BAB 30
Zahil membuka pintu lalu pandangan matanya bertemu
dengan Diya yang duduk bersandar pada kepala katil. Lelaki itu melangkah masuk
ke dalam kamar tidur dengan wajah mencuka. Diya gigit bibir menahan rasa
bersalah.
“Awak…” suara Diya memecah kesepian. Mata Diya masih
terarah pada Zahil yang sedang menukar pakaian. Zahil langsung tidak memandang
Diya. Khusyuk sekali menyalin baju.
“Zahil, saya minta maaf. Saya tak berniat buat awak
tunggu. Saya datang, tapi…” bicara Diya mati di situ apabila mata sepet Zahil
menikam wajahnya. Diya telan air liur beberapa kali.
“Tapi awak tak muncul juga setelah berjam-jam saya
tunggu! Awak pergi mana?” keras suara Zahil walaupun nadanya masih mendatar.
Diya terkedu. Wajah tegang Zahil dipandang dengan
rasa sayu. Betapa dia rasa berdosa kerana membuat lelaki itu menunggu begitu
lama. Namun masa silam yang mengejar bagaikan bayang-bayang membuatkan Diya
ketakutan. Takut menerima Zahil. Takut mencintai Zahil. Takut terluka dan
kecewa. Ketakutan yang membuatkan Diya jadi pentingkan diri.
Zahil berdiri tegak memandang Diya seolah-olah
wanita itu hendak diterkamnya. Dada lelaki itu berombak kencang menahan amarah
yang membuak-buak.
“Saya hanya inginkan
cinta, Diya. Saya tak minta banyak. Saya hanya mahukan seorang isteri yang
mencintai saya,” ujar Zahil bernada seakan merayu. Merayu cinta daripada seorang
isteri.
Hati Diya tersentuh.
Mata Zahil yang seakan berkaca membuatkan Diya menundukkan muka. Terlalu malu
untuk membalas pandangan mata suaminya.
“Beritahu saya, apa
kurangnya saya? Apa tak layak ke saya untuk dicintai?” duga Zahil. Intonasi
suara lelaki itu menzahirkan kekecewaan diri.
“Saya fikir semalam
adalah permulaan episod bahagia dalam hubungan kita. Saya sangka awak dah buka
hati awak untuk saya. Tapi saya silap. Saya silap!” keluh Zahil bernada duka.
Tapak tangan meraup muka yang tegang.
“Zahil, saya minta
maaf…” hanya itu yang mampu dilafazkan Diya.
Zahil menerpa naik atas
katil. Mendapatkan Diya dan mencengkam bahu wanita itu. “Saya tak mahu
permohonan maaf Diya!” meninggi suara Zahil seterusnya mengejutkan Diya. Tak
berkelip mata Diya melihat tingkah Zahil yang kasar menggoncang kedua-dua
bahunya.
“Saya minta awak cintai saya bukan minta
maaf!” jerit Zahil. Telinga Diya bagai dijentik. Jantungnya tersentap dek
jeritan keras itu.
“Kenapa awak siksa saya
begini? Kenapa awak buat saya kecewa?” soal Zahil dengan wajah merona merah.
Diya renung ke dalam
mata Zahil yang merah dan berkaca itu. Bibir Zahil menggigil dengan tulang pipi
bergerak-gerak. Akhirnya Diya menundukkan muka. Saat ini hati Diya rasa sakit.
Sakit menelan kata-kata dan tingkah kasar Zahil terhadap dirinya.
“Akhirnya… dan akhirnya
awak kecewa,” lirih suara Diya dengan senyum tawar menghiasi bibir.
“Maksudnya?” Tangan
Zahil masih kejap mencengkam bahu Diya.
Diya angkat muka
memandang Zahil. Matanya cukup berani menentang mata Zahil yang tajam menikam
wajahnya.
“Zahil Hariz, sebelum
kita kahwin, berapa kali awak datang mendekati saya? Berapa kali saya tolak
awak?” tujahan persoalan itu meleraikan cengkaman tangan Zahil pada kedua-dua
bahu Diya.
“Kenapa awak diam?” Diya
senyum sinis. Wanita itu menapak turun daripada katil. Berdiri di sisi katil
dan memandang Zahil yang terduduk atas tilam dengan kepala tertunduk.
“Berkali-kali saya
cakapkan yang saya tak cintakan awak! Berkali-kali saya cakap saya tak akan
dapat cintai awak! Tapi awak degil. Cinta! Dan sekarang awak kecewa dengan
cinta itu bukan? Sekarang awak nak buat apa? Awak nak ceraikan saya?”
