku tak tahu bagaimana untuk berdepan dengan kau. Aku tak boleh berlakon tenang dengan begitu lama. Kau tahu itu kan?” Rania masih cuba tersenyum sambil terus gagah menahan air mata daripada bertakung.
Zahil angguk lemah. Simpatinya pada Rania namun cintanya tak mungkin diberi kerana simpati. Beginikah yang Diya rasakan terhadapa dirinya? Rasa serba salah kerana tidak dapat memberi cinta pada yang tulus mencintai. Dan dia juga merasakan apa yang Rania rasakan saat ini. Perit rasa cinta yang tidak berbalas.
“Itu saja, Zahil. Aku pergi dulu.” Rania terus melangkah pergi. Meninggalkan Zahil tercegat memandang sayu setiap langkah kakinya.
Zahil menghela nafas yang terasa berat. Dia tahu Rania pasti akan menangis untuk beberapa hari ini. Atau mungkin wanita itu telah lama menangis kerananya sejak pertemuan semula mereka. Mungkin juga sejak sekian lama mereka terpisah. Betapa cinta itu terlalu rumit. Mencintai juga memeritkan dan tidak mencintai juga terasa sakit.


Diya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena sejak Zahil pulang ke rumah setelah keluar tergesa-gesa pada petang hari. Tidak pula Diya bertanya punca sikap Zahil itu kerana bukan sikapnya untuk ambil berat perihal lelaki itu. Entahlah, adakala Diya rasa ingin ambil berat dalam masa yang sama terasa berat hati pula untuk bertanya.
Zahil sedikit murung sejak dua tiga hari ini. Tidak seceria seperti selalu. Namun masih melayan Diya dengan baik cuma lelaki itu kurang bercakap. Tidak seperti selalu di mana mulut lelaki itu becok sekali berceloteh agar rumah mereka tidak sunyi dek kedinginan sikap Diya. Malam hujung minggu itu, Zahil masih kelihatan redup wajahnya.
Ketika Diya melangkah ke ruang tamu, Zahil sedang menonton filem Ringu. Sebuah filem horror dari Jepun. Diya tidak suka menonton cerita seram tetapi tertarik untuk menonton filem Ringu itu setelah dilihat pelakon Jepun kesukaannya, Nanako Matsushima berlakon dalam filem itu. Diya lalu mengambil tempat duduk di sebelah Zahil.
Sekilas Diya dipandang Zahil dengan renungan pelik kerana tidak pernah wanita itu hendak duduk bersebelahan dengannya ketika menonton televisyen. Selalunya Diya duduk di sofa bertentangan. Kalau boleh, Diya seperti hendak duduk sebatu jaraknya dengan Zahil. Takut diambil kesempatan la kononnya.
Baru lima minit Diya duduk di sisi Zahil, lelaki itu merasakan sesuatu yang pelik. Zahil berkalih memandang Diya dan dilihat isterinya sedang duduk memeluk kaki dengan kepala terbenam di tengah-tengah kepala lutut. Zahil senyum saja. Tahulah dia bahawa isterinya ini penakut juga. Bagaimana hendak menonton jika kepala dibenam begitu? Macam mana nak tahu jalan ceritanya? Zahil geleng-geleng kepala.
Setengah jam berlalu dan kini Zahil mula merasakan tangan kanannya terasa perit. Buat pertama kali sepanjang perkahwinan mereka, Diya memeluk lengan tangannya. Awalnya Zahil tersenyum-senyum juga. Tapi apabila dirasakan kuku jari Diya cukup tajam mencengkam kulit tangannya, Zahil merasakan seperti ‘si hantu’ dalam televisyen sudah keluar duduk di sebelahnya. Sedang memeluk lengannya dan mencakar-cakar kulit tangannya.
Sudahnya Zahil hilang sabar lalu menekan butang off pada alat kawalan jauh televisyen.
“Ke…kenapa awak tutup tv tu?” soal Diya yang terkejut dengan tindakan Zahil menutup televisyen. Tangannya masih menggenggam lengan Zahil.
“Sebab hantu dalam tv dah keluar!” jawab Zahil jelas sekali menyindir.
Cepat-cepat Diya lepaskan lengan Zahil. Zahil membelek lengan kanannya yang sudah menampakkan kesan jalur birat yang kemerah-merahan. Raut wajah Zahil menggambarkan rasa pedih kesan cakaran itu.
“Errr…sorry,” ujar Diya yang mula diterpa rasa bersalah. Tidak disangkanya lengan Zahil akan berbirat hingga sebegitu rupa. Sudah lama Diya tidak menonton cerita seram kerana dia amat tidak gemar menontonnya. Tak lain tak bukan sebab dia penakut sebenarnya.
