ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Saturday, July 14, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 6

Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 6
Seperti dijangka lelaki itu akan muncul hari ini. Siapa lagi kalau bukan si Zahil Hariz. Macam dah tak ada kerja je, asyik sangat datang bertenggek dekat Butik Delias Collection ni.
Sememangnya kehadiran Zahil sentiasa membuatkan Diya rasa tidak senang. Mahu nak senang, kalau asal mereka bertemu pandang, pasti meleret saja bibir Zahil mengukir senyum semanis ukiran senyuman Lee Jun Ki. Itu yang Diya tak boleh tahan tu. Kalau orang lain tengok rasa tenang je, sebaliknya Diya pandang rasa macam hatinya direndam dalam air perigi. Sejuk ya ampun! Kerana itu dingin saja layanan Diya terhadap Zahil.
Awal-awal dulu, Diya sangka Zahil tu teman lelaki, tak pun tunang Kamelia. Rupa-rupanya sangkaannya itu jauh meleset. Zahil Hariz itu sungguh tidak disangka merupakan adik tiri Kamelia. Malah ikutkan cerita yang digosipkan Kamelia padanya, Zahil masih mempunyai empat kuota kosong!  Kononya belum ada gadis Melayu terakhir yang berjaya mencuri hati mamat penyibuk itu. Kamelia ni lagi satu! Suka sangat buka cerita tentang Zahil dah macam ejen cari jodoh pula.
Kenapa lari bila nampak saya dekat shopping complex semalam?” soal Zahil sebaik mendekati Diya.
Diya yang sedang memasangkan pakaian pada patung model berpaling sekilas memandang Zahil. Sempat matanya menangkap keadaan bawah mata kiri lelaki itu yang bertampal plaster. Diya rasa bersalah kerana menyebabkan plaster itu tertampal di situ. Dah la dia belum memohon maaf atas kejadian itu malah kejadian kemalangan dulu pun belum minta maaf lagi. Teruknya kau Diya…
“Tak... tak ada apa-apa.... Errr... maaf,” Diya rasa serba tak kena. Macam mana hendak menjawab soalan tu? Diya tiada jawapan dan dia merasa tidak senang apabila hal itu dibangkitkan Zahil.
Zahil senyum nipis. Dia tidak mahu mendesak apabila Diya enggan menjawab.
“Diya… nak tanya boleh?” soal Zahil.
“Sejak bila awak pandai minta izin bila nak bercakap? Kalau saya kata tak boleh, awak tak akan tanya ke?”
“Errrk… tak ada la. Kalau awak cakap tak boleh pun saya nak tanya juga!”
“Dah agak dah,” Diya mencebik.
“Diya, kenapa awak bencikan cinta?” Dah tak belok-belok dah. Lurus saja soalan Zahil tu.
Diya tersentak. Wajah Zahil dipandang dengan riak tidak senang hati. Mamat penyibuk betul la! Dah tu buat muka suci pula tu.
“Kenapa awak suka sibuk hal orang?” herdik Diya.
“Saya nak tahu. Saya nak tahu apa yang terpendam dalam hati awak tu,” terus terang Zahil.
“Awak tak perlu menyibuk apa yang saya fikir! Tak perlu tahu apa dalam hati saya!” bentak Diya. Rasa bersalah terhadap Zahil tadi sudah terbang melayang. Panas terus hati yang dingin itu.
“Tengok tu. Cepat sangat naik angin. Cepat saja tersentap. Cuba bawa bertenang, tarik nafas panjang…. panjang…” Zahil turut tarik nafas panjang. “Lepas! Tenangkan?” ucap Zahil dengan senyum manis. Langsung panas hati Diya tidak memberi tempias bahang kepanasan padanya.
Errrkkk… mamat ni teruk betul! Diya pula jadi geram.
“Cakap dengan awak ni, buat kepala pening je. Lebih baik awak jarakkan diri dari saya. Jangan kacau saya lagi!” tegas Diya seakan satu amaran.
Gadis itu melangkah menjauhi Zahil. Zahil juga mahu bergerak setapak menghampiri Diya tetapi belum sempat kaki kanan lelaki itu mengorak langkah, Diya sudah angkat tangan macam polis trafik.
“Ops! Baik awak berdiri jauh dari saya. Saya rimas tahu?” tegas Diya dengan muka diseriuskan. Sebelum ni serius juga tapi kali ni diseriuskan lagi. Selalu begini, cepat tua la muka kau Diya.