Berdesing telinga Zahil
mendengar perkataan ‘cerai’ meniti di bibir Diya. Lelaki itu pantas berpaling
memandang isterinya.
“Diya, awak salah
faham…” suara Zahil kembali merendah.
“Saya tak peduli salah
faham atau tak. Saya tetap tak cintakan awak! Dan mulai malam ni, saya sangat
yakin untuk tidak belajar mencintai awak,” tegas Diya.
Sesungguhnya tingkah
kasar Zahil kali ini telah melukai Diya. Menguatkan lagi prinsip wanita itu
untuk terus kalis cinta. Pada Diya, lelaki suka menggunakan kekerasan terhadap
wanita. Tanpa sedar atau tak, kekerasan mereka bukan dapat melenturkan
sebaliknya mematahkan.
Diya kemudian melangkah
untuk keluar daripada kamar itu. Baru saja kaki menapak tiga langkah, Diya
tertunduk menyentuh lutut kanan yang terasa perit. Wajahnya berkerut menahan
sakit pada bahagian lutut yang cedera akibat kemalangan tadi.
“Diya!” Zahil pantas
menerpa.
“Jangan sentuh saya!”
tingkah Diya sambil menepis tangan Zahil yang menyentuh lengannya.
“Diya, awak cedera ke?”
Diya buat bodoh. Mengiakan tidak, menggeleng pun tidak.
Zahil tidak pedulikan
kedinginan isterinya. Tangannya ingin menyelak seluar baju tidur Diya namun
Diya berdegil. Diya menyanggah tangan Zahil daripada menyelak kaki seluarnya.
Tidak mahu luka pada kepala lutut kaki kirinya dilihat Zahil.
Zahil berkeras dan Diya
tetap berdegil. Bengang dengan sikap kepala batu Diya itu, Zahil bangkit dan
mencembung tubuh Diya. Diya meronta-ronta apabila tubuhnya sudah diangkat
tangan sasa Zahil. Diya menjerit-jerit minta dilepaskan namun tidak dipedulikan
Zahil. Rontaan Diya berhenti setelah Zahil membaringkannya atas katil.
“Apa awak cuba buat ni
hah?” marah Diya sambil bangun daripada posisi baring. Merah wajahnya dek marah
dan malu yang bercampur baur.
Zahil cuba menyentuh
hujung kaki seluar kanan Diya untuk melihat luka di lutut isterinya. Diya
tampar tangan Zahil. Zahil pandang wajah Diya yang terjegil dengan bibir
diketap. Terasa lucu melihat reaksi Diya itu, Zahil mengukir senyum manis. Mood Zahil sudah berubah sama sekali.
Suhu hatinya jatuh mendadak.
“Kenapa? Awak malu ke?”
duga Zahil dengan senyuman meleret di bibir. Diya memalingkan muka. Geram
melihat senyuman Zahil yang seakan mengejek dirinya.
Zahil mendekat dan
berbisik di telinga kanan wanita itu. “Nak malu apa, saya dah tengok lebih dari
tu!”
Berdesing telinga Diya
mendengar bisikan Zahil yang lirih menusuk telinga. Mata Diya makin membulat
bersama darah yang menyirap naik. Lalu Diya berpaling menentang pandangan mata
Zahil. Mata Diya bergerak mengikut pergerakan mata Zahil yang meliar ke seluruh
wajahnya.
“Itu yang awak nak
kan?” ucap Diya dengan gigi diketap menahan gelojak amarah.
Zahil tidak menjawab.
Tetap menikam renungan mata Diya yang menyala api amarahnya. Siap tersengih
tayang gigi lagi.
“Awak dah dapat,
sekarang dah puas?” sinis Diya. Perasaan benci mula menyucuk hati.
Zahil ukir senyum
sinis. Sengaja beraksi mengikut rentak Diya. Zahil tahu Diya sedang marah.
“Awak rasa?” Zahil
menduga dan Diya semakin berapi. Jawapan dalam bentuk soalan yang diutarakan
Zahil sungguh membakar kesabaran Diya yang tipis.
“Saya benci awak!”
jerit Diya. Diya rasa hatinya bagai dipijak-pijak. Tulang pipinya
bergerak-gerak. Mahu saja tapak tangan ini dilayangkan ke pipi suaminya.
Zahil terus meleretkan
senyum sinis. Sudah diduganya Diya akan melafazkan kebencian. Entah mengapa
Zahil sengaja mengusik kebencian di hati Diya. Sengaja untuk memastikan benci
itu sebenarnya benci atau dalam diam adanya rasa sayang.