Zahil ambil kedua-dua tapak tangan Diya lalu diangkat tinggi. Jemari isterinya dibelek-belek sebelum menggeleng-geleng kepala.
Mak ai, tajam betul kuku dia macam nak bunuh aku je. Silap hari bulan boleh tembus isi, terputus habis urat nadi aku. Tergeleng-geleng kepala Zahil merenung hujung jari Diya yang runcing itu
“Dah berapa lama awak tak potong kuku ni? Ni bukan cakar hantu saja tapi cakar harimau, cakar beruang semua ada,” ngomel Zahil..
Diya sudah mememekkan muka. Hiba rasanya apabila kuku yang lupa untuk dipotong pendek itu mengundang amarah Zahil. Diya menundukkan muka yang sayu.
“Jom!” Zahil berdiri sambil menarik tangan Diya mengajak wanita itu mengikut langkahnya. Diya ikut saja tanpa banyak cakap.
Masuk ke dalam kamar peraduan, Zahil memimpin Diya dan dibawa duduk atas sofa. Zahil mendapatkan penyepit kuku dalam laci meja solek dan menyerahkan alat pemotong kuku itu kepada Diya. Penyepit kuku itu bertukar tangan.
Zahil duduk berdepan dengan Diya dan memandang isterinya hendak memotong kuku. Diya tidak senang dengan renungan mata Zahil yang asyik memerhatikan dirinya. Namun tetap juga Diya berpura-pura tenang dan mula untuk melakukan tugas memotong kuku.
Diya memegang penyepit kuku dengan tangan kanan dan hendak memotong kuku kirinya. Belum sempat dia bertindak, Zahil menegur agar Diya mengikut seperti cara pemotongan sebenar yang diajar dalam Islam.
“Lebih elok kalau memulakan sesuatu itu didahului dengan anggota kanan. Ikut sunnah Nabi yang mendahulukan perbuatan dengan anggota kanan, potong kuku pun boleh dapat berkat,” ujar Zahil.
Diya jadi malu sendiri. Namun begitu, teguran baik itu dipatuhi juga. Lantas penyepit kuku itu dipegang dengan jari kiri untuk memotong kuku jari kanan. Ternyata Diya tidak begitu mahir menggunakan jari kirinya untuk memotong kuku. Sudah la tidak mahir, ditambah pula dengan perasaan gugup dan segan pada Zahil yang tajam memerhatikan dirinya.
Tanpa Diya sedari Zahil sudah berada di belakangnya. Diya tergamam apabila tubuhnya bagaikan berada dalam dakapan Zahil. Dada lelaki itu bertemu dengan belakang Diya dan kedua-dua tangan Zahil memegang tangan Diya. Tubuh Zahil terasa cukup hangat dan selesa. Dada Diya jadi berdebar-debar.
“Biar saya ajar awak macam mana nak potong kuku.” Zahil bantu Diya memegang penyepit kuku dengan kemas dan perlahan-lahan kuku jari kanan Diya dikepit.
Saat itu Diya jadi tidak tentu arah. Hakikatnya jari-jemarinya terasa longlai dan hanya jari Zahil saja yang bergerak menolak jemari Diya untuk menekan bahagian atas alat penyepit itu. Selesai jemari kanan, diteruskan dengan kuku jari kiri pula. Namun Zahil terus memegang jari kanan Diya untuk memotong kuku kiri walaupun Diya boleh melakukannya sendiri.
Siap memendekkan kuku, Zahil tolong mengikir hujung kuku agar tidak tajam. Lembut saja pergerakan tangan Zahil umpama si ibu yang sedang mengikir kuku bayinya. Lama kelamaan, Diya merasakan Zahil mula membelai jari-jemarinya dengan manja. Diya kian tenggelam dalam kelembutan sentuhan itu. Belaian hangat Zahil membuai perasaan hingga Diya sendiri tidak sedar tatkala dia merelakan setiap sentuhan lelaki itu. Buat pertama kalinya, Diya merelakan Zahil memiliki haknya sebagai suami. Hak yang Diya nafikan selama dia menjadi seorang isteri.
Jika beberapa hari lalu wajah Zahil murung saja, hari ini Zahil ceria bagaikan wajah lelaki itu baru dilimpahkan cahaya. Berseri-seri dengan senyum manis meleret sampai ke telinga. Aura positif lelaki itu cukup luar biasa sehingga orang di sekeliling terkena tempiasnya. Sesiapa yang memandang Zahil pasti turut tersenyum sama. Walau orang itu tak dikenali mahupun orang yang pertama kali ditemui ketika berselisih di tepi jalan. 

