ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)

ISTERI AKU KALIS CINTA (IAKC)
“Saya harap, saya benar-benar kalis cinta. Saya tak mahu mencintai awak. Saya terlalu ingin membenci awak. Andai masa dapat diundur, saya nak perkahwinan ini tak pernah terjadi supaya saya tak akan pernah memberi hati pada awak.”

Terima Kasih kerana menjadi Follower ^_^"


PERHATIAN!
SELAMAT MEMBACA ^_^! TERIMA KASIH KERANA MELAWAT p/s:kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai... kejujuran pembaca untuk tidak menciplak dan copy karya saya adalah amat2 dihargai...



Monday, January 20, 2014

SUMPAHAN PUTRA DAN KASUT CINDERELLA the new series



Oleh: MAWAR KAMILA
“Oi! Siapa yang parking kereta kat sini? Punya banyak parking kosong, kat bontot kereta aku juga dia nak parking kereta!” Dalila mengomel seorang diri. Apa punya manusia la, tak ada sifat keprihatinan betul!
Kesabarannya teruji saat ini. Berdiri di bawah terik mentari dan terpaksa menghadapi masalah begini sungguh membakar kesabaran gadis kecil molek itu. Sambil mulut membebel, matanya melilau kalau-kalau pemilik kereta tersebut menghampiri.  
Sepuluh minit berlalu tetapi tiada sesiapa yang datang. Dalila sudah tergaru-garu kepala yang bertudung. Habis herot-petot tudung aku! Siapa manusia yang genius sangat parking kereta kat sini ni? Panjang umur la kau, datang ke sini cepat... Ya Allah...
Tanam sayur orang bina batas, tanam kesabaran dalam diri pun punya batas. Dan kini tahap kesabaran Dalila membatasi tahap kesabaran dalam diri. Kalau ada kuasa superpower, dah lama kereta manusia ini dicampak jauh-jauh. Padan la dengan sikap pemiliknya yang menyusahkan orang lain!
“Eeee!!! Mana tuan kereta ni? Bawa kereta besar tapi parking kereta tak reti! Menyusahkan orang!” Dalila membentak-bentak kakinya.
“Ish! Geram betul!” dek sakit hati yang memuncak, selamba saja kaki kanan Dalila menghayun sepak terajang.
“Prak!” tepat sekali terajang Dalila yang padu itu mematahkan plat di hadapan kereta mewah itu.  ‘Glup!’ Dalila telan air liur.
“Mampus! Kuat sangat ke aku tendang?” Alamak! Satu hal pulak benda alah ni patah.  Tadi marah sekarang cuak.
“Woi! Kau buat apa dekat kereta aku tu?” pekik seorang lelaki yang sedang berjalan menghampiri Dalila. Lelaki itu dipandang Dalila dengan wajah tegang.
Dalila dapat mengandaikan lelaki itu pemilik kereta tersebut. Hilang rasa takut kerana merosakkan plat kereta itu kini perasaan marah kian meluap.
Hah! Manusia ni rupanya. Alhamdulillah, manusia ni dipanjangkan umur oleh Allah. Tak la aku tercangak tunggu sampai naik meroyan.
Mereka berdua sudah bertentang mata. Dalila siap cekak pinggang lagi. Cuma asap je belum keluar dari telinga macam cerombong asap kereta api.
“Apa ‘woi...woi’? Ingat saya ni binatang ke main ‘woi...woi’ je,” bidas Dalila dengan nada yang keras. Harap je ada rupa tapi bahasa...  Sambil itu hatinya turut mengkritik lelaki tinggi lampai itu.
Sinis saja lelaki itu mengukir senyuman. Diulang! Senyuman sinis, bukan senyum manis. “Tak kisah la apa-apa pun. Yang kau berdiri dekat kereta aku ni kenapa?” kasar sekali nada lelaki itu. Siap tayang muka bongkak lagi. Makin terbakar hati Dalila. Nampaknya perbuatan Dalila tadi tidak dilihatnya.
Hek eleh mamat ni, angkuh ya ampun! Berapi saja hati Dalila berdepan lelaki itu. “Awak tanya saya kenapa? Hei! Bawa kereta besar tapi tak reti parking ke? Yang awak halang kereta saya ni kenapa? Apa parking ni bapak awak  punya!” sembur Dalila. Kalau dia tak reti berbahasa tak payah aku nak berlapik kata dengan dia.
Lelaki itu menjeling ke arah kereta Dalila. Dengan muka berlagak tanpa secalit riak serba salah malah bertempek-tempek dengan riak keangkuhan, bibir lelaki itu terus menyungging senyum sinis. Hati Dalila pula kian diamuk sakit yang amat melihat tingkah lelaki itu.
“Oh my God! Kereta ke tu?” Lelaki itu pura-pura bertanya dengan gaya yang menjengkelkan. Siap betul-betulkan cermin mata hitam yang melindungi sepasang mata yang entah-entah juling. Mana tahukan...
Gerrr... Berasap bau hangit jer hati Dalila saat ini. Gadis itu sudah tidak dapat bersabar lagi untuk terus berhadapan si bongkak ini. Hati yang panas sudah hangus. Gadis itu melangkah menghampiri kereta kancilnya. Beralah saja la Dalila oi. Mamat tu pun dah nak blah. Kau buat tak nampak je kereta dia tu. Hati Dalila masih cuba memujuk diri.
 Lelaki itu masih berdiri memerhati tingkah Dalila membuka pintu kereta kancilnya. Gadis itu berkalih semula apabila dia menyedari lelaki itu masih belum berganjak.
Tadi berlagak sangat, ni tak berambus-berambus lagi apasal? Takkan dah kena tulah jadi tiang lampu sebab bongkak sangat tadi!
“Tak reti-reti lagi nak jauhkan kereta awak tu? Saya nak keluar!” jerkah Dalila.
Lelaki itu terus menyungging senyum sinis. Bengkak benar hati Dalila melihat senyum sinis yang memaksudkan penghinaan terhadap kereta Perodua Kancil miliknya. Tahu la kereta saya tak sehebat Nissan Skyline GTR35 awak tu. Tak payah la berlagak sangat. Masuk kubur tak bawa kereta sekali la! Di akhir nanti awak naik van jenazah juga sama macam saya. Tak ada kancil! Tak ada Nissan Skyline GTR35 awak tu!
Lelaki itu kemudian memboloskan diri dalam kereta dan menghidupkan enjin. Namun sempat dia menurunkan cermin tingkap dan memandang Dalila melalui tingkap yang terbuka luas.
“Kereta kau tu sepatutnya tambat dalam kandang, bukan letak dekat parking!”
Saat itu Dalila sudah hilang kesemua kesabarannya. Spontan gadis itu mencapai kasut tumit tingginya lalu ditujukan pada lelaki itu. Balingan jitu Dalila tepat menjunam di bibir lelaki bongkak dalam kereta itu.
 “Ouch!”Lelaki itu meraung kesakitan. Bibir yang ‘mencium’ kasut tumit Dalila ditekup. Air mukanya menggambarkan keperitan. Kini dengan wajah membengis, lelaki itu menapak keluar dari kereta. Pintu kereta dihempas kuat.
Merah padam wajah bengis itu menikam air muka Dalila yang langsung tiada secalit gentar. Bibir lelaki itu sudah mulai membengkak dengan cecair merah mengalir dari luka kecil. Kaca mata hitam ditanggalkan. Tak juling rupanya. Tapi iris mata berwarna hazel itu sedang  mencerlun tajam ke arah Dalila.
Dalila tetap tidak takut. Malah wajahnya juga cukup bengis saat ini. Sebelum sempat lelaki itu menghampiri, Dalila mencapai sebelah lagi kasut tumit tingginya lalu diacukan seakan mengugut untuk membuat serangan kedua.
Lelaki itu merengus kasar. Ugutan Dalila itu ternyata berhasil. Lelaki itu mengenakan kembali kaca mata hitamnya dan masuk semula ke dalam kereta Nissan Skyline GTR35 miliknya. Setelah itu, Nissan Skyline GTR35 itu meluncur laju meninggalkan kawasan parking kereta tersebut.
Kini giliran Dalila pula untuk tersenyum sinis. Padan muka! Tak pasal-pasal bibir kau dah jadi bibir negro. Bukan main tebal lagi. Hati yang sakit rasa puas.
Dalila kemudian menyarung semula kasut pada kaki kirinya. Kemudian Dalila terkedu. Matanya membulat.
“Alamak! Kasut sebelah lagi!”
**********************************************************************
“Kenapa dengan muka you ni? Bibir you berdarah...” tegur Yana. Matanya membelek setiap inci wajah Putra.
Putra tidak menghiraukan Yana yang menyoal. Hatinya dirasakan lebih sakit dan pedih daripada bibir yang terkoyak akibat penangan kasut tumit tinggi tadi. Yana terus menghujani Putra dengan soalan. Tidak puas hati apabila lelaki itu terus berdiam diri.
“Biar I tengok. Mesti sakit sayang.” Yana menghampiri Putra lalu jemarinya menyentuh pipi Putra. Kononnya mahu melihat luka pada bibir Putra dengan lebih teliti.
Pergerakan Yana terhenti apabila lelaki itu menepis kasar tangannya. Wajah Yana berubah keruh. Geram apabila ditolak kasar begitu.
“You ni kenapa? I cuma nak tengok, bukan nak goda you pun,” ujar Yana sambil berpeluk tubuh. Walaupun niat menggoda itu ada, dia tetap menafikan hakikat tersebut.
Putra buat tidak dengar. Lelaki itu bangun dari sofa lalu mendaki anak tangga menuju ke kamar tidurnya. Yana merengus geram dengan sikap dingin Putra itu. Sakit hati kerana tidak dipedulikan lelaki pujaan hatinya.
Putra merebahkan tubuh di atas katil. Sakit hati dengan kejadian yang menyebabkan bibirnya luka dan rimas dengan perangai Yana yang tidak habis-habis mahu menggoda dirinya.
“Kenapa la minah sorang tu suka sangat menyemak dekat rumah aku ni. Apa villa papa dia tak cukup besar sampai datang menyemak kat sini. Tambah serabut otak aku je. Mama pun satu, suka bagi muka dekat minah tu. Macam aku berkenan buat bini!” Putra membebel seorang diri.
Lelaki itu lalu menghampiri almari cermin. Dibelek wajahnya yang sudah cacat akibat bengkak pada bibir. Darah merah dikesat dengan tisu. Kepedihan membuatkan matanya berair.
************************************************************************
Hanya kerana kasut yang ‘kehilangan’ pasangan, Dalila terpaksa menadah bebelan Fazura hampir sejam lamanya. Pastinya kerana kasut tumit tinggi itu hak milik Fazura yang dipinjamkan pada Dalila.
“Tu kasut kesayangan saya, Dalila. Saya beli dengan duit gaji pertama. Pakai dah bertahun tapi tak rosak-rosak. Kasut tu ada nilai tersendiri yang awak tak akan pernah faham!” Fazura terus meluahkan kekecewaannya.
“Saya minta maaf kan...” Dalila garu kepala.