Zahil tarik semula kaki kanannya dengan kedua-dua tangan diangkat paras dada seperti orang kalah perang serah diri. Serius yang luar biasa je minah ni. Bendera Jepun ke apa hari ni?
Zahil mengeluh lemah. “Saya lagi pening dengan sikap awak. Berangin je tak bertempat. Tak faham betul!” komen Zahil.
“Hei! Awak tak perlu faham. Awak cuma perlu jauhkan diri dari saya. Faham!” bidas Diya kasar.
Perempuan ni memang suka naik angin betul. Sejak jumpa masa kemalangan dulu, tak pernah nak cakap baik-baik. Tak faham betul la! Lagi tak faham bila dia sekejap kata tak perlu faham lepas tu suruh faham pula. Alah Zahil, kau saja je buat-buat tak faham. Kan? Kan? Sempat lagi Zahil bermonolog dalam hati.
“Awak ni Adelia Dayana, jangan garang sangat nanti jadi anak dara tua. Tengok macam saya ni, senyum sokmo. Baru awek muda.”
Diya merengus kasar. Mamat ni! Eee….
“Kalau awak suka senyum sangat, pergi jauh dari saya dan senyum sampai ke telinga pun tak apa. Asalkan jangan ganggu saya. Pergi la sana!”
“Awak senyum dulu, baru saya pergi. Janji awak senyum sekali, saya pergi. Janji!”
“Tak ada maknanya!” bentak Diya.
“Senyum dulu!” tegas Zahil.
“Gila ke? Saya tak nak!” Diya terus berdegil.
“Tak senyum, saya tak pergi. Saya terus melekat dekat dengan awak. Awak pergi mana pun saya ikut,” Zahil kononya menggertak.
Eee... dia ni memang nak kena ketuk kot! Layan je la mamat sewel ni. Senyum je Diya, bukan luak pun… Sebahagian hati Diya memujuk diri.
Akhirnya Diya akur juga. Teragak-agak Diya paksa bibir mengukir senyuman. Bibir yang tadinya diketap kini terherot-herot membentuk segaris senyuman paksa.
Zahil telan air liur menjamah wajah Diya yang sedang mengukir senyuman. Macam nak terbeliak biji mata pun ada. Zahil kemudian melepaskan ketawa yang tertahan-tahan. Berderai ketawa lelaki itu sambil tangan menekan perut yang terasa senak digeletek kelucuan.
Kini dahi Diya berkerut-kerut berdepan reaksi Zahil yang terus mematikan senyuman di bibir. Apasal pula ni? Sawan ke apa!
“Diya, kenapa dengan Zahil ni? Ketawa tak ingat dunia. Apa yang lucu sangat?” Kamelia yang menghampiri mereka berdua mula menegur. Berminat sekali ingin tahu punca Zahil beria-ia ketawanya. Diya jungkit bahu. Dia juga dilanda persoalan yang sama. Apa yang kelakar sangat?
“Pa... patut la… patut la Diya tak pernah senyum,” Dengan ketawa yang belum reda, Zahil cuba berkata-kata. Terputus-putus ayatnya kerana ketawa yang tidak dapat dihentikan. Mata Zahil juga sudah berair. Ketawa besar betul mamat seorang ni.
Zahil berkalih memandang Kamelia. Semangat sekali mahu bercerita pada Kamelia punca ketawanya. “Buruk betul! Bila Diya senyum… muka dia... buruk! Patut la Diya tak nak senyum!”
Errrkkk… Ceh! Diya rasa macam mahu sumbat kasut dalam mulut tak ada insurans Zahil itu.
“Ish! Tak baik kau cakap macam tu,” tegur Kamelia. Wajah Diya pula sudah berubah kelat.
“Be… betul! Tak percaya, suruh Diya senyum. Senyum la Diya. Senyum macam tadi. Mesti Kamelia pun gelak berguling-guling. Buruk benor rupanya!”
Tadi suruh orang senyum. Orang dah senyum, boleh pula ketawa nak terabur gigi! Gerrr… Diya hilang sabar dengan kritikan Zahil padanya. Laju saja gadis itu angkat kaki meninggalkan Zahil dan Kamelia di situ. Diya terus menghilangkan diri ke bilik belakang. Sakit sekali hatinya mendengar ketawa mengejek Zahil.
