ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Friday, July 13, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 5



Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 5
“Hai, Kamelia ada?” soal Zahil pada Diya.
Diya mengurut dada. Sejak bila pula mamat ni muncul. Tak dengar apa-apa bunyi pun.  Berkerut-kerut muka Diya. Ketenangan hati sedikit tercantas. Kehadiran Zahil di kedai butik Kamelia kurang Diya senangi.
Sorry kalau awak terkejut. Awak tu khusyuk sangat buat kerja. Kalau ada orang datang merompak kedai  pun sure tak sedar.” Diya hanya menjuih bibir dengan kata-kata Zahil.
Mana tidak, aku dah duduk perhati dia dekat lima belas minit. Langsung dia tak sedar. Kuat mengelamun juga perempuan ni.
“Kamelia tak ada. Katanya dia tak datang kedai hari ni.” acuh tak acuh Diya berbicara. Hati berharap benar lelaki ini segera berlalu. 
“Tak pe la kalau macam tu. Saya datang bawa cup cake kegemaran Kamelia. Malang pula Kamelia tak ada. Jadi, saya beri pada awak saja. Awak makan la.” Zahil menghulurkan Diya kotak berisi kek cawan.
Diya tergamam seketika tatkala kotak kek cawan dihulurkan padanya. Nak ambil ke tidak, hati Diya berbelah bahagi. Keikhlasan lelaki itu diragui. Kenapa lelaki ni baik sangat dengan aku sedangkan aku dingin je layan dia. Betul ke tak ada udang di sebalik kek cawan ni?
“Terima kasih saja Encik Zahil. Saya tak makan kek. Nanti gemuk.” Diya menolak pemberian Zahil. Bukan tak makan tapi saja beralasan. Tidak mahu mudah menerima kebaikan mana-mana lelaki. Ingat Diya, kau harus jadi wanita yang kalis terhadap sebarang kebaikan lelaki. Jangan biar kebaikan mereka memperdayakan kau!
“Oo... tak tahu pula saya. Tapi kalau makan sekali-sekala tak apa kan. Takkan sekali je dah gemuk. Cup cake ni sedap tau. Cantik pun cantik.” Zahil membuka kotak kek dan menunjukkan Diya rupa kek kecil yang comel itu. Ala-ala promote gitu.
Diya hanya menjeling. Saja buat-buat tak berminat. Padahal perut berkeroncong tatkala aroma cup cake menusuk hidung. Oh hati, jangan tergoda oleh rupa dan bau cup cake tu. Sabar Diya… sabar! Keikhlasan Zahil terus diragui.
Melihatkan reaksi Diya yang hambar, Zahil tidak mahu memaksa. Buat apa paksa kalau orang sudah tak sudi.
“Tak mengapa la. Saya letak kat sini. Kalau awak rasa nak makan nanti awak ambil. Kalau tak, awak bawa balik bagi housemate awak.” Zahil meninggalkan kotak kek itu di atas kaunter. Sebaik saja lelaki itu berpaling pergi, Diya menjeling kotak kek itu. Air liur ditelan beberapakali.
Ketika lelaki itu mahu keluar dari kedai, dia bertembung dengan Kamelia yang mahu masuk ke dalam kedai.
“Diya kata kau tak datang hari ni,” beritahu Zahil.
“Tadi ada hal. Tapi dah batal. Tu yang aku datang ni,” jawab Kamelia.
Zahil angguk faham. “Kau dah makan?”
“Belum. Lapar tapi malas nak keluar makan.” ujar Kamelia.
“Bagus sangat kalau macam tu. Aku datang bawa cup cake kegemaran kau. Tunggu sekejap.” Zahil berpatah semula menghampiri Diya lalu mengambil kotak kek yang telah diberikan pada gadis itu.
“Awak tak makankan. Saya ambil balik ye,” bisik Zahil sambil tersenyum.
Kelopak mata Diya berkelip-kelip melihat kotak kek menjauhinya. Glup! Diya menelan air liur. Terliur Diya melihat kotak kek di tangan Zahil itu. Buruk siku betul mamat ni!