“Senang-senang je awak bagi dekat orang!” Fazura bercekak pinggang sambil matanya menikam wajah Dalila.
“Mana ada saya bagi. Saya baling kasut tu sebab dia hina kereta saya!”
Jawapan Dalila dibalas Fazura dengan jelingan tajam. Ada saja yang nak dijawab minah ni. Sebab kancil liar dia tu, harta kesayangan aku yang tergadai. Fazura ketap bibir dek perasaan sebak yang mula menjalar. Namun air mata tetap gagal dari dikawal.
Aiseh! Ni aku lemah ni. Perempuan ni murah benar air matanya. Kalau ye pun sedih kasut dia lesap disapu mamat Nissan Skyline tu, takkan sampai menangis-nangis segala. Adoi!
“Oo...sebab dia hina kereta lapuk kesayangangan awak tu, awak baling kasut kesayangan saya. Kau memang selfish! Kau pentingkan kereta awak tapi kau langsung tak pedulikan kasut saya tu. Sampai hati awak Dalila.” Fazura sudah mula teresak-esak.
“Dia hina kereta saya, saya geram sangat. Saya lupa yang kasut saya pakai tu kasut awak. Tak sengaja la.”
“Tak salah pun kalau orang lain kutuk kereta kancil masuk bandar awak yang dah lapuk tu! Kereta kancil liar awak tu dah berpolka dot... polka dot macam naik panau pun ada. Dah selayaknya masuk kedai besi buruk, tahu?” selamba saja Fazura mengutuk kereta Dalila. Bukan dia tak tahu kereta tu cukup disayangi Dalila. Sengaja memanaskan hati teman serumahnya itu.
“Fazura... agak-agak la nak mengutuk kereta saya macam naik panau. Saya cuci kereta tu hari-hari. Fazura mandi pun tak sebanyak kereta saya mandi tau.” Dalila mempertahankan kereta kesayangannya.
“Ye, sebab tu la bil air rumah ni melambung je setiap bulan!” tempelak Fazura.
Dalila menunduk memandang lantai. Sudah tiada apa dapat dikatakannya. Rasa bersalah yang bersarang di dalam hati tidak dapat memadamkan amarah Fazura. Fazura langsung tidak mahu mendengar sebarang alasan Dalila lagi. Kasut kesayangannya kini sudah tidak sempurna.
“Sorry la Fazura. Mana saya sangka hal nak jadi macam ni. Saya dah cakap tak nak guna kasut Fazura tu. Tapi awak degil suruh guna kasut tu. Bawa tuah la konon. Masalah yang datang ada la...” Dalila terus berhujah.
Fazura geram ditempelak Dalila. Dia berpeluk tubuh dan duduk membelakangi Dalila. Masih tidak mahu berlembut.
“Fazura, jangan macam ni. Saya janji, cari balik mamat tu, saya minta balik kasut yang sebelah lagi tu.” Dalila menghampiri Fazura. Lalu bahu temannya itu diusap lembut.
“Saya janji. Saya cari balik.” Dalila meyakinkan Fazura. Fazura mengangguk lemah lalu membiarkan Dalila memeluk erat tubuhnya. Sedikit terpujuk hati yang sedih.
****************************************************************************
Dalila pening kepala memikirkan di mana dia hendak mencari lelaki bongkak yang telah dilempar dengan kasut Fazura tempoh hari. Sudah tiga hari dia berfikir tetapi belum mendapat apa-apa idea.
“Dalila tengah fikir dekat mana nak cari lelaki tu ke?” soal Fazura seolah-olah dapat membaca fikiran Dalila.
Dalila berkalih melihat Fazura yang mengambil tempat di sofa sebelahnya. Sesekali dia mengeluh mengenangkan masalah itu. Fazura sudah mulai tenang. Tidak lagi emosi seperti tiga hari lalu.
“Tak payah awak susah-susah fikir lagi. Aku tak kisah kalau tak dapat balik kasut tu,” suara Fazura tetapi matanya masih tidak lari dari memandang kaca televisyen.
Terbuntang mata Dalila. Terkejut mendengar kata-kata Fazura. Tangan kiri Dalila menyentuh dahi Fazura.
Demam ke minah ni? Tiba-tiba je... Getus hati Dalila.
“Saya serius la. Tak payah buat muka terkejut beruk awak tu. Tak tengok pun dah tau hodoh,” ujar Fazura membuatkan Dalila tersenyum gembira. Gembira dirinya telah dimaafkan dan gembira Fazura tidak lagi bersedih.
“Thanks Fazura. Tapi saya dah janji dengan kau. So, saya akan tepati janji tu,” balas Dalila dengan nada lebih semangat.
Fazura senyum mendengar kata-kata Dalila. Sahabatnya yang satu ini sememangnya sentiasa menepati janji. Bertambah rasa sayangnya pada Dalila.
“Kalau awak dapat balik ok la. Tapi kalau tak dapat pun saya tak kisah. Lagi pun, kalau awak jumpa lelaki tu belum tentu awak akan dapat semula kasut tu. Entah-entah kasut tu dah masuk tong sampah. Siapa nak simpan kasut sebelah je. Kalau ada pasangan boleh la dia lelong,” kata-kata Fazura disokong Dalila dengan anggukan.
Tetapi Dalila masih belum berputus asa. Hatinya kuat mengatakan lelaki sombong itu mesti masih menyimpan kasut tumit tinggi itu.
“Dia tak akan buang kasut tu. Saya pasti!” ujar Dalila yakin.
Fazura pandang Dalila. Dahinya berkerut. Keyakinan Dalila menarik keinginan untuk mendengar penjelasan lebih lanjut.
“Sebab bibir dia dah cium kasut tu. Mesti sayang nak buang. Ada nilai sentimental tu!” seloroh Dalila.
Dan penjelasan itu  mengundang ketawa mereka berdua.
****************************************************************************
“Putra, temankan I tengok wayang. I boring la duduk rumah je. Please...” Yana tidak putus asa memujuk Putra.
Putra merengus kasar. Rimas dia dengan kerenah gadis itu yang macam pokok lalang. Melentok sana sini. Mahu saja dia hambat gadis itu keluar dari rumahnya. Difikirkan dia sepupu sendiri, terpaksa la sabarkan hati. Selagi gadis itu tidak menyentuh batang tubuhnya dia masih boleh beralah.
“Buta ke? I tengah tengok tv ni. Esok-esok je tengok wayang. Apa guna beli tv besar-besar kalau tak tengok,” Putra bersuara keras. Langsung tidak dipandang Yana di sisi.
“Apa salahnya Putra temankan Yana tengok wayang. Kesian mama tengok Yana boring duduk di rumah saja,” Sampuk Engku Rahimah tiba-tiba.
“Kalau dia boring duduk rumah ni, balik la  rumah dia,” balas Putra selamba.
Engku Rahimah tak gemar mendengar bahasa anaknya. Dihampiri Putra lalu dia duduk di sofa sebelah anaknya. Remote tv dicapai lalu siaran tv ditukar.
“Kalau bukan dengan Putra, dengan siapa lagi Yana nak keluar? Pergi la temankan Yana. Kesian dia,” pujuk Engku Rahimah yang sudah mengambil alih penguasaan Putra terhadap tv.
Putra mengeluh lemah mendengar kata-kata mamanya. Kalau mamanya sudah bersuara, alamat terpaksa la Putra menurut kata. Jika tidak, bebelan mamanya akan membunuh telinga.
“Ye la. I pergi siap.” Hendak tak hendak saja Putra melangkah malas mendaki anak tangga.
Yana dan Engku Rahimah tersenyum kemenangan. Sebaliknya Putra bengkak hati mendengar hilai tawa kedua-duanya dari balik daun pintu kamar tidurnya.
***************************************************************************
“Eh! Kasut siapa ni Putra?” soal Yana ketika berada dalam kereta.
Kasut tumit tinggi warna merah yang cantik dipegangnya. Yana kemudian mencari pasangan kasut tersebut. Tiada di bahagian hadapan, matanya mencari di bahagian tempat duduk belakang. Putra hanya membatu. Tidak dihiraukan teletah Yana yang nampak beria benar mencari pasangan sebelah kiri kasut tumit tinggi itu.
“Putra, mana kasut sebelah lagi? Takkan sebelah je,” soal Yana setelah dia pasti kasut itu hanya sebelah saja. Putra merengus kasar.
“Kenapa you ni peduli sangat pasal kasut tu? Bukan kasut you pun,” marah Putra. Hati aku mula la nak berapi bila ingat pasal kasut tu. Panas aje ni. Lalu kasut itu diambil Putra dan dicampaknya keluar melalui tingkap kereta. Putra kemudian mulai memandu kereta keluar dari perkarangan villa keluarganya.
Yana tidak puas hati. Hatinya dihambat curiga. Rasa ingin tahu membuak di dada.
“At least bagi tahu I tu kasut siapa? Perempuan mana yang you bawa masuk dalam kereta ni!” Yana membentak. Teletah manjanya hilang dan kini gadis itu bagai kerasukan. Matanya mencerlun tajam menikam wajah tampan Putra.
Putra terkejut dengan perubahan sikap Yana. Tidak pernah gadis itu bersikap begitu walaupun Putra tidak pernah melayannya dengan baik.
“You ni kenapa?” soal Putra dengan nada keras. Kereta dipandu dengan hati yang baran dek sikap Yana itu.
Air mata menitis di pipi gebu Yana. Terhenjut-henjut bahu gadis itu menahan sendu. “Selama ni I sabar dengan sikap you. You tak pernah layan I dengan baik tapi I tak kisah sebab I yakin you tak pernah pandang perempuan lain. I tunggu you dapat terima I. Tapi I silap! You buat hubungan sulit dengan perempuan lain!” Esakan tangis Yana semakin rancak.
Putra tergamam. Pertama kali gadis itu menangis di hadapannya. Pertama kali juga Yana berkata begitu. Hati lelakinya dipaut rasa bersalah tiba-tiba. Rasa bersalah atas layanan buruknya pada sepupu sendiri.
“Kenapa Putra?” soal Yana setelah Putra hanya terdiam.
Putra mengangkat kening. Sekilas dia memandang Yana sebelum kembali fokus kepada pemanduannya. Mereka telah jauh meninggalkan villa keluarga Putra.
“Kenapa apa?” soal Putra semula. Nada lelaki itu mulai mendatar. Tidak lagi sedingin sebelumnya. Aku bukan lemah tengok air mata perempuan tapi aku rasa lain macam je bila minah ni buat perangai macam gini. Ye la, sebelum ni mengada-ngadanya mengalahkan anak kecil. Ini tetiba je berubah buat drama air mata pula. Pelik je rasa.
“Kenapa you tak boleh terima I? Kenapa you tak boleh menyintai I?” sayu Yana menyoal. Sikapnya berubah matang berbanding sebelumnya yang lebih manja seperti anak kecil.
Putra menarik nafas panjang. Tidak sampai hati mahu meluahkan perasaan sebenar pada gadis itu. Bimbang tidak dapat diterima.
