Oleh: MAWAR
KAMILA
“Oi! Siapa yang
parking kereta kat sini? Punya banyak parking kosong, kat bontot kereta aku
juga dia nak parking kereta!” Dalila mengomel seorang diri. Apa punya manusia
la, tak ada sifat keprihatinan betul!
Kesabarannya
teruji saat ini. Berdiri di bawah terik mentari dan terpaksa menghadapi masalah
begini sungguh membakar kesabaran gadis kecil molek itu. Sambil mulut membebel,
matanya melilau kalau-kalau pemilik kereta tersebut menghampiri.
Sepuluh minit
berlalu tetapi tiada sesiapa yang datang. Dalila sudah tergaru-garu kepala yang
bertudung. Habis herot-petot tudung aku! Siapa manusia yang genius sangat
parking kereta kat sini ni? Panjang umur la kau, datang ke sini cepat... Ya
Allah...
Tanam sayur
orang bina batas, tanam kesabaran dalam diri pun punya batas. Dan kini tahap
kesabaran Dalila membatasi tahap kesabaran dalam diri. Kalau ada kuasa
superpower, dah lama kereta manusia ini dicampak jauh-jauh. Padan la dengan
sikap pemiliknya yang menyusahkan orang lain!
“Eeee!!! Mana
tuan kereta ni? Bawa kereta besar tapi parking kereta tak reti! Menyusahkan
orang!” Dalila membentak-bentak kakinya.
“Ish! Geram
betul!” dek sakit hati yang memuncak, selamba saja kaki kanan Dalila menghayun
sepak terajang.
“Prak!” tepat
sekali terajang Dalila yang padu itu mematahkan plat di hadapan kereta mewah
itu. ‘Glup!’ Dalila telan air liur.
“Mampus! Kuat
sangat ke aku tendang?” Alamak! Satu hal pulak benda alah ni patah. Tadi marah sekarang cuak.
“Woi! Kau buat
apa dekat kereta aku tu?” pekik seorang lelaki yang sedang berjalan menghampiri
Dalila. Lelaki itu dipandang Dalila dengan wajah tegang.
Dalila dapat
mengandaikan lelaki itu pemilik kereta tersebut. Hilang rasa takut kerana
merosakkan plat kereta itu kini perasaan marah kian meluap.
Hah! Manusia ni
rupanya. Alhamdulillah, manusia ni dipanjangkan umur oleh Allah. Tak la aku
tercangak tunggu sampai naik meroyan.
Mereka berdua
sudah bertentang mata. Dalila siap cekak pinggang lagi. Cuma asap je belum
keluar dari telinga macam cerombong asap kereta api.
“Apa ‘woi...woi’?
Ingat saya ni binatang ke main ‘woi...woi’ je,” bidas Dalila dengan nada yang
keras. Harap je ada rupa tapi bahasa... Sambil itu hatinya turut mengkritik lelaki
tinggi lampai itu.
Sinis saja
lelaki itu mengukir senyuman. Diulang! Senyuman sinis, bukan senyum manis. “Tak
kisah la apa-apa pun. Yang kau berdiri dekat kereta aku ni kenapa?” kasar
sekali nada lelaki itu. Siap tayang muka bongkak lagi. Makin terbakar hati
Dalila. Nampaknya perbuatan Dalila tadi tidak dilihatnya.
Hek eleh mamat
ni, angkuh ya ampun! Berapi saja hati Dalila berdepan lelaki itu. “Awak tanya saya
kenapa? Hei! Bawa kereta besar tapi tak reti parking ke? Yang awak halang
kereta saya ni kenapa? Apa parking ni bapak awak punya!” sembur Dalila. Kalau dia tak reti
berbahasa tak payah aku nak berlapik kata dengan dia.
Lelaki itu
menjeling ke arah kereta Dalila. Dengan muka berlagak tanpa secalit riak serba
salah malah bertempek-tempek dengan riak keangkuhan, bibir lelaki itu terus
menyungging senyum sinis. Hati Dalila pula kian diamuk sakit yang amat melihat
tingkah lelaki itu.
“Oh my God!
Kereta ke tu?” Lelaki itu pura-pura bertanya dengan gaya yang menjengkelkan.
Siap betul-betulkan cermin mata hitam yang melindungi sepasang mata yang
entah-entah juling. Mana tahukan...
Gerrr... Berasap
bau hangit jer hati Dalila saat ini. Gadis itu sudah tidak dapat bersabar lagi untuk
terus berhadapan si bongkak ini. Hati yang panas sudah hangus. Gadis itu
melangkah menghampiri kereta kancilnya. Beralah saja la Dalila oi. Mamat tu pun
dah nak blah. Kau buat tak nampak je kereta dia tu. Hati Dalila masih cuba
memujuk diri.
Lelaki itu masih berdiri memerhati tingkah
Dalila membuka pintu kereta kancilnya. Gadis itu berkalih semula apabila dia
menyedari lelaki itu masih belum berganjak.
Tadi berlagak
sangat, ni tak berambus-berambus lagi apasal? Takkan dah kena tulah jadi tiang
lampu sebab bongkak sangat tadi!
“Tak reti-reti
lagi nak jauhkan kereta awak tu? Saya nak keluar!” jerkah Dalila.
Lelaki itu terus
menyungging senyum sinis. Bengkak benar hati Dalila melihat senyum sinis yang
memaksudkan penghinaan terhadap kereta Perodua Kancil miliknya. Tahu la kereta
saya tak sehebat Nissan Skyline GTR35 awak tu. Tak payah la berlagak sangat.
Masuk kubur tak bawa kereta sekali la! Di akhir nanti awak naik van jenazah
juga sama macam saya. Tak ada kancil! Tak ada Nissan Skyline GTR35 awak tu!
Lelaki itu kemudian
memboloskan diri dalam kereta dan menghidupkan enjin. Namun sempat dia
menurunkan cermin tingkap dan memandang Dalila melalui tingkap yang terbuka
luas.
“Kereta kau tu
sepatutnya tambat dalam kandang, bukan letak dekat parking!”
Saat itu Dalila
sudah hilang kesemua kesabarannya. Spontan gadis itu mencapai kasut tumit
tingginya lalu ditujukan pada lelaki itu. Balingan jitu Dalila tepat menjunam
di bibir lelaki bongkak dalam kereta itu.
“Ouch!”Lelaki itu meraung kesakitan. Bibir
yang ‘mencium’ kasut tumit Dalila ditekup. Air mukanya menggambarkan keperitan.
Kini dengan wajah membengis, lelaki itu menapak keluar dari kereta. Pintu
kereta dihempas kuat.
Merah padam
wajah bengis itu menikam air muka Dalila yang langsung tiada secalit gentar.
Bibir lelaki itu sudah mulai membengkak dengan cecair merah mengalir dari luka
kecil. Kaca mata hitam ditanggalkan. Tak juling rupanya. Tapi iris mata
berwarna hazel itu sedang mencerlun
tajam ke arah Dalila.
Dalila tetap
tidak takut. Malah wajahnya juga cukup bengis saat ini. Sebelum sempat lelaki
itu menghampiri, Dalila mencapai sebelah lagi kasut tumit tingginya lalu
diacukan seakan mengugut untuk membuat serangan kedua.
Lelaki itu
merengus kasar. Ugutan Dalila itu ternyata berhasil. Lelaki itu mengenakan
kembali kaca mata hitamnya dan masuk semula ke dalam kereta Nissan Skyline
GTR35 miliknya. Setelah itu, Nissan Skyline GTR35 itu meluncur laju
meninggalkan kawasan parking kereta tersebut.
Kini giliran
Dalila pula untuk tersenyum sinis. Padan muka! Tak pasal-pasal bibir kau dah
jadi bibir negro. Bukan main tebal lagi. Hati yang sakit rasa puas.
Dalila kemudian
menyarung semula kasut pada kaki kirinya. Kemudian Dalila terkedu. Matanya
membulat.
“Alamak! Kasut
sebelah lagi!”
**********************************************************************
“Kenapa dengan
muka you ni? Bibir you berdarah...” tegur Yana. Matanya membelek setiap inci
wajah Putra.
Putra tidak
menghiraukan Yana yang menyoal. Hatinya dirasakan lebih sakit dan pedih
daripada bibir yang terkoyak akibat penangan kasut tumit tinggi tadi. Yana
terus menghujani Putra dengan soalan. Tidak puas hati apabila lelaki itu terus
berdiam diri.
“Biar I tengok.
Mesti sakit sayang.” Yana menghampiri Putra lalu jemarinya menyentuh pipi Putra.
Kononnya mahu melihat luka pada bibir Putra dengan lebih teliti.
Pergerakan Yana
terhenti apabila lelaki itu menepis kasar tangannya. Wajah Yana berubah keruh.
Geram apabila ditolak kasar begitu.
“You ni kenapa?
I cuma nak tengok, bukan nak goda you pun,” ujar Yana sambil berpeluk tubuh.
Walaupun niat menggoda itu ada, dia tetap menafikan hakikat tersebut.
Putra buat tidak
dengar. Lelaki itu bangun dari sofa lalu mendaki anak tangga menuju ke kamar
tidurnya. Yana merengus geram dengan sikap dingin Putra itu. Sakit hati kerana
tidak dipedulikan lelaki pujaan hatinya.
Putra merebahkan
tubuh di atas katil. Sakit hati dengan kejadian yang menyebabkan bibirnya luka
dan rimas dengan perangai Yana yang tidak habis-habis mahu menggoda dirinya.
“Kenapa la minah
sorang tu suka sangat menyemak dekat rumah aku ni. Apa villa papa dia tak cukup
besar sampai datang menyemak kat sini. Tambah serabut otak aku je. Mama pun
satu, suka bagi muka dekat minah tu. Macam aku berkenan buat bini!” Putra membebel
seorang diri.
Lelaki itu lalu
menghampiri almari cermin. Dibelek wajahnya yang sudah cacat akibat bengkak
pada bibir. Darah merah dikesat dengan tisu. Kepedihan membuatkan matanya
berair.
************************************************************************
Hanya kerana
kasut yang ‘kehilangan’ pasangan, Dalila terpaksa menadah bebelan Fazura hampir
sejam lamanya. Pastinya kerana kasut tumit tinggi itu hak milik Fazura yang
dipinjamkan pada Dalila.
“Tu kasut
kesayangan saya, Dalila. Saya beli dengan duit gaji pertama. Pakai dah bertahun
tapi tak rosak-rosak. Kasut tu ada nilai tersendiri yang awak tak akan pernah
faham!” Fazura terus meluahkan kekecewaannya.
“Saya minta maaf
kan...” Dalila garu kepala.
“Senang-senang
je awak bagi dekat orang!” Fazura bercekak pinggang sambil matanya menikam
wajah Dalila.
“Mana ada saya
bagi. Saya baling kasut tu sebab dia hina kereta saya!”
Jawapan Dalila
dibalas Fazura dengan jelingan tajam. Ada saja yang nak dijawab minah ni. Sebab
kancil liar dia tu, harta kesayangan aku yang tergadai. Fazura ketap bibir dek
perasaan sebak yang mula menjalar. Namun air mata tetap gagal dari dikawal.
