BAB 31
Dalam perjalanan pulang
ke rumah, Zahil singgah sebentar di kedai untuk membeli aiskrim. Diya hanya
mengerutkan kening apabila Zahil masuk ke dalam kereta dengan membawa bungkusan
berisi tiga bekas aiskrim.
“Banyaknya,” komen Diya
sambil menyambut huluran plastik biru berisi tiga bekas kecil air krim dengan
perisa berbeza. Zahil senyum saja.
Dalam perjalan itu,
Zahil menyuarakan sesuatu yang agak mengejutkan Diya.
“Sebenarnya… saya lebih
senang kalau awak jadi suri rumah saja. Saya rasa saya mampu tanggung awak.
Lagi pun kerja dekat butik Kamelia tu bukan bidang awak.”
“Awak nak saya berhenti
kerja?” soal Diya walau sudah difahami maksud bicara Zahil itu.
“Saya suka kalau awak
duduk rumah saja. Jadi suri rumah dengan ganjaran gaji oleh Allah,” ujar Zahil
lembut memujuk.
“Jadi… saya nak buat
apa? Duduk saja di rumah? Boring la
macam tu.” Diya agak berat untuk bersetuju.
Zahil senyum tawar. Dia
sudah bersedia andai permintaan itu ditolak Diya. Zahil tidak mahu memaksa
sebaliknya hanya menyatakan pandangannya saja.
“Tak mengapa kalau awak
tak nak. Saya tak paksa.”
“Tengok la macam manan
nanti.” Diya belum memberi kata putus. Diya terus memikirkan hal tersebut
hingga kereta Sonta Hyundai dipandu Zahil berhenti di halaman rumah mereka.
Diya masuk ke dalam
rumah terlebih dahulu diikuti Zahil. Belum sempat Zahil menutup daun pintu,
Diya berpaling memandang suaminya.
“Saya bersetuju,” ujar
Diya dengan yakin.
Zahil terkedu. Tidak
menduga bahawa Diya akan memberi jawapan secepat itu malah tidak menyangka
jawapan yang diberi berpihak pada dirinya. Zahil pandang Diya dengan riak tak
percaya.
“Saya nak jadi suri
rumah yang digaji dengan ganjaran pahala,” tutur Diya dengan senyuman mekar di
bibir.
Zahil tersenyum
gembira. Sungguh, dia sangat gembira kini. Dengan hati yang gembira itu, Zahil
meluru ke arah Diya lalu merangkul tubuh isterinya dalam pelukan. Diya terkejut
apabila Zahil memeluknya tetapi tidak pula dia membantah tindakan itu.
“Terima kasih, sayang,”
ucap Zahil kedengaran lirih pada pendengaran Diya. Diya senyum senang hati
kerana inilah pertama kali dia melakukan suatu perkara yang mengembirakan
suaminya dengan seikhlas hati.
Tina tergamam di depan
pintu pagar kediaman Zahil dan Diya. Dari balik pagar warna hitam, mata Tina
jelas menyaksikan detik bahagia pasangan suami isteri itu. Bulat mata Tina
melihat kemesraan pasangan itu dari balik daun pintu yang terbuka. Menyaksikan
Diya berada dalam pelukan Zahil sudah cukup membuatkan jemarinya menggigil.
Hati Tina rasa tersayat oleh sembilu tajam.
Plastik berisi buah
macang yang dibawanya untuk diberikan kepada Zahil terlepas dari genggaman lalu
jatuh atas lantai simen. Bibir diketap menahan air mata yang mula bertakung di
tubir mata. Tatkala air mata gugur di pipi, Tina berpaling dan berlari masuk ke
dalam rumah.
Kak Ima memandang pelik
anaknya. Belum sempat dia menyoal lebih lanjut, Tina sudah berlari mendaki anak
tangga dan mengunci diri dalam kamar tidurnya. Tina lompat atas katil dan
menyembam muka atas bantal. Bahu gadis itu terhinjut-hinjut bersama tangisan
kekecewaan.