“Kerana menyintai tak semestinya dicintai. I dah anggap you macam adik I. Dah tak boleh diubah.” Putra akhirnya bersuara. Nadanya juga tidak sekeras selalu. Begitu lunak pada pendengaran Yana.
“Putra...” Lembut Yana menyebut nama lelaki di sebelahnya itu. Putra hanya membisu. Sikap Yana mulai tenang. Malah gadis itu seakan berubah 180 darjah daripada sifat manjanya kepada sifat matang.
“Tolong ubah perasaan itu. Ubah perasaan sayang pada seorang adik itu kepada perasaan cinta pada kekasih,” kata-kata Yana mengejutkan Putra. Sampai hati kau Putra. Aku separuh mati menyintai kau sebaliknya kau buat aku begini. Adik? Adakah kasih sayang yang aku tunjukkan pada kau selama ini seperti kasih seorang adik pada abangnya? 
Putra mengeluh lemah. “Yana, please...”
Yana pantas memintas kata-kata Putra.
“I mencintai dan I nak dicintai. Bersumpah pada I, Putra. Bersumpah yang you akan cuba menyintai I dan tak akan pandang mana-mana perempuan. Sumpah yang you akan menyintai I! Hanya menyintai I!” Yana seakan mendesak Putra. Karakter Yana mudah sekali berubah-ubah. Sekejap manja, tenang dan matang manakala sekarang beremosi.
Putra masih berdiam diri. Hati lelaki itu dihambat keresahan. Tidak tahu apa harus diungkapkan untuk meredakan keadaan. Kedua-duanya dibelenggu suasana tegang.
“Hentikan kereta!” arah Yana tegas. Putra hanya menurut. Kereta dihentikan di bahu jalan.
Yana keluar dari kereta diikuti Putra. Putra menghampiri Yana. Lelaki itu terkejut melihat Yana bersandar pada kereta sambil menggenggam sebilah pisau lipat. Lebih mendebarkan apabila pisau lipat itu diacukan pada pergelangan tangan kiri Yana sendiri.
Dari mana Yana mendapatkan pisau lipat itu tidak dia ketahui. Mungkin ada dalam tas tangan gadis itu. Biasa la kalau kaum wanita membawa alatan begitu sebagai langkah keselamatan.
‘Glup!’ beberapa kali Putra menelan air liur. Wajah Yana kelihatan tenang walaupun air mata kelihatan bersisa di pipi.
Perempuan ni nak buat apa pulak ni? Ish! Takkan la nak bunuh diri kot. Buat lawak antarabangsa je perempuan ni bunuh diri pasal aku. Aku ingat dah matang, macam budak-budak betul!
Yana bertentang mata dengan Putra yang masih tidak mengambil endah situasi pisau yang berada di pergelangan tangan Yana.  Berani ke perempuan ni nak hiris tangan sendiri? Hati Putra mengejek.
Hati Yana tercalar melihat teletah Putra. Adakah I benar-benar tak berharga pada you? Kalau I mati pun, you tak pedulikan? You kejam Putra!
“Bersumpah you akan menyintai I sepanjang hayat you atau you kehilangan I sekarang. Dan you akan menyesal sepanjang hayat you,” ugutan Yana menjengkelkan Putra.
Cukup jelas ayat itu dituturkan Yana. Tidak bernada mengugut tetapi kata-kata itu berunsur ugutan. Putra tatap wajah Yana yang lencun dengan air mata.
Perempuan ni, bila la nak matang? Tak habis-habis nak main-main je. Macam mana la aku nak buat jadi isteri. Putra mengeluh bosan.
Pisau ditangan digenggam Yana lebih kejap. Sampai hati you, Putra. I akan buat you melutut pada I!
“I kira sampai tiga! Satu!” Yana mula mengira. Reaksi tidak endah Putra semakin mencalar hatinya.
Putra sisir rambut dengan jemarinya. Matanya memandang persekitaran yang sunyi daripada kenderaan lain. Lelaki itu bosan dengan sikap Yana yang padanya begitu kebudak-budakan. Nak berdrama pula perempuan ni. Kalau betul nak bunuh diri, tak payah la nak countdown segala. Ingat aku nak memujuk rayu ker? Tolong la, ni Engku Adam Putra Engku Adam Tajuddin! Megat Putra Adam tak pernah merayu pada sesiapa pun.
“Dua!” Yana masih tidak berganjak dengan ugutannya.
Putra tidak mahu mengikut perangai gila Yana. “Suka hati you la. I tak akan pujuk rayu you untuk berhenti dari buat kerja gila ni. I malas nak layan perangai you yang tak pernah matured langsung,” ujar Putra. Lelaki itu sudah berura-ura mahu masuk semula ke dalam kereta.
Yana ketap bibir. Sikap tidak endah Putra benar-benar merobek hati wanitanya. Putra sungguh kejam!
“Tiga!” Putra langsung tidak mengendahkan angka tiga yang diucap Yana. Lelaki itu boleh bersiul-siul lagi.
Yana renung Putra yang bersiul-siul dalam kereta. Wajah itu seolah-olah mengejeknya. Putra seakan tersenyum sinis dan mentertawakan dirinya. Yana sakit hati! Kecewa dan rasa tercabar!
Betul ke you tak akan pedulikan I? Baik la Putra, kita tengok setinggi mana ego you. Yana rapatkan mata pisau pada kulit di pergelangan tangan kirinya. I akan buktikan Putra. You akan melutut pada I!
Sesaat kemudian tangan kanan Yana laju menarik pisau lipat dalam genggaman. Mata pisau yang tajam mengelar pergelangan tangan gadis itu. Mata gadis itu terpejam dengan gigi mengetap bibir menahan kesakitan. Darah laju mengalir keluar. Pekat dan merah! Detik yang sungguh menyakitkan. Seakan Izrail turut hadir merentap tangkai nyawa! 
Darah mengalir keluar tidak henti. Pastinya mata pisau itu sudah memotong urat darahnya. Yana melepaskan pisau lipat dalam genggaman. Wajah gadis itu sudah berubah pucat. Lalu tubuh gadis itu perlahan-lahan rebah ke bumi.
Putra jelas tergamam dengan tindakan luar dugaan itu. Tidak berkelip matanya memandang darah merah yang mengalir dari pergelangan tangan Yana. Seakan nafasnya juga turut terhenti tatkala melihat tubuh sepupunya itu rebah ke tanah.  Putra pantas menerpa dan mencembung tubuh Yana lalu dimasukkan ke dalam kereta. Nissan Skyline GTR35  itu meluncur laju menuju ke hospital berdekatan.
***************************************************************************
“Pang!” satu tamparan hinggap ke pipi kiri Putra. Perit di pipi dirasakan hingga ke dasar hati. Tak berani Putra angkat muka menentang kemarahan papanya.
“Apa kau dah buat Putra? Kenapa boleh jadi sampai macam ni?”  soalan ibu saudaranya, Engku Wahida.
“Putra minta maaf mak usu, pak usu. Putra tak berniat pun nak sakiti Yana. Selama ni pun Putra sayangkan Yana macam adik Putra sendiri. Mungkin Putra tak pandai tunjukkan kasih sayang seorang abang. Jadi, Yana salah faham.” Hanya itu yang terdaya untuk diungkapkan.
“Salah faham? Salah faham tentang apa?” soal Engku Wahida.
Putra tunduk berdiam diri. Apakah tanggapan mereka dihadapannya jika mengetahui dirinya yang membiarkan tindakan bodoh Yana itu sedangkan dia berupaya menghalangnya. Putra mengutuk dirinya sendiri kerana membiarkan keadaan itu berlaku.
“Putra... Putra ingat Yana main-main...” Putra kemudian gigit bibir. Lelaki itu dihukum serba salah.
“Apa-apa terjadi pada Yana, kamu mesti bertanggungjawab Putra!” turun naik, turun naik dada Engku Wahida menjeling anak saudara tunggalnya. Kalau tak difikirkan itu anak saudara, sudah dibelasahnya lumat.
“Mama dan papa juga tak akan maafkan Putra!” sambung Engku Rahimah pula.
“Pesakit dah sedar,” beritahu jururawat yang baru memunculkan diri.
Mereka semua meluru masuk ke dalam wad mendapatkan Yana yang terlantar lemah di atas katil. Putra berdiri paling belakang dengan wajah yang sugul.
Dalam keadaan lemah dan muka yang pucat, Yana sedaya upaya cuba mengukir senyuman pada ahli keluarganya. Matanya sempat melirik mencari wajah Putra dan mereka bertemu pandangan. Namun tiada reaksi yang tergambar melainkan bahasa mata yang menzahirkan kelukaan hati Yana. Akhirnya, Putra menunduk serba salah.
******************************************************************************
Malam itu Putra menawarkan diri untuk menjaga Yana di hospital. Engku Wahida dan Engku Darus memberi keizinan agar Putra tidak dihimpit rasa bersalah. Marah papa dan mama Putra juga sudah mulai kendur apabila Yana berkeras mengatakan apa yang terjadi adalah kesalahannya sendiri dan Putra tidak bersalah. Putra pula terus diburu keresahan atas peristiwa yang tidak diduganya itu.
Yana tersenyum sinis di dalam hati. Ego Putra akhirnya tersungkur juga. Melihat saja wajah serba salah dipamerkan lelaki itu sudah cukup menggeletek hati Yana. Permainan nyawanya berjaya! Kau benar-benar gila Yana. Kau sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menundukkan ego Engku Adam Putra Engku Adam Tajuddin. Ah! Yang pasti sekarang aku dah menang.
Tapi Yana tahu yang permainannya belum tamat. Dia belum bergelar juara sepenuhnya. Putra belum berada dalam kawalannya. Putra harus merayu dan melutut. Baru berbaloi dengan pertaruhan nyawanya.
Jam ditangan menunjukkan pukul tiga pagi. Putra terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi daun pintu ditutup. Dia yang keletihan telah terlelap di sisi katil Yana. Putra menggosok-gosok kedua-dua belah matanya yang terasa masih berat. Setelah itu barulah Putra menyedari bahawa Yana tidak ada di atas katilnya. Putra mulai panik!
Putra mencari disegenap bilik wad tetapi Yana tidak dijumpai. Putra meluru keluar dari wad itu dan melangkah mengikut gerak hatinya. Putra ternampak kelibat Yana berjalan sendirian. Putra segera mengekori Yana.
Yana melangkah perlahan-lahan menuju atas bumbung bangunan hospital. Dia menyedari bahawa Putra sedang mengekori malah itulah perancangannya. Rancangan keduanya sudah hampir terlaksana. Yana tersenyum dalam hati.
Putra pula semakin berdebar apabila Yana menapak menghampiri penjuru kawasan bumbung bangunan itu. Lelaki itu panik.
“Yana! You nak buat apa tu?” jerit Putra sebelum sempat Yana memanjat tebing bangunan.
Yana senyum penuh kejahatan. Pastinya Putra sudah berpeluh jantan. Yana berpaling menghadap lelaki itu. Air mata sudah mulai deras membasah pipi. Air mata palsu yang telah memperdayakan Putra.