Aiseh! Ni aku
lemah ni. Perempuan ni murah benar air matanya. Kalau ye pun sedih kasut dia
lesap disapu mamat Nissan Skyline tu, takkan sampai menangis-nangis segala.
Adoi!
“Oo...sebab dia
hina kereta lapuk kesayangangan awak tu, awak baling kasut kesayangan saya. Kau
memang selfish! Kau pentingkan kereta awak tapi kau langsung tak pedulikan
kasut saya tu. Sampai hati awak Dalila.” Fazura sudah mula teresak-esak.
“Dia hina kereta
saya, saya geram sangat. Saya lupa yang kasut saya pakai tu kasut awak. Tak
sengaja la.”
“Tak salah pun
kalau orang lain kutuk kereta kancil masuk bandar awak yang dah lapuk tu!
Kereta kancil liar awak tu dah berpolka dot... polka dot macam naik panau pun
ada. Dah selayaknya masuk kedai besi buruk, tahu?” selamba saja Fazura mengutuk
kereta Dalila. Bukan dia tak tahu kereta tu cukup disayangi Dalila. Sengaja
memanaskan hati teman serumahnya itu.
“Fazura... agak-agak
la nak mengutuk kereta saya macam naik panau. Saya cuci kereta tu hari-hari. Fazura
mandi pun tak sebanyak kereta saya mandi tau.” Dalila mempertahankan kereta kesayangannya.
“Ye, sebab tu la
bil air rumah ni melambung je setiap bulan!” tempelak Fazura.
Dalila menunduk
memandang lantai. Sudah tiada apa dapat dikatakannya. Rasa bersalah yang
bersarang di dalam hati tidak dapat memadamkan amarah Fazura. Fazura langsung
tidak mahu mendengar sebarang alasan Dalila lagi. Kasut kesayangannya kini
sudah tidak sempurna.
“Sorry la Fazura.
Mana saya sangka hal nak jadi macam ni. Saya dah cakap tak nak guna kasut Fazura
tu. Tapi awak degil suruh guna kasut tu. Bawa tuah la konon. Masalah yang
datang ada la...” Dalila terus berhujah.
Fazura geram
ditempelak Dalila. Dia berpeluk tubuh dan duduk membelakangi Dalila. Masih
tidak mahu berlembut.
“Fazura, jangan
macam ni. Saya janji, cari balik mamat tu, saya minta balik kasut yang sebelah
lagi tu.” Dalila menghampiri Fazura. Lalu bahu temannya itu diusap lembut.
“Saya janji. Saya
cari balik.” Dalila meyakinkan Fazura. Fazura mengangguk lemah lalu membiarkan
Dalila memeluk erat tubuhnya. Sedikit terpujuk hati yang sedih.
****************************************************************************
Dalila pening
kepala memikirkan di mana dia hendak mencari lelaki bongkak yang telah dilempar
dengan kasut Fazura tempoh hari. Sudah tiga hari dia berfikir tetapi belum
mendapat apa-apa idea.
“Dalila tengah
fikir dekat mana nak cari lelaki tu ke?” soal Fazura seolah-olah dapat membaca
fikiran Dalila.
Dalila berkalih melihat
Fazura yang mengambil tempat di sofa sebelahnya. Sesekali dia mengeluh
mengenangkan masalah itu. Fazura sudah mulai tenang. Tidak lagi emosi seperti
tiga hari lalu.
“Tak payah awak
susah-susah fikir lagi. Aku tak kisah kalau tak dapat balik kasut tu,” suara
Fazura tetapi matanya masih tidak lari dari memandang kaca televisyen.
Terbuntang mata
Dalila. Terkejut mendengar kata-kata Fazura. Tangan kiri Dalila menyentuh dahi
Fazura.
Demam ke minah
ni? Tiba-tiba je... Getus hati Dalila.
“Saya serius la.
Tak payah buat muka terkejut beruk awak tu. Tak tengok pun dah tau hodoh,” ujar
Fazura membuatkan Dalila tersenyum gembira. Gembira dirinya telah dimaafkan dan
gembira Fazura tidak lagi bersedih.
“Thanks Fazura.
Tapi saya dah janji dengan kau. So, saya akan tepati janji tu,” balas Dalila
dengan nada lebih semangat.
Fazura senyum
mendengar kata-kata Dalila. Sahabatnya yang satu ini sememangnya sentiasa
menepati janji. Bertambah rasa sayangnya pada Dalila.
“Kalau awak
dapat balik ok la. Tapi kalau tak dapat pun saya tak kisah. Lagi pun, kalau awak
jumpa lelaki tu belum tentu awak akan dapat semula kasut tu. Entah-entah kasut
tu dah masuk tong sampah. Siapa nak simpan kasut sebelah je. Kalau ada pasangan
boleh la dia lelong,” kata-kata Fazura disokong Dalila dengan anggukan.
Tetapi Dalila
masih belum berputus asa. Hatinya kuat mengatakan lelaki sombong itu mesti
masih menyimpan kasut tumit tinggi itu.
“Dia tak akan
buang kasut tu. Saya pasti!” ujar Dalila yakin.
Fazura pandang
Dalila. Dahinya berkerut. Keyakinan Dalila menarik keinginan untuk mendengar penjelasan
lebih lanjut.
“Sebab bibir dia
dah cium kasut tu. Mesti sayang nak buang. Ada nilai sentimental tu!” seloroh
Dalila.
Dan penjelasan
itu mengundang ketawa mereka berdua.
****************************************************************************
“Putra, temankan
I tengok wayang. I boring la duduk rumah je. Please...” Yana tidak putus asa
memujuk Putra.
Putra merengus
kasar. Rimas dia dengan kerenah gadis itu yang macam pokok lalang. Melentok
sana sini. Mahu saja dia hambat gadis itu keluar dari rumahnya. Difikirkan dia
sepupu sendiri, terpaksa la sabarkan hati. Selagi gadis itu tidak menyentuh
batang tubuhnya dia masih boleh beralah.
“Buta ke? I
tengah tengok tv ni. Esok-esok je tengok wayang. Apa guna beli tv besar-besar
kalau tak tengok,” Putra bersuara keras. Langsung tidak dipandang Yana di sisi.
“Apa salahnya Putra
temankan Yana tengok wayang. Kesian mama tengok Yana boring duduk di rumah saja,”
Sampuk Engku Rahimah tiba-tiba.
“Kalau dia
boring duduk rumah ni, balik la rumah
dia,” balas Putra selamba.
Engku Rahimah
tak gemar mendengar bahasa anaknya. Dihampiri Putra lalu dia duduk di sofa sebelah
anaknya. Remote tv dicapai lalu siaran tv ditukar.
“Kalau bukan
dengan Putra, dengan siapa lagi Yana nak keluar? Pergi la temankan Yana. Kesian
dia,” pujuk Engku Rahimah yang sudah mengambil alih penguasaan Putra terhadap
tv.
Putra mengeluh
lemah mendengar kata-kata mamanya. Kalau mamanya sudah bersuara, alamat
terpaksa la Putra menurut kata. Jika tidak, bebelan mamanya akan membunuh
telinga.
“Ye la. I pergi
siap.” Hendak tak hendak saja Putra melangkah malas mendaki anak tangga.
Yana dan Engku
Rahimah tersenyum kemenangan. Sebaliknya Putra bengkak hati mendengar hilai
tawa kedua-duanya dari balik daun pintu kamar tidurnya.
***************************************************************************
“Eh! Kasut siapa
ni Putra?” soal Yana ketika berada dalam kereta.
Kasut tumit
tinggi warna merah yang cantik dipegangnya. Yana kemudian mencari pasangan
kasut tersebut. Tiada di bahagian hadapan, matanya mencari di bahagian tempat
duduk belakang. Putra hanya membatu. Tidak dihiraukan teletah Yana yang nampak
beria benar mencari pasangan sebelah kiri kasut tumit tinggi itu.
“Putra, mana
kasut sebelah lagi? Takkan sebelah je,” soal Yana setelah dia pasti kasut itu
hanya sebelah saja. Putra merengus kasar.
“Kenapa you ni
peduli sangat pasal kasut tu? Bukan kasut you pun,” marah Putra. Hati aku mula
la nak berapi bila ingat pasal kasut tu. Panas aje ni. Lalu kasut itu diambil Putra
dan dicampaknya keluar melalui tingkap kereta. Putra kemudian mulai memandu
kereta keluar dari perkarangan villa keluarganya.
Yana tidak puas
hati. Hatinya dihambat curiga. Rasa ingin tahu membuak di dada.
“At least bagi
tahu I tu kasut siapa? Perempuan mana yang you bawa masuk dalam kereta ni!”
Yana membentak. Teletah manjanya hilang dan kini gadis itu bagai kerasukan.
Matanya mencerlun tajam menikam wajah tampan Putra.
Putra terkejut
dengan perubahan sikap Yana. Tidak pernah gadis itu bersikap begitu walaupun Putra
tidak pernah melayannya dengan baik.
“You ni kenapa?”
soal Putra dengan nada keras. Kereta dipandu dengan hati yang baran dek sikap
Yana itu.
Air mata menitis
di pipi gebu Yana. Terhenjut-henjut bahu gadis itu menahan sendu. “Selama ni I
sabar dengan sikap you. You tak pernah layan I dengan baik tapi I tak kisah
sebab I yakin you tak pernah pandang perempuan lain. I tunggu you dapat terima
I. Tapi I silap! You buat hubungan sulit dengan perempuan lain!” Esakan tangis
Yana semakin rancak.
Putra tergamam.
Pertama kali gadis itu menangis di hadapannya. Pertama kali juga Yana berkata
begitu. Hati lelakinya dipaut rasa bersalah tiba-tiba. Rasa bersalah atas
layanan buruknya pada sepupu sendiri.
“Kenapa Putra?”
soal Yana setelah Putra hanya terdiam.
Putra mengangkat
kening. Sekilas dia memandang Yana sebelum kembali fokus kepada pemanduannya.
Mereka telah jauh meninggalkan villa keluarga Putra.
“Kenapa apa?”
soal Putra semula. Nada lelaki itu mulai mendatar. Tidak lagi sedingin
sebelumnya. Aku bukan lemah tengok air mata perempuan tapi aku rasa lain macam
je bila minah ni buat perangai macam gini. Ye la, sebelum ni mengada-ngadanya
mengalahkan anak kecil. Ini tetiba je berubah buat drama air mata pula. Pelik
je rasa.
“Kenapa you tak
boleh terima I? Kenapa you tak boleh menyintai I?” sayu Yana menyoal. Sikapnya
berubah matang berbanding sebelumnya yang lebih manja seperti anak kecil.
Putra menarik
nafas panjang. Tidak sampai hati mahu meluahkan perasaan sebenar pada gadis
itu. Bimbang tidak dapat diterima.
“Kerana
menyintai tak semestinya dicintai. I dah anggap you macam adik I. Dah tak boleh
diubah.” Putra akhirnya bersuara. Nadanya juga tidak sekeras selalu. Begitu
lunak pada pendengaran Yana.
