ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Saturday, October 27, 2012

ISTERI AKU KALIS CINTA 17




Oleh:MAWAR KAMILA
BAB 17
Jika itulah cinta, Diya benci akan cinta! Jika begitulah cinta, Diya tidak mahu menyintai dan dicintai. Itu bukan cinta tetapi nafsu semata-mata. Cinta itu suci bukan mencalar maruah diri. Cinta itu mengangkat martabat bukan meruntuh kehormatan diri. Cinta sejati membuatkan yang lemah menjadi kuat dan miskin terasa kaya. Cinta menjadikan derita terasa bahagia.
Tetapi cinta Zakuan sungguh kejam! Cinta Zakuan membunuh jiwa Adelia Dayana. Diya bencikan Zakuan Helmi! Lelaki itu binatang! Lelaki itu meninggalkan dirinya tak ubah seperti bangkai yang sudah puas diratah nikmatnya. Tubuh Diya terkulai layu berbungkus selimut tebal bagai sekujur mayat yang kaku.
Azan subuh sayup-sayup kedengaran menyucuk telinga. Kelopak mata yang dipejam rapat dibuka perlahan-lahan. Air mata yang sentiasa mengalir keluar kali ini merembes laju membasah pipi. Susuk tubuh Zakuan sudah tiada namun mimpi ngeri yang ditinggalkan lelaki itu menjadi satu bayangan hitam yang terus menghantui diri Diya.
Wanita itu cuba untuk bangun tetapi seluruh tubuh seakan ditusuk sembilu. Terasa cukup sakit dan lemah tidak berdaya. Diya terus menggagahkan diri untuk bangun dalam keadaan diri yang cukup memilukan. Tangan yang menggigil menarik kejap kain selimut membungkus tubuh yang lemah. Kemudian dengan keadaan terhuyung-hayang, kaki melangkah menuju kamar mandi. 
Menatap wajah pada cermin saja sudah merobek sekeping hati yang sedia terkoyak. Wajah Diya pucat lesi umpama tiada berdarah dipenuhi lebam dan bengkak kesan penangan penampar bertalu-talu daripada Zakuan. Dahi dan bibir terkesan dengan luka yang sudah kering darahnya. Penangan yang bukan sekadar memberi kesan fizikal malah impaknya hingga ke dasar hati. Biar masa berlalu, walau setiap inci parut, calar dan lebam itu hilang dari pandangan mata, hati yang terluka belum tentu sembuhnya.
Diya membiarkan air pancutan seperti hujan membasahkan seluruh tubuh yang bersandar lemah pada dinding kamar mandi. Lebatnya pancutan air itu selebat air mata yang terus-terusan mengalir di pipi.
Tatkala Diya memejamkan mata, kejadian semalam yang baru memalitkan sejarah paling hitam dalam hidupnya berputar kembali dalam kotak ingatan. Diya meraung sekuat hati. Raungan pilunya bergema memenuhi bilik kecil itu. Kedua kakinya menghentak-hentak lantai yang basah. Jari yang menggigil menggosok-gosok kedua-dua belah lengan umpama menyental ‘perasaan jijik’ yang memalit tubuh sendiri.
Perilaku Diya tak ubah seperti orang yang tidak siuman. Hampir sejam dia berkeadaan begitu hingga akhirnya tubuh malang itu terkulai layu di atas lantai yang basah. Selimut lencun yang membalut tubuh digenggam kejap. Hujung selimut diketap kuat dengan gigi. Diya menggigil kesejukan.
Diya terus menangis dan meraung. Kesucian dirinya telah direntap dengan zalim. Zakuan membunuh kebahagian Diya dalam sekelip mata. Diri dirasakan kotor. Air pancutan yang berterusan mengalir membasahkan tubuh juga tidak mampu membasuh kotoran pada diri yang telah ternoda. Masa tidak dapat diputar kembali. Air mata darah sekalipun tidak dapat mengembalikan maruah diri yang direntap tanpa rela.
Subuh kali ini adalah subuh paling memilukan dalam hidup Diya. Untuk berdiri tegak pun terasa tidak mampu lagi. Tatkala mengangkat takbir untuk solat subuh, air mata Diya jatuh bercucuran. Bahu Diya terhenjut-henjut dengan sebak mengisi ruang hati. Diya rasa kecewa… sedih… dan pilu. Dirinya belum dapat menerima ujian Allah yang cukup berat dirasakan. Malah diri juga terasa cukup hina dan kerdil untuk ‘berdepan’ dengan Nya.
Hati Diya meraung. “Mengapa harus ujian begini? Kenapa harus aku?”
Air mata semakin lebat jatuh membasah pipi. Kaki semakin lemah dan akhirnya tubuh Diya rebah terkulai di atas kain sejadah. Diya menangis semahu-mahunya hingga basah kain telekung yang membalut diri. Dia tak ubah seperti anak kecil yang menangis mahukan ibunya.
Sukar untuk diri Diya menelan takdir dan pasrah dengan ujian ini. Diya menadah tangan memohon ampun pada Allah. Diya merintih memohon hidayah dan kekuatan daripada Allah agar dapat menerima qadak dan qadar ini. Diya mohon agar imannya tidak terpesong oleh perasaan amarah dan kecewa yang membelenggu di hati.
Setelah mengumpulkan kekuatan, Diya gagahkan diri untuk kembali berdiri tegak bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah. Sebak dan air mata terus mengiringi solat subuh yang cukup memilukan sepanjang hayat Diya. Usai solat subuh, sekali lagi Diya merintih dan berbicara pada Allah dalam doa agar dirinya diberi kekuatan dan hidayah dalam menempuhi dugaan dan ujian ini.
Sejak kecil Diya diajar bahawa manusia hidup untuk diuji. Segala ujian daripada Allah bukan suatu kezaliman Tuhan kepada hambanya tetapi setiap ujian adalah kayu pengukur tahap keimanan hambanya. Keyakinan dan kepercayaan hamba terhadap Allah hanya dapat dinilai setelah hamba itu diuji. Sebagaimana keberanian dan kehandalan seorang pahlawan hanya dapat dilihat setelah dia berjuang di medan perang. Begitulah manusia, hanya dapat terbukti keimanannya setelah iman itu diduga.
Dan kini Allah sedang menguji dirinya. Diya merasa tidak berdaya untuk memikul beban dugaan yang cukup berat ini. Hati terasa lemah selemah mental dan fizikal yang sudah terkulai layu di atas hamparan sejadah. Diya menangis lagi… menangis dan terus menangis.
Adakah Adelia Dayana akan menghabiskan sisa hidupnya dengan terus menangis dan meraung sepanjang hayat? Diya tidak tahu. Saat ini wajah ayah dan ibu bermain dalam fikiran yang berkecamuk.
“Ayah… ibu… Diya tak sanggup… untuk hidup pun Diya tak sanggup…” Diya terus merintih pilu sehingga dia terlelap tidak sedarkan diri.


