ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Monday, July 23, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 8




Oleh: MAWAR KAMILA
BAB 8
Pulang dari solat berjemaah di masjid berhampiran kawasan perumahan kediamannya, Zahil kembali termenung panjang atas sofa di ruang tamu. Sukar untuk Zahil membuat konklusi tentang perhubungan Diya dengan Zakuan.
Zahil menghela nafas lemah. Walau apa jua tanggapan dan andaian yang dibuat akalnya, Zahil tidak dapat menipu diri sendiri. Dia tidak boleh membohongi perasaannya. Dia manusia biasa yang punyai keinginan untuk memiliki insan yang dicintai.
Ya! Zahil menyukai Diya. Menyukai yang seerti dengan wujudnya naluri mencintai wanita itu. Sebab itu, bukan sesuatu yang mudah untuk dia menerima hakikat seandainya antara Zakuan dan Diya adanya hubungan istimewa.
Tengah sedap-sedap layan perasaan dan bermain emosi, telefon bimbit atas meja di sisi katil menyanyi-nyanyi. Siapa pula yang menelefon waktu begini? Zahil menekan butang menjawab panggilan.
“Zahil!” dah tak ada ucapan salam lagi. Terus nama Zahil diterjah.
“Kenapa ni Mak Jah? Ada apa-apa yang tak kena ke? Kenapa gelabah semacam je ni?”
“Mak Jah tak tau nak cakap macam mana. Senang cerita, Zahil balik rumah mama sekarang,” gopoh sekali nada suara Mak Jah.
“Sekarang?”
“Ye… sekarang! Zahil datang sekarang, cepat! Mama kamu dah naik hantu,” gesa Mak Jah lagi.
“Tapi Mak Jah, apa dah berlaku?”
“Ish! Kamu ni Zahil, datang cepat. Adik kamu buat hal lagi. Mama kamu dah mengamuk sakan.”
“Ye la Mak Jah, saya datang. Assalamualaikum.” Zahil putuskan talian. Telefon dimasukkan dalam kocek seluar.
Lelaki itu tarik nafas panjang dan menghela nafas lembut. Mukanya diraup dengan kedua-dua tapak tangan. Seakan sudah dapat dibaca situasi yang berlaku di banglo mewah keluarga Datuk Laila. Walau apa jua jangkaannya, Zahil harus bergegas ke banglo mewah itu.
Baru setapak Zahil melangkah untuk menukar pakaian di kamar tidur, telefon berdering lagi. Nama Mak Jah tertera di skrin. Pantas Zahil menjawab. Belum sempat Zahil bersuara, Mah Jah memintas kata.
“Cepat la Zahil!” desak Mak Jah seolah-olah Zahil adalah super hero yang boleh menghilang diri dan muncul di mana-mana saja dalam sekelip mata.
“Ye, Zahil on the way la ni.” Seraya itu juga kaki Zahil bertukar haluan. Tidak jadi untuk menukar baju melayu berseluar slack dengan pakaian lain. Desakan Mak Jah membuatkan Zahil bingkas mendapatkan kereta.