“I tak nak hidup lagi Putra! I tak nak hidup lagi!” Yana seperti hilang akal. Teresak-esak menangis dengan suara yang tidak jelas.
“You dah gila ke? You tahu tak itu dosa!” marah Putra. Lelaki itu menapak perlahan-lahan menghampiri Yana.
“Jangan pedulikan I! Selama ni pun you tak pernah pedulikan I. Buat apa you kisah I mati ke hidup. You pasti gembira bila I mati. Tak ada sesiapa akan ganggu hidup you lagi. Pergi! Biar I mati!” Yana menjerit-jerit seperti orang gila. Gadis itu beraksi seperti orang hilang kewarasan akal.
Caya la kau Yana! Putra betul-betul tertipu. Kau dah boleh menang anugerah pelakon wanita terbaik. Tapi untuk watak antagonis je.
“Yana! I mengaku I salah. I tak patut layan you macam tu. I salah! Jangan buat benda gila macam ni.” Putra berubah menggunakan pujukan yang lembut.
“Jangan dekat!” tegah Yana apabila Putra ingin menghampiri. Terus langkah Putra mati setakat itu.
Putra kematian cara. Dia buntu. Pujuk-memujuk bukan la kemahirannya. Kini dia hanya ada satu cara saja. Hanya ini caranya.
“I minta maaf Yana. I salah. I mengaku... I salah...”
“You hanya nak pujuk i! Tak ikhlas pun.” Yana masih ingin memanjangkan drama. Begitu teruja untuk mengetahui sejauh mana Putra mampu memujuk. Lelaki ni mana pernah memujuk!
Putra tarik nafas dalam. Perlahan-lahan tubuh direndahkan sehingga lutut bertemu lantai. Akhirnya Putra melutut di depan Yana. Hati gadis itu melonjak riang meraikan kemenangan. Ego sang bongkak tersungkur akhirnya.
“I merayu pada you... jangan buat macam ni,” rayu Putra dengan bersungguh-sungguh.
“Yana masih seperti tadi. Menangis teresak-esak dan masih tidak berganjak. Putra bangun lalu menghampiri Yana. Yana kesat air mata di pipi. Tangisan palsunya sudah tamat. Kini mereka saling bertentang mata.
“Bersumpah you akan mencintai I. Bersumpah you tak akan mencintai perempuan lain selain I. You mencintai I! Hanya I, Putra...” Yana memandang tajam ke dalam anak mata Putra. Menanti Putra bersumpah di hadapannya.
Putra menarik nafas dalam. Dalam terpaksa, lelaki itu mengangguk kepala beberapa kali. Putra buang ego melangitnya untuk kali ini. Takkan nak biar perempuan ni terjun kot.
“You belum berjanji...” Yana menyatakan keraguaan.
Putra telan air liur. “I janji, I sumpah. I hanya akan menyintai you sepanjang hidup I,” ujar Putra bernada tenang walau ketenangan begitu jauh saat lafaz ikrar itu diucapkan.
Biarpun bukan itu yang tertulis dalam hati Putra, lelaki itu mengungkapkan kata sumpahan itu kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. Dia tidak mahu menyesal sepanjang hayatnya jika Yana bertindak membunuh diri kerana dirinya.
Kali ini mungkin dia berjaya menghalang. Bagaimana jika gadis itu bertindak bodoh sebegitu lagi jikalau cintanya ditolak sekali lagi? Putra tidak sanggup menanggung penyesalan sepanjang hayat. Aku ni tak la jahat sangat sampai nak boleh berbangga kalau ada yang mati sebab aku!
Bibir Yana meret senyuman. Gembira. Hatinya puas kini. Dia berjaya memiliki lelaki itu akhirnya. Yana memeluk erat tubuh Putra. Putra tergamam.
“Erkkk...Yana, tak elok you peluk I macam ni,” ujar Putra sedikit teragak-agak menolak tubuh gadis itu yang bertemu dengan tubuhnya.
Yana tersenyum tawar. Alim la pulak mamat ni. “Sorry. Emmm, kalau gitu kita kena la cepat kahwin. Then, I boleh selalu peluk you,” bicara Yana penuh manja.
Putra senyum tawar. Perangai manja dia dah kembali! Apa lagi yang dapat dikatakan sedangkan dia sudah bersumpah pada Yana. Saat ini dirasakan seperti dia pula yang sudah membunuh diri. Kahwin dengan Yana? Putra pasrah.
***********************
Keluar saja dari hospital, Yana bersiap untuk berangkat ke US. Yana perlu menyambung pengajiannya di sana yang masih bersisa selama setahun. Biarpun berat hati untuk meninggalkan Putra, gadis itu akur jua setelah dipujuk oleh papa dan mamanya dengan lembut. Putra juga berjanji untuk menanti kepulangannya.
Oh Tuhan! Betapa mudahnya mengucap kata janji sedang hati sendiri tidak pasti mampukah diri memegang janji. Malah ikatan pertunangan telah diikat antara mereka. Sumpah Putra untuk setia sehingga gadis itu kembali mengikat dirinya. Yana meraikan kemenangannya dengan pesta ria di dalam hati.
“I sumpah hanya akan menyintai Puteri Ariyana Engku Adam Darus sepanjang hidup I.” Itulah sumpah yang terpaksa diangkat Putra semasa menghantar Yana di lapangan terbang. Namun jauh di sudut hati Putra, dia berharap agar dirinya mampu berpegang pada janji itu. Walaupun sumpah itu dibuat dengan hati yang tidak sepenuh rela.
*********************
Sumpah Putra pada Yana telah banyak merubah diri lelaki itu. Putra menjadi seorang yang pendiam dan gemar menghabiskan masa sendirian. Tidak lagi suka duduk berbual bersama papa dan mamanya sebaliknya banyak mengurung diri di dalam bilik.
Hakikatnya Putra berasakan kebebasannya sudah hilang. Dia berasa dirinya kini sudah diikat dengan satu sumpahan. Sumpah yang dibuat olehnya sendiri. Sumpah itu mengikat diri daripada mencari kebahagiaan dalam hidup.
Setiap saat Putra berasakan detik kepulangan Yana dari US semakin hampir. Putra tidak dapat membayangkan masa hadapannya bersama seorang gadis yang tidak dicintai. Penat dia memaksa hati tetapi semakin dipaksa, semakin dia terasa sesak di dalam dada.
Hati lelakinya menangis sendirian.
********************
Putra berjalan menghampiri Nissan Skyline miliknya. Dia baru sahaja keluar dari seven eleven selepas membeli sebotol air minuman. Belum sempat dia membuka pintu kereta, Putra dihampiri oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.
Putra berhadapan dua lelaki itu dengan wajah yang serius. Belum sempat dia bersuara, sebilah pisau rainbow dihunus oleh salah seorang dari lelaki itu. Mata pisau diacukan pada bahagian kiri perut Putra. Seorang lagi lelaki meminta Putra menyerahkan barang-barang berharganya.
Suasana sunyi dikawasan parking menyebabkan kejadian itu tidak dilihat sesiapa. Putra akur dengan bertindak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar belakang. Dompet itu dirampas kasar oleh perompak yang berdiri setentang.
Saat kedua-dua perompak itu sedang leka menanti dia menanggalkan jam tangan, Putra bertindak pantas menepis pisau yang diacu padanya. Pisau tercampak jauh.
Berlaku pergelutan antara Putra dan dua perompak tersebut. Pergelutan seakan menyebelahi Putra walaupun berada dalam situasi dua lawan satu. Ketika Putra membelasah salah seorang perompak itu, seorang lagi perompak yang tewas dalam pergelutan dan jatuh tertiarap  ke tanah telah bangkit dan bertindak mengambil pisau rainbow yang tercampak agak jauh dari tempat pergelutan berlaku.
Setelah mendapatkan pisaunya semula, lelaki itu meluru ke arah Putra lalu menikamnya. Dengan hanya sekali tikaman, pergerakan Putra terhenti. Mata pisau telah terbenam dalam perut Putra. Darah merah membuak keluar. Terketar-ketar tangan kanan Putra menyentuh pisau yang telah menembusi isi bahagian perut kanan. Matanya terbeliak manakala mulutnya tercungap-cungap menarik nafas yang dirasakan tersekat dikerongkong. Perlahan-lahan mata yang terbeliak kian layu. Darah membuak keluar menyebabkan tubuh semakin lemah.  Perlahan-lahan tubuh sasa itu rebah ke bumi.
Dua perompak itu kemudian mencapai dompet dan sempat mengambil jam tangan dan handphone milik Putra . Mereka kemudian terus melarikan diri. Putra dibiarkan tertiarap di tanah dengan berlumuran darah.
*******************
Dalila dan Fazura rancak berbual setelah keluar dari sebuah kedai. Ketika Dalila dan Fazura menghampiri kereta, mereka terperanjat apabila terpandang sekujur tubuh yang sedang tertiarap dengan perut tertusuk pisau serta berlumuran darah.  Fazura menjerit manakala Dalila menghampiri lelaki yang sudah tidak sedarkan diri itu.
Dalila memeriksa nadi lelaki itu. Masih berdenyut! Maknanya masih hidup.
“Dia masih hidup. Kita bawa dia ke hospital sekarang!” jerit Dalila pada Fazura.
Fazura terkejut. Dahinya berkerut memandang Dalila yang bertindak mahu mengangkat lelaki itu. Fazura begitu panik sehingga matanya tidak berkelip memandang sekujur tubuh yang sudah kaku ibarat sekujur mayat.
“Apa awak tercegat situ lagi? Cepat la tolong saya ni!” sergah Dalila apabila Fazura masih tidak berkutik.
“Er..kita panggil ambulan je la. Takkan kita yang kena bawa dia ke hospital.” Fazura nampak teragak-agak. Gadis itu rasa gementar berhadapan situasi begini.
“Tak sempat. Dia dah kehilangan banyak darah. Kita kena bawa dia cepat. Cepat la Fazura!” tegas Dalila.
“Errrkkk...darah tu merah menyala. Aku takut la Dalila...” Fazura sudah berkali-kali telan air liur. Mahu pitam dibuatnya melihat darah merah sebanyak itu.
“Mahsuri sorang je darah putih! Dah... dah... jangan nak mengada-ngada. Cepat tolong aku ni. Kita tak ada masa dah. Nadi dia semakin lemah ni.” Dalila menarik lengan Fazura.
Fazura akur jua membantu Dalila mengangkat lelaki itu masuk ke dalam kereta. Kereta Dalila meluncur laju membawa Putra ke hospital.
*****************************************************************************
Putra akhirnya sedar setelah dua hari koma. Lelaki itu kehilangan darah yang banyak. Mengikut laporan doktor, dia terselamat kerana segera di bawa ke hospital. Malah, lelaki itu bernasib baik kerana orang yang menghantarnya ke hospital dengan murah hati mendermakan darahnya untuk lelaki itu. Jika tidak, situasi akan lebih rumit kerana pihak hospital kekurangan stok darah jenis dimiliki Putra.
Engku Adam Tajuddin dan Engku Rahimah sudah tenang setelah kondisi anak mereka mulai stabil. Mereka mahu berterima kasih pada gadis yang telah menyelamatkan anak mereka tetapi gadis itu tidak lagi munculkan diri.