“Putra...” Lembut
Yana menyebut nama lelaki di sebelahnya itu. Putra hanya membisu. Sikap Yana
mulai tenang. Malah gadis itu seakan berubah 180 darjah daripada sifat manjanya
kepada sifat matang.
“Tolong ubah
perasaan itu. Ubah perasaan sayang pada seorang adik itu kepada perasaan cinta
pada kekasih,” kata-kata Yana mengejutkan Putra. Sampai hati kau Putra. Aku
separuh mati menyintai kau sebaliknya kau buat aku begini. Adik? Adakah kasih
sayang yang aku tunjukkan pada kau selama ini seperti kasih seorang adik pada
abangnya?
Putra mengeluh
lemah. “Yana, please...”
Yana pantas
memintas kata-kata Putra.
“I mencintai dan
I nak dicintai. Bersumpah pada I, Putra. Bersumpah yang you akan cuba menyintai
I dan tak akan pandang mana-mana perempuan. Sumpah yang you akan menyintai I!
Hanya menyintai I!” Yana seakan mendesak Putra. Karakter Yana mudah sekali berubah-ubah.
Sekejap manja, tenang dan matang manakala sekarang beremosi.
Putra masih
berdiam diri. Hati lelaki itu dihambat keresahan. Tidak tahu apa harus
diungkapkan untuk meredakan keadaan. Kedua-duanya dibelenggu suasana tegang.
“Hentikan
kereta!” arah Yana tegas. Putra hanya menurut. Kereta dihentikan di bahu jalan.
Yana keluar dari
kereta diikuti Putra. Putra menghampiri Yana. Lelaki itu terkejut melihat Yana
bersandar pada kereta sambil menggenggam sebilah pisau lipat. Lebih mendebarkan
apabila pisau lipat itu diacukan pada pergelangan tangan kiri Yana sendiri.
Dari mana Yana
mendapatkan pisau lipat itu tidak dia ketahui. Mungkin ada dalam tas tangan
gadis itu. Biasa la kalau kaum wanita membawa alatan begitu sebagai langkah
keselamatan.
‘Glup!’ beberapa
kali Putra menelan air liur. Wajah Yana kelihatan tenang walaupun air mata
kelihatan bersisa di pipi.
Perempuan ni nak
buat apa pulak ni? Ish! Takkan la nak bunuh diri kot. Buat lawak antarabangsa
je perempuan ni bunuh diri pasal aku. Aku ingat dah matang, macam budak-budak
betul!
Yana bertentang
mata dengan Putra yang masih tidak mengambil endah situasi pisau yang berada di
pergelangan tangan Yana. Berani ke
perempuan ni nak hiris tangan sendiri? Hati Putra mengejek.
Hati Yana
tercalar melihat teletah Putra. Adakah I benar-benar tak berharga pada you?
Kalau I mati pun, you tak pedulikan? You kejam Putra!
“Bersumpah you
akan menyintai I sepanjang hayat you atau you kehilangan I sekarang. Dan you akan
menyesal sepanjang hayat you,” ugutan Yana menjengkelkan Putra.
Cukup jelas ayat
itu dituturkan Yana. Tidak bernada mengugut tetapi kata-kata itu berunsur ugutan.
Putra tatap wajah Yana yang lencun dengan air mata.
Perempuan ni,
bila la nak matang? Tak habis-habis nak main-main je. Macam mana la aku nak
buat jadi isteri. Putra mengeluh bosan.
Pisau ditangan
digenggam Yana lebih kejap. Sampai hati you, Putra. I akan buat you melutut
pada I!
“I kira sampai
tiga! Satu!” Yana mula mengira. Reaksi tidak endah Putra semakin mencalar
hatinya.
Putra sisir
rambut dengan jemarinya. Matanya memandang persekitaran yang sunyi daripada
kenderaan lain. Lelaki itu bosan dengan sikap Yana yang padanya begitu
kebudak-budakan. Nak berdrama pula perempuan ni. Kalau betul nak bunuh diri,
tak payah la nak countdown segala. Ingat aku nak memujuk rayu ker? Tolong la,
ni Engku Adam Putra Engku Adam Tajuddin! Megat Putra Adam tak pernah merayu
pada sesiapa pun.
“Dua!” Yana
masih tidak berganjak dengan ugutannya.
Putra tidak mahu
mengikut perangai gila Yana. “Suka hati you la. I tak akan pujuk rayu you untuk
berhenti dari buat kerja gila ni. I malas nak layan perangai you yang tak
pernah matured langsung,” ujar Putra. Lelaki itu sudah berura-ura mahu masuk
semula ke dalam kereta.
Yana ketap
bibir. Sikap tidak endah Putra benar-benar merobek hati wanitanya. Putra
sungguh kejam!
“Tiga!” Putra
langsung tidak mengendahkan angka tiga yang diucap Yana. Lelaki itu boleh
bersiul-siul lagi.
Yana renung
Putra yang bersiul-siul dalam kereta. Wajah itu seolah-olah mengejeknya. Putra
seakan tersenyum sinis dan mentertawakan dirinya. Yana sakit hati! Kecewa dan
rasa tercabar!
Betul ke you tak
akan pedulikan I? Baik la Putra, kita tengok setinggi mana ego you. Yana
rapatkan mata pisau pada kulit di pergelangan tangan kirinya. I akan buktikan
Putra. You akan melutut pada I!
Sesaat kemudian
tangan kanan Yana laju menarik pisau lipat dalam genggaman. Mata pisau yang
tajam mengelar pergelangan tangan gadis itu. Mata gadis itu terpejam dengan
gigi mengetap bibir menahan kesakitan. Darah laju mengalir keluar. Pekat dan
merah! Detik yang sungguh menyakitkan. Seakan Izrail turut hadir merentap
tangkai nyawa!
Darah mengalir
keluar tidak henti. Pastinya mata pisau itu sudah memotong urat darahnya. Yana melepaskan
pisau lipat dalam genggaman. Wajah gadis itu sudah berubah pucat. Lalu tubuh
gadis itu perlahan-lahan rebah ke bumi.
Putra jelas
tergamam dengan tindakan luar dugaan itu. Tidak berkelip matanya memandang
darah merah yang mengalir dari pergelangan tangan Yana. Seakan nafasnya juga
turut terhenti tatkala melihat tubuh sepupunya itu rebah ke tanah. Putra pantas menerpa dan mencembung tubuh Yana
lalu dimasukkan ke dalam kereta. Nissan Skyline GTR35 itu meluncur laju menuju ke hospital
berdekatan.
***************************************************************************
“Pang!” satu
tamparan hinggap ke pipi kiri Putra. Perit di pipi dirasakan hingga ke dasar
hati. Tak berani Putra angkat muka menentang kemarahan papanya.
“Apa kau dah
buat Putra? Kenapa boleh jadi sampai macam ni?”
soalan ibu saudaranya, Engku Wahida.
“Putra minta
maaf mak usu, pak usu. Putra tak berniat pun nak sakiti Yana. Selama ni pun Putra
sayangkan Yana macam adik Putra sendiri. Mungkin Putra tak pandai tunjukkan
kasih sayang seorang abang. Jadi, Yana salah faham.” Hanya itu yang terdaya
untuk diungkapkan.
“Salah faham?
Salah faham tentang apa?” soal Engku Wahida.
Putra tunduk
berdiam diri. Apakah tanggapan mereka dihadapannya jika mengetahui dirinya yang
membiarkan tindakan bodoh Yana itu sedangkan dia berupaya menghalangnya. Putra mengutuk
dirinya sendiri kerana membiarkan keadaan itu berlaku.
“Putra... Putra
ingat Yana main-main...” Putra kemudian gigit bibir. Lelaki itu dihukum serba
salah.
“Apa-apa terjadi
pada Yana, kamu mesti bertanggungjawab Putra!” turun naik, turun naik dada Engku
Wahida menjeling anak saudara tunggalnya. Kalau tak difikirkan itu anak
saudara, sudah dibelasahnya lumat.
“Mama dan papa
juga tak akan maafkan Putra!” sambung Engku Rahimah pula.
“Pesakit dah
sedar,” beritahu jururawat yang baru memunculkan diri.
Mereka semua meluru
masuk ke dalam wad mendapatkan Yana yang terlantar lemah di atas katil. Putra
berdiri paling belakang dengan wajah yang sugul.
Dalam keadaan lemah
dan muka yang pucat, Yana sedaya upaya cuba mengukir senyuman pada ahli
keluarganya. Matanya sempat melirik mencari wajah Putra dan mereka bertemu
pandangan. Namun tiada reaksi yang tergambar melainkan bahasa mata yang menzahirkan
kelukaan hati Yana. Akhirnya, Putra menunduk serba salah.
******************************************************************************
Malam itu Putra
menawarkan diri untuk menjaga Yana di hospital. Engku Wahida dan Engku Darus
memberi keizinan agar Putra tidak dihimpit rasa bersalah. Marah papa dan mama
Putra juga sudah mulai kendur apabila Yana berkeras mengatakan apa yang terjadi
adalah kesalahannya sendiri dan Putra tidak bersalah. Putra pula terus diburu
keresahan atas peristiwa yang tidak diduganya itu.
Yana tersenyum
sinis di dalam hati. Ego Putra akhirnya tersungkur juga. Melihat saja wajah
serba salah dipamerkan lelaki itu sudah cukup menggeletek hati Yana. Permainan
nyawanya berjaya! Kau benar-benar gila Yana. Kau sanggup mempertaruhkan nyawa
sendiri untuk menundukkan ego Engku Adam Putra Engku Adam Tajuddin. Ah! Yang
pasti sekarang aku dah menang.
Tapi Yana tahu
yang permainannya belum tamat. Dia belum bergelar juara sepenuhnya. Putra belum
berada dalam kawalannya. Putra harus merayu dan melutut. Baru berbaloi dengan
pertaruhan nyawanya.
Jam ditangan
menunjukkan pukul tiga pagi. Putra terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi
daun pintu ditutup. Dia yang keletihan telah terlelap di sisi katil Yana. Putra
menggosok-gosok kedua-dua belah matanya yang terasa masih berat. Setelah itu
barulah Putra menyedari bahawa Yana tidak ada di atas katilnya. Putra mulai
panik!
Putra mencari
disegenap bilik wad tetapi Yana tidak dijumpai. Putra meluru keluar dari wad
itu dan melangkah mengikut gerak hatinya. Putra ternampak kelibat Yana berjalan
sendirian. Putra segera mengekori Yana.
Yana melangkah
perlahan-lahan menuju atas bumbung bangunan hospital. Dia menyedari bahawa Putra
sedang mengekori malah itulah perancangannya. Rancangan keduanya sudah hampir
terlaksana. Yana tersenyum dalam hati.
Putra pula
semakin berdebar apabila Yana menapak menghampiri penjuru kawasan bumbung
bangunan itu. Lelaki itu panik.
“Yana! You nak
buat apa tu?” jerit Putra sebelum sempat Yana memanjat tebing bangunan.