Zahil mengunjungi kedai bunga yang selalu dibelinya sejambak bunga ros untuk Diya pada hari rabu setiap minggu. Adik kedai bunga itu sudah boleh cam muka Zahil. Ye la, muka handsome setiap minggu datang takkan mudah nak lupa.
“Saya nak tiga kuntum bunga ros ye,” beritahu Zahil kepada gadis kecil molek yang menjaga di kedai itu.
“Aik? Selalu, a bouquet for a week, hari ni tiga kuntum je?” ujar pekerja butik itu. Namun tangannya tetap laju mengambil tiga tangkai bunga ros merah dan dibungkus cantik. Cermat dan pantas kerjanya tanda sudah sangat mahir.
Ketika jambangan tiga kuntum bunga ros itu dihulur pada Zahil, senyuman lelaki itu kian melebar.
“Awak tak tahu ke maksud tiga kuntum bunga ros?” soal Zahil sambil menghulur beberapa keping not kertas untuk pembayaran. Gadis kecil molek itu geleng perlahan.
I…LOVE…YOU…” ucap Zahil penuh penghayatan seolah-olah Diya berada di hadapannya saat ini.
Pekerja kedai bunga itu tercengang. Terkebil-kebil tatakala mendengar lafaz cinta yang seolah-olah dilauhkan padanya. Macam tercekik saja dek rasa tak percaya mendengar lafaz penuh bermakna daripada seorang jejak kacak bergaya. Menggeletar jari-jemari gadis kecil molek itu tatkala menghulurkan baki wang kepada Zahil.
“Itu la makna tiga kuntum mawar. Macam mana? Hebatkan!” seloroh Zahil bernada serius.
Gadis itu telan air liur. Teragak-agak dia mengangguk kepala. Zahil ketawa kecil sambil melangkah keluar daripada kedai bunga itu.
Selangkah keluar daripada kedai bunga, Zahil terserempak dengan Rania yang secara kebetulan baru keluar daripada kedai buku di sebelah kedai bunga itu. Zahil terpaku begitu juga dengan Rania. Sekilas Rania memandang jambangan bunga ditangan Zahil lalu bibirnya mengukir senyuman yang terasa begitu payah untuk dibentuk. Zahil mengorak langkah mendekati Rania.
Stop!” arah Rania seterusnya mematikan langkah kaki Zahil.
“Saya belum bersedia, Zahil. Elok awak terus saja berjalan seolah-olah awak tak nampak saya di sini. Itu lebih baik,” ujar Rania tanpa memandang wajah Zahil. Seumpama tidak sudi untuk dipandang.


Zahil terkedu. Mata Zahil menatap sayu wajah Rania yang berpaling daripada bertemu pandang dengannya. Zahil mengikut kehendak Rania. Lelaki itu terus melangkah pergi dan melintasi Rania seumpama wanita itu tidak wujud di situ.
Air mata Rania yang tertahan-tahan gugur membasah pipi di saat Zahil mula berselisih dan kian menjauh daripadanya. Kakinya terasa longlai namun digagahkan juga mengatur langkah mendapatkan kereta Honda City berwarna habanero red yang diletakkan berdepan dengan deretan kedai.