Agak lama suasana sepi
antara mereka. Masing-masing membalas tikaman mata yang mengungkap bicara hati
yang bisu.
“Tapi saya cintaka
awak, Adelia Dayana,” ucap Zahil bernada sayu.
Bergetar hati Diya
mendengarkan ucapan itu. Lidah Diya jadi kelu.
Zahil kemudian mengukir
senyuman manis sebelum bertindak mengucup lembut pipi mulus Diya. Diya terkedu.
Hendak dimarah akan perbuatan itu, segalanya berlaku dengan pantas. Zahil juga
sudah menghilang di balik daun pintu. Meninggalkan Diya berperang dengan
perasaan sendiri.
Zahil duduk atas kerusi di dalam bilik kerjanya.
Tubuhnya membongkok menongkat dahi pada tangan. Zahil menghela nafas panjang sambil menutup kelopak
mata. Hatinya membisikkan kesabaran untuk terus mengejar cinta Diya. Dia tidak
menyalahkan isterinya kerana perkahwinan yang terjadi sudah diketahui bukanlah
sepenuh rela oleh Diya. Kesudian Diya untuk menerimanya sebagai suami sudah
mengembirakan Zahil.
Pada Zahil, mencari
cara buat menyentuh dasar hati Diya dengan keikhlasan cintanya menjadi
tanggungjawab diri. Biar mengambil masa sepuluh tahun untuk memiliki cinta
Diya, Zahil sanggup menunggu. Kerana dia mahu hidup di sisi Diya untuk seumur
hidupnya. Kerana Allah telah mengikat hatinya pada wanita itu dan dipohon agar
ikatan hati itu berpanjangan hingga ke syurga.
Zahil memahami setiap
tingkah Diya. Marah Diya tak bermakna dia tidak suka. Kata benci di bibir Diya
tak bermakna benci juga di hati. Adakalanya kasih sayang Diya terluah melalui
bebelan-bebelan yang membuatkan Zahil menahan ketawa. Itulah wanita yang
menjadi permaisuri di hati Zahil. Isteri yang Zahil terima segala kekurangan
dan kesempurnaan seadanya.
Betapa lelaki itu
mencintai tanpa syarat. Tidak ditunding jari pada Diya yang gagal membenih
cinta padanya sebaliknya silap itu diletak pada diri yang gagal mencurah cinta
yang menyentuh dasar hati Diya.
Zahil buka semula
kelopak mata. “Ya Allah, aku mencintai dia. Maka kau benihkan cinta di hatinya
untuk diriku ini. Sesungguhnya aku manusia biasa yang mempunyai batasan
kesabaran. Kau kukuhkan kesabaran dalam diriku untuk meraih cintanya tanpa
terkurang cintaku terhadap Mu ya Allah…” doa Zahil dengan sepenuh hati.
Zahil menyapu muka
untuk mengaminkan doanya. Kemudian dirasakan ada cecair yang melekat pada tapak
tangan. Dilihat tapak tangannya melekat dengan cecair berwarna merah. Zahil
menyentuh hidung dan didapati cecair merah mengalir daripada lubang hidungnya.
Dia sememangnya kerap
mengalami hidung berdarah malah sejak kecil lagi tubuh badannya lemah. Ketika kecil,
Zahil selalu mengalami demam yang teruk. Setelah meningkat remaja barulah dia
jarang mengalami deman yang teruk dan tahap kesihatannya lebih baik.
Lelaki itu mencapai
beberapa helai tisu atas meja kerja dan menekup pada lubang hidung. Agak lama
barulah darah merah pekat itu berhenti mengalir. Zahil kemudian berbaring atas
sofa di satu sudut dalam ruang bilik kerja itu. Tisu baru yang masih putih
masih ditekup pada hidung kerana bimbang andai cecair merah itu mengalir keluar
lagi.
Mengingatkan zaman
kanak-kanaknya, Zahil terkenangkan Rania. Rania adalah sahabatnya sejak kecil
lagi. Malah Rania membina cita-cita untuk menjadi seorang doktor juga adalah
kerana dirinya. Kononnya Rania mahu menjaga Zahil setiap kali lelaki itu sakit.
Mahu menjadi teman yang sentiasa ada disaat Zahil lemah. Zahil menghela nafas
yang terasa berat di dada. Betapa dia tidak menduga bahawa Rania menyimpan
perasaan terhadapnya sejak sekian lama.