Yana senyum
penuh kejahatan. Pastinya Putra sudah berpeluh jantan. Yana berpaling menghadap
lelaki itu. Air mata sudah mulai deras membasah pipi. Air mata palsu yang telah
memperdayakan Putra.
“I tak nak hidup
lagi Putra! I tak nak hidup lagi!” Yana seperti hilang akal. Teresak-esak
menangis dengan suara yang tidak jelas.
“You dah gila
ke? You tahu tak itu dosa!” marah Putra. Lelaki itu menapak perlahan-lahan
menghampiri Yana.
“Jangan
pedulikan I! Selama ni pun you tak pernah pedulikan I. Buat apa you kisah I
mati ke hidup. You pasti gembira bila I mati. Tak ada sesiapa akan ganggu hidup
you lagi. Pergi! Biar I mati!” Yana menjerit-jerit seperti orang gila. Gadis
itu beraksi seperti orang hilang kewarasan akal.
Caya la kau
Yana! Putra betul-betul tertipu. Kau dah boleh menang anugerah pelakon wanita
terbaik. Tapi untuk watak antagonis je.
“Yana! I mengaku
I salah. I tak patut layan you macam tu. I salah! Jangan buat benda gila macam
ni.” Putra berubah menggunakan pujukan yang lembut.
“Jangan dekat!”
tegah Yana apabila Putra ingin menghampiri. Terus langkah Putra mati setakat
itu.
Putra kematian
cara. Dia buntu. Pujuk-memujuk bukan la kemahirannya. Kini dia hanya ada satu
cara saja. Hanya ini caranya.
“I minta maaf
Yana. I salah. I mengaku... I salah...”
“You hanya nak
pujuk i! Tak ikhlas pun.” Yana masih ingin memanjangkan drama. Begitu teruja
untuk mengetahui sejauh mana Putra mampu memujuk. Lelaki ni mana pernah
memujuk!
Putra tarik
nafas dalam. Perlahan-lahan tubuh direndahkan sehingga lutut bertemu lantai.
Akhirnya Putra melutut di depan Yana. Hati gadis itu melonjak riang meraikan
kemenangan. Ego sang bongkak tersungkur akhirnya.
“I merayu pada
you... jangan buat macam ni,” rayu Putra dengan bersungguh-sungguh.
“Yana masih
seperti tadi. Menangis teresak-esak dan masih tidak berganjak. Putra bangun
lalu menghampiri Yana. Yana kesat air mata di pipi. Tangisan palsunya sudah
tamat. Kini mereka saling bertentang mata.
“Bersumpah you
akan mencintai I. Bersumpah you tak akan mencintai perempuan lain selain I. You
mencintai I! Hanya I, Putra...” Yana memandang tajam ke dalam anak mata Putra.
Menanti Putra bersumpah di hadapannya.
Putra menarik
nafas dalam. Dalam terpaksa, lelaki itu mengangguk kepala beberapa kali. Putra
buang ego melangitnya untuk kali ini. Takkan nak biar perempuan ni terjun kot.
“You belum
berjanji...” Yana menyatakan keraguaan.
Putra telan air
liur. “I janji, I sumpah. I hanya akan menyintai you sepanjang hidup I,” ujar
Putra bernada tenang walau ketenangan begitu jauh saat lafaz ikrar itu
diucapkan.
Biarpun
bukan itu yang tertulis dalam hati Putra, lelaki itu mengungkapkan kata
sumpahan itu kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. Dia tidak mahu
menyesal sepanjang hayatnya jika Yana bertindak membunuh diri kerana dirinya.
Kali
ini mungkin dia berjaya menghalang. Bagaimana jika gadis itu bertindak bodoh
sebegitu lagi jikalau cintanya ditolak sekali lagi? Putra tidak sanggup
menanggung penyesalan sepanjang hayat. Aku ni tak la jahat sangat sampai nak
boleh berbangga kalau ada yang mati sebab aku!
Bibir
Yana meret senyuman. Gembira. Hatinya puas kini. Dia berjaya memiliki lelaki
itu akhirnya. Yana memeluk erat tubuh Putra. Putra tergamam.
“Erkkk...Yana,
tak elok you peluk I macam ni,” ujar Putra sedikit teragak-agak menolak tubuh
gadis itu yang bertemu dengan tubuhnya.
Yana
tersenyum tawar. Alim la pulak mamat ni. “Sorry. Emmm, kalau gitu kita kena la
cepat kahwin. Then, I boleh selalu peluk you,” bicara Yana penuh manja.
Putra
senyum tawar. Perangai manja dia dah kembali! Apa lagi yang dapat dikatakan
sedangkan dia sudah bersumpah pada Yana. Saat ini dirasakan seperti dia pula
yang sudah membunuh diri. Kahwin dengan Yana? Putra pasrah.
***********************
Keluar
saja dari hospital, Yana bersiap untuk berangkat ke US. Yana perlu menyambung
pengajiannya di sana yang masih bersisa selama setahun. Biarpun berat hati
untuk meninggalkan Putra, gadis itu akur jua setelah dipujuk oleh papa dan
mamanya dengan lembut. Putra juga berjanji untuk menanti kepulangannya.
Oh
Tuhan! Betapa mudahnya mengucap kata janji sedang hati sendiri tidak pasti
mampukah diri memegang janji. Malah ikatan pertunangan telah diikat antara
mereka. Sumpah Putra untuk setia sehingga gadis itu kembali mengikat dirinya. Yana
meraikan kemenangannya dengan pesta ria di dalam hati.
“I
sumpah hanya akan menyintai Puteri Ariyana Engku Adam Darus sepanjang hidup I.”
Itulah sumpah yang terpaksa diangkat Putra semasa menghantar Yana di lapangan terbang.
Namun jauh di sudut hati Putra, dia berharap agar dirinya mampu berpegang pada
janji itu. Walaupun sumpah itu dibuat dengan hati yang tidak sepenuh rela.
*********************
Sumpah
Putra pada Yana telah banyak merubah diri lelaki itu. Putra menjadi seorang
yang pendiam dan gemar menghabiskan masa sendirian. Tidak lagi suka duduk
berbual bersama papa dan mamanya sebaliknya banyak mengurung diri di dalam
bilik.
Hakikatnya
Putra berasakan kebebasannya sudah hilang. Dia berasa dirinya kini sudah diikat
dengan satu sumpahan. Sumpah yang dibuat olehnya sendiri. Sumpah itu mengikat
diri daripada mencari kebahagiaan dalam hidup.
Setiap
saat Putra berasakan detik kepulangan Yana dari US semakin hampir. Putra tidak
dapat membayangkan masa hadapannya bersama seorang gadis yang tidak dicintai.
Penat dia memaksa hati tetapi semakin dipaksa, semakin dia terasa sesak di
dalam dada.
Hati
lelakinya menangis sendirian.
********************
Putra
berjalan menghampiri Nissan Skyline miliknya. Dia baru sahaja keluar dari seven
eleven selepas membeli sebotol air minuman. Belum sempat dia membuka pintu
kereta, Putra dihampiri oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.
Putra
berhadapan dua lelaki itu dengan wajah yang serius. Belum sempat dia bersuara,
sebilah pisau rainbow dihunus oleh salah seorang dari lelaki itu. Mata pisau
diacukan pada bahagian kiri perut Putra. Seorang lagi lelaki meminta Putra
menyerahkan barang-barang berharganya.
Suasana
sunyi dikawasan parking menyebabkan kejadian itu tidak dilihat sesiapa. Putra
akur dengan bertindak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar belakang. Dompet
itu dirampas kasar oleh perompak yang berdiri setentang.
Saat
kedua-dua perompak itu sedang leka menanti dia menanggalkan jam tangan, Putra
bertindak pantas menepis pisau yang diacu padanya. Pisau tercampak jauh.
Berlaku
pergelutan antara Putra dan dua perompak tersebut. Pergelutan seakan
menyebelahi Putra walaupun berada dalam situasi dua lawan satu. Ketika Putra
membelasah salah seorang perompak itu, seorang lagi perompak yang tewas dalam
pergelutan dan jatuh tertiarap ke tanah telah
bangkit dan bertindak mengambil pisau rainbow yang tercampak agak jauh dari
tempat pergelutan berlaku.
Setelah
mendapatkan pisaunya semula, lelaki itu meluru ke arah Putra lalu menikamnya.
Dengan hanya sekali tikaman, pergerakan Putra terhenti. Mata pisau telah
terbenam dalam perut Putra. Darah merah membuak keluar. Terketar-ketar tangan
kanan Putra menyentuh pisau yang telah menembusi isi bahagian perut kanan.
Matanya terbeliak manakala mulutnya tercungap-cungap menarik nafas yang dirasakan
tersekat dikerongkong. Perlahan-lahan mata yang terbeliak kian layu. Darah
membuak keluar menyebabkan tubuh semakin lemah. Perlahan-lahan tubuh sasa itu rebah ke bumi.
Dua
perompak itu kemudian mencapai dompet dan sempat mengambil jam tangan dan handphone
milik Putra . Mereka kemudian terus melarikan diri. Putra dibiarkan tertiarap di
tanah dengan berlumuran darah.
*******************
Dalila
dan Fazura rancak berbual setelah keluar dari sebuah kedai. Ketika Dalila dan
Fazura menghampiri kereta, mereka terperanjat apabila terpandang sekujur tubuh
yang sedang tertiarap dengan perut tertusuk pisau serta berlumuran darah. Fazura menjerit manakala Dalila menghampiri
lelaki yang sudah tidak sedarkan diri itu.
Dalila
memeriksa nadi lelaki itu. Masih berdenyut! Maknanya masih hidup.
“Dia
masih hidup. Kita bawa dia ke hospital sekarang!” jerit Dalila pada Fazura.
Fazura
terkejut. Dahinya berkerut memandang Dalila yang bertindak mahu mengangkat
lelaki itu. Fazura begitu panik sehingga matanya tidak berkelip memandang
sekujur tubuh yang sudah kaku ibarat sekujur mayat.
“Apa
awak tercegat situ lagi? Cepat la tolong saya ni!” sergah Dalila apabila Fazura
masih tidak berkutik.
“Er..kita
panggil ambulan je la. Takkan kita yang kena bawa dia ke hospital.” Fazura
nampak teragak-agak. Gadis itu rasa gementar berhadapan situasi begini.
“Tak
sempat. Dia dah kehilangan banyak darah. Kita kena bawa dia cepat. Cepat la Fazura!”
tegas Dalila.
“Errrkkk...darah
tu merah menyala. Aku takut la Dalila...” Fazura sudah berkali-kali telan air
liur. Mahu pitam dibuatnya melihat darah merah sebanyak itu.
“Mahsuri
sorang je darah putih! Dah... dah... jangan nak mengada-ngada. Cepat tolong aku
ni. Kita tak ada masa dah. Nadi dia semakin lemah ni.” Dalila menarik lengan
Fazura.
Fazura
akur jua membantu Dalila mengangkat lelaki itu masuk ke dalam kereta. Kereta Dalila
meluncur laju membawa Putra ke hospital.