Zahil cuba melupakan perihal Rania buat seketika dan menumpukan perhatian terhadap makan malam istimewa yang telah dirancangnya sejak awal pagi lagi. Makan malam paling istimewanya bersama-sama Diya. Walaupun tidak semewah makan malam di Rooftop Restoran namun suasana romantik tetap ada.
Zahil menunggu kedatangan Diya dengan perasaan teruja. Seluruh restoran itu telah ditempahnya istimewa untuk makan malam ini. Sengaja Zahil hendak membuat kejutan. Zahil hanya meninggalkan nota pada isterinya sebelum keluar dari rumah pada pagi hari dan dia sudah mengingatkan Diya tentang makan malam istimewa mereka melalui sistem pesanan ringkas yang dihantar pada petang harinya.
Zahil kerling jam di tangan apabila dirasakan sudah agak lama dia menunggu kemunculan Diya yang masih belum nampak batang hidungnya. Sepuluh minit telah berlalu daripada waktu yang telah dijanjikan. Zahil masih sabar menunggu. Apa yang hendak berkira dengan masa selama sepuluh minit sedangkan lelaki itu telah menunggu Diya selama tujuh bulan perkahwinan mereka.
Satu jam berlalu, Zahil mula resah. Jambangan tiga kuntum bunga rosnya dipandang sepi. Kemudian pandangan beralih pula pada kumpulan pemain biola yang telah diundang khas untuk menemani makan malam ini dengan muzik romantik mereka. Irama biola yang mendayu-dayu awalnya terasa romantik namun kini seperti irama melankolik.
Namun sabar lelaki itu masih jitu. Tetap juga Diya ditunggu dengan hati dibisikkan sangkaan yang baik-baik. Mungkin awalnya Diya terlupa dan kini bergegas datang. Mungkin juga Diya mempunyai apa-apa aral yang merintang seperti perut memulas secara tiba-tiba atau apa-apa saja kemungkinan. Ah! Semua itu benar-benar sangkaan yang hanya dibisik untuk menenangkan hati. Tetapi si hati sukar sekali hendak mengerti. Tetap juga resah menanti.
Sesungguhnya masa terus berjalan dan tidak pernah sesaat juga menunggu. Sinar bahagia yang menyinari wajah Zahil dengan keceriaan kini sudah pudar cahayanya. Redup saja raut wajah Zahil dek kehampaan. 

Zahil sudah meminta dipanjangkan tempoh masa tempahan sehingga waktu tamat operasi restoran kerana sangat yakin Diya akan datang. Namun penantian lelaki itu berakhir dengan kekecewaan. Akhirnya Zahil melangkah keluar dengan hati yang walang. Duit yang dihabiskan untuk makan malam itu bukanlah sesuatu yang dikisahkan. Hati dikecewakan oleh penantian lebih menyakitkan.
Zahil melangkah menuju kereta dengan membawa jambangan bunga yang tidak bertemu penerimanya. Masuk saja dalam perut kereta, jambangan bunga itu Zahil campak ke tempat duduk sebelahnya. Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit dan dilihatnya tiada mesej mahupun panggilan daripada Diya. Zahil merengus kasar. Sejak tadi lagi Zahil cuba menghubungi Diya namun tidak berjawab. Zahil menghela nafas berbaur amarah yang tertahan.


Awal pagi lagi Zahil sudah keluar dan Diya hanya ditinggalkan dengan nota bertulis tangan. Lama Diya merenung nota tulisan Zahil itu. Hati Diya jadi berbolak-balik. Diya sedar betapa bahagianya Zahil sejak peristiwa semalam. Diya juga yakin nota meminta dirinya datang untuk makan malam bersama-sama lelaki itu pada malam ini pasti berkaitan dengan peristiwa malam semalam.