Mata Zahil memandang
syiling setelah kepala diletakkan pada bantal kecil atas sofa itu. Kini otaknya
ligat memikirkan kesinambungan cerita cintanya pada Diya. Mungkinkah bahagia
andainya mencurah cinta pada yang tak sudi?
Diya bertembung dengan Zahil sebaik saja keluar
daripada kamar tidur. Wanita itu jadi tak tentu arah. Tidak tahu ke mana hendak
di arahkan pandangan mata tatkala mata Zahil menyorot wajahnya.
“Assalamualaikum, selamat pagi,” ucap Zahil dengan
senyuman manis terukir di bibir.
Teragak-agak bibir Diya bergerak mengukir senyuman
balas. Rasa bersalah tentang perkara semalam membuatkan kedinginan Diya sedikit
kendur. Sedaya upaya dia tidak mahu menambah kelukaan di hati lelaki itu.
Kata-kata Zahil malam semalam sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Sepanjang
malam dia tidak lena tidur diganggu bicara Zahil yang terngiang-ngiang di
telinga.
“Saya hanya inginkan
cinta, Diya. Saya tak minta banyak. Saya hanya mahukan seorang isteri yang
mencintai saya,” bicara itu kembali berkumandang dalam kotak ingatan. Diya
ketap bibir.
“Beritahu saya, apa
kurangnya saya? Apa tak layak ke saya untuk dicintai?” Diya pejamkan mata.
Kemudian wanita itu geleng-geleng kepala seolah-olah cuba untuk membuang
ingatan itu dari minda.
“Kenapa awak siksa saya begini? Kenapa awak
buat saya kecewa?” bicara semalam tetap mengasak ruang ingatan.
“Pergi! Pergi!’ jerit
Diya tanpa sedar. Tangannya diangkat seperti mengibas lalat di kepala.
“Diya!” tegur Zahil
dengan nada meninggi. Terpaksa meninggikan suara apabila Diya di hadapannya
seakan sudah tenggelam dalam khayalan sendiri.
Diya buka mata.
Kemudian terkebil-kebil memandang Zahil yang memandangnya pelik.
“Ouch!” Diya terjerit
kecil apabila dahinya terasa sakit. Pantas tangan kanannya menyentuh bahagian
tengah dahi. Digosok-gosok bahagian itu. Ceh! Mamat ni jentik dahi aku. Kuat
pula tu. Mahu merah jadinya.
Zahil ketawa geli hati.
“Tu la, pagi-pagi lagi dah berangan.” Diya… Diya… berangan saja kerjanya. Baru
buka pintu nampak muka aku yang handsome
ni terus masuk dalam alam fantasi.
“Jom sarapan,” ajak
Zahil seraya mencapai jemari kanan Diya lalu digenggam erat.
Diya terpana seketika.
Tatkala tangannya ditarik lembut oleh Zahil, kakinya masih keras untuk
bergerak. Zahil berpaling memandang Diya yang membatukan diri. Macam kena
sumpahan patung cendana saja.
“Jom la sayang,” kali
ini Zahil tarik Diya dengan kedua-dua tangannya. Diya ikut saja langkah kaki
Zahil umpama anak kecil dipimpin tangan oleh ibunya.
Zahil duduk saja di
meja makan sementara Diya menyediakan sarapan. Lelaki itu tidak mahu campur
tangan kerana sememangnya dia tidak berkemahiran dalam hal ehwal di dapur.
Daripada menambah beban di dapur, Zahil lebih memilih untuk menunggu saja
sarapan dihidangkan depan mata. Kemudian bersantap bersama-sama insan
tersayang.
Sarapan pagi mereka
biasa saja. Air teh panas dengan roti bakar. Mujur saja Zahil tidak cerewet bab
makanan. Apa saja yang dimasak Diya itu la yang dimakannnya. Tidak pernah
merungut sama ada rasanya sedap atau tidak. Airnya tawar atau manis, Zahil
nikmati seadanya.
Pernah sekali Diya
secara tidak sengaja terlajak garam dalam masakan kerana tergopoh-gapah
menyediakan nasi goreng untuk sarapan pagi. Zahil makan tanpa banyak bicara
malah licin nasi dalam pinggan. Walaupun Diya melarang Zahil memakan nasi itu,
lelaki itu tetap berdegil. Konon air tangan Diya enak pada tekaknya.
Diya tahu Zahil tidak
mahu dia terasa hati. Namun sikap Zahil itu membuatkan Diya bertanggapan bahawa
Zahil tidak jujur. Jika terlalu masin, seharusnya Zahil berterus terang saja.