“Zahil! Kau ni, tak baik tau. Nak bergurau pun, agak-agak la,” marah Kamelia. Bersimpati pada Diya yang pastinya terasa hati dengan kata-kata Zahil itu.
“Mana ada bergurau. Betul la aku cakap. Dia senyum memang buruk betul tadi. Lucu kot!”
“Dah la kau. Baik kau balik je. Suka sangat kacau si Diya tu.” Kamelia pun naik geram pada Zahil.
“Ye la, aku balik. Eh! Bagi nasihat dekat Diya supaya jangan senyum macam tadi pada pelanggan butik ni. Nanti semua pelanggan lari!” Sejurus itu Zahil berlalu dengan ketawa yang masih bersisa.
Kamelia sekadar geleng kecil melihat kelibat Zahil yang makin menjauh. Hati wanitanya dapat membaca isi hati Zahil terhadap Diya. Tapi mungkinkah perasaan itu akan bersambut?



Zahil mundar-mandir dalam kamar tidur. Segala yang dilakukannya seakan tidak kena. Duduk tak senang, berdiri juga tak tenang. Hati terasa resah gelisah. Ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman jiwa. Sesuatu yang cuba dibuang dari terus bercambah dalam hati. Tetapi semakin diusahakan, perasaan itu kian kuat mencengkam.
Zahil membuka pintu gelongsor yang memisahkan bilik tidurnya dengan beranda. Bayu malam bertiup menyapa tubuhnya tatkala pintu kaca hitam itu ditolak. Nafas dalam ditarik buat menenangkan jiwa yang bergelora. Matanya memerhatikan langit malam yang mewah dengan taburan bintang. Ketenangan sedikit bercambah dalam hebatnya kekacauan hati.
“Adelia Dayana… Kenapa mesti dia? Kenapa Diya?” bisik Zahil seolah-olah berbicara pada bintang-bintang dilangit.
Angin malam terus bertiup lembut. Zahil pejam mata membiarkan bayu lembut terus menyapa batang tubuhnya. Terasa seperti diri berada di awangan. Zahil buka kelopak mata dan memandang sisi kanannya. Bayangan Diya menjelma di situ sedang terpacak mendongak ke langit. Umpama menemani lelaki itu menikmati keindahan kerdipan bintang di dada langit.
Bibir Zahil mengukir senyum sinis. Diya… Diya… Saya ni dah gila agaknya, asyik terbayangkan awak. Tengok cermin nampak awak, nak makan pun nampak awak. Sekarang awak datang nak tengok bintang dengan saya pula. Hish! Aku dah betul-betul parah ni. Pejam mata nak tidur nampak Diya, buka mata pun nampak Diya. Diya! Diya! Kau ada di mana-mana saja.
“Adakah sekarang awak juga sedang melihat bintang di langit? Kalau awak pun tengah tengok bintang, maknanya kita sekarang sedang melihat bintang yang sama. Cantikkan…” Zahil berbicara umpama Diya benar-benar wujud di sisinya.
“Kenapa saya sukakan awak Diya?” Zahil mengeluh lemah. Lelaki itu diam memejam mata seolah-olah mencari ketenangan.
“Saya juga tak punyai jawapannya. Penat saya fikir tapi tetap tak ada jawapan,” bisik Zahil kemudian kembali membuka mata.
“Hei, Diya! Kalau saya cakap saya sukakan awak, apa jawapan awak?” soal Zahil sambil memandang bayangan Diya yang kaku di sisinya.
“Mesti awak akan kata saya gila. Yep! Saya memang rasa macam dah nak gila sekarang ni,” keluh Zahil.
Kenyang menikmati angin malam, lelaki itu kembali melangkah masuk dalam kamar tidur lalu menutup pintu. Tubuh sasa itu kemudian rebah atas katil.
“Diya, awak akan datang dalam mimpi juga. Tidur yang indah. Tapi selagi perasaan ini tak diluahkan, keindahan itu cukup meresahkan,” Zahil bermonolog sebelum menutup rapat matanya.


“Tak berkelip mata tengok bintang tu,” suara Diya dengan kepala masih mendongak memandang bintang di langit.
“Banyaknya bintang malam ni. Tapi bulan tak nampak pula,” ujar Nur yang turut menatap bintang di langit seperti Diya.