“Siapa yang selamatkan Putra, papa?” soal Putra setelah dia sudah mulai semakin pulih. Wajah lelaki itu sudah tidak lagi sepucat dua hari yang lalu. Putra bagaikan diberi nyawa kali kedua setelah sedar dari koma.
“Papa pun tak tahu. Doktor kata dua orang perempuan. Tapi mereka tak pernah datang lagi lepas selamatkan Putra.” Jelas Engku Adam Tajuddin.
Putra mengangguk lemah. Dia berasa terhutang nyawa pada dua gadis itu. Terutama pada gadis yang menderma darah padanya. Hatinya meronta-ronta mahu menemui gadis itu. Siang dan malam dia berdoa agar gadis itu datang melawatnya.
********************
“Assalamualaikum.” Dalila muncul di hadapan Putra. Lelaki itu masih dirawat di hospital untuk beberapa hari lagi.
Putra menjawab salam dari gadis itu. Dia agak hairan dengan kehadiran gadis yang tidak dikenalinya itu.
“Er... maaf sebab mengganggu awak.” Lembut suara Dalila sambil menghampiri Putra. Tiada sesiapa di situ kecuali mereka berdua.
“Awak siapa?” soal Putra. Matanya tidak lari dari menjamah wajah gadis di hadapannya itu.
“Awak tak ingat saya? Saya yang masa kejadian dekat parking kereta sebulan lepas. Yang baling kasut tu,” terang Dalila. Siap buat aksi lakon semula gaya dia baling kasut pada Putra pada hari kejadian.
Putra mengangkat kening. Disangkanya gadis itu adalah gadis yang menyelamatkannya dan datang mahu melawat keadaannya. Ternyata tekaan hati Putra meleset walaupun kebenarannya Dalila juga orang yang telah menyelamatkan Putra. Cuma kedatangan gadis itu pada hari ini bukan mahu melawatnya tetapi mahu bertanya perihal kasut tumit tinggi milik Fazura.
“So?” soal Putra. Nada suara lelaki itu sudah berubah agak keras. Agak kesal kerana gadis itu bukan si penyelamat yang disangkanya tetapi  musuh tidak rasmi.
“Er... saya nak tanya pasal kasut yang saya baling pada awak tu. Awak masih simpan kasut tu?” Agak gementar suara Dalila. Bimbang jika jawapan dukacita yang bakal diterima.
“Tak simpan! Dah buang!” selamba Putra menjawab. Aku tengah sakit begini, tak ada masa nak ambil peduli pasal kasut murah minah ni.
Dalila mengeluh lembut. Dirasakan nasibnya begitu malang hari itu. Pencariannya selama ini hanya sia-sia. Kasut tumit tinggi itu mungkin sudah tergolong dalam timbunan sampah di kawasan pelupusan sampah. Mustahil untuk dijumpai.
“Tak mengapa la kalau macam tu. Terima kasih dan maaf mengganggu,” sayu suara Dalila. Gadis itu sudah berura-ura hendak berlalu.
“Awak datang hanya untuk itu? Just nak tanya pasal kasut tu?” soal Putra sebelum sempat Dalila melangkah pergi. Penting sangat ke sekadar kasut tu dia datang cari aku sampai sini?  Ah! Tadi tak nak ambil peduli, tapi sekarang tanya juga.
Dalila berpaling pada Putra. Gadis itu sekadar mengangguk lemah.
“Macam mana awak tahu saya ada di sini?” soal Putra lagi. Hairan bagaimana gadis itu tahu dirinya kini berada di hospital.
Dalila jadi serba salah untuk menjawab soalan Putra itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Putra tahu dirinya telah menyelamatkan lelaki itu.
“Er... kawan saya beritahu. Dia yang selamatkan awak. Dia beritahu saya awak di sini,” dalih Dalila.        Alah, tipu sikit bukan mamat ni tahu.
 Terbuntang mata Putra mendengar bicara Dalila itu. Semangat sekali untuk dia mengetahui perihal wirawati penyelamatnya. Begitu bersemangat sehingga cedera ditusuk pisau seakan hilang sakitnya.
“Kawan awak yang selamatkan saya? Mana dia? Dia datang tak?” beria benar Putra bertanya. Wajah lelaki itu berbunga gembira.
Dalila telan air liur. Nak kena tipu lagi ni. Aku buat dosa kering je la menipu mamat ni. “Tak.. dia tak datang. Er... saya nak balik dulu,” jawab Dalila acuh tak acuh.
Gadis itu tidak betah untuk terus berada di situ. Dalila segera berpaling mahu melangkah pergi. Putra pantas menghalang. Dalam kesukaran untuk bergerak dan kesakitan yang masih menusuk lukanya, Putra bertindak menghalang Dalila dari berlalu begitu saja.
Dalila tergamam apabila Putra memaut tangannya. Lelaki itu beria benar mahu berjumpa ‘kawan’ Dalila itu.
“Kalau awak bawa kawan awak jumpa saya, saya akan bagi semula kasut awak tu.” Putra mula membuat tawaran. Serius sekali reaksi lelaki itu.
“Tadi awak kata kasut tu dah dibuang.” Dalila agak ragu-ragu.
“Saya tipu! So, awak janji ye. Esok petang bawa kawan awak tu datang.” Putra terus membuat perjanjian sendiri. Dalila angguk perlahan.
Lelaki itu melangkah semula menuju katil dengan wajah yang ceria. Dalila hanya memandang Putra dengan seribu tanda tanya. Mengapa lelaki itu beria benar mahu berjumpa orang yang menyelamatkan dirinya? Nak ucapkan terima kasih kot. Dalila membuat andaian.
********************
“Pak Mat, bawa Putra keluar dari hospital sekarang juga,” arah Putra semasa Pak Mat datang membawa makanan padanya. Papa dan mamanya tidak datang melawatnya hari itu kerana mempunyai urusan kerja.
“Tapi encik belum boleh keluar lagi,” bantah Pak Mat. Pak Mat adalah pemandu keluarga Putra.
“Sekejap saja. Putra nak ambil barang dekat rumah. Pak Mat jangan banyak tanya. Putra nak balik juga!” tegas Putra. Lelaki itu bingkas bangun dan bertukar pakaian.
Putra menyelinap keluar hospital dengan bantuan Pak Mat. Sampai saja di rumah, Putra segera mendapatkan Mak Senah, salah seorang pembantu rumah keluarganya. Ditanya pada Mak Senah tentang kasut tumit tinggi yang dilemparnya sebulan yang lalu.
Mak Senah tergaru-garu kepala. Ingatan orang tua itu tidak kuat untuk mengingati tentang hal tersebut. Putra, Mak Senah dan Pak Mat mencari-cari kasut tumit tinggi itu diseluruh kawasan villa.  Malah semua pembantu di villa itu dikerah mencari kasut tersebut. Berkali-kali Pak Mat dan Mak Senah menegur Putra agar berehat dan membiarkan mereka saja yang mencari. Tetapi lelaki itu berkeras mahu turut mencari.
“Mungkin ada dalam stor kot,” ujar Pak Mat setelah penat mencari. Hanya stor saja tempat yang belum dicari.
“Baru Mak Senah ingat. Mak Senah rasa, Mak Senah letak dalam stor!” kata-kata Mak Senah membuatkan Pak Mat dan Putra yang keletihan saling berpandangan.
“Dah jumpa! Yahoo!” jerit Putra tatkala dia berjaya menjumpai kasut tumit tinggi yang tersimpan dalam stor. Segera kasut itu dibawa bersamanya kembali ke hospital.
Kegembiraan tergambar pada wajah lelaki itu. Umpama kesakitan sudah hilang dan tidak dirasai lagi. Mak Senah dan Pak Mat hanya bertukar pandangan kehairanan dengan sikap anak majikan mereka itu.
*********************
 “Awak ke yang selamatkan saya?” soal Putra pada Fazura.
Fazura mengangguk sambil mengerling Dalila yang berdiri bertentangan dengannya. Putra mengukir senyum ikhlas pada Fazura. Tetapi Putra berasakan hatinya agak kurang mesra berhadapan Fazura. Sedangkan sebelum ini dia begitu beria-ria dan bersemangat untuk menemui penyelamatnya.
Hampir lima minit ketiga-tiga mereka hanya berdiam diri. Masing-masing seakan kehabisan ayat untuk berkata-kata. Mata Dalila melilau mencari kasut tumit tinggi dalam wad itu tetapi hanya sebuah beg kertas saja yang ada di atas meja di sisi katil.
“Er... mana kasut tu?” soal Dalila setelah hilang sabar dengan situasi sepi begitu.
“Awak ke yang derma darah pada saya?” soal Putra pada Fazura tanpa mengendahkan soalan Dalila. Geram Dalila dengan sikap Putra itu.
 Dalila dan Putra memandang Fazura yang hanya tertunduk sedari tadi. Masing-masing berdebar mendengar jawapan dari gadis itu. Entah mengapa hati Putra membisikkan kesangsian bahawa gadis itu telah mendermakan darah padanya.
Fazura mengangkat wajah memandang Putra. Sekilas mata Fazura menjeling Dalila yang sedang memberi isyarat mata padanya.
“Tak! Bukan saya!” selamba saja Fazura menjawab.
Terbuntang mata Dalila mendengar ‘pembelotan’ yang dilakukan sahabatnya itu. Peliknya, Putra langsung tidak terkejut. Sebaliknya lelaki itu hanya tersenyum. Hatinya berkata benar!
“Bukan saya Encik Putra, tapi Dalila. Dalila yang dermakan darah pada encik. Saya mana boleh dermakan darah saya sebab saya ni ada darah rendah. Lain la si Dalila ni. Hobi dia memang pergi derma darah,” celoteh Fazura memecah temberang Dalila.
Dalila menjegil mata pada Fazura. Terus Fazura menunjukkan isyarat thumbs up. Jangan marah Dalila, mana la tahu ni suratan jodoh kau. Kan sweet!
Tanpa berlengah, Fazura meninggalkan Dalila dan Putra berdua dalam bilik wad itu. Dalila menunduk memandang lantai apabila mata Putra tajam menikam wajahnya. Tiada apa-apa yang mampu Dalila lakukan setelah Fazura melakukan ‘pengkhianatan’. Terpaksa la mengaku saja.
“Kenapa awak tipu?” soal Putra dengan suara yang lunak. Hati lelaki itu merasa sennag kerana penyelamatnya sudah ditemui. Kecilnya dunia ini. Si musuh tak rasmi kini menjadi wira di hati.
Dalila telan air liur. Tidak pernah lelaki itu mahu bercakap dengan suara sebegitu lunak dengannya. Mungkin sebab dia rasa terhutang budi pada aku kot. Hati Dalila sekadar meneka sendiri.
“Habis tu awak nak saya cakap apa? Takkan saya nak war-warkan pada semua yang saya adalah hero yang telah menyelamatkan awak tempoh hari. Kalau ikhlas, tak perlu nak heboh-heboh,” jawapan Dalila membuatkan Putra ketawa kecil.