Mengapa harus menelan rasa masin itu semata-mata hendak menjaga hati? Ah! Beza
Diya dengan Zahil adalah Diya tidak pernah pedulikan perasaan Zahil sedangkan
Zahil sentiasa menjaga hati Diya.
Pada Diya, andai
perihal sekecil itu Zahil tidak mampu jujur, bagaimana dalam hal yang lebih
besar? Entahlah, mungkin Diya terlalu berfikiran jauh sedangkan Zahil hanya
mahu menjaga hati.
Pada Zahil, sedangkan
pahit yang dihadiahkan Diya juga ditelan inikan pula rasa masin. Janji perutnya
terisi dengan hidangan yang dimasak Diya. Itu sudah menggembirakan hatinya.
Memberi kenikmatan dalam setiap hidangan.
“Awak berangan lagi?”
soal Zahil apabila dilihatnya Diya tidak menjamah roti bakar dalam pinggannya.
Diya tersentak. Pantas
dia menggeleng lemah. Malu apabila ditegur begitu.
“Zahil, saya tanya
boleh?” soal Diya sambil cebisan roti bakar diangkat untuk disuap ke mulut.
Zahil angkat kening.
Terkejut juga kerana Diya tidak pernah berbicara begitu sebelum ini. Perlahan
saja kepala Zahil mengangguk.
“Kenapa awak sukakan
saya?” tanpa berkias kata, Diya terus menyuarakan persoalan yang sekian lama
difikirkan.
Zahil tidak terus
menjawab. Lelaki itu menyudahkan kunyahan baki makanan yang masih bersisa dalam
mulut. Setelah makanan itu ditelan, baki air teh yang sudah suam diteguk. Zahil
kemudian menjamah wajah Diya yang setia menunggu jawapan untuk soalannya.
“Kenapa tanya macam
tu?” soal Zahil tenang.
Diya jungkit bahu.
“Saja nak tahu. Saya nak tahu apa yang ada dalam fikiran awak tentang saya.
Saya nak tahu kenapa awak sanggup bersabar selama lebih tujuh bulan ini. Kenapa
awak boleh tahan dengan sikap saya sampaikan saya jadi serba salah kerana tak
dapat membalas perasaan awak pada saya,” luah Diya.
Zahil bersandar tubuh
pada kerusi. Agak lama lelaki itu berdiam diri sebelum membuka mulut untuk
bersuara.
“Awak tetap tak akan
dapat jawapanya biarpun saya beritahu,” ujar Zahil setelah menghela nafas yang agak panjang.
“Maksud awak?” Wajah
Diya sedikir berkerut.
Zahil berdiri dan
menyorong kerusi ke bawah meja. Lelaki itu melangkah menuju belakang Diya dan
tunduk mendekatkan bibirnya ke telinga Diya. Diya tidak berkutik. Menanti saja
tingkah Zahil yang seterunya.
“Awak akan dapat
jawapnnya suatu hari nanti. Suatu hari nanti… apabila awak rasa apa yang saya
rasa!” bisik Zahil kedengaran lirih pada pendengaran Diya.
Diya terkedu. Bicara
Zahil menggetarkan jantungnya. Terasa degupan jantung menjadi deras secara
tiba-tiba. Sungguh Diya tidak tahu mengapa. Tangan kanannya menyentuh dada kiri
dan mengurut lembut seolah-olah mengurut jantungnya.
Zahil mula menapak
untuk meninggalkan ruang dapur. Langkah kaki lelaki itu terhenti ketika di muka
pintu dapur.
“Macam mana kalau…”
Diya telan air liur. Dia berpaling memandang Zahil lalu mata mereka saling
bertemu. “hari itu tak akan tiba? Macam mana kalau perasaan itu tidak akan
hadir?”
Telinga Zahil bagai
dijentik. Lelaki itu melarikan pandangan daripada bertemu dengan panahan mata
Diya. Keyakinan dalam kata Diya tatkala bertemu dengan renungan matanya
menggetarkan jiwa.
“Macam mana ye?” Zahil
umpama memulangkan semula persoalan itu pada Diya.
Zahil kemudian
tersenyum tawar. Jemari kanannya menyisir rambut hitam yang lebat di kepala.
“Saya serahkan jodoh kita kepada Allah. Saya berusaha yang terbaik untuk
mengukuhkan jodoh kita. Selebihnya saya pasrah,” ujar Zahil sebelum melangkah
meninggalkan ruang dapur.
Diya menghela nafas
berat. Perlahan-lahan dia bangun daripada duduk dan membawa pinggan kotor
menuju ke sinki.