Diya terduduk atas birai katil dengan hati yang resah. Betapa wanita itu merasa serba salah atas apa yang berlaku. Mengingatkan peristiwa semalam, Diya jadi malu sendiri bercampur rasa geram pada Zahil. Andainya lelaki itu tidak mengambil kesempatan, pasti semua itu tidak berlaku. Diya juga marahkan diri sendiri yang tewas pada godaan Zahil.
Diya jadi tidak tentu arah sepanjang hari. Di butik juga dia terbawa-bawa resah dan beban masalah yang membelenggu fikiran. Apa yang dicakap pada Diya lain pula yang didengarinya. Lalu Diya jadi gopoh dan cemerkap. Maka itu, berkali-kali dia diherdik oleh seorang pelanggan yang agak sombong dan cengil. Sehingga akhirnya Syifa menggantikan Diya untuk melayan kerenah pelanggan itu.
Oh! Tuhan…apa sudah jadi dengan aku ni? Bukan ke aku sepatutnya senang hati dapat terima Zahil. Tapi…tapi kenapa aku jadi macam ni? Ya Allah, peliharalah hati hambaMu ini daripada bisikan-bisikan jahat syaitan yang tiada kenal erti putus asa dalam memesongkan kehidupan manusia. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menyingkirkan segala prasangka dalam hati ini. Sesungguhnya aku hanya manusia biasa yang bersifat khilaf.
Diya tidak jemu-jemu berdoa kepada Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran Zahil dalam hidupnya. Walau ada secalit ketakutan dalam diri, Diya singkirkan prasangka buruk terhadapa Zahil dengan mengingatkan diri tentang segala kebaikan lelaki itu selama ini. Zahil yang sabar melayan kerenahnya. Zahil yang tenang berdepan kedinginan sikapnya. Ya Allah, aku mohon agar segala kebaikan di depan mataku ini adalah kebaikan yang lahir dari hati yang ikhlas.
Malam itu Diya bersiap-siap untuk pergi makan malam di restoran yang tertulis dalam nota yang Zahil tinggalkan padanya awal pagi tadi. Malah Diya mengenakan dress labuh berwarna putih yang telah Zahil letakkan atas katil. Diya tergamam juga tatkala terpandang pakaian indah itu saat pulang daripada kerja. Tidak disangkanya Zahil sanggup berhabis untuk makan malam mereka.
Diya dapat menduga Zahil menyediakan makan malam istimewa pada malam ini. Istimewa yang bagaimana itu tidak Diya dapat jangka. Yang pasti, ia makan malam yang romantik kerana Zahil seorang suami yang romantik! Teringat perihal perbuatan romantik Zahil sebelum ini, tanpa sedar bibir Diya mengukir segaris senyuman.