 “Apa dah jadi Mak Jah?” soal Zahil sebaik saja menghampiri Mak Jah yang resah menanti kedatangannya di muka pintu. Mak Jah punya pasal, Zahil sempat menyarung selipar saja untuk datang ke sini.
Orang tua ni bukan boleh berkira sangat. Kadang-kadang tu over acting sikit. Hal kecik pun dah gelabah macam isu tergempar. Gabrah sangat.
“Adik kamu tu, si Zakuan. Buat hal lagi. Mama kamu tengah mengamuk tu,” beritahu Mak Jah untuk kesekian kali. Sempat dibelek penampilan Zahil. Baru balik masjid ke? Sejuk sedikit hati yang berkocak kebimbangan perihal Zakuan.
“Mak Jah!” kini bergema pula suara Datuk Laila memanggil pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.
Mak Jah tersentak. “Hah! Tu mama kamu dah panggil. Jom cepat.”
Zahil bersaing dengan Mak Jah menuju ruang tamu. Dilihatnya Datuk Laila sedang duduk di atas sofa dengan wajah tegang.
“Assalamualaikum mama…” sapa Zahil penuh hormat.
Mata Datuk Laila menikam seraut wajah tenang Zahil dengan renungan tajam.
“Mak Jah, dah berapa kali aku nak cakap? Beritahu budak ni… fahamkan budak ni! Ingatkan dia! Panggil aku Datuk Laila! Bukan mama!” tegas Datuk Laila pada Mak Jah.
“Laila… Zahil ni pun anak kau juga,” Mak Jah tidak senang dengan kata-kata majikannya itu.
Datuk Laila merengus geram. “Kau tahukan, anak aku hanya tiga orang! Seorang lelaki, dua orang perempuan!”
Zahil mengukir senyum tawar. Memahami keengganan Datuk Laila menerima status dirinya sebagai anak. “Mama, Zahil…”
“Anak-anak aku hanya Kamelia Zara! Zakuan Helmi!” Datuk Laila mencerlun tajam ke arah Zahil. “ Dan Karisya Zarina!” tegas sekali nada bicaranya.
“Hanya mereka bertiga layak memanggil aku mama dan selain dari mereka bertiga, aku haramkan! Faham!” tegas dan keras bicara Datuk Laila itu. Terus menusuk pendengaran Zahil dan Mak Jah.
Zahil tunduk memandang lantai. Pedih sekali mendengar kata-kata Datuk Laila walaupun itu bukan kali pertama dia mendengar bicara sebegitu. Namun setiap kali mendengar ayat seperti itu, setiap kali itu juga hati rasa terluka. Apakan daya dia andai kasih seorang ibu yang ditagih tiada sudi dicurahkan wanita itu.
“Sudah! Aku nak kau pergi cari Zakuan, bawa dia balik sekarang!” arah Datuk Laila.
Zahil angguk tanda akur dengan arahan Datuk Laila itu.
“Hah! Cepat la pergi cari. Kau tercegat apa lagi dekat sini?” suara tengkingan itu bergema di segenap ruang tamu.
“Ba… baik la mama,” ujar Zahil seraya angkat kaki meninggalkan ruang tamu kediaman mewah Datuk Laila.
Membulat mata Datuk Laila mencerlun tajam setiap langkah Zahil. Bahang panas telinga mendengar perkataan ‘mama’ yang digunakan Zahil begitu hangat sehingga membakar hati. Kedegilan Zahil untuk tetap menggelar dirinya mama amat dibenci.
Sebaik saja Zahil hilang dari penglihatan, Datuk Laila menghempaskan tubuh atas sofa mewah buatan Itali. Bibirnya diketap menampung amarah dalam diri. Dia turut marahkan Zakuan, si anak kesayangan yang telah membuat onar sehingga mencemar reputasi syarikat keluarga mereka.
“Laila, tak elok kau cakap pada Zahil macam tu. Kesian budak tu.” Mak Jah menghampiri Datuk Laila untuk memberi nasihat.
Datuk Laila berkalih menentang pandangan Mak Jah. Tegas sekali raut wajahnya tanda nasihat Mak Jah tidak lut di hatinya. Namun begitu, tiada sepatah bicara terlafaz dibibir. Hanya rengusan kasar kedengaran. Jika orang lain yang berkata begitu padanya, pasti sudah dibalas dengan tengkingan. Datuk Laila sudah menganggap Mak Jah yang tua dua tahun daripadanya itu seperti keluarga sendiri. Sudah cukup lama pembantu rumah itu mengisi kesunyian dalam rumah mewah itu dan menemani hari-hari sepinya.
“Budak tu hanya nak tumpang kasih sayang kau saja. Kalau kau berdendam pada arwah Zamani pun, tak baik kau lepaskan pada Zahil. Dia tak bersalah Laila.”
“Aku penat Jah. Kalau Zakuan dah balik nanti, kau panggil aku dalam bilik.” Datuk Laila mula angkat punggung. Kata-kata nasihat untuknya tidak diendahkan.
Mak Jah diam menghantar langkah Datuk Laila dengan gelengan kepala. “Laila… Laila… Sampai bila kau nak hidup dengan dendam kau pada arwah? Kau kaliskan hati kau dari menerima limpahan kasih sayang seorang anak sebaik Zahil. Kau nyalakan kebencian sehingga kau lupa orang yang kau benci itu, dahulunya pernah menjadi anak kecil yang kau tatang bagai minyak yang penuh.”
Mak Jah melepaskan keluhan lemah. Simpatinya terlimpah terhadap Zahil. Anak muda itu cukup sabar melayan kerenah ahli keluarga Datuk Laila yang membencinya bagai tiada penghujung.