“Mungkinkah aku jatuh
cinta pada Zahil?” persoal Diya pada diri sendiri. Akhirnya Diya mengeluh
lemah.
Ketika Diya melangkah
keluar daripada rumah, Zahil masih berada di halaman dan bersandar tubuh pada
badan kereta. Seakan sedang menunggu Diya. Namun tingkah Zahil itu tidak
diendahkan Diya.
Wanita itu mengunci pintu rumah sebelum
mendapatkan kereta Myvi yang diparkir bersebelahan dengan kereta Zahil. Diya
buka pintu kereta tetapi Zahil terlebih dahulu memaut lengan Diya sebelum
wanita itu masuk ke dalam kereta.
“Kenapa ni?” Diya agak
terkejut dengan tindakan Zahil itu.
“Ikut saya,” ujar Zahil
dengan nada memerintah. Bukan permintaan yang boleh ditolak Diya.
Diya tutup pintu kereta
sebelum menarik lengannya daripada pautan kejap tangan Zahil. Zahil buka pintu
kereta Sonata Hyundai di bahagian sebelah pemandu. Diya gigit bibir sebelum
melangkah masuk ke dalam badan kereta. Tingkahnya seakan separuh rela menurut
perintah Zahil itu.
Apabila kereta dipandu
Zahil menyimpang daripada jalan menuju butik Kamelia, Diya diterpa curiga.
“Kita nak ke mana ni?”
soal Diya. Sangkanya Zahil ingin menghantarnya ke butik.
“Saya nak bawa awak ke
suatu tempat,” jawab Zahil ringkas.
“Ye, tapi tempat apa?”
Diya pandang raut wajah Zahil yang bersahaja dengan penuh tanda tanya.
“Tempat tu awak tak
pernah pergi,” jawab Zahil tanpa berkalih memandang Diya. Lelaki itu fokus
terhadap pemanduannya.
Diya merengus lembut.
“Awak nak bawa saya ke mana?” Diya terus mendesak.
Zahil tersenyum.
Sekilas Zahil memandang Diya di sisi. “Diya, saya gunakan kuasa veto saya untuk
minta awak diam,” gurau Zahil.
Diya mencebik. “Oh ye?
Saya minta hak saya untuk dapatkan jawapan! Ke manakah arah tuju perjalanan
kita ini, Encik Zahil Hariz?” Diya tidak mahu mengalah.
Zahil ketawa kecil.
“Awak memang tak akan diam selagi saya tak cakap. Degil!”
“Kita nak ke mana?”
soal Diya lagi. Memang tak boleh diam selagi Zahil tidak memberi jawapan.
“Hemmm… awak sabar
sikit ye. Dah nak sampai,” ujar Zahil yang masih hendak berteka-teki.
Diya merengus lembut.
Geram dan tidak puas hati. Akhirnya Diya diamkan diri dengan mulut muncung
sedepa. Kononnya merajuk dek keengganan Zahil beralah.
Sonata Hyundai dipandu
Zahil berhenti di perkarangan Teratak Mekar Kasih. Zahil matikan enjin kereta
dan memandang Diya dengan senyuman meleret di bibir.
“Tempat apa ni?” soal
Diya dengan mata meliar memandang persekitaran tempat yang asing padanya.
“Nak jawapan cepat,
awak boleh baca board tu,” ujar Zahil.
“Teratak Mekar Kasih?
Rumah kebajikan masyarakat?” duga Diya dengan dahi berkerut. Buat apa Zahil
bawa aku ke tempat ni? Pelik!
“Rumah yang penuh
dengan kasih sayang. Di sini, kasih sayang mekar memutik ukhwah,” ucap Zahil
dengan wajah bersinar. Diya renung wajah Zahil agak lama.
“Jangan bergurau la
Zahil. Tak kelakar pun,” suara Diya dengan wajah tidak puas hati.
“Jom!” Zahil melangkah
keluar daripada kereta dan tindakan itu diikuti Diya.
“Ini salah satu tempat
lawatan saya selain daripada lawatan ke wad pediatrik di hospital,” beritahu
Zahil.
“Abang!” Kali ini
pasangan suami isteri itu diterpa oleh beberapa orang remaja wanita dalam
lingkungan lewat belasan tahun ataupun awal 20an.
“Assalamualaikum.”
Zahil tersenyum ceria apabila mereka dikerumuni remaja-remaja dari Rumah Mekar
Kasih ini.
Ucapan sejahtera
daripada Zahil dijawab serentak oleh remaja-remaja itu. Mereka kelihatan
gembira menyambut kedatangan Zahil dan Diya.