Diya tiba di hadapan restoran yang tertulis seperti dalam nota yang ditinggalkan Zahil padanya. Namun Diya tidak terus masuk ke dalam sebaliknya tercegat di bahu jalan bertentangan dengan restoran itu. Dari luar, Diya dapat melihat suasana dalam melalui dinding kaca restoran itu. 
Melalui dinding kaca jernih itu, Diya dapat lihat sebuah meja yang diterangi cahaya daripada dua batang lilin. Kemudian terdapat sekumpulan pemain muzik sedang menggesekkan biola masing-masing.  Melihat itu semua, dada Diya berdebar-debar dan nafas terasa sesak sehingga seluruh urat nadi bagaikan lumpuh. Berkali-kali Diya telan air liur tatkala degupan jantung terasa kian kencang.
Sungguh, ia bagaikan satu mimpi. Mimpi ngeri yang berulang kembali. Mimpi pada malam yang mencetus segala tragedi. Malam bahagia yang berakhir duka buat seorang lelaki yang melafazkan cinta. Malam yang menjadi permulaan kepada sejarah hitam buat seorang wanita sehingga hilang kepercayaan kepada cinta dan lelaki. Di tempat yang sama dengan latar suasana yang tidak jauh berbeza. Segala-galanya bagaikan ulang tayang di depan mata.
Diya dikejutkan dengan deringan telefon. Dari kejauhan, dilihatnya Zahil sedang menekap telefon di telinga sebelum menurunkan tangan dan serentak itu juga deringan telefon bimbit Diya terhenti. Zahil di dalam restoran sedang menantikan dirinya sedangkan dalam masa yang sama dirinya sedang bergelut hebat dengan debaran kencang di dada tatkala memori silam kembali terimbau di ruang ingatan. Diya tersepit oleh rasa bersalah.
Diya menapak selangkah untuk mendekati restoran di depan mata tetapi saat itu juga bayangan Zakuan menerpa di ruang mata. Langkah kaki Diya terhenti. Sendi kaki terasa longlai untuk meneruskan langkah yang seterusnya.  Air liur ditelan berkali-kali tatkala bunyi degupan jantung mampu didengari telinga sendiri.
Diya tak kuat lagi. Sungguh dia tidak kuat untuk melawan perasaan. Bayangan Zakuan seakan satu sumpahan yang sentiasa menghantui Diya. Menghalang daripada wanita itu meneruskan langka kakinya. Mencengkam Diya dengan rasa ketakutan dan merapuhkan keyakinan untuk mendapatkan Zahil yang sudah lama menanti isterinya dengan kesabaran.
Tergopoh-gapah Diya mengundurkan diri. Langkah kakinya tidak teratur umpama berlari tidak cukup tanah. Tanpa memandang kiri dan kanan, Diya berlari ke tengah jalan raya untuk ke seberang.
“Breeekkk!” bunyi break kereta serentak dengan tubuh Diya yang rebah atas jalan raya.
“Ya Allah, cik tak apa-apa? Kenapa melintas tiba-tiba ni?” sapa pemilik kereta yang hampir saja melanggar Diya.
Diya yang jatuh terduduk atas jalan tidak memberi sebarang tindak balas. Tubuh wanita itu menggigil sehingga gigi atas berlaga dengan gigi bawah.
“Cik…” pemandu kereta itu menghampiri Diya lalu menyentuh lembut bahu wanita itu untuk memastikan Diya berkeadaan baik. Wajah Diya dapat dilihatnya dari arah sisi walaupun wanita itu masih menunduk kepala.
“Diya!” terkejut sekali apabila wanita yang hampir saja dilanggar tadi adalah seseorang yang dikenalinya.
Diya angkat muka menatap wajah lelaki yang menyebut namanya. Mata Diya yang berkaca masih dapat mengecam wajah lelaki itu. Kelopak mata Diya yang tidak berkelip-kelip akhirnya tertutup sesaat menyebabkan air mata berguguran jatuh ke pipi.
“Awak tak apa-apa ke?” soal Syamil bernada kebimbangan. Semakin risau apabila wanita di hadapannya kini terus membisu.
Diya gigit bibir menahan sendu yang rancak berirama. Pandangan mata Diya mulai kabur dan badannya terasa semakin longlai. Diya rebah dan Syamil sempat menahan tubuh Diya daripada jatuh atas jalan.


