ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Thursday, September 6, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 10



Oleh: MAWAR KAMILA

BAB 10
Zahil berlari masuk ke perkarangan hospital dan meluru ke arah pintu lif. Ditekan-tekan punat membuka pintu lif namun tiada satu pun lif yang kosong. Tidak sabar menunggu, Zahil meluru mendapatkan anak tangga.
Akhirnya dia tiba di aras satu hospital di mana bilik wad Zakuan berada di aras itu. Dari jauh, mata Zahil terpandang Kamelia sedang bercakap-cakap dengan seorang doktor lelaki.  Zahil kesat peluh yang membasah di dahi dengan belakang tapak tangan.
Lelaki itu membongkokkan tubuh dengan kedua tangan menongkat pada kepala lutut sambil menarik nafas yang tercungap-cungap dek keletihan akibat berlari. Sambil itu, mata Zahil meliar mencari kelibat Diya. Namun wajah Diya tidak dilihat ada di situ.
Zahil panjangkan langkah kakinya menghampiri Kamelia yang masih tidak menyedari kehadirannya. Saat itu, Kamelia pula sudah menamatkan perbualannya bersama Doktor Danken lalu bergerak menghampiri Diya. Terus saja terpandang Diya, Zahil melajukan langkah kakinya sedikit demi sedikit dan akhirnya dia berlari anak.
“Diya!” Kamelia menegur Diya yang tercegat merenung Zakuan. Raut wajah tegang Diya tidak terlihat oleh Kamelia yang lebar saja senyumnya. Masih dengan mood gembira setelah bertemu kenalan lamanya.
Zakuan yang jauh mengelamun tersentak oleh suara Kamelia yang agak kuat. Zakuan angkat kepala memandang ke arah suara yang menjengah pendengarannya. Waktu itu juga Zahil yang berlari laju memintas di hadapan Kamelia. Berlaku perlanggaran bahu antara Zahil dan Kamelia menyebabkan gadis itu hampir saja tersungkur ke depan. Zahil bergerak pantas mencengkam pergelangan tangan kanan Diya lalu menarik gadis itu pergi.
Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Kamelia tergamam tanpa terluah sepatah bicara. Membulat mata Kamelia dengan mulut ternganga melihat Diya dibawa lari oleh Zahil. Zakuan juga terpinga-pinga melihat kelibat Zahil yang pantas menghilang bersama seorang gadis. Akhirnya Kamelia dan Zakuan saling berpandangan. Mereka sama-sama menjungkit bahu dengan gelengan kepala tanda tidak memahami situasi yang berlaku.
Kamelia menghampiri Zakuan yang sudah bangkit dari duduk. “Kau buat apa dekat luar ni? Baru sedar dah banyak bergerak.”
“Aku boring duduk dalam tu.”
“Mama dengan Mak Jah mana?” soal Kamelia lagi.
“Baru balik tadi. Semalaman mereka jaga aku, aku suruh balik rehat. Aku pun bukan teruk sangat.”
“Kau datang seorang je? Zarina mana?”
“Aku datang dengan Diya. Zarina mana nak datang awal-awal pagi begini. Waktu membuta dia tak tamat lagi.”
“Diya?” soal Zakuan. Pertama kali nama itu didengari.
“Oh! Kau tak kenal. Pekerja baru aku. Dia gantikan Melati yang baru balik Indonesia tu,” cerita Kamelia.
“Dah la. Macam la aku kenal, Diya, Melati...Tanjung la…”
Kamelia ketawa kecil. “Dah, jom masuk dalam. Kau tu kena rehat dekat dalam. Duduk luar ni buat apa.”
“Kau ni macam mak nenek je membebel. Kau dengan si Zahil tu, sama je. Suka membebel,” kritik Zakuan.
“Aku membebel sebab sayang kau. Zahil membebel sebab dia abang kau, kau adik dia,” bidas Kamelia.
“Aku mana ada abang,” selamba saja Zakuan bersuara. Kamelia pandang Zakuan dengan riak tidak senang hati. 