*****************************************************************************
Putra
akhirnya sedar setelah dua hari koma. Lelaki itu kehilangan darah yang banyak.
Mengikut laporan doktor, dia terselamat kerana segera di bawa ke hospital.
Malah, lelaki itu bernasib baik kerana orang yang menghantarnya ke hospital
dengan murah hati mendermakan darahnya untuk lelaki itu. Jika tidak, situasi
akan lebih rumit kerana pihak hospital kekurangan stok darah jenis dimiliki
Putra.
Engku
Adam Tajuddin dan Engku Rahimah sudah tenang setelah kondisi anak mereka mulai
stabil. Mereka mahu berterima kasih pada gadis yang telah menyelamatkan anak
mereka tetapi gadis itu tidak lagi munculkan diri.
“Siapa
yang selamatkan Putra, papa?” soal Putra setelah dia sudah mulai semakin pulih.
Wajah lelaki itu sudah tidak lagi sepucat dua hari yang lalu. Putra bagaikan
diberi nyawa kali kedua setelah sedar dari koma.
“Papa
pun tak tahu. Doktor kata dua orang perempuan. Tapi mereka tak pernah datang
lagi lepas selamatkan Putra.” Jelas Engku Adam Tajuddin.
Putra
mengangguk lemah. Dia berasa terhutang nyawa pada dua gadis itu. Terutama pada
gadis yang menderma darah padanya. Hatinya meronta-ronta mahu menemui gadis
itu. Siang dan malam dia berdoa agar gadis itu datang melawatnya.
********************
“Assalamualaikum.”
Dalila muncul di hadapan Putra. Lelaki itu masih dirawat di hospital untuk beberapa
hari lagi.
Putra
menjawab salam dari gadis itu. Dia agak hairan dengan kehadiran gadis yang tidak
dikenalinya itu.
“Er...
maaf sebab mengganggu awak.” Lembut suara Dalila sambil menghampiri Putra.
Tiada sesiapa di situ kecuali mereka berdua.
“Awak
siapa?” soal Putra. Matanya tidak lari dari menjamah wajah gadis di hadapannya
itu.
“Awak
tak ingat saya? Saya yang masa kejadian dekat parking kereta sebulan lepas.
Yang baling kasut tu,” terang Dalila. Siap buat aksi lakon semula gaya dia
baling kasut pada Putra pada hari kejadian.
Putra
mengangkat kening. Disangkanya gadis itu adalah gadis yang menyelamatkannya dan
datang mahu melawat keadaannya. Ternyata tekaan hati Putra meleset walaupun
kebenarannya Dalila juga orang yang telah menyelamatkan Putra. Cuma kedatangan
gadis itu pada hari ini bukan mahu melawatnya tetapi mahu bertanya perihal
kasut tumit tinggi milik Fazura.
“So?”
soal Putra. Nada suara lelaki itu sudah berubah agak keras. Agak kesal kerana
gadis itu bukan si penyelamat yang disangkanya tetapi musuh tidak rasmi.
“Er...
saya nak tanya pasal kasut yang saya baling pada awak tu. Awak masih simpan
kasut tu?” Agak gementar suara Dalila. Bimbang jika jawapan dukacita yang bakal
diterima.
“Tak
simpan! Dah buang!” selamba Putra menjawab. Aku tengah sakit begini, tak ada
masa nak ambil peduli pasal kasut murah minah ni.
Dalila
mengeluh lembut. Dirasakan nasibnya begitu malang hari itu. Pencariannya selama
ini hanya sia-sia. Kasut tumit tinggi itu mungkin sudah tergolong dalam
timbunan sampah di kawasan pelupusan sampah. Mustahil untuk dijumpai.
“Tak
mengapa la kalau macam tu. Terima kasih dan maaf mengganggu,” sayu suara
Dalila. Gadis itu sudah berura-ura hendak berlalu.
“Awak
datang hanya untuk itu? Just nak tanya pasal kasut tu?” soal Putra sebelum sempat
Dalila melangkah pergi. Penting sangat ke sekadar kasut tu dia datang cari aku
sampai sini? Ah! Tadi tak nak ambil
peduli, tapi sekarang tanya juga.
Dalila
berpaling pada Putra. Gadis itu sekadar mengangguk lemah.
“Macam
mana awak tahu saya ada di sini?” soal Putra lagi. Hairan bagaimana gadis itu
tahu dirinya kini berada di hospital.
Dalila
jadi serba salah untuk menjawab soalan Putra itu. Seboleh-bolehnya dia tidak
mahu Putra tahu dirinya telah menyelamatkan lelaki itu.
“Er...
kawan saya beritahu. Dia yang selamatkan awak. Dia beritahu saya awak di sini,”
dalih Dalila. Alah, tipu sikit
bukan mamat ni tahu.
Terbuntang mata Putra mendengar bicara Dalila
itu. Semangat sekali untuk dia mengetahui perihal wirawati penyelamatnya.
Begitu bersemangat sehingga cedera ditusuk pisau seakan hilang sakitnya.
“Kawan
awak yang selamatkan saya? Mana dia? Dia datang tak?” beria benar Putra
bertanya. Wajah lelaki itu berbunga gembira.
Dalila
telan air liur. Nak kena tipu lagi ni. Aku buat dosa kering je la menipu mamat
ni. “Tak.. dia tak datang. Er... saya nak balik dulu,” jawab Dalila acuh tak
acuh.
Gadis
itu tidak betah untuk terus berada di situ. Dalila segera berpaling mahu
melangkah pergi. Putra pantas menghalang. Dalam kesukaran untuk bergerak dan
kesakitan yang masih menusuk lukanya, Putra bertindak menghalang Dalila dari
berlalu begitu saja.
Dalila
tergamam apabila Putra memaut tangannya. Lelaki itu beria benar mahu berjumpa
‘kawan’ Dalila itu.
“Kalau
awak bawa kawan awak jumpa saya, saya akan bagi semula kasut awak tu.” Putra
mula membuat tawaran. Serius sekali reaksi lelaki itu.
“Tadi
awak kata kasut tu dah dibuang.” Dalila agak ragu-ragu.
“Saya
tipu! So, awak janji ye. Esok petang bawa kawan awak tu datang.” Putra terus
membuat perjanjian sendiri. Dalila angguk perlahan.
Lelaki
itu melangkah semula menuju katil dengan wajah yang ceria. Dalila hanya
memandang Putra dengan seribu tanda tanya. Mengapa lelaki itu beria benar mahu
berjumpa orang yang menyelamatkan dirinya? Nak ucapkan terima kasih kot. Dalila
membuat andaian.
********************
“Pak
Mat, bawa Putra keluar dari hospital sekarang juga,” arah Putra semasa Pak Mat
datang membawa makanan padanya. Papa dan mamanya tidak datang melawatnya hari
itu kerana mempunyai urusan kerja.
“Tapi
encik belum boleh keluar lagi,” bantah Pak Mat. Pak Mat adalah pemandu keluarga
Putra.
“Sekejap
saja. Putra nak ambil barang dekat rumah. Pak Mat jangan banyak tanya. Putra
nak balik juga!” tegas Putra. Lelaki itu bingkas bangun dan bertukar pakaian.
Putra
menyelinap keluar hospital dengan bantuan Pak Mat. Sampai saja di rumah, Putra
segera mendapatkan Mak Senah, salah seorang pembantu rumah keluarganya. Ditanya
pada Mak Senah tentang kasut tumit tinggi yang dilemparnya sebulan yang lalu.
Mak
Senah tergaru-garu kepala. Ingatan orang tua itu tidak kuat untuk mengingati
tentang hal tersebut. Putra, Mak Senah dan Pak Mat mencari-cari kasut tumit
tinggi itu diseluruh kawasan villa. Malah semua pembantu di villa itu dikerah
mencari kasut tersebut. Berkali-kali Pak Mat dan Mak Senah menegur Putra agar
berehat dan membiarkan mereka saja yang mencari. Tetapi lelaki itu berkeras
mahu turut mencari.
“Mungkin
ada dalam stor kot,” ujar Pak Mat setelah penat mencari. Hanya stor saja tempat
yang belum dicari.
“Baru
Mak Senah ingat. Mak Senah rasa, Mak Senah letak dalam stor!” kata-kata Mak
Senah membuatkan Pak Mat dan Putra yang keletihan saling berpandangan.
“Dah
jumpa! Yahoo!” jerit Putra tatkala dia berjaya menjumpai kasut tumit tinggi
yang tersimpan dalam stor. Segera kasut itu dibawa bersamanya kembali ke hospital.
Kegembiraan
tergambar pada wajah lelaki itu. Umpama kesakitan sudah hilang dan tidak
dirasai lagi. Mak Senah dan Pak Mat hanya bertukar pandangan kehairanan dengan
sikap anak majikan mereka itu.
*********************
“Awak ke yang selamatkan saya?” soal Putra
pada Fazura.
Fazura
mengangguk sambil mengerling Dalila yang berdiri bertentangan dengannya. Putra mengukir
senyum ikhlas pada Fazura. Tetapi Putra berasakan hatinya agak kurang mesra
berhadapan Fazura. Sedangkan sebelum ini dia begitu beria-ria dan bersemangat
untuk menemui penyelamatnya.
Hampir
lima minit ketiga-tiga mereka hanya berdiam diri. Masing-masing seakan kehabisan
ayat untuk berkata-kata. Mata Dalila melilau mencari kasut tumit tinggi dalam
wad itu tetapi hanya sebuah beg kertas saja yang ada di atas meja di sisi
katil.
“Er...
mana kasut tu?” soal Dalila setelah hilang sabar dengan situasi sepi begitu.
“Awak
ke yang derma darah pada saya?” soal Putra pada Fazura tanpa mengendahkan
soalan Dalila. Geram Dalila dengan sikap Putra itu.
Dalila dan Putra memandang Fazura yang hanya
tertunduk sedari tadi. Masing-masing berdebar mendengar jawapan dari gadis itu.
Entah mengapa hati Putra membisikkan kesangsian bahawa gadis itu telah
mendermakan darah padanya.
Fazura
mengangkat wajah memandang Putra. Sekilas mata Fazura menjeling Dalila yang
sedang memberi isyarat mata padanya.
“Tak!
Bukan saya!” selamba saja Fazura menjawab.
Terbuntang
mata Dalila mendengar ‘pembelotan’ yang dilakukan sahabatnya itu. Peliknya,
Putra langsung tidak terkejut. Sebaliknya lelaki itu hanya tersenyum. Hatinya
berkata benar!
“Bukan
saya Encik Putra, tapi Dalila. Dalila yang dermakan darah pada encik. Saya mana
boleh dermakan darah saya sebab saya ni ada darah rendah. Lain la si Dalila ni.
Hobi dia memang pergi derma darah,” celoteh Fazura memecah temberang Dalila.
Dalila
menjegil mata pada Fazura. Terus Fazura menunjukkan isyarat thumbs up. Jangan
marah Dalila, mana la tahu ni suratan jodoh kau. Kan sweet!
Tanpa
berlengah, Fazura meninggalkan Dalila dan Putra berdua dalam bilik wad itu.