“Aku dah bagi pada Diya sebab kau  tak ada. Tapi Diya kata dia tak makan cup cake sebab takut gemuk. Memang rezeki kau.” Kotak kek berpindah ke tangan Kamelia.
Diya tersengih-sengih apabila Kamelia memandangnya dengan kerut di dahi. Setahu Kamelia, Diya suka juga makan kek. Ni mesti kes ngelat ni.
“Jom kita makan cup cake ni sambil minum teh panas di kedai depan tu,” ajak Zahil.
Kamelia dan Zahil meninggalkan Diya yang menelan air liur melihat cup cake dibawa pergi bersama. Itulah rezeki jangan ditolak. Sekarang perut sendiri yang merana. Sebahagian hati Diya mengutuk diri sendiri.
Zahil senyum mengejek sebaik saja berpaling pergi. Huh! Tak makan konon. Aku dah tarik balik cup cake ni, tau pula terkebil-kebil. Telan je la air liur tu….


Hari ini Diya buka butik seperti selalu. Seminggu ini Kamelia jarang datang ke butik kerana menumpukan perhatian terhadap pembukaan cawangan baru Butik Delias Collection. Segala urusan di butik diserahkan kepada Diya.
“Assalamualaikum.” Diya tidak angkat muka memandang gerangan yang memberi salam. Salam itu pun dijawab dalam hati saja. Dah kenal sangat siapa yang datang. Mana tidak, dah kerap sangat mamat ni datang sini. Datang pula entah apa tujuan pun tak tahu. Nak kata datang jumpa Kamelia, kadang-kadang tu sekadar duduk bertenggek dekat tepi kaunter tu. Banyak betul masa dia untuk dibazirkan melepak dekat sini.
“Awak nak apa? Kak Kamelia tak ada hari ni,” beritahu Diya tanpa dipinta. Semalam lelaki itu datang dan Diya sudah maklumkan hal yang sama. Terus saja lelaki itu berlalu setelah Diya agak sibuk melayan beberapa orang pelanggan. Pelik betul Diya dengan si Zahil ini. Kenapa tak telefon saja Kamelia sebelum datang?
“Oooo…” Zahil senyum sinis melihat kedinginan layanan Diya padanya. Perempuan ni memang tak pernah layan aku baik-baik. Entah apa masalah minah ni. Asal nampak aku masuk sini je, terus tarik muka. Pelik betul! Sebab kemalangan dulu ke? Entah la…
Zahil duduk di atas kerusi bertentangan dengan Diya yang duduk di meja kaunter. Lelaki itu memerhati teletah Diya yang sengaja menyibuk diri menguruskan pesanan pelanggan secara online. Sesekali lelaki itu tersenyum sendiri. Diya jadi tidak senang duduk. Apa hal pula mamat ni!
Diya panggung kepala memandang Zahil dengan wajah serius. “Ada apa boleh saya bantu Encik Zahil?” nada suara Diya sedikit menyindir.
Zahil buat muka selamba saja. Jemari kanannya menyelak rambut ke belakang kemudian bibirnya  bersiul-siul. Diya geram melihat teletah Zahil. Terasa sakit hati pula.
“Awak nak apa ni? Saya banyak kerja nak buat,” marah Diya.
Zahil berhenti bersiul. Diya yang marah direnung tajam sehingga gadis itu mula tidak keruan. Zahil rasa lucu melihat teletah Diya yang tadinya berani mencerlun tajam ke arahnya kini sudah melarikan pandangan ke arah lain. Tadi berani sangat!
“Kenapa awak marah sangat dekat saya? Awak marah sebab kemalangan dulu tu ke? Tapi tu bukan salah saya. Salah awak!” ujar Zahil selamba.
Diya yang awalnya buat-buat tak endah dengan kata-kata Zahil kemudian terbeliak mendengar hujung ayat lelaki itu. Tak berlapik kata langsung manusia ni letak semua kesalahan pada aku. Hati Diya sedikit terbakar.
“Ye la, salah saya” ujar Diya bernada meluat. Malas hendak berbalah dengan Zahil. Tetapi Zahil masih rajin melayan kedinginan Diya.