Sekali lagi Dalila menelan air liurnya melihat Putra yang sedang ketawa itu. Lelaki itu kelihatan sungguh kacak tatkala ketawa. Tak ketawa pun dah gila handsome, bila ketawa bertambah-tambah handsome lagi. Sebelum ni perasan juga mamat ni handsome tapi kalau perangai bongkak melangit tinggi, yang handsome pun nampak buruk.
“Terima kasih.” Lembut suara Putra menampan telinga Dalila.
Dalila terkedu. Matanya terpandang mata Putra yang merenungnya dengan senyuman indah di bibir. Tanpa menjawab ucapan terima kasih Putra, Dalila melangkah meninggalkan Putra terpinga-pinga.
“Betuah betul minah ni. Sekurang-kurangnya, cakap la sama-sama ke. Ni main blah gitu je.” Putra tersenyum sendiri.
*********************
Tanpa pengetahuan sesiapa, Putra mengarahkan orang menyiasat tentang diri Dalila. Di mana gadis itu tinggal, di mana tempat kerjanya dan adakah gadis itu sudah berpunya. Jawapan gadis itu masih single mengujakan hati Putra. Dalam diam juga Putra menyimpan satu perasaan asing dalam hatinya buat gadis itu.
**********************
Dalila melangkah menghampiri seorang wanita yang duduk di meja setiausaha. Tugas sebagai interior designer telah membawanya ke bangunan Kemilau Holding untuk mengubah ruang dalaman pejabat CEO Kemilau Holding itu.
“Cik ini, interior designer er... Cik Dalila ke?” belum sempat Dalila menyapa wanita itu, dia telah disapa terlebih dahulu. Dalila mengangguk dengan senyuman di bibir.
“Bos saya sudah lama menunggu. Cik boleh masuk sekarang.” Beritahu setiausaha itu lagi.
Dalila melangkah masuk ke dalam bilik CEO Kemilau Holding yang pintunya dibiar terbuka. Sebaik saja dia melangkah masuk, mata Dalila menangkap seraut wajah Putra yang sedang tersenyum gembira padanya.
Errrkkk! Mamat ni lagi. Dah pupus ke mansia lain sehingga mamat ni juga yang aku kena hadap. Entah kenapa aku ni macam kurang berkenan dengan mamat ni. Mungkin sebab sikap bomgkak setinggi langit serta mulut tak ada insuran mamat ni kot.
Putra mempersilakan Dalila duduk di sofa. Dalila hanya mengikut tanpa sepatah kata. Sebaik saja mereka duduk, Dalila memulakan tugasnya sebagai interior designer dengan memberi penerangan sepatutnya kepada Putra tentang konsep yang telah direkanya.
Dekorasi bilik mamat ni pun cantik. Tak tahu kenapa nak tukar lagi. Dah bosan kot atau dah memang rezeki aku. Tapi yang aku tak tahan, mata mamat ni dah tak pandang arah lain. Ke aku yang perasan sendiri yang dua biji mata mamat ni asyik sekali menatap wajah aku yang nan indah ni. Aduh! Sabar la Dalila.
Dalila menjalankan tugasnya dengan lancar tanpa mengendahkan Putra yang langsung tidak mempedulikan penerangan darinya. Renungan mata Putra cukup mendebarkan malah meresahkan sekeping hati hawanya.
Selepas kata putus dibuat, Putra bersetuju dengan rekaan yang dibuat Dalila. Bukan saja Putra langsung tidak fokus dengan penerangan Dalila tentang konsep rekaanya malah lelaki itu terus saja bersetuju dengan rekaan Dalila tanpa sebarang komen. Bagus la begini. Senang kerja.
“Baiklah Encik Putra, kerja-kerja mengubahsuai bilik ini akan dimulakan secepat mungkin. Jadi, encik boleh la kosongkan bahagian yang berkenaan agar kerja pengubahsuaian dapat dibuat dengan lebih lancar. Kalau tiada apa-apa, saya minta diri dulu.” Dalila bersikap formal dan berura-ura untuk berlalu pergi.
Sebaik saja Dalila bangun dari sofa, lengannya dipaut Putra. Dalila jelas terkejut dengan tindakan drastik lelaki itu. Dalila cuba merentap lengannya tetapi genggaman lelaki itu terlalu kejap. Putra menarik lengan gadis itu membuatkan Dalila terduduk di sofa sebelah Putra.
“Apa awak buat ni? Awak gila ke!” marah Dalila dengan suara yang keras.
Dalila kembali berdiri dan mahu melangkah pergi. Tetapi sekali lagi tangannya dipaut Putra menyebabkan Dalila kembali duduk bersandar pada sofa. Malah gadis itu jatuh begitu rapat dengan dada bidang Putra. Hampir saja dia terjatuh dalam dakapan lelaki itu.
“Cik Dalila...” sayu Putra mengucapkan nama gadis itu. Seakan mahu gugur jantung Dalila menghadapi detik begitu. Tubuhnya begitu hampir dengan Putra sehingga haruman perfume lelaki itu menusuk hidung dan menggetarkan hatinya.
Dalila telan air liur tatkala wajah Putra menghampiri wajahnya. Mata lelaki itu tajam menikam ke dalam anak mata Dalila. Dup! Dap! Dup! Dap! Degup jantung Dalila begitu kencang. Tak berkelip kelopak mata Dalila melawan panahan mata Putra. Lelaki itu seolah-olah meneroka hingga ke dasar hatinya. Mencari ruang untuk bermukim di situ.
Hampir tiga minit berlalu, Putra akhirnya mencapai satu bungkusan di bawah meja kopi lalu dihulurkan pada Dalila. Bungkusan yang berisi kasut tumit tinggi milik Fazura itu segera dirampas Dalila dari genggaman Putra. Segera gadis itu menjarakkan tubuhnya daripada lelaki itu. Tanpa berpaling ke arah Putra, Dalila terus berlalu pergi.
Putra ketawa besar. Geli hati melihat wajah pucat Dalila sebentar tadi. Dalila laju sekali menghayun langkah keluar dari pejabat Putra. Gadis itu ketap bibir mendengar ketawa besar Putra yang semakin jauh ditinggalkan.
************************
“Dalila! Awak tahu tak, syarikat saya adakan percutian atas kapal hujung minggu ni. Saya boleh bawa seorang teman. Dalila ikut ye.” ajak Fazura beria.
“Syarikat Fazura, kenapa saya pula yang kena pergi? Tak nak la saya.” Dalila berat hati ingin mengikut Fazura.
“Eh! Orang dah bagi can pergi, pergi je la. Jangan nak banyak songeh. Ambil cuti dan temankan saya. Bos Dalila mesti bagi cuti punya.” Fazura terus mendesak.
“Mana Fazura tahu bos Dalila bagi cuti?” Dalila menyoal kehairanan.
“Bos awak kan sayang awak,” jawab Fazura acuh tak acuh.
Dalila akhirnya mengikuti percutian syarikat Fazura menaiki sebuah kapal mewah yang berlayar di laut China Selatan. Dalila berasa hairan kerana hanya dirinya seorang saja orang asing. Bukan staf-staf di syarikat tempat Fazura bekerja. Berkali-kali dia bertanya hal itu pada Fazura tetapi banyak dalih sahabatnya itu.
Kehairanan Dalila terjawab apabila terpandang Putra di atas kapal itu. Tahulah Dalila itu angkara Putra yang berpakat dengan Fazura. Baru Dalila tahu bahawa Putra adalah rakan kongsi perniagaan Tuan Kamal, bos Fazura. Kesempatan itu diambil Putra untuk merapatkan diri dengan gadis itu. Dan Fazura pula, subahat! Sejak bila temannya itu menjadi pembelot tidak Dalila ketahui.
“Seronok dapat naik kapal free?” sapa Putra. Dalila buat-buat tidak dengar.
Putra berdiri bersebelahan Dalila. Kedua-duanya membuang pandangan ke arah laut yang saujana membiru. Dalila tidak senang dengan situasi begini. Hanya mereka berdua saja yang berada di luar kapal saat itu. Mana yang lain? Segalanya seolah-olah sudah terancang. Dalila bencikan keadaan ini.
Dalila tidak betah lagi berdiri di samping Putra yang sesekali mencuri-curi pandangnya. Dalila berpaling untuk berlalu pergi. Putra segera mematikan pergerakan Dalila dengan memaut lengan gadis itu.
“Eh! Apa ni? Lepas la!” marah Dalila. Suka suki hati dia je nak pegang-pegang orang.
“Nak pergi mana?” soal Putra dengan senyuman di bibir. Lelaki itu melepaskan pegangan tangan tatkala menyedari ketelanjuran tingkah lakunya.
“Nak masuk dalam. Takkan nak tercegat dekat sini je kot,” balas Dalila agak kasar. Rimas dengan sikap lelaki itu.
“Berdiri je dekat sini. Saya suka kalau awak berdiri di sisi saya,” ujar Putra lembut dengan pandangan tajam menikam anak mata Dalila.
Dalila menggaru-garu batang leher di balik tudung putih yang menutupi rambutnya. Keletah biasa yang dilakukan apabila dia berasa tidak selesa berdepan dengan seseorang.
“Kerana awak suka saya berdiri di sisi awak, jadi awak nak saya stay berdiri di sini? Hei! Tolong la. Saya tak ada masa nak melayan kerenah awak yang pelik-pelik ni. Lagipun cuaca macam nak hujan je. Ombak pun agak kuat,” protes Dalila.
“Tapi ramalan cuaca hari ni, cuaca elok,” jawab Putra tanpa melepaskan genggaman pada lengan Dalila.
“Ramalan Encik Putra. Ramalan belum tentu tepat,” bidas Dalila membuatkan Putra mengangguk kecil.
Dalila berura-ura untuk meninggalkan Putra di situ. Ketika Dalila hendak berlalu pergi, Putra menarik lengan gadis itu sekali lagi. Tanpa diduga, ombak besar memukul badan kapal mewah itu. Kapal itu bergoyang akibat pukulan ombak yang kuat itu.
Dalila yang ditarik Putra hilang imbangan badan. Putra pula cuba memaut tubuh Dalila bagi mengelakkan gadis itu terjatuh keluar dari kapal. Tup! Tup! Dalila terdorong menghempap atas dada bidang Putra. Kedua-duanya terkedu apabila tanpa disengajakan bibir Dalila menyentuh pipi Putra.
Situasi tak diduga itu berlaku dalam sekelip mata. Beberapa saat kedua-duanya bagaikan terpaku dengan kejadian itu. Sehinggalah Dalila mulai tersendar dan spontan dia menolak tubuh Putra yang sudah bersatu dengan tubuhnya.
“Pang!” satu tamparan hinggap ke pipi Putra. Lelaki itu terkedu serentak menyentuh pipi yang terasa perit. Matanya masih tertumpu pada wajah Dalila yang sudah berona merah.
Dalila tidak keruan. Gadis itu terus berpaling dan berlari pergi. Juga tanpa memandang wajah Putra yang terpaku tanpa sepatah kata. Mujur tiada sesiapa menyaksikan aksi tak disengajakan itu. Jika tidak pasti masalah lain pula yang akan timbul.