Mereka berdua selalu juga duduk atas buaian di halaman rumah sambil melihat bintang di langit. Sambil-sambil itu mereka akan berbual-bual tentang banyak perkara. Dahulu Maira turut ikut serta tetapi kini hanya tinggal mereka berdua.
“Subhanallah…” bisik Diya dengan riak teruja. Bintang di langit kelihatan sangat mengujakan. Ciptaan Allah yang cukup indah.
Tatkala bayu malam menyapa wajah Diya, seakan ada suara parau yang berbisik lembut di telinga kirinya. “Cantikkan…” Diya tersentak. Keterujaannya seakan tercantas. Segera Diya kalih memandang Nur di sisi yang begitu asyik mendongak ke langit.
Diya tampar lembut kedua-dua belah telinganya. Hish! Aku salah dengar ke? Kenapa suara Nur macam suara lelaki je tadi? Biar betul! Mata Diya melilau memandang sekeliling. Tiada manusia lain selain dia dan Nur saja di situ. Rasa macam tak salah dengar tadi. Memang aku dengar macam suara lelaki.
“Kenapa pula ni?” soal Nur apabila dilihat perlakuan Diya sedikit pelik. Seolah-olah tercari-cari sesuatu.
“Errr... tak... tak ada apa-apa,” jawab Diya sambil menggaru-garu belakang telinganya. Tapi macam betul-betul je dengar tadi. Diya akhirnya membiarkan perkara itu berlalu.
“Jom masuk dalam. Dah lewat malam ni. Rasa meremang bulu roma pula duduk sini lama-lama.” Diya sudah bangkit dari buaian.
Nur ketawa kecil. “Benda apa pula yang menyapa kau sampai bulu roma kau meremang?”
Membulat mata Diya mendengar gurauan Nur. Ish! Nak bergurau pun agak-agak la. Diya geleng saja melihat Nur terlebih dahulu berlari masuk ke dalam rumah sebelum sempat dia menghadiahkan cubitan ke lengan temannya itu.


Hampir dua minggu kelibat Zahil tidak kelihatan bertandang ke butik Kamelia. Pelik juga sebab biasanya hampir setiap hari lelaki itu akan berkunjung ke situ. Tetapi Diya menerima keadaan ini dengan gembira. Sekurang-kurangnya tak ada la manusia yang akan ganggu keamanan hidupnya. Tetapi entah angin apa yang bertiup, hari ini muka Zahil muncul di depan Diya.
“Assalamualaikum,” sapa Zahil yang tiba-tiba muncul setelah hampir dua minggu tidak nampak batang hidung.
Diya menjawab salam diberi tanpa memandang pemilik suara itu. Sengaja buat-buat sibuk membetulkan baju yang tersarung pada patung model.
“Kamelia ada di belakang. Sekejap saya panggil,” ujar Diya. Belum sempat Diya pergi, Zahil telah menghalangnya.
“Saya datang bukan nak jumpa Kamelia,” beritahu Zahil.
“Habis tu nak buat apa? Oh! Awak nak beli pakaian? Tapi ni butik baju perempuan je.” Diya agar hairan.
“Saya datang nak cakap dengan awak,” ujar Zahil.
“Cakap dengan saya?” Diya sedikit terpinga-pinga.
“Ye. Saya nak cakap dengan awak tentang apa yang saya rasa. Maksud saya, perasaan saya yang saya sedang alami sekarang.” Zahil cuba bertenang. Kecut juga tau nak luah perasaan dekat minah singa ni. Takut kena cakar singa!
What? Hei, jangan main-main boleh tak?” Diya sudah mulai membengis.
“Saya dah tahu awak seorang yang begini! Awak tahu tak, saya rasa saya ni dah gila! Saya fikir saya dah tak waras bila sedar tentang perasaan saya ni,” luah Zahil.
Zahil tarik nafas dalam. Dia mahu meluahkan segala yang dipendamnya selama ini. Zahil mahu Diya tahu segala isi hatinya. Saya tak peduli apa awak fikir tapi saya betul-betul dah tak boleh pendam semua ini. Saya boleh jadi gila!
“Awak bukan jenis gadis yang saya idamkan. Awak tak ceria, tak ramah langsung dan kedekut senyum! Apa yang saya nampak pada diri awak adalah ciri-ciri wanita yang sepatutnya saya reject. Awak ni perempuan ketul ais! Hati awak beku dan sikap awak dingin. Sepatutnya saya tak berperasaan begini…” kata-kata Zahil yang kelang-kabut tergantung di situ. Lelaki itu meraup wajahnya kemudian melepaskan nafas panjang.