“Hari tu… errr… maksud saya hari awak langgar kereta saya tu. Apa masalah awak hari tu ye? Awak macam marahkan seseorang je.” Hati Diya dijentik oleh soalan Zahil tetapi gadis itu terus berpura-pura sibuk dengan kerjanya.
Zahil menjuih bibir apabila kata-katanya tidak menarik minat Diya untuk bersuara. Tetapi dia belum berputus asa untuk menarik perhatian Diya. “Biar saya teka. Emmm… awak putus cinta ek? Ke… pakwe awak curang! Emm… awak tangkap dia main kayu tiga?” serkap Zahil.
Pergerakan jari Diya yang laju mematuk papan kekunci laptop terhenti. Hati terasa hangat dan emosinya berapi-api. Mamat ni menyibuk betul!
Zahil tidak sedar keadaan Diya yang sedang terbakar dek tingkahnya terus bersuara. “First time putus cinta ek?”
Diya hilang sabar. “Gang!” bergegar kaunter itu dek hentakan tangan kanan Diya. Zahil yang terkejut tertelan air liur. Badan lelaki itu yang sedikit membongkok tersandar pada kaunter sudah menegak. Diya angkat muka menikam wajah Zahil. Membulat matanya dengan sinar api kemarahan. Hilang rasa terkejut, Zahil tersengih kemudian mengukir senyum manisnya.
Glup! Diya telan air liur. Baru saja Diya hendak sembur amarah kepada lelaki itu. Sekali Zahil senyum manis ala-ala Lee Jun Ki, terus api di hati Diya bagai disimbah air perigi. Alahai, senyuman manis Zahil membuatkan Diya nak marah pun tak jadi.
Mamat ni kalau senyum comel je. Tapi kalau buka mulut, macam nak minta kerat lidah! Getus hati Diya.
“Kenapa? Tekaan saya tepatkan… kan? kan?…” Zahil masih dengan lagak bersahaja.
Diya ketap bibir. Geram! Kenapa lelaki ni menyibuk sangat? Eee… geram betul! Dah tu memandai-mandai buat teori sendiri.
“Saya dah agak dah awak ni mesti frust bercinta. Sebab tu awak macam perempuan meroyan je time tu,” sekali lagi Zahil bercakap sesedap lidah.
Diya genggam jari bawah meja kaunter. Mahu saja lelaki itu dihadiahkan buku lima sulungnya. Berlagak bijak je dia ni.
“Saya simpati dengan awak. Tapi itu la masalah orang perempuan kalau dah putus cinta. Mengamuk macam dunia dah nak kiamat.”
Eeee… mamat ni! “Eh! Awak ni tak menyibuk hal saya tak boleh ke?” tengking Diya geram. Kening Diya sudah berkerut-kerut. Pipi pula dah berbahang dibakar amarah.
“Awak marah ke?” macam orang bodoh saja Zahil bertanya. Tengok muka pun dah boleh tahu. Tapi saja je aku nak tanya soalan yang boleh tambah hangat di hati dia ni. Saja je nak uji tahap nyalaan api kemarahan awak.
“Tak la, saya tak marah tapi dah naik hantu! Awak jaga tepi kain sendiri, jangan sibuk hal orang lain!” bentak Diya. Mamat ni, aku hayun jugak nanti! Gumam Diya dalam hati.
Zahil boleh buat muka selamba lagi. “Awak tahu tak, masalah awak ni sangat serius. Awak alami tekanan emosi yang teruk.”
Mata Diya membulat. Zahil tak peduli, lidah terus petah berkata-kata.“Buktinya, kerana pakwe awak tu, awak simpan dendam terhadap saya. Tak patut betul saya yang tak bersalah menjadi mangsa keadaan. Ish… ish…” ujar Zahil tanpa mempedulikan kemarahan Diya.
Diya gigit bibir. Jika lelaki ini bukan kenalan rapat Kamelia, mahu saja dihambat keluar. Tahan je la Diya dengan mulut Zahil ini. Diya kembali pada tugasnya. Gadis itu memilih memekakkan telinga dan membutakan mata. Anggap seperti Zahil tidak wujud di situ.