Syamil membawa Diya ke hospital. Lelaki itu setia menunggu doktor yang sedang memeriksa keadaan Diya keluar memberikan keputusan hasil pemeriksaannya. Sambil menunggu, Syamil belek telefon bimbit milik Diya. Syamil melihat skrin telefon itu dan mendapati terdapat sepuluh panggilan telefon tidak dijawab. Lalu dia memeriksa nombor panggilan yang masuk dan didapati semua panggilan itu adalah daripada pemanggil yang sama. ‘Zahil’.
Siapakah ‘Zahil’?. Syamil diterpa tanda tanya. Dia hendak menekan butang menelefon nombor Zahil itu. Belum sempat dia berbuat begitu, pintu wad terbuka dan Doktor Haryati muncul dengan seulas senyuman.
“Encik tak perlu risau. Isteri encik berkeadaan baik. Sebaiknya encik nasihatkan isteri agar banyakkan rehat dan tenangkan fikiran. Luka pada kaki isteri encik juga tak serius. Saya sudah nasihatkan dia agar tak banyak bergerak.” Doktor Haryati menitipkan nasihat pada Syamil kerana menyangka lelaki itu adalah suami kepada Diya.
“Errr…thanks doktor. Tapi saya bukan suami pesakit. Saya cuma kawan dia.” Syamil memilih untuk berkata jujur. Doktor Haryati tersenyum malu atas kesilapannya. Segera doktor wanita yang masih muda itu meminta maaf.
Syamil mendapatkan Diya yang terbaring lesu atas katil. Beberapa jam saja lagi, Diya sudah boleh keluar daripada wad. Wanita itu hanya perlu berehat sementara menunggu air dimasukkan dalam tubuh melalui saluran tiub kecil yang dicucuk dibahagian pergelangan tangan.
“Awak ok?” soal Syamil tatkala Diya memandang arahnya.
“Saya ok. Saya nak balik.” Keputusan Diya itu disambut Syamil dengan senyuman nipis.
“Sekejap lagi awak boleh balik. Rehat la dulu. Tunggu air tu semua masuk dalam badan awak tu. Nanti baru kuat nak berjalan. Tak la jatuh lagi macam tadi.”
Diya senyum kelat mendengar bicara Syamil itu. Syamil masih setia di sisi katil menunggu Diya sementara Diya pula sudah memalingkan wajahnya. Diya tahu Syamil inginkan jawapan tentang peristiwa Diya meluru ke tengah jalan raya secara tiba-tiba. Melarikan pandangan dari bertemu muka dengan Syamil adalah cara terbaik untuk mengelak daripada bersoal jawab tentang perkara tersebut. Syamil memahami keengganan Diya untuk berbual perihal perkara itu membuat keputusan untuk diam saja.


“Betul awak ok?” Syamil menyoal untuk sekian kali. Diya angguk kepala sebagai jawapan kepada soalan itu.
Syamil menghela nafas lembut. Walaupun doktor mengesahkan keadaan Diya tidak membimbangkan, lelaki itu tetap risau. Kebimbangan lelaki itu berpunca daripada raut wajah Diya yang redup dan tidak bermaya.
Jiwa Syamil memberontak untuk mendapatkan jawapan bagi meleraikan masalah yang melanda wanita yang sudah mencuit hatinya. Tidak tega rasanya melihat Diya lemah dan tidak bermaya dek masalah yang membebani jiwa. Sebagai lelaki yang mula dicuit perasaan cinta, Syamil ingin memperlihatkan sifat prihatin.
“Awak betul-betul ok? Saya risau tengok keadaan awak.” Syamil menyuarakan rasa hatinya. Saat ini kereta Proton Pesona dipandu Syamil sudah berhenti di luar pagar kediaman Diya. Lelaki itu berbaik hati menawarkan diri untuk menghantar Diya pulang.
“Syamil, saya ok. Terima kasih ye,” ujar Diya mendatar. Sejurus itu Diya keluar daripada perut kereta dengan bersusah payah.
Syamil terkocoh-kocoh keluar daripada kereta dan mendapatkan Diya. Berbaik hati untuk membantu namun pertolongan ikhlas itu ditolak Diya.
“Saya boleh keluar sendiri. Terima kasih saja. Saya tak nak nanti ada yang salah faham.” Terus terang Diya itu mencipta kerutan pada raut wajah Syamil.
Syamil memandang saja Diya melangkah keluar dari dalam perut kereta. Apabila wanita itu sudah memasuki perkarangan halaman rumahnya, Syamil masih tercegat memandang Diya sambil menyandar pada badan kereta Proton Pesona miliknya.
“Syamil…” Syamil angkat kening apabila Diya menyebut namanya. Lelaki itu ukir senyuman manis apabila mata mereka bertemu.
“Terima kasih.” Diya mengucapkan kata penghargaan itu dengan ikhlas.
 Ucapan itu sudah cukup membuatkan hati Syamil berbunga mekar. Oh! Adakah bunga-bunga cinta sedang berkembang mekar di dalam taman hati Syamil? Sesungguhnya lelaki itu tidak mengetahui akan status diri Diya sebagai isteri orang.
“Errr…Diya, boleh saya…” lelaki itu telan air liur beberapa kali. Hatinya bergetar untuk meneruskan ungkapan yang tergantung tatkala mata Diya terus menjamah wajahnya yang sudah merenek peluh di dahi. Dahi Diya terangkat menanti Syamil melengkapkan ayat tergantungnya.
“Nombor telefon…please.” teragak-agak Syamil meletakkan noktah pada permintaan itu. Takut juga andai diri dihampakan.
Diya tidak terus memberikan jawapan. Wanita itu terlebih dahulu menutup pintu pagar dan mengunci pintu pagar. Syamil menanti penuh debar. Tidak lari matanya daripada mengikut setiap pergerakan Diya.
“Saya isteri orang Syamil,” jujur Diya dengan harapan menjelaskan segala-galanya pada lelaki di hadapannya. Jawapan yang bakal memberi pengertian pada Syamil bahawa dirinya bukan wanita yang layak untuk dicintai oleh lelaki itu.
Ternyata kebenaran yang diungkap Diya sungguh memeranjatkan. Tubuh Syamil yang condong menyandar pada badan kereta terus tertegak. Lelaki itu kelu seribu bahasa. Hanya mata saja mampu membicarakan betapa kebenaran itu mengejutkan malah mematikan kuntum-kuntum bunga cinta yang baru saja mekar menguntum di taman hati.
“Ooo…ye. Errr…Zahil?” Syamil menduga.
Diya tersentak. Bagaimanakah Syamil tahu?
“Errr…saya tengok telefon awak tadi. Ada banyak panggilan awak tak jawab. Semua daripada Zahil. Sorry…” akui Syamil tanpa berselindung.
Diya angguk perlahan. Fikirannya terarah pada Zahil yang mungkin masih menunggu. Ah! Betapa lelaki itu terlalu sabar dalam menanti dirinya. Sejak dulu hingga kini, Zahil terus sabar sehingga Diya tidak tahu di mana penghujung kesabaran lelaki itu.
“Saya doakan awak bahagia,” ucap Syamil sebelum memboloskan diri ke dalam kereta.
Diya menghantar pemergian Syamil sehingga Proton Pesona dipandu lelaki itu hilang dari pandangan.