Diya tak berkelip mendengar bicara Zahil itu. Jujur betul! Perempuan ketul ais… hati beku! Tu ke tanggapan awak pada saya? Bagus sekali! Sangat senang hati mendengarnya. Kiranya aku ni berjaya la menjadi manusia tak berperasaan.
“Saya cuba tenangkan fikiran dan buat pertimbangan akal yang sewajarnya. Saya fikir pro dan kontra andainya saya ikutkan kata hati. Saya tahu saya terpaksa berdepan dengan kedinginan dan kebekuan hati awak. Dua minggu ini saya fikir… fikir... dan terus fikir. Saya lawan kehendak hati dan akhirnya kaki saya bawa saya ke sini.” Akhirnya Zahil letak titik noktah untuk luahan perasaannya yang panjang berjela.
“Dari tadi membebel-bebel. Apa awak nak cakap sebenarnya?” 
“Saya nak cakap yang saya sukakan awak. Saya rasa… saya nak kahwin dengan awak!”
Diya melopong. Dia ni waras ke tak ni? Tiba-tiba kata nak kahwin dengan aku. Kenapa dalam hidup ni aku selalu bertemu dengan lelaki-lelaki yang menyakitkan hati? Tadi bukan ke kata yang aku ni memenuhi kriteria perempuan yang dia reject?
“Awak ni, bergurau pula.” Diya buat-buat ketawa. Hatinya mengatakan lelaki itu sengaja bergurau dengannya. Gila ke apa, datang-datang tetiba bercakap soal perasaan pula. Nak berguraupun agak-agak la.
“Saya serius. Jadi awak tak perlu buat-buat ketawa,” kata-kata Zahil mematikan ketawa Diya.
Diya berjalan menjauhi Zahil. Tidak mahu melayan lelaki itu. Zahil terus mengekori Diya.
“Saya ikhlas Diya,” sayu suara Zahil.
“Ikhlas sekati pun, saya tetap tak ada perasaan pada awak. Faham?” tolak Diya tegas. Dulu ‘lelaki itu’ juga mengatakan tentang keikhlasan. Sekarang lelaki ini mengatakan keikhlasan yang serupa. Ikhlas? Jika cinta itu ikhlas, aku tak akan seperti ini.
Zahil hembus nafas yang terasa berat. Dada terasa sesak tatkala perasaannya untuk gadis itu ditolak mentah-mentah. Inikah yang dikatakan pujangga bahawa sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang tetapi perasaan itu tidak berbalas. Oh! Benarlah hanya yang berpengalaman saja tahu bagaimana peritnya rasa ini. Walau diungkap kata juga tidak bisa membayangkan rasa sakit itu.
“Saya dah agak awak akan reject perasaan saya.” Zahil mengeluh lemah. “Kenapa saya boleh jatuh hati pada manusia berhati batu macam awak ni? Memang gila betul!”
“Awak dah tahu ia gilakan, jadi padamkan perasaan tu dengan segera. Habis cerita!” tutur Diya bersahaja.
Zahil ketawa. Senangnya dia cakap. Awak tahu tak, saya dah separuh gila sebelum datang jumpa awak. Hari-hari asyik terfikirkan awak saja. Hati ni terbeban dengan rindu yang menyiksa perasaan. Kalau tak, tak ada la saya tercangak dekat sini selalu.
 “Tapi saya dah jatuh hati pada awak. Dah tak boleh nak padam-padam perasaan sesuka hati. Awak ingat hati saya ni macam whiteboard? Saya akan usaha! Saya akan gunakan panah cinta paling kukuh… paling power untuk pecahkan tembok hati awak yang kalis cinta tu. Awak bersedia la untuk hadapi panahan cinta saya tu nanti.” Zahil kembali berbicara positif.
Diya mencebik. Ye ia je mamat ni. Diya berpaling untuk menuju ke arah meja kaunter. Zahil kaku memerhati dengan kehampaan. Tetapi langkah kaki Diya terhenti apabila lelaki itu kembali bersuara. Tanpa berpaling, Diya memasang telinga mendengar kata-kata akhir lelaki itu.