Kaki Zahil terhenti di depan kelab malam. Dengan penampilan diri yang berbaju melayu dan berselipar, hati teragak-agak untuk masuk. Mujur kelab ini tidak mengupah bronzer mengawal dipintu masuk. Jika tidak, pasti Zahil bakal dihalang dari masuk.
Zahil beristighfar panjang sebelum melangkah masuk dalam pusat hiburan yang sesak dengan pengunjung. Meliar mata lelaki itu mencari kelibat Zakuan. Pusat hiburan ini merupakan tempat Zakuan sering melepak mencari ketenangan palsu untuk merawat penyakit hati yang kian parah.
Kehadiran Zahil menarik perhatian beberapa pasang mata. Teruja mereka melihat pengunjung baru yang tampan tetapi berpakaian ‘pelik’. Pelik untuk tempat manusia yang terkinja-kinja dengan meneguk air syaitan.
 Pencarian Zahil ternyata berhasil. Di suatu sudut, kelihatan Zakuan sedang duduk menikmati layanan dua orang gadis seksi. Zahil tidak terus menerpa ke arah mereka sebaliknya dia tercegat dari jauh, memerhatikan tingkah mereka buat seketika.
Entah apa yang dibualkan mereka sehingga berkali-kali Zakuan ketawa besar. Ternyata Zakuan sudah mabuk meneguk minuman keras. Dua gadis seksi itu terus melayan lelaki kacak yang sudah melabur wang yang lumayan untuk mendapatkan belaian mereka. Dosa pahala tiada bezanya lagi. Kepuasan membelai nafsu terasa cukup nikmat. Wang umpama raja dan keseronokan menjadi permaisurinya.
Zahil beristighfar panjang di dalam hati. Menyaksikan kehidupan maksiat yang dilalui adiknya menimbulkan rasa kesal. Kesal kerana gagal menjadi abang yang baik untuk menjadi ikutan adik-adiknya. Kesal kerana gagal melaksanakan tugas sebagai ketua keluarga menggantikan arwah ayahnya.
Beberapa ketika kemudian, Zahil menapak menghampiri Zakuan. Kehadirannya tidak diendahkan Zakuan yang tenggelam dalam belaian dua gadis di sisinya.
“Zakuan!” tegur Zahil bernada tegas.
Dua gadis di sisi Zakuan memandang lelaki kacak yang muncul tanpa diundang. Melebar senyuman menggoda di bibir mereka menjamah ketampanan wajah Zahil. Kedua-dua gadis itu kemudian ketawa kecil apabila menilik penampilan Zahil. Mat masjid mana pula datang ke sarang neraka seperti ini? Sebaliknya Zakuan merengus kasar apabila keseronokan diri berhibur dicantas.
Bro…kau datang sini buat apa hah? Nak join aku ke?” soal Zakuan.
“Aku nak bawa kau balik,” beritahu Zahil.
Zakuan ketawa besar. “Aku tak nak balik. Kau boleh blah!” balas Zakuan bernada angkuh. Tangannya melingkar kejap di pinggang dua gadis di sisinya. Gadis-gadis itu melentukkan kepala ke bahu Zakuan. Jemari mereka bermain-main di dada lelaki itu. Zahil seolah-olah dinafikan kewujudannya di situ.
“Mama nak jumpa kau,” suara Zahil lagi. Sakit hatinya melihat kemungkaran di depan matanya saat ini.
Zakuan tidak mengendahkan Zahil. Lelaki itu tersenyum sinis melihat Zahil menahan kesabaran melihatkan tingkahnya. Zakuan meneguk minuman keras dengan bangga di hadapan Zahil. Siap disuakan botol arak itu pada Zahil untuk mempelawa abangnya minum. Zahil geleng kepala dan Zakuan mengukir senyum mengejek.
“Aku tak nak paksa kau Zakuan. Mama nak kau balik sekarang. Aku diamanahkan bawa kau pulang,” kata-kata Zahil terus tidak diendahkan.
Zakuan menambah sakit hati Zahil dengan perlakuan tidak bermoralnya. Jemari Zakuan membelai leher gadis pelayan di sebelah kanannya. Lalu bibirnya dibenamkan ke bahagian leher jinjang itu dan Zakuan semakin rakus melepaskan gelojak nafsunya.
Zahil hilang sabar. Lantas dia menerkam mendapatkan Zakuan dan menarik kolar baju adiknya itu. Dua gadis tadi segera berlalu pergi dek bunga-bunga kekecohan yang timbul. Pengunjung lain yang ada dalam pusat hiburan itu langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku. Bukan perkara biasa andai berlaku kekecohan begitu dalam tempat yang mana manusianya sudah cetek fungsi akalnya. 
“Jangan buat aku berkasar dengan kau. Aku tak nak buat kecoh, jadi kau ikut aku balik,” tegas Zahil sambil meleraikan genggaman kejap pada kolar baju Zakuan. Zakuan angkat kedua-dua tangan sebagai tanda mengalah. Tidak mati senyum sinis di bibir Zakuan melihat raut amarah di wajah abangnya itu. Zahil kemudian memapah adiknya yang mabuk untuk berjalan keluar dari pusat hiburan itu.