Kejadian tersebut membuatkan Dalila sentiasa melarikan diri daripada terpandang Putra. Putra menyedari kegelisahan yang dialami Dalila. Lelaki itu bercadang mahu mengendurkan keadaan rumit antara mereka sebaik saja turun dari kapal itu.
*******************
“Dalila, kenapa awak tergesa-gesa sangat ni? Tunggu la kawan-kawan yang lain. Datang sekali, balik pun sama-sama la. Yang awak express sangat ni kenapa?” protes Fazura. Geram kerana Dalila berjalan begitu pantas turun dari kapal. Jalan macam tak pijak tanah lajunya.
“Tunggu siapanya? Tu semua kawan-kawan Fazura, bukan kawan saya.  Awak sengajakan, berkomplot dengan mereka semua untuk jerat saya dengan si mamat tu. Percutian staf syarikat atas kapal la konon!” sembur Dalila tanpa menoleh pada Fazura yang terkejar-kejar untuk bersaing dengannya.
“Sorry la. Putra tu macam ikhlas je suka pada Dalila. Itu yang saya komplot tu. Mana saya tahu awak sangat tak berkenan dekat dia. Tapi dia baik apa, kaya pun kaya.” Dalila hanya menjeling mendengar kata-kata Fazura itu. Mahu saja dihempuk kepala Fazura dengan beg yang sedang dijinjingnya saat itu.
“Dalila! Dalila!” kedengaran suara Putra melaung memanggil nama Dalila. Lelaki itu berdiri kira-kira lima meter dari Dalila dan Fazura.
Dalila dan Fazura berpaling memandang Putra. Lelaki itu melambai-lambaikan tangannya meminta kedua-duanya menunggu. Dalila tidak menghiraukan Putra. Dia terus melangkah pergi. Setelah beberapa langkah, Dalila mematikan pergerakannya. Bagai ada tarikan yang membuatkan Dalila berpaling memandang kebelakang.
Saat ini mata Dalila tertumpu pada Putra dan seorang gadis yang entah dari mana munculnya. Fazura di sisi Dalila turut menyaksikan adegan antara Putra dan gadis itu.
“Hai, sayang. You naik kapal tak tunggu I,” sapa Yana sebaik saja menghampiri Putra yang jelas terkejut dengan kemunculan tiba-tiba gadis itu.
Tanpa diduga Putra, Yana merangkul pinggang Putra dan jemari gadis itu mengusap pipi kirinya. Putra tergamam manakala matanya tertumpu tepat pada Dalila yang menyaksikan free show tersebut. Mata Putra menikam mata Dalila seolah-olah memberi penjelasan tentang situasi tak terduga yang dialaminya saat itu. Umpama memberitahu agar gadis itu tidak tersalah tafsir keadaan yang sedang berlaku. Namun dapatkah bahasa mata menjelaskan segala-galanya?
Dalila menarik nafas dalam. Dia berpaling dan terus berlalu pergi meninggalkan Fazura yang terkebil-kebil dengan situasi tersebut. Saat itu Dalila tidak dapat menahan air matanya dari menitis membasahi pipinya. Dia tidak dapat menyembunyi seribu kelukaan tatkala melihat lelaki yang sudah  mula mengambil tempat di hati berada dalam pelukan perempuan lain.
***************************
Dalila menyangka dia tidak akan bertemu dengan Putra lagi semenjak turun dari kapal. Sangkaan itu meleset apabila sekali lagi mereka bertemu dalam satu majlis keramaian. Dalila diajak bosnya Fadhil sebagai pasangan untuk menghadiri majlis tersebut. Dalila hanya bersetuju setelah beberapa kali dipujuk Fadhil.
Maka hadirlah Dalila sebagai pasangan Fadhil dalam majlis tersebut. Kedua-duanya nampak sepadan dengan Dalila yang anggun bersama dress merah hati bermanik yang disulam cantik. Manakala Fadhil bergaya dengan tuxedo hitam.
Putra yang terpandang pasangan itu dari jauh ternyata dipaut rasa cemburu. Tidak menyangka gadis yang berjaya mencuri hatinya akan muncul bersama seorang lelaki yang juga kenalannya. Hati Putra semakin diamuk cemburu apabila Dalila kelihatan begitu mesra bersama Fadhil. Kemana saja Fadhil pergi akan diikuti Dalila. Apa saja yang Dalila makan, itu juga pilihan Fadhil. Sakit hati Putra hanya Allah saja yang tahu.
Putra tidak dapat menahan perasaan melihat kerenah Dalila dan Fadhil yang membuatkan dirinya berasa meluat. Putra senyap-senyap meninggalkan Yana yang leka berbual dengan kawan-kawannya dan menuju ke arah Dalila.
Kebetulan pula ketika itu Dalila berseorangan berjalan menuju ke tandas. Peluang itu diambil Putra dengan menarik Dalila keluar dari majlis itu. Putra menolak Dalila ke satu sudut yang tersorok. Tajam matanya menikam wajah gadis itu. Wajah Putra kelihatan sangat serius manakala wajah Dalila terpamer riak marah.
“Apa awak nak?” tengking Dalila.
Putra masih menikam wajah Dalila yang sudah merah akibat marah. Kemesraan Dalila dan Fadhil terbayang di ruang matanya. Cemburu membuak di dalam dada.
“Awak buat apa dekat sini dengan si Fadhil tu” soal Putra bernada serius dengan wajah tegang. Cemburunya tidak diselindung lagi.
Dalila senyum menyindir. Dapat dihidu api cemburu lelaki itu. Tapi untuk apa cembur itu? Tidak cukupkah Putra dengan seorang wanita? Bukan dia tidak nampak Putra datang ke majlis ini bersama seorang wanita cantik jelita. Malah begitu seksi jika hendak dibandingkan dengan Dalila yang ayu bertudung.
“Itu semua urusan saya. Awak tak perlu masuk campur,” bersahaja Dalila menjawab. Muka Putra langsung tidak dipandangnya. Gadis itu memeluk tubuh dengan tingkah angkuh.
Putra gigit bibir. Sakit hati dengan sikap Dalila itu.
“Saya sukakan awak. Awak tahu tak?” akui Putra. Ya, saya sukakan awak. Sejujurnya itu perasaan saya pada awak.
Dalila terkedu. Tidak berkelip dia memandang wajah Putra. Telinganya tidak tertipu kerana apa yang dilafaz Putra terpancar pada renungan mata lelaki itu.
“Awak tak main-mainkan?” Dalila tidak tahu harus berkata apa. Pengakuan Putra bagai satu ungkapan keramat yang menjawab segala beban perasaan yang mencengkam hati.
Putra menggeleng. “Saya suka awak. Saya cintakan awak. Saya nak awak jadi permaisuri dalam hidup saya. Isteri saya dan jadi ibu kepada anak-anak saya,” ucap Putra satu persatu.
Mata Dalila mulai berkaca. Terharu mendengar lafaz pengharapan itu. Lelaki itu mengharapkan dirinya menjadi pelengkap hidup. Tidak diduga dia mendengar itu semua dari bibir Putra.
Dalila perbetulkan aturan nafasnya. Kata-kata Putra membuatkan dirinya rasa teruja. Tetapi ada sesuatu yang masih membelenggu dirinya.
“Tapi, siapa perempuan yang datang bersama awak tu?” soal Dalila dengan harapan jawapan dari Putra bakal melenyapkan curiga yang bersarang di sudut hati. Mana la tahu tu adik dia kan. Tapi mungkin ke?
Putra telan air liur. Sejujurnya Putra tidak mahu menipu Dalila. Dia ingin berterus-terang pada Dalila tentang situasi dirinya. Dia mahu Dalila memahami dan begitu berharap agar gadis itu dapat setia menanti untuk Putra membetulkan keadaan. Putra mahu berdepan dengan Yana dan memperbaiki kesilapannya atas perjanjian dengan sepupunya itu.
“Perempuan tu Yana. Yana tu sepupu saya...”
“Dan saya juga tunang Putra! Tunang yang bakal menjadi isteri Putra dalam sedikit masa saja lagi.” Yana muncul dari arah belakang dan memintas bicara Putra.
Putra dan Dalila jelas terkejut. Malah Dalila bertambah terkejut dengan kenyataan yang baru didengarnya. Dalila pandang Putra inginkan kepastian daripada lelaki itu.
Lidah Putra seakan kelu untuk berbicara. Kemunculan Yana tanpa diduga benar-benar membuatkan Putra serba salah. Dalila rasa dipermainkan apabila Putra langsung tidak menafikan kenyatan Yana itu.
Jadi benar la mereka berdua sudah bertunang! Dan Putra masih tergamak mengungkap madah cinta pada aku. Dasar lelaki buaya!
“I simpati dengan you, Cik Dalila,” bicara Yana bernada sindiran.
“Lelaki memang gemar permainkan wanita dengan ayat manis, janji dan sumpah mereka. Kalau boleh, dah jadi suami orang pun masih mengaku bujang. Putra, I faham yang berjauhan dengan tunang sendiri memang buatkan hati rasa sunyi. Tapi tak baik you main-main dengan perasaan wanita. Kesian tau...”  ujar Yana sambil matanya tidak lepas dari memandang Putra. Sengaja menerbitkan rasa serba salah di hati lelaki itu.
Dalila renung Putra yang masih membisu. Benarkah semua ini? Jadi Putra hanya permainkan perasaannya? Cinta dan sayang... palsu? Sakit hatinya bukan kepalang. Lantas ringan saja tangan Dalila menghayun penampar ke pipi kiri Putra.
“Penipu!” herdik Dalila.
Putra tergamam. Tidak juga dia mempertahankan diri. Lelaki itu merasa lemah berhadapan Dalila saat Yana turut tercegat di hadapannya.
Sejurus itu juga Dalila menolak tubuh Putra menjauhi dirinya. Dalila yang sudah basah pipinya dengan hujan air mata berundur beberapa tapak ke belakang sambil memandang wajah Putra yang sudah berkaca pada penglihatannya. Yana memerhati dengan rasa senang hati atas kemenangan dirinya.
Dalila kemudian berpaling dan berlari meninggalkan Putra. Setelah tiga langkah dia berlari, Dalila terjatuh kerana tumit kasutnya patah. Akibat marah yang membuak, Dalila menanggalkan kasut tersebut lalu dicampak pada Putra. Sempat lelaki itu mengelak dari kasut itu mencium dahinya.  
Dalila terus berlari berkaki ayam meninggalkan majlis tersebut dengan sebelah lagi kasut di tangan. Dalila berlari meninggalkan Putra yang hanya mampu melihat pemergian sang puteri yang telah dikecewakan setelah baru sebentar diberikan harapan. Lelaki itu umpama putera raja yang ditinggalkan Cinderellanya. Dalila adalah Cinderella yang berlari meninggalkan Putra bersama sebelah kasut tumit tinggi!