“Awak tak percaya saya boleh tembusi benteng hati awak tu kan? Tapi saya yakin saya akan tembusi hati awak tu. Cinta saya… ibarat anak panah yang akan menembusi tembok kebal di hati awak. Sekali ia berjaya tembus ke hati, ia akan terus tertancap di situ. Cinta itu akan terus di situ dan panah cinta itu tak akan berkarat atau rapuh oleh waktu,” ucap Zahil seakan satu mantera sumpahan yang dikenakan pada Diya.
Diya ketap bibir. “Kenapa mesti saya Zahil? Kenapa awak mesti jatuh cinta pada saya?”
Soalan Diya membuatkan Zahil senyum nipis.
“Mungkin sebab sudah tertulis, awak adalah tulang rusuk kiri yang saya cari selama ini.”
Untuk beberapa saat, Zahil sabar menanti bicara dari Diya. Namun Diya terus membisu. Akhirnya Zahil terus berlalu pergi. Diya ditinggalkan terkedu.
Diya tidak tahu untuk berbuat bagaimana. Cintakah dia pada Zahil Hariz? Mustahil! Wanita seperti aku tidak layak menjadi pemilik tulang rusuk lelaki seperti Zahil Hariz. Tidak Zahil! Bidadari cintamu, bukan aku… Desis hati kecil Diya. Tubuh Diya terasa lemah. Perlahan-lahan gadis itu melabuh punggung atas kerusi berhampiran meja kaunter.
Sebaik saja melangkah keluar dari Butik Delias Collection, telefon bimbit Zahil berdering. Segera panggilan telefon itu dijawab. Lelaki itu diam mendengar bicara dari hujung talian.
“Baik la Mak Jah. Tunggu saya sampai.” Zahil matikan panggilan setelah hampir dua minit hanya mendengar butir bicara daripada si pemanggil.
Lelaki itu tarik nafas dalam kemudian dilepaskan dengan lemah. Sebelum Zahil teruskan langkah, dia memandang sekilas ke arah Diya dari balik cermin kaca yang menjadi benteng pemisah antara mereka. Gadis itu baru saja menolak perasaannya. Zahil tidak salahkan Diya. Andai cinta gadis itu bukan miliknya, siapa la dia sebagai manusia untuk memaksa. Dia hanya berdaya memohon semoga Allah pertemukan jodoh antara mereka dan mencambahkan cinta di hati gadis itu.


Zahil mendapatkan Mak Jah yang menunggu di gerbang pintu masuk banglo mewah keluarga Datuk Laila. Wanita separuh abad itu kelihatan diulit gelisah menantikan kedatangan Zahil. Raut kebimbangan tergambar jelas pada wajah yang sudah berkedut dimamah usia.
“Mana dia Mak Jah?” soal Zahil sebaik menghampiri wanita itu.
“Dekat mana lagi kalau bukan di dalam bilik. Penat Mak Jah ketuk pintu,” jawab Mak Jah sambil menunding jari ke arah tingkat atas.
Zahil dan Mak Jah bersaing menuju bilik di tingkat atas. Sebaik tiba di depan pintu kamar yang tertutu rapat, Zahil ketuk muka pintu sebanyak tiga kali. Ketukannya tidak bersahut seperti yang dicakapkan Mak Jah sejak awal tadi.
“Pergi ambil kunci pendua Mak Jah,” arah Zahil. Mak Jah terkocoh-kocoh mengikut arahan.
Zahil masih tidak putus asas mengetuk pintu. Namun begitu, ketukan pintu bertalu-talu seakan tidak langsung menusuk telinga manusia yang berada di balik pintu itu. Barangkali andai pintu roboh menyembah lantai sekalipun, manusia dalam bilik itu masih juga tetap memekakkan telinga.
Akhirnya Mak Jah tiba bersama segugus kunci. Satu kerja juga nak cuba satu demi satu anak kunci sebelum kunci sebenar berjaya membuka pintu kamar itu.
Sebaik saja daun pintu dikuak, dua pasang mata milik Zahil dan Mak Jah menjamah satu pemandangan yang mencacatkan dekorasi bilik yang dihias indah. Kain langsir dilabuhkan menutup pencahayaan masuk ke dalam bilik menjadikan bilik kelihatan kelam. Malah tingkap yang tertutup juga menyebabkan pengudaraan dalam bilik itu menyesakkan hidung. Pakaian kotor bersepah dari katil hinggal ke depan pintu. Botol-botol minuman keras bertaburan atas lantai.