Sejak seminggu lalu, telefon bimbit Diya langsung tidak disentuh. Sudah banyak panggilan masuk tidak berjawab begitu juga mesej yang langsung tidak dibaca. Sejak seminggu lalu Diya bukan Adelai Dayana yang dulu. Awan mendung telah menyelubungi kehidupan Diya menutupi sinar mentari dan warna-warna pelangi indah. Langit malam juga tiada lagi berbintang dan bertemankan bulan. Segala-galanya hanya gelap. Kegelapan yang memilukan.
Selama seminggu juga Diya terperam di dalam rumah dan hidup terasing daripada dunia luar. Makannya tidak menentu dek hilang selera. Diya diselubungi kemurungan kerana tekanan emosi yang menekan perasaan. Hakikatnya Diya hilang keyakinan diri. Gadis malang itu sudah hilang semangat untuk melangkah keluar dari rumah dan berdepan dengan kehidupan luar. Diya merasakan kehidupannya sudah musnah. Zakuan telah meragut kehidupan Diya!
Diya telah emailkan surat meletak jawatan kepada Tuan Rahmat. Dia sudah tidak boleh bekerja di situ lagi. Semua memori yang berkaitan Zakuan ingin dilenyapkan dari ingatan. Zakuan adalah memori pahit yang paling ingin dilenyapkan dari kotak ingatan.
Setelah seminggu mengurung diri, suatu petang Diya keluar rumah dan memandu kereta tanpa arah tuju. Dia ingin menenangkan fikiran tetapi bayangan Zakuan terus mengekori bagaikan satu mimpi ngeri yang menjelma di dunia nyata. Diya membawa diri ke pusat membeli-belah yang sesak dengan manusia.
Wanita itu berjalan tanpa arah tuju. Diya melangkah tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya. Beberapa kali Diya berlanggar bahu dengan manusia yang berjalan bertentangan dengannya. Amarah mereka tidak Diya peduli. Langkah kakinya terus diatur seolah-olah dia pekak untuk mendengar kata-kata amarah yang dilempar padanya.
Akhirnya dia penat untuk terus melilau tanpa arah tujuan. Diya mengatur langkah untuk pulang ke rumah semula. Dia keluar dari pusat membeli-belah menuju ke arah kereta Myvinya. Ketika hendak melintas jalan juga Diya langsung tidak memandang kiri dan kanan. Kakinya melangkah tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu lalang di atas jalan. Merasakan nyawa sendiri seperti sudah tiada berharga lagi.
“Breeekkkk…” sebuah Perodua Kancil memberhentikan kereta secara mengejut. Diya pula jatuh terduduk di atas jalan dengan dada berombak kencang.
“Cik tak apa-apa ke?” soal pemandu wanita yang bergegas keluar dari kereta dan mendapatkan Diya.
Diya tidak menjawab sebaliknya terus tertunduk memandang tar dengan air mata yang mulai deras mengalir di pipi.
“Cik…” Wanita itu menyentuh bahu dan kemudian mengangkat dagu Diya untuk melihat wajah orang yang hampir dilanggarnya sebentar tadi.
“Diya!” Wanita itu terjerit kecil apabila wajah di depannya cukup dikenali. Pertemuan yang mengejutkan.
“Kenapa dengan kau ni Diya? Er… bangun dulu. Kita masuk dalam kereta dulu,” putus wanita itu seraya memapah Diya untuk berdiri. Diya tidak membantah sebaliknya hanya menuruti wanita itu menuju ke arah kereta.