Dalila menunduk memandang lantai apabila mata Putra tajam menikam wajahnya.
Tiada apa-apa yang mampu Dalila lakukan setelah Fazura melakukan
‘pengkhianatan’. Terpaksa la mengaku saja.
“Kenapa
awak tipu?” soal Putra dengan suara yang lunak. Hati lelaki itu merasa sennag
kerana penyelamatnya sudah ditemui. Kecilnya dunia ini. Si musuh tak rasmi kini
menjadi wira di hati.
Dalila
telan air liur. Tidak pernah lelaki itu mahu bercakap dengan suara sebegitu
lunak dengannya. Mungkin sebab dia rasa terhutang budi pada aku kot. Hati
Dalila sekadar meneka sendiri.
“Habis
tu awak nak saya cakap apa? Takkan saya nak war-warkan pada semua yang saya adalah
hero yang telah menyelamatkan awak tempoh hari. Kalau ikhlas, tak perlu nak
heboh-heboh,” jawapan Dalila membuatkan Putra ketawa kecil.
Sekali
lagi Dalila menelan air liurnya melihat Putra yang sedang ketawa itu. Lelaki
itu kelihatan sungguh kacak tatkala ketawa. Tak ketawa pun dah gila handsome,
bila ketawa bertambah-tambah handsome lagi. Sebelum ni perasan juga mamat ni
handsome tapi kalau perangai bongkak melangit tinggi, yang handsome pun nampak
buruk.
“Terima
kasih.” Lembut suara Putra menampan telinga Dalila.
Dalila
terkedu. Matanya terpandang mata Putra yang merenungnya dengan senyuman indah
di bibir. Tanpa menjawab ucapan terima kasih Putra, Dalila melangkah meninggalkan
Putra terpinga-pinga.
“Betuah
betul minah ni. Sekurang-kurangnya, cakap la sama-sama ke. Ni main blah gitu
je.” Putra tersenyum sendiri.
*********************
Tanpa
pengetahuan sesiapa, Putra mengarahkan orang menyiasat tentang diri Dalila. Di
mana gadis itu tinggal, di mana tempat kerjanya dan adakah gadis itu sudah
berpunya. Jawapan gadis itu masih single mengujakan hati Putra. Dalam diam juga
Putra menyimpan satu perasaan asing dalam hatinya buat gadis itu.
**********************
Dalila
melangkah menghampiri seorang wanita yang duduk di meja setiausaha. Tugas
sebagai interior designer telah membawanya ke bangunan Kemilau Holding untuk mengubah
ruang dalaman pejabat CEO Kemilau Holding itu.
“Cik
ini, interior designer er... Cik Dalila ke?” belum sempat Dalila menyapa wanita
itu, dia telah disapa terlebih dahulu. Dalila mengangguk dengan senyuman di
bibir.
“Bos
saya sudah lama menunggu. Cik boleh masuk sekarang.” Beritahu setiausaha itu
lagi.
Dalila
melangkah masuk ke dalam bilik CEO Kemilau Holding yang pintunya dibiar
terbuka. Sebaik saja dia melangkah masuk, mata Dalila menangkap seraut wajah
Putra yang sedang tersenyum gembira padanya.
Errrkkk!
Mamat ni lagi. Dah pupus ke mansia lain sehingga mamat ni juga yang aku kena
hadap. Entah kenapa aku ni macam kurang berkenan dengan mamat ni. Mungkin sebab
sikap bomgkak setinggi langit serta mulut tak ada insuran mamat ni kot.
Putra
mempersilakan Dalila duduk di sofa. Dalila hanya mengikut tanpa sepatah kata.
Sebaik saja mereka duduk, Dalila memulakan tugasnya sebagai interior designer
dengan memberi penerangan sepatutnya kepada Putra tentang konsep yang telah
direkanya.
Dekorasi
bilik mamat ni pun cantik. Tak tahu kenapa nak tukar lagi. Dah bosan kot atau
dah memang rezeki aku. Tapi yang aku tak tahan, mata mamat ni dah tak pandang
arah lain. Ke aku yang perasan sendiri yang dua biji mata mamat ni asyik sekali
menatap wajah aku yang nan indah ni. Aduh! Sabar la Dalila.
Dalila
menjalankan tugasnya dengan lancar tanpa mengendahkan Putra yang langsung tidak
mempedulikan penerangan darinya. Renungan mata Putra cukup mendebarkan malah
meresahkan sekeping hati hawanya.
Selepas
kata putus dibuat, Putra bersetuju dengan rekaan yang dibuat Dalila. Bukan saja
Putra langsung tidak fokus dengan penerangan Dalila tentang konsep rekaanya
malah lelaki itu terus saja bersetuju dengan rekaan Dalila tanpa sebarang
komen. Bagus la begini. Senang kerja.
“Baiklah
Encik Putra, kerja-kerja mengubahsuai bilik ini akan dimulakan secepat mungkin.
Jadi, encik boleh la kosongkan bahagian yang berkenaan agar kerja
pengubahsuaian dapat dibuat dengan lebih lancar. Kalau tiada apa-apa, saya
minta diri dulu.” Dalila bersikap formal dan berura-ura untuk berlalu pergi.
Sebaik
saja Dalila bangun dari sofa, lengannya dipaut Putra. Dalila jelas terkejut
dengan tindakan drastik lelaki itu. Dalila cuba merentap lengannya tetapi
genggaman lelaki itu terlalu kejap. Putra menarik lengan gadis itu membuatkan
Dalila terduduk di sofa sebelah Putra.
“Apa
awak buat ni? Awak gila ke!” marah Dalila dengan suara yang keras.
Dalila
kembali berdiri dan mahu melangkah pergi. Tetapi sekali lagi tangannya dipaut
Putra menyebabkan Dalila kembali duduk bersandar pada sofa. Malah gadis itu
jatuh begitu rapat dengan dada bidang Putra. Hampir saja dia terjatuh dalam
dakapan lelaki itu.
“Cik
Dalila...” sayu Putra mengucapkan nama gadis itu. Seakan mahu gugur jantung
Dalila menghadapi detik begitu. Tubuhnya begitu hampir dengan Putra sehingga
haruman perfume lelaki itu menusuk hidung dan menggetarkan hatinya.
Dalila
telan air liur tatkala wajah Putra menghampiri wajahnya. Mata lelaki itu tajam
menikam ke dalam anak mata Dalila. Dup! Dap! Dup! Dap! Degup jantung Dalila
begitu kencang. Tak berkelip kelopak mata Dalila melawan panahan mata Putra.
Lelaki itu seolah-olah meneroka hingga ke dasar hatinya. Mencari ruang untuk
bermukim di situ.
Hampir
tiga minit berlalu, Putra akhirnya mencapai satu bungkusan di bawah meja kopi
lalu dihulurkan pada Dalila. Bungkusan yang berisi kasut tumit tinggi milik
Fazura itu segera dirampas Dalila dari genggaman Putra. Segera gadis itu
menjarakkan tubuhnya daripada lelaki itu. Tanpa berpaling ke arah Putra, Dalila
terus berlalu pergi.
Putra
ketawa besar. Geli hati melihat wajah pucat Dalila sebentar tadi. Dalila laju
sekali menghayun langkah keluar dari pejabat Putra. Gadis itu ketap bibir
mendengar ketawa besar Putra yang semakin jauh ditinggalkan.
************************
“Dalila!
Awak tahu tak, syarikat saya adakan percutian atas kapal hujung minggu ni. Saya
boleh bawa seorang teman. Dalila ikut ye.” ajak Fazura beria.
“Syarikat
Fazura, kenapa saya pula yang kena pergi? Tak nak la saya.” Dalila berat hati
ingin mengikut Fazura.
“Eh!
Orang dah bagi can pergi, pergi je la. Jangan nak banyak songeh. Ambil cuti dan
temankan saya. Bos Dalila mesti bagi cuti punya.” Fazura terus mendesak.
“Mana
Fazura tahu bos Dalila bagi cuti?” Dalila menyoal kehairanan.
“Bos
awak kan sayang awak,” jawab Fazura acuh tak acuh.
Dalila
akhirnya mengikuti percutian syarikat Fazura menaiki sebuah kapal mewah yang
berlayar di laut China Selatan. Dalila berasa hairan kerana hanya dirinya
seorang saja orang asing. Bukan staf-staf di syarikat tempat Fazura bekerja.
Berkali-kali dia bertanya hal itu pada Fazura tetapi banyak dalih sahabatnya
itu.
Kehairanan
Dalila terjawab apabila terpandang Putra di atas kapal itu. Tahulah Dalila itu
angkara Putra yang berpakat dengan Fazura. Baru Dalila tahu bahawa Putra adalah
rakan kongsi perniagaan Tuan Kamal, bos Fazura. Kesempatan itu diambil Putra
untuk merapatkan diri dengan gadis itu. Dan Fazura pula, subahat! Sejak bila
temannya itu menjadi pembelot tidak Dalila ketahui.
“Seronok
dapat naik kapal free?” sapa Putra. Dalila buat-buat tidak dengar.
Putra
berdiri bersebelahan Dalila. Kedua-duanya membuang pandangan ke arah laut yang
saujana membiru. Dalila tidak senang dengan situasi begini. Hanya mereka berdua
saja yang berada di luar kapal saat itu. Mana yang lain? Segalanya seolah-olah
sudah terancang. Dalila bencikan keadaan ini.
Dalila
tidak betah lagi berdiri di samping Putra yang sesekali mencuri-curi
pandangnya. Dalila berpaling untuk berlalu pergi. Putra segera mematikan
pergerakan Dalila dengan memaut lengan gadis itu.
“Eh!
Apa ni? Lepas la!” marah Dalila. Suka suki hati dia je nak pegang-pegang orang.
“Nak
pergi mana?” soal Putra dengan senyuman di bibir. Lelaki itu melepaskan
pegangan tangan tatkala menyedari ketelanjuran tingkah lakunya.
“Nak
masuk dalam. Takkan nak tercegat dekat sini je kot,” balas Dalila agak kasar.
Rimas dengan sikap lelaki itu.
“Berdiri
je dekat sini. Saya suka kalau awak berdiri di sisi saya,” ujar Putra lembut
dengan pandangan tajam menikam anak mata Dalila.
Dalila
menggaru-garu batang leher di balik tudung putih yang menutupi rambutnya.
Keletah biasa yang dilakukan apabila dia berasa tidak selesa berdepan dengan
seseorang.
“Kerana
awak suka saya berdiri di sisi awak, jadi awak nak saya stay berdiri di sini? Hei!
Tolong la. Saya tak ada masa nak melayan kerenah awak yang pelik-pelik ni.
Lagipun cuaca macam nak hujan je. Ombak pun agak kuat,” protes Dalila.
“Tapi
ramalan cuaca hari ni, cuaca elok,” jawab Putra tanpa melepaskan genggaman pada
lengan Dalila.
“Ramalan
Encik Putra. Ramalan belum tentu tepat,” bidas Dalila membuatkan Putra
mengangguk kecil.