*****************************
Dalila menangis sepenuh jiwanya. Fazura yang menjadi pemerhati semakin resah melihat keadaan sahabatnya itu. Kepulangan Dalila dalam keadaan yang pelik benar-benar membimbangkannya. Bimbang sesuatu buruk telah menimpa sahabatnya itu. Jika tidak, masakan Dalila menangis hingga basah bantal yang ditekup pada mukanya itu.
“Saya bodoh sebab jatuh cinta pada dia, Fazura. Sedangkan dia tak cintakan saya. Dia mainkan perasaan sayae...” rintih Dalila. Fahamlah Fazura gelora dalam jiwa sahabatnya itu.
Fazura membawa Dalila dalam pelukannya. Kedua-duanya tenggelam dalam tangisan yang semakin rancak. Teman ketawa mudah dicari, teman menangislah teman sejati.
*******************************
“Yana dan Putra akan kahwin hujung bulan ni.” beritahu Engku Adam Tajuddin seterusnya  memeranjatkan Putra. Malangnya hanya lelaki itu saja yang terperanjat kerana ahli keluarga yang lain sudah sedia maklum akan hal itu.
“Kenapa tiba-tiba saja?” soal Putra.
“Mana ada tiba-tiba. Putra dan Yana dah bertunang, jadi sekarang kahwin la pula. Takkan nak bertunang lama-lama. Yana seorang diri di US sana. Kalau dah kahwin nanti Putra boleh temankan Yana di sana.” Pertahan Engku Rahimah.
“Macam mana dengan kerja Putra?” Putra masih mempersoalkan keputusan perkahwinannya.
“Kita akan buka cawangan di sana. Papa rasa Putra adalah calon terbaik untuk dihantar uruskan cawangan syarikat di sana. Jadi bersiap sedia. Jangan kerja nak membantah saja!” putus Engku Adam Tajuddin menamatkan perbualan antara mereka.
*****************************
“Kenapa you buat I macam ni Yana?” soal Putra pada Yana ketika mereka berdua keluar ambil angin di taman.
“I buat apa?” soal Yana berpura-pura tidak memahami kata-kata Putra.
“You paksa I terima you dalam hidup I secara mengejut macam ni. You tahu tak hujung bulan tu hujung minggu depan!” agak meninggi suara Putra.
“Kenapa dengan you ni? Apa masalahnya? Lambat laun kita kahwin juga,” balas Yana.
“Kalau you dah tahu lambat laun kita kahwin juga, buat apa nak tergesa-gesa sangat? You ingat I ni bodoh? Buka cawangan di US tu hanya alasan saja!” bidas Putra.
“Memang tu semua alasan. I tak nak you ingat lagi perempuan tu. You ingat I tak tahu you tergilakan perempuan tu! You dah bersumpah dengan I, Putra. You tak boleh lepas macam tu saja!” Yana jelas begitu marah. Diam-diam Yana mengupah seseorang untuk menjadi mata-matanya bagi memantau setiap pergerakan Putra sepanjang dia di US.
Putra meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Dia benar-benar dimakan sumpahannya sendiri walau sumpah dibuat bukan dengan rela hati.
“I sanggup mati dari tak dapat you. You lebih tahu tu!  I tak akan lepaskan you, Putra. You milik I,” tegas Yana.
Putra menikam wajah Yana. Dia tidak mampu membenci gadis itu juga tidak  mampu menyintainya. Semua itu membuatkan hatinya semakin tersiksa.
“You nak miliki I? You akan miliki I! You akan miliki I, Yana. Tapi hanya jasad I bukan hati I. Kerana I sudah tidak punya hati lagi. You bunuh hati I sejak you paksa I bersumpah pada you dulu. Dan bila I mula merasakan hati yang mati itu hidup semula, I dah serahkan seluruh hati itu pada gadis yang I cintai kerana I tak nak hati itu mati sekali lagi,” luahan perasaan Putra merentap jantung Yana. Gadis itu tergamam tanpa mampu berkata apa-apa.
“You sudah miliki I, Yana. Malangnya setiap darah yang mengalir dalam tubuh ini telah bersatu dengan darah wanita yang I cintai. Allah utuskan dia sebagai penyelamat I. Dan setiap denyut nadi I adalah kerana dia. You ingin memiliki tapi I memilih menyintai dia walau tak dapat memilikinya. Itu pilihan kita Yana. Itu pilihan I!” Putra berlalu meninggalkan Yana setelah memutuskan pendiriannya.
Yana hanya mampu membiarkan air mata menitis membasah ke pipi. Betapa sukarnya dia untuk memiliki lelaki itu. Dia mengikat lelaki itu dengan sumpah, malangnya sumpah belum dapat mengikat hati lelaki itu padanya. Sumpahan itu umpama tembok batu yang menghalang Putra dari bersama Dalila tetapi tidak mampu menghalang hati mereka dari saling menyintai.
****************************
Majlis pernikahan Putra dan Yana gempar! Pengantin perempuan telah hilang. Sebaik saja mendapat tahu berita itu, Putra dan papanya meluru masuk ke dalam bilik pengantin perempuan. Kelihatan mama Putra dan mak usunya kegelisahan dalam kamar pengantin.
“Apa dah jadi mama?” soal Putra. Wajah cemas mamanya jelas kelihatan.
“Mama tak tahu. Tadi Yana ada, bila mama datang tengok dia dah hilang.” Terang Engku Rahimah.
Tiba-tiba mata Putra terpandang sepasang kasut tumit tinggi di atas meja solek. Di bawah kasut itu terdapat sepucuk surat ditulis tangan oleh Yana.
            Kepada Engku Adam Putra Engku Adam Tajuddin...
Maaf jika cinta Yana selama ini telah menjadi penjara pada Putra. Yana terlalu menyintai Putra hingga mata ini buta dari melihat kesengsaraan dalam mata Putra. Yana terlalu mementingkan diri dan membunuh cinta Putra. Maafkan Yana. Yana tidak mahu menjadi ahli sihir yang menghalang penyatuan hati dua insan dengan satu sumpahan. Dengan ini, Yana bebaskan Putra dari sumpahan yang memenjarakan cinta Putra selama ini. Gapailah bahagiamu bersama puteri impian. Yana berada di tempat sepatutnya Yana berada saat ini. Mungkin Yana harus fokus study untuk lupakan luka hati ini. Doakan luka hati ini akan segera sembuh.
            Daripada : Puteri Ariyana Engku Adam Darus. 
Sebaik saja surat itu habis dibaca, Putra meluru keluar dari rumah itu bersama kasut tumit tinggi yang berada bersama surat itu. Lelaki itu langsung tidak menghiraukan suara-suara memanggilnya yang kedengaran semakin sayup di telinga.
*************************
Dalila dikejutkan dengan kemunculan tiba-tiba Putra diperkarangan rumahnya. Semakin pelik kerana lelaki itu muncul dengan pakaian pengantin. Tak ubah seperti sultan zaman kesultanan Melayu. Lebih memeranjatkan apabila lelaki itu menghulurkan sebelah kasut tumit tinggi padanya.
“Nur Dalila, adakah dikau pemilik kasut ini?” soal Putra sambil duduk melutut sebelah kaki. Umpama sang putera yang sedang melamar puteri impiannya.
Dalila mengangkat kening. Agak terkejut dengan situasi tidak diduganya itu. ‘Bukankah hari ini Putra akan bernikah dengan Yana?’ bisik hatinya.
“Mahukah awak menjadi Cinderella saya?” soal Putra sekali lagi apabila Dalila hanya memandangnya dengan wajah terpinga-pinga.
“Menjadi pemilik kasut ini dan jadi pemilik cinta saya. Cinta yang tiada akhirnya hingga ke syurga.” Sambung Putra lagi. Ditangan Putra adalah sebelah kasut yang ditinggalkan Dalila padanya. Tumit yang patah sudah dibaiki.
Saat itu Dalila merasakan mutiara jernih sudah tidak dapat ditahannya lagi. Deras air matanya mengalir ke pipi. Dia benar-benar menyangka sudah kehilangan lelaki itu. Tidak diduga lelaki itu akan datang mencari Cinderellanya pada detik itu.
“Kalau kasut tu muat di kaki saya. Sayalah Cinderella awak.” kata-kata Dalila menguntum bunga bahagia di hati Putra.
 Segera Putra menyarungkan kasut tersebut ke kaki kanan Dalila. Setelah kasut berjaya disarung, Putra memandang wajah Dalila dengan wajah sangat gembira.
“Padankan? Awaklah pemilik cinta saya. Jom!” Putra terus menarik tangan Dalila.
“Kita nak ke mana?” soal Dalila apabila Putra membukakan pintu kereta BMWnya untuk Dalila.
“Setelah sang putera bebas dari sumpahan, dia membawa Cinderellanya berjumpa tok kadi untuk dinikahkan!” seloroh Putra membuatkan mata Dalila terbuntang.
“Nikah?” Dalila terjerit kecil. Terkejut!
“Telefon mak ayah awak beritahu kita nak kahwin!” arah Putra sebaik saja duduk di tempat pemandu. Dalila kelihatan tergamam.
“Cepat la, tok kadi dah lama tunggu!” Putra tersenyum bahagia.
Akhirnya cinta sang Putera bersatu dengan pemilik kasut Cinderellanya...

8 comments:

  1. Haha Fairy Tale! Tapi seronok dibaca. Kalu diselitkan unsur2 islamik sikit, maybe lebih best

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Geeky Rabbit. Comel namanya ^__^"
      insya-Allah, mawar akan berusaha tingkatkan kualiti penulisan.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. best cerpen ni... :) ... bnyk kali dah baca xbosan pon... :)
    rupanya awk ni Nur Ilham @ mawar kamila .. my beautiful lady & isteri gantian sama ea???

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih ItaZze... ^_^"
      a'ah, Nur Ilham dengan Mawar Kamila orang yang sama. :D
      dan my beautiful lady diubah tajuk dan jalan ceritanya diubah sedikit menjadi Isteri Gantian.
      ItaZze baca my beautiful lady? mawar rasa ramai yang tidak tahu ia diubah tajuk.
      apa-apa pun, terima kasih kerana mengikuti karya nur ilham/mawar kamila. :)

      Delete
    2. :) ... same2...ye!sy bc my beautiful lady! kalau msuk page p2u mesti intai ni http://www.penulisan2u.my/tag/nur-ilham/ dulu..hmm....
      hehehe...so xde smbgn my beautiful lady??..sy lg suka kisah my beautiful lady.... tapi ape2 pon good luck! ... teruskan berkarya... tulisan2 & karya2 awk mmg sy suka :D ...

      Delete
    3. ^__^" terima kasih atas sokongan ItaZze...
      my beautiful lady bersambung dalam Isteri Gantian. cuma IG ni dipanjangkan sedikit ceritanya berbanding my beautiful lady.
      insya-Allah, mawar cuba yang terbaik untuk IG...
      terima kasih sekali lagi kerana menyokong karya2 mawar kamila.
      jangan ketinggalan untuk dapatkan Isteri Aku Kalis Cinta yang insya-Allah, bakal terbit pada penghujung MAC 2014... :D

      Delete

terima kasih kerana membaca karya Mawar Kamila ^_^!
komen anda amat dihargai.