Sesungguhnya Tina sudah
menyimpan perasaan terhadap Zahil sejak sekian lama. Namun dia dihampakan
apabila lelaki itu hanya menganggap dirinya tidak lebih daripada seorang adik.
Tina sejak awal lagi tidak menyukai Diya kerana isteri Zahil itu dianggap
sebagai perampas. Malah Tina yang gemar mengintai kehidupan pasangan itu sering
makan hati setiap kali dia menyaksikan kemesraan Zahil melayan Diya.
“Aku tak dapat Abang
Zahil, aku akan pastikan perempuan tu pun tak dapat hidup bahagia!” Tina
menyumpah dengan dendam membara di hati.
Diya berdiri di beranda
sambil melihat langit malam yang indah dengan taburan bintang. Andai dulu dia
menyaksikan keindahan bintang di langit bersama-sama Nur, kini teman di sisi
adalah Zahil Hariz.
Zahil Hariz, suami yang
mula diterima Diya dalam hidupnya setelah hampir tujuh bulan usia perkahwinan
mereka. Zahil ternyata sangat gembira pada malam ini. Dan mereka meraikan
kebahagiaan dengan makan aiskrim di bawah taburan bintang di dada langit.
“Hidup ni macam
aiskrim,” ujar Zahil seraya menyudu aiskrim pudina dan disua pada Diya.
Teragak-agak Diya buka mulut dan Zahil menyuap isterinya.
Zahil senyum bahagia
dan Diya tertunduk malu. Pertama kali dia menerima suapan daripada seorang
suami. Biarpun hanya perbuatan yang biasa namun kesannya luar biasa. Terasa
aura bahagia hingga ke dasar hati.
“Pernah dengar ayat
macam tu?” soal Zahil dan Diya menggeleng tanda tidak pernah.
“Hem… hidup macam
aiskrim dengan pelbagai perisa. Adakala pahit seperti coklat…” Zahil tunjuk
aiskrim coklat dalam mangkuk dengan sudu di jari. “manis macam vanila dan segar
macam pudina,” ujar Zahil mula nak berfalsafah. Dulu falsafah cinta, sekarang
falsafah kehidupan pula.
“Menarik,” sambut Diya.
Zahil senyum manis
membuatkan Diya telan air liur. Senyuman manis itu amat tidak disukai kerana
membuatkan Diya rasa tak selesa. Namun kini senyuman itu menyenangkan hati.
Mungkin bakal dirindui suatu hari nanti.
“Hidup ni macam makan
aiskrim. Kita akan rasa pahit dan manis dalam hidup ini seperti kita menikmati
rasa pahit dan manis dalam setiap suapan. Di sebalik rasa itu, kita dapat
nikmati kesegaran kehidupan.” Zahil memandang dada langit tatkala mengungkap
madah itu.
Diya angguk bersetuju.
Disudu ketiga-tiga perisa aiskrim yang berada dalam satu mangkuk yang sama dan
dinikmati keenakan tiga campuran rasa itu. Pahit… manis dan segar. Hidup ini
macam aiskrim! Diya tersenyum.
Zahil jeling Diya di
sisi dan lelaki itu turut tersenyum melihat bibir isterinya mengukir senyuman.
Diya memandang Zahil lalu mata mereka bertembung. Saat ini Diya dapat rasakan
degupan jantungnya semakin kencang.
Tatkala Zahil mengucup
lembut pipinya, Diya terkedu. Namun apabila Zahil bawa bibirnya menghampiri
bibir Diya, wanita itu menundukkan wajah seterusnya menyebabkan target Zahil
tersasar.
“Saya… saya belum
sedia,” ujar Diya teragak-agak.
Zahil senyum tawar dan
Diya diterpa rasa bersalah. Tiada niat untuk Diya menolak namun entah mengapa
saat Zahil cuba bermesra, ingatan terhadap Zakuan menerpa. Adakalanya Zahil
seiras Zakuan dari pandangan sisi. Adakah ia benar atau hanya satu khayalan?