Dalila
berura-ura untuk meninggalkan Putra di situ. Ketika Dalila hendak berlalu
pergi, Putra menarik lengan gadis itu sekali lagi. Tanpa diduga, ombak besar
memukul badan kapal mewah itu. Kapal itu bergoyang akibat pukulan ombak yang
kuat itu.
Dalila
yang ditarik Putra hilang imbangan badan. Putra pula cuba memaut tubuh Dalila
bagi mengelakkan gadis itu terjatuh keluar dari kapal. Tup! Tup! Dalila terdorong
menghempap atas dada bidang Putra. Kedua-duanya terkedu apabila tanpa
disengajakan bibir Dalila menyentuh pipi Putra.
Situasi
tak diduga itu berlaku dalam sekelip mata. Beberapa saat kedua-duanya bagaikan
terpaku dengan kejadian itu. Sehinggalah Dalila mulai tersendar dan spontan dia
menolak tubuh Putra yang sudah bersatu dengan tubuhnya.
“Pang!”
satu tamparan hinggap ke pipi Putra. Lelaki itu terkedu serentak menyentuh pipi
yang terasa perit. Matanya masih tertumpu pada wajah Dalila yang sudah berona
merah.
Dalila
tidak keruan. Gadis itu terus berpaling dan berlari pergi. Juga tanpa memandang
wajah Putra yang terpaku tanpa sepatah kata. Mujur tiada sesiapa menyaksikan
aksi tak disengajakan itu. Jika tidak pasti masalah lain pula yang akan timbul.
Kejadian
tersebut membuatkan Dalila sentiasa melarikan diri daripada terpandang Putra.
Putra menyedari kegelisahan yang dialami Dalila. Lelaki itu bercadang mahu
mengendurkan keadaan rumit antara mereka sebaik saja turun dari kapal itu.
*******************
“Dalila,
kenapa awak tergesa-gesa sangat ni? Tunggu la kawan-kawan yang lain. Datang
sekali, balik pun sama-sama la. Yang awak express sangat ni kenapa?” protes
Fazura. Geram kerana Dalila berjalan begitu pantas turun dari kapal. Jalan
macam tak pijak tanah lajunya.
“Tunggu
siapanya? Tu semua kawan-kawan Fazura, bukan kawan saya. Awak sengajakan, berkomplot dengan mereka
semua untuk jerat saya dengan si mamat tu. Percutian staf syarikat atas kapal
la konon!” sembur Dalila tanpa menoleh pada Fazura yang terkejar-kejar untuk
bersaing dengannya.
“Sorry
la. Putra tu macam ikhlas je suka pada Dalila. Itu yang saya komplot tu. Mana saya
tahu awak sangat tak berkenan dekat dia. Tapi dia baik apa, kaya pun kaya.”
Dalila hanya menjeling mendengar kata-kata Fazura itu. Mahu saja dihempuk
kepala Fazura dengan beg yang sedang dijinjingnya saat itu.
“Dalila!
Dalila!” kedengaran suara Putra melaung memanggil nama Dalila. Lelaki itu
berdiri kira-kira lima meter dari Dalila dan Fazura.
Dalila
dan Fazura berpaling memandang Putra. Lelaki itu melambai-lambaikan tangannya
meminta kedua-duanya menunggu. Dalila tidak menghiraukan Putra. Dia terus
melangkah pergi. Setelah beberapa langkah, Dalila mematikan pergerakannya.
Bagai ada tarikan yang membuatkan Dalila berpaling memandang kebelakang.
Saat
ini mata Dalila tertumpu pada Putra dan seorang gadis yang entah dari mana
munculnya. Fazura di sisi Dalila turut menyaksikan adegan antara Putra dan
gadis itu.
“Hai,
sayang. You naik kapal tak tunggu I,” sapa Yana sebaik saja menghampiri Putra
yang jelas terkejut dengan kemunculan tiba-tiba gadis itu.
Tanpa
diduga Putra, Yana merangkul pinggang Putra dan jemari gadis itu mengusap pipi
kirinya. Putra tergamam manakala matanya tertumpu tepat pada Dalila yang
menyaksikan free show tersebut. Mata Putra menikam mata Dalila seolah-olah
memberi penjelasan tentang situasi tak terduga yang dialaminya saat itu. Umpama
memberitahu agar gadis itu tidak tersalah tafsir keadaan yang sedang berlaku.
Namun dapatkah bahasa mata menjelaskan segala-galanya?
Dalila
menarik nafas dalam. Dia berpaling dan terus berlalu pergi meninggalkan Fazura
yang terkebil-kebil dengan situasi tersebut. Saat itu Dalila tidak dapat
menahan air matanya dari menitis membasahi pipinya. Dia tidak dapat menyembunyi
seribu kelukaan tatkala melihat lelaki yang sudah mula mengambil tempat di hati berada dalam
pelukan perempuan lain.
***************************
Dalila
menyangka dia tidak akan bertemu dengan Putra lagi semenjak turun dari kapal.
Sangkaan itu meleset apabila sekali lagi mereka bertemu dalam satu majlis
keramaian. Dalila diajak bosnya Fadhil sebagai pasangan untuk menghadiri majlis
tersebut. Dalila hanya bersetuju setelah beberapa kali dipujuk Fadhil.
Maka
hadirlah Dalila sebagai pasangan Fadhil dalam majlis tersebut. Kedua-duanya
nampak sepadan dengan Dalila yang anggun bersama dress merah hati bermanik yang
disulam cantik. Manakala Fadhil bergaya dengan tuxedo hitam.
Putra
yang terpandang pasangan itu dari jauh ternyata dipaut rasa cemburu. Tidak
menyangka gadis yang berjaya mencuri hatinya akan muncul bersama seorang lelaki
yang juga kenalannya. Hati Putra semakin diamuk cemburu apabila Dalila
kelihatan begitu mesra bersama Fadhil. Kemana saja Fadhil pergi akan diikuti
Dalila. Apa saja yang Dalila makan, itu juga pilihan Fadhil. Sakit hati Putra hanya
Allah saja yang tahu.
Putra
tidak dapat menahan perasaan melihat kerenah Dalila dan Fadhil yang membuatkan
dirinya berasa meluat. Putra senyap-senyap meninggalkan Yana yang leka berbual
dengan kawan-kawannya dan menuju ke arah Dalila.
Kebetulan
pula ketika itu Dalila berseorangan berjalan menuju ke tandas. Peluang itu
diambil Putra dengan menarik Dalila keluar dari majlis itu. Putra menolak
Dalila ke satu sudut yang tersorok. Tajam matanya menikam wajah gadis itu.
Wajah Putra kelihatan sangat serius manakala wajah Dalila terpamer riak marah.
“Apa
awak nak?” tengking Dalila.
Putra
masih menikam wajah Dalila yang sudah merah akibat marah. Kemesraan Dalila dan
Fadhil terbayang di ruang matanya. Cemburu membuak di dalam dada.
“Awak
buat apa dekat sini dengan si Fadhil tu” soal Putra bernada serius dengan wajah
tegang. Cemburunya tidak diselindung lagi.
Dalila
senyum menyindir. Dapat dihidu api cemburu lelaki itu. Tapi untuk apa cembur
itu? Tidak cukupkah Putra dengan seorang wanita? Bukan dia tidak nampak Putra
datang ke majlis ini bersama seorang wanita cantik jelita. Malah begitu seksi
jika hendak dibandingkan dengan Dalila yang ayu bertudung.
“Itu
semua urusan saya. Awak tak perlu masuk campur,” bersahaja Dalila menjawab.
Muka Putra langsung tidak dipandangnya. Gadis itu memeluk tubuh dengan tingkah
angkuh.
Putra
gigit bibir. Sakit hati dengan sikap Dalila itu.
“Saya
sukakan awak. Awak tahu tak?” akui Putra. Ya, saya sukakan awak. Sejujurnya itu
perasaan saya pada awak.
Dalila
terkedu. Tidak berkelip dia memandang wajah Putra. Telinganya tidak tertipu
kerana apa yang dilafaz Putra terpancar pada renungan mata lelaki itu.
“Awak
tak main-mainkan?” Dalila tidak tahu harus berkata apa. Pengakuan Putra bagai
satu ungkapan keramat yang menjawab segala beban perasaan yang mencengkam hati.
Putra
menggeleng. “Saya suka awak. Saya cintakan awak. Saya nak awak jadi permaisuri
dalam hidup saya. Isteri saya dan jadi ibu kepada anak-anak saya,” ucap Putra
satu persatu.
Mata
Dalila mulai berkaca. Terharu mendengar lafaz pengharapan itu. Lelaki itu
mengharapkan dirinya menjadi pelengkap hidup. Tidak diduga dia mendengar itu
semua dari bibir Putra.
Dalila
perbetulkan aturan nafasnya. Kata-kata Putra membuatkan dirinya rasa teruja.
Tetapi ada sesuatu yang masih membelenggu dirinya.
“Tapi,
siapa perempuan yang datang bersama awak tu?” soal Dalila dengan harapan
jawapan dari Putra bakal melenyapkan curiga yang bersarang di sudut hati. Mana
la tahu tu adik dia kan. Tapi mungkin ke?
Putra
telan air liur. Sejujurnya Putra tidak mahu menipu Dalila. Dia ingin
berterus-terang pada Dalila tentang situasi dirinya. Dia mahu Dalila memahami
dan begitu berharap agar gadis itu dapat setia menanti untuk Putra membetulkan
keadaan. Putra mahu berdepan dengan Yana dan memperbaiki kesilapannya atas
perjanjian dengan sepupunya itu.
“Perempuan
tu Yana. Yana tu sepupu saya...”
“Dan
saya juga tunang Putra! Tunang yang bakal menjadi isteri Putra dalam sedikit
masa saja lagi.” Yana muncul dari arah belakang dan memintas bicara Putra.
Putra
dan Dalila jelas terkejut. Malah Dalila bertambah terkejut dengan kenyataan
yang baru didengarnya. Dalila pandang Putra inginkan kepastian daripada lelaki
itu.
Lidah
Putra seakan kelu untuk berbicara. Kemunculan Yana tanpa diduga benar-benar
membuatkan Putra serba salah. Dalila rasa dipermainkan apabila Putra langsung
tidak menafikan kenyatan Yana itu.
Jadi
benar la mereka berdua sudah bertunang! Dan Putra masih tergamak mengungkap
madah cinta pada aku. Dasar lelaki buaya!
“I
simpati dengan you, Cik Dalila,” bicara Yana bernada sindiran.
“Lelaki
memang gemar permainkan wanita dengan ayat manis, janji dan sumpah mereka.
Kalau boleh, dah jadi suami orang pun masih mengaku bujang. Putra, I faham yang
berjauhan dengan tunang sendiri memang buatkan hati rasa sunyi. Tapi tak baik
you main-main dengan perasaan wanita. Kesian tau...” ujar Yana sambil matanya tidak lepas dari memandang
Putra. Sengaja menerbitkan rasa serba salah di hati lelaki itu.