“Saya tak salahkan awak jadi macam ni kerana frust bercinta. Awak bukan orang pertama dalam dunia ni yang meroyan sebab cinta tak kesampaian. Saya simpati dengan nasib kurang baik awak tu…” ujar Zahil lagi. Nak buat-buat pekak? Saya tak peduli pun. Saya nak cakap juga! Saya tahu awak dengar walau buat-buat tak dengar.
“Orang kata, siapa yang pernah merasakan saja tahu betapa peritnya putus cinta. Yang berpengalaman saja tahu maksud kata-kata pujangga bahawa sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang tetapi perasaan itu tidak berbalas. Saya pun tak pernah rasa lagi perasaan sakit tu. Tapi anehkan? Orang kata, perasaan tu macam benci... tapi rindu. Dendam… tapi sayang.” Bicara Zahil yang panjang lebar didengar Diya tanpa sebarang reaksi. Walau hakikatnya hati Diya terjentik oleh bicara itu.
Dia teringatkan seseorang. Itukah yang dirasakan setelah cintanya aku tolak mentah-mentah? Ah! Walau macam mana perit pun perasaan putus cinta itu, dia tidak berhak memusnahkan hidup aku. Biar perasaan itu seperti dunia terasa sempit dan dada dicengkam dan terhimpit sekali pun, dia tetap bersalah atas tindakan zalimnya. Bukankah cinta itu bukan paksaan?
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika. Bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika. Awak pernah dengar kata-kata tu? Tahu kenapa ada kata-kata macam tu?” Zahil renung Diya dengan kening terangkat. Sekilas Diya menjeling Zahil apabila ayat lelaki itu berupa soalan dituju padanya. Kan dah cakap dia dengar!
“Sebab orang yang boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang kita cintai. Kadangkala sebab terlupa akan kata pujangga begini buatkan kita hancurkan diri sendiri kerana cinta. Alangkah baiknya kalau kita dapat fikir, mungkin Allah memutuskan ikatan itu untuk menyambungkan ikatan yang lain. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah.” Zahil mengakhiri falsafah cintanya dengan senyum meleret.
“Bagus sekali falsafah cinta awak Encik Zahil Hariz. Malangnya semua tu tak ada kena-mengena dengan saya sebab saya tak pernah bercinta dan tak pernah putus cinta!” tukas Diya serius.
Zahil melepaskan nafas berat. Tersilap bagi nasihat ke ni? Boleh percaya ke dia tak pernah bercinta? Alah, aku yang handsome ni pun tak pernah bercinta. Boleh percaya la kalau dia ni pun tak pernah bercinta. Kan… kan? Ish! Macam dah padan je aku dengan dia ni. Sama-sama hijau dalam alam percintaan.
“Betul ke saya salah? Maaf la kalau macam tu. Tapi kalau awak tak pernah bercinta, bagus juga. Saya boleh ajarkan awak subjek cinta!”
What?” Luas juga mulut minah ni ternganga.
Zahil angguk penuh semangat. Manis senyum diukir bibir menyerlahkan ketampanan wajah lelaki bermata sepet itu.
“Mata pelajaran pertama kita untuk hari ini! Pada awak, cinta itu… apa sebenarnya? Laju saja Zahil mengubah topik hingga tidak sempat hilang terkejut Diya.
Kini gadis itu terkedu seketika. Cinta itu… apa sebenarnya? Hati Diya berbisik mengulang ayat terakhir Zahil itu.
“Cinta?” soal Diya dengan kening terangkat. Zahil angguk dengan senyum manis.
“Ye, cinta. Macam… cinta adalah perkongsian dua hati. Emmm… atau pendapat lain...” ujar Zahil.
Diya ketawa kecil. Nak ajak aku berfalsafah cinta pula mamat ni. Baik…“Cinta adalah salah satu kebodohan manusia!”
What?” Kali ni Zahil pula yang ternganga luas.
“Emmm… emmm…” gumam Diya dengan anggukkan kepala. “Hanya manusia bodoh saja yang akan serahkan seluruh hati dan jiwa raga pada manusia lain. Perkongsian dua hati! Ayat yang naif sangat.” Diya tersenyum sinis.