Berkali-kali Diya
katakan pada diri bahawa Zahil dan Zakuan adalah insan berbeza namun hakikat
itu tak mampu dibohongi. Adakalanya Zahil seiras Zakuan dari pandangan sisi.
Akhirnya Diya membawa diri meninggalkan Zahil kehampaan.
“Kerana hidup ini
ibarat aiskrim, aku harap dapat nikmatinya bersama-sama Diya sebelum aiskrim
ini cair, ” Zahil berbicara sendirian.
Zahil melontarkan
pandangan ke arah langit yang hitam pekat. Peristiwa beberapa hari lalu
menjengah ruang ingatan.
“Zahil, keputusan pemeriksaan ujian darah kau dah
keluar,” beritahu Rania bernada serius. Namun begitu, wajahnya kelihatan
tenang.
“Ok… jadi hasilnya?” Zahil tidak sabar lagi untuk
mengetahui keputusan ujian tersebut. Tinggi sungguh harapannya agar tiada
khabar negatif yang diterima.
“Keputusannya…” Rania menguatkan hati untuk
memaklumkan keputusan yang sudah diketahuinya.
Teletah Rania yang seakan serba salah itu
mendebarkan Zahil.
“Hei, Rania… cakap la. Aku dah sedia dengar ni. Time sekarang pun kau nak bergurau
lagi.” ujar Zahil disusuli ketawa kecil.
Rania senyum tawar. Masihkah dapat dia mendengar
ketawa Zahil yang seperti itu selepas ini? Dapatkah aku lihat senyum manismu
selepas kau dengar ucapanku ini Zahil?
“Kau ada kejutan ke? Tapi kejutan kau tak
mengejutkan sangatkan? Kan? Kan?” duga Zahil. Rania masih senyum tawar. Zahil
melepaskan nafas dengan senyum nipis.
Sememangnya doktor muda di hadapannya ini cukup
lembut hati dan mudah sensitif. Zahil ingat lagi, masa mereka kecil-kecil
dahulu. Waktu itu dia demam sehingga muntah-muntah. Rania yang datang melawat
dan melihat dia muntah akhirnya menangis-nangis kesedihan.
Sejak itu
Rania menanam cita-cita ingin menjadi doktor. Katanya, dia ingin merawat Zahil
apabila lelaki itu sakit. Rania ingin menjaga Zahil agar sentiasa sihat dan
tidak mahu Zahil sakit lagi.
Zahil tersenyum mengingatkan kisah silam itu. Kini
mereka sudah dewasa dan Rania sudah mencapai impiannya untuk menjadi doktor.
“Luekemia…” perkataan itu terluah sayu di bibir
Rania. Ketenangan di wajahnya hilang. Wanita itu dicengkam perasaan sebak.
Matanya tidak lari dari menjamah wajah Zahil. Menantikan reaksi lelaki itu.
Zahil terkedu. Perkataan yang meniti di bibir Rania
itu perlahan saja menyentuh pendengaran telinganya. Zahil balas renungan mata
Rania yang sudah mulai berkaca. Perlahan-lahan bibir dipaksa mengukir senyum.
“Luekemia?” Zahil menyoal kembali. Masih bernada
kurang percaya pada kata-kata Rania itu. Dia tak berguraukan? Pasti tidak
kerana Rania tidak pandai bergurau. Lambat-lambat Zahil ketawa kecil. Ketawa
bernada kecewa yang terzahir bagi menutup kehampaan di hati.
“Leukemia Kronik Sel Limfosit!” Rania menyatakan lebih
lanjut.
Zahil
tidak tahu harus memberi reaksi yang bagaimana lagi selain tetap tersenyum.
Walau mata dirasakan mahu berkaca, tetap juga hati dikuatkan menahan gelora
perasaan. Dia tidak boleh menangis di depan Rania.
“Ooo… so, aku… aku akan ma…”
“No Zahil! Tak bererti kau akan mati,”
pintas Rania dengan tegas.