Diya juga terkejut apabila tangannya ditarik Zahil secara tiba-tiba. Zahil yang berlari laju memaksa Diya berlari mengejar langkah kaki lelaki itu. Diya mengikut larian Zahil dengan seribu tanda tanya. Dia bagaikan terpinga-pinga saja.
“Eee… lepas! Lepas!” Diya cuba merentap pergelangan tangannya yang berada dalam cengkaman erat Zahil. Tangan lelaki itu turut ditampar-tampar agar tangannya dilepaskan.
Zahil tidak pedulikan penentangan gadis itu. Langkah kakinya terus laju mengheret langkah kaki Diya ke suatu tempat yang tidak Diya tahu di mana.
“Zahil! Lepaskan tangan saya. Malu la orang tengok.” Diya terus berusaha menarik tangannya.
Zahil masih pekakkan telinga. Larian mereka sudah berhenti tetapi kaki masih berjalan pantas. Dan mulut Diya tidak henti-henti mengomel.
“Awak dah gila ke? Lepaskan tangan saya! Awak tak ada hak pegang saya! Lepaskan!” marah Diya lagi.
Zahil matikan langkah secara mengejut. Diya yang ditarik bersama hampir saja berlanggar belakang tubuh lelaki itu.
“Gila ke?” Diya menengking serentak itu mencampak jambangan bunga di tangan ke dada Zahil. Zahil kaku menerima amarah Diya terhadapnya.
Seorang jururawat yang kebetulan melalui kawasan itu memberi isyarat senyap kepada Diya. Kawasan hospital, mana boleh cakap suara meninggi begitu. Diya ketap bibir, geram pada Zahil.
“Ok...” Diya hela nafas perlahan. Gadis itu cuba menenangkan dirinya. “Sekarang cakap, kenapa awak tarik saya ke sini?” soal Diya dengan nada suara rendah namun tegas.
Zahil jamah wajah Diya yang merona merah cuba mengawal diri. Kemudian Zahil geleng kepala. Diya gigit bibir.
“Tak ada sebab?” Diya masih ingin mendapatkan kepastian. Aku rasa mamat ni kena hantar masuk wad gila. Mana taknya, buat perkara merapu tanpa sebab. Memang memenuhi kriteria untuk masuk hospital mental.
Zahil jungkit bahu. Diya senyum sinis. Sabar saja dengan mamat seorang ni. Aku karate mamat penyibuk ni, baru tahu siapa Adelia Dayana yang sebenarnya!
Diya berpaling untuk berlalu pergi. Namun langkahnya terhenti apabila sekali lagi Zahil mencengkam pergelangan tangannya. Diya tersentap! Laju Diya berkalih merenung Zahil. Mata Diya membulat dengan wajah membengis.
“Lepaskan tangan saya!” tegas Diya. Dia ingat, dia siapa yang sesuka hati nak pegang-pegang aku! Walaupun berlapik dengan lengan baju, dia tetap tak boleh pegang!
“Nak pergi mana? Ikut sini!” lalu Zahil menarik Diya melangkah memasuki salah satu pintu yang berdekatan mereka. Awak ingat, saya akan benarkan awak pergi cari Zakuan semula? Saya tak akan! Tak akan benarkan awak bertemu Zakuan dalam keadaan macam tadi. Awak akan bersua dengan Zakuan, tapi bukan macam tadi!
“Buat apa di sini?” soal Diya sebaik saja mereka memasuki pintu wad pediatrik.
Mata Diya memandang seorang demi seorang pesakit kanak-kanak yang kaku merenung ke arah mereka berdua. Sepi mengisi ruang macam orang tua-tua kata, malaikat empat puluh empat lalu.
“Assalamualaikum and morning semua. Ini…” Zahil tunjukkan ibu jari ke arah Diya. “kawan abang, Kak Diya.”
Semua kanak-kanak di dalam wad itu tersenyum sambil bertepuk tangan. Diya pula yang jadi terpinga-pinga melihat suasana yang sepi terus berubah ceria. Seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia enam tahun menghampiri Zahil. Zahil bercangkung merendahkan dirinya.
“Abang, Dani nak makan epal.” Anak kecil itu kemudian menarik tangan Zahil menuju ke arah katil miliknya.