“Polos gila! Tahu kenapa? Sebab manusia akan korbankan orang yang dicintai demi kepentingan diri sendiri! Cinta bukan perkongsian dua hati tapi mengorbankan diri orang lain untuk diri sendiri. Cinta akan memusnahkan kepercayaan! Musnahkan kebahagiaan!” Diya lepaskan nafas. Seperti mana ‘dia’ memusnahkan hidup aku!
Zahil tergamam. Tak berkelip mata memandang Diya yang lancar mengutarakan pandangannya penuh yakin. Pandangan yang dipegang sebagai prinsip hidup.
“Errr… Diya…” Zahil hilang kata-kata.
“Saya dah jawab soalan awak. Sukatan pelajaran untuk subjek hari ni sampai sini saja ye. Awak baik balik sekarang.”
Zahil tunduk lemah. Bibir dimuncungkan apabila hati memprotes hujah gadis itu. Tak mengapa la, hari ini beralah dulu. Esok masih ada lagi. Lelaki itu kembali mengenakan kaca mata hitam dan berdiri tegak. Ucapan salam diberikan sebelum kaki dihayun melangkah meninggalkan Diya yang kembali berpura-pura sibuk.
Pemergian Zahil dipandang sepi oleh Diya tatkala kelibat lelaki itu sudah menjauh. Kenapa la lelaki ni menyibuk sangat? Takkan la bosan sangat tak ada kerja nak buat sampai menyibuk tepi kain orang lain kot.
“Cinta itu… apa sebenarnya? Heh! Aku tak perlu tahu pun semua tu. Cinta... Polos gila!” monolog Diya seraya mengukir senyum sinis.


Diya memanjangkan langkah kakinya agar dapat menjarakkan diri daripada Zahil yang mengekori di belakang. Tidak disangka dia boleh terserempak dengan Zahil ketika membeli-belah seorang diri. Sebaik saja mereka bertemu pandang, Zahil terus tersenyum lebar dan melangkah menuju ke arah Diya. Diya yang terkejut segera angkat kaki. Diya tak tahu kenapa dia harus melarikan diri. Segalanya berlaku tanpa dirancang. Secara automatik tubuh Diya berpaling dan kakinya laju bergerak untuk menjauh.
Zahil masih mengejar langkah Diya. Dia yakin gadis itu perasan akan kehadirannya di situ dan sengaja melarikan diri. Tapi kenapa lari pula? Zahil tak tahu dan dia merasa ingin tahu. Sebab itu la dia mengejar langkah Diya. Keadaan pusat membeli-belah yang agak sesak dengan pengunjung menyebabkan sukar untuk Zahil berlari mendapatkan gadis itu. Terpaksa juga berjalan laju dan mencelah antara pengunjung yang sibuk membeli-belah.
“Diya!” laung Zahil memanggil Diya tetapi gadis itu berpura-pura tidak dengar. Semakin laju pula langkah kaki Diya itu.
Tiba di escalator, Diya tidak tercegat saja menanti anak tangga yang dipijak kakinya sampai ke bawah. Sebaliknya kaki Diya menapak menuruni anak tangga yang bergerak perlahan itu. Diya terus meninggalkan Zahil jauh di belakangnya. Zahil yang mengejar tersangkut di escalator yang sesak dengan pengguna. Akhirnya Zahil kehilangan jejak Diya.
“Terlepas pula!” keluh Zahil sebaik menuruni escalator. Matanya masih melilau mencari-cari kelibat Diya.
“Tak pe la. Nak jumpa dia senang saja, esok pergi je butik.” bisik hati kecil Zahil.
Diya bersembunyi di sebuah kedai pakaian. Di sebalik tempat persembunyian itu, Diya mengintai kelibat Zahil yang kelihatan tercari-cari akan dirinya. Jantung Diya berdegup kencang dengan nafas yang tercungap-cungap. Nafas lega dilepaskan apabila lelaki itu melangkah meninggalkan tempat itu dan kembali menaiki escalator.