Sekali
lagi Zahil ketawa kecil. Namun ketawa itu bukan sesuatu yang boleh
menggembirakan hati Rania. Dia tahu ketawa itu melindungi seribu perasaan kecewa
dan kesedihan.
“Semua
manusia akan mati Zahil. Menghidap leukemia tak bererti kau akan mati kerana
penyakit tu. Sekarang zaman moden, semua penyakit ada ubatnya,” pujuk Rania
cuba bersikap positif.
Zahil senyum tawar. “Macam mana
dengan rawatan? Aku kena jalani rawatan… kemoterapi?”
Berdasarkan pembacaan, Zahil ada
mengetahui serba sedikit tentang rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi
terkenal untuk merawat penyakit kanser. Rawatan tersebut mengancam dan
merosakkan sel sihat yang membahagi dengan cepat seperti sel pada lapisan dalam
mulut atau rambut. Ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering,
keguguran rambut, loya, anemia, cirit-birit dan keletihan.
Rania senyum nipis.
Sekurang-kurangnya dia masih berharap agar Zahil mahu menerima rawatan.
“Rawatan
sekarang semakin bagus. Pada peringkat kau, kemoterapi tidak diperlukan. Kau
hanya perlu makan ubat.”
Zahil tunduk kepala sepanjang
mendengar penerangan lanjut daripada Rania. Jauh fikirannya melayang tanpa
fokus mendengar penjelasan doktor muda di hadapannya.
“Zahil, aku yakin kau cukup kuat
untuk tempuhinya. Aku tahu kau kuat dan tabah.” Rania sungguh berharap agar
Zahil tidak mudah berputus asa.
“Hidup ni betul la macam aiskrim.
Kita perlu nikmati sebelum ia cair. Tak begitu?” Zahil tersenyum manis.
Mata Rania mula berkaca. Zahil
adalah pesakit pertama yang menyebabkan dia berair mata menghadapi situasi
begini. Rania cuba mengawal sebak di dada. Dia harus meyakinkan Zahil bahawa
sinar harapan tidak pernah padam.
“Zahil, apa kau cakap ni? Zahil,
masih ada harapan untuk kau sembuh dan jalani kehidupan yang normal. Memang la
awal-awal ia suatu mimpi ngeri. Tapi semua tu hanya sementara. Zahil yang aku
kenal bukan pengecut. Bukan lemah!”
Zahil menjamah raut wajah Rania.
Wanita itu terlalu menyayangi dirinya. Ternyata kasih sayang Rania melebihi
kasih sayangnya terhadap gadis itu. Zahil tahu Rania begitu takut
kehilangannya. Satu-satunya sahabat yang dia ada kini sejak pemergian arwah
Hairil.
Zahil ukir senyum manis. Rania terus
memandang sayu wajah Zahil. Tiada kata yang terdaya untuk diungkap saat hati
sendiri resah. Ketenangan yang dipamerkan Zahil sungguh meruntun hatinya. Rania
tahu Zahil sedih dan lelaki itu jenis yang menyembunyikan rasa dukanya di
sebalik segaris senyuman.
Ingatan terhadap pertemuan dengan
Rania tercantas apabila bayu malam yang bertiup lembut terasa menyucuk hingga
ke tulang. Zahil menghela
nafas yang terasa berat. Sesekali tidak dia menyalahkan takdir atas ujian hidup
ini. Lelaki itu mensyukuri sisa usia yang diberikan Allah padanya. Peluang
untuk terus bernafas dan menikmati kehidupan.
“Seharusnya dinikmati
sebelum ia cair…”
SEKIAN... Doakan IAKC berjaya diterbitkan dalam naskah novel. ^_^"
Baru berjaya habiskan IAKC...
ReplyDeleteMemang terbaik! Best3!
terima kasih Rose Aleyna... nantikan IG pula ye! ^_^"
DeleteI just drop by. Tahniah untuk drama Cerita untuk Diya. I love it!
ReplyDelete