“Ya Allah, macam mana la adik kamu boleh hidup dalam bilik yang macam ini. Naik loya tekak Mak Jah ni Zahil oi!” tergeleng-geleng kepala wanita tua itu.
“Tempat manusia berkubang memang macam ni Mak Jah…” selamba saja Zahil menjawab sambil tangan turut menekup hidung. Mahu pengsan kalau bernafas lama-lama dekat sini.
Tanpa membuang masa, Zahil terus menuju ke arah tingkap lalu kain langsir diselak dan diikat kemas. Tingkap yang tertutup turut dibuka untuk membolehkan udara luar yang segar masuk menggantikan udara hapak dalam kamar tertutup itu.
Ternyata tindakan Zahil menyebabkan manusia yang berkubang atas katil seakan raksaksa yang diganggu tidurnya. Kedengaran rengusan kasar kerana tidurnya diganggu oleh pencahayaan sinar matahari yang menerobos masuk dalam bilik itu. Silau cahaya merentap enak tidurnya.
Zahil berpaling mengadap katil dan membelakangkan tingkap. Sekujur tubuh tidak berbaju dan berseluar pendek yang terbungkang atas katil direnung dengan wajah tenang. Istighfar bergema dalam hati. Jiwa lelaki itu menangis tak bernada melihat suasana di depan matanya kini. Zahil tarik nafas dalam sebelum melangkah mendekati katil. Mak Jah sekadar tercegat di hujung katil melihat saja tindakan Zahil yang selanjutnya.
“Bangun la manusia! Berapa hari lagi kau nak tidur hah?” tegur Zahil tegas namun nada suaranya masih mendatar.
Bicara Zahil langsung tidak diendahkan sebaliknya kain selimut digagau lalu ditarik menutup seluruh kepala. Zahil tidak putus asa. Kain selimut direntap kasar lalu dilempar jatuh ke lantai.
“Bangun la! Dah tiga hari kau tidur, tak cukup lagi ke? Kalau kau nak tidur tak nak bangun-bangun dah, baik kau mati je. Kau hidup pun dah tak macam manusia. Tidur… minum... tidur... minum! Kau nak bunuh diri ke ape?” bebel Zahil lagi.
Si manusia yang berkubang langsung tidak berkutik. Kaku umpama sekujur mayat terbungkang atas katil yang hapak dek tumpahan minuman keras. Naik geram Zahil dan Mak Jah.
“Hei! Bangun la aku cakap!” Zahil bongkokkan tubuh lalu bahu manusia yang masih membatukan diri itu digoyang-goyang dengan kasar. Tidak juga mendapat sebarang respon.
“Zakuan Helmi! Kau dengar tak apa aku cakap ni? Bangun sekarang atau aku mandikan kau atas katil ni!” gertak Zahil bernada tinggi.
Zakuan yang tertiarap terus angkat kepala memandang Zahil. Dengan wajah membengis, lelaki itu membentak. “Kau ni sibuk betul! Kau blah la, jangan kacau aku!”
“Aku blah kalau kau bangun sekarang dan pergi mandi!” tegas Zahil. Zakuan buat tak endah sebaliknya kembali meletakkan kepala atas bantal.
“Zakuan!” pekik Zahil.
“Aku nak hidup ke… nak mati ke… kau peduli ape!” jerkah Zakuan.
“Kau nak mati pun, jangan nak susahkan aku boleh tak?” Zahil kendurkan sedikit nada suaranya. Berkasar dan tinggikan suara bukan caranya. Hanya berdepan situasi begini, terpaksa la dia keluarkan sifat ‘kasar’ yang disimpan.
“Arrrghhh…! Mak Jah! Apasal panggil dia ni datang sini? Memekak je la!” bentak Zakuan.
“Kau nak bangun ke tak?”
“Aku bangun la ni bodoh! Kau blah la sekarang! Keluar!” Zakuan bangun dari pembaringan. Lelaki itu kelihatan tidak terurus dengan rambut berserabai dan jambang yang tumbuh tidak berjaga. Mata juga sembam dek tidur yang berlebihan.
Zahil senyum sumbing melihat Zakuan terhuyung-hayang melangkah mendapatkan tuala mandi di ampaian. Ketika berjalan menuju kamar mandi, kaki lelaki itu menyepak botol-botol arak yang bersepah di atas lantai.