Kus semangat! Nasib baik berjaya dalam misi melarikan diri. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Hebat juga aku larikan diri. Heheee… Diya keluar dari persembunyiannya dan ingin meninggalkan pusat beli-belah itu. Takut juga andai bertembung lagi dengan Zahil.
“Diya!” langkah kaki Diya terhenti. Perlahan-lahan tubuh Diya berpaling.
Membulat mata Diya dengan mulut sedikit melopong. Degupan jantung yang mulai tenang kini kembali kencang. Dada  berombak dan darah menyirap. Bibir terasa menggigil dengan tulang pipi yang bergerak-gerak.
“Diya… tak sangka kita boleh jumpa di sini. Awak apa khabar?” soalan yang ditujukan pada Diya tidak di jawap. Wajah lelaki di depannya ditikam dengan pandangan mata yang tajam. Emosi Diya berkocak hebat.
Lelaki itu menapak menghampiri Diya. Kaki Diya terundur ke belakang menjarakkan diri. Tidak lari anak matanya menikam wajah yang tenang dan tersenyum mesra padanya seolah-olah tiada sebarang masalah antara mereka sebelum ini. Lelaki itu mendekati setapak lagi dan setapak juga kaki Diya berundur. Kali ini lelaki itu tersenyum sinis dengan reaksi Diya itu.
“Cukup la tu Diya. Perkara lepas tak perlu diingat lagi. Saya minta maaf. Saya mengaku saya salah. Kita lupakan dan jadi kawan ye,” ucap lelaki itu seakan mahukan perdamaian tetapi tidak terbukti sejauh mana kata-kata itu ikhlas di hati.
Diya tidak mahu mendengar sebarang bicara daripada mulut lelaki itu lagi. Hilang rasa terkejutnya, Diya terus berpaling dan melarikan diri. Langkah Diya dikejar lelaki itu. Sekali lagi adegan kejar-mengejar berlaku. Cuma kali ini bukan di antara Diya dengan Zahil sebaliknya kali ini Diya melarikan diri daripada lelaki psiko, Razif!
Langkah kaki Diya semakin laju dan tidak teratur ketika berada di kawasan letak kereta. Beberapa kali kakinya tersadung dan hampir tersungkur. Diya tidak berpaling lagi biarpun namanya dilaung Razif berkali-kali. Diya tidak mahu bertemu Razif lagi. Dia bencikan lelaki seperti Razif!
Menghampiri kereta, Diya terkocoh-kocoh menggagau anak kunci kereta di dalam tas tangan yang sudah melorot jatuh dari bahu dan tersangkut di lengan. Jemari Diya menggeletar dan bibir gadis itu menggigil-gigil. Diya seakan trauma! Trauma dengan peristiwa hitam dalam hidupnya. Trauma dengan lelaki psiko seperti Razif!
Jemari Diya masih tercari-cari anak kunci yang diyakini diletakkan dalam tas tangan itu. Degupan jantung semakin kencang tatkala telinga Diya menangkap bunyi derapan tapak kasut yang semakin menghampirinya. Diya pasti Razif semakin hampir dengannya dan dia perlu segera mendapatkan anak kunci kereta yang masih gagal dijumpai. Diya semakin gementar. Tubuhnya sudah menggigil dengan air mata merembes membasah pipi. Diya benar-benar ketakutan.
“Diya!” bahu Diya disentuh dari belakang.
Automatik Diya menghayun kuat tas tangan ke arah lelaki yang menegurnya dari arah belakang. Tindakan secara drastik yang berlaku itu adalah hasil refleksi akibat cemas dan takut tatkala merasakan dirinya terancam.
“Adoi!” suara mengaduh kesakitan bergema tatkala tas tangan Diya menghentam bahagian muka.
Diya berpaling dan menyandar pada kereta dengan tubuh menggigil. Gadis itu tergamam apabila mendapati lelaki yang terduduk di lantai dan sedang mengadu kesakitan sambil menekup bahagian kiri wajahnya bukan Razif sebaliknya adalah Zahil. Ye… Zahil Hariz! Lelaki yang menegur Diya dari arah belakang sebentar tadi adalah Zahil.