Diya dibawa Nur pulang ke rumah sewanya. Maira, teman serumah Nur yang juga rakan semasa mereka sama-sama belajar dulu sungguh terkejut menyambut kedatangan Diya. Semakin terkejut melihat keadaan Diya yang tidak terurus. Dengan keadaan penuh emosi, Diya ceritakan segala-galanya pada Nur dan Maira.
“Kau kena kuat Diya. Pasti ada hikmah Allah beri ujian ini pada kau. Kau kena kuat. Yakin Allah pasti bantu kau,” Nur meniupkan semangat dalam diri Diya. Tuhan, berilah kekuatan pada sahabatku ini. Apa yang dilalui Diya adalah satu mimpi ngeri pada semua kaum Hawa.
“Aku tak kuat Nur. Aku takut… malu… aku jijik Nur.” Diya kelihatan cukup lemah dengan wajah pucat dan tidak bermaya. Siapa sangka gadis riang ini akan sekusut ini hidupnya. Sejak tadi air mata tidak kering membasah pipi. Mata Diya juga sudah sembam.
Diya tidak tahu apa pandangan Maira dan Nur terhadap dirinya. Adakah kata simpati mereka hanya satu topeng semata-mata, sama seperti topeng yang dipakai Zakuan? Oh! Betapa kejujuran dan keikhlasan sukar dinilai tatkala diri sudah hilang kepercayaan.
“Kau tak salah Diya. Kau tak jijik… kau mangsa Diya, kau menjadi mangsa… bukan kau yang merelakan. Kau bukan berbuat dosa zina sebaliknya kau mangsa nafsu serakah manusia. Kau tak salah Diya…” Nur raih jemari Diya yang terasa dingin. Jemari itu digenggam erat umpama menyalurkan kekuatan di situ.
Diya angkat muka menatap raut simpati pada wajah Nur. Ada sinar kejujuran dan keikhlasan pada wajah mulus itu. Mudah sekali hati yang walang disentuh rasa terharu dengan keikhlasan yang dihulurkan.
“Aku tak kuat… aku malu Nur…” rintih Diya. Air mata kian lebat membasah pipi. Nur dan Maira terdiam dipagut simpati.
“Kau dah beritahu keluarga kau?” soal Nur inginkan kepastian.
Diya geleng lemah. Ya Allah, macam mana nak cakap pada ibu dan ayah? Along dan Kak Ngah lagi. Aku tak kuat ya Allah. Apa perasaan ibu nanti? Pasti hancur luluh hati ibu kelak.
“Errr… ada buat laporan polis,” Maira pula menyampuk setelah sejak tadi hanya menjadi pendengar.
Sekali lagi Diya menggeleng. Sendu semakin rancak berirama. Segalanya semakin serabut umpama gumpalan benang yang bersimpul mati. Tak mungkin dapat dileraikan lagi.
Pada Diya, laporan polis juga tidak dapat mengubah apa-apa. Zakuan dari keluarga berada. Pasti tidak mudah untuk lelaki itu tunduk pada kesalahannya. Diya sendiri tidak kuat untuk turun naik mahkamah. Berdepan dengan hujah-hujah peguam dan membongkar aib sendiri di kandang mahkamah. Sungguh! Dia tidak kuat. Bagaimana jika kesnya mendapat liputan meluas media-media massa? Aibnya bakal dijaja dan maruah keluarga juga akan tercalar.
“Aku takut…” Nur paut bahu Diya merapati tubuhnya lalu Diya dipeluk erat. Simpati dan belas kasihan melimpah dalam hati tertumpah buat temannya ini.
“Kau jangan takut. Walau apa pun yang terjadi, aku akan ada di sisi kau. Aku tak akan biarkan kau laluinya seorang diri. Kau jangan takut ye…” bisik Nur seikhlas hati.
“Nur... Maira...terima kasih,” ucap Diya penuh rasa terharu.
“Sama-sama. Emmm… aku rasa elok kau pindah tinggal serumah dengan kami. Aku pun duduk berdua saja dengan Maira. Kau tinggal dengan kami lebih selamat daripada tinggal seorang. Macam mana?” cadang Nur. Maira angguk menyokong cadangan Nur itu.
Diya mengangguk tanpa berfikir lagi. Rumah itu harus ditinggalkan. Diya tidak sanggup lagi tinggal di rumah yang memalit peristiwa hitam dalam hidupnya.