Zakuan yang duduk di sebelah Zahil sudah terlalu mabuk. Zahil memandu dengan penuh kesabaran. Sudah la tali pinggang keledar yang dipakaikan Zahil sebelum mula memandu ditanggalkan Zakuan. Kemudian lelaki mabuk itu membuka cermin tingkap kereta dan menyuakan kepalanya ke luar kereta sambil menyanyi-nyanyi lagu Inggeris yang tidak jelas butir liriknya.
Selepas menyanyi-nyanyi, Zakuan membebel tentang seribu satu masalah yang dialaminya pula. Zahil ibarat tempat untuk Zakuan melepaskan perasaan dan berkongsi segala yang dipendamnya selama ini. Ada perkara yang difahami tak kurang juga perkara yang langsung tidak Zahil faham butir bicaranya. Zahil cukup sabar melayan kerenah adiknya itu.
“Bila la kau nak berubah Zakuan?” soalan Zahil itu sekadar keluhan kecil saja. Namun begitu, tidak disangka pula Zakuan yang mabuk boleh memahami bicara abangnya itu.
“Berubah?” Zakaun ketawa besar. Zahil kerling Zakuan di sebelah dengan dahi berkerut.
“Aku dah berubah untuk Lia. Tapi Lia tinggalkan aku,” sayu bicara Zakuan menampan pendengaran Zahil.
Zahil kerling Zakuan sekali lagi. Wajah Zakuan kelihatan sedih dan kecewa. Lia? Adelia Dayana ke? Bisik hati Zahil. Teruja sekali tatkala nama Lia disebut Zakuan. Segera Zahil teringatkan kepingan gambar Diya yang tertulis perkataan ‘LIA’ di belakangnya.
“Errr… Lia… Lia… tu, siapa?” Zahil cuba memancing perbualan berkisar Lia.
Zakuan merengus lembut. “Aku berdosa pada Lia. Aku dosa besar pada Lia. Lia mesti bencikan aku,” soalan Zahil tidak dijawab sebaliknya Zakuan berbicara seperti menyesali dosanya.
Zahil semakin diasak perasaan ingin tahu. Pelbagai perkara ingin disoal pada Zakuan tetapi keadaan lelaki itu yang mabuk agak sukar untuk komunikasi yang baik. Nanti lain yang ditanya, lain pula bunyi jawapannya. Namun Zahil yakin Lia yang dimaksudkan Zakuan adalah Adelia Dayana yang dikenalinya.
“Kenapa Lia bencikan kau? Kau dah buat apa pada Lia?” Zahil terus mengorek rahsia.
Zakuan menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Zahil menangkap tangisan lelaki itu. Terjentik hatinya dek tangisan bernada kesalan itu. Dosa apa sehingga lelaki seperti Zakuan menangis begini?
“Apa aku dah buat pada Lia?” sebaliknya Zakuan melontarkan soalan itu kembali pada Zahil.
“Kenapa Lia bencikan kau?” Zahil menyoal lagi. Mata Zahil memandang jalan di hadapan  dan Zakuan di sebelah silih berganti.
Keletah Zakuan nampak tak tentu arah. Menangis dan mengeluh kesal yang tak diketahui hujung pangkal.