Lelaki itu yang juga ingin mendapatkan keretanya yang diletakkan selang beberapa buah daripada kereta Myvi Diya datang menghampiri setelah diperhatikan kelakuan Diya agak pelik. Diya seperti dalam ketakutan. Sebab itu Zahil datang menyapa. Malangnya Diya menyangka Zahil adalah Razif lantas menghayun tas tangannya ke muka lelaki itu secara tidak sengaja.
Zahil angkat muka memandang Diya yang kelihatan masih menggigil. Wajah Diya kelihatan sedikit pucat dengan kesan air mata di pipi. Rasa pedih pada bahagian sebelah mata kiri Zahil yang terluka akibat digores bucu tas tangan ditahan. Punca keadaan Diya sekarang lebih membimbangkan Zahil. Gadis itu segera dihampiri.
“Awak ok ke?” soal Zahil sambil menekup luka di bawah mata yang sedikit berdarah.
Diya tarik nafas dalam dan dihembuskan. Perasaannya sudah beransur tenang. Diya beristighfar beberapa kali dan perlakuannya hanya diperhatikan Zahil yang seketika kemudian meliarkan pandangan ke arah sekeliling. Tiada apa-apa yang mencurigakan pada pandangan matanya. Kawasan tempat letak kereta itu agak sepi walaupun penuh dengan kereta.
“Saya ok,” jawab Diya setelah berjaya menenangkan diri sepenuhnya. Semangat yang hilang sudah kembali diraih dan keadaan gadis itu semakin baik.
Zahil mengangguk senang hati walau minda diasak tanda tanya punca keadaan gadis itu yang ketakutan sebentar tadi. Dia tidak berniat untuk bertanya panjang kerana tidak mahu menggugat ketenangan Diya. Syukur la jika Diya sudah berkeadaan baik.
“Awak masuk la dalam kereta” suara Zahil.
Diya angguk perlahan. Sekali lagi kunci kereta digagau dalam tas tangan dan kali ini kunci tersebut terus berjaya dicapai. Diya masuk dalam kereta dan Zahil masih terpacak memerhatikan gadis itu sehingga kereta Myvi Diya meluncur pergi. Zahil senyum nipis tatkala kereta Diya hilang dari pandangan. Saat itu, luka di bawah mata kirinya terasa semakin pedih. Zahil sentuh luka itu dan jarinya tercalit sedikit cecair merah yang mulai mengering.
“Nasib baik tak kena mata. Diya.. Diya…” bisik Zahil sambil tersenyum seorang diri. Lelaki itu kemudian melangkah ke arah kereta Sonata Hyundai yang di tempatkan selang tiga buah kereta daripada situ.

5 comments:

  1. bab 4 writer dh send d penulisan2u.
    tp bab 4 tu x d update lagi...
    dh lama dh send...x tau la pasai apa.
    ^^" ni bab 5...mcm mn? ok x? boring x? ^_^"

    ReplyDelete
  2. kesian diya ni ya. hidup penuh dgn onak dan duri esp dr lelaki2 buaya...uhuhuhu

    ReplyDelete
  3. Nampak gayanya nasib kita serupa. Novel bersiri akak pun dh tak disiarkan. Kebykan yg tersiar novel dr penulis yg bernaung dlm penerbitan yg sama. Tp apa pun jgn patah semangat. Terus menulis dan siarkan diblog sdn. Dah hantar ke penerbitan cerita ni? Cerita yg menarik, elok dibukukan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana sudi baca IAKC yg x seberapa ni.
      tu la, sedih jugak bila next n3 x d update, tapi sabar la juga.
      mngkn lmbt ckit ^^"(ayat pujuk hati).
      kpd kak sarimah (boleh ke pnggl akak?)^_^",
      masih awal kot nak hntr pd penerbit sbb manuskrip citer ni pun x tulis hbs lagi. saya pun still stdy, jd nak menulis pun berperang dgn masa jgk la. tp tulis jg sbb klu tnggal lama2 cam gian jer...^^,

      Delete
  4. Sapa hero dia???? Tertanya2 ni,,,,,

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.