Sebiji epal merah bersama sebilah pisau kecil dihulurkan kanak-kanak itu pada Zahil. Pisau dan epal berpindah ke tangan Zahil. Sejurus itu, kanak-kanak lain beramai-ramai mengerumuni Zahil. Masing-masing membawa sebiji epal di tangan.
Diya kaku di depan pintu. Zahil melayan permintaan Dani untuk tolong mengupas kulit buah epalnya. Langsung Diya yang tercegat di depan pintu tidak dipandangnya. Lelaki itu tenggelam dalam keasyikan melayan kerenah anak-anak kecil di kelilingnya. Masing-masing berebut-rebut agar kulit epal mereka dikupas oleh Zahil.
Diya melangkah perlahan-lahan menghampiri kumpulan Zahil bersama anak-anak kecil itu. Diya duduk di birai katil dan memerhati Zahil mengupas kulit epal sambil memangku Dani. Siap mengupas epal Dani, tiba giliran kanak-kanak lain pula. Begitu la kerja Zahil silih berganti.
“Wah! Abang memang hebat la,” puji Mikail yang teruja melihat Zahil mengupas buah epal miliknya. Teknik mengupas epal Zahil ternyata menawan hati anak-anak kecil di sekelilingnya. Tampak mahir dengan gaya kupasan yang menarik malah kulit epal tidak putus sehingga selesai mata pisau mengupas sekeliling buah epal.
Diya tersenyum nipis. Zahil ketawa kecil. Sebiji demi sebiji epal dikupas. Akhirnya semua kanak-kanak di dalam wad itu dapat menikmati epal mereka. Zahil kesat peluh di dahi dengan jari. Berpeluh juga kupas dua belas biji epal. Diya yang melihatnya kemudian menghulurkan sehelai tisu kepada Zahil.
Perlahan-lahan Zahil menyambut huluran itu. Terkejut sebenarnya apabila Diya bukan saja menghulurkan tisu malah turut tersenyum manis. Diulang! Senyum manis! Buat pertama kali Zahil menerima senyuman ikhlas daripada Diya. Sebelum ni, jangan harap!
“Kenapa?” soal Diya apabila Zahil memandangnya semacam saja.
Zahil pantas menggeleng. Lelaki itu cepat-cepat ubah reaksi terkejut itu dengan melemparkan senyuman manis. Riak wajah Diya pantas berubah melihat senyuman manis Zahil padanya. Terus gadis itu melemparkan pandangan ke arah lain.
Zahil terkedu. Minah ni… tadi macam ok. Sekarang dah dingin balik. Tak faham betul aku dengan perangai minah sorang ni.
Lengan Zahil kemudian digoncang seseorang. “Abang Jahil… Abang Jahil…” panggil Arshad.
Diya tekup mulut menahan ketawa. Arshad yang pelat itu tidak pandai menyebut nama Zahil dengan betul. Alih-alih sebutannya menjadi Jahil. Kan dah lain bunyi dan lari lari makna.
Zahil sengih saja melihat reaksi Diya. Nak buat macam mana, Arshad ni kecil lagi. Pernah Zahil mengajar Arshad menyebut dengan betul tetapi begitu juga yang disebutnya. Zahil pasrah.
“Abang, semalam doktor cucuk Acat. Jarum besar sangat. Sakit!” cerita anak kecil bernama Arshad sambil menunjukkan kesan tusukan jarum pada tubuhnya.
“Acat nangis kena cucuk!” seloroh Faizal yang duduk di katil sebelah. Kanak-kanak lain ketawa mengekek termasuk Arshad sendiri. Diya dan Zahil saling berpandangan. Mereka turut tersenyum.
Zahil angkat Arshad dan diletakkan atas pangkuannya. Rambut nipis anak kecil itu diusapnya lembut. Kemudian Zahil peluk Arshad dari belakang. Arshad tersenyum gembira berada dalam pelukan hangat Zahil.
“Kesian adik abang ni. Nanti abang jumpa doktor, abang cakap… doktor, doktor, kalau doktor nak cucuk Acat, doktor jangan cucuk sakit tau. Jarum pun, tak boleh guna jarum besar. Guna yang paling… paling… paling kecik!” Arshad ketawa mengekek mendengar bicara Zahil itu.
Intonasi lelaki itu kedengaran lucu sehingga Diya turut ketawa. Zahil tersenyum melihat Diya ketawa. Bertuahnya dia hari ini, dapat lihat Diya tersenyum dan ketawa. Yang penting, senyum dan ketawa itu sangat ikhlas.