Sudah dua bulan peristiwa hitam itu berlalu. Selama hampir dua bulan juga Diya sudah meninggalkan rumah sewa yang menjadi latar tempat tragedi pahit itu. Kini Diya memulakan hidup baru dengan tinggal bersama rakan sekelasnya semasa belajar dulu. Nur dan Maira banyak membantu untuk memulihkan semangat dan keyakinan diri Diya. Alhamdulillah, Diya kini lebih kuat dan tabah. Satu perkara yang benar-benar berubah dalam diri Diya adalah persepsi gadis itu tentang cinta dan lelaki.
Dia trauma pada cinta! Bukan kerana pernah kecundang dalam percintaan juga bukan kerana terluka ditinggalkan lelaki yang dicintai. Diya kalis cinta kerana adanya manusia yang mengkhianati erti cinta sebenarnya. Cinta itu suci dan naluri yang indah dianugerahkan Allah dalam hati  Adam dan Hawa. Tatkala manusia sendiri mengkhianati perasaan suci itu, cinta akan menjadi racun yang memusnahkan hati. Laksana pengkhianatan yang dilakukan Qabil hingga tergamak membunuh saudaranya Habil.
Cinta sejati wajarnya memandu manusia mendekati kebahagian hati yang dekat pada Ilahi. Sebaliknya manusia yang mengkhianati erti cinta akan mencampak cinta mereka dalam lubang sengsara. Daripada memperjudikan diri pada cinta manusia yang menyakitkan, Diya lebih rela kalis cinta.
Diya sering mengingatkan diri agar tidak terleka oleh buaian perasaan. Cinta itu indah pada awalnya sebelum pahit dirasa setelah hilang manis madunya. Sebagaimana Zakuan yang menyedut madu dan meninggalkan Diya seperti sepah yang dibuang kerana tiada manisnya lagi.
Sejak peristiwa pahit itu, Zakuan tidak pernah muncul lagi. Lelaki itu ghaib begitu saja. Malah Diya sendiri tidak mahu memikirkan tentang lelaki itu. Tidak tahu perasaan apa dalam hati andai lelaki itu muncul kembali. Dendam? Marah? Dua gabungan yang akan mencetuskan kekacauan hati!
“Diya, tengok cerita apa?” sapa Maira yang mula melabuh punggu di sofa sebelah.
Diya berpaling memandang Maira. Temannya ini telah membantu Diya mendapatkan pekerjaan baru setelah hampir sebulan menganggur. Segelas mug berisi air milo suam dihulurkan Maira kepada Diya. Mug bertukar tangan.
“Errr… cerita…” terkebil-kebil Diya hendak menjawab. Bagaimana nak jawab kalau sejak tadi fikiran Diya jauh melayang. Tidak fokus terhadap televisyen yang dibiarkan terbuka.
“Kerja kau setakat ni macam mana? Ok?” soal Maira mengubah topik. Faham benar dengan Diya yang gemar mengelamun.
Diya tersengih. Kantoi la duduk mengelamun sambil bazirkan eletrik dengan biarkan televisyen terpasang tak bertonton. “Ok. Thanks la kau tolong aku dapatkan kerja tu.” 
“Bagus la. Hujung bulan ni boleh belanja makan aku dengan Maira. Meraikan gaji pertama di tempat kerja baru. Apa macam?” seloroh Nur yang muncul dari dapur bersama sebungkus kerepek pisang.
No problem punyo!” ujar Diya bersama senyum manis. Apa la yang nak berkira setakat belanja makan berbanding budi baik Nur dan Maira yang telah banyak membantunya.
Mereka bertiga menonton televisyen sambil menjadi pengkritik tak bertauliah. Drama telefilem bersiaran di Astro Ria agak menarik walaupun barisan pelakonnya kurang dikenali. Sambil menonton mereka makan kerepek pisang yang dibeli daripada kak Salbiah, rakan pejabat Nur. Kerepek yang rangup dan tidak begitu masin itu terasa enak dimakan sambil menonton televisyen.