“GANG!” Bunyi pintu ditutup kasar bagai menyentap lubang telinga sebaik saja Zakuan membolos masuk ke dalam kamar mandi. Tindakan sebagai menzahirkan pemberontakan dalam diri.
Mak Jah sekadar geleng kepala. Apa nak jadi dengan anak majikannya yang seorang ini. Jauh sekali hidupnya dari agama. Mak Jah kemudian mula mengemas bilik yang bersepah itu. Kain cadar dan sarung bantal ditanggalkan. Cadar dan sarung bantal baru di ambil dari dalam almari dan dipasang menggantikan yang lama.
Zahil bertindak mebantu Mak Jah. Tidak sampai hati membiarkan wanita itu sibuk mengemas seorang diri. Sudah la bilik bersepah dengan botol-botol minuman keras. Mak Jah tu nak pegang botol-botol tu pun tak gamak. Tingkahnya umpama memegang botol arak perlu disamak seperti memegang khinzir dan anjing. Zahil geli hati melihat teletah Mak Jah tetapi kelucuan itu ditahan dalam hati. Akhirnya dia menawarkan diri untuk mengutip botol-botol air syaitan itu.
Mak Jah senang hati. Berpeluh keting juga untuk dia menyentuh botol minuman keras itu. Jika ke pasar raya, nampak saja botol-botol arak pelbagai jenama yang tersusun cantik di rak, Mak Jah sudah lari jauh-jauh. Inikan pula mahu disentuh walau kini yang perlu dikutip hanya botol kosong.
Ketika mengutip botol-botol kaca yang bersepah di lantai, Zahil terpandang sekeping gambar yang sedikit tersorok di balik timbunan baju-baju kotor. Perlahan-lahan dia bergerak mendapatkan kepingan gambar itu. Tergamam Zahil tatkala matanya menatap gambar tersebut. Matanya tidak menipu. Walau berkali-kali matanya ditenyeh, apa yang dilihatnya tidak akan berubah.
“Gambar apa tu Zahil?” soal Mak Jah dari jauh. Diperhatikan Zahil begitu asyik sekali merenung gambar di tangannya.
Zahil tersentak. Mak Jah yang merenung kehairanan dipandang Zahil dengan senyum kelat. Bergerak-gerak tulang pipi lelaki itu menahan kelojak perasaan.
“Tak… tak ada. Errr… Mak Jah keluar la dulu. Mesti banyak lagi kerja nak buat. Bilik ni biar Zahil yang kemaskan,” ujar Zahil dengan intonasi suara yang dikawal getarnya.
Mak Jah angguk tanpa bantahan. Wanita itu berlalu pergi dengan membawa kain cadar dan bakul berisi pakaian kotor untuk dicuci.
Sebaik saja Mak Jah berlalu pergi, Zahil terduduk di lantai beralaskan karpet biru langit. Tidak berkelip matanya menikam wajah wanita dalam kepingan gambar di tangannya. Jantungnya terasa berdebar hebat. Terkejutnya bukan kepalang. Hati meronta inginkan jawapan untuk seribu tanda tanya yang menujah fikiran.
Zahil cuba menenangkan diri. Dia perlukan bukti. Seribu satu andaian boleh dibuat berdasarkan sekeping gambar. Setiap gambar ada seribu cerita bisa direka. Zahil mahukan fakta. Tepat dan benar! Lalu meja kerja di sudut bilik dihampirinya. Laci meja dibuka dan tangannya menyelongkar laci itu mencari sesuatu yang dia sendiri kurang pasti.
Jemari Zahil menyentuh bungkusan sampul surat sederhana besar. Perlahan-lahan sampul itu diambil dan dilihat isi dalamnya. Jemarinya menggigil. Sampul coklat itu penuh dengan kepingan gambar dengan imej wajah yang sama. Gambar-gambar yang jelas sekali diambil secara curi-curi.
Zahil ambil beberapa keping daripada gambar itu lalu dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Sampul surat itu diletak kembali di tempat asal sebelum laci ditutup. Setelah itu Zahil berlalu pergi. Tugas mengemas yang telah dijanji pada Mak Jah terus diabaikan.
Mak Jah naik menjenguk bilik Zakuan beberapa minit kemudian. Terbeliak mata orang tua itu melihat bilik itu langsung tidak berubah. Bertuah punya Zahil!
 

2 comments:

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.