“Amboi! Amboi! Seronok kau orang pergi dating ye. Aku tunggu punya lama dekat sini. Kau orang pergi mana hah?” bicara Kamelia dengan gaya bercekak pinggang.
Zahil tersengih saja. “Errr… ada la. Rahsia! Kan Diya?”
“Apa?” Diya angkat kening pada Zahil. Dingin saja reaksinya. “Kami pergi melawat pesakit dekat wad kanak-kanak,” beritahu Diya seterusnya membocor ‘rahsia’.
Kamelia ketawa geli hati apabila Zahil tarik muka. Zahil, Zahil. Nasib kau la. Muka handsome pun masih kena reject dengan si Diya ni.
“Zahil ni memang suka melawat kanak-kanak dekat wad pediatrik tu,” maklum Kamelia.
“Kesian kanak-kanak tu. Kecil-kecil telah diuji dengan pelbagai penyakit,” sambung Diya bernada simpati.
“Kanak-kanak tu istimewa. Ada yang lebih kuat dari kita orang dewasa,” ujar Zahil. Diya dan Kamelia mengangguk setuju.
Diya sudah menghampiri kereta Myvinya. Kamelia pula sudah bersedia membuka pintu kereta setelah Diya membuka kunci kereta. Zahil bergerak mendapatkan Kamelia lalu menarik tangan wanita itu. Zahil ni, agaknya memang suka main tarik-tarik je tangan orang.
“Diya, awak balik dulu. Saya nak cakap dengan Kamelia. Nanti saya hantar Kamelia ke butik,” kata Zahil.
“Amboi! Kau mengarah Diya macam dia tu bini kau je. Aku belum setuju pun nak bercakap dengan kau,” bidas Kamelia.
“Kau ni, mulut macam murai. Sini, ikut aku. Kita cakap dalam kereta. Diya, bos awak ni saya pinjam kejap” balas Zahil seraya menarik Kamelia agar menuruti langkahnya.
Diya geleng kepala dengan kerenah adik-beradik itu. Melihat kemesraan Zahil dengan Kamelia membawa ingatan Diya terhadap Along dan Kak Ngah. Along… Kak Ngah…adik rindu.