Tiba-tiba tengkuk Diya terasa mual. Niat untuk mencapai sekeping lagi kerepek pisang terbantut. Jemarinya dibawa ke dada lalu bahagian tersebut diurut lembut. Rasa mual tidak hilang malah semakin menjadi-jadi. Kini kepala pula terasa pening dan berdenyut-denyut.
“Kau ok tak Diya?” soal Maira yang perasan akan keadaan Diya yang pelik. Urut-urut dada macam nak muntah saja. Muka berkerut dan kelihatan pucat. Apa hal pula ni?
“Nak muntah ke?” soal Nur yang hilang fokus menonton apabila mendengar teguran Maira pada Diya.
Diya tidak menjawab. Jika tadi tengkuk terasa mual, kini perut pula terasa sebu. Dirasakan wajahnya kering dan seram sejuk. Seperti ada sesuatu yang mula naik hingga ke tekak. Dengan tangan kanan menekup mulut, Diya laju meninggalkan Nur dan Maira tercengang di situ dan menerpa ke arah dapur.
Sebaik saja tiba di sinki, Diya membongkok dan memuntahkan kerepek pisang yang baru dimakan. Malah makanan yang masuk dalam perut semasa makan malam tadi turut keluar bersama. Tekak terasa perit dan kepala semakin pening.
“Kau tak sihat ke Diya?” soal Nur bernada bimbang sambil jemarinya mengurut lembut di  belakang Diya.  Diya geleng lemah. Diya tidak tahu mengapa tiba-tiba dia terasa mual dan pening. Nak kata demam tadi elok-elok saja.
“Kau naik rehat dalam bilik la. Ke nak pergi klinik?” suara Maira yang terjenguk di muka pintu dapur. Dia turut bimbang.
“Tak payah pergi klinik la. Aku rehat dekat atas je. Lepas tidur ok la kot,” ujar Diya seraya melangkah lemah untuk masuk ke bilik tidurnya. Maira dan Nur akur. Langkah lemah Diya diperhatikan dengan perasaan bimbang berbaur simpati.
“Aku harap sakit biasa je. Jangan jadi benda lain sudah,” bisik Maira pada Nur tatkala Diya sudah menghilang ke dalam bilik tidurnya.
Kening Nur berkerut. Faham dengan apa yang dimaksudkan oleh teman serumahnya itu. Jauh di sudut hatinya berbisik perkara yang sama. Kuatkah Diya andai itu terjadi? Nur hanya berdaya memandang anak tangga yang baru didaki Diya dengan renungan mata yang sayu. Diya… Hati kecil Nur sayu berbisik.
***********************************

7 comments:

  1. terima kasih jg pd Wani Nordin...sbb dia byk bg semangt pd mawar...tq friend! ^_^!

    ReplyDelete
  2. tk sbr tggu diterbitkan,,adakah rania akah jd org ke 3,,,huhhuhu

    ReplyDelete
  3. best gila... huhu, x sbar nk tnggu novel...

    ReplyDelete
  4. ramainye org ke3?tahniah atas novel yg best ni..hopefully semua dipermudhkn..xsbr nk tau kesudhnnyer..

    ReplyDelete
  5. kesian maira.... hidup bermadu......
    diya...... bilakah kan terbuka hatimu utk menerima zahil seadanya....
    zahil.... moga terus sabar n tabah menghadapi karenah diya....jgn pernah berhenti berusaha memenangi hati diya...

    ReplyDelete
  6. kak mawar.. kalau dah jadi buku nanti cakap ye sape penerbitnya.. hihi.. citer ni best sangat sangat!! saya start baca pagi tadi tup2 malam da smpai sini da... hihi.. tak sabar ni tunggu buku hope cepat2 terbit ye kak... In Sya Allah :))

    ReplyDelete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.