“Ni Kak Diya ke?” soal
Wafi sambil menjeling Diya yang berdiri di sebelah Zahil.
Zahil angguk perlahan
dan Diya mengukir senyuman nipis.
“Emmm… cantik betul Kak
Diya ni. Patut la Abang Zahil terpikat,” puji Fifi pula. Yang lain turut
mengangguk sebagai mengakui kata-kata pujian itu. Diya rasakan pipinya merona
merah. Malu. Zahil jeling Diya dengan sengihan. Kembang hati mendengar pujian
untuk isterinya.
Zahil tersenyum
memandang Diya dari jauh. Isterinya
nampak dapat menyesuaikan diri dengan penghuni Teratak Mekar Kasih. Zahil
melangkah menuju sebuah pondok rehat. Duduk bersendirian di situ sambil
memerhatikan Diya sedang rancak berbual dengan beberapa orang remaja berpangkat
adik padanya.
“Kami tak pernah
terfikir yang suatu hari nanti kami akan berada di sini. Ye la, setelah lama
berada dalam kegelapan, mana pernah terfikir yang suatu hari nanti kami akan
jumpa cahaya. Cahaya yang jadikan kami celik untuk berjalan menghadapi masa
depan,” ujar Fifi tertunduk memandang batang buluh yang menjadi lantai pondok
tempat mereka duduk berbual.
“Orang luar mungkin
pandang serong pada kami. Sebahagian daripada kami ni entah berapa kali pernah
gugurkan kandungan. Malah ada yang anaknya sudah membesar dalam jagaan keluarga
angkat. Tapi kami yakin yang Tuhan itu Maha Pengampun. Kerana kasih sayang
Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang itulah kami dapat berada di sini.
Berubah untuk menjadi hamba yang bertakwa. Jadi manusia yang lebih baik
daripada semalam.” Wafi pula menyambung bicara. Gadis berusia 22 tahun ini
kelihatan lebih matang berbanding teman-temannya yang lain. Mungkin dimatangkan
oleh masa silamnya.
“Dah berapa lama Wafi
duduk sini?” soal Diya. Simpati melimpah terhadap nasib anak-anak remaja ini.
Betapa usia mereka terlalu muda tatkala terjerumus dalam lembah kegelapan.
Namun syukur kerana
cahaya hidayah telah menyuluh gelap di hati. Memancarkan cahaya iman yang
terserlah melalui perwatakan dan penampilan mereka kini. Sungguh mereka sangat
bertuah. Tiada rugi pada manusia yang berhijrah ke arah kebaikan kerana Allah
sentiasa bersama orang-orang yang benar.
Wafi senyum tawar.
“Sejak umur tiga belas tahun. Wafi masuk
sini sebulan lepas masuk tingkatan satu,” jawab gadis itu tenang. Namun jauh di
dasar hati hanya Allah saja yang tahu betapa dalam luka yang membalut hati.
Mungkinkah luka itu sudah sembuh setelah beberapa tahun berlalu? Tiada siapa
yang tahu.
“Masa tu Wafi
mengandung dua bulan.” Lama Wafi terdiam. Ada mutiara jernih bertakung di tubir
mata namun gadis itu masih kelihatan tenang. Temannya yang lain tertunduk sayu.
Barangkali masing-masing mengenangkan masa silam mereka dengan cereka yang
berbeza.
“Wafi
ok?” soal Diya tatkala dilihatnya Wafi mula dilanda sendu. Tidak mahu sejarah
pahit itu diulang kembali sehingga menggugat emosi. Diya sangat memahami
kepahitan yang dirasai Wafi kerana dia juga pernah merasa pahit yang sama.
“Ayah… ayah yang
sebabkan Wafi ke sini!” bergetar suara Wafi membuka pekung di dada. Air mata
jatuh menitis atas riba.
Diya tergamam. Tangan
kanan menekup mulut yang melopong. Terkejut sekali mendengar pengakuan itu.
Bagai mahu luruh jantung Diya saat ini. Tanpa sedar setitis air mata jatuh di
pipi Diya. Layakkah manusia itu digelar ayah? Sungguh tidak layak manusia
bertopengkan syaitan itu memegang gelaran sebagai ketua keluarga kerana
hakikatnya manusia itulah menjadi duri dalam daging. Harapkan pagar, pagar
makan padi!
“Wafi…” Diya bawa Wafi
dalam pelukannya. Belakang gadis itu diusap lembut. Ya Allah, tergamak seorang
lelaki bergelar ayah mencampakkan masa depan anak gadisnya ke dalam lembah
kesengsaraan.