Kereta sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan hospital. Zahil masih membisu dan Kamelia akhirnya bersuara.
“Kau nak cakap apa dengan aku?”
“Aku suka Diya,” ujar Zahil tanpa memandang Kamelia di sisi. Terus fokus pada pemanduannya.
“Yang itu aku dah tahu la. Kenapa, kau nak aku tolong masuk meminang ke? Aku tak pandai la Zahil. Kau cakap la pada Mak Jah.”
“Bukan la. Bukan pasal tu,” nafi Zahil bernada lemah.
“Dah tu?”
Zahil tarik nafas panjang dan dilepaskan. “Aku suka Diya tapi aku tak layak untuk dia.”
Kamelia telan air liur. “Zahil, Diya cakap apa pada kau? Dia reject kau terus ke? Kenapa kau lain macam je ni?” Apa mamat ni cakap ni? Bunyi macam frust menonggeng je.
“Mungkin Diya bukan jodoh aku. Mungkin Tuhan dah takdirkan aku akan sentiasa harus beralah pada Zakuan,” sambung Zahil.
Kamelia terkedu. Zakuan? Kenapa masuk watak Zakuan pula dalam cerita Zahil dengan Diya? Pening!
“Jap! Jap! Kau story betul-betul. Aku belum dapat tangkap. Aku kosong idea lagi ni. Terus terang je, senang,” ujar Kamelia bersungguh.
“Zakuan kenal Diya dulu sebelum aku kenal Diya. Zakuan cintakan Diya dulu sebelum aku cintakan Diya. Dan… mungkin Zakuan miliki cinta Diya terlebih dahulu sedangkan aku langsung tak berdaya menyentuh hati Diya,” tenang dan jelas ungkapan Zahil.
Kamelia tergamam. Lidahnya jadi kelu. Wajah tenang Zahil dipandang Kamelia dengan hati yang sayu. Ya Allah, macam mana boleh jadi begini? Dua beradik menyintai seorang wanita yang sama. Diya dan Zakuan ada hubungan istimewa? Macam tak logik!
“Macam mana kau tahu yang Zakuan ada hubungan dengan Diya? Diya tak macam bercinta dengan sesiapa pun.” Tepat mata Kamelia membelek reaksi wajah Zahil. Wanita itu benar-benar kehairanan.
“Panjang ceritanya.” Zahil enggan berterus terang kerana dia sendiri belum pasti dengan dugaan sendiri.
Kamelia mengeluh kecil. “Zahil, kau ok ke?”
“Aku ok,”  Mendatar saja nadanya.
“Betul kau ok?” Kamelia bertanya lagi.
“Aku ok,” masih sama juga jawapan Zahil.
“Kau tak ok kan? Aku kenal kau. Kalau kata aku ok tu, maknanya kau tak ok. Kau tak ok kan?” beria benar Kamelia meneka gambaran hati Zahil.
“Kau dah kenal aku, kau tanya lagi. Kau memang kakak yang terbaik la,” sindir Zahil.
Kamelia ketawa besar. “Lain kali, kau cakap je la tak ok. Aku tak la rasa sedih.”
“Kau sedih ke?” soal Zahil kembali. Sekilas Kamelia di sisi dikerling.
“Sedih la. Aku tengok kau pun macam nak nangis je.”
“Mana ada aku nak nangis!” nafi Zahil.
“Tak nak mengaku pula. Hei! Buruk la kau nangis. Dah handsome, nangis… buruk!”
Zahil gigit bibir. “Kau ni, aku tinggalkan tepi jalan je nanti.”
“Kesiannya abang handsome. Tak pe, nanti aku carikan customer mana yang comel lotei kasi kau buat bini,” ujar Kamelia bernada seloroh. Zahil mencebik.
“Tapi Zahil, macam mana Zakuan kenal Diya? Betul mereka bercinta? Kau kata dulu, Diya tak pandang mana-mana lelaki,” risik Kamelia ingin tahu.
Zahil membisu.
“Zahil!” desak Kamelia. Zahil membatu. “Zahil!”
“Aku merajuk la!” balas Zahil.
“Ah! Merajuk la buat jeruk. Aku tak nak pujuk.” Kamelia memalingkan tubuh menghadap tingkap.
Zahil senyum kelat. Biar la Kamelia tidak tahu masa silam Diya dengan Zakuan. Biar la ia menjadi rahsia.
“Kau janji dengan aku. Kau tak tanya Diya tentang Zakuan.” Zahil masih berbicara pada Kamelia.
Lama Kamelia berdiam diri sebelum bersuara. “Apa pasal pula?”
“Janji je la!”
“Tak nak janji.” Kamelia buat-buat degil.
“Ok, janji!” Zahil tetap menganggap Kamelia sudah berjanji padanya.
“Kau ni sengal la. Aku janji! Tapi nanti kau kena cerita dekat aku.” Wanita itu beralah jua akhirnya.
“Tengok la kalau aku panjang umur.”
“Zahil!” Kamelia jerit geram.
Zahil ketawa besar. Kamelia geleng kepala sambil tersenyum. Zahil dipandang Kamelia dengan hati yang sayu. Zahil, pasti ada bidadari lain yang terbaik untuk kau.

4 comments:

  1. best cite nih... siap da pic lg hahaha...
    just nak tya sbb bru blejar wat blog. cmna disable right-click...? Help me PLEASE...!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. mawar dh try masuk blog royal keoss tp mawar x dpt nk tnggl komen d situ.
      royal keoss boleh buka blog tutorial ni:
      http://tutorialuntukblog.blogspot.com/2010/02/disable-right-click.html
      caranya mudah n mawar rasa royal keoss dpt ikut tutorial tu.
      slmt berjaya n slmt menulis jg. ^_^"

      Delete
    2. boleh juga search mn2 blog tutorial. selalunya ada je.
      just type 'tutorial disable right klick dalam blog'.
      harap membantu. segan pula klu x dpt menolong.

      Delete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.