“Kenapa dengan kau ni?” marah Zahil yang mula hilang sabar.
Pergerakan tubuh Zakuan terhenti. Lelaki itu berpaling memandang Zahil. Matanya merah dengan wajah keruh dibasahi air mata.
“Aku tak patut tinggalkan Lia. Macam mana kalau Lia pregnant?” lontaran suara Zakuan menyentap cuping telinga Zahil.
Breeekkk! Zahil tertekan brek. Hampir-hampir saja dia mencium stereng kereta. Terbeliak mata malah tak berkelip-kelip kelopak mata Zahil saat itu. Dadanya berombak kencang. Apa yang didengari telinganya umpama panahan petir yang menyentap jantung. Pregnant! Genggaman tangan pada stereng kereta kian kejap. Sungguh, Zahil tidak mahu percayakan telinga sendiri. Diya pregnant? Zahil dapat rasakan kedua-dua belah tangannya menggigil.
Bunyi mengerang kesakitan dari arah sebelah menyedarkan Zahil. Segera dia berpaling ke arah Zakuan. Tergamam Zahil melihat kepala Zakuan terlentok pada dashboard dengan muka berlumuran darah. Kelopak mata Zakuan kian layu sebelum tertutup rapat.
Zahil tidak mampu bersuara sepatah kata pun. Suaranya seakan hilang malah lidah seakan kelu untuk berbicara. Darah yang berlumuran di wajah Zakuan disentuh Zahil dengan jemari terketar-ketar.
“Za… Za… ku…an…” bergetar suara Zahil antara dengar dan tidak.
Bahu Zakuan digoncang perlahan namun tiada sebarang tindak balas. Zahil tekup mulut dengan jemari kanan yang berlumuran darah. Tanpa sedar, ada air mata menitis di pipi.
Ya Allah… rintih Zahil dalam hati memohon kekuatan. Zahil betulkan kedudukan tubuh Zakuan agar bersandar pada kerusi dan mengenakan tali pinggang keselamatan untuk adiknya itu. Kemudian dengan lafaz bismillah, Zahil kuatkan diri untuk terus memecut kereta menuju ke hospital berdekatan.

8 comments:

  1. zakuan helmi ngan zahil hzriz 2 bqadik ka??? ya ALLAH biaq btoy.. suspen2 nieg....hadoiii... best2..truskan usaha anda...

    ReplyDelete
  2. episod berbalahan akan bermula...... jeng jeng jeng...... tahniah mawar cite ni mmg best... jalan cite yg sungguh menarik.....

    ReplyDelete
  3. Waaaaa sapa hero???? Kalau bole nk zakuan,,,lolol

    ReplyDelete
  4. aaaa...zakuan nie yg kisah silam diya 2 ke?oh tidak mmang sush la zahil nk bbaik dgn diya nnti..

    ReplyDelete
  5. waaa...best2...menepati cite rase...xsaba nk bc next chapter:))

    ReplyDelete
  6. cik penulis..:) bile nak update chapter 9?;)

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.