“Ayah rogol Wafi ketika
emak pergi kerja di kilang. Ayah menganggur lepas kena buang kerja. Ayah jadi
kaki botol dan kaki judi,” cerita Wafi dengan bahu terhenjut-henjut mengikut
rentak tangis. Terbayang wajah ayah yang diibarat seperti haruan makan anak.
“Cerita kami di semua
tak jauh berbeza, kak. Kebanyakan kami di sini jadi mangsa kerakusan manusia
yang bertopengkan syaitan. Ada jadi mangsa si musang berbulu ayam. Lelaki yang
disangka pelindung rupanya si bangsat! Apabila perut kami memboyot, kami
dituduh sebagai perempuan jalang. Kononnya kami yang menjual diri pada
lelaki-lelaki binatang,” cerita Fifi pula dengan sedikit beremosi.
“Tapi kak, ustazah
selalu ingatkan kami agar tidak membenci lelaki. Ustazah kata, tak semua lelaki
tu jahat sama seperti tak semua wanita tu baik. Yang membezakan manusia bukan
jantina tapi iman dan takwa kepada Allah. Lelaki akan menjadi pemimpin yang
baik apabila dia beriman dan bertakwa pada Allah begitu juga dengan wanita yang
baik.” Kali ini Wafi sudah tidak menangis lagi. Dia nampak lebih tenang dan
tabah.
“Masyarakat pincang
apabila institusi keluarga runtuh. Institusi keluarga runtuh apabila ia dibina
dengan iman yang rapuh. Ayah yang menjadi ketua keluarga hanya berilmu duniawi
sebaliknya tandus ilmu agama. Anak dan isteri pula tidak terbimbing mengikut
acuan Islam. Maka lahirlah masyarakat yang pincang,” ujar Ustazah Sarimah yang
sudah lama berdiri di tepi pondok tetapi tak disedari mereka.
“Assalamualaikum
ustazah,” ucap penghuni Teratak Mekar Kasih yang berada di bawah pondok buluh
itu.
Ustazah Sarimah
menjawab ucapan doa itu bersama senyuman terus mekar di bibir. Ustazah berusia
awal 40an itu bersalaman dengan Diya sebelum duduk di sisi Fifi. Ustazah
Sarimah mengusap lembut kepala Wafi yang berlapik tudung itu.
“Dendam menjadi bara
dalam hati. Kelak disimbah amarah dan kebencian, ia akan membakar diri.
Memaafkan sangat sukar namun itulah sebaik-baik penawar bagi hati. Allah itu
Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dugaan diberi buat menguatkan keimanan maka
itu jangan dijadikan ia punca hati hilang pedoman dan tergadai keimanan,”
nasihat Ustazah Sarimah penuh nada keibuan.
Diya senyum nipis
mendengar nasihat itu. Terasa umpama nasihat itu turut dilontarkan pada
dirinya. Diya pandang Zahil yang merenungnya dari jauh. Beberapa saat kemudian,
bibir Diya mengukir senyuman manis buat lelaki itu. Dari jarak jauh, Zahil
menyambut senyuman ikhlas itu dengan hati berbunga bahagia.
Hampir seharian
pasangan suami isteri itu menghabiskan masa mereka di Teratak Mekar Kasih.
Walaupun kehadiran Diya umpama memberi sokongan moral kepada penghuni-penghuni
di situ, hakikatnya merekalah yang telah memberi peransang kepada Diya untuk
memandang masa depan dengan lebih positif.
Masa silam mereka
mungkin berbeza namun luka yang mereka rasa hampir sama. Mereka pernah
menyimpan dendam dan kebencian yang serupa. Membenci lelaki kerana
lelaki-lelaki bertopengkan syaitan ini telah mencampak mereka dalam kegelapan
hati. Tetapi kini, remaja-remaja di sini memiliki hati yang cukup kental berkat
kesabaran mereka merawat luka itu. Sesungguhnya hanya iman dan kekuatan cinta
pada Allah saja dapat merawat luka di hati.
Diya sedar akan
kesilapannya terhadap Zahil. Menghukum lelaki itu kerana kebenciannya terhadap
lelaki lain adalah suatu yang tidak adil. Diya insaf. Dia berazam untuk
berubah. Berhijrah menjadi manusia yang lebih baik dari hari semalam. Berhijrah
menjadi isteri yang baik untuk seorang suami sebaik Zahil Hariz.
No comments:
Post a Comment
terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.