Dalila
renung Putra yang masih membisu. Benarkah semua ini? Jadi Putra hanya
permainkan perasaannya? Cinta dan sayang... palsu? Sakit hatinya bukan
kepalang. Lantas ringan saja tangan Dalila menghayun penampar ke pipi kiri
Putra.
“Penipu!”
herdik Dalila.
Putra
tergamam. Tidak juga dia mempertahankan diri. Lelaki itu merasa lemah
berhadapan Dalila saat Yana turut tercegat di hadapannya.
Sejurus
itu juga Dalila menolak tubuh Putra menjauhi dirinya. Dalila yang sudah basah
pipinya dengan hujan air mata berundur beberapa tapak ke belakang sambil
memandang wajah Putra yang sudah berkaca pada penglihatannya. Yana memerhati
dengan rasa senang hati atas kemenangan dirinya.
Dalila
kemudian berpaling dan berlari meninggalkan Putra. Setelah tiga langkah dia
berlari, Dalila terjatuh kerana tumit kasutnya patah. Akibat marah yang
membuak, Dalila menanggalkan kasut tersebut lalu dicampak pada Putra. Sempat
lelaki itu mengelak dari kasut itu mencium dahinya.
Dalila
terus berlari berkaki ayam meninggalkan majlis tersebut dengan sebelah lagi kasut
di tangan. Dalila berlari meninggalkan Putra yang hanya mampu melihat pemergian
sang puteri yang telah dikecewakan setelah baru sebentar diberikan harapan.
Lelaki itu umpama putera raja yang ditinggalkan Cinderellanya. Dalila adalah
Cinderella yang berlari meninggalkan Putra bersama sebelah kasut tumit tinggi!
*****************************
Dalila
menangis sepenuh jiwanya. Fazura yang menjadi pemerhati semakin resah melihat
keadaan sahabatnya itu. Kepulangan Dalila dalam keadaan yang pelik benar-benar
membimbangkannya. Bimbang sesuatu buruk telah menimpa sahabatnya itu. Jika
tidak, masakan Dalila menangis hingga basah bantal yang ditekup pada mukanya
itu.
“Saya
bodoh sebab jatuh cinta pada dia, Fazura. Sedangkan dia tak cintakan saya. Dia
mainkan perasaan sayae...” rintih Dalila. Fahamlah Fazura gelora dalam jiwa
sahabatnya itu.
Fazura
membawa Dalila dalam pelukannya. Kedua-duanya tenggelam dalam tangisan yang
semakin rancak. Teman ketawa mudah dicari, teman menangislah teman sejati.
*******************************
“Yana
dan Putra akan kahwin hujung bulan ni.” beritahu Engku Adam Tajuddin seterusnya
memeranjatkan Putra. Malangnya hanya
lelaki itu saja yang terperanjat kerana ahli keluarga yang lain sudah sedia
maklum akan hal itu.
“Kenapa
tiba-tiba saja?” soal Putra.
“Mana
ada tiba-tiba. Putra dan Yana dah bertunang, jadi sekarang kahwin la pula.
Takkan nak bertunang lama-lama. Yana seorang diri di US sana. Kalau dah kahwin
nanti Putra boleh temankan Yana di sana.” Pertahan Engku Rahimah.
“Macam
mana dengan kerja Putra?” Putra masih mempersoalkan keputusan perkahwinannya.
“Kita
akan buka cawangan di sana. Papa rasa Putra adalah calon terbaik untuk dihantar
uruskan cawangan syarikat di sana. Jadi bersiap sedia. Jangan kerja nak
membantah saja!” putus Engku Adam Tajuddin menamatkan perbualan antara mereka.
*****************************
“Kenapa
you buat I macam ni Yana?” soal Putra pada Yana ketika mereka berdua keluar
ambil angin di taman.
“I
buat apa?” soal Yana berpura-pura tidak memahami kata-kata Putra.
“You
paksa I terima you dalam hidup I secara mengejut macam ni. You tahu tak hujung
bulan tu hujung minggu depan!” agak meninggi suara Putra.
“Kenapa
dengan you ni? Apa masalahnya? Lambat laun kita kahwin juga,” balas Yana.
“Kalau
you dah tahu lambat laun kita kahwin juga, buat apa nak tergesa-gesa sangat?
You ingat I ni bodoh? Buka cawangan di US tu hanya alasan saja!” bidas Putra.
“Memang
tu semua alasan. I tak nak you ingat lagi perempuan tu. You ingat I tak tahu
you tergilakan perempuan tu! You dah bersumpah dengan I, Putra. You tak boleh
lepas macam tu saja!” Yana jelas begitu marah. Diam-diam Yana mengupah
seseorang untuk menjadi mata-matanya bagi memantau setiap pergerakan Putra
sepanjang dia di US.
Putra
meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Dia benar-benar dimakan sumpahannya
sendiri walau sumpah dibuat bukan dengan rela hati.
“I
sanggup mati dari tak dapat you. You lebih tahu tu! I tak akan lepaskan you, Putra. You milik I,”
tegas Yana.
Putra
menikam wajah Yana. Dia tidak mampu membenci gadis itu juga tidak mampu menyintainya. Semua itu membuatkan
hatinya semakin tersiksa.
“You
nak miliki I? You akan miliki I! You akan miliki I, Yana. Tapi hanya jasad I
bukan hati I. Kerana I sudah tidak punya hati lagi. You bunuh hati I sejak you
paksa I bersumpah pada you dulu. Dan bila I mula merasakan hati yang mati itu
hidup semula, I dah serahkan seluruh hati itu pada gadis yang I cintai kerana I
tak nak hati itu mati sekali lagi,” luahan perasaan Putra merentap jantung
Yana. Gadis itu tergamam tanpa mampu berkata apa-apa.
“You
sudah miliki I, Yana. Malangnya setiap darah yang mengalir dalam tubuh ini
telah bersatu dengan darah wanita yang I cintai. Allah utuskan dia sebagai
penyelamat I. Dan setiap denyut nadi I adalah kerana dia. You ingin memiliki
tapi I memilih menyintai dia walau tak dapat memilikinya. Itu pilihan kita
Yana. Itu pilihan I!” Putra berlalu meninggalkan Yana setelah memutuskan
pendiriannya.
Yana
hanya mampu membiarkan air mata menitis membasah ke pipi. Betapa sukarnya dia
untuk memiliki lelaki itu. Dia mengikat lelaki itu dengan sumpah, malangnya
sumpah belum dapat mengikat hati lelaki itu padanya. Sumpahan itu umpama tembok
batu yang menghalang Putra dari bersama Dalila tetapi tidak mampu menghalang
hati mereka dari saling menyintai.
****************************
Majlis
pernikahan Putra dan Yana gempar! Pengantin perempuan telah hilang. Sebaik saja
mendapat tahu berita itu, Putra dan papanya meluru masuk ke dalam bilik
pengantin perempuan. Kelihatan mama Putra dan mak usunya kegelisahan dalam
kamar pengantin.
“Apa
dah jadi mama?” soal Putra. Wajah cemas mamanya jelas kelihatan.
“Mama
tak tahu. Tadi Yana ada, bila mama datang tengok dia dah hilang.” Terang Engku
Rahimah.
Tiba-tiba
mata Putra terpandang sepasang kasut tumit tinggi di atas meja solek. Di bawah
kasut itu terdapat sepucuk surat ditulis tangan oleh Yana.
Kepada Engku Adam Putra Engku Adam
Tajuddin...
Maaf
jika cinta Yana selama ini telah menjadi penjara pada Putra. Yana terlalu
menyintai Putra hingga mata ini buta dari melihat kesengsaraan dalam mata
Putra. Yana terlalu mementingkan diri dan membunuh cinta Putra. Maafkan Yana.
Yana tidak mahu menjadi ahli sihir yang menghalang penyatuan hati dua insan
dengan satu sumpahan. Dengan ini, Yana bebaskan Putra dari sumpahan yang
memenjarakan cinta Putra selama ini. Gapailah bahagiamu bersama puteri impian.
Yana berada di tempat sepatutnya Yana berada saat ini. Mungkin Yana harus fokus
study untuk lupakan luka hati ini. Doakan luka hati ini akan segera sembuh.
Daripada : Puteri Ariyana Engku Adam
Darus.
Sebaik
saja surat itu habis dibaca, Putra meluru keluar dari rumah itu bersama kasut
tumit tinggi yang berada bersama surat itu. Lelaki itu langsung tidak
menghiraukan suara-suara memanggilnya yang kedengaran semakin sayup di telinga.
*************************
Dalila
dikejutkan dengan kemunculan tiba-tiba Putra diperkarangan rumahnya. Semakin
pelik kerana lelaki itu muncul dengan pakaian pengantin. Tak ubah seperti
sultan zaman kesultanan Melayu. Lebih memeranjatkan apabila lelaki itu
menghulurkan sebelah kasut tumit tinggi padanya.
“Nur
Dalila, adakah dikau pemilik kasut ini?” soal Putra sambil duduk melutut
sebelah kaki. Umpama sang putera yang sedang melamar puteri impiannya.
Dalila
mengangkat kening. Agak terkejut dengan situasi tidak diduganya itu. ‘Bukankah
hari ini Putra akan bernikah dengan Yana?’ bisik hatinya.
“Mahukah
awak menjadi Cinderella saya?” soal Putra sekali lagi apabila Dalila hanya
memandangnya dengan wajah terpinga-pinga.
“Menjadi
pemilik kasut ini dan jadi pemilik cinta saya. Cinta yang tiada akhirnya hingga
ke syurga.” Sambung Putra lagi. Ditangan Putra adalah sebelah kasut yang ditinggalkan
Dalila padanya. Tumit yang patah sudah dibaiki.
Saat
itu Dalila merasakan mutiara jernih sudah tidak dapat ditahannya lagi. Deras
air matanya mengalir ke pipi. Dia benar-benar menyangka sudah kehilangan lelaki
itu. Tidak diduga lelaki itu akan datang mencari Cinderellanya pada detik itu.
“Kalau
kasut tu muat di kaki saya. Sayalah Cinderella awak.” kata-kata Dalila
menguntum bunga bahagia di hati Putra.
Segera Putra menyarungkan kasut tersebut ke
kaki kanan Dalila. Setelah kasut berjaya disarung, Putra memandang wajah Dalila
dengan wajah sangat gembira.
“Padankan?
Awaklah pemilik cinta saya. Jom!” Putra terus menarik tangan Dalila.
“Kita
nak ke mana?” soal Dalila apabila Putra membukakan pintu kereta BMWnya untuk
Dalila.
“Setelah
sang putera bebas dari sumpahan, dia membawa Cinderellanya berjumpa tok kadi
untuk dinikahkan!” seloroh Putra membuatkan mata Dalila terbuntang.
“Nikah?”
Dalila terjerit kecil. Terkejut!
“Telefon
mak ayah awak beritahu kita nak kahwin!” arah Putra sebaik saja duduk di tempat
pemandu. Dalila kelihatan tergamam.
“Cepat
la, tok kadi dah lama tunggu!” Putra tersenyum bahagia.
Akhirnya
cinta sang Putera bersatu dengan pemilik kasut Cinderellanya...