Syamil ketawa dan terus ketawa. Memikirkan dirinya yang telah jatuh cinta pada isteri orang benar-benar menggeletek kelucuan di hati.
“Diya…Diya…” Nama itu disebut dengan ketawa yang masih bersisa.
Mungkin itulah cara bagi Syamil mengubat kekecewaan dirinya. Patah hati setelah cintanya pada Adelia Dayana adalah sesuatu yang mustahil. Mustahil untuk bersatu melainkan Diya berpisah dengan Zahil. Namun Syamil bukan pemusnah rumahtangga orang lain kerana cinta luhurnya bukan untuk meruntuhkan bahagia sesiapa.
Syamil teringat pada pertemuan pertama mereka. Ketika itu dia menjadi wira yang menyelamatkan Adelia Dayana yang diragut. Syamil yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak pantas menerpa ke arah peragut yang cuba melarikan beg tangan Diya. Pergelutan berlaku antara kedua-dua mereka sebelum Syamil berjaya menumpaskan peragut itu setelah beberapa orang awam turut datang memberikan bantuan.
Syamil mengakui saat itulah dia mula jatuh hati pada Adelia Dayana. Jatuh hati pada pandang pertama tatkala matanya menatap raut wajah indah wanita itu. Betapa kecantikan wanita itu mudah menggetarkan perasaannya. Malah sikap wanita itu yang agak dingin mengusik hatinya.
“Kadangkala manusia terpesona oleh kecantikan. Menyangka itulah cinta. Cinta seharusnya tidak mengira paras rupa. Adelia Dayana… selamat tinggal cinta!” bisik Syamil seraya memusing stereng kereta di persimpangan jalan.

3 comments:

  1. yup..best...dah lame sgt akak tak update entry novel ni... ^^

    ReplyDelete
  2. Makin menarik. Harap Diya boleh meluah perasaanya dgn Zahil. Next N3 plzzz!

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.